Khamis, 12 September 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[VIDEO] Akhirnya Syabas Diheret Ke Tribunal Tuntutan Pengguna

Posted: 12 Sep 2013 01:05 AM PDT


Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli hari ini mengemukakan 15 fail tuntutan tribunal terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kerana gagal menguruskan bekalan air dengan baik sehingga menjejaskan penduduk sekitar Lembah Klang.

Tuntutan difailkan Rafizi mewakili 15 penduduk sekitar Ampang dan Pandan berikutan beberapa siri gangguan bekalan air sejak tahun lalu dengan jumlah kadar pampasan RM50 sehari.

Gangguan bekalan air itu berpunca daripada kerosakan sistem paip di Rumah Pam Wangsa Maju di Kuala Lumpur pada Disember 2012 yang berlarutan sehingga tiga minggu dan 27 Ogos lalu (berlarutan sehingga seminggu).

"Selama ini rakyat tak mampu nak ambil tindakan kerana Syabas dilindungi perjanjian konsesi dan kita tak boleh nak akses dokumen mereka disamping kos pah peguam yang terlalu mahal.

"Ini merupakan tuntutan tribunal pertama dalam sejarah terhadap Syabas dan akan ada beberapa siri yang akan dikemukakan penduduk Klang, Kelana Jaya dan ramai lagi," katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di sini tengahari tadi.

Pengguna mempunyai hak dibawah Seksyen 53 Akta Pengguna 1999 yang memperuntukkan setiap perkhidmatan mesti ada jaminan ia perlu dijalankan dengan teliti dan baik.

Namun menurut Rafizi, ada asas Syabas tidak menjalankan tugas dengan teliti dan berkemahiran seperti yang dituntut dalam undang-undang dengan membiarkan masalah kerosakan paip secara berulang.

Katanya, tribunal telah menetapkan tarikh 3 Oktober depan mendengar tuntutan daripada 15 pengguna terbabit dan Syabas perlu hadir untuk membela diri.

"Tribunal akan mendengar setiap satu tuntutan yang difailkan dan kita akan membantu menyediakan khidmat peguam," katanya.

Pengarah Strategi PKR itu juga berkata, pihaknya akan membawa isu tuntutan ini ke Dewan Rakyat dan mahu Menteri berkenaan bertanggungjawab mengatasi isu masalah air yang kerap berlaku di Lembah Klang.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika ditemui pemberita di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri berkata pihaknya tidak akan menghalang penduduk Selangor memfailkan tuntutan terhadap Syabas.

Malah beliau turut menggalakkan pengguna mengambil tindakan sama bagi memastikan Syabas memperbaiki khidmat pengurusan bekalan airnya pada masa akan datang. "Saya ingat Syabas perlu menjawab beberapa rintihan pengguna…selepas ambil alih penstrukturan air kerajaan negeri akan memberikan perkhidmatan yang lebih baik," katanya. -FMT


Silap Siar Logo "Polis Raja Di Malaysia": Petugas RTM Dibuang Kerja

Posted: 11 Sep 2013 10:31 PM PDT


Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menggantung dan menamatkan perkhidmatan individu yang terlibat dalam insiden penyiaran kesilapan logo Polis Diraja Malaysia melalui RTM semalam.

Sambil berkata RTM memandang serius kejadian itu, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Norhyati Ismail berkata laporan polis untuk memulihkan imej Jabatan Penyiaran telah dibuat.

"Ralat dan permohonan maaf telah disiarkan dalam Berita Nasional 12 tengah malam.

Surat rasmi memohon maaf kepada Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) juga telah dihantar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan jawatankuasa tatatertib telah bersidang hari ini untuk meneliti tindakan lanjut yang akan dilaksanakan susulan insiden itu.

Kenyataan dan tindakan segera yang diambil telah dimuat naik dalam laman sosial jabatan berkenaan, tambahnya. - BERNAMA

Video Permohonan Maaf RTM Isu Logo PDRM


[MEMALUKAN] "Endless Possibilities" Malaysia Sama Mongolia, Pelancarannya Ditangguhkan

Posted: 11 Sep 2013 07:50 PM PDT


Pelancaran kempen "Endless Possibilities" ditangguhkan

Pelancaran kempen baru Putrajaya "Endless Possibilities" dalam negara telah ditangguhkan dari tarikh asal 17 September kepada satu tempoh yang belum pasti selepas mendapati Mongolia menggunakan slogan sama 19 bulan sebelum Malaysia.

The Malaysian Insider difahamkan, pegawai-pegawai yang menguruskan kempen panik kerana Mongolia merupakan satu subjek sensitif selepas dua anggota polis Malaysia didakwa dan kemudian dibebaskan di atas tuduhan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

"Pelancaran di Malaysia dibatalkan, masih belum ada tarikh baru," kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Slogan kempen itu secara rasmi digunakan buat pertama kali di Davos Januari lepas semasa Forum Ekonomi Dunia (WEF) walaupun Kementerian Pelancongan sudah memperkenalkannya di Dubai pada Oktober 2012.

Blogger pro kerajaan telah mengkritik kempen itu mengatakan ianya meniru kempen sama Israel yang bermula April lepas. Akan tetapi kemudiannya mereka mendapati Mongolia telah menerbitkan video dan disiarkan oleh penyiar berita global CNN menggunakan slogan sama.

Akan tetapi jurucakap kempen mengatakan ia tetap akan dilancarkan tetapi tidak memberikan tarikh pasti.

"Inisiatif ini tetap akan dilancarkan, 17 merupakan salah satu tarikh dipertimbangkan," kata seorang jurucakap yang enggan dinamakan.

Tarikh 17 September dipilih kerana ia merupakan sehari selepas Malaysia menyambut ulangtahun ke-50 penubuhannya apabila Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak bersetuju menjadi satu negara pada tahun 1963. Singapura meninggalkan Malaysia pada Ogos 1965.

The Malaysian Insider difahamkan slogan kempen dicadangkan oleh dua perunding asing dan syarikat kajian pasaran selepas perbincangan dengan pegawai-pegawai dari Jabatan Perdana Menteri.

"Perunding-perunding memperhalusinya dari prosa 'Endless Opportunites' yang digunakan dalam ucapan kepada 'Endless Possiblities'," katanya dan menambah tidak pasti sama ada perunding-perunding itu menyemak jika ada negara lain menggunakan slogan itu.

Firma pengiklanan dipanggil selepas itu untuk mencipta logo yang kemudiannya digunakan Kementerian Pelancongan bersama slogan sebelum digunakan di Davos.

The Malaysian Insider pertama kali melaporkan berita tentang pelancaran kempen pada 21 Ogos dan disahkan pada hari sama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengatakan kempen ini melengkapkan dan bukan menggantikan slogan 1Malaysia yang diperkenalkan pada 2009.

Najib berkata, ia adalah "kempen komplementari" dan kempen terkini itu adalah sebahagian daripada pelan menjenamakan negara.

"Ini akan mempromosikan Malaysia," katanya yang dilihat menggunakan lencana baru kempen itu termasuk logo 1Malaysia.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider slogan "Endless Possibilities" sebenarnya mahu dilancarkan sebelum hari mengundi, tetapi kerajaan menangguhkannya bagi mencegah kemungkinan berlaku kekeliruan.

Pos Malaysia sudah merancang untuk melancarkan setem baru bertajuk Malaysia: Endless Possibilities pada 30 Mei 2013 tetapi tidak ada tanda set setem itu.

Sumber berkata, kempen baru itu sebenarnya bermula pada awal tahun ini di majlis berprestij Forum Eknomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland dan dalam beberapa program Pelancongan Malaysia.

Klip video berdurasi 60 saat yang memaparkan Najib juga dilancarkan dan disiarkan oleh penyiar berita global CNN.

Terdapat juga beberapa pengiklanan bercetak dengan slogan baru itu dalam majalah antarabangsa untuk tujuan perniagaan dan pelancongan sepanjang tempoh lapan bulan lalu. Tetapi sumber berkata, penggunaan secara meluas akan hanya berlaku selepas pelancaran pada 17 September ini. -TMI


[BERGAMBAR] 13 Cedera 4 Kenderaan Berlanggar Di Lebuhraya Karak

Posted: 11 Sep 2013 04:20 PM PDT


Seramai 13 mangsa cedera dalam nahas membabitkan dua buah bas, satu treler dan sebuah kereta di Km31.5, Lebuhraya Karak, dekat ibunegara hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata pihaknya menerima panggilan pada 3.49 petang dan tiba di tempat kejadian setengah jam kemudian.

Katanya, kemalangan membabitkan empat kenderaan itu dari arah Karak menuju ke ibu negara dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu sebuah bas pelancong mengawal kenderaannya lalu merempuh sebuah bas ekspres dan kereta Toyota Vios yang kemudiannya melanggar treler di hadapannya.

"Saya percaya kemalangan berpunca disebabkan ada kenderaan yang dibawa laju dan perlahan, namun kami akan menyiasat kemalangan itu bagi mengenal pasti punca sebenar," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Azizan berkata 13 mangsa yang terdiri daripada 11 penumpang bas dan dua daripada kereta Vios itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang untuk menerima rawatan.

Beliau berkata kesemua mangsa berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun.

"Laporan awal mendapati bas pelancong membawa 13 penumpang (dan seorang pemandu), manakala bas ekspres Temerloh-Kuala Lumpur membawa 25 orang termasuk pemandu.

"Pemandu dua bas berkenaan hanya mengalami luka ringan manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata tiga jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian dengan kekuatan 30 pegawai dan anggota, masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Selayang dan Bentong.

Sementara itu, pemandu treler Aris Embong, 53, berkata ketika kejadian itu dia memandu perlahan dan berada di hadapan kereta Toyota Vios.

"Sebelum kejadian saya nampak sebuah bas bergerak laju lalu melanggar sebuah bas yang berada di hadapannya...kemudian bas kedua (yang dilangggar) itu melanggar treler yang saya bawa," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. - Bernama


Foto-foto ehsan NST

Menjelang Muktamar: Media Telah Mula Berusaha Lagakan Pemimpin PAS

Posted: 11 Sep 2013 07:25 AM PDT


Saya cakap lain mereka tulis lain - TG Nik Aziz

KOTA BHARU: "Akhbar tulis tu tidak betul, saya cakap lain mereka tulis lain. Bukan saya sebut tidak perlu pilih bukan ulama, kerana semuanya dalam PAS dipanggil ulama.

"Profesional pun ulama juga, begitu juga ulama pun profesional. Sengaja ada pihak hendak sebut dua nama, sedangkan sebenarnya satu sahaja," kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam reaksi terbarunya.

Beliau ditemui hari ini ketika menghadiri persidangan khas Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Baru-baru ini akhbar arus perdana cuba memberi gambaran Mursyidul Am mahu ulama dipilih menduduki jawatan Timbalan Presiden PAS.

Laporan tersebut dilihat banyak pihak seperti ada agenda tertentu bagi melaga-laganya kepemimpinan dalam PAS dengan mengasingkan golongan profesional dan ulama.

Polemik tersebut seperti sengaja diuar-uarkan memandangkan muktamar tahunan PAS dijangka berlangsung pada akhir November hadapan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, ulama adalah mereka yang boleh bercakap dengan dalil al Quran dan Hadis biar pun bertali leher atau memakai songkok.

"Percakapan dia berdasar kepada al Quran dan Hadis. Ada pihak sekarang sengaja hendak pelaga-lagakan ulama dan professional. Mereka ini orang yang berfikiran kebangsaan.

"Ini bukan cara memberi ilmu kepada rakyat tentang gerakan Islam. Kita bangun berucap bukan pandai-pandai kita sendiri. Orang pertama yang membuat ucapan ialah Nabi Muhammad saw.

"Jadi bila berucap kita sambung apa yang diberitahu Nabi Muhammad saw dengan membawa dalil al Quran dan Hadis. Ini barulah kita benar-benar jadi pendokong gerakan Islam, bukan sekadar ahli PAS sahaja," ujarnya.

Oleh yang demikian katanya, mana-mana pemimpin PAS berucap hendaklah diikat dengan nas al Quran, Hadis dan Sirah. -HD


Media perdana racun kempen muktamar PAS


Setiap kali menjelang muktamar PAS, akhbar tradisional terutama yang dimiliki Umno, Utusan Malaysia akan habis-habisan mempromosi barisan tertentu dalam PAS.

Ketika hari biasa, pemimpin PAS ialah golongan yang paling dicemuh akhbar ini.

Serangannya pada Murshidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan pemimpin PAS lain yang mengkritik Umno sebegitu dahsyat ketika bukan musim muktamar terutama menjelang pilihan raya umum. Pelbagai label jijik digunakan untuk mencemuh mereka.

Tetapi menjelang muktamar, akhbar Umno ini akan bertukar nada dan memberikan liputan meluas yang kononnya untuk mempromosikan golongan tertentu dalam PAS.

Mungkinkah akhbar yang digunakan Umno untuk menghancurkan PAS selama ini tiba-tiba di saat muktamar menjelang sudi menjadi akhbar lidah golongan tertentu yang didokongnya dalam PAS?

Sudah tentu tidak. Yang mereka berminat hanya peluang ini digunakan untuk menyuntik racun kepada jamaah PAS.

Seeloknya jamaah PAS hancur akibat racun ini.

PAS adalah musuh tradisi dan ancaman terbesar bagi Umno. Setelah gagal mengajak PAS bersama berkali-kali, percayalah langkah seterusnya ialah menghancurkan PAS dari dalam dan luar.

Dan cara paling berkesan ialah melaga-lagakan pemimpin PAS dengan mengambil kesempatan pada sentimen ahli PAS yang giat berkempen untuk pemimpin kesukaan mereka menjelang muktamar ini.

Akan dijemputnya bekas pemimpin PAS dan penganalisa politik pro-kerajaan untuk membuat kenyataan berbau provokasi untuk menghangatkan lagi suasana dan melagakan lagi pemimpin PAS.

Akan dibuatnya laporan yang disengetkan, kemudian memerangkap pemimpin PAS yang tidak sedar mengenainya untuk membuat komen yang melagakan untuk melemahkan ukhuwah dalam jamaah PAS.


Jika itu tidak menjadi, akan disuruh wartawannya untuk memasang soalan perangkap untuk menunggu kesilapan yang boleh disensasikan untuk melagakan pemimpin PAS.

Seeloknya dilagakan sehingga bukan muka saja bengkak, lebih baik kalau seluruh badan lumpuh.

Oleh itu, semua pemimpin PAS harus berwaspada. Apa-apa saja liputan yang diberikan Utusan membawa nada jijik. Apa yang muncul di dada laporan Utusan terus dipandang serong.

Liputan Utusan bakal menyusahkan daripada menolong golongan yang ingin dibantunya. Begitu juga laporan di akhbar The Star, yang sudi memberikan liputan besar-besaran kepada golongan tertentu dalam PAS.

Yang berhasrat nak bertanding mahupun mempertahankan jawatan jangan dok seronok membuat kenyataan media mengenai pertandingan di muktamar. Musuh kamu menanti kesilapanmu.

Ingatlah, asalkan kamu sudi berlaga, liputan akan diberikan seluas-luasnya.

Jadi berwaspadalah, wahai pemimpin PAS. Musuhmu hanya ingin menikmati drama tarian pincangmu.
-Timmy Say

[PANAS] Siapa Dalam KDN Yang Bocorkan Rahsia Gengster?

Posted: 11 Sep 2013 03:55 AM PDT


Dikehendaki: Seorang detektif yang dapat selesaikan misteri.

Siapa melakukannya? Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih mencari siapa di kementeriannya membocorkan kepada media nama 30 ketua kumpulan gengster termasuk ahli politik MIC yang kini mahu menyaman kerajaan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga hairan siapa yang mendedahkan nama tersebut.

"Kita tidak tahu siapa yang dedahkan, kami pun mahu tahu juga," katanya yang turut mencurigai senarai nama tersebut.

Pemain: Bernama, agensi berita pro kerajaan atas nama kewartawanan penyiasatan dengan mudah melaporkan pada Jumaat memetik KDN sebagai sumber.

Pemain lain, polis. Mereka melaporkan kepada KDN mereka tidak mendedahkan nama itu kepada kementerian.

"Saya tidak tahu sumber mana dari kementerian tetapi maklumat itu tidak datang dari polis. Kami ada senarai sendiri dan sebahagian geng yang disenarai kementerian dalam perhatian kami," kata Penolong Pengarah (D7) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hasan.

Katanya, mereka menghubungi akhbar harian The Star dan Bernama bagi mengetahui sumber senarai nama yang mereka terbitkan.

Latar cerita: lebih 30 nama ketua kongsi gelap dari Geng 04, 08, dan 36 serta kawasan takluk mereka dilapor Bernama pada Jumaat dan diterbitkan The Star pada hari berikutnya.

Pendedahan ini ekoran kegusaran orang ramai daripada beberapa siri kes tembakan yang kerap dilaporkan dan masih menjadi perhatian umum.

Kebimbangan masyarakat terhadap peningkatan kadar jenayah semakin meningkat tetapi ahli politik dan polis terus menyalahkan ketua kumpulan kongsi gelap yang dibebaskan dari tahanan tanpa bicara.

Memetik sumber KDN, laporan berita minggu lalu mendedahkan nama 30 ketua kumpulan dan mendedahkan mereka bergerak aktif di kawasan takluknya.

Antara identiti yang didedahkan sebagai gengster paling dikehendaki adalah Tiram Sasi (Johor), Sungai Way Sugu (KL), Prai Bala (Pulau Pinang), Langkap Sasi (Perak) dari Geng 04; Indren (Pulau Pinang), Dark (KL), Siva Guru (KL) dari Geng 08; Cendol Kanna (KL), Devan (ketua kumpulan di KL yang merupakan jutawan pengedaran dadah) dan Kajang Kalai (Kajang) dari Geng 36.

Nama terakhir merujuk kepada Exco Pemuda MIC Kalai Arasu Muniandy. Beliau menafikan pendedahan itu dan akan mengambil tindakan undang-undang kerana mencemarkan nama baiknya.

Sementara itu, Wan Junaidi memberitahu The Malaysian Insider, perbincangan mengenai kebocoran senarai nama itudibincangkan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebaik sahaja berita itu tersebar.

"Semua di antara kami termasuk ketua setiausaha kementerian masih belum mendapat jawapan. Zaman ini, segalanya boleh berlaku," katanya.

Siapa yang mendedahkan nama itu, masih menjadi tanda tanya.

Misteri ini mengambil masa lima hari sejak disiarkan media pada Jumaat. Polis dan KDN masih menemui jalan buntu.

Anda perlu masa lebih lama untuk selesaikan misteri ini. -TMI

Ketua Gαngster Pemuda MIC pertikai senarai polis

M.Kalai Arasu, Ketua Pemuda MIC Bahagian Hulu Langat menafikan beliau ketua Kumpulan Geng 36 'Kajang Kalai', yang merupakan salah seorang daripada 30 nama ketua kumpulan gαngster yang didedahkan polis pada Jumaat lalu.

Menurut laporan mStar, dia juga mempertikaikan ketepatan senarai yang didedahkan polis dan membuat laporan polis berhubung perkara itu di Kajang pada Ahad selepas mendapatkan nasihat peguamnya.

Beliau berkata telah bergiat dalam politik sejak 2000, tiada rekod jenayah, tidak pernah didakwa di mahkamah atau ditangkap. Tiba-tiba dituduh sebagai ketua gengster secara tiba-tiba.

Ketua Pemuda MIC, T. Mohan juga membuat laporan polis terhadap penasihat MyWatch, S.Gobi Krishnan dan dua portal Bahasa Inggeris kerana mengaitkannya dengan Geng 36.

Sebelum ini, Gobi melalui akaun Twitternya mendakwa kereta Mohan, sebuah Mercedes CLS dengan nombor pendaftaran '3060′ didakwa dikenali sebagai identiti kod kumpulan tersebut dan menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap Mohan.

"Saya menggunakan nombor pendaftaran itu sejak 1996. Ini tidak bermakna saya sebahagian daripada mana-mana kumpulan," kata Mohan.

Dakwaan itu adalah satu pembohongan dan bermotifkan politik dan akan mengambil tindakan saman.

Gobi juga mendakwa ketua Geng 36 yang didedahkan polis pada Jumaat merupakan seorang pemimpin MIC dan memegang jawatan di dalam parti itu.

Tiada ulasan: