Isnin, 30 September 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


SPR Perlu Terima Teguran, Bukan Sebelahi Umno BN

Posted: 30 Sep 2013 01:01 AM PDT

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu sedia menerima teguran semua pihak termasuk Tribunal Rakyat demi memelihara kepentingan rakyat.

Keengganan SPR membantu siasatan Tribunal Rakyat hanya membayangkan agensi itu mengambil pendirian yang menguntungkan Umno BN sahaja.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali, berkata SPR sepatutnya berani dan bertanggungjawab terhadap setiap teguran.

"Tribunal Rakyat mengesahkan isu yang dibangkitkan PKR dan Pakatan Rakyat sebelum ini betapa ada banyak penipuan sepanjang pilihan raya umum ke-13 (PRU 13).

"SPR wajar meneliti secara profesional untuk mengembalikan keyakinan rakyat sebagai agensi yang melaksanakan pilihan raya yang bebas dan adil," katanya kepada TV Selangor.

Beliau juga menolak dakwaan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail kononnya tribunal berkenaan hanya mencari publisiti.

"Ini bukan soal menonjolkan kepentingan mana-mana pihak sebab itulah saya mendesak SPR bersikap terbuka dan mendengar teguran semua pihak khususnya rakyat.

"Keputusan PRU 13 penuh penipuan dan penyelewengan menyebabkan kesan buruk terhadap imej negara kepada dunia antarabangsa," kata Pengerusi PKR Selangor itu.

Tanda Putera Rugi RM3.8 juta - Bazirkan Wang Rakyat

Posted: 29 Sep 2013 11:10 PM PDT


Tayangan Filem kontroversi Tanda Putra yang gagal menarik penonton hingga mengalami kerugian RM3.77 juta, menunjukkan satu lagi pembaziran wang rakyat, kata penulis, Hasmi Hashim.

"Filem ini filem yang amat malang kerana mengalami kerugian. Kalau dicalonkan sekali pun, saya percaya ia tidak akan merangkul apa-apa anugerah.

"Ini pembaziran yang jelas, duit rakyat digunakan untuk menerbitkan propaganda, dan ia tidak berjaya," katanya yang juga penulis lirik terkenal lagu 'Awan Nano'.

Menurut laman Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), filem kontroversi itu berakhir di pawagam awal minggu ini dengan jumlah kerugian dianggarkan RM3.77 juta.

Filem yang diterbitkan dengan kos RM4.2 juta dari geran Finas itu hanya mencatat kutipan RM930,000 selepas 25 hari ditayang di pawagam.

Hasmi atau nama penanya, Buddhi Hekayat berkata, satu jawatankuasa sepatutnya ditubuhkan bagi menyemak dan memilih skrip yang sesuai sebelum diberi geran penerbitan.

Sementara itu, bekas pelawak, pengacara dan penulis lirik, Bob Lokman berpendapat dana sebesar itu tidak seharusnya diberikan bagi menerbitkan filem yang sejak awal sudah dijangka tidak akan diterima umum.

"Rakyat Malaysia memang tidak boleh terima cerita begitu. Lebih elok dana sebegitu besar digunakan bagi meningkatkan mutu seni di negara ini dengan cara yang lain," ujarnya.

Tanda Putra, merupakan filem arahan Paduka Suhami Baba yang memaparkan insiden rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Filem berkenaan gagal mencapai sasaran pecah panggung pada minggu pertama tayangannya, menyebabkan ia terpaksa dipindahkan ke pawagam lebih kecil.

Diterbitan Pesona Pictures Sdn Bhd, filem itu dikritik ramai kerana memainkan sentimen perkauman selain memaparkan peristiwa sejarah secara berat sebelah. -KD

[KEJAM] Suami Isteri Parah Ditetak

Posted: 29 Sep 2013 08:20 PM PDT


Manjung – Sepasang suami isteri terpaksa merangkak dalam keadaan berlumuran darah meminta bantuan selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dalam satu kejadian di Kampung Koh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa masing-masing berusia 50-an diserang empat lelaki yang dipercayai bersembunyi berhampiran kediaman pasangan itu sebelum menyerang.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa baru pulang ke kediaman mereka dengan menunggang motosikal.

Tindakan mengejut itu menyebabkan mereka tidak sempat mengelak serangan kumpulan berkenaan dan kedua-dua mangsa cedera di tangan dan kaki.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang sempat meloloskan diri menjerit meminta bantuan penduduk berhampiran.

Melihat mangsa meminta tolong, suspek segera melarikan diri menaiki motosikal.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa diserang sekumpulan lelaki hingga menyebabkan kedua-duanya mengalami kecederaan.

"Mereka berdua dibawa untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Seri Manjung.

"Kita masih belum kenal pasti motif serangan berkenaan dan setakat ini tiada sebarang laporan kerugian berhubung kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, tiada sebarang tangkapan dilakukan buat masa ini, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. -SH

[VIDEO & GAMBAR] Sebuah Pulau Muncul Selepas Gempa Bumi

Posted: 29 Sep 2013 05:10 PM PDT


Khuzdar (Pakistan): Sebuah pulau baru muncul di Pakistan selepas berlakunya gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter di wilayah Baluchistan di daerah Awaran pada Selasa lalu yang kelihatan seperti tanah berdebu yang luas.

"Pulau itu setinggi sehingga 100 kaki dan 200 kaki lebar, muncul selepas gempa bumi melanda di bahagian Baluchistan," kata pegawai kanan pentadbiran Tufail Baluch kepada AFP.

Pegawai itu berkata, pulau yang sama muncul di tempat yang sama di perairan kira-kira 60 tahun lalu tetapi hilang selepas beberapa ketika, yang bermaksud 'pulau' sekarang ini mungkin tidak akan bertahan lama.

Ia bagaimanapun tidak menghalang penduduk tempatan menggunakan bot untuk meneroka pulau itu, yang mungkin dilanda lumpur dan pasir.

Saluran televisyen menunjukkan imej kawasan berbatu yang semakin meninggi di atas paras laut, serta orang ramai yang kelihatan hairan dengan kejadian itu berkumpul di pantai untuk menyaksikan fenomena yang jarang-jarang berlaku.

Pulau baru itu tercipta akibat tekanan gempa bumi, kata seismologi John Armbruster kepada NBC News, yang mana katanya ia membawa kepada pembentukan sebuah "gunung berapi lumpur."

Beliau berkata, pembentukan lumpur itu merupakan kejadian yang wujud berikutan gempa bumi sekuad magnitud tujuh atau lapan.

Kajian Geologi Amerika Syarikat mengeluarkan amaran tahap merah pada Selasa, yang memberi amaran bahawa jumlah kematian yang tinggi berdasarkan data sebelum ini, dan kerajaan wilayah mengisytiharkan darurat di Awaran.

"Jumlah kematian akibat gempa bumi mencecah mencapai 208 orang sekarang. Yang cedera adalah lebih 382 orang," kata Asad Gilani, yang merupakan salah seorang pegawai paling kanan pentadbiran wilayah kepada AFP.

"Pasukan penyelamat sedang berusaha untuk mendapatkan semula mayat dan mereka yang cedera, tetapi keutamaan kami adalah untuk membawa mereka yang cedera ke hospital secepat mungkin," katanya.

"Tidak ramai doktor di kawasan itu tetapi kami cuba untuk menyediakan kemudahan secara maksimum di kawasan-kawasan yang terlibat," kata Jan Muhammad Baledi, jurucakap kerajaan Baluchistan, kepada saluran berita Ary.




70 Pelajar Diserang Histeria

Posted: 29 Sep 2013 07:31 AM PDT


Kuantan - Sesi pembelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sera gempar apabila sekurang-kurangnya 70 pelajar diserang histeria, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang, pelajar lelaki dan perempuan yang terkena gangguan itu, meracau-racau dan lari bertempiaran di sekeliling bangunan sekolah sehingga menyukarkan para guru menenteramkan mereka.

Seorang bapa, Saifullizan Abdullah, 38, memberitahu, kejadian histeria itu sudah berlarutan agak lama dan lebih merisaukan dua anaknya, Emy Syazana, 16, dan Norsyafikah, 13, turut mengalaminya.

Menurutnya, kejadian histeria itu juga sudah berlaku berulang kali malah mengganggu pelajaran dua anaknya itu.

"Sejak kejadian tersebut, sikap kedua-dua anak saya berubah apabila menjadi kuat tidur dan lemah.

"Ketika dirasuk di sekolah, ada sesetengah pelajar didapati tidak sedarkan diri dan ada mendakwa mendengar bisikan yang menyuruh mereka terjun dari bangunan sekolah," katanya.

Saifullizan berkata, paling membimbangkan apabila kejadian pelajar terjun dari bangunan sekolah pernah berlaku dua kali di lokasi yang sama dan salah seorang daripada mangsa maut pada Mei lalu manakala kejadian terbaru pada bulan lalu.

"Saya risau kejadian buruk ini akan mengganggu dua anak saya atau pelajar lain.

"Justeru, saya amat berharap tindakan segera dapat diambil bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.

Seorang pelajar yang enggan dikenali pula berkata, semasa kejadian, pihak sekolah mengambil inisiatif melaungkan azan bagi meredakan keadaan. Bagaimanapun, situasi menjadi lebih buruk apabila para pelajar terbabit dikatakan semakin agresif dan marah apabila mendengarnya.

"Sekolah ini menjadi huru-hara apabila pelajar yang diserang histeria berlari bertempiaran di sekitar sekolah.

"Keadaan menjadi kecoh apabila guru sukar untuk mengawal dan menangkap mereka untuk dibawa ke makmal komputer bagi diberikan rawatan," katanya.

Katanya lagi, situasi itu bagaimanapun kembali tenang apabila pihak sekolah memanggil seorang ustaz untuk memulihkan pelajar terlibat.

"Saya tengok kakak saya yang turut terkena histeria terbaring dan kemudiannya sedar kembali selepas ustaz memulihkan mereka," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Pahang, Rosdi Ismail ketika dihubungi berkata, beliau masih menunggu laporan mengenai kejadian tersebut dan akan menjalankan siasatan lanjut.

"Kita akan siasat kejadian ini selepas menerima laporan daripada pihak sekolah," katanya. -SH

Tiada ulasan: