Sabtu, 7 September 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


SUHAKAM Selar Polis Kerana Cabul Hak Asasi Kanak-kanak

Posted: 07 Sep 2013 01:02 AM PDT


Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) melahirkan kebimbangan terhadap tindakan polis baru-baru ini menemuramah beberapa pelajar SK Seri Pristana tanpa persetujuan dan kehadiran ibu bapa.

Pemangku Pengerusi Suhakam Datuk Khaw Lake Tee berkata pihaknya amat bimbang dengan kegagalan pihak berkuasa sekolah menunaikan tanggungjawab serta kewajiban terhadap pelajar di bawah jagaan mereka dalam mencegah insiden tersebut daripada berlaku.

"Sungguh pun tiada peruntukkan khas di bawah Akta Kanak-kanak 2001 yang memerlukan kehadiran bersama ibu bapa atau penjaga sebelum seseorang kanak-kanak ditemu ramah oleh pihak berkuasa, kami berpendapat tindakan pihak berkenaan telah mencabuli semangat asas Akta Kanak-kanak 2001.

"Seorang kanak-kanak atas sebab kurang matang dari segi fizikal, mental dan emosi, memerlukan pemeliharaan, penjagaan dan bantuan yang khas, serta perlindungan dalam semua keadaan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau menjelaskan Akta Kanak-kanak 2001 selari dengan empat prinsip asas Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) yang mana Malaysia merupakan sebuah negara anggota.

Katanya, prinsip itu termasuk tiada diskriminasi kepada nyawa; kelangsungan, perkembangan serta tumpuan terhadap kepentingan terbaik kanak-kanak.

"Artikel 5 CRC menekankan keperluan untuk kerajaan menghormati hak dan tanggungjawab ibu bapa untuk memberi arah tuju dan panduan yang bersesuaian kepada anak dengan cara yang selaras dengan keupayaan perkembangan mereka.

"Panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Keadilan dalam Hal-Hal berkenaan Mangsa dan Saksi Kanak-kanak bagi Jenayah juga menekankan keperluan untuk menguruskan mangsa dan saksi jenayah secara berhati-hati seperti mana yang terdapat dalam Kanun Prosedur Jenayah dan Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak.

"Suruhanjaya menggesa pihak polis dan semua sekolah supaya bertindak dan menegakkan sepanjang masa dasar kepentingan terbaik kepada kanak-kanak dan memastikan bahawa tindakan sedemikian tidak berlaku pada masa hadapan.

"Sekiranya wujud sebarang keperluan untuk menyoal kanak-kanak, temuramah tersebut harus dijalankan atas persetujuan dan dengan kehadiran ibu bapa serta menerusi satu kaedah yang 'sensitif terhadap kanak-kanak' oleh pihak terlatih secara profesional," katanya.

Suhakam turut mengesyorkan kerajaan mengkaji amalan temuramah polis ke atas pelajar yang bersesuaian di samping mempertimbangkan untuk menggubal undang-undang bersesuaian sementara mengeluarkan panduan yang bersesuaian untuk menangani isu ini.

The Malaysian Insider melaporkan hujung bulan lalu, pihak polis mengakui dakwaan beberapa pelajar SK Seri Pristana yang mengatakan mereka disoal-siasat dalam kontroversi makan di dalam bilik persalinan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supritendan Junaidi Bujang berkata pelajar tersebut "disoal berdasarkan secara temuduga".

Junaidi berkata pihak polis telah diberikan kebenaran oleh guru besar sebelum memasuki ke kawasan sekolah.

Temuduga dengan enam pelajar tersebut berjalan di dalam kelas yang telah disediakan oleh guru besar sekolah, menurut Junaidi.

Sebelum ini, Junaidi dilaporkan mengeluarkan kenyataan berbeza apabila menafikan telah menyoal pelajar terbabit.

Beliau memberi alasan pihak polis tidak mampu untuk menghubungi semua penjaga tersebut untuk meminta kebenaran sekiranya mahu menemuduga.

Dalam satu sidang media, beberapa penjaga mendakwa anak mereka mengalami trauma selepas disoal pihak polis.

Penjaga kepada pelajar mendakwa sesi temuduga tersebut berjalan tanpa pengetahuan mereka.

Selain itu, mereka juga mendakwa seorang individu tidak dikenali yang diiringi pengetua Mohd Nasir Mohd Noor telah mengambil gambar beberapa pelajar di mana penjaga mereka bertanggungjawab mendedahkan kontroversi makan di bilik persalinan tersebut.

Insiden tersebut menyebabkan penjaga, V. Kumancan dituduh mengancam guru besar terbabit, namun beliau telah menafikannya.

Kumancan, 31, kemudiannya telah ditahan dan dibebaskan dengan jaminan, namun dijangka akan didakwa atas tuduhan mengancam.

Susulan penahanan tersebut, penjaga kepada sekurang-kurangnya 10 pelajar berkata mereka akan menukarkan anak mereka ke sekolah lain dari Seri Pristana. -TMI

Perlantikan Zahriain: "Macam Tak Ada Orang Lain"

Posted: 06 Sep 2013 11:10 PM PDT


Pengerusi PR Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyifatkan Datuk Saifuddin Abdullah (bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi) dan Datuk Kamalia Ibrahim (Bekas Naib Ketua Wanita Umno) lebih berwibawa untuk menggalas tugas sebagai duta Malaysia ke Indonesia berbanding Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Dalam laman Twitternya semalam, beliau berkata, ramai lagi calon yang lebih sesuai untuk mengisi jawatan berkenaan berbanding Zahrain.

"Tanya saya siapa lebih layak jadi duta kita ke Indonesia, Datuk Saifuddin Abdullah (bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi) lebih wibawa ataupun Datuk Kamalia Ibrahim (bekas Naib Ketua Wanita Umno), sekurang-kurangnya ada prinsip," katanya ketika menjawab pertanyaan orang ramai berhubung siapa yang sepatutnya layak menjadi duta.

Zahrain, bekas ahli Umno, menyertai PKR dan bertanding pada pilihan raya umum 2008 atas tiket PKR.

Zahrain memenangi kerusi Bayan Baru dengan memperoleh 27,618 undi menewaskan calon BN, Ooi Siew Kim yang menerima 16,589 undi.

Beliau keluar PKR awal 2010 dan bertindak sebagai wakil rakyat Bebas kerana hilang kepercayaan kepada kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Mohammad Nizar turut menyatakan pelantikan bekas Ahli Parlimen Bayan Baru itu tidak lebih hanya ganjaran dan bayaran balik atas jasa 'pengkhianat' yang dilakukan kepada PKR dan PR.

"Itulah ganjaran melompat agaknya dan sungguh malang Malaysia mempunyai duta yang begitu sifatnya.

"Ini salah satu lagi hadiah BN kepada rakyat, lebih elok bubuh zul nordin (bekas Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin), Gobala (bekas Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan) bila?," soalnya. -SH

Habuan jadi duta selepas serang Anwar


Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menyifatkan pelantikan Bekas Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, Zahrain Hashim sebagai duta ke Indonesia adalah ganjaran dan bayaran balik atas jasa pengkianatan yang dilakukan kepada PKR dan Pakatan Rakyat.

Katanya, itulah yang menjadi budaya di dalam Umno BN hari ini bukan memberi jawatan atas dasar kelayakan tetapi berdasarkan politik semata-mata.

Malah katanya, pelantikan ini memberi gambaran sebenar kepada negara luar kerana mereka sendiri akan menilai perkhidmatan berdasarkan penghantaran duta ke luar negara.

"Duta yang dilantik mestilah berintegriti bukan memberi ganjaran politik, ini kerana imej yang ditunjukkan adalah imej yang tidak baik," katanya kepada Harakahdaily.

Ketika ditanya adakah Zahrain layak dilantik sebagai duta, Khalid berkata, Zahrain tidak nampak ada kemampuan itu memandangkan di dalam Parlimen pun beliau kurang menyerlah dari segi idea pembangunan negara.

Melainkan, tambahnya Zahrain hanya lantang menyerang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja di dalam parlimen.

"Kalau mesej itu sahaja yang nampak ia tidak ada benda yang boleh dibanggakan sepatutnya membawa idea-idea yang bernas untuk Malaysia," katanya.

Menteri Luar Datuk Anifah Aman mengesahkan Zahrain Hashim dilantik sebagai duta ke Indonesia.

Zahrain adalah salah seorang pemimpin PKR yang meninggalkan parti itu selepas pilihanraya 2008 dan sejak itu beliau antara yang aktif menyerang Anwar Ibrahim dan membela Najib
-HD

[VIDEO] Nilai RM Jatuh, Harga Minyak Naik, Rakyat Semakin Miskin

Posted: 06 Sep 2013 09:10 PM PDT


Kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia menyebabkan rakyat semakin miskin berikutan kuasa beli menurun ekoran kenaikan harga barangan diimport khususnya makanan.

Ahli Ekonomi Institut Rakyat, Azrul Azwar Ahmad Tajuddin berkata, suasana ekonomi itu berlaku apabila nilai mata wang negara mengecil berbanding mata wang asing sekali gus kemampuan rakyat berbelanja terjejas.

"Rakyat mengalami masalah untuk mendapatkan barang pada harga sama sebelum kejatuhan nilai mata wang negara

"Ini menyebabkan kemampuan rakyat membeli barangan itu semakin merosot, " kata bekas Ketua Ekonomi Bank Islam itu kepada TV Selangor, hari ini.

Nilai ringgit jatuh melebihi tujuh peratus tahun ini, paling rendah berbanding tiga tahun lalu kepada 3.3 setiap Dollar dan ia merupakan rekod terburuk.

Kesan kenaikan harga barangan bertambah parah apabila kerajaan Umno BN bertindak menaikkan harga minyak RON 95 dan RON 97 baru-baru ini.

Azrul berkata, penurunan nilai mata wang itu juga menyebabkan barangan import seperti barangan keperluan rakyat turut mengalami peningkatan harga.

Katanya, kerajaan digesa membuat penilaian dan mencari penyebab kepada punca kejatuhan nilai mata wang dan bertindak proaktif menangani masalah itu.

"Kerajaan perlu menumpukan usaha menangani ketirisan bagi mengelakkan pertambahan hutang negara dan defisit perbelanjaan," katanya. -selangorku


Syria Dakwa Perang Dunia III Meletus Jika Amerika Menyerangnya

Posted: 06 Sep 2013 06:02 PM PDT


Panel Senat bersepakat memberi kuasa penuh kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama menggunakan kekerasan terhadap Syria.

Media tempatan melaporkan, keputusan itu diperoleh selepas 18 ahli Jawatankuasa Hubungan Luar Senat mengundi dengan 10 - 7 manakala seorang senator hanya memilih sebagai hadir.

Resolusi membenarkan pentadbiran Obama melancarkan serangan tentera ke atas Syria akan memasuki fasa akhir sebelum kedua-dua dewan Kongres melakukan undian akhir minggu depan.

Menurut resolusi itu, tindakan ketenteraan melibatkan misi tentera darat mesti tidak melebihi 90 hari.

Kali terakhir Kongres melakukan undian adalah semasa pemerintahan bekas Presiden George W Bush ketika keputusan menyerang Iraq pada Oktober 2002.

Sementara itu, kerajaan Syria melaporkan, sekiranya peperangan ini tercetus maka ia disifatkan sebagai Perang Dunia ke tiga.

Timbalan Menteri Luar Faisal Muqdad menegaskan, Syria mengambil langkah agresif untuk melakukan serang balas.

"Tentera kami tidak takut dan tidak akan mengalah, walaupun perang dunia ketiga meletus," katanya dalam laporan Al Jazeera.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Luar Rusia melaporkan, senjata kimia digunakan dalam serangan di pinggir Damsyik bulan lalu adalah dari jenis buatan sendiri.

Menurutnya, senjata itu bukan milik tentera rejim Bashar Al-Assad seperti didakwa.

"Selepas pakar melakukan siasatan, kami dapati senjata itu dari komponen buatan sendiri," menurut satu kenyataan. -SH


Jika Diserang, Syria Peringatkan Meletusnya Perang Dunia III


Wakil Menteri Luar Negeri Syria, Faisal Muqdad menyatakan rejim Syria akan mengambil tindakan untuk membalas serangan AS ke negaranya. Sekalipun dengan tindakan itu Perang Dunia III bakal meletus, Muqdad tetap konsisten dengan keputusannya.

"Pemerintah Syria tidak akan mengubah keputusannya meskipun ada Perang Dunia III. Tidak ada warga Syria yang mengorbankan kemerdekaan negaranya," kata Muqdad yang disiarkan Al-Arabiya, Khamis (5/9).

Muqdad mengatakan rejimnya akan memobilisasi para sekutunya. Hal itu dilakukan setelah Presiden AS Barack Obama melobi Kongres untuk mendukung campurtangan dan adanya perdebatan di parlimen Perancis berkaitan serangan ke atas Syria.

Obama menyatakan kepada parlimen AS yang menyatakan jika mereka tidak menyerang Syria, AS menempatkan kredibilitinya pada risiko.

Dalam kunjungannya ke Swedia, Obama menegaskan masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri melihat serangan senjata kimia pada 21 Ogos di Syria.

AS menuduh serangan itu dilancarkan pasukan pemerintahan Bashar al-Assad. Perancis yang merupakan sekutu AS, memperingatkan tidak adanya tindakan dari AS terhadap Syria akan membahayakan keamanan dan perdamaian serantau.

"Tidak adanya tindakan akan membahayakan perdamaian dan keamanan di seluruh wilayah. Bagaimana kredibiliti komitmen antarabangsa melawan non-proliferasi senjata pemusnah massal termasuk senjata nuklear ini dipertaruhkan," kata Perdana Menteri Perancis, Jean-Marc Ayrault.

[TU DIA] Blogger Pro-BN Gelar Najib “Sewel”

Posted: 06 Sep 2013 06:45 AM PDT


Menjelang perhimpunan agung Umno tidak lama lagi, serangan atas Datuk Seri Najib Razak semakin ketara oleh para blogger pro-Barisan Nasional (BN) sehingga ada yang menggelarkannya sebagai "sewel".

Syed Akbar Ali melalui blognya, OutSyed The Box, menggunakan nama Datuk "Sewel" Najib Tun Razak merujuk kepada presiden Umno itu.

Menurut kamus Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sewel bermaksud tidak begitu waras atau tidak siuman.

Serangan Syed Akbar dalam tulisannya bertajuk "The PM's Screwup Team - Senarai Pegawai Pemandu, Bersih Supporters Etc" itu disiarkan di blog Rocky Bru, milik Datuk Ahirudin Atan, blogger yang rapat dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kedua-dua mereka sepakat perlantikan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), badan yang ditubuhkan kerajaan untuk memantau pelaksanaan polisi kerajaan, adalah membazirkan wang negara.

Mereka memaparkan bagaimana staf-staf Pemandu diberikan gaji tinggi berbanding dengan pegawai kerajaan lain yang jauh lebih lama bertugas dari mereka.

Selain itu, mereka mempertikaikan gaji tinggi diberikan kepada staf Pemandu walaupun keadaan ekonomi negara semakin teruk sehingga kerajaan terpaksa menaikkan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter baru-baru ini.

Menurut Ahirudin, sejak ditubuhkan, Pemandu tidak disenangi oleh para blogger pro-BN.

Secara sulit, para menteri di dalam Kabinet Najib sendiri tidak senang dengan Datuk Seri Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang mengetuai Pemandu, kata Ahirudin bekas pengarang di beberapa akhbar pro-BN.

Syed Akbar pula melalui pengiraannya, Pemandu sudah membelanjakan RM337 juta dalam masa empat tahun ini.

Menurutnya, sekumpulan orang muda dalam Pemandu yang memerintah negara bagi pihak perdana menteri.

Sebahagian dari mereka pula adalah penyokong Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), dakwa beliau dalam blognya.

"Mereka adalah dari firma Zaid Ibrahm and Co, Pricewaterhousecooper Singapura dan dari pelbagai tempat," katanya.

Menurut seorang pemimpin PKR, yang tidak mahu namanya dikenali, mengatakan kumpulan yang berkiblat kepada Dr Mahathir menjadikan isu Pemandu sebagai salah satu bahan serangan mereka.

Selain itu, mereka juga menyerang Perjanjian Persahabatan Trans Pasifik (TPPA), kegagalan Najib dalam pilihan raya umum lalu dan beberapa isu lagi.

"Saya berpendapat, mereka akan membiarkan Najib kekal dalam pemilihan Umno akan datang ini.

"Namun selepas beberapa bulan, mereka akan menekan Najib agar meletakkan jawatan sebagaimana Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) ditekan sehingga meletakkan jawatan sebelum ini," kata pemimpin itu.

Menurutnya, tindakan tidak mencabar Najib dalam pemilihan akan datang adalah untuk mengelakkan Umno berpecah.

Bagi beliau, inilah asasnya mengapa Najib begitu ketara sekali mahukan kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan perpaduan.

"Najib mahu memberikan signal kepada Mahathir dan gengnya, beliau mempunyai 'option' lain iaitu Anwar," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Beberapa hari lalu, wakil Najib menghubungi Anwar lagi bertanyakan kerjasama antara mereka.

Anwar menolaknya dengan alasan tidak akan meninggalkan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat (PR).

Menurut mesej terbaru itu, Najib sedia mempertimbangkan jika Anwar mahu membawa PAS bersama namun tidak berapa senang dengan DAP.

"Selain memberikan mesej kepada Dr Mahathir, kita bimbang isu ini juga bertujuan untuk memecahbelahkan perpaduan dalam PR," katanya.

Semasa perutusan Hari Kemerdekaan ke-56 baru-baru ini, Anwar mengumumkan kesediaan mengadakan dialog secara terbuka dengan BN untuk membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan negara tetapi menolak agenda kerajaan perpaduan.

Tiga isu yang disebutkan Anwar adalah kemerosotan ekonomi, jenayah dan hubungan antara kaum yang beliau sifatkan sebagai masalah ketara negara masa kini. -TMI

Tiada ulasan: