Rabu, 21 Ogos 2013

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Kekal ilmu dan hikmah merajai dunia dakwah (21/8/13)

Posted: 20 Aug 2013 09:17 PM PDT


Saya sentiasa kagum dengan style, keperibadian dan pendekatan pemimpin/ulamak muda ini. Saya mendoakan semoga PAS terus subur dengan pemimpin-pemimpin seumpama beliau agar parti Islam ini terus relevan dan kekal istiqomah atas prnsip dan dasar perjuangannnya, biar datang ribut dan taufan sebesar mana sekalipun.
Beliau yang saya maksudkan adalah ahli Parlimen Pasir Mas YB Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz. Berikut adalah coretan terbarunya yang saya baca:

Metallica..
Adakah kita terpaksa akur, demi sokongan dan undi, untuk memenuhi kemahuan sejumlah anak muda yang minat gila dengan Metallica dengan mencari-cari atau mereka cipta satu fatwa ugama yang mengharuskan seni hiburan barat tanpa ugama itu untuk membentuk benak fikir dan budaya mereka?

Atau kita akur saja, kita bantah terus konsert hiburan yang melalaikan itu, kita kehilangan sokongan dan PAS menjadi tidak popular di kalangan segelintir anak muda?
Atau, kita usahakan cantuman antara keduanya, dengan memperelokkan bantahan, dengan mendidik mereka agar mengenali diri sebagai anak muda muslim yang mempunyai pelbagai kelebihan anugerahNya yang tidak melayakkan mereka untuk mudah kalah dan melayani gaya hidup barat yang syaitani itu yang akan meruntuhkan segala kelebihan yang telah mereka miliki?

Umno telah memilih yang pertama, walaupun tanpa lapik fatwa pun. Mereka telah mendapat apa yang mereka mahu.
Sebahagian pendakwah memilih yang kedua. Mereka berkata, Allah mahu tahu untuk memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya.

Pemuda PAS cuba memperhalusi dan menekuni agar ilmu dan hikmah itu merajai dunia dakwah. Jalan ketiga adalah pilihan dalam setiap hati yang budiman yang mencintai anak-anak muda muslim yang mencari-cari..
Dakwah itu kadang-kadang kelihatan mudah. Tetapi apabila kita 'terjun' sungguh di medannya, ia adalah satu seni halus menuju Allah yang memerlukan ilmu yang luas dan hikmat yang tinggi.

Mari menekuni..

Nik Mohamad Abduh

20 Ogos 2013

Memang sebagai sebuah gerakan Islam PAS akan sentiasa berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Bagaimana mendekati dan menangani sesuatu suasana dan isu itu dalam waktu yang sama tidak menggadaikan sedikit pun prinsip dan matlamat perjuangan akan terus menjadi ujian buat PAS.
Ambil jalan mudah, matlamat menghalakan cara. Asal sahaja menang kita terjah apa sahaja, esok lusa baru cerita isu prinsip…..itu setahu saya bukan PAS. PAS terus kekal dari 1951 sehingga hari ini lantaran kuatnya komitemen dan pegangannya terhadap Islam yang diperjuangkan. Itulah yang di didik dan diindoktrinasikan kepada ahli-ahlinya.

Orang menyertai PAS kerana itu dan orang berkawan dengan PAS kerana PAS bercirikan itu yakni Islam.

PAS pernah naik pernah jatuh dan naik kembali, dalam semua suasana ini ia tidak sekali-kali kompromikan dasarnya, kerana itu barakah turun sehingga ke saat ini. Jika PAS cuai, jika PAS kendur, jika PAS longgar, percayalah segalanya akan dilucutkan dari kita dan jadilah kita sebagaimana parti-parti Islam lain yang timbul tenggelam di bumi lain.
Kekallah insyallah ILMU dan HIKMAH merajai dunia dakwah!

Jenayah: Berilah keyakinan pada pihak Polis (21/8/13)

Posted: 20 Aug 2013 08:37 PM PDT


Apabila jenayah terutama pembunuhan menggunakan senjatapi berlaku secara berleluasa kebelakangan ini, banyak pihak termasuklah kita semua resah dan gelisah. Kita bimbangkan keselamatan kita dan kaum keluarga. Masing-masing mengeluh bagaimana pembunuh-pembunuh ini dapat memperolehi senjatapi dengan begitu mudah. Dan sudah psati sasaran utama kritikan adalah pihak polis iaitu badan yang bertanggungjawab menjaga kemanan rakyat dan Negara.
Banyak pihak dari individu ke pimpinan masyarakat dan politik mengeluarkan kenyataan mengutuk jenayah berkenaan. Dan pihak polis terus menerus menjadi bahan sasaran.

Tokoh korporat dibunuh, begitu juga peniaga, pegawai dan kakitangan awam termasuklah mereka yang memiliki latarbelakang yang mencurigakan. Tembak, tembak, tembak, hari-hari kita mendengar dan membaca laporannya.
Tiba-tiba apabila pihak polis bertindak. Terbaru menembak mati 5 orang suspek di Pulau Pinang yang disyaki terlibat dengan jenayah ini, lain pula ceritanya.

Polis kejam, polis tidak beri peluang sedangkan mereka ketika itu tidur, mengapa polis tidak tahan mereka hidup-hidup, polis salah guna kuasa………

Sekejapan mereka yang sebelum ini mengkritik pihak polis kerana gagal menjalankan tugas, hari ini tiba-tiba pusing kebelakang menyerang pula pihak polis yang menjalankan tugas dan sekaligus seakan membela pula penjenayah.
Orang politik yang paling kehadapan dari Timbalan Menteri, pimpinan BN (tertentu), pimpinan Pakatan (tertentu), tiba-tiba bangkit menyerang polis membela pula penjenayah???!!!

Kalau beginilah sikap kita sampai bila Negara akan aman? Ada isu yang boleh dipolitkkan, ada yang sepatutnya tidak dan memerlukan sokongan semua pihak.
Saya bukannya mahu membela membuta tuli pihak polis. Tetapi bagi saya pada merekalah kita perlu tambatkan harapan, saya yakin mereka juga berusaha sedaya upaya mahu menjenrnihkan suasana. Berilah dalam hal ini keyakinan dan kepercayaan kepada mereka.

Namun dalam waktu yang sama tidak salah jika kita menuntut agar pihak polis berhati-hati dan tidak pula nanti bertindak terhadap mereka yang tidak bersalah.
Dalam kes kejadian di Pulau Pinang, pihak polis menyatakan bahawa mereka telah bertindak ke atas ke lima-lima suspek yang ketika itu berada dalam satu unit apartmen. Apabila dikepung mereka melepaskan tembakan terhadap pihak polis dan akibatnya kelima-lima ditembak mati. Menurut laporan pihak polis menemui 3 pucuk pistol di tempat kejadian.

Apa pun saya kira pihak lain, termasuklah pimpinan politik perlu menunggu sehingga kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak polis. Malah hari ini sahaja dalam akhbar The Star dilaporkan bahawa upacara pengkebumian kelima-lima yang terbunuh telah melihatkan suasana istiadat yang biasanya diberikan kepada gang-gang mafia dan samseng.
Dilaporkan kenderaan yang membawa mayat simati dihiasi dengan "swastika" dan sebuah kenderaan menurut The Star mempamirkan bunga bunga dengan tulisan :

"Gobi Butterworth" "King of the ring".
Masing-masing penuh dengan angka 04 iaitu lambang kumpulan samseng yang dikaitkan dengan simati.

Anehnya kita turut mendengar bahawa mereka yang mati kononnya orang baik-baik. Tidak ada rekod dan lain-lain.
Biarlah pihak polis menyiasat dan keluarkan kenyataan. Isunya di sini adalah bermaharajalela kumpulan samseng-samseng ini dan keselamatan rakyat terancam akibatnya. Biarlah pihak polis bertindak dan sebagai orang awam kita berikan keyakinan dan sokongan semoga aman kembali Negara kita.

(Mungkin kalau ada pimpinan politik yang bersungguh-sungguh mempertikaikan tindakan pihak polis dan rasional mereka menembak mati penjenayah ini, lain kali bila ada operasi seumpama ini angkut sekali pimpinan politik ini, biar mereka hadir sekali dan menyaksikan. Letak mereka di barisan hadapan…..)

 

Tiada ulasan: