Selasa, 29 Oktober 2013

.

.


Berundur langkah bijak Nasarudin, Nik Abduh

Posted: 28 Oct 2013 07:29 PM PDT

MENAIK MENTARI                                                                          

Seperti sepakat pula ketua pemuda Pas Nasarudin Hassan dengan timbalannya Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengambil keputusan meninggalkan kepimpinan pemuda. Semalam Nasarudin mengumumkan dia tidak akan mempertahankan jawatan itu atas alasan mahu memberi laluan kepada orang muda.

Nasaruddin Hassan
Beliau kini sudah berusia 43 tahun dan memimpin dewan itu sudah dua penggal selepas mengambilnya dari Salahuddin Ayub.

Beberapa hari sebelum ini Nik Abduh telah mengumumkan yang dia tidak akan mempertahankan jawatan yang disandangnya. Nik Abduh baru sepenggal menjadi timbalan ketua pemuda. Dia tidak menjelaskan kenapa dia mengambil keputusan. Namun pemerhati politik dapat mengagak kenapa? Mungkin kerana soal prestasi... sebab untuk menduduki jawatan sepenting itu bukan gampang semudah membelek muka surat Quran dan baca atau sesemesik menulis catatan ilusi dalam facebook.

Dari satu sudut tindakan kedua-dua pemimpin pemuda Pas ini boleh dipuji. Mereka berundur sendiri tanpa ada desakan. Ini menunjukkan mereka sedar diri dan insaf. Tindakan mereka berdua itu juga tidak menampakkan mereka gilakan jawatan atau sengaja menanti di jalan bersimpang dihadapan untuk dicabar atau didesak berhenti.

Bagaimana pun ahli parlimen Temerloh dan Pasir Mas itu akan cuba mendapatkan tempat dalam jawatankuasa Pas pusat dengan bertanding merebut jawatan Ajk Pas pusat. Rasa pelek sedikit kenapa mereka meninggalkan pemuda dan ingin memasuki ke saf hirearki tertinggi Pas menerusi Ajk. Tidakkah sebagai penjawat jawatan itu; ketua pemuda, mereka sudah pun berada dalam jawatankuasa Pas Pusat?

Di sini menyebabkan timbul persoalan apakah mereka mengambil keputusan untuk berundur itu kerana mereka sudah dapat merasai bara dibawah punggung sebagai pemimpin sayap kanan parti kini sudah panas dan hangat. Sejak awal lagi terdengar desas desus kedudukan Nasarudin dan juga Nik Abduh akan ditentang. Antara sebabnya kerana sayap kanan Pas itu dilihat tidak mampu bergerak seiringan dengan peredaran masa serta mengolah isu-isu semasa yang menyebabkan dewan itu seakan ketinggalan ke belakang.

Nasarudin dan Nik Abuh membawa pemuda ke zaman koservetif seolah mahu menjadikan pemuda sebagai ustaz dan wali agama. Tindakan ini menyebabkan nampak jelas akan perbezaan pemuda semasa zaman Mahfuz Omar atau Salahuddin Ayub yang aktif dan lantang dalam memperjuangkan isu-isu semasa.

Mungkin menyedari masalah itulah atau kerana tidak mahu terheret dalam satu pertandingan sengit maka mereka membuat keputusan bersama. Apa guna cari penyakit, sebelum sakit elok mengelak diri atau mengambil penawar. Justeru dipercayai keputusan kedua pemimpin Pemuda itu berundur adalah dirancang dan disepakati. Mungkin juga ada agenda tujuan mereka mahu melatari jawatankuasa Pas dengan orang-orang segeolongan dengan mereka.

Kepemimpin pemuda dibawah Nasarudin dan Nik Abduh dilihat lesu dan kurang bermaya serta tidak agresif sebagai sebuah badan siasah. Periode pemuda dibawah mereka tidak begitu galak memperjuangkan isu-isu rakyat melainkan asyik dengan himpunan-himpunan menayangkan wajah ke Islaman dan menunjukkan kononnya pemuda Pas berjiwa Islam. Tidak ada acara-acara besar peringkat nasional yang melibatkan masyarakat umum. Begitu juga tidak ada praktikal melainkan hanya membuang idea dan pandangan menerusi status dalam facebook atau blog. Mereka masih bersikap peribadi dan bukan menyerlahkan status mereka sebagai seorang ketua.

Mereka bukan pelaksana tetapi lebih kepada jurucakap atau jurupetik ayat-ayat Quran dan Hadith dan membaca sirah-sirah Rasulullah. Politik sebegitu bukan politik yang mendatar kepada realiti sebab politik adalah sedia memangsakan diri dengan masyarakat umum. Tidak nampak sepanjang tempoh mereka menjadi pemimpin pemuda mereka mengemukakan gagasan dan pemikiran besar melainkan cuba mempamirkan mereka adalah pemangkin tradisi lama di dalam Pas.

Persoalan kini ialah siapakah yang akan menjadi penggerak pemuda selepas ini. Pemimpin selepas ini penting untuk menjadi pemuda sebagai agen dan penggerak Pas bukan saya dalam soal syaksiah tetapi pemikiran juga. Ketua pemuda Pas juga perlu dipilih sebagai pemuda bakal menggerakkan generasi muda untuk berdepan dengan PRU ke-14.

Pemuda Pas harus lebih dominan dan berketrampilan dalam semua aspek dan cekap menangani isu-isu yang timbul secara konsisten dan berfakta. Pemuda bukan lagi bersifat ustaz yang tahu membaca dan mengajar tetapi sukar berbuat. Pemimpin pemuda yang dikehendaki juga yang tahu erti politik sebenar dalam konteks negara ini.

Ada beberapa di kalangan pemuda yang dicalonkan sebagai ketua pemuda. Antara mereka ialah bekas ketua Pemuda Pas Johor, Suhaizan Kaiat, ketua pemuda Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohmad dan seorang peguam Zulhazmi. Ketiga-tiga belum mengesahkan akan bertanding merebut jawatan ketua pemuda hanya menyatakan kesediaan.

Pemuda Pas boleh mula memikirkan siapakah di antara mereka ini yang layak untuk diangkat menjadi ketua pemuda. Dalam membuat pilihan raya semestinya pemuda Pas melepaskan dari diikat tali retorik mahu menjadikan pemuda Pas penggerak Islam secara global dan lebih sofisikated. Mereka yang hendak dipilih biarlah sudah ada track record atau pun pernah menunjukkan daya kepimpinan yang disenangi umum.

Dalam hubungan ini juga orang itu biarlah dapat berdepan dengan ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin. Maksudnya kalau tidak setanding dari segi pendidikan sekular, tetapi dapat dan sedia membalas pemikiran Khairy. Betul kriteria menjadi ketua pemuda itu tidak seharus diukur dengan Khairy tetapi semua kena terima hakikat yang politik adalah perlawanan kata-kata, idea dan bukannya fizikal.

Apa yang penting semoga pemuda Pas tidak memilih orang yang berada dalam rangka sebelum ini kerana kumpulan itu ternyata sudah gagal atau kurang bermaya dan ini terbukti apabila ketua dan timbalannya telah menarik diri dari terus pemimpin dewan itu kerana mereka menyadari kelemahan dan ketidakmampuan mereka. Kalau diambil benih yang sama maka pokok yang sama juga akan tumbuh.

Kamaruzaman Mohamad yang baru-baru ini dikaitkan dengan konspirasi untuk membuang Yang di Pertua Pas Putrajaya mungkin tidak layak untuk dipilih sebagai ketua pemuda berdasarkan apa yang berlaku di Putrajaya itu. Apabila keputusan yang dibuat bersama berberapa AJK Pas Putrajaya merihatkan Yang diPertua kemudian di dapati tidak sah kerana bercanggah dengan perlembagaan menjelaskan Kamaruzaman seorang yang gopoh. [wm.kl.10:10 am 29/10/13]

Tiada ulasan: