DIALOG RAKYAT |
- Bajet 2014: Ulang tayang filem lama
- Bajet 2014 gagal imbangi hutang negara
- Warga asing maut ditikam, ditetak
- Jamil Khir kata bapanya hanya amin doa
- Ibrahim: Gerakan patut bubar, sertai MCA
- Perwakilan mahu Gerakan tinggalkan BN
- Orang tua berkenan dengan Azam macam cucu mereka
- Tolak syariah umpama nafi kebijaksanaan Allah
- Najib wajar nasihati Muhyiddin untuk beradab
- RM8.8 Bilion Untuk Polis Tak Mampu Bendung Jenayah Berbanding Hudud
- Kuil Hindu RM10j jadi tarikan Bandar Diraja Klang
- Presiden Gerakan akui kelemahan parti
- 3 ditahan kes tembak pegawai Ambank
- Limpahan Empangan: JPS Rancang Bina Tambak Konkrit Sungai Bertam
- Suspek Tembak Pegawai Bank Dipercayai Masih Berada Dalam Negara - Timbalan KPN
- 90 Peratus Muka Baharu Terajui Ketua Puteri Umno Negeri - Mas Ermieyanti
- Umno Sentiasa Bersedia Bersatu Dengan PAS - Muhyiddin
- DAP terus bantah GST, kecam belanjawan kerajaan tidak realistik
- Isu tanah: Kementerian tak peduli Dong Zong
- Pelaksanaan GST siapa untung?
- Bajet 2014; Rakyat Terengganu Paling Terkesan
- Tahun 2014 Menjadi Fokus PDRM Mengembalikan Kepercayaan!
Bajet 2014: Ulang tayang filem lama Posted: 27 Oct 2013 04:04 AM PDT DIAM tak diam, ini adalah kali ke-5 Datuk Seri Mohd Najib Razak membentangkan bajet negara atas kedudukannya selaku Menteri Kewangan.Maknanya sudah empat tahun lamanya dia memegang portfolio berkenaan. Bagi seseorang dalam waktu sama memegang portfolio lain, apatah lagi selaku Perdana Menteri, apakah ada ruang bagi membolehkannya merancang ekonomi negara secara efektif? Justeru menerusi empat bajet tahunan lalu apakah kita telah menyaksikan terlaksananya pelbagai transformasi dan perubahan positif lain dalam perlaksanaan? Tanyalah masyarakat luar bandar – nelayan, petani, penoreh, pengusaha sendiri dan sebagainya – apakah kehidupan mereka mengalami 'langkauan ke depan besar' (a great leap forward) sebaik sahaja Najib melantik dirinya sendiri selaku Menteri Kewangan empat tahun lalu? Selepas Abdullah Ahmad Badawi mempersiapkan pentas untuk Najib beraksi di persada kewangan negara, ramai meletakkan harapan kepada Najib, selaku pemimpin yang sekurang-kurangnya ada kefahaman asas tentang ekonomi dan untuk setidak-tidaknya memperbetulkan huru-hara ekonomi warisan Pak Lah. 'Habuk pun tarak' Kini setelah lima bajet, kita semakin faham, Najib lebih banyak menyembunyikan handicap kemampuannya dalam perancangan dan urus tadbir ekonomi negara di sebalik kata-kata dan tema berbunyi gah serta perkataan teknikal mengenai ekonomi yang boleh melopongkan mulut orang kampung. Walhal realitinyanya 'habuk pun tarak'. Bagi Bajet 2014 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat lalu, berlatarbelakangkan keterujaan rakyat yang kian memudar serta keyakinan semakin terhakis, Najib berdiri di hadapan dewan penuh dan membentangkan bajet tahun depan dengan disangkakannya disaksikan oleh seluruh rakyat Malaysia menerusi siaran langsung. Namun, besar kemungkinan Najib tidak menyedari zaman di mana rakyat begitu khusyuk mengikuti ayat demi ayat ucapan bajet telah lama berlalu. Malah kebanyakan mereka meneruskan apa juga tugas rutin masing-masing. Tidak kurang merasakan tidur lebih mendatangkan manfaat berbanding mengikuti ucapan bajet negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Najib membuka ucapannya dengan memetik sepotong ayat dari Surah A-Qasas. Tidak diketahui apakah matlamat dia berbuat demikian. Namun, tanpa mengulas atau menghuraikan maksud ayat dalam konteks bajet yang akan dibentangkan Najib memetik kata hikmah kononnya dari para pujangga. Sukar untuk memastikan pujangga mana dimaksudkan Najib atau apakah kata-kata tersebut hanyalah ciptaan beliau atau juga ciptaan penulis ucapannya. Sebaliknya apa yang pasti, setelah ucapan berakhir, sebagaimana biasa dari peruntukan perbelanjaan sebanyak RM262.2 bilion, hanya pecahan kecil sahaja yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat. Paling ketara adalah BRIM dan pemberian tunai lain serta perubahan kepada siling pendapatan individu yang mewajibkan cukai pendapatan di bayar. Pelepasan cukai Bagaimanapun, penurunan sedemikian dilihat sebagai tidaklah memberikan impak ketara kepada golongan berpendapatan antara RM4000 hingga barangkali RM7000 sebulan yang mana mewakili antara sektor pendapatan terbesar buruh Malaysia. Malah pelepasan cukai pendapatan bagi 300,000 orang yang berpendapatan kurang dari RM4000 sebulan juga dianggap hanya memberi kesan paling marginal kepada ekonomi mereka. Tidak sukar melihat bagaimana dana individu yang sepatutnya terselamat daripada membayar cukai berkanun ini akhirnya terpaksa juga digunakan dan ditambah lagi bagi menampung kenaikan harga barangan lain serta pengurangan subsidi bagi sesetengah barangan keperluan harian. Sedia terkandung dalam Bajet 2014 adalah pengurangan subsidi gula sebanyak RM0.34 kepada RM2.84 satu kilogram berkuatkuasa serta merta. Ini belum lagi mengambil kira cukai GST yang akan, menurut ucapan Najib, akan ditetapkan pada kadar 6 peratus bermula 1 April 2015. Walaupun menurut Najib dalam ucapan Bajetnya itu pelaksanaan GST akan menghapuskan Cukai Jualan (6 peratus) dan Cukai Perkhidmatan (10 peratus), tidak ada janji dan komitmen kerajaan tidak menaikkan cukai berkenaan dan tidak juga ada jaminan harga barangan dan perkhidmatan tidak dinaikkan. Benar, kerajaan berjanji tidak menaikkan dan mengenakan cukai GST kepada sesetengah barangan utama seperti minyak masak, rempah, ikan masin, beras, tepung gandum dan sebagainya. Namun, sekali lagi tidak ada jaminan sekiranya barangan tersebut tidak mengalami kenaikan harga. Ramai melihat sekiranya soal kenaikan harga adalah tidak berkaitan bagi barangan disebutkan itu, manfaat ekonomi yang boleh diterima oleh rakyat di peringkat individu bukan sahaja terlalu sedikit tetapi keperluan membayar cukai GST untuk barangan lain pada harga baru akan turut menjejaskan secara keseluruhannya. Tidak ada sesiapa di Malaysia menjalankan kehidupan dengan hanya beras, rempah dan ikan masin sahaja. Untungkan peniaga dan warga korporat Tanpa menyentuhkan persoalan kesukaran kerajaan memungut Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang dibayar terus oleh rakyat kepada peniaga tatkala pembelian dilakukan, rata-rata Bajet 2014, sebagaimana juga bajet tahun-tahun sudah, ia dilihat sebagai lebih banyak menguntungkan peniaga dan warga korporat. Turut disebut dalam ucapan bajet Najib ialah penurunan cukai korporat dari 25 kepada 24 peratus setahun. Turut sama meraih manfaat dari Bajet ini sudah tentulah gologan individu dan perniagaan dalam sektor pembangunan termasuk pembekal, kontraktor dan sesiapa sahaja yang mungkin terlibat sebagai orang tengah dan sebagainya. Untuk tahun fiskal 2014, kerajaan Najib memperuntukkan RM46.5 bilion untuk pembangunan, diterjemahkan sebagai pembinaan pelbagai infrastruktur, tidak kira sama ada bakal memberi manfaat kepada rakyat atau sebaliknya, atau sebagai pelaburan golongan tertentu dalam bentuk pungutan tol lebuh raya atau laluan pintas. Tanpa memberikan alasan jelas dan kukuh, Najib menganggarkan pertumbuhan ekonomi dalam negeri lebih kukuh bagi tahun fiskal berkenaan di antara 5.0 hingga 5.5 peratus. Namun, angka ini mungkin sedap di dengar oleh rakyat luar bandar yang tidak berapa terdedah kepada realiti ekonomi Malaysia sejak, mungkin sedekad lalu. Namun, bagi mereka yang lebih bermaklum, dalam keadaan kini, negara boleh dikira bernasib baik sekiranya mampu mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus. Barangan buatan atau dipasang di Malaysia dikatakan akan menikmati anjakan eksport pada kadar 2.5 peratus. Begitupun sebagai terbukti dalam bajet tahun sudah-sudah, unjuran ini lazimnya jauh dari sasaran berpunca sama ada dari kenanikan kos pengeluaran, perubahan iklim ekonomi global atau tercetusnya krisis ekonomi dan kewangan di negara pengimport. Dulupun kerajaan BN sentiasa menganggar kenaikan eksport dalam bajet tahunan tetapi akhirnya bukan sahaja ia tidak mencatatkan kenaikan malah mengalami pengucupan ketara. Sektor pembinaan juga dikatakan bakal menikmati kenaikan 9.6 peratus. Berasaskan harga bahan binaan yang diboleh dikatakan tidak sama sekali terkawal, dan dasar-mesra kerajaan kepada bank komersil dalam melayan mekanisme pinjaman perumahan ia sudah tentu mewujudkan suasana menang-menang kepada semua terlibat kecuali bebenan besar kepada pengguna apabila kadar faedah terpaksa dibayar jauh mengatasi harga pokok rumah dibeli.pendapatan perkapita naik? Keyakinan Najib bahawa pendapatan per kapita bagi 2014 bakal menyaksikan pencapaian RM34,146 berbanding RM24,879 pada 2009 juga disangsikan. Dalam keadaan pendapatan sebenar merosot akibat kenaikan pelbagai kos dan pengurangan pelbagai subsidi, tidak ramai rakyat Malaysia merasakan pendapatan mereka bertambah dari tahun ke tahun. Menurut Najib, bagi tahun fiskal 2014, kerajaan menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM224.1 bilion sementara sejumlah RM264.2 bilion bakal dibelanjakan. Jika anggaran hasil bertepatan seperti ramalan dan tiada rang-rang undang perbekalan tambahan dibentangkan sepanjang tahun 2014 (yang mana kemungkinannya amat kecil), bermakna Bajet 2014 mencatatkan defisit RM38.1 bilion. Terdapat pelbagai cara bagi menampung defist tersebut. Opsyen pertama adalah membuat pinjaman luar sama ada dengan cara pinjaman terus atau pengeluaran bon kerajaan. Opsyen kedua adalah menaikkan pelbagai cukai sedikit demi sedikit sepanjang tahun. Dan opsyen ketika ialah mengurangkan lagi subsidi minyak dan lain-lain barangan utama. Dalam ucapan bajetnya itu Najib tidak ketinggalan menyebut kemungkinan negara mencapai status negara maju pada 2020. Namun, berdasarkan pertumbuhan tahunan ekonomi lebih sedekad lalu yang jarang melepasi angka 6 peratus setahun, pelbagai defisit yang dicatatkan dalam tempoh tersebut, serta pengurusan dan urus-tadbir ekonomi yang menyaksikan nisbah hutang kepada KDNK menghampiri had dibenarkan undang-undang serta hutang isi rumah antara tertinggi di dunia, ramai pemerhati ekonomi menyangsikan sama ada negara atau rakyatnya boleh mencapai status tersebut. Tidak banyak keterujaan tentang Bajet 2010. Ia hanyalah sekadar ulangan kepada pemberitahuan awam mengenai bagaimana kerajaan mahu membelanjakan wang tanpa sebarang impak besar sama ada kepada ekonomi negara mahupun rakyat. Ia adalah filem lama yang ditayangkan semula. | |||
Bajet 2014 gagal imbangi hutang negara Posted: 27 Oct 2013 03:52 AM PDT
SHAH ALAM: Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri gagal mengimbangi had maksimum hutang negara di bawah 55 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mengurangkan defisit sebanyak 3 peratus pada 2015. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pendekatan yang diambil dalam Bajet 2014 untuk meningkatkan hasil negara melalui pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan menaikkan cukai hartanah (RPGT) tidak menepati kehendak perubahan sebenar bagi memastikan kecekapan perbelanjaan dan rasionalisasi untuk mengurangkan keborosan dan ketirisan. "Perbelanjaan operasi untuk kos rasionalisasi akan meningkat kepada 82.4 peratus pada 2014 daripada 80.2 peratus pada tahun ini," kata Abdul Khalid dalam kenyataan medianya. Abdul Khalid berkata, Selangor akan mengambil kesempatan ke atas langkah untuk memperkayakan sektor perkhidmatan melalui Blueprint Sektor Perkhidmatan apabila kerajaan persekutuan merancang untuk melancarkannya pada tahun 2014. Antara subsektor perkhidmatan untuk dipromosikan adalah logistik, penerbangan, pelancongan dan industri berasaskan bio. "Sebagai pusat pintu masuk ke Malaysia, Selangor akan memastikan pelbagai program dan aktiviti untuk meneroka peluang dalam industri pelancongan Malaysia dengan mensasarkan untuk menyambut 28 juta pelancong pada 2014 sempena Tahun Melawat Malaysia," kata Abdul Khalid. | |||
Warga asing maut ditikam, ditetak Posted: 27 Oct 2013 03:42 AM PDT Seorang warga asing mati dipercayai akibat ditikam dan ditetak menggunakan senjata tajam di hadapan perhentian bas di Kilometer 28.9 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam malam tadi. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata mangsa yang belum lagi dikenal pasti identitinya ditemui orang awam yang melalui tempat itu kira-kira 9.30 malam. "Lelaki itu ketika ditemui berada dalam keadaan parah dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, namun dia dilapor meninggal dunia di hospital," katanya kepada Bernama hari ini. Arjunaidi berkata pasukannya kini sedang berusaha untuk mengumpulkan bukti. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.- Bernama | |||
Jamil Khir kata bapanya hanya amin doa Posted: 27 Oct 2013 03:41 AM PDT Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menafikan dakwaan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar bahawa bapanya Baharom Ramli mahu PAS menang dalam pilihan raya kecil Sungai Limau. Katanya, bapanya tidak menyatakan sedemikian dan hanya mengaminkan doa ketika kunjungan Mahfuz dan calon PAS Mohd Azam Abd Samat, ke rumah tersebut di Kampung Sedaka, Kedah. Jamil Khir mendakwa, tindakan pemimpin parti terbabit tidak mengikut adab kerana membaca doa untuk PAS semasa menziarah. "Itu Mahfuz yang kata, tak ada pun Haji Baharom sebut begitu," katanya yang menyifatkan dakwaan PAS sebagai "mainan politik yang sangat rendah". Menurutnya, tindakan PAS itu menyebabkan bapanya, 77, yang lumpuh akibat serangan angin ahmar sejak tiga tahun lalu kini dalam keadaan tertekan. "Bapa saya pun ada sebut dia tertekan dari sudut moral. Bila orang ziarah orang baca doa, dia pun tak tahu apa orang itu hendak sebut dia tolong aminkan saja. "Bila begitu dia (PAS) kata bapa saya baca doa (untuk PAS) pula... Ada ke pergi rumah orang pi bagi kenyataan media di pintu rumah orang. Adab pun dah tak betul," katanya lagi. Ditanya lanjut, Jamil Khir bagaimanapun enggan mengesahkan mengenai keanggotaan bapanya dalam PAS dan hanya menyatakan bahawa ia satu dakwaan Mahfuz. Harakahdaily pada hari Jumaat lalu melaporkan kenyataan Mahfuz bahawa Baharom, mendoakan agar PAS terus menang di Sungai Limau dan berhasrat untuk bertemu timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu. | |||
Ibrahim: Gerakan patut bubar, sertai MCA Posted: 27 Oct 2013 03:38 AM PDT Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata parti parti Gerakan perlu berhenti menyalahkan kumpulan pro-Melayu tersebut atas kegagalan mereka untuk meraih sokongan. Sebaliknya, parti tersebut perlu dibubarkan dan anggotanya harus menyertai MCA untuk mendapatkan sokoongan orang Cina, katanya. Tambahan lagi, Gerakan sememanganya parti serpihan MCA, katanya Ibrahim lagi dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini. Beliau berkata demikian bagi membidas kenyataan presiden sementara Gerakan, Chang Ko Youn yang menyifatkan kumpulan berhaluan kanan tersebut sebagai ekstremis yang tidak mendapat sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Tambahnya Gerakan tidak sepatutnya menyalahkan PERKASA atas kegagalan parti tersebut. Ibrahim berkata, PERKASA ditubuhkan selepas pilihan raya umum ke-13 apabula Gerakan sudahpun tewas di Pulau Pinang, sepertimana parti komponen MCA yang turut kehilangan banyak kerusi. | |||
Perwakilan mahu Gerakan tinggalkan BN Posted: 27 Oct 2013 03:32 AM PDT
KUALA LUMPUR: Ekoran kekalahan teruk dalam pilihan raya umum ke-13, beberapa perwakilan di persidangan perwakilan nasional Gerakan hari ini mempersoalkan hubungan parti itu dengan rakan komponen Umno dan ada juga yang menggesa parti itu supaya meninggalkan BN, lapor Malaysiakini. Anggota perwakilan dari Johor, Tan Lai Soon merasakan Gerakan tidak diberi penghormatan sepatutnya sebagai rakan dalam BN. "Kita tidak boleh lagi memberi alasan - bahawa jika kita diberi jawatan (dalam kerajaan), maka Umno melayan kita dengan baik. Ini tidak boleh diterima. "Adakah resolusi Gerakan sedang dikaji dan diambil kira oleh kerajaan yang diterajui Umno untuk dilaksanakan sebagai dasar negara? Saya rasa tidak," tegasnya. Jadi, tegas Tan, apa gunanya setiap tahun di mesyuarat agung tahunan, resolusi yang baik dan munasabah, selepas dicadangkan dan diluluskan, tidak diendahkan oleh kerajaan. Selain itu katanya, apabila MCA memutuskan untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan walaupun Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin telah memperuntukkan dua jawatan untuk MCA, maka tanggapannya salah satu daripada jawatan itu akan diberikan kepada Gerakan. Bagaimanapun ia tidak menjadi kenyataan dan sebaliknya, Adun MCA Pulai Sebatang, Tee Siew Kiong dilantik ke jawatan itu, manakala Adun tunggal Gerakan di negeri ini, Lau Chin Hoon, tidak diberi sebarang jawatan . Menteri besar Johor, tegas Tan, telah berkata 'tidak' kepada Gerakan dan Tan mendakwa Umno tidak pernah bekerja bersama-sama dengan Gerakan. Oleh itu tegasnya, apabila mereka mengatakan tidak kepada Gerakan, maka mengapa parti itu masih mahu menyokong mereka secara membuta tuli. Tan berkata, apabila Gerakan menyertai Perikatan untuk membentuk BN pada tahun 1974, parti itu membantu mengukuhkan kuasa parti pemerintah, namun kini perkara itu telah dilupakan. Ketika ditemui selepas ucapannya, Tan menegaskan tidak ada sebab untuk Gerakan terus kekal dalam BN jika ia tidak dilayan sebagai rakan kongsi yang saksama. Menurut Tan, ramai pemimpin akar umbi parti itu berkongsi pandangan beliau. | |||
Orang tua berkenan dengan Azam macam cucu mereka Posted: 27 Oct 2013 03:30 AM PDT
JERAI: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau Mohd Azam Abd Samat bukan sahaja disenangi anak muda malah turut disukai orang tua. Lahir dalam keluarga yang mempunyai latar belakang agama yang kuat dan berdarah pendidik merupakan kelebihan yang dimiliki Azam. Perkara tersebut terpamer sewaktu Azam hadir meraikan sambutan Hari Warga Emas di Batu 15, dekat sini semalam yang dihadiri 500 warga emas. Ketika Azam menyantuni hadirin di hadapan pentas, terdengar seorang lelaki 60-an di belakang memberitahu kawan di sebelahnya bahawa dia mengenali Azam sejak Azam kecil dan rapat dengan datuk Azam. "Saya kenal dia ni (Azam), dulu waktu kecil-kecil selalu ikut tok wan (datuk) mai (datang) rumah. Kalau yang ini jadi calon, elok sangatlah," katanya. Sementara itu, Azam dalam ucapannya berkata, jika pengundi Sungai Limau memberi peluang kepadanya untuk menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut, beliau akan cuba sedaya upaya berbakti kepada masyarakat, seperti yang dilakukan bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Razak. "Terpilihnya saya sebagai calon, mungkin Allah mahu buka ruang yang lebih untuk saya berbakti kepada masyarakat dengan lebih luas. "Saya berharap Allah beri kekuatan untuk saya berbakti di Dun Sungai Limau ini tanpa membezakan fahaman politik seperti yang dibawa ulama terdahulu. "Saya mengharapkan dan merayu ibu, bapa, tok wan, tok sekalian supaya dapat mengekalkan kemenangan PAS di Sungai Limau," katanya yang tidak lekang dengan senyuman. Pada program semalam juga, seramai empat orang warga tua diraikan hari jadi mereka dengan acara memotong kek. Azam sendiri sempat menyuapkan kek kepada beberapa warga tua pada program tersebut. Dalam pada itu, Pengarah PRK Sungai Limau Datuk Mahfuz Omar yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah pada sidang media hari ini berkata, rata-rata pengundi warga emas yang ditemui menyokong Azam sebagai calon PAS. Katanya, setakat ini pengundi Sungai Limau memberikan sambutan yang baik terhadap kempen PAS. "Kempen setakat hari ini cukup baik dan saya sangat gembira dengan sambutan yang diberikan pengundi di Dun Sungai Limau. "Ada tempat yang duku kita tak boleh masuk sekarang boleh masuk dan ini perkembangan yang cukup membanggakan. "Orang tua cukup berkenan dengan Ustaz Azam ini macam anak cucu mereka sebab mereka pernah mengaji dengan tok dia, dengan tok wan dia. "Anak muda pun gembira dengan calon yang memenuhi cita rasa mereka," katanya. Datuk Azam, Hamid Ibrahim pernah bertanding di Dun Sungai Limau yang dahulunya dikenali dengan Dun Sala pada Pilihan Raya Umum tahun 1959. Azam merupakan anak didik politik kepada bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak. Beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar dan kini menjawat jawatan Pengarah Jabatan PASTI negeri dan juga Exco Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK). | |||
Tolak syariah umpama nafi kebijaksanaan Allah Posted: 27 Oct 2013 03:21 AM PDT
PENGKALAN CHEPA: Menolak undang-undang syariah sama seperti menafikan kebijaksanaan Allah SWT selaku pentadbir alam ini, tegas Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob. Menurut beliau, sekiranya umat Islam berani mengkritik undang-undang syariah sebagai 'ketinggalan zaman', mereka bukan sahaja mencabar kebijaksanaan Allah SWT malah boleh menjejaskan akidah sebagai seorang muslim. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Amal Ma'aruf Nahi Mungkar peringkat kebangsaan yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), dekat sini, pagi tadi. Hampir 2,000 orang hadir pada program yang dianjurkan Kerajaan Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) dan Sukarelawan Pendidikan Rakyat (Kawan). Ustaz Ahmad menambah, sekiranya warganegara yang berani mengkritik undang-undang negaranya sendiri boleh dianggap sebagai menghina, maka lebih besar kesalahannya jika orang Islam berani mengkritik undang-undang Allah. "Dengan peningkatan gejala sosial yang menimpa negara ini yang begitu menakutkan, peranan hudud wajib diambil kira. "Persoalannya kenapakah undang-undang yang ada tidak mampu membendung masaalah sosial, tidak lain kerana undang-undang yang ada tidak mampu untuk menyelesaikannya berbanding undang-undang Allah untuk pencegahan dan pendidikan," ujarnya. Sehubungan itu, katanya Kerajaan Kelantan tidak pernah berputus asa untuk melaksanakan hukum syariah di negeri itu. "Dengan ini saya menyeru kepada semua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan agar sama-sama bertanggungjawab meningkatkan kualiti iman di kalangan rakyat," ujarnya. Menurutnya, usaha perlu perlu digandingkan untuk menyeru kebaikan, mencegah kemungkaran dengan pendekatan masing-masing. Turut berucap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau negeri, Ustaz Datuk Mohd Nassuruddin Daud. Hadir sama bekas Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Adun Chempaka, para anggota Exco, Adun, pemimpin PAS pelbagai peringkat dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara. Konvensyen dianjurkan sempena majlis sambutan 'Hari Hududullah Negeri Kelantan' dan berlangsung selama dua hari bermula hari ini. | |||
Najib wajar nasihati Muhyiddin untuk beradab Posted: 27 Oct 2013 03:18 AM PDT
JERAI: PAS menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menasihati Timbalannya supaya tahu adab dan sopan masyarakat di Dun Sungai Limau. Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, dalam masa Umno BN berazam untuk bercakap politik harmoni di Sungai Limau, malangnya Tan Sri Muhyiddin Yassin pula 'menghina' pengundi di sini. "Beliau (Muhyiddin) kena sedar hubungan kehidupan Allahyarham Tan Sri Azizan dengan rakyat Sungai Limau umpama satu keluarga. "Minta beliau tahu budaya dan adab susila dan budi bahasa orang Kedah khususnya di Sungai Limau," katanya kepada media di Markaz Induk PAS PRK Sungai Limau. Mahfuz melahirkan kekesalan dengan kenyataan Muhyiddin yang cuba mengaitkan Allahyarham dengan pertahankan kenaikan harga gula semalam. Namun, Mahfuz menghargai sikap ikhlas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hassan Malek yang mengakui kenaikan harga gula itu untuk mengurangkan bebanan kerajaan. "Alasan menteri itu lagi ikhlas, dan inilah motif utama memansuhkan subsidi gula, bukannya untuk menggurangkan penyakit kencing manis,"katanya. Malah Mahfuz difahamkan ketika mengeluarkan kenyataan tidak beradab itu Muhyiddin dikatakan 'gelak-gelak dan main-main'. "Saya cukup sedih, bagaimana kamu atau anak, isteri yang baru kehilangan orang yang tersayang tiba-tiba...," ujar Mahfuz dengan nada sedih. Justeru katanya, apa yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri sudah tentu Perdana Menteri turut menerima tempiasnya. Semalam, Muhyiddin dalam majlis pertemuannya bersama guru dan ibubapa pelajar sekolah sekitar Yan dan Kuala Muda pagi tadi mempertahankan pengurangan subsidi gula sebanyak 34 sen yang diumumkan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2014 semalam dan berkuatkuasa semalam. Jelas Muhyiddin ia dilakukan untuk manfaat orang ramai dan hadirin yang hadir perlu mengambil iktibar daripada penyakit kencing manis yang dideritai allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak. | |||
RM8.8 Bilion Untuk Polis Tak Mampu Bendung Jenayah Berbanding Hudud Posted: 26 Oct 2013 09:20 PM PDT KELAB GREENBOC Dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di seluruh negara, kerajaan memperuntukkan RM8.8 bilion kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Bajet 2014. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata peruntukan itu menunjukkan keutamaan kerajaan terhadap keselamatan dan ketenteraman awam selain komited dalam membanteras jenayah. Dalam membanteras jenayah, kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi melengkapkan PDRM dengan senjata api, jaket kalis peluru, alat pengesan narkotik, sistem biometrik dan kenderaan forensik. "Kerajaan juga akan menambah 496 bilangan kamera litar tertutup (CCTV) di 25 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan peruntukan RM20 juta," katanya ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat hari ini. Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan akan menambah 200 buah motosikal lagi untuk Unit Rondaan Bermotosikal PDRM tahun depan menjadikannya 2,000 buah motosikal dalam tempoh dua tahun. "Tahun ini, kerajaan bersetuju menambah 800 buah motosikal dengan peruntukan RM200 juta," katanya. Perdana Menteri berkata bagi memperkasa perkhidmatan PDRM, kerajaan akan membina dan menaik taraf ibu pejabat polis, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kuarters kakitangan dengan peruntukan RM128 juta. Peruntukan itu termasuk pembinaan IPD baharu di Pasir Mas (Kelantan), Kota Setar (Kedah), Johor Baharu Selatan (Johor), Sipitang (Sabah), Nusajaya (Johor) selain pembinaan balai baharu di Pengerang (Johor), Tongod (Sabah) dan Country Homes Rawang (Selangor). – Bernama ULASAN GB Berapa banyak pun peruntukan disalurkan untuk PDRM, ia tidak dapat membendung gejala jenayah yang berluluasa berbanding dengan hukum hudud yang ditentang oleh kerajaan UMNO BN. Malah peruntukan berbilion-bilion itu akan meningkatkan lagi jenayah ketirisan dan penyelewengan seperti kes yang berlaku di dalam Kementerian Pertahanan di dalam skandal Scorpene. Apa sebenarnya agenda Najib menaikkan peruntukan untuk PDRM? | |||
Kuil Hindu RM10j jadi tarikan Bandar Diraja Klang Posted: 26 Oct 2013 09:05 PM PDT Bandar Diraja Klang akan mempunyai ikon pelancongan baharu apabila sebuah kuil Hindu berharga RM10 juta membuka pintunya kepada penganut agama itu dan pelancong menjelang pertengahan 2015. Presiden Kuil Sri Sundararaja Perumal Klang S Anandakrishnan berkata kuil berkenaan, yang sedang dibina semula, merupakan kuil granit pertama di negara ini dan berpotensi untuk dimajukan sebagai ikon pelancongan bertaraf antarabangsa. "Apabila kuil granit ini siap, perbincangan akan diadakan dengan Kementerian Pelancongan untuk memasukkkannya ke dalam kalendar pelancongan mereka sebagai tempat istimewa untuk kunjungan pelancong. "Kami percaya kuil ini berpotensi menjadi daya tarikan pelancong dan mercu tanda menarik di Bandar Diraja Klang, yang boleh menarik ketibaan pelancong asing ke negara ini," katanya kepada Bernama. Pembinaan kuil granit sepenuhnya yang disifatkan sebagai 'Thirupathi Asia Tenggara' ini menggunakan khidmat 50 pengukir batu serta keluarga mereka di Kanchipuram, 60km dari Chennai, India, untuk kerja menghasilkan ukiran. Anandakrishnan berkata struktur granit kuil ini mengguna pakai secara terperinci formula reka bentuk yang menjadi amalan pembina kuil di selatan India sejak beribu-ribu tahun lepas. "Penggunaan granit dipercayai membolehkan gegaran mantra yang dibaca bergema dengan lebih kuat," katanya sambil menambah bahawa pentahbisan kuil ini akan diadakan pada 9 Jun 2015. Pada 2006, kuil ini dianugerahi persijilan ISO 9001:2000 kerana sumbangan berterusannya dalam bidang agama, budaya dan khidmat sosial kepada masyarakat Hindu.- Bernama | |||
Presiden Gerakan akui kelemahan parti Posted: 26 Oct 2013 09:03 PM PDT Presiden Gerakan yang baharu Datuk Mah Siew Keong berkata beliau akan segera memulihkan parti. Beliau berkata pemegang jawatan parti yang baharu dipilih perlu segera bekerja termasuk memperkukuh perpaduan di kalangan anggota. Dalam reaksi segera beliau sebaik keputusan pemilihan parti diumumkan, beliau berkata parti berusia 45 tahun itu menghadapi lebih banyak cabaran berbanding sebelum ini terutama ekoran prestasi lemahnya dalam dua pilihan raya umum lalu. "Ia bukan tugas mudah. Tetapi saya fikir jika kita bekerja bersama sebagai satu pasukan, kita boleh menaikkan semula parti. Terdapat banyak perkara yang perlu kita buat. Selepas dua kekalahan, kita mengaku kita mempunyai kelemahan (untuk diatasi)," katanya kepada pemberita. Beliau terpilih sebagai presiden setelah menewaskan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Chang Yeow dengan majoriti 509 undi. Bekas setiausaha agung Gerakan ini memperoleh 1,086 undi sementara Teng mendapat 577 undi. Mah berkata beliau akan melantik Teng sebagai anggota jawatankuasa pusat parti bagi membolehkan Teng memainkan peranan lebih besar dalam politik nasional. "Beliau (Teng) telah bersetuju bahawa kami bekerjasama untuk memastikan Pulau Pinang memberi keputusan baik di pusingan (pilihan raya umum) seterusnya," katanya. Ditanya sama ada beliau akan melaksana manifesto mengehadkan penggal presiden kepada maksimum dua tahun, beliau berkata perkara itu perlu mendapat kelulusan badan pembuat dasar parti. Mengenai isu lain, beliau melahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan percaya Gerakan masih mempuyai peranan untuk dimainkan dalam Barisan Nasional. Teng pula berkata beliau menerima keputusan pemilihan itu demi perpaduan Gerakan. "Ia masanya untuk bersatu. Apabila kita menang, jangan terlalu gembira, bila kalah, jangan terlalu sedih," katanya. Persidangan perwakilan itu meluluskan 15 deklarasi yang bertujuan memulihkan parti selari dengan slogan parti 'Cara baharu, Harapan baharu dan Gerakan baharu'. Ia antara lain mahu amalan kesederhanaan diteruskan, meminta semua parti politik berhenti bermain api perkauman dan agama serta menegakkan semangat Rukun Negara serta Perlembagaan Persekutuan. Gerakan juga menggesa pihak polis menguatkuasakan undang-undang secara adil dan menghukum pertubuhan atau individu yang mengancam keamanan, keharmonian dan kestabilan negara bagi mengembali keyakinan rakyat kepada pasukan itu.- Bernama | |||
3 ditahan kes tembak pegawai Ambank Posted: 26 Oct 2013 08:56 PM PDT MALAYSIA CHRONICLE | |||
Limpahan Empangan: JPS Rancang Bina Tambak Konkrit Sungai Bertam Posted: 26 Oct 2013 08:51 PM PDT CAMERON HIGHLANDS: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS ) merancang untuk memasang tambak Sungai Bertam menggunakan dinding konkrit. Pengarah JPS Pahang, Datuk Zulkefli Hassan berkata, pihaknya merancang untuk menggunakan peruntukan RM40 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membina dinding, dan juga boleh memastikan aliran air lebih baik. "Kami akan menyediakan reka bentuk untuk pembinaan dinding itu. Diharapkan, kita boleh memulakan kerja menjelang pertengahan tahun depan," katanya kepada pemberita semasa lawatan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai ke lokasi berkenaan pada Sabtu. "Kami merancang untuk membina dinding di kedua-dua belah tambak sepanjang laluan sungai 3 kilometer," katanya. Sementara itu, Liow mengkritik TNB kerana tidak memaklumkan lebih awal kepada rakyat mengenai air empangan yang akan dilepaskan. "Dikesali kerana ada yang terbunuh dan banyak harta benda rosak semasa kejadian itu. "Mereka sepatutnya memaklumkan kepada rakyat lebih awal dan tidak notis pada masa singkat," kata beliau. "Rakyat tidak bersedia untuk berkemas dan meninggalkan kawasan itu," katanya, dengan harapan bahawa sungai itu boleh dibersihkan dan dibaik pulih dalam tempoh sebulan. | |||
Suspek Tembak Pegawai Bank Dipercayai Masih Berada Dalam Negara - Timbalan KPN Posted: 26 Oct 2013 08:50 PM PDT MSTAR ONLINE KUALA LUMPUR: Suspek yang menembak mati pegawai wanita Ambank dalam kes rompak dan bunuh di cawangan bank itu di USJ Sentral 2, Subang Jaya Rabu lepas dipercayai masih berada dalam negara, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin. Beliau berkata, pihaknya telah menubuhkan pasukan petugas khas yang berpusat di Selangor untuk menjejaki suspek. "Task force ini juga dibantu oleh jabatan lain di Bukit Aman dan kita akan pastikan perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas upacara perbarisan tamat latihan Kursus Asas Kadet Inspektor Siri 1/2013 di Pusat Latihan Polis di sini, Sabtu. Dalam kejadian itu Norazita Abu Talib, 37, ditembak di muka oleh seorang pengawal keselamatan bank itu selepas mangsa membuka pintu bilik kebal bank itu. Pada Jumaat, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita yang dipercayai isteri pengawal keselamatan tersebut dan menemui semula lebih 20,000 yang dipercayai antara jumlah keseluruhan wang rompakan RM450,000 yang dilarikan suspek. Bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang, Mohd Bakri berkata, polis akan membantu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan proses penapisan ke atas pengawal keselamatan di setiap syarikat kawalan keselamatan. "Kita akan beri bantuan kepada KDN untuk memastikan saringan pemeriksaan saringan kepada anggota keselamatan dilakukan kerana mereka menggunakan senjata api dan kita utamakan firma keselamatan yang terbabit dalam kes tembak baru-baru ini," katanya. Mengulas pula kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) N. Surendran yang mahu membela pengawal keselamatan tersebut, beliau menyifatkan wakil rakyat parti pembangkang itu mengeluarkan kenyataan bodoh. "Bagi saya, ini kenyataan bodoh. Tiada apa yang boleh saya komen. Suruh dia ikut kita dan rasa bagaimana perasaan seorang anggota polis melaksanakan tugas dan tanggunjawab dalam operasi tertentu yang mengakibatkanmereka ini terdedah kepada ancaman peluru dan sebagainya sebelum membuat keputusan itu," katanya. Mengulas peruntukan RM8.8 bilion yang diperuntukkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Bajet 2014, Mohd Bakri berkata langkah itu akan memberi impak besar kepada PDRM dari segi menambah baik prasarana dan aset ke arah meningkatkan tahap perkhidmatan polis kepada masyarakat. Katanya, peruntukan itu meliputi RM200 juta bagi kelengkapan seperti senjata api, jaket kalis peluru, alat pengesan narkotik, sistem biometrik dan kenderaan forensik. Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2014 mengumumkan peruntukan tersebut kepada PDRM dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di seluruh negara. - BERNAMA | |||
90 Peratus Muka Baharu Terajui Ketua Puteri Umno Negeri - Mas Ermieyanti Posted: 26 Oct 2013 08:44 PM PDT MSTAR ONLINE MELAKA: Pergerakan Puteri Umno akan melantik 90 peratus muka baharu untuk jawatan Ketua Puteri Umno Negeri, kata ketua pergerakan itu, Mas Ermieyanti Samsudin. Beliau berkata, ini berikutan hampir kesemua calon yang memenangi jawatan Ketua Puteri di peringkat bahagian pada pemilihan Umno baru-baru ini terdiri daripada muka baharu. Katanya, hanya dua Ketua Puteri negeri iaitu Norasimah Md Nowar di Kedah danNorwahida Patuan (Kelantan) mengekalkan jawatan Ketua Puteri di peringkat bahagian masing-masing. Mas Ermieyanti berkata, beliau kini sedang dalam proses bertemu Pengerusi Badan Perhubungan Umno di setiap negeri bagi berbincang dan mengenal pasti calon terbaik menerajui pergerakan itu di negeri masing-masing. "Kedah dan Kelantan saya belum bincang (dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno), saya tak pasti (mengekal kepimpinan atau muka baharu)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kokurikulum Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah di sini, Sabtu. Mas Ermieyanti berkata pada masa ini, pergerakan itu memberikan tumpuan penuh bagi membantu kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Sohaimi Lazim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, 4 November ini. - BERNAMA | |||
Posted: 26 Oct 2013 08:43 PM PDT Abby Abadi Dakwa Umno Punca Dunia Hiburan Sesat YAN: Penyanyi dan pelakon, Abby Abadi yang kini menyertai pembangkang mendakwa Umno bertanggungjawab menjadikan golongan selebriti di Malaysia mengabaikan tanggungjawab sebagai umat Islam. Menerusi ceramah sempena kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Abby dengan lantang menyalahkan Umno kerana membiarkan gejala maksiat berleluasa dalam industri hiburan tanahair. "Dulu saya berlakon tak berfikir sangat tentang dosa dan pahala. Tak apa bila suami orang buat suami kita, suami kita pula orang lain boleh buat macam suami sendiri. "Dalam dunia hiburan, kita dipisahkan oleh Islam. Kita hanya berurusan tentang duit. Ini berlaku dalam dunia hiburan di Malaysia dan kita boleh tengok sendiri. Di Malaysia kita dididik oleh Umno dan BN (Barisan Nasional) bahawa maksiat nampak macam benda biasa," katanya ketika berceramah di Kampung Dulang Kecil di sini, Sabtu malam. Abby yang kini menjadi ahli PAS seumur hidup tampil membantu kempen calon parti itu, Mohd Azam Abdul Samat yang berhadapan saingan satu lawan satu menentang wakil BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim pada PRK DUN Sungai Limau yang akan diadakan pada 4 November depan. Selain itu Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan menyeru pengundi DUN Sungai Limau supaya tidak memberi undi kepada calon BN kerana menurutnya adalah berdosa jika memilih parti kerajaan yang ditunjangi Umno. "Dulu saya tak pernah mengundi, kali ini (PRU-13) baru saya mengundi PAS. Jadi dulu saya tak mengundi Umno maka tidaklah berdosa sangat. "Kalau kita salah pilih kerajaan...berdosa. Kalau dia (kerajaan) buat pelik-pelik turut berdosa sebab kita sokong dia," katanya. | |||
Umno Sentiasa Bersedia Bersatu Dengan PAS - Muhyiddin Posted: 26 Oct 2013 08:40 PM PDT YAN: Umno masih terbuka berhubung cadangannya untuk bersatu dengan PAS. Dalam lawatan pilihan raya ke Sungai Limau, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu selama-lamanya bersedia untuk bersatu dengan PAS. Muhyiddin berkata, selain perbezaan ideologi politik kedua-dua pihak, PAS dan Umno mengamalkan prinsip-prinsip Islam yang sama. "Kami mahu melihat masyarakat Islam bersatu," katanya, dengan mengaitkan perpecahan di kalangan umat Islam di dunia Arab telah membawa kepada konflik berterusan dan perang saudara. Bercakap pada perhimpunan dengan imam, guru agama sekolah dan penduduk di SK Sungai Dedap di sini pada Sabtu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM118,000 kepada 22 pusat Kafa (Kelas Agama Fardhu Ain), Persatuan Guru Kafa Yan, Persatuan Guru Takmir Yan dan Persatuan pegawai Masjid Yan. Terdahulu pada majlis lain, beliau berkata 12 buah sekolah di Sungai Limau akan diperuntukkan sebanyak RM1.4 juta. "Kita tidak memberikan ini untuk mendapatkan sokongan (untuk Barisan Nasional). Kami menghormati pandangan dan pendirian yang diambil oleh tokoh-tokoh agama masing-masing. "Tetapi marilah kita sama-sama bekerja dalam satu pasukan untuk membina asas agama yang kukuh untuk masa depan yang lebih baik," katanya, sambil menambah beberapa orang telah menasihatkan beliau supaya tidak berkempen di Sungai Limau kerana ia merupakan kubu kuat PAS. "Sebelum ini mereka juga kata bahawa PAS kuat di Kedah tetapi tetap kalah di negeri ini," katanya, sambil menyeru pengundi Sungai Limau memberi calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim peluang. | |||
DAP terus bantah GST, kecam belanjawan kerajaan tidak realistik Posted: 26 Oct 2013 08:39 PM PDT KUALA LUMPUR: DAP mengecam Belanjawan 2014 kerajaan yang dilihat longgar daripada pelbagai aspek dan tidak mempunyai langkah efektif untuk membantu rakyat. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, walaupun beliau berbesar hati dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Belanjawan 2014 itu untuk menambah peruntukan kepada keselamatan, namun tidak ada sebarang langkah khusus untuk mengatasi masalah rasuah yang berleluasa. Beliau juga menyelar tindakan kerajaan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akhirnya akan menyusahkan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan miskin. "Malaysia seperti yang kita ketahui dilabel sebagai juara dunia dalam rasuah oleh media barat dan Transparency International, persoalannya kini mengapa tidak ada inisiatif baru ke arah membendung perkara itu. "Saya mengalu-alukan peruntukan yang lebih untuk keselamatan, tetapi berharap ia akan digunakan dengan betul. "Kita tidak mahu lagi mendengar sebarang kecuaian tidak masuk akal seperti kehilangan senjata di mana-mana dan kemudian tidak mempunyai rasa tanggungjawab untuk menyelesaikannya. "GST pula akan membebankan golongan pertengahan dan miskin negara. Di Malaysia, hanya enam peratus penduduk membayar cukai dan hanya 15 peratus daripada pekerja yang bayar cukai. Sekarang semua kena bayar cukai," katanya ketika ditemui di Parlimen. Ahli Parlimen DAP Bagan itu juga berkata, pelaksanaan GST jelas menunjukkan kerajaan tidak pernah berlaku adil kepada rakyat malah cuba untuk menyukarkan lagi kehidupan mereka. "Mereka bukan sahaja melaksanakan GST mulai April 2015, tapi turut menghapuskan subsidi gula. Pada saya ini bukannya langkah sesuai untuk berjimat," tegasnya. Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong pula menegaskan, GST sebenarnya tidak membantu ekonomi negara tapi akan membawa bencana pada ekonomi. "Belanjawan 2014 ini ternyata tidak mempunyai idea baru tetapi hanya meneruskan model ekonomi yang diamalkan BN sejak dulu. "Apa yang baru ialah GST, ia sebenarnya tidak membantu ekonomi kita secara keseluruhan, ia akan mengakibatkan kemelesetan ekonomi. "Apabila golongan berpendapatan rendah tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli ia akan menyebabkan berlaku 'domestic consumption' lebih rendah dan dengan itu akan menyebabkan kemelesetan," ujarnya yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan. Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke Siew Fook pula menganggap pelaksanaan GST sama sekali tidak diperlukan di Malaysia. "Saya sudah menjangkakan GST akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2014, iaitu selepas Pilihan Raya Umum ke-13, jika mereka melakukan sebelum PRU-13 ia akan membawa masalah kepada mereka, jadi mereka melaksanakan sekarang. "Kami sudah berkali-kali menentang GST ini, ia sama sekali tidak diperlukan. Walaupun mereka meningkatkan kutipan hasil tetapi perbelanjaan tetap terus naik. | |||
Isu tanah: Kementerian tak peduli Dong Zong Posted: 26 Oct 2013 05:43 PM PDT KUALA KANGSAR - Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pihaknya hanya akan mengambil kira keputusan lembaga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Woo di ibu negara berhubung pengambilalihan tanah milik kerajaan dalam kawasan sekolah itu. Beliau berkata, walaupun Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) membantah pengambilalihan tanah itu, ia tidak memberikan sebarang impak. "Hanya yang diputuskan oleh anggota lembaga Sekolah Chin Woo yang saya ambil kira, kalau anggota lembaga setuju, saya setuju, kalau Dong Zong saya tak peduli," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Membaca 1Malaysia di sini hari ini. Mohamed Nazri turut menyifatkan Dong Zong sebagai pengacau terhadap segala usaha yang kerajaan lakukan untuk membantu rakyat berbilang kaum di negara ini. Kementerian berhasrat mengambil tanah milik kerajaan seluas 0.13 hektar itu yang terletak dalam kawasan sekolah itu di Pudu, Kuala Lumpur, bagi membina Kampung Budaya menerusi projek Kota Warisan Kuala Lumpur. Bagaimanapun keputusan itu mendapat bantahan daripada pelbagai pihak terutama ibu bapa kerana tanah berkenaan diguna sebagai gelanggang bola keranjang sekolah itu sejak 1938. Mengenai karnival membaca itu, beliau berkata setiap rakyat Malaysia disasar membaca 20 buah buku tahun ini. "Rakyat negara lain membaca sekurang-kurangnya 20 buah buku setahun sehinggakan kita dapat melihat mereka membaca di mana sahaja. Apa pun saya percaya, Malaysia juga mampu mencapai tahap tersebut berdasarkan kepada usaha-usaha galakan berterusan yang dijalankan oleh kerajaan dengan kerjasama pelbagai pihak," katanya. Katanya berdasarkan kajian dijalankan Perpustakaan Negara Malaysia pada 2010, jumlah buku dibaca setiap rakyat Malaysia meningkat kepada lapan hingga 12 buku setahun berbanding dua buah buku pada 2005. - Bernama | |||
Posted: 26 Oct 2013 05:39 PM PDT Barangan makanan asas terselamat daripada GST yang akan dilaksanakan mulai April 2015. -Foto Bernama. KHABAR yang bertiup kencang beberapa bulan lalu bahawa kerajaan akan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dalam tempoh terdekat, ternyata menjadi kenyataan, kelmarin. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat kelmarin telah mengumumkan GST yang akan dilaksanakan mulai April 2015. Pengumuman itu dibuat saat pemimpin pembangkang lantang berhujah bahawa GST hanya akan membebankan rakyat dan menindas golongan berpendapatan rendah. Malah, di luar Parlimen kelmarin turut berlangsung demonstrasi bagi membantah pelaksanaan GST oleh kerajaan. Namun, pemimpin utama negara itu tetap tenang mengumumkan hasrat kerajaan untuk melaksanakan cukai baharu yang diberi nama GST bermula April 2015. Najib berhujah, kerajaan sudah mengkaji sedalam-dalamnya dan memutuskan bahawa 2015 adalah masa paling sesuai untuk GST dilaksanakan di negara ini. Katanya, pelaksanaannya didorong oleh kedudukan inflasi yang rendah serta terkawal selain menangani kelemahan dalam sistem percukaian. Pelaksanaan GST bagaimanapun katanya, tidak akan melibatkan barang keperluan asas seperti gula, garam, minyak masak, kacang dhal, rempah ratus, ikan masin, belacan serta budu. Malah, Najib berkata, kerajaan akan memberi pelbagai bantuan sokongan ketika peringkat peralihan. Beliau, yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan sokongan itu termasuk pertama, pembayaran sekali RM300 kepada penerima isi rumah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kedua adalah kadar cukai pendapatan individu dikurangkan satu hingga tiga mata peratusan. Ketiga, katanya, struktur cukai pendapatan individu akan disusun semula bagi menjadikan negara lebih kompetitif di samping mengekal dan menarik bakat negara. GST ini akan menggantikan cukai jualan (umumnya 10 peratus) dan cukai perkhidmatan (enam peratus) yang bermula masing-masing pada tahun 1972 dan 1975 lagi. Berbeza dengan BN, PR yang membentangkan Bajet Alternatifnya sehari sebelumnya pula berpendirian, GST perlu ditangguhkan sehingga tiba masa yang sesuai kelak. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata, GST boleh dilaksanakan apabila pendapatan minimum isi rumah mencapai satu tahap yang dikira sesuai untuk menyerap sebarang kesan terhadap kuasa beli cukai tersebut. Anwar juga berkata, pelepasan cukai juga perlu diberikan kepada golongan menengah bagi mengelakkan golongan tersebut membayar cukai lebih tinggi. Selain itu, Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, selagi penguatkuasaan undang-undang mengenai perkara tersebut tidak adil dan saksama, GST tidak boleh dilaksanakan. Katanya, ia tidak akan membantu meningkatkan pendapatan dan ekonomi, tetapi sebaliknya hanya memperkayakan golongan tertentu. Malah, PR menyifatkannya sebagai cukai yang regresif, di samping usaha yang akan meningkatkan beban cukai daripada 15 peratus kepada 85 peratus. Apa pun hujahnya, kedua-duanya BN-PR dilihat bersetuju dengan pelaksanaan GST dalam memastikan kelangsungan ekonomi dan pembangunan negara. Cuma, yang membezakan adalah dari segi masa, iaitu bila ia sesuai untuk dilaksanakan, manakala bagi rakyat pula, yang mereka persoalkan ialah, jika GST dilaksanakan, apa keuntungan yang bakal mereka nikmati nanti? Artikel Berkaitan
| |||
Bajet 2014; Rakyat Terengganu Paling Terkesan Posted: 26 Oct 2013 05:12 PM PDT BULETIN ONLINE Penolong Setiausaha PAS Terengganu YB Haji Hanafiah Mat menjangkakan, rakyat Terengganu adalah antara golongan yang akan menerima kesan 'berat' dari perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (Good and Service Tax – GST) Beliau berkata GST sebanyak 6% yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dalam pembentangan bajet 2014 petang semalam akan menambahkan beban keluarga kerana majoriti rakyat Terengganu adalah golongan miskin dan sederhana. "PM sudah menyatakan pendapatan pekapita rakyat negara ini amat rendah jika nak dibandingkan dgn pendapatan pekapita negara-negara maju, "rata-rata rakyat Terengganu adalah masih miskin dan dalam kelompok sederhana, majoriti mencari reZeki sebagai petani dan nelayan,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika mengulas pembentangan Bajet 2014 oleh Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri Dato' Seri Najib RaZak. Katanya, ketika ini rakyat sedang dibebankan dengan kenaikan harga barangan harian berikutan kenaikan harga minyak pada awal bulan September lalu. "rantaian kenaikan harga barang dan perkhidmatan ekoran kenaikan minyak pada 2 September lalu baru bermula………….(harga) ayam, ikan, sayur baru mula naik dan belum mencecah 'siling' maksima, "sekarang kerajaan mengumumkan kenaikan harga gula yang saya pasti akan menyebabkan semua harga makanan dan minuman akan turut naik walaupun penguatkuasaan diperketatkan,"jelasnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai menegaskan slogan "janji ditepati" sudah menjadi 'kain buruk' yang koyak rabak apabila Kerajaan BN mencabuli janji yang dicanangnya sendiri. "pemberian BR1M yang dicanang semasa PRU13 baru-baru ini sebanyak RM1200 tiba-tiba dalam bajet hari ini (semalam) diumumkan pemberian BR1M hanya RM650, "saya sangat yakin pegawai kerajaan dan penjawat awam yang mengharapkan kasih sayang kerajaan BN, hampa dan kecewa, "mereka yang telah memberi khidmat bertungkus lumus melaksanakan dasar dan pentadbiran kerajaan dengan segala kesusahan……..tetapi hanya diiktiraf dengan bonus setengah bulan gaji sahaja,"katanya. Justeru beliau menyeru seluruh rakyat memikirkan sedalam-dalamnya, apa faedah yang diperolehi oleh rakyat berbanding pendapatan dari hasil Negara. Sedang, kata beliau, pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) sedikit pun tidak mahu mengubah hidup mereka bahkan keluarga dan anak beranak mereka juga 'bermewah-mewah' serta menjadi tanggungan kerajaan. "nampaknya bajet hari ini (semalam) tidak ada yang istimewa bahkan ia hanya sekadar rutin tahunan sahaja………….,"tambahnya | |||
Tahun 2014 Menjadi Fokus PDRM Mengembalikan Kepercayaan! Posted: 26 Oct 2013 05:09 PM PDT MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ Mampukah Peruntukan Besar Bajet Untuk PDRM Menjadikan Negara Selamat Dan Aman? Dalam bajet 2014, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 200 juta untuk PDRM dengan senjata api, jaket kalis peluru, alat pengesan narkotik, sistem biometrik dan kenderaan forensik. Selain itu, bajet 2014 juga diperuntukkan untuk menambah kamera litar tertutup (CCTV) di 25 kawasan Pihak berkuasa Tempatan, menambah 200 buah motosikal menjadikan jumlah keseluruhannya 2,000 buah motosikal untuk Unit Rondaan Bermotosikal. Persoalannya mampukah kepada Polis Di Raja Malaysia (PDRM) PDRM menjadikan negara selamat dan aman dengan peruntukan besar kerajaan sebanyak RM 8.8 bilion dalam Bajet 2014? Peruntukan itu diharapkan mencukupi untuk melengkapkan PDRM dengan peralatan terkini dan canggih sebagai perlindungan buat anggota PDRM ketika menjalankan tugas mengawal keselamatan kerana umum mengetahui bahawa kejadian jenayah di negara ini semakin membimbangkan. Kejadian jenayah berat berlaku setiap hari secara luar perikemanusiaan oleh segelintir penjenayah menjadikan rakyat semakin bimbang dengan tahap keselamatan samada di kawasan sunyi atau tumpuan ramai orang, di tempat kerja, kawasan awam malah di dalam rumah mereka sendiri. Penjenayah mampu menerobos masuk ke kediaman yang begitu selamat, walau dibentengi dengan pelbagai langkah dan peralatan keselataman. Dalam insiden terbaharu, seorang gadis remaja ditemui mati dalam beg pakaian, seorang pengurus bank di tembak mati di kepala oleh pengawal keselamatan bank tersebut manakala seorang pesakit jiwa mengamuk dengan menikam dan membunuh beberapa orang awam. Ini belum dikira dengan beberapa siri jenayah tembakan menggunakan senjata api terhadap ramai mangsa. Rakyat mahu senjata api dapat dikawal sepenuhnya daripada terlepas kepada pihak yang tidak bertanggungjawab. Justeru PDRM perlu meluaskan modus operandi meliputi seluruh kawasan di negara ini terutama di kawasan sempadan bagi mengelakkan senjata api diseludup masuk. PDRM juga perlu membuktikan bahawa senjata api yang dimiliki tidak hilang, cicir atau terlepas ke pihak lain seperti mana yang dilaporkan dalam laporan Ketua Audit Negara 2012 tempohari. Selain itu, kumpulan kongsi gelap perlu segera dihapuskan, diperangi dan dibanteras sepenuhnya agar pengaruh mereka tidak meluas di samping mampu mengawal kejadian jenayah. Rakyat mengharapkan agar anggota PDRM ditempatkan di mana-mana lokasi terutama di kawasan awam, pusat membeli belah, kawasan sunyi dan berisiko tinggi, kawasan kediaman terutama di tempat yang padat penduduk supaya kejadian jenayah tidak berlaku. Tambahan lagi, amalan rasuah di kalangan anggota PDRM serta anggota PDRM yang bersubahat mahupun terlibat dengan jenayah perlu dibanteras semaksimum mungkin. Rakyat mula hilang kepercayaan terhadap pasukan keselamatan andai ada anggota mereka sendiri yang terlibat atau bersekongkol melakukan jenayah. Tahun 2014 menjadi fokus dan bukti bahawa PDRM mesti membuktikan mereka mampu memikul tugas menjaga keselamatan negara dengan cemerlang. Keselamatan rakyat di tangan mereka dan keamanan negara menjadikan kehidupan rakyat lebih tenteram dan sentosa. *** MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ, Timbalan KetuaDewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan