Jumaat, 18 Oktober 2013

Addin

Addin


Bekas Pengarah Filem Hina Islam 'Fitna' Menangis Di Depan Kaabah

Posted: 18 Oct 2013 04:00 PM PDT

Arnoud Van Doorn, produser filem "Fitna" berasal Belanda yang telah memeluk Islam, kini sedang menunaikan ibadah haji. Van Doorn menyatakan, ia tak sanggup menahan air mata sejak kedatangannya di Mekkah.

Ia merasakan bahawa haji adalah saat paling indah dalam hidupnya. Dalam wawancaranya dengan surat kabar Saudi Ukaz, bekas wakil Ketua Parti Kebebasan (PVV) ini mengaku bahawa di dalam Islam beliau memperolehi apa yang dicarinya selama ini. 

Ibadah haji, tambahnya, dimanfaatkannya untuk memohon ampun atas kesalahannya selama ini.

Seperti diketahui, Van Doorn dahulunya adalah salah seorang produser filem "Fitna". Bersama Geert Wilders, ia membuat filem yang menghina Rasulullah solallahu 'alaihi wasallam itu pada 2008.

Tetapi kerana filem itu dan juga sikap partinya yang selalu memusuhi Islam telah mengusik hati kecilnya.

Rasa ingin tahu Van Doorn terhadap Islam semakin tak terbendung, hingga beliau mempelajari apa itu Islam yang sebenarnya.

"Saya benar-benar mulai memperdalami pengetahuan saya tentang Islam kerana ingin tahu," kata Van Doorn mengenang saat awal hidayah Islam menghampirinya.

Rasa ingin tahu itu membuat Van Doorn mencari terjemahan Al-Qur'an, hadith, dan buku-buku rujukan Islam. Hari demi hari berikutnya ia lalui dengan membaca dan mengkaji buku-buku itu satu per satu, tanpa meninggalkan aktivitinya yang lain. Selama ini Van Doorn hanya tahu Islam dari mulut orang-orang yang membencinya.

Orang-orang yang dekat dengan Van Doorn sebenarnya tahu bahawa Van Doorn membaca rujukan Islam, tetapi agaknya mereka tidak sampai berfikir bahawa itu akan menjadi jalan hidayah bagi Van Doorn. Kerana lazim dalam dunia mereka, mengkaji sebuah pemikiran atau suatu faham tanpa harus mempercayai dan mengikutinya. Bahkan, tidak sedikit orang yang mempelajari Islam untuk kemudian menyerangnya.

Van Doorn menghabiskan waktu hampir setahun untuk mengkaji Qur'an, Sunnah dan sejumlah rujukan Islam tersebut. Ia juga sempat berdialog dengan penganut Islam untuk mengetahui lebih jauh tentang agama yang menarik hatinya tersebut.

"Orang-orang di sekitar saya tahu bahawa saya telah aktif meneliti Qur'an, sunnah dan tulisan-tulisan lain selama hampir setahun ini. Selain itu, saya juga telah banyak melakukan percakapan dengan Muslimin tentang agama," ujar Van Doorn kepada television Al-Jazirah, Mac lalu.

Semakin lama mempelajari Islam, Van Doorn semakin tertarik. Ia mulai merasakan Islam sebagai sesuatu yang istimewa. Meskipun sebelumnya ia juga memiliki asas Kristian sebagai agamanya, Van Doorn merasakan Islam itu istimewa.

Apa yang selama ini ada dalam kepalanya bahawa Islam itu fanatik, menindas wanita, tidak toleran, membabi buta memusuhi Barat, perlahan hilang dari benak fikirannya. Van Doorn menemukan Islam sebagai sesuatu yang sama sekali berbeza dari apa yang pernah ia sangka.

Van Doorn juga menemukan, Islam adalah agama yang cinta damai. Tidak seperti tuduhan media Barat yang selama ini mengisahkan Islam sebagai teroris.

"99 persen kaum muslimin adalah kuat bekerja dan pecinta damai. Jika lebih banyak orang mempelajari Islam yang benar, semakin banyak orang yang akan melihat keindahan itu," kata Van Doorn.

Jalan hidayah bagi Van Doorn semakin terbuka lebar ketika bertemu dengan seorang Muslim bernama Abu Khoulani, seorang rakannya yang bekerja di Dewan Kota Den Haag. Selain menjelaskan Islam lebih jauh, ia juga menghubungkan Van Doorn dengan Masjid As-Sunnah.

Kini, sebagai penebus atas kesalahannya membuat filem Fitna, Van Doorn menyatakan akan membuat karya besar untuk mengangkat Islam.

"Saya berdoa semoga air mata saya ini mampu menghapus segala dosa yang telah saya lakukan di masa lalu, dan saya akan bekerja untuk menghasilkan karya besar guna mengangkat Islam dan kaum Muslimin setelah kembali dari ibadah haji," katanya seperti dikutip Ukaz.



Iklan C (ii)



Mahathir Mengakui Pernah Beri Rasuah RM200 Untuk Menang Peringkat Bahagian

Posted: 18 Oct 2013 09:48 AM PDT

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) mengakui politik wang masih berleluasa dalam Umno dan mengakui perwakilan yang mengundi pada pemilihan kali ini didalangi dengan kerenah politik wang.

Beliau berkata rakyat tidak perlu berharap kerajaan untuk membetulkan sistem sedia ada kerana mereka masih tidak mampu memperbaiki kelemahan dalam Umno.

"Saya dapati budaya rasuah masih berleluasa dan mereka yang mengundi dalam pemilihan hanya didorong oleh kerenah politik wang.

"Saya sendiri semasa bertanding di peringkat bahagian Umno terpaksa menyalurkan RM200 seorang. Jadi anda boleh bayangan berapa banyak yang telah dihabiskan sehingga saya menjadi Perdana Menteri," katanya dalam Majlis Sambutan Aidiladha di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Mahathir turut menyifatkan perpaduan yang lemah di kalangan orang Melayu menyebabkan suara mereka kurang didengari akibat suara orang Melayu yang terpecah kepada parti Umno, PKR dan PAS.

Katanya,? kritikan kaum bukan Melayu yang melabel kualiti kerja orang Melayu berada pada tahap rendah perlu segera disangkal kerana kejayaan Malaysia pada hari ini adalah hasil air tangan 95% orang Melayu.

"Kejayaan Malaysia dapat dibanding dengan negara yang sama-sama mencapai kejayaan. Lihat betapa kita lebih jauh ke hadapan berbanding negara di Afrika dan Asia lain yang mendapat kemerdekaan.

"?Sehinggakan sekarang kita sudah tidak lagi boleh mengungkapkan perkataan Melayu kerana akan dianggap rasis. Tetapi jika kita menyebut Cina atau India tak salah. Tak dituduh rasis. Saya dibenar guna perkataan Melayu kerana saya memang rasis," katanya.

Ketika ditanya, adakah beliau akan mengemukakan aduan kepada jawatankuasa disiplin tentang politik wang dalam Umno, katanya beliau tidak mempunyai bukti kukuh untuk melaporkan individu tersebut.

Dr Mahathir berkata beliau enggan mengemukakan lap?oran disebabkan tidak akan ada orang yang akan mengaku memberi dan menerima wang dalam pemilihan parti.

"?Pada masa saya menjadi presiden dulu pun, saya tahu seorang calon yang menggunakan banyak wang untuk menang jawatan timbalan presiden tetapi bila ditanya ternyata mereka tidak mahu mengaku.

"?Saya dapat maklumat politik wang ini masih berlaku. Biarpun 150,000 perwakilan yang akan keluar mengundi, masih ada yang mampu. Ini masalah yang serius, mencemar maruah parti dan mengakibatkan pemimpin yang salah dipilih," katanya. ?

The Malaysian Insider melaporkan hari ini Transparency International Malaysia (TI-M) mendakwa tiga penyandang Naib Presiden mengamalkan politik wang menjelang pemilihan parti itu esok dan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk campur tangan.

Presiden badan pemantau rasuah itu, Datuk Akhbar Satar berkata pihaknya membuat dakwaan berkenaan selepas menerima beberapa maklum balas terhadap ketiga-tiga penyandang yang memegang jawatan menteri dalam Kabinet Datuk Seri Najib Razak.

"TI-M menerima banyak maklum balas mengenai terdapat sejumlah besar wang diedarkan tahun ini untuk membeli undi menjelang pemilihan Umno.

"Kami difahamkan penglibatan wang yang besar dan diedarkan pada program khas diadakan oleh penyandang Naib Presiden, yang juga memegang jawatan menteri kanan," katanya.

TI-M juga mempersoalkan peranan SPRM dalam menangani isu politik wang yang berlaku dalam Umno serta bukan hanya sekadar alasan masalah tersebut adalah masalah dalaman sesebuah parti.

Tiga penyandang naib presiden yang mempertahankan jawatan tersebut adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Mereka dicabar oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad, bekas Ketua Menteri Melaka, Senator Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Akhbar berkata, isu politik wang tidak boleh lagi disembunyikan kerana ia melibatkan skandal wang yang besar dan penyalahgunaan jentera kerajaan untuk tujuan kelangsungan politiknya.

Selain itu, katanya, penggunaan politik wang dan salah guna jentera juga adalah sesuatu yang tidak adil kepada calon lain yang bertanding tetapi tidak mempunyai kemampuan dan aset sama seperti calon berkenaan. ~tmi




Iklan C (ii)



Rahsia Mukhriz Akhirnya Terbongkar

Posted: 18 Oct 2013 07:27 AM PDT

Menjelang pemilihan kepimpinan tertinggi Umno esok, jentera calon naib presiden Datuk Mukhriz Mahathir semakin agresif dan dijangkakan akan semakin hangat berkempen dalam tempoh kurang 24 jam ini sehingga hari pemilihan yang bermula esok pagi dan pengkritik mengatakan ianya turut melibatkan politik wang.

Menteri besar Kedah itu dilihat antara berpeluang cerah untuk memenangi jawatan naib presiden Umno sehinggalah hari terakhir berkempen hari ini, kata sumber dalaman Umno kepada The Malaysian Insider.

"Ombak Mukhriz sehingga sekarang masih tidak henti, kalau lihat di peringkat cawangan semuanya memihak kepada beliau.

"Jentera kempen di seluruh negara yang bergerak untuk Mukhriz bijak menawan dan memikat penyokong Umno, khususnya kumpulan anak muda," kata pemimpin akar umbi itu yang baru memenangi jawatan naib ketua pemuda Umno selepas berakhir pemilihan peringkat sayap baru-baru ini.

Sumber juga memberitahu The Malaysian Insider bermula awal pagi ini sehinggalah keesokan hari berkempen pelbagai "hujan emas" merujuk kepada wang saguhati yang akan diberikan kepada perwakilan di peringkat bahagian atau cawangan.

"Maklumat yang kami dapat, bermula pagi tadi jentera Mukhriz sudah bergerak ke seluruh negara," katanya lagi, tetapi enggan mendedahkan jumlah wang yang akan diagihkan kepada perwakilan kali ini.

Apabila ditanya sama ada pemimpin di peringkat cawangan akan mengikut telunjuk sekiranya wujud arahan untuk mengekalkan jawatan ketiga-tiga penyandang, sumber memberitahu sistem pemilihan kali ini tidak akan memberi jaminan kemenangan kepada mana-mana calon yang bertanding.

"Memang ketua bahagian memainkan peranan dalam menasihati perwakilan untuk memilih calon, tetapi sistem kali ini berbeza.

"Satu lagi, perwakilan dah ramai dan mungkin di depan ketua bahagian cakap lain tapi keputusan yang bakal dibuat juga berlainan," katanya sambil menolak tanggapan ketua bahagian akan menentukan keputusan pemilihan tiga naib presiden Umno pada pemilihan kali ini.

Sumber juga memberitahu jentera kem Mukhriz juga mengambil inisiatif berkempen menerusi sistem pesanan khidmat ringkas (SMS) yang akan diedarkan ke seluruh negara, dijangka 1.2 juta pesanan akan dihantar ke seluruh perwakilan negara hinggalah hari mengundi esok hari.

"Jentera Mukhriz sudah bersiap sedia, dijangka bermula hari ini sehingga hari esok sebanyak 1.2 juta SMS akan dihantar kepada perwakilan seluruh negara.

"Malah, kempen SMS tersebut bermula sejak pagi ini," kata sumber sambil menunjukkan pesanan SMS yang diterimanya daripada jentera Mukhriz kepada The Malaysian Insider.

Salah seorang Ketua Bahagian di Johor, kubu penyandang Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang enggan didedahkan identitinya juga mengakui jentera Mukhriz bergerak aktif dan semakin agresif berkempen sejak pagi ini.

"Jentera Mukhriz pun dah mula agresif bekerja disini, khususnya dalam kumpulan muda," kata sumber daripada Johor itu.

Pemilihan Umno kali ini yang menggunakan sistem baru "electoral college" menyaksikan 146,500 perwakilan daripada 191 bahagian Umno akan mengundi serentak bagi memilih pimpinan baru terutama persaingan sengit untuk tiga jawatan Naib Presiden serta 25 kerusi Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Tiga penyandang naib presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berdepan tiga pencabar iaitu Tan Sri Mohd Isa Samad, Senator Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Mukhriz.

Bagaimanapun sukar meramalkan kemenangan bagi pihak Mukhriz kali ini memandangkan menteri besar Kedah itu tidak begitu dikenali di kalangan perwakilan walaupun merupakan anak kepada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang merangkap ketua kempen beliau.

Sumber juga memberitahu, kira-kira 80,000 perwakilan dalam pemilihan kali ini adalah kumpulan anak muda daripada jumlah keseluruhannya, sekiranya 50 peratus daripadanya menyokong Mukhriz ia bakal memberi peralihan sokongan kepadanya.

Kalau 50% daripada 80,000 ini beralih sokongan kepada Mukhriz, saya rasa tidak mustahil untuk beliau menang pada pemilihan kali ini," kata sumber yang membuat ramalan Ahmad Zahid dan Shafie masih berada dalam zon selamat ketika ini. ~tmi



Iklan C (ii)


Mahathir Sindir Najib

Posted: 18 Oct 2013 06:07 AM PDT

Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) kelihatan tidak yakin dengan peluang anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir dalam pemilihan naib presiden Umno esok dengan mengatakan peluang Menteri Besar Kedah itu sekadar 50% kerana tidak menjadi calon pilihan Presiden, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, Mukhriz adalah calon yang ingin membawa perubahan kepada Umno tetapi malangnya terdapat pemimpin sedia ada enggan menerima perubahan itu."Mukhriz bertanding jawatan naib presiden ketika berumur 49 tahun dan ramai menganggap dirinya masih muda.

"Namun saya tidak melihat faktor itu kerana pemimpin terdahulu Umno telah biasa ditonjolkan dengan kepimpinan di masa usia muda antaranya Tun Abdul Razak.

"Semasa saya menjadi Perdana Menteri dahulu pun saya membariskan pemimpin muda untuk menjadi Menteri Besar, antaranya Tan Sri Isa Samad yang menjawat jawatan itu ketika usia dalam lingkungan 30an," kata Dr Mahathir dalam majlis sambutan Aidiladha di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Mahathir berkata berdasarkan sejarah Umno sendiri, perwakilan akan memilih calon mengikut kehendak presiden dan katanya di masa pemerintahannya terbukti apabila tiada calon yang menang menentang pemerintahan beliau.

Katanya, pemilihan sayap Umno baru-baru ini juga terbukti apabila calon yang mendapat restu presiden berjaya memenangi jawatan yang ditandinginya."Ini tafsiran saya. 

Saya tidak melihat apa-apa perubahan meskipun Umno menggunakan sistem pemilihan baru.

"Umno seharusnya memandang lebih jauh kepada Pilihan Raya Umum ke-14 dan jangan hanya melihat dalaman Umno kerana parti itu hanya bertujuan menaikkan pemimpin tertentu tanpa memikirkan kepentingan rakyat.

"Ramai yang melihat Umno perlu berubah namun masih belum ada perubahan yang dilakukan dari segi kepimpinan. 

Jika tiada perubahan dalam kepimpinan maka tiada perubahan dalam parti," katanya.

Mesyuarat peringkat bahagian dan pemilihan anggota Majlis Tertinggi Umno esok akan menjadi titik penentu bagi melengkapkan barisan kepimpinan parti di belakang presiden dan timbalan presiden yang menang tanpa bertanding, selain ketua pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang memperoleh mandat minggu lalu.

Jawatan Naib Presiden parti turut ditandingi oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; bekas Ketua Menteri Melaka, Senator Datuk Seri Mohd Ali Rustam; bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. ~tmi







Iklan C (ii)

ISMA Dakwa Portal Free Malaysia Today Putar Alam

Posted: 18 Oct 2013 04:38 AM PDT

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah menyangkal laporan portal berita FMT kelmarin berjudul "Keluar dari Malaysia: pelawaan Isma disambut baik".

Menurut Presiden ISMA, Abdullah Zaik Abd Rahman, FMT memutarbelit kenyataannya untuk menyatakan sesuatu yang hakikatnya adalah agenda yang mereka perjuangkan.

"Saya sama sekali tidak menyentuh hubungan semenanjung dengan Sabah dan Sarawak dalam kenyataan sebelum ini."Bahkan saya langsung tidak menyeru Sabah dan Sarawak berpisah dengan Semenanjung."Jadi saya fikir ini adalah agenda dan strategi mereka. 

Tujuan mereka hanya mahu menanamkan kebencian antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta mengambil kesempatan daripada suasana keruh ini untuk kepentingan mereka," jelasnya.

Pada 14 Oktober lalu, Abdullah Zaik dalamwww.ismaweb.net menyeru agar pihak Kristian meninggalkan sebarang usaha yang akan menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.

Tambahnya, sebagai warganegara, mereka harus akur dengan kedaulatan Islam, ketinggian hukum dan syiar Islam di negara ini."Tindakan mencabar hakikat tersebut boleh menjejaskan kesetiaan mereka kepada Raja dan negara," katanya.

"Mereka boleh buat pilihan lain untuk berpindah ke mana-mana negara kalau sudah tidak lagi boleh menerima kedaulatan Islam dan Raja yang menjaga kedaulatan agama itu," katanya lagi.

Kenyataan beliau supaya orang Kristian berpindah ke mana-mana negara lain mendapat reaksi dari rakyat Sabah dan Sarawak yang disiarkan dalam FMT. Mereka bersetuju supaya Sabah dan Sarawak dikeluarkan dari Malaysia dan bukannya mereka berhijrah ke negara lain.

Oleh itu tidak timbul FMT memutarbelitkan kenyataan Abdullah kerana memang benar beliau suruh orang Kristian berpindah ke mana-mana negara lain kalau sudah tidak boleh menerima kedaulatan Islam dan Raja yang menjaga kedauatan agama itu.

Malah FMT tidak pernah menulis bahawa ISMA menyeru supaya Sabah dan Sarawak dipisahkan dari Malaysia.Untuk berlaku adil, FMT menyiarkan kenyataan penuh ISMA di bawah ini untuk membuktikan sama ada FMT memutarbelit kenyataannya atau tidak. ~fmt




Iklan C (ii)


Berita Dari Australia Yang Tidak Di Siarkan Oleh Media Perdana

Posted: 18 Oct 2013 03:01 AM PDT

Satu himpunan bagi mempertahankan hak bersuara dan kebebasan maklumat kepada mahasiswa Malaysia di luar negara akan diadakan di Elder Hall, Adelaide University, Australia.

Menurut laman Facebook Adun Semambu, Pahang, Lee Chean Chung, himpunan akan diadakan pada hari Sabtu , 19 Oktober ini bernula jam 10 pagi, waktu Australia.

Peserta himpunan turut digalakkan memakai pakaian hitam sebagai simbol bantahan."Sejurus selepas insiden pemegang biasiswa JPA diberi amaran supaya jangan hadir program Anwar Ibrahim di Australia, sekumpulan mahasiswa kita akan membuat bantahan di Universiti Adelaide.

"Saya memberikan sokongan penuh kepada mereka yang berani dan matang," tulis Lee di laman Facebook beliau.

Himpunan dibuat sebagai bantahan terhadap amaran Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) dipercayai kepada semua penerima biasiswa JPA daripada menghadiri i sesi awam bersama Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laman Keadilandaily sebelum inimendedahkan e-mel dihantar pegawai penasihat pelajar JPA, Sharezan Md Sheriff yang akan mengambil tindakan keras ke atas penerima biasiswa JPA yang terlibat.

Kandungan e-mel menyatakan, tindakan menghadiri program tersebut menyulitkan mahasiswa mengekalkan gred, manakala biasiswa boleh ditarik semula.Dalam pada itu, Anwar akan menyampaikan pidato pada sesi awam di Festival of Ideas 'Dissent and Democracy' di Adelaide University.

Beliau turut diundang Masyarakat Islam Selatan Australia (ISSA) untuk berkhutbah di Masjid Abu Bakr Assiddiq, Adelaide, Australia hari ini.

Manakala satu program sembang santai,#MeetAnwar akan diadakan Watson Avenue, Rose Park, South Australia pada hari Sabtu atas anjuran Kelab Anwar Ibrahim (AIC) dengan kerjasama Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) Adelaide. ~kd




Iklan C (ii)

Umno Rosak, Masih Di Takuk Lama - Dato' Seri Mustapha Muhammad

Posted: 18 Oct 2013 12:04 AM PDT

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar), berkata parti Melayu itu kekal di takuk lama sekiranya politik wang masih digunakan oleh segelintir calon untuk meraih undi perwakilan dalam pemilihan Sabtu ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, selain tiada kemajuan yang dapat ditunjukkan, Umno juga bakal rosak kerana calon gagal mematuhi peraturan terutamanya melibatkan politik wang.

Ini kerana, katanya, matlamat asal Umno menukar sistem pemilihan yang memberi kelayakan kepada lebih 145,000 perwakilan mengundi adalah untuk mengelakkan rasuah dan politik wang.

"Matlamat utama pertukaran sistem kali ini ialah untuk membanteras dan mengelakkan politik wang. Matlamat kedua ialah meningkatkan ketelusan dalam proses pengundian termasuk pendekatan kempen yang digunakan.

"Sekiranya dua perkara tersebut dapat dilakukan maka tercapai perubahan dalam kaedah pemilihan baru, tetapi jika ia tidak dipatuhi maka rosaklah parti ini," katanya kepada media di Petaling Jaya, Selangor, pagi ini.

Mustapa berkata, beliau berharap perwakilan menggunakan dua perkara itu sebagai asas dan habuan dalam memilih calon pada Sabtu ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai wujudnya dakwaan politik wang masih berleluasa dalam tempoh 24 jam menjelang pemilihan esok.

Sebahagian 146,500 perwakilan daripada 191 bahagian menggunakan sistem pemilihan baru bagi memilih pemimpin mereka dalam pemilihan kali ini. Pemilihan di peringkat bahagian juga diadakan pada hari sama.

"Pastinya akan ada 'hujan emas' berlaku nanti," kata sumber rasmi parti kepada The Malaysian Insider yang mendedahkan perwakilan akan mendapat kira-kira RM300 untuk setiap undi mereka.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan calon yang menggunakan wang untuk memenangi tiga jawatan naib presiden dan 25 ahli MT Umno itu.

Terdapat jawatan tertinggi lain tidak dipertandingkan dan dilantik sendiri oleh presiden parti, Datuk Seri Najib Razak yang juga perdana menteri Malaysia.

Selain Datuk Seri Hishammuddin Hussein, penyandang bagi jawatan naib presiden lain adalah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Shafie Apdal.

Selain itu, bekas Ketua Menteri Melaka Senator Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Pengerusi Felcra Tan Sri Mohd Isa Samad dan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir turut bersama-sama merebutkan jawatan tertinggi yang dipertandingkan Umno itu. ~tmi




Iklan C (ii)


Penjelasan Isu Kalimah Allah Oleh Dr. Asri

Posted: 17 Oct 2013 10:53 PM PDT

Ramai minta saya tulis artikel tentang isu nama Allah yang dipanaskan semula dan terus menjadi krisis antara sesetengah pihak Muslim dengan sesetengah pihak Kristian. Saya sebenarnya telah coretkan hal ini pada tahun 2007 masa saya masih memegang jawatan Mufti Negeri Perlis. Di sini saya sentuh sekali lagi.

Hanya di sini

Isu kalimah Allah ini akan menjadi satu sejarah yang menarik dan tersendiri di Semenanjung Malaysia.

Isu seperti ini tidak wujud di negara-negara Arab kerana Kristian Arab dan Bible dalam Bahasa Arab sejak sebelum dan selepas Nabi Muhammad s.a.w. memang menggunakan perkataan Allah merujuk kepada Tuhan.

Bahkan kaum Quraish sebelum kehadiran Nabi Muhammad s.a.w. juga guna nama Allah. Bapa Nabi Muhammad s.a.w. bernama Abdullah yang bermaksud hamba Allah. Padahal bapa Nabi Muhammad s.a.w. tidak sempat pun bertemu dengan Nabi s.a.w. sebagai RasululLah. Kristian Qibti (Coptic) di Mesir juga sejak sekian lama memanggil Tuhan 'Allah'.

Demikian Kristian Lebanon dan Jordan, gereja-gereja mereka berdoa dengan memanggil 'Allah' sejak zaman silam. Apa yang hendak dihairankan, asal-usul ajaran mereka daripada ajaran Nabi Isa a.s. Justeru bukan sahaja perkataan Allah, banyak lagi perkataan yang membabitkan akidah yang sama antara Islam dan Kristian seperti nama para nabi; Ibrahim, Musa, Harun, Isa dan lain-lain.

Orang Islam seluruh dunia setiap hari melafazkan ayat dalam Surah al-Fatihah (maksudnya): 'segala puji bagi Allah tuhan segala alam'. Tiada Muslim pun yang menyebut 'segala puji bagi Allah Tuhan kaum muslimin sahaja'. Ini kerana Muslim mengakui Allah itu tuhan untuk semua, bukan tuhan untuk kaum dan pihak tertentu sahaja.

Maka isu kalimah Allah tidak pernah timbul di negara-negara Arab. Bahkan mereka mungkin sukar untuk faham dan hairan apabila kita memberitahu kita menghalang pihak Kristian memanggil Tuhan itu Allah. Di Sabah dan Sarawak juga sudah berpuluh tahun mereka menggunakannya.

Kristianisasi

Di Semenanjung Malaysia, dalam kitab agama Sikh, nama Allah disebut. Sementara orang cina yang bukan Muslim di Kelantan terbiasa dengan kalimah 'inshaa Allah'. Ada lagu negeri-negeri yang terdapat 'kalimah Allah' yang dinyanyikan oleh semua rakyat berbilang agama. Logo-logo Polis dan Tentera tertulis 'Allah' dan 'Muhammad'. Logo-logo itu dipakai oleh anggota yang Muslim dan non-muslim.

Namun apabila orang Muslim di Malaysia digembar-gemburkan isu tentang Kristianisasi, maka keadaan resah mula timbul dalam kalangan umat Islam. Kristianisasi sesuatu yang benar-benar wujud. Orang Muslim dalam negara ini bimbang. Maka, apabila timbul edaran pihak Kristian dalam bahasa Melayu yang menyebut Tuhan sebagai Allah yang selama ini dari segi kebiasaan orang Melayu Semenanjung hanya mereka sahaja memakai kalimat ini, maka emosi mereka mula bangkit. Apa tidaknya, mengapakah hanya versi Melayu sahaja yang hendak digunakan 'perkataan Allah'?! Mengapa tidak edaran gereja yang berbahasa Inggeris, Cina, Tamil dan lain-lain juga menggunakan Allah?

Provokatif

Kelihatan seolah macam macam ada 'hidden agenda' ataupun 'mala fide' di situ. Maka ramai yang membantah dan menganggap ada unsur provokasi agama di pihak Kristian, bukan kerana mereka memang ingin memanggil tuhan itu Allah, tetapi sekadar umpan yang hendak digunakan bagi memancing umat Islam yang terbiasa dengan kalimah itu. Maka kelihatan unsur provokatif di situ.

Maka, bantahan untuk orang bukan muslim menggunakan nama Allah dalam edaran bahasa Melayu kelihatan macam mempunyai alasan di sudut keharmonian masyarakat berbilang agama dan ijtihad pentadbiran. Ia bukan berasaskan nas yang jelas melarang secara langsung hal itu, tetapi atas asas pemerintah bertindak demi kepentingan awam.

Jika sekadar itu, maka bolehlah terima pendapat yang melarang. Ia bukan larangan mutlak bahawa bukan-Muslim sama sekali tidak boleh menyebut dan menggunakan nama Allah, tetapi menggunakan nama tersebut dalam bentuk provokasi agama dilarang.

Salah faham

Malangnya ada Muslim yang tidak jelas hal ini sehingga menyatakan bukan Muslim sama sekali tidak boleh menggunakan nama Allah. Kononnya nama Allah eksklusif untuk Muslim sahaja. Ada pula yang berfatwa 'murtad sesiapa yang membenarkan. Pada hal nas asal, dalam al-Quran dan al-Sunnah membenarkan bahkan menggalakkan mereka menggunakannya selagi mana penggunaan itu merujuk kepada Tuhan Yang Sebenar ataupun 'The Supreme Being'. Banyak ayat al-Quran yang menegaskan hal ini. Firman Allah:(maksudnya) "Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).

Bahkan Nabi s.a.w. ketika mencabar orang-orang Kristian bermubahalah ataupun bersumpah laknat, mereka diminta bersumpah dengan nama Allah, bukan nama Jesus. Firman Allah: maksudnya) "Sesungguhnya bandingan (kejadian) Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" maka jadilah ia. Kebenaran itu datang daripada Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau dalam kalangan mereka yang ragu-ragu. Kemudian sesiapa yang membantahmu (Wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, isteri-isteri kami serta isteri-isteri kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta". (Surah Ali 'Imran 59-61).

Jika Islam larang mereka secara mutlak menyebut Allah, bagaimana mungkin mereka disuruh bersumpah dengan nama Allah?!

Al-Imam Muslim dalam sahihnya pula meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w. dengan Quraish Mekah, seperti berikut: "Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin 'Amr. Sabda Nabi s.a.w.: barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)". Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut.
Ertinya, Nabi s.a.w membenarkan penggunaan nama Allah seperti yang pihak kafir Quraish minta. Jika itu dilarang, tentu cadangan mereka ditolak!.

Lojik

Kita bayangkan jika mereka langsung tidak boleh panggil Allah, bagaimana dengan Kristian Arab jika datang ke Malaysia? Apakah mereka terpaksa menahan diri dari menyebut masya Allah dengan diganti 'masyaa God'.
Jika bukan Muslim bertanya siapakah tuhan saya yang sebenar. Muslim hendaklah menjawab Allah. Dia tidak boleh berkata 'tuhan awak lain dan tuhan saya lain. Awak tidak boleh menyebut nama tuhan saya'. Jika dia berkata demikian, maka dia syirik.

Maka, sepatutnya larangan itu hanya apabila ia dalam bentuk provokasi yang menimbul ketegangan masyarakat. Kenyataan yang menyatakan larangan itu mutlak adalah tidak berasaskan ajaran Islam. Apatah lagi kenyataan yang memurtad sesiapa yang mengizinkan seakan memurtadkan Nabi s.a.w., dan umat Islam di seluruh dunia.

Maka, kita Muslim hendaklah mengendali isu dan mengetahui hubung kait sesuatu itu sebelum hendak dibangkit sentiment agama mengenainya. Jangan kita melebihi kadar yang sepatutnya, juga jangan kita lalai tentang keamanan dan keharmonian hidup dalam negara yang pelbagai agama. Dakwah Islamiah hendaklah ditingkatkan. Sebarkan Islam dan banyakkan dialog antara agama seperti yang Dr Zakir Naik lakukan. Kenapa kita sentiasa ketakutan ditewaskan sehingga begitu defensive?! Bawalah mesej Islam dengan penuh hujah dan hikmah.

~Dr. Asri



Iklan C (ii)


Kalau Macam Inilah Gayanya, Isa Samad Tunggu Masa Untuk Di Talkinkan..

Posted: 17 Oct 2013 08:16 PM PDT

Calon Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohd Isa Samad (gambar) yang berhadapan skandal dan tuduhan membabitkan Felda serta serangan penulis blog Umno mempertahankan langkah pelaburan yang diambil menguntungkan agensi itu dan peneroka, malah yakin akan membuat kejutan dalam pemilihan naib presiden Umno Sabtu ini.

Pengerusi Felda itu turut didakwa membuat laporan palsu kepada Bursa Malaysia berhubung peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Venture Berhad selain berdepan siasatan yang sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan pembelian kompleks apartmen mewah Felda bernilai £98 juta (RM497 juta).

"Biasalah, saya sudah lali dan masak dengan dakwaan dan tuduhan begini. "Semakin hampir pemilihan Umno, macam-macamlah hendak dibangkitkan," kata Isa menolak tuduhan tersebut ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Pada masa sama, Isa optimis dengan peluangnya untuk memenangi jawatan Naib Presiden Umno walaupun berdepan dengan banyak nama besar.

"Insya Allah, peluang itu ada. Tunggu saja hari pemilihan nanti.

"Setakat ini respon yang saya dapat ke setiap tempat yang saya pergi sangat positif," katanya dan menambah beliau sudah melawat hampir seluruh lokasi peneroka Felda di seluruh negara untuk berkempen.

Harapan Isa untuk menang adalah sokongan padu 54 bahagian Umno yang mempunyai kawasan Felda di samping tapak sokongannya di Negeri Sembilan.

Isa berkata, isu pembelian dan pelaburan hartanah yang dilakukan oleh Felda tidak sewajarnya dipertikaikan kerana bukan hanya agensi itu mengambil langkah tersebut malah syarikat berkaitan kerajaan lain turut membuat pelaburan hartanah di luar negara.

"Mengapa persoalkan apabila Felda membeli hotel tersebut, ia adalah satu pelaburan. GLC lain pun turut beli hartanah di luar negara seperti KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), Tabung Haji dan banyak lagi.

"Adakah salah kalau pelaburan tersebut menguntungkan? Dalam perniagaan kita perlu buat pelaburan," katanya dan menolak dakwaan pihak tertentu yang mengkritik langkah pelaburan Felda.

The Malaysian Insider difahamkan wujud rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin Umno berhubung perbelanjaan besar dibayar oleh Felda Investment Corp (FIC) UK Properties untuk Grand Plaza Serviced Apartments di kawasan Bayswater, London yang terkenal dengan rakyat Malaysia menetap di situ.

Difahamkan juga SPRM sedang mengkaji perkara ini untuk melihat sama ada terdapat unsur rasuah dalam perjanjian yang dimuktamadkan 4 September lalu.

Sumber memberitahu, SPRM sedang bekerjasama dengan pihak lain untuk menyiasat perkara ini.

Berhubung skandal dibangkitkan blogger pro Umno,Datuk Ahirudin Attan melalui blognya Rocky Bru mengenai dakwaan Isa membuat laporan palsu kepada Bursa Malaysia, pengerusi Felda itu berkata, ia merupakan satu tuduhan tidak berasas yang dibuat kerana sengaja ingin mencalarkan imejnya.

"Dia punya sukalah. Macam-macam orang boleh kata.

"Saya tidak mahu cakap tentangnya," katanya.

Isa dikatakan menipu dalam isu perletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Global Venture Berhad, Tan Sri Sabri Ahmad kepada Bursa Malaysia.

Ahirudin mendedahkan pelbagai dokumen berkaitan dengan laporan Isa kepada Bursa Malaysia itu menerusi blognya.

Berdasarkan dokumen yang disertakan, Ahirudin berkata, Sabri sebenarnya tidak meletakkan jawatan sebagai Lembaga Pengarah dalam FGVH dan sebuah lagi syarikat, MSM Malaysian Holdings Berhad sebagaimana yang dilaporkan Isa.

Isa bersama dua lagi tokoh Umno, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam sedang berusaha untuk mendapatkan tempat dalam barisan naib presiden Umno.

Penyandang jawatan naib presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut bertanding untuk mempertahankan jawatan.

Isa dilantik sebagai pengerusi Felda dua tahun lalu dan FGVH tetap disenaraikan walaupun terdapat bantahan daripada sesetengah peneroka yang takut mereka kehilangan kawalan terhadap tanah mereka.

Felda dan anak syarikatnya FGVH sebelum ini membelanjakan RM86 juta untuk membeli Grand Borneo Hotel di Kota Kinabalu, RM110 juta untuk pembuat kad pintar dan pemaju pertanian kampung Iris Corp dan hartanah di United Kingdom. ~tmi






Iklan C (ii)


Ali Rustam Dan Isa Samad Jadi Kambing Hitam.. Ini Puncanya

Posted: 17 Oct 2013 06:55 PM PDT

Bahang perebutan jawatan Naib Presiden Umno semakin meninggi suhunya. Bukan saja calon yang makin sibuk mengatur strategi saat-saat akhir, bahkan para perwakilan juga tidak menang tangan memenuhi pelbagai jemputan bertemu dengan calon dan juga dengan ejen calon-calon yang bertanding.

Semakin dekat hari pengundian pada Sabtu ini, warna sebenar mengenai siapa yang bakal menang dan siapa yang bakal sudah mula dapat dirasakan.

Jika sebelum ini Zahid Hamidi dianggap calon paling popular manakala Mukhriz Mahathir di tempat kedua dan tempat ketiga masih terbuka antara Hishammuddin, Shafie Apdal dan Ali Rustam tetapi kelebihan dilihat memihak kepada bekas Ketua Menteri Melaka itu. Namun perkembangan di saat-saat akhir ini memperlihatkan semuanya bakal berubah.

Seorang lagi calon, Isa Samad bagaimanapun kekal dilihat tidak mempunyai peluang dalam pemilihan kali ini.

Hanya tinggal tidak sampai dua hari lagi ruang masa untuk berkempen, kebarangkalian makin meningkat bahawa ketiga-tiga penyandang jawatan Naib Presiden iaitu Zahid Hamidi, Hishammuddin dan Shafie Apdal akan mengekalkan jawatan masing-masing.

Perkembangan ini juga tentunya paling menggembirakan Najib kerana pelan asalnya yang mahu ketiga-tiga penyokong setianya itu dikekalkan, menemui kejayaan akhirnya.

Hari ini Ketua Wanita Umno, Shahrizat Jalil secara terbuka menyatakan sokongan pergerakan itu kepada ketiga-tiga penyandang jawatan Naib Presiden dalam pemilihan pada 19 Oktober nanti. Secara berkias, penasihat kepada Najib yang bertaraf menteri itu berkata, pilihan Wanita Umno kali ini ialah pertama, kepada calon yang mempertahankan kedaulatan negara (Hishammuddin selaku Menteri Pertahanan), kedua kepada calon yang menjaga keamanan negara (Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri) dan ketiga, calon yang mampu memberi kesejahteraan kepada kehidupan rakyat (Shafie Apdal selaku Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah).

Dalam masa yang sama, Shahrizat juga turut memberi penghargaan kepada Hishammuddin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan kerana memberi lebih peranan dan mengarus-perdanakan peranan wanita sistem pemilihan yang baru diperkenalkan.

Tidak syak lagi, sokongan terbuka Shahrizat kepada ketiga-tiga penyandang dan penekanan yang khusus diberi kepada peranan Hishammuddin, tentunya akan disertai dengan arahan kepada Wanita Bahagian dan Cawangan di seluruh negara agar turut akur dengan hanya mengundi calon-calon dipilih itu saja.

Dalam masa yang sama, perkhabaran daripada kem Pemuda Umno juga semakin kuat kedengaran bahawa Pergerakan Pemuda Umno yang dipimpin oleh Khairy Jamaluddin juga bakal menyatakan sokongan terbukanya kepada ketiga-tiga penyandang jawatan Naib Presiden itu.

Dan entah dari mana secara tiba-tiba lagu nostalgia turut kedengaran bahawa KJ dikatakan amat terhutang budi kepada Hishammuddin kerana beliau yang membawa KJ ke dunia politik apabila melantiknya sebagai Exco Pemuda Umno Malaysia ketika menjawat jawatan pegawai khas kepada Timbalan Perdana Menteri (Pak Lah) ketika itu.

Sesuai dengan kedudukan Hishammuddin yang agak lemah sekarang ini, faktor membalas budi ini dijangka akan melonjakkan Hishammuddin kepada kedudukan yang lebih selesa. Dengan dua sayap berada bersama-samanya, kedudukan Hishammuddin cukup selesa mulai hari ini.

Dalam masa yang sama, dua lagi calon Naib Presiden iaitu Ali Rustam dan Isa Samad pula secara tiba-tiba terlibat dalam siasatan politik yang mungkin menghakis sokongan terhadap mereka. Ali Rustam kini disiasat dibawah Akta Hasutan berhubung ucapannya berkaitan perniagaan kaum Cina yang dianggap menghasut dan tidak sesuai diucapkan dalam sebuah negara berbilang kaum.

Siasatan itu dibuat berikutan laporan polis oleh DAP terhadap beliau. Dengan adanya siasatan polis itu, kedudukan Ali menjadi genting kerana akan wujud peralihan undi daripadanya disebabkan perwakilan beranggapan memberi undi kepadanya adalah sia-sia jika beliau akhirnya didapati bersalah dan digantung jawatan dalam parti.

Isa Samad yang juga Pengerusi Felda turut berhadapan laporan polis oleh sekumpulan peneroka berhubung kenyataannya yang berbeza kepada Bursa Malaysia berkaitan perletakan jawatan bekas CEO agensi itu, Sabri Ahmad.

Apa yang memeranjatkan isu laporan polis itu menjadi bahan besar di TV3 dan NST, konglomerat media yang rapat dengan Perdana Menteri, Najib Razak. Liputan secara besar-besaran dan meluas itu memperlihatkan seolah-olah ada agenda terselindung daripada pemegang tampuk kuasa untuk menggelapkan peluang bekas MB Negeri Sembilan itu daripada memberi cabaran yang sebenarnya dalam pemilihan kali ini.

Sama seperti kes Ali Rustam, laporan polis yang diperbesar-besarkan itu pastinya akan mengurangkan sokongan terhadapnya kerana perwakilan juga beranggapan sebagai sia-sia memberikan undi kepadanya jika selepas pemilihan nanti beliau didapati bersalah dan turut terpaksa melepaskan jawatan dalam parti.

Memberi kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 122B, Akta Industri Sekuriti yang boleh membawa hukuman maksimum didenda RM3 juta dan penjara selama 10 tahun.

Dengan kemungkinan itu, perwakilan seluruh negara pastinya tidak mahu mensia-sia undi mereka kepada Pengerusi Felda itu.

Apa yang berlaku kepada Ali Rustam dan Isa Samad di saat-saat akhir ini memperlihatkan bahawa kedua mereka bakal menjadi mangsa dan dikambinghitam untuk memberi laluan yang lebih selesa kepada ketiga-tiga penyandang Naib Presiden sedia ada. Jika ini berlaku, ia kali kedua bagi mereka di mana Ali pernah dihalang bertanding jawatan Timbalan Presiden pada 2009 manakala Isa pula pernah dilucutkan jawatan Naib Presidennya selepas pemilihan 2004 atas dakwaan mengamalkan politik wang.

Ali dan Isa kini umpama kuda yang sudah patah kakinya. Persepsi perwakilan terhadap mereka tidak lagi kukuh, bahkan makin menipis. Cabaran kepada ketiga-tiga penyandang Naib Presiden ini hanya tinggal Mukhriz Mahathir seorang saja lagi. Tetapi dengan hanya tinggal beliau yang memberi cabaran dan dalam masa yang sama terpaksa pula menumpukan lebih perhatian kepada persiapan pilihanraya kecil Sungai Limau, kelebihan secara automatik lebih memihak kepada ketiga-tiga penyandang sedia ada.

Undi kepada ketiga-tiga rakan karib Najib itu tidak akan berpecah lagi kerana telah dibantu oleh kedudukan Ali dan Isa yang makin lemah dan tidak diminati lagi oleh perwakilan. Perwakilan juga mula menganggap kehadiran Mukhriz yang berseorangan sebagai pengacau dan ini secara langsung memberi kelebihan kepada Zahid, Hishammuddin dan Shafie.

Menjelang detik-detik akhir sebelum pengundian, sama ada berlaku lagi pelbagai kejutan atau percaturan yang diorkestrakan dari jauh yang jelas mahu memberi kelebihan kepada ketiga-tiga penyandang, hendaknya janganlah ada yang terkejut jika selepas keputusan diumumkan nanti, Mukhriz sekali lagi gagal dalam merebut jawatan kanan dalam Umno setelah sebelum ini beliau juga tewas dalam pertandingan Ketua Pemuda Umno pada 2009 lalu.

Pemain-pemain orkestra kini terlihat sedang memilih lagu-lagu yang sesuai untuk mengekalkan status quo. ~shahbudin





Iklan C (ii)


Calon PAS PRK Sg. Limau Tersebar

Posted: 17 Oct 2013 05:39 PM PDT

Ketua Pemuda PAS Jerai, Ustaz Azam Samad (gambar), 37, disebut-sebut bakal dinamakan sebagai calon PAS dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Limau yang akan berlangsung 4 November ini.

Beliau yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar, Mesir adalah nama yang paling popular di kalangan lapan nama yang disenarai pendek oleh PAS untuk mewakilinya dalam PRK ini.

Azam yang merupakan Pengarah Jabatan Pasti Kedah, satu institusi penting di bawah PAS merupakan anak didik politik kepada bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

PAS Kedah sebelum ini menyenarai pendekkan lapan nama calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau untuk dipertimbangkan kepimpinan PAS Pusat.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata calon PAS untuk PRK DUN Sungai Limau akan diumumkan Presiden PAS,

Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada malam 21 Oktober, di Pekan Sungai Limau, Yan.

"Difahamkan Barisan Nasional (BN) umum calon pada 21 Oktober sebelah siang. Kita pula sebelah malam. Kesemua lapan senarai calon kita berkelayakan. Kesemua mereka anak didik Ustaz Azizan (bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak)," katanya dalam sidang media di Kompleks PAS Kedah dekat sini 12 Oktober lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau diadakan pada 4 November manakala hari penamaan calon ditetapkan 23 Oktober.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak dalam kawasan Parlimen Jerai diisytihar kosong susulan kematian Azizan pada 26 September lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 Mei lalu, Azizan mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 untuk PAS, dengan menewaskan sepupu beliau Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN dengan majoriti 2,774 undi.

Selain Azam, Setiausaha PAS Kawasan Jerai, Muzaini Azizan yang juga bekas Pegawai Khas Azizan juga disebut sebagai calonnya.

Muzaini yang rapat dengan Azizan, malah ketokohan beliau menguruskan kawasan sejak ketiadaan Azizan termasuk ketika Azizan kerap keluar masuk hospital.

Seorang lagi calon yang mungkin disenaraikan ialah Setiausaha Perhubungan PAS Kedah, Musaddak Ahmad, yang juga calon bagi Dun Guar Chempedak pada PRU13 lalu.

Dalam pada itu, anak kepada ulama juga pengasas Sekolah Menengah Agama Nahdzah, Bukit Besar, Mohd Muaz Othman al-Yunusi juga kemungkinan tersenarai.

Mohd Muaz merupakan Ketua Pemuda dan Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Sungai Limau.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) Kedah telah menyenaraikan empat nama untuk dipilih sebagai calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada 4 November ini.

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir (gambar) berkata senarai itu telah diserahkan kepada Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya dimaklumkan beliau (Muhyiddin) akan berbincang perkara ini dengan Pengerusi BN (Datuk Seri Najib Tun Razak). Saya menantikan keputusan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jamuan Aidiladha di Kuala Kangsar hari ini.

Antara nama yang disebut-sebut adalah Pegawai Khas Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Ikmal Ismail yang merupakan Naib Ketua Umno Jerai di mana Sungai Limau di bawah parlimen Jerai.

Manakala tiga nama lagi yang disebut ialah Dr Abu Hashim; Dr Suhaimi Lazim dan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, ketua bahagian sekarang.

Sumber Umno berkata, Mohd Suhaimi merupakan pilihan utama berdasarkan kedudukannya sebagai ketua bahagian. ~tmi



 

Iklan C (ii)


Tiada ulasan: