Rabu, 25 September 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Penipuan Pakej Umrah di Kota Damansara, 3 Orang Didakwa

Posted: 25 Sep 2013 12:30 AM PDT



[UM] PETALING JAYA 24 Sept. - Seorang ejen pelancongan bersama anak perempuan dan menantunya didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu dua orang mutawwif bagi pakej umrah melibatkan kerugian lebih RM100,000 awal tahun ini.

Rohaya Asmuni, 52, yang merupakan pengusaha syarikat Arlief Juara Kembara Sdn. Bhd.; Nurul Azrikin Azman, 31; dan suami Nurul Azrikin, Muhammad Alif Haziq Aman, 23, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa kepada mereka di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid.

Mereka didakwa bersama-sama menipu Mohd. Yatim Abu Idras, 57, yang merupakan ejen pengurusan pakej umrah kepada 19 orang untuk menyerahkan wang RM79,550 kepada mereka sedangkan pakej tersebut tidak wujud.

Perbuatan itu didakwa berlaku di pejabat tertuduh di syarikat Arlief Juara Kembara Sdn. Bhd. di No. 55-3, Jalan PJU 5/20E, The Strand Damansara, Kota Damansara antara 13 Januari dan 22 Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua, mereka bertiga bersama-sama didakwa melakukan perbuatan yang sama terhadap Umi Ngah Loden, 56, untuk menyerahkan wang RM20,500, berupa pakej umrah bagi lima peserta di tempat yang sama pada 6 April lalu.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aifaa Che Abdullah yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Peguam Maanor Yusoff yang mewakili kesemua tertuduh memohon agar jumlah itu dikurangkan kerana syarikat pengurusan umrah yang dikendalikan oleh anak guamnya itu tidak lagi beroperasi.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Pelajar Universiti Didakwa Ugut Sebar Gambar Bogel Wanita

Posted: 24 Sep 2013 09:43 PM PDT

MOHD. Hidayat Abd. Ghani (kiri) didakwa di Mahkamah Majistret, Melaka, semalam.
[UM] MELAKA 24 Sept. - Seorang pelajar sebuah universiti swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan termasuk mengugut seorang wanita serta memiliki gambar lucah pada bulan lalu.

Mohd. Hidayat Abd. Ghani @ Mukhtar, 23, dari Batu Buruk, Terengganu mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Syajaratudur Abd. Rahman.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan ketakutan terhadap wanita berumur 22 tahun itu dengan mengugut untuk menyebarkan gambar bogel mangsa dengan tujuan mangsa menyerahkan seutas gelang tangan dan rantai leher emas miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pangsapuri Bukit Beruang Permai di sini kira-kira pukul 2.27 pagi antara Ogos dan 2 September lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd. Hidayat didakwa melakukan pemerasan dan cuba mendatangkan ketakutan kepada mangsa yang sama untuk menyebarkan gambar bogelnya supaya menyerahkan wang tunai RM5,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tingkat 15 sebuah pangsapuri di Bukit Beruang di sini pada pukul 10.41 pagi, 17 September lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memiliki gambar lucah dalam telefon bimbit jenis Samsung S3 Mini miliknya di Pangsapuri Bukit Beruang Permai di sini pada pukul 1 petang, 19 September lalu.

Mohd. Hidayat yang merupakan pelajar kursus kejuruteraan elektronik didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Syajaratudur membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan sebutan kes pada 22 Oktober ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Safri Mohammed Na'aim manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. - 25/9/13




Mat Taib: Jangan Guna Media Putar Belit Isu Chin Peng

Posted: 24 Sep 2013 09:04 PM PDT


[TMI] Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengingatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya tidak terus memperalatkan media seperti TV3 dan akhbar milik Umno Utusan Malaysia untuk memberi gambaran yang salah mengenai mendiang Chin Peng dan gerakan komunis di Malaysia.

Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, media berkenaan digunakan sebagai medium penyelewengan kebenaran untuk menakut-nakutkan rakyat bagi melabel Chin Peng dan komunis sebagai musuh negara.

"Saya tidak melabelkan Chin Peng itu sebagai hero tetapi kerajaan perlu adil dengan kematangan pemikiran yang dibentangkan kepada masyarakat. Memang betul ramai orang Melayu mati semasa penjajahan komunis tetapi lebih ramai yang mati semasa pemerintahan Jepun.

"Jangan gunakan Utusan dan TV3 untuk seleweng fakta menakut-nakutkan rakyat dengan memutar-belit serangan komunis yang dipimpin Chin Peng. Ini tidak betul. Jangan selewengkan fakta," katanya Muhammad dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider di kediamannya di Shah Alam, Selangor semalam.

Bekas Naib Presiden Umno itu turut mengecam pemimpin BN yang memberi tanggapan negatif kepada Parti Komunis Malaya (PKM) tetapi pada masa sama menjalin hubungan dengan China yang menyalurkan dana kepada PKM.

"Mereka hormat dan menjalinkan hubungan diplomasi dengan Parti Komunis dari China yang beri duit pada Chin Peng. Kerajaan tidak beri pendedahan sebenar kepada masyarakat.

"Datuk Seri Najib Razak sendiri pun pergi ke China berpelukan dengan pemimpin di sana. Mereka berbincang dan adakan hubungan persefahaman.

"Saya nasihatkan masyarakat jangan jadi bodoh dan diperbodohkan. Kita harus anti Jepun dan British lebih besar lagi. Mereka bunuh orang Melayu lebih ramai daripada komunis," katanya.

Beliau berkata, kekejaman British juga tidak boleh dipandang enteng setelah Tok Janggut mati digantung di Kelantan dan Tok Bahaman dibunuh di Pahang.

Muhammad berkata, kempen menentang penjajah British dan Jepun perlu lebih hebat dijalankan kerana dasar kerajaan 'talam dua muka' mengaku anti komunis tetapi mengadakan hubungan diplomasi dengan negara China yang terbukti sejak pemerintahan Tun Abdul Razak Hussein dengan menjalin hubungan diplomasi bersama Mao Zedong dan Zhou En Lai dari China.

"Pada pandangan saya Chin Peng tetap dianggap musuh kerana banyak mengorbankan anggota keselamatan negara tetapi hakikatnya ialah askar Jepun yang lebih banyak membunuh orang Melayu," katanya.

Muhammad atau terkenal dengan nama timangan Mat Taib menyertai PAS dua hari selepas Hari Penamaan Calon Pilihan Raya 2013 lalu.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua meninggal dunia pada 16 September lalu di Hospital Antarabangsa Bunrungad, Thailand setelah lama bertarung melawan penyakit barah.

Beliau dilahirkan di Sitiawan, Perak pada 1924.

Hujung minggu lalu bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor memberitahu sebuah stesen radio tempatan Malaysia akan jadi bahan tertawa sekiranya menghalang abu mayat bekas pemimpin PKM itu masuk ke dalam negara. - 25 September, 2013.



Tiada ulasan: