DIALOG RAKYAT |
- 4 geng Ah Fatt ditembak mati selepas samun rumah VVIP
- Mahkamah tolak saman RM1 juta pensyarah terhadap penulis blog berhubung isu Wahhabi
- Pemimpin berpengalaman diperlukan untuk terajui Umno dan BN, kata Shafie Apdal
- Pencerobohan Lahad Datu: Tian Chua dapat kebenaran tangguh perbicaraan
- Marah pemandu, pengawal peribadi didakwa tunjuk pistol
- Shahnaz dakwa anak Taib Mahmud ada aset RM1b
- Ancaman denggi di S'gor membimbangkan
- Polis: Kes Sanjeevan ditembak sedang disiasat
- Soi Lek beritahu Liow: Awak undur, saya undur
- Adun Pahang gesa contohi Selangor iktiraf Ketua Pembangkang
- PNSB selamatkan projek terbengkalai, pembeli dapat CF
- Tujuh jemaah haji CEDERA
- Tembak dulu: Jangan sampai matlamat halalkan cara
- K-Pop: Najib digesa gantung tugas Shabery
- Setelah 2 tahun, Masjid Senadin belum dibina
- Konspirasi dalam pilihan raya kampus UKM?
- Dedah kandungan TPPA, biar rakyat nilai
- Macam tak percaya je...
- Audit: Tindakan dengan SURAT AMARAN sahaja
- Pusara P.Ramlee, Saloma Akhirnya Siap Dibaiki
- Pembayar Cukai & Rakyat Berhak Berasa Marah
4 geng Ah Fatt ditembak mati selepas samun rumah VVIP Posted: 11 Oct 2013 07:36 AM PDT MALAYSIA KINI Empat lelaki asing yang dipercayai anggota 'Geng Ah Fatt' ditembak mati di rumah pangsa Program Perumahan Rakyat (PPR) di Hiliran Ampang, dekat ibunegara selepas menyamun rumah milik orang kenamaan di Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang awal pagi tadi. Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata polis melakukan serbuan di rumah pangsa Jalan Ampang Putra itu pada pukul 12.20 tengah hari selepas menerima maklumat orang awam. Ketika menyerbu rumah pangsa itu, beliau berkata penjenayah menembak ke arah polis sebelum polis bertindak balas. "Polis menemui sepucuk pistol (di tempat kejadian) dipercayai jenis Revolver dan parang yang digunakan kesemua lelaki itu yang berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun. "Pada masa yang sama, polis juga menemui barang kemas dipercayai hasil samun di rumah di Bukit Antarabangsa yang dilakukan pada kira-kira 3 pagi tadi," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. Susulan serbuan itu, beliau berkata polis menangkap seorang lelaki tempatan berusia 40-an yang dipercayai baru selesai membeli barang kemas samun itu di rumah pangsa berkenaan. Mohmad berkata rumah pangsa itu juga dipercayai didiami seorang daripada penjenayah itu dan keluarganya selain ia dijadikan transit anggota kumpulan berkenaani untuk melakukan jenayah sebelum melarikan diri ke Batam, Indonesia. Beliau berkata siasatan polis mendapati kumpulan itu aktif melakukan samun rumah VVIP di sekitar Kuala Lumpur dan negeri lain. "Polis sedang mengumpul laporan yang dibuat pengadu berkaitan kumpulan yang dianggotai enam orang ini. "Sebelum ini, mereka melakukan kes sama di rumah seorang VVIP di Kuala Lumpur dan menyamun tiga pucuk pistol," katanya. Polis kini memburu dua lagi anggota kumpulan itu.- Bernama | ||||
Mahkamah tolak saman RM1 juta pensyarah terhadap penulis blog berhubung isu Wahhabi Posted: 11 Oct 2013 07:33 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak dengan kos permohonan saman RM1 juta yang difailkan seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terhadap seorang bekas pegawai Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) berhubung isu fahaman 'Wahhabi' yang diterbitkan dalam sebuah blog yang didakwa memfitnahnya. Hakim Datuk Wira Halijah Abbas membuat keputusan itu selepas mendapati plaintif, Dr Azwira Abdul Aziz, 45, gagal membuktikan kesnya berada atas imbangan kebarangkalian. Dalam saman yang difailkan pada 18 Jun 2009, Azwira menamakan Zamihan Mat Zin, 37, bekas penolong pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, ILIM, yang juga pemilik blog alghari.blogspot.com sebagai defendan. Azwira menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000, ganti rugi pengajaran sebanyak RM500,000, faedah, kos tindakan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. Dalam pernyataan tuntutannya, Azwira berkata Zamihan telah menerbitkan sebuah artikel bertajuk "Kisah Lama dari UKM" di blog berkenaan pada 6 Mac 2008, yang mengandungi kenyataan mengaitkan beliau dengan fahaman Wahhabi yang didakwa tidak benar dan berunsur fitnah. Katanya, perkataan-perkataan dalam artikel terbabit antara lain membawa maksud bahawa beliau adalah seorang yang bermetodologi Salafi Al Wahhabi dan amat taksub terhadap fahaman Wahhabi serta seorang yang membawa ajaran yang sesat. Azwira berkata penerbitan artikel itu telah menjatuhkan maruahnya di sisi umum khususnya kepada masyarakat beragama Islam. Katanya beliau sebelum ini, melalui surat peguam caranya bertarikh 11 Mei 2009, menuntut defendan membuat satu kenyataan memohon maaf secara bertulis dan ganti rugi sebanyak RM500,000, namun defendan telah gagal, cuai dan/atau enggan berbuat demikian. Dalam pernyataan pembelaannya, Zamihan yang kini penolong setiausaha di bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kementerian Dalam Negeri antara lain berkata plaintif telah membuat salah tafsiran tentang kepercayaan yang dipegangnya dan sememangnya plaintif perlu disedarkan. Mengenai kecederaan yang didakwa dialami plaintif berhubung tindakan beliau, Zamihan berkata jika adapun ia adalah akibat daripada tindak tanduk plaintif sendiri dalam menulis dan/atau menyatakannya di mana-mana dengan memberi pandangan tidak tepat tentang ilmiah sesuatu isu yang diketengahkan. Azwira diwakili peguam Adnan bin Seman @ Abdullah sementara Zamihan diwakili peguam Azmi Mohd Rais dan Ilyani Noor Khuszairy. – Bernama, | ||||
Pemimpin berpengalaman diperlukan untuk terajui Umno dan BN, kata Shafie Apdal Posted: 11 Oct 2013 07:30 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (gambar) berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) memerlukan kepimpinan berpengalaman dan teruji untuk mengharungi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) yang dijangka lebih mencabar. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata bagi memenangi PRU-14 itu juga Umno dan BN memerlukan barisan kepimpinan yang mampu menyatupadukan masyarakat bukan sahaja di bandar tetapi juga di luar bandar. "Saya yakin pemilihan Umno ini bukan hanya ditonton oleh ahli-ahli Umno tetapi juga ditonton lebih dekat oleh rakyat Malaysia dan lebih 13 juta pengundi yang ada di luar sana," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin masyarakat di sini hari ini. Sehubungan itu, kata Shafie, pemilihan barisan kepimpinan Umno pada kali ini amat penting kerana mereka yang akan menentukan sama ada kuasa kerajaan sekarang mampu dipertahankan atau tidak pada pilihan raya berkenaan. Menurut Shafie barisan kepimpinan sedia ada sememangnya berpengalaman dan telah berjaya mengharungi pelbagai rintangan serta dugaan di bawah kepimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mampu mengharungi cabaran PRU-14. Shafie mengakui Umno memerlukan perubahan atau peremajaan tetapi ia tidak semestinya dilakukan melalui perubahan barisan kepimpinan kerana proses berkenaan masih boleh dilakukan tanpa perubahan barisan kepimpinan. "Proses peremajaan parti tidak semestinya dilakukan pada peringkat presiden atau timbalan presiden. Pembaharuan boleh dilakukan tanpa perubahan pimpinan. Apa yang penting kita bertindak melakukan perubahan melalui beberapa pendekatan seperti yang dilakukan Datuk Seri Najib iaitu transformasi dalam parti walaupun beliau orang lama dalam politik," katanya. Katanya pendekatan prememajaan atau perubahan yang dilakukan Najib dengan memperkenalkan transformasi politik secara dalaman adalah jauh lebih baik kerana ia menjurus ke arah mengukuhkan parti dan bukan memecahbelahkannya. Shafie yakin sekiranya perwakilan memberi mandat kepadanya sekali lagi untuk menduduki jawatan naib presiden beliau berupaya membantu Najib menjayakan dan merealisasikan proses transfomasi politik bukan sahaja dalam Umno tetapi juga dalam BN. "Sebagai parti pemerintah yang begitu lama, kita perlu melakukan perubahan-perubahan dalaman dengan memperkenalkan pendekatan dan cara kita untuk menarik lebih ramai untuk menyokong Umno dan BN," katanya. Shafie berkata sebelum ini sudah banyak perubahan dalaman dilakukan Umno seperti memperkenalkan Puteri Umno sebagai pelapis kepada sayap wanita Umno serta mengubah perlembagaan parti sehingga membolehkan hampir 150,000 anggota parti itu mengundi menentukan pucuk pimpinan. – Bernama | ||||
Pencerobohan Lahad Datu: Tian Chua dapat kebenaran tangguh perbicaraan Posted: 11 Oct 2013 07:28 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan permohonan anggota Parlimen Batu, Tian Chua (gambar) bagi perbicaraan pertuduhan menghasut dihadapinya berhubung kenyataannya mengenai pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, ditangguhkan sementara menunggu rayuannya selesai. Tian Chua, 50, mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 26 September yang menolak pemohonannya untuk membatalkan pertuduhan menghasut itu. Panel tiga hakim dianggotai Datuk Balia Yusof Wahi, Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Seri Zakaria Sam membenarkan permohonan Tian Chua untuk menangguhkan perintah itu. Peguam yang mewakili Tian Chua, Latheefa Koya memohon penangguhan perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang ditetapkan 16 dan 17 Oktober, sementara menunggu rayuan anak guamnya itu selesai. Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim tidak membantah permohonan itu. Tian Chua, yang merupakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, menghadapi pertuduhan membuat kenyataan kononnya pencerobohan di Lahad Datu adalah konspirasi terancang Umno untuk mengalihkan perhatian dan menakut-nakutkan rakyat. Tian Chua, yang nama sebenarnya Chua Tian Chang, didakwa melakukan kesalahan itu di Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu, off Jalan Yew, Kuala Lumpur pada kira-kira 11 pagi, 1 Mac tahun ini. Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu pada 14 Mac tahun ini. Tian Chua dituduh mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama dan penjara lima tahun bagi kesalahan seterusnya, jika sabit kesalahan. Pada 12 April, beliau memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan menghasut yang dihadapinya itu atas alasan pertuduhan itu tidak sah di sisi undang-undang, berniat jahat atau dengan mala fide, bermotifkan politik dan menyalahgunakan proses mahkamah. Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amelia Tee Hong Geok Abdullah memutuskan pertuduhan itu kekal dan tidak salah di sisi undang-undang. – Bernama | ||||
Marah pemandu, pengawal peribadi didakwa tunjuk pistol Posted: 11 Oct 2013 07:25 AM PDT MALAYSIA KINI Berang dengan tindakan seorang lelaki dan rakannya yang memandu laju di sebuah kawasan perumahan, seorang ahli perniagaan dan dua pengawal peribadinya didakwa menahan kereta itu lalu menendangnya sehingga kemik. Dalam kejadian di Taman Mutiara Rini di Johor Bahru Rabu lepas, mereka didakwa turut mengarahkan kedua-dua lelaki itu keluar daripada kereta dan apabila enggan, seorang daripada pengawal peribadi itu didakwa mengangkat bajunya bagi menunjukkan sepucuk pistol yang tersisip di pinggang. Mangsa berusia 20-an yang takut dengan ancaman itu kemudiannya melarikan diri lalu membuat laporan polis pada 10.30 malam. Susulan laporan itu, sepasukan polis telah menahan ketiga-tiga suspek berkenaan dan merampas dua pucuk pistol jenis Glock, 22 butir peluru, dua sarung pistol, empat salinan borang lesen senjata api dan sebuah kereta Proton Wira berwarna biru. "Perselisihan faham di antara mereka dipercayai berlaku apabila suspek berang dengan mangsa yang memandu kereta secara laju di kawasan taman perumahan," kata ketua polis daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamad dalam satu sidang akhbar hari ini. Menurut beliau, suspek berusia 30an itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Noor Hashim menasihati supaya mana-mana pihak yang dibekalkan senjata api untuk melakukan tugas kawalan keselamatan atau sebagai pengawal peribadi agar tidak menyalahguna senjatapi berkenaan. "Senjatapi yang dibekalkan itu adalah untuk melindungi diri apabila terancam dan tidak boleh disalahgunakan," katanya sambil menambah adalah salah untuk menunjuk-nunjuk senjata kepada orang lain kerana ia boleh dianggap sebagai melakukan ugutan jenayah. Dalam perkembangan lain, polis menahan tiga suspek yang menyamun dua lelaki di hadapan sebuah kilang di kawasan Lima Kedai, Gelang Patah, Rabu lepas. Dalam kejadian lebih kurang 1.30 pagi itu, kedua-dua mangsa telah dipukul dengan menggunakan kayu dan topi keledar sebelum wang tunai dan telefon bimbit mereka disamun. Bagaimanapun, mangsa berkenaan dapat menangkap seorang daripada suspek terbabit semasa cuba melarikan diri dengan rakan suspek yang lain. Susulan tangkapan itu, sepasukan polis telah pergi ke kawasan ternakan lembu di Taman Setia Eco Garden serta Taman Nusajaya Mas dan menangkap dua lagi suspek terbabit. Polis menjumpai sebuah telefon bimbit jenis Samsung milik mangsa, sebuah topi keledar yang digunakan untuk memukul mangsa dan sebuah motosikal yang digunakan dalam kejadian samun itu. Suspek yang berumur antara 18 hingga 21 tahun itu ditahan reman tujuh hari bermula semalam. asil siasatan awal, mereka mengaku terlibat dalam lima kes samun di daerah Nusajaya dan Johor Baharu Utara.- Bernama | ||||
Shahnaz dakwa anak Taib Mahmud ada aset RM1b Posted: 11 Oct 2013 07:23 AM PDT Shahnaz A Majid memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur bahawa bekas suaminya Mahmud Abu Bekir Abdul Taib mempunyai aset bernilai RM916 juta dan RM1.33 bilion di Kuala Lumpur. Memberi keterangan dalam kes tuntutan mutaah RM100 juta, Shahnaz berkata, beliau tahu mengenai jumlah itu apabila mengupah akauntan berwibawa untuk menilainya nilai aset itu. Katanya, akauntan itu akan memberi keterangan kepada mahkamah selepas ini. Sementara itu, Shahnaz juga berkata, Abu Bekir mempunyai pegangan dalam 49 syarikat di Malaysia dan 20 daripadanya sudah diaudit. Antara syarikat yang dinamakannnya, Achijaya Communications Sdn Bhd, Bumi Time Extra Sdn Bhd dan Cahaya Mata Sarawak Bhd. Abu Bekir anak kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud. | ||||
Ancaman denggi di S'gor membimbangkan Posted: 11 Oct 2013 07:22 AM PDT MALAYSIA KINI Ancaman denggi di Selangor berada dalam keadaan yang sangat membimbangkan berikutan meningkatnya kes jangkitan dan kematian serta lokaliti wabak setakat minggu ke-40 tahun ini. Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor hari ini terdapat 11,498 kes dilaporkan setakat 5 Oktober lepas iaitu peningkatan 61.74 peratus berbanding 7,109 kes bagi tempoh sama tahun lepas. Sebanyak 14 kematian akibat denggi dicatatkan tahun ini berbanding 11 kes bagi tempoh sama pada 2012. Dalam pada itu, sebanyak 230 lokaliti wabak dilaporkan di seluruh Selangor dengan 75 lokaliti (32.6 peratus) daripadanya di daerah Petaling, 71 lokaliti (30.9 peratus) di Hulu Langat dan 44 lokaliti (19.1 peratus) di daerah Gombak. Jabatan itu dalam kenyataan menyatakan terdapat 16 lokaliti wabak tidak terkawal dan 22 lokaliti 'hotspot' atau wabak berlarutan di Selangor. Selain itu, ancaman denggi di seluruh negara juga menunjukkan peningkatan apabila 23,829 kes dilaporkan tahun ini, iaitu meningkat 42.44 peratus berbanding 16,729 kes bagi tempoh sama tahun lepas. Sebanyak 52 kematian dilaporkan setakat ini berbanding 27 kematian bagi tempoh sama tahun lepas. - Bernama | ||||
Polis: Kes Sanjeevan ditembak sedang disiasat Posted: 11 Oct 2013 07:21 AM PDT VIDEO | minit 1:49 Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah menyangkal dakwaan pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan bahawa polis tidak menyiasat kes beliau ditembak. Hadi menegaskan bahawa pihak polis mula menyiasat kes tersebut - yang mengakibatkan Sanjeevan cedera parah - sejak dari awal lagi, selepas laporan polis dibuat, dan kes itu telah diklasifikasikan sebagai cubaan membunuh. Bercakap dalam satu sidang media hari ini, Hadi berkata dakwaan bahawa polis tidak menyiasat kes tersebut adalah satu pembohongan. Beliau mengulas aduan Sanjeevan bahawa polis lebih berminat dalam menyiasat tweetnya yang mendakwa penglibatan polis dalam kes dia ditembak, daripada menjadi penyerangnya. Bagaimanapun, Hadi berkata, polis masih belum mengambil kenyataan Sanjeevan mengenai kejadian itu. Mengenai laporan polis terhadap Sanjeevan, Hadi berkata, polis menerima empat laporan dan akan menyerahkan dokumen yang diperlukan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut setelah siasatan selesai. | ||||
Soi Lek beritahu Liow: Awak undur, saya undur Posted: 11 Oct 2013 07:10 AM PDT Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata bahawa beliau sedia berundur sekiranya Timbalannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai juga sanggup melakukan perkara yang sama. "Saya sedia berundur, tetapi saya mahu Liow juga sama-sama berundur," kata Chua dalam sidang akhbar di ibupejabat parti itu di Kuala Lumpur petang ini. Chua berkata, ia merupakan satu keputusan yang menyakitkan "kerana saya telah bekerja dengannya selama empat tahun". "Dia seorang pemimpin yang lemah, tanpa pendirian sendiri. Apabila terdapat isu besar, dia akan 'seam' (bahasa Hokkian yang bermaksud melarikan diri)," katanya. | ||||
Adun Pahang gesa contohi Selangor iktiraf Ketua Pembangkang Posted: 11 Oct 2013 01:52 AM PDT SHAH ALAM: Kerajaan Pahang perlu mencontohi Kerajaan Selangor yang memberi keistimewaan tambahan kepada Ketua Pembangkang melalui penggubalan Enakmen Ketua Pembangkang Negeri Selangor. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu, Lee Chean Chung, berkata ia membuktikan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menjunjung semangat demokrasi demi memperjuangkan kebajikan rakyat. "Tahniah kepada rakan-rakan di Selangor kerana mewujudkan Enakmen Ketua Pembangkang Negeri Selangor yang memberi keistimewaan tambahan kepada Ketua Pembangkang. "Ketua Pembangkang sebagai ketua barisan bayangan kepada pemerintah, harus diberi sumber dan ruang mencukupi bagi menjayakan peranan semak dan imbang kepada kerajaan sedia ada," katanya pada kenyataan media hari ini. Penguatkuasaan enakmen itu melayakkan Ketua Pembangkang menerima elaun tetap, elaun pemandu, elaun Setiausaha Kerja, kereta rasmi kerajaan dan elaun lain. Chean Chung berkata, kegagalan kerajaan Pahang mewujudkan jawatan ketua pembangkang secara sah menjadikan negeri itu terkebelakang dari segi amalan demokrasi. Beliau menggesa Kerajaan Pahang segera melaksanakan enakmen sama selain menubuhkan Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) dan Jawatankuasa Pilihan bagi melicinkan perjalanan menyemak kepincangan dan perbelanjaan dewan.- FZL | ||||
PNSB selamatkan projek terbengkalai, pembeli dapat CF Posted: 11 Oct 2013 01:46 AM PDT KUALA SELANGOR : Pembeli projek perumahan Taman Alam Perdana, Kuala Selangor yang terbengkalai sejak 2004 dan dipulihkan kini memperoleh Sijil layak Menduduki (CF). Projek yang diselamatkan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) itu melibatkan 1,116 unit rumah. Justeru, PNSB memohon pembeli rumah Taman Alam Perdana untuk berhubung terus dengan PNSB bagi urusan selanjutnya di pejabat PNSB di Tingkat 25, Wisma MBSA, Shah Alam. Pembeli juga boleh menghubungi PNSB melalui talian 03-5510 7105/ 7233/ 7234. Pada November 2011, PNSB selaku anak syarikat Kerajaan Selangor melalui Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dipertanggungjawab untuk memulihkan projek perumahan itu. Projek berkenaan terbengkalai sejak 2004 dan gagal dipulihkan ketika Selangor masih ditadbir Umno BN. Kerja pemulihan disiapkan pada April 2012 dan Sijil Layak Menduduki Sementara (TCF) dikeluarkan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) pada 28 April 2012. Ia hasil inisiatif kerajaan Selangor untuk menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat. | ||||
Posted: 11 Oct 2013 01:31 AM PDT MALAYSIA CHRONICLE | ||||
Tembak dulu: Jangan sampai matlamat halalkan cara Posted: 11 Oct 2013 01:26 AM PDT
Menurut Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, apa jua isu yang ditimbulkan ianya tidak boleh membelakangkan perlembagaan, undang-undang dan peraturan yang telah termaktub. "Saya rasa apa yang harus dibetulkan adalah kaedah pendekatan yang dimbil oleh pihak keselamatan. "Saya rasa apa yang digambarkan oleh Zahid mungkin beliau merasakan berat tanggungjawab yang dirasakan oleh pegawai keselamatan," katanya kepada Harakahdaily. Bagaimanapun tegas Salahuddin dalam perkara ini pihak keselamatan tidak boleh berpandukan pada kaedah matlamat menghalalkan cara. Beliau yakin dan percaya, jika pihak keselamatan berpegang teguh pada SOP mereka dapat mengawal keadaan dan banteras jenayah berpandukan kepada peraturan dan undang-undang sedia ada. Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi satu ucapannya di Melaka baru-baru ini memberi gambaran bahawa lebih baik jika suspek tersebut ditembak terlebih dahulu, sebelum siasatan dijalankan. Kenyataan Zahid itu menimbulkan kecaman pelbagai pihak malah terdapat dua laporan polis yang telah dibuat terhadap beliau. Bagaimanapun, semalam ketika dalam wawancara di sebuah stesen televisyen berbayar Zahid mendakwa kenyataan 'tembak dulu' merujuk kepada kes lima suspek ditembak mati oleh polis di Pulau Pinang pada 19 Ogos baru-baru ini. "Saya merujuk kepada apa yang berlaku di Pulau Pinang di mana lima (suspek) penjenayah telah dibunuh oleh pihak polis, kerana menurut maklumat risikan, mereka itu ada senjata. "Dan saya menyatakan bahawa apa yang dinyatakan oleh seorang timbalan menteri adalah tembakan amaran dahulu baru tembakan yang sebenarnya. "Saya fikir itu bukan SOP yang ada pada pihak polis sebab semua (suspek) penjenayah ada senjata. "Adakah pihak polis hanya boleh mempertahankan diri apabila telah ditembak? Kalau begitu keadaannya, tentu ramai polis yang mati disebabkan oleh tindakan yang demikian," jelas Zahid. | ||||
K-Pop: Najib digesa gantung tugas Shabery Posted: 11 Oct 2013 01:23 AM PDT
Ketua Koordinatornya, Fariz Musa berkata, sebagai Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Shabery tidak perlu bersikap 'menegakkan benang basah' tetapi mengambil sikap bertanggungjawab terhadap pendedahan yang dibuat berkaitan pembiayaan RM1.6 juta wang rakyat untuk konsert K-Pop. Katanya, Shabery telah berbohong mengenai bayaran kepada tiga kumpulan K-Pop yang membuat persembahan U-Kiss, Teen Top dan Dal Shabet bahawa dibayar oleh penaja. Isu perbelanjaan Himpunan Sejuta Belia 2012 sejumlah RM67.6 juta dari 23 hingga 27 Mei 2012 di Putrajaya juga turut mengundang pelbagai persoalan terhadap perbelanjaan yang sangat melampau. Sebelum ini Shabery juga turut menyatakan bahawa program tersebut mendapat penajaan RM20 juta melalui Majlis Sukan Negara. "Ini bermakna perbelanjaan Himpunan Sejuta Belia 2012 adalah berjumlah dicampur dengan tajaan ialah RM87.6 juta," ujar Fariz dalam satu kenyataan. Justeru, kata beliau Kerajaan Umno BN sewajarnya bersikap serius dan bertanggungjawab terhadap Laporan Ketua Audit Negara dan bukannya mengambil sikap sambil lewa membiarkan segala kebocoran, ketirisan, penyelewengan berlaku setiap tahun tanpa ada tindakan drastik menyelamatkan wang rakyat. | ||||
Setelah 2 tahun, Masjid Senadin belum dibina Posted: 11 Oct 2013 01:20 AM PDT
MIRI: Projek wakaf Masjid Senadin mula dilancarkan pada tahun 2011 namun setelah lebih 2 tahun, ia masih belum berjaya dibina. Pada awal pelancaran projek ini, masjid Senadin dijangka disiapkan pada tahun 2013. Justeru, Pemuda PAS Miri mencadangkan projek itu diberikan perhatian khusus oleh pihak kerajaan. "Kami mencadangkan dana tambahan diberikan oleh pihak kerajaan untuk menjayakan usaha murni in," ujar Ketua Penerangannya, Abdul Hadi Alias. Katanya, ketiadaan masjid di kawasan Senadin menyukarkan penduduk sekitar untuk beribadah, terutama untuk mengerjakan solat fardhu berjemaah dan solat Jumaat. Selain daripada itu, ujarnya masjid merupakan pusat komuniti, yang boleh dijadikan pusat masyarakat dan penyebaran ilmu Islam sesuai dengan peranan masjid dalam tamadun Islam. "Kami mengharapkan pihak kerajaan terutama penaung projek yang juga merupakan Menteri Muda Sarawak, Datuk Ir Daud Abdul Rahman dapat memberikan perhatian terhadap projek ini," katanya lagi. Jelasnya, Pemuda PAS sentiasa menyokong projek-projek pembangunan ummah di Miri. | ||||
Konspirasi dalam pilihan raya kampus UKM? Posted: 11 Oct 2013 01:19 AM PDT
Pengerusi GMUKM Abdullah Sani Bin Hashim berkata, jelas terbukti wujudnya konspirasi HEP apabila pengumuman dibuat dalam suasana kebanyakan pelajar pulang ke kampung sempena cuti semester dan cuti Hari Raya Aidiladha. HEP UKM hari ini mengumumkan hari pengundian pada 23 Oktober manakala penamaan calon pada 18 Oktober. "Pembelian borang bermula serta merta sedang kebanyakan pelajar sudah pulang ke kampung. "Kejutan mengadakan PRK sebaik tamat cuti Aidil Adha untuk mengelakkan persediaan di peringkat mahasiswa," katanya dala kenyataan kepada Harakahdaily hari ini. Beliau juga turut mempersoal syarat bahawa setiap calon yang ingin bertanding mesti mempunyai sijil Bengkel Kepimpinan Pelajar HEP yang hanya diadakan sebaik habis cuti iaitu pada 17 Oktober sedangkan keesokannya sudah penamaan calon. Waktu yang singkat tersebut ujarnya akan menyukarkan pihak calon yang ingin bertanding untuk membuat persiapan. Abdullah berkata, perkara ini berbeza dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang boleh membuat pengumuman seminggu lebih awal. Katanya, walaupun tarikh membuang undi berbeza sehari dengan UKM tetapi UIAM sudah membuat pengumuman rasmi walaupun membuang undi hanya pada 30 Oktober nanti. "Kita bukan tak tahu Aspirasi Mahasiswa turun Kursus Penampilan Kepimpinan Siri II hujung minggu lepas. "Inilah proses pilihan raya yang paling dangkal dan senget di dalam sejarah PRK UKM. Namun kita tahu Aspirasi terpaksa bergantung kepada sistem berat sebelah ini sebagai talian hayat terakhir mereka," katanya. | ||||
Dedah kandungan TPPA, biar rakyat nilai Posted: 11 Oct 2013 01:17 AM PDT Muhammad Faizal
KUALA LUMPUR: PAS mengesa agar kerajaan mendedahkan isi kandungan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) agar ia dapat diteliti oleh rakyat. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika berucap pada himpunan bantah TPPA di hadapan Masjid Al-Syakirin, KLCC hari ini mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil serius dengan desakan rakyat agar menolak TPPA. "Kita berada di sini sebagai mewakili rakyat Malaysia untuk menentang perjanjian TPPA dan seterusnya menentang pelaksanaannya di negara ini. "Kita gesa agar kerajaan di bawah kepimpinan Najib membuat pendedahan kesemua perjanjian dan ini penting untuk rakyat teliti serta mengetahui apa kandungan mahupun muslihat disebaliknya," ucap beliau. Beliau turut melahirkan kekesalan apabila pimpinan Umno terus berdiam diri dalam soal TPPA walaupun ia secara langsung dilihat mengugat ekonomi negara. "Saya tidak tahu sama ada pemimpin Umno ini sedar atau tidak, mahupun takut untuk bersuara sehinggakan tidak ada sepatah pun keluar dari mulut mereka bercakap tentang TPPA. "Umno bercakap soal maruah negara, ekonomi tetapi dalam soal ini mereka membisu tanpa sebarang desakan walaupun untuk mengetahui isi kandungan perjanjian," jelas beliau Tambah beliau lagi, pimpinan Umno perlu mengambil ruang sempena dengan perhimpunan agung mereka nanti untuk mengesa presiden mereka membatalkan hasrat untuk mengikut serta dalam pelaksanaan TPPA. Salahuddin turut meminta kerajaan menyediakan satu kertas putih mengenai perjanjian serta dibahaskan segala apa kandungan di dalamnya. "Kita nak lihat kertas putih mengenai perjanjian TPPA, kita nak tengok segala kelemahan yang terkandung dalam perjanjian tersebut. "Ini hak yang perlu rakyat ketahui, apa jua kelemahan mahupun muslihat sulit dalam perjanjian tersebut kita ingin teliti serta bahaskan," sambung beliau. Salahuddin juga memberitahu isu TPPA bukannya isu satu pihak sahaja tetapi melibatkan keseluruhan rakyat Malaysia, dan perkara ini perlu ditentang habis-habisan agar kedaulatan serta ekonomi negara terjamin. Sementara itu, Pakar Ekonomi PAS Dr Rosli Yaakob meminta agar Najib meninggalkan segera meja rundingan TPPA dan menyatakan pendirian tegas Malaysia terhadap Amerika Syarikat untuk menolak terus pelaksanaan tersebut. Himpunan yang dianjur oleh Badan Bertindak Bantah TPP (Bantah) hari ini bermula di hadapan Masjid Al-Syakirin selepas solat Jumaat sebelum berarak dan berhimpun di hadapan KLCC. Himpunan aman itu telah disertai hampir 700 orang dari pelbagai latar belakang termasuk wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan juga parti-parti politik. | ||||
Posted: 11 Oct 2013 01:08 AM PDT MALAYSIA CHRONICLE Betul ke Ustaz? Tanya saya sekali lagi untuk mendapat kepastian. "Betullah, rumah-rumah sekitar kawasan ijtimak ni rumah orang Umno, tetapi mereka memberikan kerja sama yang baik dengan membenarkan kita parkir kereta di laman rumah mereka," terang Ustaz Riduan Mohamad Nor, Ketua Penerangan DPPM merangkap pengarah pengisian Ijtimak Tarbawi Malaysia. Itulah antara perkara paling menarik sepanjang saya berada di Ijtimak Tarbawi 3.0 yang berlangsung di Maahad Tahfiz al-Quran al-Muhammadi kampung Parit Medan, Kundang Ulu, Ledang, Johor. Saya macam tidak percaya pada mulanya sehinggalah diyakinkan oleh Ustaz Riduan. Mati-mati saya ingatkan rumah-rumah tersebut milik penyokong PAS. Inilah suasana mutaakhir ini di Johor. Walaupun sedia maklum kawasan ini memang Umno agak kuat, namun suasana ini menunjukkan mereka semakin terbuka. Tambahan pula perjuangan PAS semakin hari semakin diterima khususnya dalam kalangan orang muda. Saya jangka atas alasan inilah ijtimak kali ini diadakan di sini. Walaupun telah hampir seminggu ijtimak berlalu, tetapi saya melihat banyak perkara positif yang diperoleh, di samping harapan menggunung pengarah pengarah pengisian ijtimak terhadap anak muda yang hadir. Ustaz Riduan turut menyatakan bahawa selain penerimaan masyarakat setempat, pemilihan Johor juga ada kaitannya dengan peningkatan sokongan terhadap PAS. Peningkatan sokongan dari PRU 2004 – 2008 sebanyak 200 peratus dan 2008 – 2013 juga 200 peratus. Sudah tentu pemilihan tempat ini sebagai tapak ijtimak ini juga ada kaitannya dengan tuan rumahnya iaitu Pesuruhjaya PAS negeri Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed. Sesungguhnya Dr Mahfodz merupakan anak Kampung Parit Medan yang pertama yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah. Maka tidak hairanlah Dr Mahfodz merupakan sosok yang cukup disegani oleh masyarakat setempat. Berbalik kepada ijtimak itu tadi, sambutan yang diterima memang menggalakkan. Menurut Ustaz Riduan, lebih 5,000 peserta menyertai ijtimak ini. Anak muda ini datang dari segenap pelosok tanah air dan pelbagai latar belakang, hatta dari Sabah. Mereka datang dengan satu matlamat iaitu memperkasa diri untuk meneguhkan perjuanagn Islam di bumi Malaysia ini. Angka dan sambutan ini memberikan isyarat yang jelas tentang sambutan orang muda kepada program PAS. Sudah tentu saya amat kagum dengan kesungguhan mereka untuk hadir. Yang pasti kedatangan mereka tidak disambut dengan paluang kompang, bunga manggar, hotel berbintang-bintang atau pelbagai elaun. Mereka datang atas seruan Islam dan dibahu merekalah masa depan Islam bakal diperkuatkan. Sudah tentu program yang besar seperti ini memerlukan komitmen yang tidak sedikit bagi memastikan semuanya berjalan lancar. Ustaz Riduan menyatakan perasaan gembiranya kerana semua petugas telah melaksanakan tugas masing-masing. Juga kesudian para pimpinan PAS pusat turut meluangkan masa untuk bersama-sama anak muda memberikan ilmu dan semangat. Sebagai orang kuat program ini Ustaz Riduan meletakkan harapan besar kepada generasi pelapis yang hadir supaya apabila kembali ke tempat masing-masing dan membawa segala ilmu dan semangat juang semasa ijtimak serta mengaktifkan program tarbawi - dakwah, usrah, tamrin, jaulah, daurah tarbawi, mukhaiyyam dan sebagainya di kawasan masing-masing. Selain harapan kepada pemuda, beliau berharap program ini dapat membuka minda dan hati penduduk kampung terhadap perjuangan PAS. Tentunya, harapan ini mahu diterjemahkan dalam pilihan raya yang akan datang. Ijtimak kali ini secara langsung memberi peluang kepada anak muda ini merungkaikan pelbagai kekeliruan dalam isu semasa sama ada di dalam PAS mahu di luar. Mereka di beri ruang untuk berdialog secara terus dengan pimpinan pemuda dan mengumpul maklumat dan pencerahan semampu yang mungkin. Saya percaya tidak mudah merungkaikan semua persoalan namun setidak-tidaknya ruang yang ada dapat dimanfaaatkan. Yang pasti pimpinan pemuda kali ini mahu ijtimak ini dijadikan titik mula kepada anak muda yang hadir untuk mengembalikan kehangatan program-program usrah, tamrin dan sebagainya seperti era 80-an dahulu. Hal ini kerana semangat ukhuwah dalam kalangan ahli lebih kuat jika hal ini dapat dilaksanakan. Bagi saya, setahun dari sekarang dalam ijtimak yang akan datang kita akan berkumpul kembali dan menilai sejauh manakah harapan ini dapat dilaksanakan! | ||||
Audit: Tindakan dengan SURAT AMARAN sahaja Posted: 11 Oct 2013 01:05 AM PDT MALAYSIA CHRONICLE SHAH ALAM - Kerajaan tidak pernah berazam untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dengan penyelewengan terutama dalam jabatan kerajaan sehingga berlaku ketirisan yang berulang setiap tahun. Menurut Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, 95 peratus tindakan yang diambil jika mereka atau jabatan kerajaan terlibat dengan penyelewengan hanya dengan memberi surat teguran sahaja. Katanya, jika tiada tindakan tegas yang dikenakan kepada mereka maka sampai bila-bila pegawai atau mungkin ketua jabatan akan terus cuai. "Jika berlaku kerap kali sudah pasti rakyat akan mencurigai sama ada semua yang terlibat iaitu daripada pegawai hingga ketua jabatan," katanya dalam wacana di Karangkraf, `Laporan Audit: Tiris atau Terlepas pandang'. Beliau menegaskan, ekoran laporan audit yang mencurigakan rakyat mahu pihak kerajaan mengambil tindakan tegas menghapuskan masalah ketirisan yang berlaku dalam jabatan kerajaan. "Kita harap penguatkuasaan jalankan proses siasatan dengan lebih terperinci supaya pihak yang bersalah menjadi contoh kepada pihak lain," tegasnya. Menurut beliau, jika kerajaan berjaya mengambil tindakan keras dan tidak ada toleransi dalam soal ketirisan sudah pasti pihak Audit Negara akan menjalankan kerja dengan lebih mudah. Beliau menyelar jawapan Ketua Polis Negara mengatakan 44 laras senjata api yang hilang mungkin jatuh ke dalam laut dan tidak jatuh ke tangan penjenayah. Katanya, jika pihak penguatkuasa tidak mengambil tanggungjawab terhadap aset yang ada dalam badan berkenaan sudah pasti jabatan kerajaan lain akan melakukan kecuaian terhadap aset mereka. Laporan audit menyebut bahawa polis kehilangan 44 laras senjata api, 156 gari dan 29 kenderaan. Beliau menegaskan, jika pihak Polis yang menegakkan keadilan tidak dapat mengawal jenayah yang berlaku dalam jabatan mereka, bagaimana mereka boleh mengawal jenayah di luar. Disiplin bermula daripada pihak penguatkuasaan dan ia perlu dilaksanakan di jabatan serta kementerian manakala menteri-menteri perlu mengambil tanggungjawab terhadap setiap yang berlaku dalam kementerian mereka. Wacana disertai Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohammed dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara ( PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamad. Ubah prosedur elak ketirisan berulang Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kasim Mohamad berkata, ketirisan yang sama berulang setiap tahun disebabkan prosedur yang dilaksanakan oleh Jabatan kerajaan selama ini tidak pernah dibetulkan. Menurut beliau, jika pembelian secara pukal tidak diubah dengan satu kaedah baru yang dicadang kepada kerajaan walaupun harga termurah tetapi perlu ada semakan harga pasaran iaitu tidak boleh melebihi harga pasaran yang munasabah. "Jangan benarkan harga yang dibeli itu dengan harga yang tidak munasabah. Kalau harga pasaran RM100 tapi benarkan pembelian dengan harga RM3000, ini sudah tidak munasabah," tegasnya. Beliau berharap Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) perlu bentangkan kepada kerajaan supaya mengubah prosedur tersebut dan jika ada perubahan sudah tentu ketirisan tidak akan berlaku berulang. Mengulas ketirisan yang setiap tahun berulang, katanya, ketua jabatan di setiap kementerian bertanggungjawab mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai atau kakitangan yang terlibat melakukan penyelewengan atau memaklumkan terus kepada penguatkuasa undang-undang. Sekiranya perkara itu tidak sengaja dilakukan atau kelalaian maka menjadi tangggungjawab Ketua Jabatan untuk menyiasat perkara tersebut. "Jika sebuah syarikat, Audit memaklumkan berlaku pemalsuan, kita siasat jika salah kita buang, lepas itu kita minta bayar balik. Ini duit syarikat. Jika ini tidak dapat, hantar mereka yang terlibat kepada polis dan masukkan dalam penjara," tegasnya. Beliau berkata, tindakan itu perlu dilakukan oleh Ketua Jabatan masing-masing dan bukan diserahkan kepada pihak SPRM. "Masalahnya undang-undang negara kita, kelalaian itu bukan satu kesalahan jenayah, buat satu keputusan tidak betul juga bukan kesalahan jenayah," katanya. Beliau berkata, ini berbeza dengan negara maju jika kesalahan dilakukan dengan sengaja akibat kelalaian sehingga kehilangan wang berjuta ringgit maka mereka yang terlibat boleh dituduh atas kelalaiannya. "Pada hari ini kelalaian tidak boleh dituduh dan tertuduh pun tidak boleh dituduh," katanya. Harakahdaily | ||||
Pusara P.Ramlee, Saloma Akhirnya Siap Dibaiki Posted: 11 Oct 2013 12:55 AM PDT KUALA LUMPUR: Pusara Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan isterinya Puan Seri Saloma yang menjadi kontroversi kerana nilai baik-pulihnya mencecah nilai RM23,000 siap dibina dan dirasmikan dalam bentuk bacaan tahlil di tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang di sini pada Jumaat. Pengerusi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Datuk Md Afendi Hamdan berkata, pembinaan semula pusara yang roboh akibat dihempap pokok pada Mac lalu itu hanya merangkumi baik pulihnya kepada bentuk asal dan tidak lebih daripada itu. "Kos tersebut tidak perlu dipertikaikan lagi kerana ia adalah perbelanjaan membaiki dua pusara dan kita hanya baikinya dalam bentuk yang sama seperti dahulu cuma mungkin harga dulu dan kini berbeza. "Bagaimanapun pihak Astro turut menghulurkan bantuan dengan menampung separuh daripada kos perbelanjaan tersebut," katanya ketika ditemui selepas selesai majlis bacaan tahlil dan peletakan batu nisan baru, di tanah perkuburan berkenaan. Hadir sama Datuk Aznil Nawawi, Datuk Mustafa Maarof dan Mariani. Tambahnya, biarpun kos tersebut dipertikaikan dan dianggap terlalu mahal namun ia sebenarnya sesuatu yang sangat bernilai dan perlu diberi pembelaan yang sewajarnya. "Pada saya ia adalah tanggungjawab kita untuk memelihara pusara ini dengan baik dan menjadikan ia sebagai kenangan kepada legenda yang perlu diingati oleh semua rakyat negara ini. "Majlis tahlil seperti ini akan dijadikan acara tahunan bagi memperingati seniman dan seniwati legenda kita. Selain itu pihak Finas mempunyai beberapa rancangan lain untuk anak seni yang telah meninggal dunia," katanya. Sementara itu, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu bagi menanggung separuh kos pembinaan semula pusara tersebut sebagai salah satu tanggungjawab sosial terutamanya kepada industri seni. "Astro terpanggil untuk tampil membantu kerana kami juga banyak menyiarkan filem-filem P.Ramlee dna bagi saya pembinaan semula ini bukan berlebih-lebihan dan daripada segi kos tersebut tidak terlalu besar jika dibandingkan dengan jasa mereka kepada industri ini," katanya. P. Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973 akibat serangan jantung manakala Saloma pula meninggal dunia pada 25 April 1983 akibat demam kuning. | ||||
Pembayar Cukai & Rakyat Berhak Berasa Marah Posted: 11 Oct 2013 12:51 AM PDT SEORANG rakan penulis telah menyatakan rasa marahnya yang teramat sangat ke atas pelbagai bentuk pembaziran dan perbelanjaan yang disalahgunakan, disalah pakai, dibazirkan dan dibelanjakan tanpa pengawasan sepertimana yang terkandung di dalam Laporan Ketua Audit Negara. Manakan tidak, ketika dia menerima bonus daripada majikannya, wang yang dipotong untuk cukai peribadinya mencecah sehingga RM4,500. Wang itu adalah hasil titik lelahnya tetapi dia adalah seorang pembayar cukai yang baik. Hasil daripada wang yang dikutip daripada cukainya itu digunakan oleh kerajaan untuk menguruskan negara. Jadi siapa yang tidak marah jika wang pembayar cukai sepertinya itu digunakan secara tidak cekap sehingga membawa kepada pembaziran dan kerugian yang mencecah berbilion ringgit. Maka itu dia berhak berasa marah dengan apa yang didedahkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara. Malangnya, amalan pembaziran dan ketirisan atau kelonggaran ke atas pengawasan pelaksanaan projek atau dasar sepertimana yang didedahkan oleh Jabatan Audit Negara ini tetap juga berlaku setiap tahun. Rakyat dan pembayar cukai menjadi semakin jelak dan mengharapkan penambahbaikan atau pengawasan yang lebih ketat dan teliti. Malangnya ini semua tidak berlaku. Sebaliknya kecuaian dan pembaziran ini semakin bertambah sehingga ke tahap yang luar biasa dan sukar dipercayai. Contoh yang paling menakjubkan ialah tuntutan palsu uniform atau pakaian untuk kakitangan beruniform, projek berjuta ringgit yang diserahkan kepada syarikat kontraktor yang tidak memiliki rekod perkhidmatan sehingga terbengkalai, projek kawalan keselamatan di sekolah-sekolah satu Malaysia sehingga mencecah RM2 bilion, pembayaran untuk kerja yang tidak siap atau tidak wujud dan banyak lagi. Peranan dan fungsi audit ialah untuk memastikan segala peruntukkan dan pelaksanaan projek serta dasar dilaksanakan mengikut prosedur. Kedua ia adalah bertujuan untuk mengenalpasti di mana berlakunya ketirisan dengan harapan kecuaian yang sama tidak berulang. Ketiga ialah untuk ketua jabatan mengambil tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab ke atas semua ini. Apabila punca masalah telah dikenalpasti, maka langkah seterusnya yang dinantikan oleh pembayar cukai ialah apakah bentuk hukuman yang telah diambil ke atas sang pelakunya. Malangnya ini tidak akan kita ketahui kerana bukanlah menjadi tanggungjawab Ketua Audit Negara untuk melaporkan bentuk tindakan yang telah diambil ke atas sipelaku atau mereka yang bertanggungjawab mengawalselia pelaksanaan projek. Jabatan Audit Negara hanya mengaudit kementerian, jabatan, lembaga dan syarikat berkaitan kerajaan. Lain daripada itu bukan di bawah tanggungjawabnya. Maka pada akhirnya adalah menjadi tanggungjawab setiap kementerian, jabatan, agensi, lembaga dan syarikat berkaitan kerajaan yang nama mereka dikaitkan dengan sebarang ketidakcekapan dan ketirisan menjawab dan menjelaskan kepada rakyat mengapa ini semua boleh berlaku dan apakah bentuk tindakan yang telah mereka ambil ke atas kakitangan atau pegawai yang terlibat. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan