Kelab Greenboc |
- Kembalinya Sebutir Permata Islam Ke Rahmatullah
- Ni Apa barang? K'jaan Bazir RM15 Juta Taja Kelab Bola Sepak Vincent Tan!
- Benarkah MB S'ngor Sudah Terlupakan Jasa PAS?
- Pelakon Anita Baharom Lebih Tenang Selepas Bertudung
- Bancian Al-Jazeera: 91.4% Responden Kata Roadmap Al-Sisi Akan Gagal
- Anak Muda Akan Tetap "Sambut" Obama Sekalipun Menteri Kata Jangan
Kembalinya Sebutir Permata Islam Ke Rahmatullah Posted: 26 Sep 2013 01:05 AM PDT Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak kembali ke rahmatullah jam 11.10 pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Jenazah almarhum akan disemadikan di Muasasah Darul Ulum, di sini petang ini. Keadaan kesihatan Azizan sebelum ini dilaporkan kritikal kerana menghadapi masalah jantung yang serius. Beliau dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar sejak dipindahkan dari Hospital Pulau Pinang bulan lepas dan terpaksa diberi bantuan kecemasan pukul 3 pagi Rabu. Menteri Besar Kedah ke-10 selepas Datuk Seri Mahdzir Khalid itu diketahui umum menghidap kencing manis sejak sekian lama dan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2005. Pada Ogos 2011, Azizan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk membuat pemeriksaan perubatan berkala (susulan) pembedahan lalu. Beliau menjalani imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik) dan rawatan menstabilkan tekanan darah tinggi di samping mengawal paras gula. Pada 6 Mei 2013, beliau dimasukkan ke Pusat Perubatan Kedah selepas berasa sakit di kaki dan dipindahkan ke ICU di Hospital Pulau Pinang keesokannya sebelum dilaporkan koma. Bagi mengelakkan jangkitan merebak, kedua-dua kakinya terpaksa dipotong pada 9 Mei. Beliau adalah Pesuruhjaya PAS Kedah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Kedah. Beliau menjadi Menteri Besar selepas PAS dan PKR membentuk kerajaan negeri Kedah atas kemenangan dalam pilihan raya umum pada 2008. Pada 1 Jun 2013 beliau antara penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Beliau menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri. Azizan pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau juga merupakan Pengarah Urusan Harakah dan tenaga pengajar di sekolah yang didudukinya iaitu Maktab Mahmud, Alor Setar pada 1966. Beliau pernah menjadi pensyarah pelawat Mindanao State University, Filipina dan pensyarah sambilan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)(1983-1984, 1986-1995). Beliau adalah Naib Presiden PAS (2003-2005), Ketua Penerangan PAS Pusat (2001-2003), Ahli Majlis Syura Ulama PAS (1991 hingga kini) Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1993 hingga sekarang) selain menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah (2000 hingga sekarang), Setiausaha Perhubungan PAS Kedah (2000 hingga sekarang) dan mewakili PAS ke MAPEN (1989). Beliau memenangi DUN Sungai Limau (dahulu dikenali sebagai DUN Sala) mulai 1995 hingga 2013 mengalahkan calon dari Barisan Nasional. Alfatihah... |
Ni Apa barang? K'jaan Bazir RM15 Juta Taja Kelab Bola Sepak Vincent Tan! Posted: 25 Sep 2013 10:04 PM PDT Perbelanjaan kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan berjumlah £3 juta atau melebihi RM15 juta melalui penajaan jersi "Front of Shirt Sponsorship" adalah tidak wajar dan membazir. Penajaan tersebut disalurkan kepada Kelab Bola Sepak Cardiff City milik ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan (gambar) untuk tempoh setahun. Perbelanjaan tersebut tidak akan berupaya membayar balik melalui tarikan pelancong hanya dari United Kingdom khususnya Negara Eropah Barat. vinni-tan_getty_2645418bMungkin perbelanjaan tersebut menjurus kepada bantuan kerajaan yang disalurkan kepada ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan yang memiliki secara langsung Kelab Bola Sepak EPL Cardiff City tersebut. Persoalan lain ialah mengapa kelab bola sepak EPL Cardiff City dan bukannya kelab bola sepak Liga Inggeris yang lain? Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sepatutnya lebih kreatif dalam urusan mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2014 selain daripada menaja logo Tahun Melawat Malaysia 2014 di stadium Cardiff. Peruntukan sebanyak itu sepatutnya disalurkan kepada Kementerian yang bertanggungjawab dalam membantu kelab-kelab bola sepak tempatan yang sekian lama mengalami kekurangan dana atau sekurang-kurangnya dilaburkan kepada latihan-latihan pemain-pemain muda berbakat yang mampu bersaing dengan pemain antarabangsa. Rujukan: Jawapan pertanyaan lisan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan di Dewan Rakyat pada 24 September 2013 Soalan: YB Tuan Hee Loy Sian minta MENTERI PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN menyatakan:- a) Jumlah perbelanjaan Kerajaan daripada menaja jersi Kelab Bolasepak Cardiff City dan tempoh penajaan; dan b) Bagaimana penajaan jersi bola sepak berkenaan dapat menarik pelancong ke Malaysia. Jawapan: Datuk Seri Mohamed Nzari Abdul Aziz Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Tuan Yang di-Pertua, a) Kos keseluruhan bagi menaja "Front of Shirt Sponsorship" ini adalah sebanyak £7.35 juta. Daripada jumlah tersebut, pihak Kementerian menampung sebanyak £3 juta bagi sepanjang musim Liga Perdana Inggeris 2013/2013. Nilai publisiti dan perhubungan awam yang dianggarkan dapat diperolehi daripada penajaan ini di peringkat global adalah seperti berikut: i) Jumlah penonton televisyen seramai 720 juta orang; ii) Masa siaran tayangan televisyen sebanyak 217,000 jam; dan iii) Melibatkan lebih 80 rakan penyiar (broadcasting partner) antarabangsa. Penajaan ini juga termasuk mengadakan pameran sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 di stadium Cardiff sepanjang musim perlawanan dan hak untuk mempamerkan logo Tahun Melawat Malaysia 2014 sepanjang musim perlawanan. b) Melalui penajaan jersi Kelab Bola Sepak Cardiff City Football Club telah dapat memperkasakan lagi promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 secara global serta menjadikan Malaysia sebagai Top of The Mind Destination mencapai sasaran ketibaan pelancong. Program kerjasama ini juga berpotensi besar dalam meningkatkan bilangan kedatangan pelancong ke Malaysia terutamanya hih end tourist daripada negara pasaran khususnya pasaran daripada United Kingdom dan Eropah Barat dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan bilangan kedatangan pelancong ke Malaysia yang disasarkan sebanyak 28 juta oranfg pada tahun 2014. Pasaran pelancong-pelancong daripada United Kingdom dan Eropah merupakan pasaran long haul yang utama bagi Malaysia. -KD ,br>
|
Benarkah MB S'ngor Sudah Terlupakan Jasa PAS? Posted: 25 Sep 2013 08:31 PM PDT Khalid Ibrahim jangan lupa budi PAS - Shahbudin Husin Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim terlihat tidak matang apabila seakan-akan melenting dengan teguran Pemuda PAS Selangor yang mempersoalkan kemerosotan pasukan bola sepak negeri itu sehingga gagal masuk ke peringkat suku akhir dan mengaitkannya dengan kekurangan penajaan dan menyebabkan ramai pemainnya berhijrah ke pasukan lain untuk musim depan. Dalam jawapan balasnya terhadap kritikan Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohd Sany Hamzan itu, Khalid menjelaskan bahawa syarikat Menteri Besar Incorporated (MBI) menyalurkan kira-kira RM7 juta setahun kepada pasukan bola sepak negeri atau dalam erti kata lain melebihi kos pembinaan sebuah masjid. "Bermakna adakah Pemuda PAS berminat kita buat masjid atau menggalakkan bola sepak. Kita kena buat pilihan," kata Khalid lagi. Sesiapa pun yang membaca kenyataan Khalid itu pasti akan geleng kepala, kalau pun tidak memaki dan menyumpah seranah terhadapnya. Apa kaitannya pembinaan masjid dengan pembangunan bola sepak? Penasihat kerajaan negeri Selangor, Anwar Ibrahim yang sedang berada di luar negara sekarang juga pastinya turut geleng kepala dan sedikit terganggu percutiannya dengan kenyataan Khalid yang tidak matang dan dan separuh masak itu. Dalam erti kata lain, jika sebelum ini ada menteri yang mengatakan tukarlah makan ikan dan daging kerana harga ayam sudah mahal, tanamlah sayur kerana sayur mahal, pindahlah ke luar negara atau duduk dalam hutan jika tidak setuju dengan undang-undang dan sistem pilihan raya, jangan beli rumah jika rumah begitu mahal, gula akan dinaikkan harganya kerana rakyat banyak penyakit kencing manis dan sebagainya lagi, ternampak bahawa Khalid juga sudah dijangkiti aliran pemikiran yang sama sekarang ini. Tiada jauh bezanya beliau dengan menteri-menteri Umno yang selama ini mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal dalam sesuatu isu yang melibatkan rakyat. Khalid jelas tidak boleh ditegur dan dikritik sedangkan niat Pemuda PAS membuat teguran itu adalah dengan niat yang baik, lebih-lebih lagi pasukan Selangor adalah pasukan yang hebat dengan sejarahnya sebelum ini dan kegagalan memasuki peringkat suku akhir adalah sesuatu yang memalukan. Jika tidak dibendung dan tidak diperbaiki segera serta pemain bola sepak yang berbakat pula dibiarkan dipancing oleh pasukan lain yang mempunyai dana lebih besar, tidak mustahil musim depan pasukan Selangor lebih merosot prestasinya dan mungkin untuk masuk ke pertandingan Piala Malaysia pun tidak layak. Dalam hal ini, teguran dan kritikan Pemuda Selangor tidak ada salah dan celanya, lebih-lebih lagi PAS dan PKR bersama-sama berada dalam Pakatan Rakyat yang membentuk kerajaan negeri Selangor sekarang ini. Teguran Pemuda PAS tentunya bukan saja kerana merasakan mereka adalah rakan dalam gabungan tetapi juga kerana Khalid dan kerajaan negeri selalu berbangga sebelum ini dengan kemampuan mengumpulkan rizab tunai melebihi RM2 bilion yang digambarkah sebagai tanda aras pentadbiran yang cekap, berhemah dan telus. Tetapi tentunya tiada gunanya berbangga dengan rizab sebanyak itu jika untuk pembangunan bola sepak pun terlalu berkira dan menjadi haji bakhil sehingga digambarkan jika pembangunan bola sepak terpaksa menggunakan dana yang melebihi RM7 juta, maka pembinaan masjid akan terjejas. Bukankah antara tujuan berjimat cermat dan mengumpulkan tabungan itu supaya akhirnya duit itu dapat dibelanjakan untuk faedah rakyat dan kepentingan negeri dan membangunkan bola sepak serta mencipta kejayaan adalah juga sebahagian daripada usaha kerajaan negeri yang membangkitkan rasa banggga di hati rakyat. Tentulah lebih membanggakan lagi jika di ketika bola sepak terus mahu, syiar Islam dan pembinaan masjid juga tidak tergendala. Tolonglah Khalid, janganlah buat lawak yang membuatkan rakyat jadi meluat. Perbandingan antara bola sepak dan masjid langsung tidak kena dan memalukan rekod serta prestasinya sebagai tokoh korporat dan pentadbir yang dibanggakan selama ini. Kalau pun mahu membuat perbandingan, janganlah bandingkan bola sepak dengan masjid. Macam menghina agama pula bunyinya dan seolah-olah mengeluarkan lebih daripada RM7 juta untuk bola sepak merupakan suatu dosa besar sedangkan ada tabungan berjumlah RM2 bilion. Apakah rizab tunai RM2 bilion itu mahu disimpan dalam bank saja? Kenyataan Khalid ini turut menimbulkan rasa kurang senang Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali yang segera menyindir dalam Twitternya dengan antara lain menulis, "jom kita bermain bola sepak dan jangan lupa ke masjid" dan "tahniah PKNS FC, tapi jangan lupa ke masjid". Di kalangan rakyat biasa juga ramai yang bersungut dan mencebik bibir kepada Khalid atas kenyataan tidak matang dan sikap haji bakhil yang ditunjukkan itu. Malah ada yang bertanya, apa sudah jadi Khalid sekarang sedangkan dulu sikap dan perangainya tidaklah sebegitu? Dalam menempelak Pemuda PAS yang berniat baik membuat kritikan demi pembangunan bola sepak negeri Selangor serta dalam masa yang sama membuat perbandingan tidak logik antara bolas epak dan masjid, Khalid juga seharusnya tidak lupa bahawa kerusi yang didudukinya sekarang ini adalah atas ehsan PAS juga berikutan PAS menang lebih banyak kerusi berbanding PKR dalam pilihan raya umum lalu. Hanya atas dasar kesepakatan dan memikirkan PAS sudah ada Kelantan untuk ditadbir dan DAP ada Pulau Pinang, maka persetujuan diberi kepada PKR untuk menjadi Menteri Besar di Selangor supaya masing-masing mempunyai kuasa yang seimbang dalam Pakatan Rakyat. Tetapi melihat cara Khalid melibas Pemuda PAS seolah-olah beliau terlupa budi dan jasa PAS itu. – shahbudindotcom |
Pelakon Anita Baharom Lebih Tenang Selepas Bertudung Posted: 25 Sep 2013 05:20 PM PDT Pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri 'Dunia Baru', Anita Baharom mendedahkan yang dia kini berasa lebih tenang selepas mengenakan tudung semenjak beberapa bulan yang lalu. "Alhamdulillah, kini selepas bertudung, saya rasa lebih tenang. Sebenarnya, saya sudah lama berniat untuk mengenakan hijab. Namun saya tak tahu bila masanya. Beberapa bulan yang lalu, suami saya yang merupakan seorang penerbit di sebuah stesen televisyen menjalani penggambaran di Tanah Suci Mekah dan perubahan saya bermula selepas mendapat pengalaman di sana," jelas Anita memulakan perbualan. "Hati saya tergerak untuk mengikut sekali suami saya ke sana. Tujuan saya bukanlah hendak 'kacau' suami menjalani penggambaran tetapi saya memang sudah lama pasang niat ke Mekah. Alang-alang suami saya mahu ke sana, jadi saya sudah mempunyai mahram untuk menunaikan ibadah Umrah. Alhamdulillah, saya mula mengenakan tudung ketika berada di lapangan terbang sebelum berlepas ke Mekah sehinggalah ke hari ini," ujar Anita lagi. |
Bancian Al-Jazeera: 91.4% Responden Kata Roadmap Al-Sisi Akan Gagal Posted: 25 Sep 2013 08:10 AM PDT Majoriti penonton Al-Jazeera telah meramalkan bahawa Peta Jalan (Roadmap) yang dilaksanakan oleh tentera Mesir akan gagal. Seperti dikutip dari Middle East Monitor, Rabu (25/9/2013), jejak pendapat itu menunjukkan bahwa 91.4 peratus dari mereka yang disoalselidik menyatakan tidak percaya pada peta jalan tersebut dan meramalkan bahwa roadmap itu akan gagal. Roadmap itu diumumkan Menteri Pertahanan Mesir Abdul Fattah-Al-Sisi pada 3 Julai lalu, ketika pihak tentera melakukan kudeta. Sekitar 13,848 orang responden memberikan suaranya dalam jejak pendapat itu, hanya sekitar 8.2 persen dari mereka menyatakan keyakinannya dalam peta jalan. Ketika Presiden sah Mesir, Mohammed Morsi dikudeta oleh tentera, dengan pantas Al-Sisi mengumumkan roadmapnya untuk Mesir, lalu diikuti dengan penahanan dan pertumpahan darah yang dilakukan oleh junta tentera terhadap rakyatnya. |
Anak Muda Akan Tetap "Sambut" Obama Sekalipun Menteri Kata Jangan Posted: 25 Sep 2013 04:05 AM PDT Saranan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamad supaya jelajah anti Obama dan anti TPP dihentikan tidak akan dilayan penganjurnya. Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan berkata, pihaknya dan rakan sekutu tetap akan meneruskan jelajah seperti yang dijadualkan. "Saranan beliau (Mustapa) supaya kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama tidak disambut dengan protes besar-besaran turut tidak akan diendahkan. "SAMM ingin menegaskan bahawa pentingnya jelajah ini diteruskan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai betapa perjanjian TPP ini bakal mengheret negara ke kancah penjajahan moden dalam bentuk ekonomi," katanya dalam satu kenyataan. Tambahnya, Jelajah #BantahObama #TolakTPP kini memasuki siri ke-5 yang berlangsung di Taman Meru, Ipoh, Isnin lalu. Ujarnya lagi, program tersebut akan bergerak ke sembilan lagi lokasi di seluruh negara. Edy Noor Reduan Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
|
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan