DIALOG RAKYAT |
- SPPBS 2013 Sekolah Rendah Menengah Teruk! Lembab, Tak Selamat, Teknologi Lama, Membazir! Setuju?
- Peguam Muslim: Jangan sembarangan ulas kes 'Allah'
- Kalimah Allah: Apa selepas ini?
- NST, SPRM diarah bayar RM150,000 kerana memfitnah
- Bekalan air terawat berterusan hingga 2022
- Calon PR PRK DUN Sungai Limau diumum 21 Okt
- Hishamuddin, Isa Samad, Ali Rustam bakal tersingkir?
- Politik wang masih berleluasa dalam Umno
- TI-M gesa SPRM siasat dakwaan penyandang Naib Presiden Umno amal politik wang
- PAC panggil dua kementerian, syarikat pelaburan negara berhubung Laporan Audit Negara 2012
- Isu K-Pop, Jingga 13 lapor SPRM
- Polis Pertingkat Rondaan Di DUN Sungai Limau Bermula Esok
- Calon Timbalan Ketua Umno Padang Besar Nafi Muflis
- KPDNKK sasar satu Parlimen satu KR1M
- PRK Sg Limau: Pas sudah ada calon pilihan
- Wanita Malaysia maut nahas pesawat di Laos
- Isu kalimah ALLAH: Anwar tetap pendirian
SPPBS 2013 Sekolah Rendah Menengah Teruk! Lembab, Tak Selamat, Teknologi Lama, Membazir! Setuju? Posted: 18 Oct 2013 01:10 AM PDT Isu SPPBS pernah Berita Semasa bangkitkan (DI SINI), dan masalah SPPBS ini boleh Berita Semasa samakan isunya dengan kes HRMIS juga. Antaramuka sistem seperti zaman awal tahun 2000. Kadang-kadang sukar untuk diakses. Apabila diajukan pertanyaan kepada JPA, apa jawapan mereka? Rupa-rupanya…. Rupa-rupanya mereka tidak menjangkan kadar peningkatan penjawat awam yang akan menggunakannya? Ha?? Erm…..tepuk dahi dan geleng kepala Berita Semasa mendengar jawapan seperti itu… Dan keadaan akan menjadi lebih teruk lagi menjelang awal tahun hadapan, lebih tepat lagi apabila menghantar LNPT. Betul atau tidak? Di sini Berita Semasa ingin kongsikan aduan daripada kalangan guru yang benar-benar kecewa dengan sistem SPBBS 2013 ini yang diharapkan merupakan sistem yang baik di atas kerta sperancangan tetapi dek kerana pelaksanaan sistem yang tidak tersusun akhirnya ramai guru terkesan sekarang ini…. SPPBS 2013 : Aduan & Teguran Guru Malaysia Bagi Penambaikan SPPBS
Apa yang Berita Semasa perhatikan termasuk daripada kebanyakan aduan yang kami teriam selama ini, rata-rata kalangan guru dan ibu bapa mentang keras tentang pelaksanaan SPPBS. Mereka benar-benar kecewa dengan sikap acuh tidak pihak atasan yang bertanggungjawab sehingga berbangkit seklai lagi isu SPPBS 2013 kali ini.
Guru hanya mampu merungut tetapi kerja tetap jalan walau dalam keterpaksaan dengan kerja tidak berkesudahan ditambah tidur yang tidak pernah cukup. Ada yang kalangan daripada anda mahu tambah aduan dan saranan untuk penambaikan SPPBS 2013 ini? Bincangkannya di sini… P/S : Diharapkan aduan dan saranan daripada kalangan guru mendapat perhatian serius daripada pihak KPM! Bukan sekadar mengambil suara bangkangan guru semata… |
Peguam Muslim: Jangan sembarangan ulas kes 'Allah' Posted: 18 Oct 2013 12:35 AM PDT MALAYSIA KINI Masyarakat perlu membaca dan memahami penghakiman Mahkamah Rayuah mengenai isu kalimah Allah mengikut konteksnya dan tidak membuat kenyataan sembarangan. Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainur Rijal Abu Bakar (kiri) berkata kenyataan yang dibuat sewenang-wenangnya boleh menimbulkan kekeliruan atau menghina mahkamah. Keputusan Mahkamah Rayuan ini pada pandangan PPMM ialah setakat melarang Archbishop menggunakan kalimah Allah dalam The Herald, iaitu penerbitan mingguan Katolik dan tidak lebih daripada itu, katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur semalam. Persatuan itu juga katanya berpandangan adalah salah anggapan jika ada pihak tertentu sama ada tempatan atau antarabangsa, untuk menganggap keputusan mahkamah berkenaan merupakan larangan penuh terhadap mana-mana komuniti bukan Islam di Malaysia daripada menggunakan kalimah Allah. "Jika dibaca dengan teliti, penghakiman itu menunjukkan semua rakyat Malaysia dibenar menggunakan kalimah Allah dalam konteks al-Quran dan rujukan Islam kepada tuhan," katanya. Dalam keputusannya Isnin lepas, Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan The Herald menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan berbahasa Melayunya untuk merujuk kepada tuhan.- Bernama |
Kalimah Allah: Apa selepas ini? Posted: 18 Oct 2013 12:30 AM PDT ULASAN Tarikh 14 Oktober 2013 akan diingati oleh semua pihak kerana ia jatuh pada 9 Zulhijjah ketika para jemah haji berwukuf dan mereka yang di luar Arafah bersiap untuk menyambut Aidiladha. Pada hari yang sama Mahkamah Rayuan menetapkan penghakiman rayuan dari pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa majalah Kristian The Herald tidak boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya. Penghakiman ini mendapat perhatian antarabangsa kerana Malaysia menjadi negara unik yang mengharamkan perkataan ini digunakan oleh penganut Kristian. Saya dihujani soalan daripada pemberita tempatan dan luar negara meminta respons keputusan mahkamah Malaysia. Hari wukuf itu saya sibuk melayan soalan dan telah kemaskini status perkembangan terkini isu kalimah Allah dalam media sosial saya. Saya juga dimaklumkan respons awal kelompok ekstrim kanan mahu melebarkan keputusan ini ke Sabah dan Sarawak kerana penganut Kristian sana menggunakan Bible yang tertera di dalamnya kalimah Allah sebagai terjemahan dari perkataan "Elohim". Di sebalik kegembiraan golongan ekstrim kanan dan sebahagian orang Melayu, masyarakat Kristian Katolik pula bersedih dan marah bahawa hak mereka dikecewakan oleh keputusan panel tiga hakim. Suasana raya untuk saya pada hari itu dipenuhi dengan pelbagai soalan. Ke manakah dasar kebebasan agama hendak dibawa? Adakah negara kita kini dikuasai kelompok ekstrim kanan? Apakah masa depan hubungan antara agama akan dipengaruhi unsur rasis daripada kesucian agama itu sendiri? Adakah ekstrimism agama akan subur? Saya cuba bersikap jujur untuk menjawab persoalan di kepala saya. Kejujuran hanya boleh dipandu dengan prinsip dan prinsip terpandu dengan keilmuan, manakala keilmuan pula asasnya ialah objektiviti dan bukan sentimen. Saya melihat sejak awal isu kalimah Allah ditunggangi prinsip yang salah maka kewajaran ilmu yang sepatutnya memandu prinsip dikuasai oleh sentimen lalu objektiviti tajuk menjadi tersasar dari perbincangan yang ilmiah dan mendasar. Prinsip rahmat seluruh alam Prinsip Islam dalam hubungan dengan bukan Islam terbina atas asas rahmatan lil 'alamin (rahmat kepada seluruh alam). Kesejahteraan yang Islam angkat dan usung mencakupi perlindungan kepada kebebasan beragama dan hak untuk agama lain melaksanakan keperluan agamanya. Prinsip Islam juga mempertahankan hak agama lain dari dicerobohi kerana atas nama kemanusiaan tiada siapa yang berhak menodai atau memaksa umat lain menerima agamanya. Dalil kepada prinsip di atas dipraktikkan sepanjang penguasaan tamadun Islam yang merentasi Timur dan Barat dunia. Kewujudan agama lain di bawah pemerintahan Islam tidak pernah dinafikan, khusus dengan pengikut Kristian dan Yahudi, Islam senantiasa menganggap mereka sebagai saudara Ahlul Kitab. Walaupun kebanyakan mereka menggunakan kalimah Allah dalam kitab Injil mereka dengan bahasa Arab, namun ia tidak pernah menjadi isu, bahkan tidak pernah umat Islam takut jika digunakan kalimah itu atas alasan akan berlaku kemurtadan. Ia tidak menjadi isu kerana prinsip rahmatan (sejahtera) membenarkan, maka siapalah kita hendak menodai prinsip ini. Keagungan prinsip ini dalam konteks hak agama lain ditafsirkan oleh asas yang cukup suci dalam Islam iaitu "tiada paksaan dalam beragama". Ia bukan sahaja bermakna kita tidak boleh memaksa orang lain ke dalam agama Islam tapi juga bermakna kita tidak boleh mencampuri urusan agama lain dalam kegiatan seharian mereka. Siapalah kita hendak memaksa kalimah yang sama yang mereka guna seperti Allah mesti difahami menurut kehendak agama kita? Antara tanda kebesaran Allah ialah menjadikan kewujudan agama berbeza-beza sebagai sesuatu yang berkekalan sifatnya. Wala yazaluna mukhtalifeen apabila ada perbezaan agama maka perbezaan teologi pasti akan berlaku. Mampukah kita mengubah panduan Ilahi dengan melarang agama lain menggunakan perkataan yang kita pakai dengan pentafsiran yang berbeza-beza? Sebab itu prinsip ini senantiasa dipelihara oleh ulama dan umarak silam bagi memartabatkan rahmatan Islam kepada manusia yang berbilang agama. Keilmuan memimpin 'benar-sesat' Kebenaran yang kita junjung tidak bererti kita harus mewajarkan 'kesesatan' orang lain dengan mencerobohi hak mereka. Jika perasaan itu tidak terkawal maka akan huru-hara perhubungan antara agama lantas keilmuan Islam memimpin hubungan 'benar dan sesat' ini melalui nilai peradaban yang tinggi iaitu dialog dan perdebatan yang sihat. Maka Islam menggariskan pendekatan bil hikmah wal mauizatul hasanah (hikmah dan kata nasihat) dan jidal billati hia ahsan (berdebat secara sihat). Inilah keilmuan yang memandu sentimen dan emosi demi memelihara tujuan Islam dibangkitkan oleh Allah iaitu kedamaian dan rahmatan kepada semua. Sebab itu semua buku dalam daerah keilmuan yang mendebatkan sama ada kalimah Allah boleh dipakai oleh bukan Islam atau tidak adalah dalam aspek perdebatan intelektual dan bukan undang-undang yang menghalang maksud kebebasan agama yang dijunjung oleh Islam. Memelihara kemurnian prinsip ini lebih utama dari melayani perasaan puak sempit agama dan rasis yang tidak bertanggungjawab. Adakah para hakim kita melayan prinsip Islam atau melayan kerenah sebahagian manusia bigot yang jahil? Sempit agama Mereka yang membaca Islam atas sentimen kebencian pada agama lain harus memahami bahawa di sana Islam telah meletak disiplin dan kerangka yang jelas hubungan antara agama. Pernyataan keras Islam terhadap 'kesesatan' adalah berpandukan kepada premis haq dan batil, tauhid dan kesyirikan. Begitu juga dalam membentangkan premis permusuhan yang berpotensi menggugat keberadaan Islam. Tanpa suasana yang disebutkan maka Islam meletakkan kembali asas kesuciannya memelihara hak kebebasan, hak beribadat agama lain dan hak keperluan mereka. Itu adalah asal dan asasnya. Permusuhan Islam kepada orang lain adalah atas sikap permusuhan orang kepadanya kerana Islam juga perlukan kekuatan. Selain daripada alasan ini maka asasnya ialah kedamaian dan kesejahteraan. Apakah kalimah Allah digunakan oleh penganut Katolik diwarnai konteks permusuhan? Ataukah ia konteks menyatakan haknya? Golongan sempit agama terpaksa lebih teliti dalam melanggani isu ini. Teori memurtadkan orang Islam jika benar ada kerana kekeliruan perkataan mesti didatangkan dengan bukti yang jelas, dan saya yakin para hakim yang membuat keputusan jika membuat keputusan atas andaian yang hipopetikal dan dalam kes yang mungkin (jika ada) terlalu terasing. Bolehkah hanya dengan andaian sesuatu hukum itu ditetapkan? Mereka tidak akan bergelar hakim jika mereka bukan orang yang bijak dan berhikmah kerana kesan penghakiman akan memberi implikasi yang kepada prinsip besar Islam iaitu prinsip kesejahteraan. Apa selepas ini? Saya bangun awal pada hari raya pertama untuk membuat persediaan khutbah Aidil Adha di Masjid Al-Huda Sungai Ara, Pulau Pinang. Di waktu yang sama saya terdengar sebelum subuh takbir raya dengan suara yang merdu dari corong masjid berdekatan rumah ayah saya iaitu almarhum Haji Yusof Rawa di Gelugor. Laungan Allahu Akbar saya sambut dalam hati saya sambil air mata saya berlinangan dan sempat saya berdoa. "Ya Allah Engkau maha mengetahui hamba-Mu, berikanlah aku kejelasan dan kekuatan untuk mengagungkan nama-Mu dengan menitipkan rahmah-Mu di mata manusia, berikan aku kekuatan untuk berhujah dengan manusia melalui prinsip dan bukan melalui kemarahanku." Tanpa disedari kedengaran azan subuh selesai doa pada hari raya Aidildha itu, lantas saya terus tertanya apa selepas ini? (*) DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA ialah pengerusi pertama bagi South East Forum for Interfaith Networking for Peace dan menulis pengalaman berdialog antara agama dalam buku terbaru, Berdialog Dengan Gereja: Sebuah Travelog Kedamaian. |
NST, SPRM diarah bayar RM150,000 kerana memfitnah Posted: 18 Oct 2013 12:27 AM PDT The New Straits Times (NST) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masing-masing diperintahkan membayar RM150,000 kepada peguam Rosli Dahlan kerana memfitnahnya dalam isu dikenali sebagai skandal "Copgate". NST dan SPRM disaman atas dakwaan merosakkan reputasi Rosli dengan mengaitkannya dengan skandal RM27 juta Copgate yang menyaksikan bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Ramli Yusuff disiasat dan kemudian dibebaskan. Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Badjenid mendapati NST dan SPRM bersalah memfitnah dan memerintahkan kedua-duanya masing-masing membayar kos RM30,000. Rosli sebelum itu mengambil tindakan undang-undang terhadap The Star dan Utusan Malaysia tetapi kedua-dua akhbar tersebut telah memohon maaf kerana memfitnah pada 2007. |
Bekalan air terawat berterusan hingga 2022 Posted: 17 Oct 2013 09:11 PM PDT Langkah mitigasi yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dijangka memastikan pembekalan air terawat yang berterusan untuk sedekad lagi, iaitu sehingga 2022. Projek mitigasi itu dijangka siap tahun ini. Antara langkah mitigasi yang diambil adalah pemulihan loji rawatan air Bukit Jelutong yang telah ditutup. Ini dijangka menaikkan takat rizab air sehingga 851 juta liter sehari (jls). Penggunaan teknologi membran akan meningkatkan penghasilan air terawat sebanyak 100 jls lagi. Pusat Kajian Sosio-Ekonomi (SERC) bagaimanapun menggesa Kerajaan Negeri supaya lebih tegas bertindak memastikan penyelenggaraan loji rawatan dan paip yang lebih ketat. "Kajian yang dijalankan firma kaji selidik Enrico mendapati kesemua 29 loji rawatan air yang diurus Puncak Niaga tidak beroperasi di paras optima. Kira-kira 18 loji itu perlu dibaikpulih dan dinaik taraf," saran SERC. Badan tersebut menggesa Kerajaan Negeri supaya mengatasi pencemaran air di sungai-sungai utama di Selangor, terutamanya di Semenyih dan di Langat. Pencemaran di sungai-sungai itu menyebabkan jumlah bekalan air mentah berkurangan. "Sehingga April 2012, sekurang-kurangnya 13 kejadian henti tugas di loji-loji rawatan akibat paras pencemaran yang tinggi," menurut laporan itu. Punca pencemaran dikenal pasti daripada aktiviti perkilangan, ladang ayam dan itik, tumpahan minyak dan perlombongan pasir. Kerajaan Negeri juga diminta menguatkuasakan undang-undang menghukum pencemar sungai, mengekang pencurian air dan penyelewengan, dan memindahkan kilang-kilang ke kawasan yang sesuai. LIHAT VIDEO DI SINI |
Calon PR PRK DUN Sungai Limau diumum 21 Okt Posted: 17 Oct 2013 09:08 PM PDT PETALING JAYA: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau akan diumum Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 21 Oktober ini. Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapha Ali, berkata majlis pimpinan Pakatan Rakyat mempersetujui calon itu dan yakin dapat mempertahankan kerusi yang disandang sebelum ini oleh mantan Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak. "Kita punya calon yang sudah diputuskan oleh PAS dan dah dikemukakan pada pimpinan Pakatan Rakyat dan dipersetujui dan akan diumumkan pada 21 haribulan ini," katanya dalam sidang media bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat PKR di sini hari ini. Dalam pada itu, Mustapha berkata, jentera PAS di Kedah akan diketuai oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar. Katanya, PAS sentiasa bersiap sedia dan bekerja keras untuk menangkis setiap hujah yang akan dimainkan oleh Umno-BN sepanjang tempoh berkempen PRK itu. Pada PRU-13 lalu, Allahyarham Ustaz Azizan memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 2,774 undi menerusi pertandingan empat penjuru. Sementara itu, PRK DUN Sungai Limau akan berlangsung pada 4 November ini. |
Hishamuddin, Isa Samad, Ali Rustam bakal tersingkir? Posted: 17 Oct 2013 09:03 PM PDT SHAH ALAM: Penyandang Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dijangka tersingkir daripada persaingan merebut kerusi Naib Presiden yang dipertandingkan dalam Pemilihan Umno 2013. Antara faktor penyumbang kekalahan Hishamuddin adalah kerana gagal mencapai prestasi diharapkan Umno baik sebagai Naib Presiden Umno mahupun sebagai Menteri Kabinet. Penganalisis politik, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar, berkata kemenangan Hishamuddin dalam Pemilihan Umno sebelum ini dibantu Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang merupakan sepupu beliau. Selain Hishamuddin, turut dijangka tewas dalam perebutan enam penjuru itu, Datuk Seri Ali Rustam dan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. "Saya tidaklah boleh meramalkan dengan tepat tetapi saya boleh katakan beberapa orang yang lama itu dalam Umno semakin tidak disenangi banyak pihak dalam Umno dan luar Umno seperti Hishamuddin, Isa Samad dan Ali Rustam. "Ali Rustam sendiri tidak menang di Melaka, Isa Samad pernah dikenakan tindakan disiplin manakala Hishammuddin dalam pemilihan Umno yang lalu pernah dikatakan tidak popular tetapi diselamatkan Najib," ujar pensyarah Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya (UM) itu. Mengulas lanjut, Mohamad berkata tiga calon lain, Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula dijangka menang dalam perbezaan undi kecil. "Bagi mereka yang menang mereka tidak lagi berkedudukan seperti pemimpin Umno sebelum ini, pemimpin dahulu, apabila menang mereka dianggap sebagai pemimpin yang bukan sahaja mencorak Umno tetapi juga mencorak dalaman BN dan juga negara. "Dahulu bila menang dalam Umno, parti-parti komponen lain dalam BN seperti MCA, MIC sujud dan pembangkang pula, suara mereka tidak diambil kira kerana tidak mempunyai sokongan majoriti pada masa itu. Tetapi sekarang Pakatan Rakyat memperolehi lebih 50 peratus sokongan rakyat, menjadikan mereka lebih kuat dari Umno," ujar Mohamad lagi. |
Politik wang masih berleluasa dalam Umno Posted: 17 Oct 2013 08:50 PM PDT Dalam tempoh 48 jam sebelum pemilihan Umno 2013, perwakilan berkata wang ditaburkan dan ada kebimbangan mengenai kemungkinan manipulasi undi bagi memastikan kemenangan calon tertentu. The Malaysian Insider difahamkan bahawa Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan sekutunya gigih berkempen untuk calon tertentu bagi merebut jawatan naib presiden terutama Datuk Seri Hishammuddin Hussein. "Persaingan sengit untuk menang semua jawatan. Ia seperti kejadian 'ribut emas'," kata seorang pejuang Umno kepada The Malaysian Insider sambil mendedahkan jumlah wang yang akan disalurkan pada pemilihan Sabtu ini. Sebahagian 146,500 perwakilan daripada 191 bahagian menggunakan sistem pemilihan baru bagi memilih pemimpin mereka dalam pemilihan kali ini. Pemilihan di peringkat bahagian juga diadakan pada hari sama. "Pastinya akan ada 'hujan emas' berlaku nanti," kata seorang lagi sumber rasmi parti yang mendedahkan perwakilan akan mendapat kira-kira RM300 untuk setiap undi mereka. Bagaimanapun, beliau tidak menamakan calon yang menggunakan wang untuk memenangi tiga jawatan naib presiden dan 25 ahli Majlis Tertinggi. Terdapat jawatan tertinggi lain tidak dipertandingkan dan dilantik sendiri oleh presiden parti, Datuk Seri Najib Razak yang juga perdana menteri Malaysia. Selain Hishammuddin, penyandang bagi jawatan naib presiden lain adalah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Shafie Apdal. Ketiga-tiga mereka merupakan calon yang dikatakan rapat dengan akar umbi sementara Senator Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Shafie mengadakan beberapa kempen peribadi bagi mengukuhkan sokongan daripada perwakilan. "Rangkaian yang baik akan banyak membantu mereka," katanya. Penyandang dicabar oleh Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad, Mohd Ali dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir. Sumber dalaman parti berkata, kombinasi personaliti dan rangkaian di antara ketua bahagian memberi kelebihan kepada Ahmad Zahid untuk mendahului dalam merebut jawatan naib presiden diikuti dengan Shafie dan Hishammuddin. "Jangan terkejut jika Hishammuddin membuat kejutan dan meraih undi yang banyak," kata sumber itu mengulas potensi Menteri Pertahanan itu. Katanya, terdapat cakap-cakap mengatakan pengiraan undi dimanipulasi dan dua kes dilaporkan di Kuala Lumpur. "Sesetengah perwakilan tidak begitu gembira melihat pengiraan undi dijalankan ekoran keputusan yang berbeza dicatatkan di peringkat bahagian," katanya. Sumber parti itu turut menyebut Mukhriz menghadapi kesukaran kerana menteri besar Kedah itu tidak begitu dikenali di kalangan perwakilan walaupun merupakan anak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang merangkap ketua kempen beliau. "Kita tidak boleh berdiri dengan kegemilangan semalam kerana penyandang masa kini mempunyai peluang yang lebih cerah berbanding pencabarnya," kata sumber itu memberikan contoh kemenangan Shahrizat dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dipilih semula dalam pemilihan itu. |
TI-M gesa SPRM siasat dakwaan penyandang Naib Presiden Umno amal politik wang Posted: 17 Oct 2013 08:46 PM PDT Transparency International Malaysia (TI-M) mendakwa tiga penyandang Naib Presiden mengamalkan politik wang menjelang pemilihan parti itu esok dan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) campur tangan. Presiden badan pemantau rasuah itu, Datuk Akhbar Satar (gambar), berkata pihaknya membuat dakwaan berkenaan selepas menerima beberapa maklum balas terhadap ketiga-tiga penyandang yang memegang jawatan menteri dalam Kabinet Datuk Seri Najib Razak. "TI-M menerima banyak maklum balas mengenai terdapat sejumlah besar wang diedarkan tahun ini untuk membeli undi menjelang pemilihan Umno. "Kami difahamkan penglibatan wang yang besar dan diedarkan pada program khas diadakan oleh penyandang Naib Presiden, yang juga memegang jawatan menteri kanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Katanya, TI-M juga mempersoalkan peranan SPRM dalam menangani isu politik wang yang berlaku dalam Umno serta bukan hanya sekadar alasan masalah tersebut adalah masalah dalaman sesebuah parti. "TI-M mahu tahu apakah tindakan SPRM dalam isu melibatkan politik wang ini. "Walaupun Umno mengatakan ia adalah isu dalaman parti, SPRM harus menyiasat sama ada sumber wang tersebut diagihkan sepadan dengan kedudukan kewangan individu calon tersebut, dan jika ia didermakan kepada parti atau bahagian, sama ada ia dibayar atas tujuan membantu perniagaan," katanya. Tiga penyandang naib presiden yang mempertahankan jawatan tersebut adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Mereka dicabar oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad, bekas Ketua Menteri Melaka, Senator Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir. Akhbar berkata, isu politik wang tidak boleh lagi disembunyikan kerana ia melibatkan skandal wang yang besar dan penyalahgunaan jentera kerajaan untuk tujuan kelangsungan politiknya. Selain itu, katanya, penggunaan politik wang dan salah guna jentera juga adalah sesuatu yang tidak adil kepada calon lain yang bertanding tetapi tidak mempunyai kemampuan dan aset sama seperti calon berkenaan. "Bagaimana pula dengan nasib calon lain yang tidak mempunyai kapasiti sama," katanya. Pemilihan Umno kali ini yang menggunakan sistem baru "electoral college" menyaksikan 146,500 perwakilan daripada 191 bahagian Umno akan mengundi serentak bagi memilih pimpinan baru terutama persaingan sengit untuk tiga jawatan Naib Presiden serta 25 kerusi Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno. Langkah tersebut diambil bagi memerangi politik wang dalam Umno yang berlaku setiap kali pemilihan diadakan, namun sistem baru ini tidak menghalang daripada politik wang dalam Umno terus berlaku. |
PAC panggil dua kementerian, syarikat pelaburan negara berhubung Laporan Audit Negara 2012 Posted: 17 Oct 2013 08:43 PM PDT Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil dua kementerian dan syarikat pelaburan negara untuk memberikan penjelasan berhubung pendedahan yang dibuat dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012. The Malaysian Insider difahamkan antara yang akan dipanggil oleh jawatankuasa di bawah Parlimen itu adalah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan Khazanah Nasional Berhad selepas mesyuarat kedua PAC pada 23 Oktober depan. Sumber yang enggan dikenali itu mengesahkan Khazanah dipanggil bagi memberi penjelasan berhubung kelewatan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang menelan belanja sebanyak RM4 bilion berbanding peruntukan asal berjumlah RM1.6 bilion. PAC juga akan menyoal Kementerian Kewangan berhubung isu Sistem Pendaratan Berpandu (ILS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu yang dilaporkan mempunyai 599 lubang di landasannya. Manakala bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, PAC akan melihat berhubung isu pembelian empat peralatan pasukan Bomba untuk memecah dinding bangunan semasa operasi kebakaran, "Cobra Cutting Extinguisher E300" yang dibeli melalui rundingan terus bernilai RM1.68 juta. Laporan Ketua Audit 2012 mendapati peralatan berkenaan tidak digunakan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan ia rosak. Audit berkenaan turut mendedahkan tidak terdapat bukti menunjukkan tempoh kerosakan serta tiada bukti tindakan pembaikan mahupun tindakan pelupusan diambil terhadap barangan berkenaan. Selain tiga kementerian berkenaan, Laporan Laporan Audit Negara 2012 turut mendedahkan beberapa isu lain termasuk kehilangan aset Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Kementerian Dalam Negeri bernilai RM1.33 juta, antaranya adalah gari, senjata api dan juga kenderaan. Selain itu, isu bayaran artis K-Pop bernilai RM1.6 juta di bawah Kementerian Belia dan Sukan turut didedahkan oleh Laporan Audit Negara 2012 bukanlah tajaan sebaliknya menggunakan dana kerajaan. Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, yang bertanggungjawab berhubung perkara itu sebelum dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia bagaimanapun bersedia memberi penjelasan kepada PAC secara sukarela. Tindakannya itu menerima respon positif daripada Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang kemudiannya turut menyeru menteri-menteri berkenaan mencontohi tindakan Shabery. - |
Isu K-Pop, Jingga 13 lapor SPRM Posted: 17 Oct 2013 05:05 PM PDT KEADILAN DAILYKUALA LUMPUR : Satu laporan akan dibuat ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menuntut siasatan penuh ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek. Menurut kenyataan Jingga 13, laporan akan dibuat esok (Jumaat) pada jam 11 pagi di ibu pejabat SPRM di Putrajaya. "Kesediaan Datuk Ahmad Shabery Cheek menghadapi soal siasat PAC sangat dihormati," kata penyelaras Jingga 13, Fariz Musa "Namun beliau tidak berani secara terbuka untuk disoal siasat oleh SPRM untuk menyiasat kes tersebut sedalam-dalamnya. "Ini menimbulkan persoalan kepada rakyat terhadap sikap beliau tersebut," tegasnya Kata Fariz, laporan dibuat untuk mendesak siasatan sama ada benar dakwaan Shabery bahawa konsert tersebut dibiayai penajaan syarikat swasta. "Ternyata bercanggah dengan Laporan Ketua Audit Negara 2012," kata Fariz. |
Polis Pertingkat Rondaan Di DUN Sungai Limau Bermula Esok Posted: 17 Oct 2013 05:00 PM PDT MSTAR ONLINE ALOR SETAR: Polis Kedah akan mempertingkat rondaan di sekitar daerah Yan terutama kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, bermula esok. Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata langkah itu yang merupakan sebahagian persediaan menjelang pilihan raya kecil DUN Sungai Limau turut membabitkan daerah bersempadan iaitu Kota Setar dan Kuala Muda. Rondaan ini membabitkan unit bermotosikal dan kenderaan peronda polis (MPV), selain penubuhan balai polis bergerak, katanya kepada pemberita di sini hari ini. "Kita juga akan tambah kiosk bertujuan untuk kawal pergerakan sepanjang pilihan raya kecil ini," katanya. Beliau juga meminta pemimpin dan penyokong parti agar mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa serta memberi kerjasama kepada polis yang bertugas pada hari penamaan calon dan juga pengundian. Pilihan raya umum baharu sahaja berakhir dan mereka sudah pasti masih ingat apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, katanya.Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 23 Oktober ini untuk hari penamaan calon dan hari pengundian pula pada 4 November. DUN Sungai Limau kosong selepas penyandangnya Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah meninggal dunia pada 26 September lepas. - BERNAMA |
Calon Timbalan Ketua Umno Padang Besar Nafi Muflis Posted: 17 Oct 2013 04:57 PM PDT MSTAR ONLINE PADANG BESAR: Calon timbalan ketua Umno Padang Besar Datuk Wan Nordin Che Murat pada Khamis menafikan beliau berstatus muflis seperti yang disebar menerusi surat kononnya dikeluarkan oleh ibu pejabat Umno. "Semakan terkini yang dilakukan hari ini di Jabatan Insolvensi Malaysia di Kangar mendapati saya bukan muflis," katanya dalam sidang media di sini. Sambil menunjukkan sijil yang mengesahkan statusnya itu, Wan Nordin berkata beliau mendapat tahu dikatakan muflis apabila menerima salinan surat daripada seorang pemimpin Umno Perlis. Surat bertarikh 4 Oktober yang kononnya ditandatangani Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor itu menyebut status muflis saya berdasarkan semakan pada 29 September lalu, katanya. Beliau yakin perkara itu dilakukan oleh pihak yang mahu menghalangnya bertanding dalam pemilihan Sabtu ini kerana semakan di ibu pejabat Umno turut mendapati tiada surat sedemikian dikeluarkan. "Kalau ada sudah pasti saya ada menerimanya," katanya menambah beliau sudah menerima pengesahan lisan daripada Tengku Adnan mengenai kelayakannya bertanding dalam pemilihan Sabtu ini. Selain Wan Nordin yang juga Naib Ketua bahagian itu, jawatan timbalan ketua bahagian Padang Besar turut ditandingi oleh dua lagi calon iaitu Azizan Sulaiman dan Khairul Akhbar Zahari. - BERNAMA |
KPDNKK sasar satu Parlimen satu KR1M Posted: 17 Oct 2013 04:52 PM PDT SINAR HARIAN Datuk Hasan Malek KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasarkan untuk mewujudkan satu Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) bagi setiap Parlimen di seluruh negara. Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata kini sebanyak 102 KR1M beroperasi di seluruh negara dengan menawarkan harga antara 30 dan 50 peratus lebih murah berbanding kedai biasa. "Di Selangor sahaja, kita sudah bina 13 KR1M termasuk di Pandan Mewah ini, dan kita akan membina enam lagi kedai seumpama ini di negeri ini dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan KR1M di Pandan Mewah, Ampang, di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Urusan MRT Retail Sdn Bhd, Datuk Wira Meer Ali Mydin. Hasan berkata sasaran untuk mewujudkan satu KR1M di setiap Parlimen di seluruh negara supaya semua rakyat dapat merasai faedah dan manfaat daripada kedai itu. Ditanya adakah kerajaan akan mengurangkan subsidi gula, Hasan berkata perkara berkenaan bergantung kepada Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat depan. "Akan ada penurunan dan kenaikan (harga barang), kita tunggu Belanjawan 2014 diumumkan nanti dan rakyat hendaklah bersedia menerima apa saja yang akan diumumkan nanti," katanya. Beliau berkata perkara berkenaan dijangka berlaku berikutan beberapa langkah yang akan diambil kerajaan bertujuan mengukuhkan ekonomi negara. Sementara itu di KUALA SELANGOR, Hasan berharap Perdana Menteri dapat mengadakan peruntukan yang lebih bagi membantu golongan peniaga kecil, pergerakan koperasi dan perkembangan perniagaan francais di dalam Belanjawan 2014. Peruntukan tambahan itu diperlukan bagi membantu program Memperkasakan Ekonomi Bumiputera dengan meningkatkan keupayaan peniaga kecil, koperasi dan perniagaan francais, katanya selepas melancarkan Program Kesedaran Pengguna dan Ketua Masyarakat di sini. - Bernama |
PRK Sg Limau: Pas sudah ada calon pilihan Posted: 17 Oct 2013 04:49 PM PDT PETALING JAYA - Pas telah mempunyai seorang calon pilihan untuk dipertandingkan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau, pada 4 November depan. Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, calon yang dipilih itu antara calon terbaik daripada lapan orang calon yang telah disenaraipendekkan. Menurutnya, calon tersebut juga memenuhi kriteria yang diinginkan parti dan penduduk di kawasan tersebut. "Untuk PRK ini kita telah putuskan calonnya, kita telah bawa ke kepimpinan tinggi PR, semua telah setuju. "Dekat saya memang sudah ada calon, tapi kita akan umumkan pada 21 Oktober depan," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini. Tambahnya, calon yang dipilih itu juga adalah calon pertama kali bertanding. "Dia muda daripada saya, dan dia memang pertama kali bertanding," katanya. Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pimpinan PR akan memberi sokongan yang padu kepada calon yang dipilih Pas. "Seluruh pimpinan PR akan bagi sokongan yang padu kerana kerusi itu kerusi Pas. "Kita yakin Insya-ALLAH kita akan pertahankan, insya-ALLAH Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan umumkan calon Pas yang disokong padu oleh PR pada 21 Oktober di Sungai Limau," katanya. PRK Dun Sungai Limau akan diadakan pada 4 November depan dan proses penamaan calon akan dijalankan pada 23 Oktober. |
Wanita Malaysia maut nahas pesawat di Laos Posted: 17 Oct 2013 04:46 PM PDT Anifah Aman KUALA LUMPUR - Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman hari ini mengesahkan seorang wanita Malaysia, Angelin Teh, terbunuh dalam nahas pesawat di Pakse, sebuah bandar di selatan Laos, semalam. Beliau berkata, Teh dan suaminya Joel Babcock, warganegara Amerika, dalam perjalanan dari ibu negara Laos, Vientiane, ke Pakse apabila pesawat berkenaan terhempas ke dalam Sungai Mekong dalam cuaca buruk. "Pihak berkuasa Laos sedang meneruskan usaha mencari mayat mangsa nahas itu," katanya dalam kenyataan di sini. Anifah berkata, keluarga Teh telah dimaklumkan tentang perkara itu dan sedang membuat persiapan untuk terbang ke Laos dengan bantuan Kementerian Luar dan kedutaan Malaysia di negara itu. "Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Angelin Teh dan keluarga lain yang terlibat dalam nahas itu. Semoga mereka diberi kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi saat-saat yang memilukan ini," katanya. Sementara itu, agensi berita AP melaporkan nahas berkenaan melibatkan 49 orang dari 11 negara. - Bernama |
Isu kalimah ALLAH: Anwar tetap pendirian Posted: 17 Oct 2013 04:44 PM PDT Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR PETALING JAYA - PR tetap dengan pendirian kalimah ALLAH boleh diguna pakai oleh orang bukan Muslim di Malaysia. Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian apabila menjawab pertanyaan pemberita mengenai pendirian PR dalam isu kalimah ALLAH. Menurutnya, pendirian itu tidak berubah seperti yang pernah dikeluarkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan PR pada tahun lalu. "Pendirian PR kekal seperti mana yang pernah dikeluarkan kenyataan kita tahun lalu," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini. Pada Isnin lalu, Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan tidak membenarkan Herald menggunakan kalimah ALLAH dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu. Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan kerajaan dan Menteri Dalam Negeri. Sehubungan itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang turut meminta masyarakat bersabar dengan keputusan tersebut dan tidak cuba mewujudkan ketegangan. "Kita mohon kebijaksanaan dan ketenangan di pihak rakyat menunggu proses mahkamah dan rayuan supaya pihak-pihak tertentu... jangan menggunakan ini untuk menghangat isu kaum dan agama," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan