Khamis, 26 September 2013

.

.


Azizan melawak tetapi tegas

Posted: 26 Sep 2013 03:22 AM PDT

BELASUNGKAWA                                                                               

Saat saya menyiapkan catatan belasungkawa ini mungkin jasad Ustaz Azizan Abdul Razak sudah pun memasuki ke liang rehat. Tidurlah perwira ku, beradulah dengan tenang. Peluh pelaimu yang membasahi azam dan citamu kering sudah. Namun masinnya tetap terrasa di hujung lidah ini. Tidurlah setenangnya dan semahumu. 

Saya tidak banyak kenangan dan kisah dengan Allahyarham Azizan Abdul Razak yang hari ini kira-kira jam 11:10 pagi tadi telah dipanggil Ilahi menghadap-Nya dalam usia 69 tahun. Hubungan saya dengan beliau tidak begitu intim seperti mana pemimpin-pemimpin veteran lain khasnya dari Kelantan, Terengganu dan lain-lain yang setengahnya saya kenali sejak tahun 80-an lagi. Ini kerana titik batas saya dengan beliau yang dipisahkan geografi kenegerian dan tempoh masa.

Saya hanya baru akrab dengannya sekitar tahun 1998 di era reformasi. Mula mengenai dekat dengan belliau ialah pada 2004 atau 2005 sewaktu surat khabar Siasah yang beroperasi dibangunan sederet dengan pejabat Harakah di Jalan Pahang. Ketika itu Allahyarham menjadi ahli lembaga pengarah Harakah yang mana saya juga turut menjadi salah seorang yang hadir di dalam mesyuarat sebagai mewakili Siasah. Di sinilah saya mengenali dan mulai rapat dengan beliau.



Di sinilah saya mengenali siapa dia Azizan Razak. Dalam beberapa kali bermesyuarat bersama itu serta menerusi siri-siri interview saya dengannya untuk Siasah, mengenalkan saya dengan Allahyarham. Seorang yang tegas dan suka berterus terang dan banyak cakap. Dia juga suka bergurau dan melawak. Pun begitu dia seorang yang boleh mendengar. Jika kita berhujah dan memberi dalil-dalil dia akan diam dan bersedia bertukar buah fikiran. Ertinya dia bukan jenis seorang keras kerak.

Ramai mereka yang kenal dan bergaul dengannya menganggap beliau seorang yang 'cengih' atau bengkeng. Saya setuju. Tetapi di sebalik sikap semulajadinya dia mempunyai sekeping hati yang baik dan penuh pengertian. Beliau berpegang kepada maklumat dan bersikap secara profesional. Saya masih ingat apabila dalam satu mesyuarat saya menjelaskan mengenai relevansi satu tindakan saya yang tidak disenangi, beliau tidak memberontak dan akur sahaja apabila saya menjelaskan kenapa saya bertindak begitu. Ini menandakan beliau seorang yang berprinsip dan toleransi.

Kenangan lain yang saya tidak lupakan ialah beliau meminta saya turun ke Kedah untuk membuat liputan bagi membantu Pas Kedah menawan negeri berkenaan. Beliau ketika itu agar terkilan dengan Harakah yang katanya kurang memberi perhatian kepada isu-isu di Kedah. Saya yang ketika itu bertanggungjawab menjadi Ketua Pengarah Siasah turun khusus ke Kedah untuk membuat liputan seperti mana dikehendakinya.

Dua isu yang menjadi liputan saya ketika itu, iaitu projek penapisan minyak di Pulau Sayap, Yan dan juga mengenai pengambilan tanah sawah padi untuk membina taman perumahan. Beliau sendiri yang memandu kereta dan membawa saya meninjau ke kawasan projek penapisan minyak berkenaan.

Beliau mahu saya dedahkan mengenai projek itu tidak viable untuk rakyat. Ratusan hekar tanah sawah rakyat berhampiran projek berkenaan akan musanah kerana kesan projek berkenaan. Gara-gara itu rakyat akan mengalami kerugian bila mana tanaman padi mereka musnah. Saya bersama Allahyarham dan seorang teman Md Radzi Mustapa berjalan kaki melalui batas dan tali air meninjau ke kawasan berhampiran projek berkenaan. Sambil berjalan beliau memberi penjelasan mengenai bahanan projek berkenaan. Berpeluh pelai Allahyarham kerana dibahan terik mentari.

Selepas itu beliau membawa saya pusing di beberapa kawasan melihat pembangunan taman-taman perumahan yang tumbuh bagaikan jamur selpeas hujan. Allahyarham tidak bersetuju dengan dasar kerajaan Kedah ketika itu yang dipimpin Madhzir Khalid sebagai Menteri Besar yang membenarkan status tanah sawah diubah untuk dibina penempatan atau taman-taman baru.

Beliau ada figure dan statistik mengenai jumlah tanah yang sudah diterokai atau terlibat dengan pembinaan taman-taman perumahan itu. Alasan beliau kenapa tidak bersetuju dengan pembinaan rumah itu kerana kebanyakan rumah itu dimiliki oleh orang luar Kedah yang berimigran ke negeri itu khasnya dari Seberang Perai, Pulau Pinang.

Dari dua isu yang ditinjau dan didedahkan itu menunjukkan Allahyarham sangat perihati mengenai nasib dan masa depan rakyat. Beliau begitu obses untuk membela rakyat Kedah agar tidak terlepas hak asal mereka.

Dari aspek perhubungan dan berkawan dengannya, Allahyarham seorang yang senang untuk didekati. Mudah untuk diajak berbual atau pekena tea tarik. Dia tidak akan lupai setiap orang yang dikendali atau pernah bersembang dengannya. Acap kali juga apabila menjadi MB tatkala berjumpa dengan saya di sesutau majlis atau muktamar Pas Allahyarham akan bergerak ke arah saya bertanya khabar. Antara ayat favourite bveliau ialah; apakah habaq Sayuti, sihat ke. Hang dok tulis apa sekarang?

Mengenai stail dan bentuk pemerintahan dan pentadbirannya, beliau bersikap profesional dan tegas. Sebagai seorang bekas pegawai kerajaan beliau tetap bersistemetik. Sikap inilah menyebabkan ada sesetengah orang tidak senang dan mengatakan beliau tidak mengambil berat kepada orang-orang parti dan lebih memberi muka kepada pegawai kerajaan atau pihak musuh parti (orang Umno). Sikap inilah menyebabkan ada beberapa kerat orang Pas bertindak membakar kelambu, keluar dari pas kerana tidak setuju dengannya gaya dan pendekatan politik profesionalnya.

Sepanjang beliau menjadi MB sepenggal, lima tahun ada beberapa isu yang melanda pentadbiranya yang merupakan ujian dan cabaran buatnya. Baik ianya dari pihak parti sendiri maupun lawannya Umno. Misalnya isu Kolej Universiti Insian Kedah (Kuin) beliau menunjukkan sikap tegas dan peofesionalnya. Beliau tidak memberi gambaran bersimpati dengan nasib pelajar yang digantung kerana berdemontarsi, sebaliknya membela tindakan itu. Tindakan beliau itu dikecam tanpa mengira apakah tindakan itu relevan dan mengikut peraturan dan undang-undang Universiti dan Kolej. Di sinilah berlaku pertembungan di antara tanggungjawab dan politik.

Kesimpulannya bagi saya Allahyarham cuba membawa satu bentuk politik baru dalam pentadbirannya, di mana cuba memisahkan dari segi tanggungjawab sebagai kerajaan dengan beliau sebagai seorang parti. Percubaan beliau ini mungkin telah disebut sebagai satu tindakan yang kurang bijak tetapi saya percaya apa yang dilakukan Allahyarham selama lima tahun menjadi MB Kedah (2008-2013) akan dilihat satu keistimewaan beliau sebagai politician. Selepas ketiadaan beliau orang akan menilai natijah dan muslihat apa yang dilakukan itu.

Biarpun ada yang tidak suka dan meletakkan kesalahan atas strategi politik dan pentadbirannya, sehingga dijadikan sebab Pas kalah, tetapi seperkara yang tidak boleh dinafikan, Pas dibawah pimpinan beliaulah negeri Kedah buat pertama kali berjaya dirampas oleh Pas. Kejaayan ini adalah sejarah termanis buat Allahyarham dan juga Pas Kedah khasnya.

Siram tembakau air sebeladi,
Tinggal sedikit siram jagung;
Semadilah dikau pemimpin berbudi,
Jasa sebukit dikenang segunung.

[wm.kl.5:59 pm 26/09/13]

Azizan Razak telah kembali ke Rahmatulah

Posted: 25 Sep 2013 08:50 PM PDT

Hari ini Pas kehilangan seorang pejuang ulungnya Azizan Abdul Razak, 69 yang telah kembali ke Rahmatullah jam 11:10 pagi ini. Beliau dilaporkan dalam keadaan keritikal sejak semalam. 

Jenazahnya akan di bawa ke Kedah untuk dikebumikan di Muasasah Darul Ulum tempat dimana Almarhum Fadzil Noor dikebumikan. Al Fatihah. [wm.kl.11:49 am 26/09/13]

MDPM perlu pantau harga rumah kedai di bandar Tasek Raja

Posted: 25 Sep 2013 08:00 PM PDT

NOTIS                                                                                                 

Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) diminta memantau harga jualan gerai dan rumah kedai di bandar baru Tasek Raja Pasir Mas yang dikatakan terlalu tinggi dan tidak munasabah. Bukan itu saja semacam ada spekulasi harga berlaku menyebabkan harga diluar mampu milik bumiputera.

Misalnya gerai yang seluas 16 kaki x 25 kaki harganya tidak menentu, mulanya ia berharga RM75,000 seunit kemudian naik menjadi RM80,000 tetapi terbaru harga meningkat menjadi RM123,000. Kenapa berlaku demikian?

Terdapat 30 unit bazar dalam projek fasa pertama itu. Memeliknya juga dalam pamplet yang diedarkan unit-unit bazar itu sudah ditulis "habis dijual" tetapi bila ditanya ia masih ada satu dua unit dengan harga jauh lebih tinggi yang ditawarkan.


Menurut seorang kontrektor harga untuk gerai sebesar itu tanya kemudahan bilik air (tandas) hanya sekitar RM20,000 sahaja.

Begitu juga dengan nilai rumah kedai setingkat dan dua tingkat harganya tidak sekata. Pihak Majlis Daerah Pasir Mas perlu memerhati perkara ini khasnya mengenai nilai jualan agar tidak dimanipulasikan sehingga ada pembeli yang tertipu. MDPM tentu adalah asas harga yang telah ditetapkan yang lebih flebsible.

Sekiranya spekulasi ini berterusan ia menyebabkan orang Melayu tidak mampu memiliki rumah kedai berkenaan di mana akhirnya kouta untuk mereka itu akan dijual kepada bukan Melayu. Apa dibimbangi spekulasi itu disengajakan untuk tujuan tertentu.

Bila harga diletak terlalu tinggi menyebabkan orang Melayu tidak mampu dan pemaju akan memohon kepada MDPM untuk menjual kepada bukan Melayu bagi mengelakkan kerugian. Al hasilnya rumah-rumah kedai itu akan menjadi milik bukan Melayu.

Bandar Tasek Raja merupakan bandar baru Pasir Mas yang bakal menjadi pusat komersial di daerah Pasir Mas. Ia dilancar dua tahun lepas dan dirasmikan oleh Exco Kerajaan Termpatan dan Kesihatan pada masa itu Takiyuddin Hassan.

Fasa pertama mempunyai 75 unit kedai atau pejabat dua tingkat, 30 unit gerai, 154 unit kedai atau pejabat tiga tingkat dan 7 unit kedai pejabat tanpa tingkat bawah tanah.

Pemajunya ialah FBO Berhad dengan kerjasama Majlis Daerah Pasir Mas. [wm.kl.10:55 26/09/13]

Tengku Noor Asiah bekas MP Tumpat meninggal

Posted: 25 Sep 2013 05:12 PM PDT

BELASUNGKAWAA                                                                                

Bekas ahli parlmen Tumpat Tengku Noor Asiah Tengku Ahmad (foto) telah kembali ke Rahmatullah malam tadi di Institiut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur. Jenazahnya akan diterbangkan ke Kota Bharu pagi ini. Allahyarham menjadi ahli parlimen Tumpat selama dua penggal dari tahun 1974 hingga 1990.

Allahyarham seorang aktif dalam pergerakan wanita di Kelantan dengan mennyertai Perkumpulan Perempuan Kelantan (PPK), merupakan pergerakan sosial yang aktif sekitar tahun 60-an hingga tahun 80-an. Tengku Noor juga pernah menjadi ketua kaum Ibu Umno.

Semasa krisis Umno Kelantan yang membawa penubuhan Parti Melayu Semangat 46, Allahyarham juga menjadi ketua wanita Semangat 46 dan kembali semula ke dalam Umno apabila Semangat 46 dibubarkan pada tahun 1996.

Allahyarham memang lahir dalam keluarga politik. Ayahanya, dikenali dengan Tengku Ahmad Panglima Perang merupakan pengerusi Umno Kelantan sebelum merdeka. Beberapa orang saudaranya ikut aktif dalam politik. Semasa menjadi anggota parlimen 1974, adiknya Tengku Zaid Tengku Ahmad juga menjadi anggota parlimen Pasir Mas mewakili Pas.

Allahyarham juga adalah kekanda kepada sultanan Johor Tengku Zahariah Tengku Ahmad dan adik kepada Tengku Iskandar Tengku Ahmad. Al Fatihah. [wm.kl.8:09 am 26/09/13]

Azizan Razak tenat

Posted: 25 Sep 2013 04:55 AM PDT


Bekas Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak (foto) kini di dalam keadaan tenat. Berita mengenai beliau kritikal tersebar di dalam facebook, twiter dan blog sejak tengah hari tadi. 

Menurut bekas seorang pegawainya, Aizzan mulai kritikal jam 3:00 pagi tadi. Beliau kini berada di hospital Pulau Pinang. 

Beberapa sms dan pernyataan di facebook dan twitter pemimpin Pas memohon orang ramai berdoa dan membaca Yassin untuk kesejahtraan Azizan. [wm.kl.7:54 pm 25/09/13]

Tiada ulasan: