Selasa, 3 September 2013

edyesdotcom

edyesdotcom


Harga Petrol dan Diesel Naik Selepas PRU13 Sudah Dijangka

Posted: 02 Sep 2013 08:25 PM PDT

Kenyataan Media

3 September 2013

Harga Petrol dan Diesel Naik Selepas PRU13 Sudah Dijangka

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini menyelar tindakan kerajaan yang menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen ketika rakyat mencari nafas setelah berbelanja di perayaan Aidilfitri. SAMM menyifatkan kenaikkan ini adalah rentetan bahana terhadap rakyat setelah ditipu pada pilihanraya umum yang lalu.

Kenaikkan harga petrol dan diesel ini juga adalah angkara sikap kerajaan yang terlalu boros untuk meneruskan survival ketika dalam usaha mengekalkan pemerintahan. Lihatlah bagaimana mereka membeli undi, melaburkan wang untuk tipu helah tertentu hingga menang dan turut digelar kerajaan 'undi pos'.

Tawaran harga petrol lebih murah oleh Pakatan Rakyat pada pilihanraya lalu sebenarnya telah mempengaruhi orang ramai untuk melihat Barisan Nasional tumbang, menjangkakan penurunan 50sen sejurus selepas diumumkan Pakatan Rakyat menang. Namun malangnya penipuan pilihanraya telah menafikan hak rakyat untuk menikmati harga petrol lebih murah, malah hari ini dinaikkan pula sebanyak 20 sen oleh kerajaan '47 peratus'. 

Musibah ini telah dijangkakan berlaku sekiranya Barisan Nasional menang PRU. Lihatlah bagaimana Paklah menaikkan harga minyak kira-kira 3 bulan selepas Pilihanraya Umum 2008 walaupun telah berjanji harga petrol tidak naik dalam tahun yang sama, kini penipuan seperti ini diulang semula oleh Najib Razak walaupun Najib sendiri menengaskan harga petrol tidak akan naik selepas PRU.

Alasan kenaikkan harga minyak global dan alasan harga minyak negara murah berbanding negara lain adalah tidak relevan sama sekali. Ini kerana sebagai negara pengeksport minyak, sebarang kenaikkan harga minyak dunia harusnya memberi kelebihan kepada negara pengeluar. Membandingkan harga minyak kepada negara serata asean adalah tidak memadai, harus dibanding dengan negara pengeluar minyak dan lihatlah bagaimana harga petrol di Malaysia jauh lebih tinggi.

Kenaikkan harga petrol akan menyebabkan rakyat terkesan dan sedikit tertekan, tetapi apabila kenaikkan harga petrol diiringi kenaikkan harga diesal adalah satu kecelakaan kepada setiap rakyat dalam negara ini. Pastinya semua harga barang keperluan akan meningkat dan perbelanjaan bulanan rakyat juga akan melambung. Rakyat yang terbeban dihimpit kesempitan hidup, akan terus 'mengemis' sesuap bantuan kerajaan.

Kononnya pengurangan subsidi demi rasionalisasi? Apakah mengekalkan subsidi 19 bilion untuk kroni pengusaha IPP setiap tahun itu cukup rasional? Nasib puluhan juta rakyat tidak dipeduli tetapi beberapa kerat konglomerat kaya raya dijaga rapi.

Apakah segala kenaikkan ini tidak cukup untuk bangkitkan kemarahan rakyat? Jika di Brazil, hanya kerana tambang bas naik 10% memperlihatkan penentangan jutaan rakyatnya. Kita di Malaysia harus tunjuk kekuatan rakyat atau terus ditindas. Sedarlah bahawa Barisan Nasional mempunyai 5 tahun lagi untuk merodok rakyat sebelum PRU14 menjelma.

Justeru, untuk setiap rakyat yang ingin meluahkan kemarahan masing-masing, SAMM dan rakan sekutu menyediakan pentasnya. Bermula petang ini, satu aksi flashmob akan berlangsung di Dataran Merdeka diketuai oleh APBM, Geng Kotak dan SAMM Wilayah bersama kumpulan aktivis mahasiswa dan anak muda. Ayuh semua kita tunjukkan kuasa rakyat, biarkan flashmob petang ini menjadi 'domino' kebangkitan rakyat.

Amaran SAMM buat kerajaan, jika berdegil untuk tidak menurunkan semula harga petrol dan diesel, satu demonstrasi besar akan dikerahkan pada Oktober nanti. Kuasa rakyat jangan dipandang enteng, rakyat bersatu tidak akan dikalahkan!

EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tiada ulasan: