DIALOG RAKYAT |
- [VIDEO] Akhirnya Syabas Diheret Ke Tribunal Tuntutan Pengguna
- Raihan Ambil Tanggungjawab Tentang Sharizat
- Strategi Program Pembangunan Desa tumpu keperluan sebenar
- Fahmi Fadzil dilantik Pengarah Komunikasi KEADILAN baru
- Dr M bohong, tangkap & siasat dalang projek IC Sabah – Lajim
- Zahid nasihat LPF hati-hati tapis 'The New Village'
- Maznah: Azalina mahu pancing undi wanita bagi kerusi MT
- 8 pemimpin disebut-sebut mahu rebut jawatan VP PAS
- Laporan: Bilik air kotor, tilam berkulat di kem PLKN
- ‘Endless Possibilities’ ditangguh gara-gara Mongolia sudah gunakan 2 tahun lalu
- Farah AF muflis?
- Semua orang Pas ulama, kata Nik Aziz
- Suspek kes bunuh TKP Kastam dikenal pasti
- PKR setuju PPPM tapi dengar dulu pandangan rakyat
- Siapa pun kerajaan kena kurangkan subsidi
- BN korban subsidi rakyat demi penjana tenaga bebas
- RTM Pandang Serius Siar Kesilapan Logo PDRM
- Insiden Penebat Kilat Runtuh: Lubang Terbentuk Di Jalan Macalister
[VIDEO] Akhirnya Syabas Diheret Ke Tribunal Tuntutan Pengguna Posted: 12 Sep 2013 02:26 AM PDT KELAB GREENBOC Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli hari ini mengemukakan 15 fail tuntutan tribunal terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kerana gagal menguruskan bekalan air dengan baik sehingga menjejaskan penduduk sekitar Lembah Klang. Tuntutan difailkan Rafizi mewakili 15 penduduk sekitar Ampang dan Pandan berikutan beberapa siri gangguan bekalan air sejak tahun lalu dengan jumlah kadar pampasan RM50 sehari. Gangguan bekalan air itu berpunca daripada kerosakan sistem paip di Rumah Pam Wangsa Maju di Kuala Lumpur pada Disember 2012 yang berlarutan sehingga tiga minggu dan 27 Ogos lalu (berlarutan sehingga seminggu). "Selama ini rakyat tak mampu nak ambil tindakan kerana Syabas dilindungi perjanjian konsesi dan kita tak boleh nak akses dokumen mereka disamping kos pah peguam yang terlalu mahal. "Ini merupakan tuntutan tribunal pertama dalam sejarah terhadap Syabas dan akan ada beberapa siri yang akan dikemukakan penduduk Klang, Kelana Jaya dan ramai lagi," katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di sini tengahari tadi. Pengguna mempunyai hak dibawah Seksyen 53 Akta Pengguna 1999 yang memperuntukkan setiap perkhidmatan mesti ada jaminan ia perlu dijalankan dengan teliti dan baik. Namun menurut Rafizi, ada asas Syabas tidak menjalankan tugas dengan teliti dan berkemahiran seperti yang dituntut dalam undang-undang dengan membiarkan masalah kerosakan paip secara berulang. Katanya, tribunal telah menetapkan tarikh 3 Oktober depan mendengar tuntutan daripada 15 pengguna terbabit dan Syabas perlu hadir untuk membela diri. "Tribunal akan mendengar setiap satu tuntutan yang difailkan dan kita akan membantu menyediakan khidmat peguam," katanya. Pengarah Strategi PKR itu juga berkata, pihaknya akan membawa isu tuntutan ini ke Dewan Rakyat dan mahu Menteri berkenaan bertanggungjawab mengatasi isu masalah air yang kerap berlaku di Lembah Klang. Sementara itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika ditemui pemberita di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri berkata pihaknya tidak akan menghalang penduduk Selangor memfailkan tuntutan terhadap Syabas. Malah beliau turut menggalakkan pengguna mengambil tindakan sama bagi memastikan Syabas memperbaiki khidmat pengurusan bekalan airnya pada masa akan datang. "Saya ingat Syabas perlu menjawab beberapa rintihan pengguna…selepas ambil alih penstrukturan air kerajaan negeri akan memberikan perkhidmatan yang lebih baik," katanya. -FMT LIHAT VIDEO DI SINI | ||
Raihan Ambil Tanggungjawab Tentang Sharizat Posted: 12 Sep 2013 02:14 AM PDT MSO
Entah kenapa saya tidak yakin kerana melihat kepada penampilannya sebelum ini nampak hebat tetapi kosong. Azalina hanya petah bercakap tetapi kadang-kadang cakapnya tidak ada nilai dan hilang fokus. Dia nampak berani dan serius tetapi keberanian itu hanya kerana dia berpanggang atas profesyennya sebagai peguam. Tidak pernah saya melihat bagaimana handalnya dia berhujah di mahkamah bagi melihat sejauh mana kualiti dia sebagai seorang peguam. Mungkin juga selama ini dia hanya peguam yang menguruskan perjanjian jual beli sewa rumah saja. Penampilan atau muqadimah orang mengenali beliau ialah semasa dia menjadi perantara untuk sebuah rancangan forum televisyen. Memang dia handal tetapi setakat itu sahaja lah - menjadi pengacaraan sebuah forum. Kepetahan bercakap tetapi tidak memiliki syaksiah diri tidak mudah diterima orang untuk menjadi ketua. Sikap 'jantan'nya juga menjadikan ada wanita Umno yang bertatsusila timur merasa gerun dan takut. Jadi tidak menghairankan apabila beliau yang nampak bersungguh untuk mencabar Sharizat kemudian bersungguh pula menarik diri. Ada maklumat atau cerita-cerita kurang sedap mengenai Azalina kenapa dia berbuat begitu. Saya tidak perlu mengulasnya kerana kita dapat membuat andaian sendiri. Biasanya kalau orang kuat bercakap maka besarlah juga penyumbatnya. Azalina dikatakan tidak pernah bersuami, tetapi dia ada melihara seorang anak? Mungkin juga kekurangan ini menjadikan beliau takut untuk memimpin wanita Umno yang rata-rata bersuami dan sudah bercucu piat. Penarikan diri Azalina walaupun atas apa sebab dan apa imbuhan, tidak memberi keselesaan kepada ketua wanita Umno yang lakinya menjadi taukeh lembu gemuk (NFC) itu. Kini muncul seorang yang boleh dianggap wanita besi menjadi galang ganti atas kepalsuan Azalina untuk menentang Sharizat itu. Wanita dimaksudkan oleh Raihan Suleiman Pelastin. Mungkin tidak berapa ramai mengenali Raihan. Tetapi dari kalangan Puteri Umno yang kini sudah pun menjadi nenek atau sesetengahnya menjadi madu ke lapan, kenal siapa Raihan ini. Dia pernah mencabar, bertanding untuk merebut jawatan Ketua Puteri Umno. Jiwa penentang dan melawan sudah adalah dalam diri perempuan ini. Sebenarnya dialah paling layak untuk membuat tawaran menentang Sharizat Jalil bukannya Azalina. Tetapi dia mungkin tunggu dan lihat waktu itu maka dia stand by dari belakang. Raihan mungkin sudah kenal Azalina luar dan dalam, tepi dan rusuk maka dia hanya mendiamkan diri untuk menjadi pengalang ganti. Raihan sudah membaca apa yang bakal berlaku dan ia benar berlaku. Tidak hairan kalau Raihan memberanikan diri atau dianggap menentang arus. Dia anak Sauleiman Pelastin seorang pejuang Umno yang tidak boleh melihat kemungkaran begitu sahaja. Bapanya pernah menentang Hussein Onn untuk jawatan presiden Umno. Darah Sulaiman sudah tentu mengalir ke dalam tubuh dan urat nadi Raihan. Mencabar Sharizat atas alasan untuk membawa perubahan ada kesenimbungan bapaknya. Dalam SMS rengkas beliau kepada saya, Raihan menulis; "Reaseon Umno sudah tercemar jadi kena bersihkan sebelum PRU 14. Kita hendak rakyat cakap masalah dia orang, bukan pemimpin bermasalah. Kalau tak lakukan perubahan dari atas maka akan berlaku perubahan dari bawah. Maka rakyat yang tak bersalah akan terbabit seperti di Syaria dan Mesir. So pemimpin Umno kena fikir korban diri atau ramai rakyat yang mati." Selamat berjuang dan menentang Sharizat untuk membela rakyat. Mudah-mudahan Raihan tidak akan menjadi Azalina yang kedua pada saat akhirnya. | ||
Strategi Program Pembangunan Desa tumpu keperluan sebenar Posted: 12 Sep 2013 12:58 AM PDT SHAH ALAM : Kerajaan negeri bertekad untuk meningkatkan pendapatan dan mewujudkan konsep keempunyaan sesuatu projek di kalangan masyarakat desa supaya wilayah luar bandar bergerak seiring dengan arus kemajuan Selangor. Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata strategi Program Pembangunan Desa sedia ada akan diubah menjadi konsep menyeluruh bagi memastikan pembangunan di kampung-kampung dimajukan secara bersepadu dan mampan. Namun resipi utama konsep ini nanti adalah pembangunan yang bakal dijalankan bersendikan kepada maklum-balas masyarakat desa di kawasan-kawasan terlibat. "Pembangunan Desa merupakan perkara yang menjadi fokus utama dalam tempoh lima tahun penggal kedua pentadbiran Pakatan Rakyat menerajui Selangor. "Dalam masa tiga empat tahun ini, Kerajaan Negeri akan memastikan pendapatan penduduk desa di seluruh Selangor dapat ditingkatkan atau ditambah pada kadar yang dapat dibanggakan oleh penduduk kampung," jelasnya. Abdul Khalid berkata demikian ketika berucap di majlis penutup 'Bengkel Kenali Kampungku' di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Sekurang-kurangnya 131 Ketua kampung dan anggota Jawatakuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dari daerah Sabak Bernam dan Hulu Selangor menghadiri bengkel tersebut. Bengkel Kenali Kampungku ini merupakan langkah pertama dalam Projek Pembangunan Desa. Tujuan bengkel ini diadakan adalah bagi memastikan Ketua-Ketua Kampung dan JKKK duduk bersama berbincang serta memberi pendapat dan maklumat bagi meningkatkan sumber ekonomi penduduk kampung. Pada majlis penutupan bengkel tersebut, dua wakil dari setiap daerah menyerahkan dokumen perbincangan dan idea mereka kepada Abdul Khalid. Hadir sama Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Sallehen Muhyi dan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Mohamad Roslan Sakiman. Sejajar dengan objektif penganjuran bengkel ini, Abdul Khalid turut berharap Ketua-Ketua Kampung dan JKKK dapat menzahirkan idea-idea bernas berhubung sumber ekonomi, kemahiran penduduk dan potensi kampung yang boleh dijadikan sebagai aset menjana pendapatan tradisi dan baharu. Abdul Khalid menambah, sistem sokongan yang kukuh dari jaringan keselamatan, penggunaan tanah dan khidmat sokongan jabatan-jabatan berkaitan diperingkat negeri dan Persekutuan sangat diperlukan bagi merealisasikan hasrat itu. "Kita mahu agar penduduk kampung atau desa yang turut berjasa kepada negeri ini, dapat menikmati kehidupan yang bahagia suasana keselesaan daripada segi pemerolehan pendapatan perkapita di negeri yang bertaraf maju ini sebagaimana dinikmati kebanyakan penduduk di bandar atau bandar raya di negeri ini,"ujarnya. | ||
Fahmi Fadzil dilantik Pengarah Komunikasi KEADILAN baru Posted: 12 Sep 2013 12:50 AM PDT KEADILAN DAILYKUALA LUMPUR : Fahmi Fadzil, Setiausaha Politik kepada Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, dilantik sebagai Pengarah Komunikasi parti itu bagi menggantikan penyandangnya, Nik Nazmi Nik Ahmad. Lantikan tersebut berkuat kuasa mulai semalam. Perkara itu dinyatakan dalam twitter KEADILAN. Fahmi berkata, beliau nekad memastikan kepercayaan yang diberikan akan dilaksana sebaik mungkin. "Alhamdulillah saya bersyukur di atas lantikan ini. Ia merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang berat. "Namun saya percaya berbekalkan doa, semangat reformasi dan sokongan teman-teman seperjuangan, Insya-Allah matlamat membina sebuah Malaysia yang lebih baik serta adil buat semua anak watan bakal menjadi realiti satu hari nanti," katanya dipetik portal media. Sementara itu, Nik Nazmi menerusi twitternya turut mengucapkan tahniah atas lantikan itu. "Tahniah atas lantikan sebagai Pengarah Komunikasi yang baru. "Saya akan bantu apa yang perlu Insya-Allah," katanya. Nik Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia dipilih menggalas jawatan tersebut bermula 16 Ogos 2010. Fahmi juga merupakan Ketua Penerangan KEADILAN Wilayah Persekutuan. | ||
Dr M bohong, tangkap & siasat dalang projek IC Sabah – Lajim Posted: 12 Sep 2013 12:48 AM PDT KEADILAN DAILYKUALA LUMPUR : KEADILAN Sabah membidas mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana memberi keterangan palsu pada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah.Pengerusinya, Datuk Seri Lajim Ukin menggesa kerajaan Barisan Nasional (BN) agar segera mencari dalang dalam projek IC memandangkan hanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang boleh mengeluarkan kad pengenalan. "Ini satu penipuan oleh Dr Mahathir. Beliau telah berdusta. Sebelum pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13), beliau mengakui sebanyak 200,000 pendatang asing dari Filipina dan Indonesia yang beragama Islam telah diberikan kerakyatan. "Semasa menjawab pertanyaan daripada pemimpin Pakatan Rakyat dan beberapa NGO pada satu majlis sebelum PRU 13, Dr Mahathir turut menjelaskan ada dalang di sebalik projek IC tersebut. "Kerajaan BN lambat bertindak dalam isu ini. Mereka seharusnya menangkap dalang projek ini lebih awal. Projek ini jelas memberi kewarganegaraan kepada warga asing yang belum layak menjadi warganegara," katanya, lapor The Malaysian Insider. Beliau turut menggesa parti komponen BN Sabah seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain yang menafikan berlakunya projek IC di negeri di bawah bayu itu agar segera membuat laporan polis. Katanya, projek IC telah mencetuskan pelbagai persoalan seperti nama mereka yang memperoleh kad pengenalan menerusi projek tersebut muncul dalam daftar undi beberapa PRU lepas. "Sebelum ini, banyak nama yang telah disebut berkait dengan projek IC. Kita harus selesaikan kes ini dengan menangkap mereka seperti bekas Menteri Kemajuan Bandar dan Wilayah, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin untuk menjalankan siasatan lanjut. "Kebanjiran pendatang asing di Sabah bukan sahaja memberi kesan buruk kepada negeri itu tetapi nama baik Malaysia secara umumnya. Perniagaan di negeri Sabah kini banyak dimonopoli pendatang asing ini kerana mereka mampu menawarkan harga dengan lebih murah," katanya dipetik. | ||
Zahid nasihat LPF hati-hati tapis 'The New Village' Posted: 12 Sep 2013 12:46 AM PDT MALAYSIA KINI Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan sepenuhnya kepada Lembaga Penapis Filem (LPF) untuk membuat keputusan sama ada meluluskan penayangan filem kontroversi, The New Village. Namun, LPF katanya, perlu berhati-hati dalam membuat keputusan itu kerana filem tersebut dikatakan mempunyai mesej tersembunyi yang menggambarkan pengganas komunis sebagai lebih baik berbanding anggota keselamatan pada masa itu. Katanya, walaupun filem tersebut menceritakan kisah percintaan dua remaja namun watak-watak dan mesej tersembunyi yang akan 'dihidangkan' kepada masyarakat perlu dinilai secara teliti. "Saya tidak menyokong mana-mana pasukan keselamatan dalam filem itu yang mana pasukan keselamatan British digambarkan sebagai arrogant (angkuh), namun adakah komunis lebih baik daripada pasukan keselamatan?," katanya. Beliau berkata, LPF perlu bersedia dan bertanggungjawab dengan reaksi masyarakat terhadap filem itu jika LPF membuat keputusan untuk meluluskan penayangannya. "Namun jika masyarakat memberi reaksi yang baik terhadap filem tersebut maka pujian harus diberikan kepada LPF," katanya. Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan bengkel transformasi Polis Diraja Malaysia 'Governance Structure and Organisational Design', di Port Dickson malam tadi. Mengenai bengkel tersebut Ahmad Zahid berkata, ia bertujuan mencari idea dalam membawa transformasi dan memantapkan institusi kepolisan negara ini. Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, dan timbalannya Datuk Seri Mohd Bakri Zinin. - Bernama | ||
Maznah: Azalina mahu pancing undi wanita bagi kerusi MT Posted: 12 Sep 2013 12:44 AM PDT Ketua Wanita Umno Kedah, Datuk Dr Maznah Abdul Hamid menyifatkan sebagai "bijak" dan menyambut baik keputusan Datuk Seri Azalina Othman Said menarik diri daripada bertanding jawatan ketua Wanita Umno walaupun ramai ahli pergerakan itu didakwanya telah "terguris". Katanya, ramai ahli pergerakan itu "terguris" apabila anggota Parlimen Pengerang itu tergamak mahu mencabar Datuk Seri Shahrizat Jalil yang menerima sokongan padu untuk mempertahankan jawatan ketua Wanita. Tegasnya, Azalina sepatutnya menwarkan diri bertanding kerusi exco terlebih dahulu seperti dilakukan Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. "Rosnah ini timbalan menteri dan juga ketua Puteri, tapi dia mai (datang) ketuk pintu dahulu, dia mai (datang) dengan berbudi bahasa. "Jadi sepatutnya dia (Azalina) tawar diri jadi exco dahulu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini. Maznah diminta mengulas laporan keputusan Azalina untuk mempertahankan jawatan ahli majlis tertinggi Umno dan tidak akan merebut jawatan ketua Wanita Umno "bagi mengelak perpecahan dalam Wanita Umno". Ketua Wanita Umno Kedah itu berpendapat bahawa Azalina menarik diri daripada bertanding jawatan ketua wanita Umno bagi memancing undi ahli sayap itu yang mampu membolehkannya menang dalam pemilihan MT. "Kami berpendapat apabila dia menyedari dia akan kalah, dia (bertindak) menarik diri. "...Jadi (sekarang dia sedar) dia juga perlukan undi Wanita yang begitu ramai. "Dengan cara ini dia dapat pancing undi Wanita," kata Maznah kepada Malaysiakini. Ditanya mengenai laporan akhbar semalam yang melaporkan beliau menyokong Azalina bertanding jawatan ketua Wanita, Maznah menjelaskan gesaan itu sebenarnya dibuat dalam bentuk kiasan kepada Azalina. "Saya cakap kelmarin itu supaya dia dapat ukur penerimaan wanita terhadapnya," katanya. | ||
8 pemimpin disebut-sebut mahu rebut jawatan VP PAS Posted: 12 Sep 2013 12:41 AM PDT Pemilihan PAS semakin rancak apabila lapan pemimpin parti itu disebut-sebut sedang mengintai peluang mencuba nasib merebut jawatan naib presiden pada pemilihan parti itu November ini. Sekalipun mesyuarat kawasan masih berlangsung sehingga 30 September ini dan pencalonan mereka masih belum jelas, namun cakap-cakap mengenai kecenderungan hasrat mereka kini sudahpun tersebar luas. Tiga penyandang Salahudin Ayub, Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Husam Musa dijangka mempertahankan jawatan mereka, sementara Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Amar Abdullah dikatakan turut tersenarai merebut jawatan naib presiden. Sumber-sumber PAS memberitahu Malaysiakini, ahli jawatankuasa PAS Pusat Datuk Mujahid Yusof, ahli parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan dan setiausaha Majlis Syura Ulama Datuk Nik Zawawi Salleh bakal turut bersaing bagi jawatan itu. "Salahudin, Mahfuz dan Husam dijangka mempertahankan jawatan. Manakala yang lain belum membuat keputusan, tunggu pencalonan (dan sokongan dahulu) sebelum (umum) tanding," kata sumber-sumber kepada Malaysiakini. Pada pemilihan lalu Salahudin meraih 753 undi, Husam (660) dan Mahfuz memperolehi 616 undi, sekaligus melengkapkan tokoh profesional ke jawatan naib. Berdasarkan bacaan semasa, sumber-sumber berpendapat Salahudin dan Mahfuz berpeluang cerah mempertahankan jawatan itu memandangkan populariti dan sokongan kepada mereka di peringkat akar umbi khususnya di kalangan Muslimat dan kawasan tertentu di negeri tertentu. "Salahudin dan Mahfuz masih laku. Mahfuz mendapat sokongan (kawasan) di sebelah utara dan beberapa kawasan di Negeri Sembilan," katanya. Sumber-sumber turut berkata peluang Husam dilihat tipis memandangkan beliau tidak memegang apa-apa jawatan utama dalam kerajaan negeri termasuk kurangnya sokongan di peringkat akar umbi. Oleh itu, antara tokoh yang dilihat memberi saingan sengit merebut jawatan itu adalah Idris yang kini sudah berjawatan anggota parlimen Bukit Gantang dan ahli Majlis Syura Ulama. | ||
Laporan: Bilik air kotor, tilam berkulat di kem PLKN Posted: 12 Sep 2013 12:38 AM PDT MALAYSIA KINI Kecewa dengan tahap kemudahan di satu kem Program Latihan Khidmat Negara di Balik Pulau, sekumpulan 200 orang pelatih mengemaskan barangan mereka dan bersedia untuk meninggalkan tempat tersebut.Ibu bapa yang bimbang dengan keadaan anak mereka juga berhimpun di luar pagar kem tersebut semalam, lapor akhbar The New Straits Times. Laporan itu menyebut, para pelatih tersebut memberitahu ibu bapa bahawa mereka terpaksa tidur di atas katil yang rosak, tilam berkulat, dan bantal dengan kesan kotoran sejak beberapa bulan lalu. Para pelatih itu juga memberitahu bahawa kemudahan tempat mandi juga rosak, tersumbat dan berada dalam keadaan sangat kotor. Menurut laporan itu, seorang pelatih memberitahu abangnya bahawa saudara perempuan mereka mengalami "trauma" selepas menjumpai ulat dalam makanan di kem White House Resort NS. Gambar yang disiarkan akhbar tersebut menunjukkan para pelatih diberikan "makanan bermutu rendah" - melibatkan bahan yang kelihatan seperti secawan nasi, kuah, secebis daging, keropok dan sedikit sambal. The Star melaporkan bahawa para pelatih diberikan hidangan 125 gram daging ayam namun ia dikurangkan kepada satu pertiga dari jumlah itu. Satu jawapan yang dikemukakan kerajaan di Parlimen pada 2008 menyebut, sebanyak RM2.37 bilion untuk program PLKN sejak 2004, dengan purata sebanyak RM500 juta setahun. | ||
Posted: 12 Sep 2013 12:29 AM PDT Benarkah bil air di Selangor naik?Shahbudin Husin Terdapat rungutan daripada penduduk yang tinggal di beberapa kawasan di Selangor sekarang ini berikutan bil air yang diterima setiap bulan sudah meningkat berbanding sebelumnya. Yang peliknya, peningkatan itu hanya dialami beberapa bulan ini saja iaitu selepas pilihanraya umum 5 Mei lalu. Seperti yang diketahui, kerajaan negeri PR di Selangor telah memperkenalkan bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu atau lebih kurang RM11.00 kepada penduduk negeri itu sejak 2008 lagi sebagai memenuhi janji pilihanraya yang dibuatnya sehingga membuatkan PR berjaya menumbangkan BN. Dengan pemberian percuma itu, sebuah keluarga yang mempunyai seorang atau dua anak dan menggunakan air secara yang sewajarnya, mereka biasanya menikmati air percuma sepenuhnya dan tidak perlu membayar walau sesen pun kerana penggunaannya tidak akan melebihi 20 meter padu itu. Bagi keluarga yang lebih besar dari itu pula, mereka selalunya hanya perlu membayar antara RM5 hingga RM10 saja sebagai bayaran bi air setelah ditolak subsidi 20 meter padu atau RM11.00 yang diberikan oleh kerajaan negeri. Sepanjang lima tahun lalu, ramai penduduk Selangor yang gembira dengan kemudahan air percuma ini kerana ia sekurang-kurangnya meringankan beban bil utiliti yang perlu dibayar setiap bulan, terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah atau tinggal di kampung-kampung. Ini sekaligus menjadikan kehidupan banyak keluarga di Selangor menjadi lebih selesa berbanding penduduk di negeri lain yang terpaksa membayar bil air tanpa sebarang subsidi daripada kerajaan. Bagaimanapun, selepas pilihanraya lalu, ramai yang terkejut apabila tiba-tiba mendapati bil mereka sudah meningkat dan penggunaan air juga bertambah sedangkan keluarga tidak bertambah dan amalan penggunaan juga masih seperti biasa saja. Jika selama ini penggunan air mereka sentiasa dibawah 20 meter padu tetapi kini sudah melebihi kadar itu. Ramai yang mengadu bil air masing-masing kini sudah meningkat dan mereka perlu membayar antara RM8.00 hingga RM15.00 setiap bulan. Jika dicampur dengan subsidi kerajaan negeri sebanyak 20 meter padu atau RM11.00, peningkatan yang berlaku ini hampir sekali ganda. Keadaannya kini seolah-olah meter air di Selangor bergerak lebih laju dari sebelumnya. Apa sudah jadi sebenarnya? Ramai pengguna melahirkan kemusykilan mengenai perkara ini kerana setahu mereka kerajaan negeri yang diterajui oleh PR masih menguat-kuasakan bekalan air percuma 20 meter padu kepada penduduknya walaupun hubungan antara kerajaan negeri dengan Syabas sentiasa tegang dan bermasalah. Soalnya adakah kerajaan negeri sedar perkara ini dan apakah kenaikan ini bukan berpunca daripada adanya perbuatan sabotaj atau kong kali kong Syabas terhadap kerajaan negeri? Atau mungkinkan subsidi kerajaan negeri sudah dikurangkan walaupun menang lebih cemerlang dalam pilihanraya 2013 lalu? Walaupun jumlah RM8.00 hingga RM15.00 itu tidaklah sebesar mana, penduduk Selangor hanya ingin mengetahui keadaan sebenar mengenai perkara ini dan apakah punca-punca yang menyebabkan bil air berbeza antara sebelum pilihanraya dengan selepas pilihanraya. | ||
‘Endless Possibilities’ ditangguh gara-gara Mongolia sudah gunakan 2 tahun lalu Posted: 12 Sep 2013 12:27 AM PDT KL TODAY Pelancaran kempen baru Putrajaya "Endless Possibilities" dalam negara telah ditangguhkan dari tarikh asal 17 September kepada satu tempoh yang belum pasti selepas mendapati Mongolia menggunakan slogan sama 19 bulan sebelum Malaysia.The Malaysian Insider difahamkan, pegawai-pegawai yang menguruskan kempen panik kerana Mongolia merupakan satu subjek sensitif selepas dua anggota polis Malaysia didakwa dan kemudian dibebaskan di atas tuduhan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu. "Pelancaran di Malaysia dibatalkan, masih belum ada tarikh baru," kata satu sumber kepada The Malaysian Insider. Slogan kempen itu secara rasmi digunakan buat pertama kali di Davos Januari lepas semasa Forum Ekonomi Dunia (WEF) walaupun Kementerian Pelancongan sudah memperkenalkannya di Dubai pada Oktober 2012. Blogger pro kerajaan telah mengkritik kempen itu mengatakan ianya meniru kempen sama Israel yang bermula April lepas. Akan tetapi kemudiannya mereka mendapati Mongolia telah menerbitkan video dan disiarkan oleh penyiar berita global CNN menggunakan slogan sama. Akan tetapi jurucakap kempen mengatakan ia tetap akan dilancarkan tetapi tidak memberikan tarikh pasti. "Inisiatif ini tetap akan dilancarkan, 17 merupakan salah satu tarikh dipertimbangkan," kata seorang jurucakap yang enggan dinamakan. Tarikh 17 September dipilih kerana ia merupakan sehari selepas Malaysia menyambut ulangtahun ke-50 penubuhannya apabila Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak bersetuju menjadi satu negara pada tahun 1963. Singapura meninggalkan Malaysia pada Ogos 1965. The Malaysian Insider difahamkan slogan kempen dicadangkan oleh dua perunding asing dan syarikat kajian pasaran selepas perbincangan dengan pegawai-pegawai dari Jabatan Perdana Menteri. "Perunding-perunding memperhalusinya dari prosa 'Endless Opportunites' yang digunakan dalam ucapan kepada 'Endless Possiblities'," katanya dan menambah tidak pasti sama ada perunding-perunding itu menyemak jika ada negara lain menggunakan slogan itu. Firma pengiklanan dipanggil selepas itu untuk mencipta logo yang kemudiannya digunakan Kementerian Pelancongan bersama slogan sebelum digunakan di Davos. The Malaysian Insider pertama kali melaporkan berita tentang pelancaran kempen pada 21 Ogos dan disahkan pada hari sama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengatakan kempen ini melengkapkan dan bukan menggantikan slogan 1Malaysia yang diperkenalkan pada 2009. Najib berkata, ia adalah "kempen komplementari" dan kempen terkini itu adalah sebahagian daripada pelan menjenamakan negara. "Ini akan mempromosikan Malaysia," katanya yang dilihat menggunakan lencana baru kempen itu termasuk logo 1Malaysia. Sumber memberitahu The Malaysian Insider slogan "Endless Possibilities" sebenarnya mahu dilancarkan sebelum hari mengundi, tetapi kerajaan menangguhkannya bagi mencegah kemungkinan berlaku kekeliruan. Pos Malaysia sudah merancang untuk melancarkan setem baru bertajuk Malaysia: Endless Possibilities pada 30 Mei 2013 tetapi tidak ada tanda set setem itu. Sumber berkata, kempen baru itu sebenarnya bermula pada awal tahun ini di majlis berprestij Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland dan dalam beberapa program Pelancongan Malaysia. Klip video berdurasi 60 saat yang memaparkan Najib juga dilancarkan dan disiarkan oleh penyiar berita global CNN. Terdapat juga beberapa pengiklanan bercetak dengan slogan baru itu dalam majalah antarabangsa untuk tujuan perniagaan dan pelancongan sepanjang tempoh lapan bulan lalu. Tetapi sumber berkata, penggunaan secara meluas akan hanya berlaku selepas pelancaran pada 17 September ini.Sumber: The Malaysian Insider | ||
Posted: 11 Sep 2013 05:08 PM PDT Farah AF NAMA Farah Diana Anuar atau Farah AF kembali menjadi perhatian ramai, apabila sebuah akhbar memaparkan nama dan alamat Farah, serta mendakwa bintang yang lahir dari program Akademi Fantasia musim kedua ini sudah muflis. Berita ini ternyata mengejutkan ramai pihak selepas penyanyi dan pengacara ini didakwa terlibat dengan kes mencuri. Ia menjadikan Farah sebagai artis kedua yang diisytiharkan muflis selepas penyanyi, Aweera, Julai lalu. Bagaimanapun, usaha Zass untuk mendapatkan bapa Farah sendiri tidak berhasil apabila telefon bimbitnya tidak diangkat, manakala telefon Farah ditutup. | ||
Semua orang Pas ulama, kata Nik Aziz Posted: 11 Sep 2013 05:03 PM PDT Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat SHAH ALAM - Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menegaskan, beliau tidak pernah meminta ahli Pas untuk tidak memilih bukan ulama untuk menjawat jawatan timbalan presiden Pas. "Akhbar tulis tu tidak betul, saya cakap lain mereka tulis lain. Bukan saya sebut tidak perlu pilih bukan ulama, kerana semuanya dalam Pas dipanggil ulama. "Profesional pun ulama juga, begitu juga ulama pun profesional. Sengaja ada pihak hendak sebut dua nama, sedangkan sebenarnya satu sahaja," kata Nik Aziz dalam reaksi terbarunya berhubung isu itu. Sebelum ini, Nik Aziz dalam satu kenyataan mahu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kekal dengan jawatan itu sementara jawatan timbalan presiden boleh dipertandingkan. "Saya berdoa dan minta Haji Hadi yang banyak pengalaman dan ilmu, kalau boleh, biar dia teruskan jadi presiden, tetapi timbalan, atas undi, dan tentulah saya nak orang ulama jadi timbalan," katanya sebelum ini. "Semua orang Pas ulama, sedikit atau banyak itu yang membezakan, mana boleh orang Pas jahil, semua orang Pas ulama belaka cuma taraf ilmu yang ada pada dia sedikit sebanyak itu atas dia, dia mengaji banyak mana, cebur diri dalam masyarakat, berpengalaman dan sebagainya," katanya lagi. Kenyataan Nik Aziz berhubung jawatan timbalan presiden itu bagaimanapun menimbulkan pertikaian awam sama ada pemimpin Pas itu mahu memberikan isyarat untuk menyingkirkan Mohamad Sabu. Pakar Geo Strategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hassan sebelum ini berkata, kenyataan bekas Menteri Besar Kelantan itu memang ditujukan kepada orang nombor dua parti itu. "Setelah satu penggal beliau memegang jawatan itu, banyak perkara yang memudaratkan Pas berbanding perkara yang memberi manfaat. "Saya melihat ini serampang dua mata Tok Guru, pertama untuk menghindarkan Mat Sabu, kedua, untuk mempromosikan calon ulama," katanya kepada Sinar Harian. Pas dijadualkan akan mengadakan Muktamar Agung ke-59 bermula 22 November depan dan bakal membuat pemilihan pucuk pimpinan baharu parti itu. Pemilihan kali ini dijangka akan terus menyaksikan pertembungan kumpulan yang digelar 'Erdogan' -kumpulan pro Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim- dan kumpulan pro kepimpinan ulama. Pada pemilihan tahun 2010, Mohamad Sabu berjaya menduduki kerusi timbalan presiden dalam pertandingan tiga penjuru melibatkan bekas timbalan presiden sebelum ini, Nasharuddin Mat Isa dan bekas naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. | ||
Suspek kes bunuh TKP Kastam dikenal pasti Posted: 11 Sep 2013 05:01 PM PDT Anggota polis memeriksa tempat kejadian Datuk Shaharuddin Ibrahim maut selepas ditembak di persimpangan trafik di Lebuh Wawasan dari Lebuh Sentosa. - Foto Bernama KUALA LUMPUR - Polis sudah mengenal pasti suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim di Putrajaya pada 26 April lalu. Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata pengecaman suspek berumur 22 hingga 30 tahun itu dibuat melalui foto dan tindakan memberkas suspek akan dibuat dalam masa terdekat. Bagaimanapun, beliau enggan menyiarkan gambar suspek kerana kes itu masih dalam siasatan. Shaharuddin mati ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, April lalu. Dua lelaki bermotosikal melepaskan tiga das tembakan ketika kenderaan yang dinaiki Shaharuddin berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan pada pukul 8.15 pagi. Dalam perkembangan lain, polis menahan pasangan suami isteri berumur 51 dan 55 tahun pada 28 Ogos lepas kerana dipercayai mendera anak lelaki mereka yang berusia 10 tahun di Jalan Pahang, Setapak, di sini. Khairi berkata kedua-dua suspek yang merupakan peniaga itu ditahan susulan laporan polis oleh seorang guru sebuah sekolah di Setapak, sehari sebelum kejadian. "Guru tersebut mendapati kanak-kanak malang itu mengalami kecederaan parah di bahagian badan, kaki, mulut dan kepala. Kanak-kanak itu hadir ke sekolah dengan keadaan luka yang kronik dan ibu bapanya dipanggil untuk diambil keterangan. "Pihak sekolah telah membuat inkuiri terhadap kanak-kanak berkenaan dan mendapati dia dipukul oleh kedua ibu bapanya," katanya sambil menambah pihak sekolah yang berasa curiga dengan kecederaan kanak-kanak itu telah membuat laporan polis. Khairi berkata akibat trauma, kanak-kanak malang itu enggan hadir ke sekolah. Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Sementara itu, polis menangkap dua suspek yang dipercayai anggota kongsi gelap setelah mendapati suspek mempamerkan tatu yang mempunyai elemen kongsi gelap dalam Ops Cantas Khas dua hari lepas. "Tangkapan kedua-dua suspek di Brickfields dan Cheras ini menjadikan jumlah kes di bawah akta ini adalah sebanyak 36. Kedua-dua suspek kini ditahan reman dan polis menyiasat kes ini di bawah Seksyen 52 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 355)," katanya. - Bernama | ||
PKR setuju PPPM tapi dengar dulu pandangan rakyat Posted: 11 Sep 2013 04:58 PM PDT Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli SHAH ALAM - Usaha untuk memperkasakan bahawa kebangsaan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 mendapat maklum balas positif daripada Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli. Walau bagaimanapun, kajian secara menyeluruh katanya perlu dilaksanakan dan pandangan semua pihak harus didengar terlebih dahulu. "Pandangan-pandangan ini kita perlu dengar daripada semua pihak dahulu, sebab memang pendekatan PKR selama ini memang kita letakkan memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai asas kita," katanya kepada wartawan ketika ditemui di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini. Katanya, terdapat reaksi berhubung pelan ini yang dilihat bakal menjejaskan masa pembelajaran subjek lain khususnya Matematik dan Sains, apabila 60 minit masa tambahan untuk subjek Bahasa Melayu dilaksanakan. "Kita telah bincang secara mendalam di Biro Politik semalam, dan kita buat keputusan untuk duduk (berbincang) dengan pihak-pihak yang terbabit sebab ada beberapa isu yang timbul. "Tapi bila kita bincang dengan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina (Dong Zong), mereka ada pandangan yang sedikit berbeza iaitu mereka (Dong Zong) tidak ada masalah untuk meningkatkan tempoh masa belajar Bahasa Melayu dari 180 ke 200 minit sebenarnya. "Cuma bagi mereka bila dinaikkan dari 180 kepada 240 minit, 60 minit tambahan itu akan mengurangkan masa pembelajaran Sains dan Matematik," katanya. Menurut Rafizi, Biro Pendidikan PKR ditugaskan untuk mengkaji terlebih dahulu pandangan pihak terbabit di peringkat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) dalam tempoh seminggu sebelum memaklumkan pendirian PKR secara rasmi. Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini melancarkan PPPM 2013 yang menggariskan tambahan masa 240 minit untuk pembelajaran subjek Bahasa Melayu di sekolah vernakular seluruh Malaysia. Beliau memberi jaminan, pendekatan ini sama sekali tidak akan menghapuskan pembelajaran bahasa ibunda masing-masing di sekolah vernakular. Bagaimanapun, ada Persatuan Pendidikan Cina yang gagal mendapat maklumat tepat berhubung pelan berkenaan sehingga bertindak menolak pelan terbabit. Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh semalam menegaskan, kerajaan tetap akan melaksanakan PPPM walaupun ia mendapat reaksi negatif sesetengah pihak. | ||
Siapa pun kerajaan kena kurangkan subsidi Posted: 11 Sep 2013 04:55 PM PDT Zaidel Baharuddin AMPANG - Tak kisah siapa pun jadi kerajaan, kena fikir generasi akan datang. Demikian reaksi Naib Pengerusi Unit Pidato Pemuda Umno, Zaidel Baharuddin ketika diminta mengulas soal kenaikan harga minyak yang menjadi topik dalam Forum 20 sen. Zaidel menggantikan Exco Pemuda Umno, Lokman Noor Adam yang tidak dapat hadir ke forum tersebut untuk berbicara soal kenaikan harga minyak dengan Ahli Parlimen Ampang, Rafizi Ramli. Ketika memulakan bicara, Zaidel memaklumkan ketidak hadiran Lokman itu ekoran sedang mengikuti kempen di Kedah selain tidak bersetuju dengan tajuk forum tersebut. "Saya menggantikan saudara Lokman kerana beliau sedang sibuk berkempen di Kedah. "Pada masa sama, beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan kenaikan harga minyak. Tapi saya setuju, sebab itu saya datang," katanya. Mengulas soal isu yang menjadi topik hangat perbincangan itu, Zaidel berpendapat bahawa duit rakyat tidak boleh dibelanjakan untuk generasi sekarang sahaja. "Tak kisah siapa pun jadi kerajaan, tetap kena tanggung keadaan ini. Minyak makin terhad jadi subsidi semakin perlu dikurangkan. "Jadi, tak kisah siapa pun jadi kerajaan, kena fikir generasi akan datang. Tak boleh belanja duit rakyat untuk generasi sekarang sahaja," katanya dalam Forum 20 sen yang diadakan di Menara MPAJ, hari ini. Beliau mengingatkan hadirin soal kuantiti minyak yang semakin terhad juga perlu diberi perhatian. "Minyak terhad. Makin lama rakyat makin ramai, kereta makin banyak. Itu kita kena ingat. "Kalau PR menang akan datang sekalipun kena tanggung ini juga. Nak beri pendidikan percuma, hapus tol...itu belanja lagi," katanya. Menurutnya lagi, rakyat juga tidak boleh terlalu bergantung kepada subsidi. "Kita tak boleh terlalu bergantung kepada subsidi...Tak terfikir ke perbelanjaan subsidi itu termasuk dalam kos pengurusan?," katanya. Beliau juga melihat jika pendapatan minyak negara dihabiskan semata-mata untuk subsidi adalah satu kerugian. "Pendapatan minyak 30 hingga 40 peratus tapi kalau nak habiskan utk subsidi semata-semata bagi saya ia satu kerugian yang amat besar," katanya. | ||
BN korban subsidi rakyat demi penjana tenaga bebas Posted: 11 Sep 2013 04:52 PM PDT SINAR HARIAN Rafizi Ramli KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli membidas tindakan kerajaan mengurangkan subsidi bahan api petrol dan diesel sebanyak RM3.3 bilion setahun yang disalurkan kepada kira-kira 28 juta rakyat Malaysia sedangkan subsidi kepada syarikat korporat khususnya penjana tenaga bebas tidak terjejas. Beliau mendakwa kerajaan BN cuba menyembunyikan angka sebenar pemberian subsidi kepada rakyat sambil memberikan gambaran palsu untuk menutup pembayaran subsidi kepada penjana bebas terbabit. | ||
RTM Pandang Serius Siar Kesilapan Logo PDRM Posted: 11 Sep 2013 04:47 PM PDT MSTAR ONLINE KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menggantung dan menamatkan perkhidmatan individu yang terlibat dalam insiden penyiaran kesilapan logo Polis Diraja Malaysia melalui RTM pada Selasa. Sambil berkata, RTM memandang serius kejadian itu, Ketua Pengarah PenyiaranDatuk Norhyati Ismail berkata, laporan polis untuk memulihkan imej Jabatan Penyiaran telah dibuat. "Ralat dan permohonan maaf telah disiarkan dalam Berita Nasional 12 tengah malam. Surat rasmi memohon maaf kepada Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) juga telah dihantar," katanya dalam kenyataan pada Rabu. Beliau menjelaskan jawatankuasa tata tertib telah bersidang pada Rabu untuk meneliti tindakan lanjut yang akan dilaksanakan susulan insiden itu. Kenyataan dan tindakan segera yang diambil telah dimuat naik dalam laman sosial jabatan berkenaan, tambahnya. - BERNAMA | ||
Insiden Penebat Kilat Runtuh: Lubang Terbentuk Di Jalan Macalister Posted: 11 Sep 2013 04:44 PM PDT MSTAR ONLINE GEORGE TOWN: Lubang sedalam dua meter terbentuk di tengah-tengah Jalan Macalister di hadapan bangunan Menara Umno di sini, tapak kejadian penebat kilat di atas bangunan itu runtuh dan menimbus seorang penjual nasi Lim Chin Aik, 44, pada 13 Jun lalu. Lubang itu dipercayai selebar kira-kira 0.5 meter dan sedalam dua meter yang dikesan orang ramai yang melalui jalan itu pada kira-kira 1.15 tengah hari Rabu. Anggota Dewan Undangan Negeri Komtar, Teh Lai Heng berkata, beliau yang menerima panggilan telefon mengenai kejadian itu bergegas ke tempat kejadian bersama-sama seorang pegawai Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP). "Kewujudan lubang ini mungkin berpunca daripada hujan berterusan sejak beberapa hari lalu dan menghakis tanah di bawahnya," katanya kepada pemberita di tempat kejadian pada Rabu. Bagaimanapun, pegawai MPPP itu berkata ia mungkin berpunca daripada kebocoran kecil pada paip bawah tanah yang menyebabkan pasir menyerap air hujan. "Kita tidak dapat menentukan punca sebenar dan kita akan meminta syarikat Indah Water Konsortium untuk memeriksanya," katanya dan menurutnya beliau tidak pasti berapa lama masa diperlukan untuk lubang itu dibaiki. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan