Selasa, 24 September 2013

Addin

Addin


Berita Gempar Dari Parlimen

Posted: 24 Sep 2013 09:08 AM PDT

Parlimen diberitahu hari ini kos sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melibatkan kos sebanyak RM2.88 juta.

Perkara itu disahkan dalam jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim di Parlimen.

"Majlis rumah terbuka itu dihadiri lebih 80,000 tetamu daripada rakyat pelbagai bangsa, agama, dan lapisan masyarakat," katanya dalam jawapan bertulis kepada ahli Parlimen Seremban Loke Siew Fook.

Jelas jawapan berkenaan, syarikat katering yang bertanggungjawab mengenakan bayaran RM 36 sekepala. 

Loke bagaimanapun membangkitkan sama ada jumlah yang dibayar itu berbaloi ataupun tidak dengan hidangan yang disediakan.

"Mereka (yang hadir) dapat menilai, RM36 itu berbaloi atau tidak," katanya ketika sidang media di Parlimen hari ini.

"Majlis besar seperti ini kenapa gunakan khidmat satu katerer sahaja, kenapa tidak gunakan khidmat banyak katerer," soal Loke lagi. ~the malaysian insider







Iklan C (ii)


Rakyat Bakal Naik Minyak Lagi.. Ini Puncanya

Posted: 24 Sep 2013 07:09 AM PDT

Penganalisis ekonomi tidak menolak GST adalah kaedah terbaik untuk mengutip wang dan menjana pendapatan negara, sekaligus pada masa sama membantu pertumbuhan ekonomi negara.

"Lebih awal kita laksanakan lebih pantas kita menyesuaikan diri, saya jangkakan lebih banyak penambahbaikan berlaku kepada ekonomi kita.

"Ia memperkasakan pengurusan cukai dan memberi kerajaan lebih banyak fleksibiliti dalam menguruskan kewangan awam," kata Ketua Pakar Ekonomi RAM Holdings, Dr Yeah Kim Leng kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun, Dr Yeah mengakui langkah itu akan menyumbang kepada inflasi yang tinggi terutamanya selepas kenaikan harga minyak baru-baru ini, tetapi melihatnya sebagai satu "realiti kehidupan"."Mengenai inflasi, ia adalah realiti kehidupan kerana kos hidup sentiasa meningkat dari tahun ke tahun, ia tidak ada bezanya.

"Tetapi yang menjadi kebimbangan ialah kawalan dan penguatkuasaan ke atas pelaksanaan GST, ia bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan berlebihan dan kenaikan harga yang tidak munasabah," katanya.

Fellow Kanan Institut Kajian Sosioekonomi dan Alam Sekitar (SERI), Dr Michael Lim Mah Hui, berkata pelaksanaan GST adalah satu langkah tidak adil kerana kumpulan berpendapatan rendah terpaksa membayar pendapatan boleh guna mereka lebih tinggi daripada mereka yang kaya.

"GST secara dasarnya adalah kaedah berkesan untuk mengutip wang."Namun, secara jelasnya GST dilihat akan menghukum kumpulan yang lebih berpendapatan rendah kerana peratusan pembayaran GST daripada pendapatan boleh guna mereka akan lebih tinggi daripada mereka yang kaya," katanya.

Lim berkata, pelaksanaan GST tidak kena pada masanya kerana kerajaan baru sahaja menaikkan harga minyak baru-baru ini di samping langkah pencegahan rasuah dan ketirisan yang masih lagi lemah.

"Kerajaan sepatutnya melihat dan menangani isu ketirisan serta rasuah yang lebih merugikan orang ramai," katanya.Lim juga mencadangkan kerajaan mengambil pendekatan berbeza untuk meningkatkan perolehan negara antaranya meningkatkan kadar cukai bagi mereka yang kaya, meningkatkan keuntungan modal dan memperkenalkan semula cukai duti harta pusaka.

"Putrajaya perlu memperkenalkan polisi yang lebih berkredibiliti untuk mengawal defisit dan membawa pendapatan dengan cara yang lebih berkesan," katanya merujuk kepada tiga kaedah yang dicadangkannya.Malaysia mengalami defisit fiskal selama 15 tahun berturut-turut, iaitu jumlah yang kerajaan belanjakan lebih daripada jumlah yang diperolehi, iaitu 4.5 peratus daripada Keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun lalu. 

Sementara itu, hutang kerajaan berbanding KDNK ialah pada 53.1 peratus, hampir mencecah set siling kerajaan iaitu 55 peratus.Lebihan akaun semasa Malaysia juga jatuh kepada RM2.6 bilion pada suku kedua daripada RM8.7 bilion awal tahun ini ketika eksport jatuh selepas berita mengenai Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan mengurangkan dolar.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia(UUM), Prof Amir Hussin Baharuddin meramalkan langkah itu akan menerima aksi marah daripada orang ramai khususnya selepas kenaikan minyak."Demam 20 sen belum habis lagi, kalau GST ini diperkenalkan ia akan parah lagi."Tunggulah dua tiga tahun lagi, sekarang bukan masanya lagi. 

Kerajaan perlu juga pertimbangkan persepsi rakyat, lebih baik kerajaan berjimat dalam belanja dahulu sebelum mahu perkenalkan GST," katanya.Selepas kenaikan minyak baru-baru, orang ramai meluahkan kemarahan dan menyifatkan ia satu bebanan kepada mereka, malah Pengerusi Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB), Amran Jan, berkata pemandu teksi mengeluh mengenai keadaan selepas pengumuman Putrajaya tersebut.

"Kami ini pemandu teksi, hari-hari guna minyak. Bila minyak naik, kos penyelenggaraan juga naik hampir 30 ke 40 peratus."Barang keperluan harian, semuanya sudah naik," kata Amran ketika dihubungi The Malaysian Insider.Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah mengakui bahawa kerajaan akan cuba memasukkan GST dalam Bajet 2014, yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan, Oktober ini.

Malah, Najib dalam pembentangan Bajet 2013 tahun lalu, turut menyatakan bahawa kerajaan akan cuba menstruktur semula sistem cukai negara dalam memastikan defisit perbelanjaan kerajaan dapat dikurangkan.Najib berjanji untuk mengurangkan defisit sebanyak 4.5 peratus daripada KDNK, Malaysia antara negara yang mempunyai hutang tertinggi di Asia.

Agensi penarafan kredit dunia, Fitch Ratings turut meletakkan Malaysia pada kedudukan negatif, serta mempersoalkan langkah kerajaan yang mengabaikan reformasi kewangan terutamanya selepas berakhir pilihan raya baru-baru ini. ~the malaysia insider






Iklan C (ii)


Patutlah Shahrizat Beria-Ria Pertahan Jawatan Ketua Wanita.. Ini Sebabnya

Posted: 24 Sep 2013 05:09 AM PDT

Walaupun populariti Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengatasi pencabarnya dalam pemilihan Wanita Umno kali ini tetapi penganalisis berpendapat beliau perlu bertarung bagi memastikan kelangsungan survival politiknya.

Penganalisis memberikan pelbagai faktor kelemahan beliau dan yang paling utama ialah pembabitan ahli keluarganya dalam skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Antara sebab lain ialah corak pemilihan Umno kali ini yang mahukan wajah baru dan perubahan dalam parti itu dengan beberapa perubahan saat akhir dalam pertandingan pemimpin kanan.

Kira-kira 10 minit sebelum tempoh pencalonan tamat pada Sabtu,  pertandingan merebut sayap wanita parti berubah menjadi tiga penjuru.Di saat-saat akhir, Shahrizat terpaksa berdepan dengan pencabar yang merupakan bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.

Seorang lagi pencabar ialah Ketua Wanita Kulim Bandar Baru yang juga seorang peguam, Raihan Sulaiman Palestin.Raihan meminta ahli Wanita Umno tidak memandang rendah pencalonannya kali ini kerana beliau membawa suara akar umbi.

Namun semua tertumpu kepada Maznah yang juga  Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Muadzam Shah yang dikhabarkan menjadi proksi kepada bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz.

Sebaik sahaja Maznah mengumumkan dirinya akan bertanding, Rafidah berkata, satu pertandingan yang sihat berlaku dan menafikan Maznah adalah proksinya.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Jayum A Jawan, berkata meskipun pencabar Shahrizat tidak begitu dikenali tetapi pertandingan kali ini bakal menunjukkan beliau akan bertarung untuk survival politiknya.

"Jika pewakilan berpendapat parti perlu dijenamakan semula seperti menampilkan muka baru dan berintegriti, Shahrizat akan berdepan detik sukar," katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa, Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid sependapat dengan Jayum menjelaskan meskipun Shahrizat kukuh daripada segi populariti tetapi jika pewakilan menyahut seruan Datuk Mukhriz Mahathir 'berani berubah', kedudukan beliau akan tergugat.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan, berkata Sharizat akan menghadapi persaingan sengit tetapi peluangnya cerah kerana masih mempunyai pengaruh dalam sayap berkenaan.

"Beliau ada peluang tetapi jangan memandang rendah kepada lawannya," katanya.Beliau berpendapat skandal NFC adalah salah satu sebab ahli sayap itu enggan mengundinya.

Katanya, pemilihan kali ini tiada petunjuk jelas siapa bakal memenangi pertandingan kerana ramai pewakilan yang akan mengundi.Pemilihan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno akan berlangsung pada 12 Oktober ini. ~the malaysian insider






Iklan C (ii)


Peguam Chin Peng Dedah Pembohongan Umno

Posted: 23 Sep 2013 09:16 PM PDT

Chin Peng menulis sekurang-kurangnya 10 surat kepada kerajaan bagi memohon kebenaran untuk kembali ke Malaysia selepas termeterai Perjanjian Perdamaian Hatyai 1989 antara Parti Komunis Malaya (PKM) dan kerajaan Malaysia.  Semua permohonannya ditolak.

Peguam, Leong Cheok Keng, berkata Chin Peng menulis surat terakhir kepada setiausaha mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum mengambil tindakan mahkamah.

"Dalam salah satu suratnya, dia merayu diberi kebenaran melawat keluarganya menggunakan pas lawatan sosial. Dia berjanji akan datang secara aman. Rayuan itu turut ditolak," katanya kepada The Malaysian Insider.

Perkara itu diberitahu Chin Peng kepada Leong semasa berbincang mengenai permohonannya kepada mahkamah untuk diberi kebenaran memasuki Malaysia.  Leong adalah salah seorang peguam yang mewakili Chin Peng.

Pengakuan Leong bercanggah dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat semalam bahawa Putrajaya sudah dua kali menawarkan Chin Peng untuk kembali tetapi pemimpin PKM itu menolaknya.

Leong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Malim Nawar, Perak berkata, Chin Peng pernah memberitahunya bahawa wakil terawal berunding dengan kerajaan mengenai permohonannya itu ialah menerusi bantuan peguam di Teluk Intan,  iaitu mendiang David Chai.

"Chin Peng memberitahu kami dia mahu pulang dalam tempoh setahun selepas termeterainya perjanjian tetapi mendapati permohonannya ditolak dan selepas itu beliau mula mendapatkan khidmat guaman," katanya kepada The Malaysian Insider di Bangkok, ketika beliau bersama 300 yang lain memberi penghormatan terakhir kepada pemimpin komunis itu, semalam.

Leong berkata, Chin Peng memaklumkan kepada peguamnya mengenai rundingan terdahulu bersama kerajaan bagi menguatkan lagi hujahnya. Dia mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi pada Mac 2005 tetapi kalah dalam perbicaraan kerana gagal mengemukakan surat beranak dan bukti kewarganegaraan.

Semasa di Mahkamah Rayuan pada 2008, salah seorang juri, Datuk Abdul Malik Ishak, berkata buku yang ditulis Chin Peng mengandungi butiran penuh penjajahan British pada 16 Jun 1948 bertajuk "Alias Chin Peng - My Side History" tidak boleh diterima sebagai hujah.

"Semuanya boleh ditulis.  Perkara asasnya adalah: Mana dokumen anda? " soal Abdul Malik.Chin Peng mendakwa, dia tidak dapat mengemukakan dokumen pengenalannya kerana dirampas polis sewaktu dia cuba melarikan diri di Kampar.

Katanya, dia layak kembali ke Malaysia kerana dilahirkan di Sitiawan, , Perak pada 20 Oktober 1923.Mayat Chin Peng dibakar di Bangkok semalam namun masih belum diketahui di mana abu mayatnya akan disimpan.

Ahli keluarganya masih membisu berhubung isu berkenaan meskipun ahli politik masih berdebat sama ada abunya boleh dibawa pulang ke Sitiawan atau sebaliknya.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan menentang abu Chin Peng dibawa pulang kerana dibimbangi akan dipuja sebagai seorang pejuang. ~the malaysian insider






Iklan C (ii)




Tiada ulasan: