. |
Pas Pusat ke Kelantan selesai kemelut sesama sendiri Posted: 22 Oct 2013 02:25 AM PDT PANDANGAN SORE Seperti mana dilaporkan oleh sebuah akhbar arus perdana, hari ini pimpinan tertinggi Pas diketuai presiden Abdul Hadi Awang telah mengadakan pertemuan dengan pucuk pimpinan Pas Kelantan di Kota Bharu Kelantan bagi membincangkan teguran Husam Musa kepada kerajaan negeri yang menjadi isu dan perbualan umum di Kelantan ke belakangan ini.
Sementara pucuk pimpinan Pas pula selain Abdul Hadi Awang, Mohamad Sabu, Sallahuddin Ayub, Mahfuz Omar, Tuan Ibrahim Tuan Man, Mustapa Ali dan lain-lain. Kalau ikutkkan kebiasaan timbalan Mursyidul Am Haron Din dan Ketua Dewan Ulamak Harun Taib juga termasuk dalam kategori pucuk pimpinan tertinggi Pas. Tidak diketahui secara pasti apakah ada agenda sampingan lain, ataupun ia khusus membincang soal Husam semata-mata. Pertemuan bagi membincang soal itu dibuat apabila ia gagal dibincangkan dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Pas diadakan di ibu pejabat Pas. Kegagalan itu seperti mana lapor sebuah porta berita kerana tiada wakil (Ajk) daripada Kelantan termasuk Ahmad Yaakub dan Mohd Amar Nik Abdullah di dalam mesyuarat berkenaan. Sekiranya Ahmad Yaakub atau ada wakil dari Kelantan sudah pasti pertemuan khas yang baru berlangsung kira-kira setengah jam tadi tidak diadakan. Boleh jadi tujuan ia dibawa ke Kelantan bagi membolehkan Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat hadir sama. Sepatutnya mesyuarat untuk menenangkan keadaan atau mendapat penjelasan terhadap 'insiden' yang berlaku itu diadakan di Kuala Lumpur saja dan tidak perlu ia diadakan khas di Kota Bharu kerana ia akan 'membanyak mangkuk pinggan'. Ini kerana tindakan itu mendedahkan kepada musuh bahawa Pas dan kerajaan Pas Kelantan seolah sedang menghadapi masalah serius. Bagi lebih afdal kalau presiden memanggil Husam, Ahmad Yaakub dan beberapa yang lain bertandang ke rumahnya sahaja. Cara itu juga lebih bersifat ukhwah dan Islamik. Bila ia dibuat khas di Kota Bharu adalah kurang bijak sedikit tindakan ini kerana ia seolah-olah sengaja membuka pekung kepada musuh. Daripada pihak musuh tidak tahu dan menganggap perkara yang berlaku di Kelantan itu antara Husam dengan kerajaan saja, kini ia membuka kepada persepsi masalah itu membabitkan Pas seluruhnya. Langkah mendedahkan maklumat itu kepada akhabr arus perdana juga sesuatu amalan yang tidak baik. Ia menunjukkan masih ada hubungan peribadi antara mana-mana individu Pas yang mengetahui agenda itu dengan individu di dalam akhbar berkenaan. Sikap ini juga boleh dianggap satu pengkhianatan kerana mereka memandang remeh akan peranan jahat media untuk membusukkan Pas. Perbuatan membuka pekung di dada ini seharusnya dihentikan dari dilakukan oleh individu Pas yang turut hadir dalam mesyuarat Jawatankuasa kerana sikap mereka itu adalah pecah amanah dan menjelekkan. Sebenarnya tidak ada apa yang pelik dengan pertemuan hari ini kalau ia dikhususkan membincangkan soal gara-gara apa ditimbulkan Husam. Ia adalah amalan biasa Pas akan memanggil mana-mana pemimpinnya untuk mendapat penjelasan atau diberi nasihat bila berlaku sesuatu kekalutan. Mungkin pada pandangan Pas Pusat apa yang dicetuskan Husam didalam Dewan Undangan Negeri Kelantan tempoh hari ia boleh mengeruhkan suasana. Itu sahaja. Tetapi bila ia disampaikan kepada media, apa lagi media arus perdana milik Umno ia akan menjadi bertambah busuk. Saya percaya sekiranya beberapa pandangan diberikan kepada Ahmad Yaakub sebelum ini agar bersikap lebih berani dan sedia untuk bersemuka dengan Husam (sebagai abang dengan adik) diambil kira dan diakuri, apa yang berlaku seperti di Dun Kelantan tempoh hari tidak akan terjadi. Saya sendiri dua kali menyarankan kepada Ahmad Yaakub memanggil sendiri Husam untuk menerima pandangan dan memberi penjelasan ke atas sesuatu perkara salah faham. Malang ianya tidak dilaksanakan. Kelambatan dan kurang berani Ahmad inilah bagi saya ia telah mengheret permasalahan yang ada hari ini. Berbalik kepada pertemuan pucuk pimpinan Pas tengah hari ini, yang menjadi pertanyaan kini apakah pertemuan ini dalam keadaan anak beranak dan semua isu dibangkit dibincang secara profesional? Apakah tujuan pertemuan hari ini untuk membelasah Husam dan menyalahkan beliau seratus peratus atas tindakannya itu? Tidak dapat dinafikan memang ada kesan negatif daripada beberapa teguran Husam tetapi jika dilihat secara jilah dan penuh kebertanggungjawab ia membawa kebaikan kepada kerajaan pimpinan Ahmad Yaakub. Apa yang berlaku adalah satu insiden kecil yang berasaskan kepada kebenaran. Ahmad Yaakub dan anggota Exco harus sedia memperbaiki apa yang dibangkitkan, melainkan apa yang diutarakan Husam itu adalah fitnah atau perkara yang sengaja dilakukan. Ahmad Yaakub dan kerajaan juga tidak perlu malu untuk angkat tangan mengaku bersalah? Sebagai seorang pemimpin parti Islam yang bercita-cita untuk meniru gaya dan semangat kepimpinan Rasulullah s.a.w. semua pihak harus berani dan bertanggungjawab. Adalah diharap perbincangan yang telah selesai itu tidak menghentam satu pihak dan membela pihak yang lain serta meninggalkan kesan luka. Di dalam politik bukan bermakna minoriti itu salah dan majoriti itu benar. Sekiranya melihat kepada bilangan yang mempertikaikan Husam itu lebih ramai dan yang mempertahankan Husam itu sedikit, atau hanya Husam sahaja, maka dia disalahkan? Pertimbangan dan hukuman begitu tidak tepat. Yang perlu dilihat kepada kebenaran yang dibangkitkan. Apakah begitu? Pas Pusat harus berhati-hati dalam melihat dan menyelesaikan masalah Husam ini (kalau benar ada) kerana ia agak difficult sedikit kerana ia akan berkaitan. Perkara yang perlu diambil perhatian ialah kepada suasana dan sikap penyokong Pas di luar. Tidak boleh dinafikan penyokong Pas yang terdiri dari anak-anak muda, generasi "Y" yang sudah mulai mengkagumi Husam bersimpati dengan nasib dan takdir berlaku ke atasnya di Kelantan. Betul tindakan mereka menuruti emosi, tetapi apa yang penting tindakan itu bakal merugikan Pas. Jangan hendaknya semangat anak-anak muda yang mendekati Pas dengan meletakkan Husam sebagai idola mereka dimusnahkan begitu sahaja. Kalau ini berlaku ia satu kerugian besar buat Pas. Saya yakin pertemuan hati ini dapat menyelesaikan segala masalah berbangkit. Dan Husam sendiri seharusnya merasa lega dan berterima kasih kerana isu yang dibangkitkan atas nawaitu untuk memperbaiki kepincangan diberi pandangan oleh Pas Pusat. Beliau jangan merasa kesal atau menganggap kalau ada teguran dan pandangan ke atasnya sebagai hendak memperkecilkan usaha dan niatnya. Husam perlu mengetahui bahawa dirinya adalah aset kepada perjuangan Pas bukan sahaja di Kelantan tetapi di Malaysia. Husam perlu memandang jauh ke depan bukan menolek dan mengingati kenangan di belakang. Perjuangan Pas masih panjang. Husam sendiri ada menyebut apa yang beliau lakukan adalah demi untuk memastikan usia kerajaan Pas Kelantan panjang. Beliau juga memberi jaminan akan tetap bersama kerajaan dan menyokong Ahmad Yaakub. Justeru Ahmad Yaakub perlu menerima dengan hati terbuka dan merasa terima kasih atas ikrar Husam itu. Dengan apa yang berlaku sehingga Pas Pusat terpaksa turun ke Kelantan bagi menenangkan keadaan ini menunjukkan apa yang berlaku di Kelantan itu serius dan memberi kesan negatif? Kalau tidak masakan seluruh pimpinan Pas tertinggi perlu turun ke Kelantan. Sejak Ahmad Yaakub mengambil alih kepimpinan inilah pertama kali pucuk pimpinan Pas turun ke Kota Bharu beramai-ramai. Ahmad Yaakub khasnya bersama Nik Amar Nik Abdullah perlu mengambil perhatian mengenai perkara ini. Apa yang berlaku jangan sampai berulang. Luka yang kecil perlu ditampal segera dan jangan dibiarkan, apa lagi kalau sengaja cuba mencurah cuka dan garam ia boleh menyebabkan luka yang kecil itu memborak akhirnya membawa kepada kereputan dan kepatahan tulang sebuah kerajaan. Semuanya akan rugi dan semuanya akan menangis. [wm.kl.5:05 pm 22/10/13] | ||||||||
Paksi menyalak kepada orang yang jadi 'bukit' Posted: 21 Oct 2013 07:26 PM PDT SEBUAH RASA, RASA
Sesampai di lokasi baru saya tahu siapa penganjur dan siapa yang terlibat dengan majlis itu. Rupa-rupanya rakan-rakan dalam Paksi - Seniman Paksi Rakyat, manakala pengelolanya ialah Lunjah Kesenian Pas yang dikepalai Muhaimi Sulam. Mungkin kedatangan saya agak mengkagetkan juga, kerana saya barang kali tidak seharus berada sama di majlis berkenaan, sebab saya tidak menjadi anggota Paksi secara langsung. Kerana itu saya tidak dijemput bagi mengelakkan apa-apa yang tidak baik terdedah? Sifat majlis itu, dialog tertutup dengan kepimpinan Pas yang membicarakan permasalahan seni dan budaya serta peranan dan kepedulian kerajaan terhadapnya. Majlis itu dikira hebat juga, walaupun penyertaan para seniman hanya di kalangan pro pembangkang dan sememang pun nadi untuk menggerak budaya dan kesenian tidak perlu ramai. Ia saya kata hebat kerana presiden Abdul Hadi Awang, timbalan presiden Mohamad Sabu dan dua naib presiden Sallahudin Ayub dan Mahfuz Omar hadir. Mungkin seorang lagi naib presiden Husam Musa tidak sempat hadir tetapi saya pasti dia juga dijemput.
Orang politik lain turut hadir ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, bekas MP Kuala Selangor Dzulkifly Ahmad, Pesuruhjaya Pas Selangor Dr Rani Osman dan lain-lain. Manakala tetamu istimewa di sebelah seniman ialah Sasterawan Negara A Samad Said (Pak Samad) juga turut sama hadir. Dialog perihal budaya, permasalahan dan 'sikap lembu kenyang' oleh pimpinan Pakatan Rakyat kepada kepentingan budaya, sebenarnya ia adalah mauduk berulang-ulang persis orang menceret (berak cerah). Sudah acap kali saya mendengar rintihan dan sunggutan para seniman yang saya kira sudah ke peringkat hidung tidak mancung pipi pula tersorong-sorong untuk membantu kerajaan Pakatan Rakyat dalam aspek ini. Betapa tidak, mereka bermaufakat sesama sendiri mengadakan pelbagai kegiatan kebudayaan dan kesenian dalam mendokong Pakatan Rakyat atas matlamat sama mahu melihat terbentuknya sebuah kerajaan baru yang berwibawa dan adil. Ia bermula pada era refomasi lagi. Mereka bagi saya adalah kelompok pemberani kerana risiko berada di pihak pembangkang bagaikan berjalan di atas bara.
Saya kira para seniman yang jiwanya seni, sifat kemanusiaan tinggi tidak pedulikan itu. Bagi mereka material bukan matlamat dan tujuan. Kepuasan mengatasi segala-galanya. Ambil contoh Pak Samad beliau sengaja menyusahkan diri untuk menongkah ruas pada ketika usianya sudah berbaki dan wajar berihat di tepi-tepi sungai atau lautan. Tidak ada siapa memanggilnya turun ke gelanggang tetapi rangsangan naluri dan kesedaran manusiwinya sendiri yang mengerakkan langkah jihadnya. Seniman setaraf dengan Pak Samad ramai tetapi yang berani sepertinya amat sedikit sekali malahan boleh dikatakan langsung tidak ada. Perhatikan negara telah melahirkan beberapa sasterawan negara tetapi berapa kerat telah menggunakan title manis dan gah itu untuk memperjuangkan rakyat? Mereka seakan menjaga mahkota sastera itu menjadi permata digilap untuk mencari makan dan membanggainya. Mereka masih asyik menulis sambil menghisap paip atau berada di dalam bilik-bilik berkaca sejuk. Berbalik kepada kelompok Paksi tadi apabila parti yang mereka sokong menang, mereka mulalah menaruh harpan besar agar aspirasi dan agenda mereka membudayakan rakyat akan dapat ditolong dan dibantu. Mereka tidak mahu lebih dari itu tetapi sekurang-kurang mereka diambil kira dalam kerja-kerja membina kerajaan baru Pakatan Rakyat yang lebih bersifat telus dan bersih. Budaya yang mereka hendak bawa bukan budaya puji-pujian atau dendangan tetapi sebagai pengislahan. Mereka mahu benar-benar bertindak sebagai seniman sejati. Kedudukan seniman ini sama penting dengan ahli korporat, agamawan, ilmuan dan lain-lain entiti kerana mereka ada ruang tugas dan tanggungjawab tersendiri. Mereka dilahirkan Tuhan untuk berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air. Orang-orang seperti mereka juga mempunyai hak undi yang sama sebagai warga negara lain maka mereka juga berhak menelurkan hajat mereka. Malangnya harapan dan impian mereka tidak terpenuhi. Lebih menyedihkan mereka melihat kerajaan yang dibangunkan itu memiliki aset dan kekayaan yang boleh memberi sumbangan kepada usaha dan kegiatan mereka. Mereka melihat ada peruntukan dan biaya untuk aspek lain tetapi hak dan kepentingan mereka tidak dipedulikan dengan seadilnya.
Ada sesuatu yang sangat menyikirkan telinga yang tidak patut disebut tetapi disebutkan. Saya yakin beliau tidak ada niat serong apabila mengungkitkan perkara itu melainkan 'berdialog' secara terus terang mengingati sesuatu yang pernah diucap, diikrar tetapi dilupa dan dimungkiri. Semua itu bagi menyelamatkan penjanji berdosa. Ada dua perkara menarik yang wajar diberikan perhatian oleh pihak yang menjadi sasaran. Pertama, janji kerajaan Selangor untuk membantu aktiviti budaya menerusi projek jelajah budaya di sembilan daerah di Selangor yang seakan tertangguh. Bukan kerana ada sebatoaj atau aktivits merajuk kerana bergaduh merebut honororium tetapi kerana pengurangan peruntukan. Sebut Dinsaman peruntukan projek itu mulanya sebanyak RM30 ribu kemudian dikurangkan menjadi RM20 ribu sahaja. Ternyata jumlah RM30 ribu itu jauh lebih rendah daripada peruntukan kasar untuk seni budaya bernilai RM2.5 juta seperti mana diumumkan MB Selangor Khalid Ibrahim. Perkara kedua ialah mengenai pemintaan (janji) untuk menerbitkan antologi puisi A Samad Said hanya RM15 ribu sahaja tetapi tergendala begitu sahaja. Kejadian ini tidak patut berlaku kalau 'kuasawan' mengenali siapa dia Pak Samad dan pengorbananya. Setuju dengan kata Disman, RM15 ribu atau RM30 ribu itu hanya kecil sahaja tidak sampai suku daripada kos program-program sosial kerajaan atau bantuan kepada projek politik untuk menggilap imej dan mengosok kasut pemimpin agar bersinar banar? Selain itu banyak lagi yang telah disuara dan diungkitkan Dinsman segala macam program dan projek budaya dan kesenian yang dirancangkan tetapi berlalu begitu sahaja kerana kerenah dan ketidakpedulian dan kepekaan orang politik. Contohnya permintaan agar diikhtiraf dan diberikan penghormatan kepada seniman dan sasterawan pro Pakatan Rakyat, seperti Pak Samad atau Allahyarham Azizi Abdullah tidak dilaksanakan. Inilah yang menyesalkan kelompok itu. Kebetulan saya lebih lama mengenali hati, sifat dan budi puak kuasawan ini berbanding dengan para seniman itu. Apa yang mereka hadapi kini, kerenah birokrasi, janji tidak tepat, kata tidak betul saya sudah masak dan telah merumuskan semua sifat-sifat itu dalam suatu sifir orang politik yang berbeza kesimpulannya (jawaban) dengan sifir orang biasa. Bagi orang politik perjanjian bukan untuk ditunaikan, kesetiaan, keikhlasan dan kejujuran hanya dongengannya bagi orang politik. Ia mengecewakan apabila orang bernama seniman menerimanya sebagai satu kebenaran hakiki. Justeru apa yang hendak saya katakan di sini, bertempiklah sekuat hala lintar duhai seniman agar orang mempeduli dan mengenali hati budi kamu ia tidak akan berhasil. Orang politik tidak akan meghiraukannya kerana bohong, pelawak, mungkir janji, dolak dalih adalah formula dan filsafahnya. Lantaran itu kalau kalian membesarkan harapan kepada mereka, maka kian membesarlah juga rasa kecewa kalian sehingga satu hari kelak kalian akan melangkah perlahan-lahan menjauhkan dunia mereka untuk kembali ke dalam dunia seniman yang tersendiri dan murni itu. Apa dilakukan Paksi itu bagi saya adalah salakan kepada manusia politik yang sudah menjadi bukit. Hanya kita yang dapat memahami diri kita. Dan kalau kita ikhlas hendak berjuang infaklah kepada apa yang kita perjuangankan itu seratus peratus kerana Allah taalaan. [wm.kl.7:43 pm 21/10/13] |
You are subscribed to email updates from . To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan