Khamis, 12 September 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Isteri Pulang ke Kampung, Suami "Ehem-ehem" dengan Rakan Isteri

Posted: 11 Sep 2013 07:30 PM PDT




[SH] SUNGAI PETANI - Kepulangan isteri ke kampung halaman memberi peluang si suami melakukan adegan 'mesra' bersama kekasih yang juga rakan kepada isterinya.

Malangnya, perbuatan tidak senonoh itu berjaya dihidu orang ramai yang bertindak menyampaikan maklumat kepada pihak berkuasa Pejabat Agama Kuala Muda, sebelum serbuan dijalankan jam 2 pagi baru-baru ini.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah, Zaiferi Zainul Abidin berkata, seorang wanita berusia 20-an warganegara Indonesia ditahan bersama seorang lelaki berusia 40-an yang dipercayai suami kepada rakannya sendiri dalam operasi banteras maksiat itu.

Menurutnya, ketika serbuan, lelaki itu dipercayai sedang leka menghabiskan masa dengan kekasih gelapnya melakukan perbuatan tidak senonoh dalam keadaan separuh bogel.

"Anggota penguatkuasa menunggu agak lama sebelum pintu dibuka oleh lelaki ini setelah diketuk beberapa kali.

"Kita juga menemui tilam dan beberapa bantal yang sedia diletakkan di hadapan televisyen dipercayai digunakan pasangan tersebut," katanya.

Zaiferi berkata, wanita terbabit cuba bersembunyi di sebalik pintu dengan hanya memakai pakaian dalam serta berseluar pendek manakala lelaki tersebut hanya memakai seluar paras lutut.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati, isteri lelaki terbabit yang juga rakan kepada kekasihnya turut berasal dari Indonesia dipercayai sudah beberapa hari pulang ke kampung halaman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 9 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988," katanya.

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah, Sheikh Radzi Abd Mutlib mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang berkongsi maklumat bagi membantu membanteras kegiatan maksiat di kawasan masing-masing.

Beliau turut menasihati orang ramai yang mengetahui atau menyaksikan sebarang kegiatan mencurigakan supaya menghubungi imam, pejabat agama atau agensi berkaitan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian. - 12/9/13

Pemain Liga Super Pahang Kantoi Khalwat

Posted: 11 Sep 2013 06:30 PM PDT


[HM] Kuantan: Dua pemain bola sepak Liga Super Pahang dicekup berkhalwat bersama pasangan masing-masing di sebuah hotel terkemuka di bandar ini, awal pagi kelmarin.

Sumber berkata, pemain terbabit ditahan jam 4 pagi oleh anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang menyerbu hotel berkenaan selepas menerima aduan orang awam apabila mengesyaki mereka mendaftar masuk bersama pasangan bukan mahram.

"Berdasarkan maklumat diterima, anggota penguat kuasa JAIP terus melakukan pemeriksaan dan mendapati mereka berada dalam keadaan mencurigakan bersama pasangan masing-masing di bilik berlainan," katanya yang dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan di bilik pertama mendapati pemain bola sepak berusia 27 tahun itu sedang berdua-duaan dengan wanita yang bukan mahramnya. "JAIP yang melakukan pemeriksaan di sebuah lagi bilik turut menahan rakannya yang juga berusia 27 tahun kerana disyaki berkhalwat bersama pasangan bukan mahram," katanya.

Beliau berkata, pihak penguat kuasa terpaksa mengetuk pintu bilik beberapa kali serta memperkenalkan diri sebelum mereka membuka pintu.

"Siasatan awal mendapati mereka yang belum berkahwin mengaku berkhalwat bersama pasangan masing-masing berusia 20-an," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pemain terbabit yang masing-masing bermain di posisi pertahanan dan tengah untuk pasukan Tok Gajah dibawa ke pejabat JAIP.

"JAIP menahan mereka untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982," katanya.

Sementara itu, jurulatih Pahang Dollah Salleh enggan mengulas perkara itu kerana tidak mendapat maklumat lanjut mengenainya.

"Saya tidak mahu ulas sebab tidak mendapat maklumat tepat mengenai perkara itu," katanya. -12/9/13


[Gambar] Kanak-kanak 2 tahun Maut Dilanggar Kereta "Dipandu" Abang

Posted: 11 Sep 2013 05:35 PM PDT


[Bernama] Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut dirempuh kereta bapanya berikutan tindakan abangnya yang berusia empat tahun bermain-main di dalam kereta berkenaan dalam kejadian di Taman Kerian dekat Parit Buntar semalam.

Bapa mangsa, Mohd Ali Hussin, 53, berkata Mohd Adam, 2, meninggal dunia akibat cedera parah di kepala setelah kereta itu mengundur dan merempuh anaknya itu.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, Mohd Ali berkata beliau berada di dalam rumah untuk mengambil barang selepas pulang daripada menghantar isterinya yang berniaga di Alor Pongsu, Bagan Serai.

"Saya menyedari kejadian itu apabila terdengar bunyi bising di luar rumah dan bergegas keluar dan mendapati anak saya Aiman Yasin cuba menghidupkan enjin kereta," katanya.

Menurutnya, beliau cuba menahan anaknya itu daripada menghidupkan enjin, namun gagal lalu mengakibatkan kereta mengundur dan melanggar Mohd Adam yang berada di belakang kereta.

"Saya tidak menyangka kereta itu mengundur dan percaya Aiman Yasin telah memasukkan gear mengundur secara tidak sengaja ketika sedang bermain," katanya.

Beliau berkata Mohd Adam cedera parah akibat tersepit antara kereta dan dinding rumah.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan mengesahkan kejadian itu.


P/s: Kecuaian membawa padah!!!

Foto: SH

Berkaitan:

Main-main Bawa Maut

[HM] Parit Buntar: "Saya meluru ke belakang kereta dan sebak apabila melihat anak saya dalam keadaan melutut sambil memegang selipar manakala kepalanya terhimpit di dinding rumah.

"Apabila kereta digerakkan ke depan, tubuhnya jatuh dan kepalanya berdarah. Selepas diperiksa, saya dapati dia sudah tidak bernyawa." 

Demikian kata Mohd Ali Hussin, 53, ketika menceritakan tragedi kematian anak bongsunya selepas seorang lagi anaknya yang baru berusia empat tahun cuba memandu kereta miliknya.

Kejadian berlaku di rumah keluarga berkenaan di Taman Kerian, di sini, jam 12.30 tengah hari semalam dan mangsa, Mohd Adam, berusia dua tahun maut di tempat kejadian.


MOHD Ali hanya mampu terpaku anaknya maut akibat kecuaian.


Mohd Ali berkata, sebelum kejadian, anak keempatnya, Aiman Yasin, dipercayai mengambil kunci kereta miliknya tanpa disedari ahli keluarga lain.




Pelancaran Kempen “Endless Possibilities” Ditangguhkan, Sama dengan Mongolia, Israel

Posted: 11 Sep 2013 05:26 PM PDT

Pelancaran Kempen "Endless Possibilities" Ditangguhkan

[TMI] Pelancaran kempen baru Putrajaya "Endless Possibilities" dalam negara telah ditangguhkan dari tarikh asal 17 September kepada satu tempoh yang belum pasti selepas mendapati Mongolia menggunakan slogan sama 19 bulan sebelum Malaysia.

The Malaysian Insider difahamkan, pegawai-pegawai yang menguruskan kempen panik kerana Mongolia merupakan satu subjek sensitif selepas dua anggota polis Malaysia didakwa dan kemudian dibebaskan di atas tuduhan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

"Pelancaran di Malaysia dibatalkan, masih belum ada tarikh baru," kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Slogan kempen itu secara rasmi digunakan buat pertama kali di Davos Januari lepas semasa Forum Ekonomi Dunia (WEF) walaupun Kementerian Pelancongan sudah memperkenalkannya di Dubai pada Oktober 2012.

Blogger pro kerajaan telah mengkritik kempen itu mengatakan ianya meniru kempen sama Israel yang bermula April lepas. Akan tetapi kemudiannya mereka mendapati Mongolia telah menerbitkan video dan disiarkan oleh penyiar berita global CNN menggunakan slogan sama.

Akan tetapi jurucakap kempen mengatakan ia tetap akan dilancarkan tetapi tidak memberikan tarikh pasti.

"Inisiatif ini tetap akan dilancarkan, 17 merupakan salah satu tarikh dipertimbangkan," kata seorang jurucakap yang enggan dinamakan.

Tarikh 17 September dipilih kerana ia merupakan sehari selepas Malaysia menyambut ulangtahun ke-50 penubuhannya apabila Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak bersetuju menjadi satu negara pada tahun 1963. Singapura meninggalkan Malaysia pada Ogos 1965.

The Malaysian Insider difahamkan slogan kempen dicadangkan oleh dua perunding asing dan syarikat kajian pasaran selepas perbincangan dengan pegawai-pegawai dari Jabatan Perdana Menteri.

"Perunding-perunding memperhalusinya dari prosa 'Endless Opportunites' yang digunakan dalam ucapan kepada 'Endless Possiblities'," katanya dan menambah tidak pasti sama ada perunding-perunding itu menyemak jika ada negara lain menggunakan slogan itu.

Firma pengiklanan dipanggil selepas itu untuk mencipta logo yang kemudiannya digunakan Kementerian Pelancongan bersama slogan sebelum digunakan di Davos.

The Malaysian Insider pertama kali melaporkan berita tentang pelancaran kempen pada 21 Ogos dan disahkan pada hari sama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengatakan kempen ini melengkapkan dan bukan menggantikan slogan 1Malaysia yang diperkenalkan pada 2009.

Najib berkata, ia adalah "kempen komplementari" dan kempen terkini itu adalah sebahagian daripada pelan menjenamakan negara.

"Ini akan mempromosikan Malaysia," katanya yang dilihat menggunakan lencana baru kempen itu termasuk logo 1Malaysia.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider slogan "Endless Possibilities" sebenarnya mahu dilancarkan sebelum hari mengundi, tetapi kerajaan menangguhkannya bagi mencegah kemungkinan berlaku kekeliruan.

Pos Malaysia sudah merancang untuk melancarkan setem baru bertajuk Malaysia: Endless Possibilities pada 30 Mei 2013 tetapi tidak ada tanda set setem itu.

Sumber berkata, kempen baru itu sebenarnya bermula pada awal tahun ini di majlis berprestij Forum Eknomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland dan dalam beberapa program Pelancongan Malaysia.

Klip video berdurasi 60 saat yang memaparkan Najib juga dilancarkan dan disiarkan oleh penyiar berita global CNN.

Terdapat juga beberapa pengiklanan bercetak dengan slogan baru itu dalam majalah antarabangsa untuk tujuan perniagaan dan pelancongan sepanjang tempoh lapan bulan lalu. Tetapi sumber berkata, penggunaan secara meluas akan hanya berlaku selepas pelancaran pada 17 September ini. – 12 September, 2013.










Pemimpin Sabah Dakwa Dr Mahathir Menipu dalam RCI

Posted: 11 Sep 2013 05:23 PM PDT



[TMI] Pemimpin politik Sabah membidas keterangan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang asing di Sabah hari ini dan menyifatkannya satu penipuan kerana bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu pernah membuat kenyataan sebaliknya sebelum ini.

Pengerusi Parti Reformasi Negeri Sabah (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata beliau tidak terkejut dengan kenyataan Dr Mahathir yang sering meletak kesalahan kepada pihak lain.

"Beliau tidak menafikan kad pengenalan diberikan secara haram. Beliau hanya tidak tahu tentang Projek IC yang diberikan namanya oleh pihak lain," katanya apabila dihubungi The Malaysian Insider.

Jeffrey menjelaskan kenyataan Dr Mahathir itu tidak konsisten apabila sebelum ini mantan perdana menteri itu pernah menyatakan bukan satu kesalahan memberi kad pengenalan kepada penduduk yang telah lama tinggal di negara ini.

Pengerusi PKR Sabah Datuk Seri Lajim Ukin menggesa kerajaan Barisan Nasional (BN) agar segera mencari dalang dalam Projek IC kerana hanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang boleh mengeluarkan kad pengenalan.

"Ini satu penipuan oleh Dr Mahathir. Beliau telah berdusta. Sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU13), beliau telah mengakui sebanyak 200,000 pendatang asing dari Filipina dan Indonesia yang beragama Islam telah diberikan kerakyatan.

"Semasa menjawab pertanyaan daripada pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan beberapa NGO pada satu majlis sebelum PRU13, Dr Mahathir turut menjelaskan ada dalang di sebalik Projek IC tersebut.

"Kerajaan BN lambat bertindak dalam isu ini. Mereka seharusnya menangkap dalang projek ini lebih awal. Projek ini jelas memberi kewarganegaraan kepada warga asing yang yang belum layak menjadi warganegara," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau turut menggesa parti komponen BN Sabah seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain yang menafikan berlakunya Projek IC di negeri di bawah bayu itu agar segera membuat laporan polis.

Katanya, Projek IC telah mencetuskan pelbagai persoalan seperti nama mereka yang memperoleh kad pengenalan menerusi projek tersebut muncul dalam daftar undi beberapa PRU lepas.

"Sebelum ini, banyak nama yang telah disebut berkait dengan Projek IC. Kita harus selesaikan kes ini dengan menangkap mereka seperti bekas Menteri Kemajuan Bandar dan Wilayah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin untuk menjalankan siasatan lanjut.

"Kebanjiran pendatang asing di Sabah bukan sahaja memberi kesan buruk kepada negeri itu tetapi nama baik Malaysia secara umumnya. Perniagaan di negeri Sabah kini banyak dimonopoli pendatang asing ini kerana mereka mampu menawarkan harga dengan lebih murah." katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong turut mengecam Dr Mahathir kerana tidak berkata jujur dalam RCI berkenaan.

Katanya, Dr. Mahathir jelas terlibat dalam kontroversi itu sejak bekas Pengarah JPN Tamparuli Yakup Damsa mendakwa Abdul Aziz membenarkan rumahnya digunakan sebagai pusat tandatangan kad pengenalan biru untuk pendatang asing di bawah Projek IC.

"Sejak Abdul Aziz mendakwa tidak mengetahui hal ini, maka jawablah dengan tuhan nanti. Dia boleh nafi apa sahaja tetapi tidak pada tuhan," katanya.

Katanya, tidak boleh dibayangkan terlalu ramai pendatang asing boleh mendapatkan kad pengenalan di Sabah meskipun ada warga asing yang berkahwin dengan warganegara Malaysia masih sukar mendapatkan status penduduk tetap.

Dr Mahathir semasa RCI semalam berkata tidak pernah mendengar mengenai Projek IC sehingga pendedahan baru-baru ini dan katanya tidak pernah mengeluarkan mana-mana perintah berkaitan pemberian kad pengenalan secara sembarangan kepada pendatang asing di Sabah.

Beliau menjelaskan proses pemberian kad pengenalan kepada pendatang haram sudah pun dijalankan sebelum PBS berkuasa di negeri itu dan berdasarkan perlembagaan, kewarganegaraan boleh diberikan kepada pendatang jika mereka layak dan menepati semua syarat ditetapkan.

Pemimpin paling lama menerajui kerajaan itu berkata tiada keperluan untuknya mengeluarkan arahan supaya pendatang asing diberikan kad pengenalan kerana ia dilakukan mengikut undang-undang sedia ada dan tidak memerlukan arahan kerana ia adalah proses biasa.

Ketika ditanya sama ada bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Mustapha Harun ada meminta kebenarannya mengenai pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing, Dr Mahathir berkata, beliau tidak ingat ada memberi sebarang arahan tertentu tetapi ada menasihati Mustapha supaya mengikut undang-undang. - 12 September, 2013.

Laporan penafian Tun Mahathir di sini.


[Video] Isu Premis Perniagaan Tidak Ambil Pekerja Pakai Tudung

Posted: 11 Sep 2013 03:30 PM PDT



[MD] KUALA LUMPUR: Sebagai sebuah negara yang mempunyai latar belakang kepelbagaian kaum dan agama, ramai yang mungkin merasakan tidak sukar untuk mendapatkan pekerjaan kerana percaya syarikat atau majikan sudah tentu memahami tentang keunikan negara kita.

Malangnya tidak, jika anda seorang wanita Islam yang bertudung dan sedang mencari pekerjaan di kedai-kedai pakaian terkemuka di ibukota.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ira, 24, yang baru-baru ini mencari pekerjaan sementara sebagai pembantu kedai di beberapa kedai pakaian berjenama di Suria KLCC, terkejut apabila permohonan kerjanya ditolak hanya kerana beliau bertudung.

Ketika dihubungi Malaysian Digest, tidak lama selepas beliau 'meluahkan perasaan' di laman sosial Facebook, Ira nyata kecewa dengan kejadian tersebut dan seperti tidak percaya ia berlaku di negara sendiri.

"Masa tu hari Isnin, saya bawa ibu sekali pergi cari kerja dan saya memang nak cari kerja 'part-time' saja. Jadi saya pun masuklah ke dalam kedai-kedai yang ada tampalkan iklan cari pekerja,"

"Memandangkan ada kekosongan, saya masuk dan bertanyakan kepada mereka. Namun, dengan pantasnya saya diberitahu kedai-kedai ini tidak mengambil orang yang memakai tudung," katanya.

Ira, berasal dari Kuala Lumpur, menjelaskan antara kedai-kedai yang dimasukinya adalah Topshop, Esprit, Nike, serta beberapa gerai kecil yang lain, namum semuanya tidak membuahkan hasil dan menggunakan alasan yang sama.

"Apa yang telah berlaku itu memang mengejutkan dan saya fikir perkara ini perlu dipandang serius. Walaupun saya meletakkan status sebegitu di Facebook, tak sangka pulak ia menjadi 'viral' sebegini," katanya.

Dalam status tersebut yang bertarikh 2 September, beberapa jam selepas kejadian, Ira telah menulis tentang bagaimana beliau terkedu apabila permohonan kerja yang ditolak oleh kedai-kedai tersebut.

Dia turut membandingkan kehidupan beliau ketika di United Kingdom selama empat tahun diikuti pengalamannya mengembara sekitar Eropah namun tidak pernah merasa terhina kerana memakai tudung seperti yang berlaku di negara sendiri.

Status beliau setakat ini telah menerima 9,000 'shares' dalam media sosial tersebut serta telah mendapat perhatian orang ramai yang turut melahirkan rasa kecewa.

Sementara itu, tinjauan mD di kedai-kedai yang disebutkan itu menunjukkan adanya kebenaran pada kenyataan Ira sebelum ini.

Secara keseluruhan, kedai-kedai tersebut menolak permohonan kerja wanita bertudung dengan alasan ia adalah polisi syarikat, namun ada juga yang memberi alasan tiada kekosongan walaupun terpampang iklan jawatan kosong.

Di kedai Nike, wartawan kami, yang memakai tudung, telah ditolak bulat-bulat dan pekerja yang bertugas mengatakan kedai tersebut tidak mengambil pekerja yang menutup kepala dan rambut mereka.

Jawapan yang sama turut diberi oleh Esprit dimana wartawan kami diberitahu bahawa ia adalah polisi syarikat. Penyelia bertugas menjelaskan mereka sudi menerima permohonan jika wartawan kami mahu membuka tudung ketika bertugas.

Beliau berkata sebelum ini memang terdapat kes-kes seperti itu di mana pekerja membuka tudung semasa bertugas dan memakainya semula apabila habis bekerja.

Di Topshop pula, jawapan yang diberikan agak berlapik, di mana wartawan kami diberitahu kedai tersebut tidak mengambil pekerja bertudung namun bersedia untuk menimbangkannya semula jika pemohon sudi menukar 'cara pemakaian'.

Usaha untuk menghubungi DNP Clothing Sdn Bhd, Esprit De Corp (Malaysia), and Nike Sales Malaysia Sdn Bhd, yang menguruskan kedai-kedai tersebut masih belum membuahkan hasil setakat ini. -11/9/13



P/s: Apa tindakan kerajaan? Apa tindakan kita?

Apa respons Perkasa dan geng?

DAP kecam diskriminasi terhadap wanita bertudung di sini.

Kemas Kini:

* Respons kerajaan di sini.


Tiada ulasan: