Sabtu, 24 Ogos 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Suri Rumah Dirogol Lelaki yang Mahu Mengajarnya Solat

Posted: 24 Aug 2013 05:00 AM PDT

Sekadar hiasan.

[SH] SETIU- Hasrat seorang wanita berusia 23 tahun untuk belajar solat daripada seorang lelaki berusia 51 tahun menjadi detik malang buat wanita berkenaan apabila lelaki itu didakwa merogolnya.

Dalam kejadian di rumah mangsa pada malam Selasa lalu di Kampung Tapah, Chalok Barat di sini, mangsa yang juga suri rumah mendakwa dirogol lelaki yang datang ke rumahnya menggunakan alasan mahu mengajar mangsa solat.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, sebelum kejadian, mangsa yang berada di rumahnya menghubungi suspek yang dikenali sebagai Pok Mat kira-kira jam 7.30 malam untuk menyelesaikan masalah keluarga.

Menurutnya, mangsa yang tidak bekerja kemudian keluar bersama suaminya berusia 30-an dan berjumpa dengan suspek.

"Apabila perbincangan selesai selang beberapa minit kemudian, suami mangsa pergi menggunting rambutnya di sebuah kedai berhampiran sementara mangsa pulang ke rumahnya bersama suspek berusia 51 tahun dengan menaiki motosikal selepas lelaki terbabit memberi alasan mahu mengajar mangsa bersolat.

"Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa bersetuju pulang bersama suspek dan sebaik tiba di rumah, dia diminta suspek memakai kain sarung sebelum meminta tidur di atas tilam, seterusnya dirogol," katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Chalok, Setiu pada keesokan harinya dan suspek juga dari kampung sama ditahan kira-kira jam 7.30 malam kelmarin.



P/s: Apalah bingainya si suami membiarkan si isteri bersama dengan perogolnya! Apalah jahilnya si isteri membiarkan diri masuk ke perangkap nafsu dan kehendak perogol!





Jabatan Peguam Negara Akan Fail Rayuan Kes Pembunuhan Altantuya

Posted: 24 Aug 2013 12:00 AM PDT



[Bernama] KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membebas dan melepaskan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) daripada sabitan dan hukuman mati kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu, tujuh tahun lepas.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata bukan arahan oleh hakim perbicaraan mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh perayu menimbulkan salah arah dan tidak memanggil DSP Musa Hj Safri membentuk alasan utama untuk mengetepikan sabitan dan hukuman.

"Sementara menghormati Mahkamah Rayuan, Jabatan Peguam Negara bagi pihak pendakwaan tidak berpuas hati dengan keputusan itu kerana bukan arahan atau salah arah oleh mahkamah itu bukan kesalahan pendakwaan," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

"Setakat berkenaan DSP Musa Hj Safri, kami menegaskan bahawa testimoni beliau tidak relevan sama sekali kerana naratif keseluruhan kes pendakwaan itu telah berlaku pada perbicaraan itu.

"Oleh itu rayuan kepada Mahkamah Persekutuan akan difailkan," kata Abdul Gani dalam kenyataan itu yang tidak menyebut bila rayuan itu akan dikemukakan.

Cif Inspektor Azilah Hadri, 37 dan Koperal Sirul Azhar Umar, 42, disabitkan dan dikenakan hukuman mati oleh Mahkamah Tingggi Shah Alam pada 9 April, 2009 kerana membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam, antara 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober, 2006.

Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Jumaat membenarkan rayuan terhadap sabitandan hukuman oleh kedua-dua perayu itu. -24/8/13



Lima Perkosa Jurugambar Wanita di India

Posted: 23 Aug 2013 11:00 PM PDT


[BH] New Delhi: Seorang jurugambar wanita diperkosa lima lelaki semalam selepas penyerang mengikat dan memukul rakan setugas lelakinya di Mumbai. 

Polis berkata, kes itu sama dengan kejadian rogol dan bunuh seorang pelajar universiti di ibu negara India, Disember lalu. 

Polis berkata, mangsa sedang bertugas mengambil gambar sebuah kilang tekstil terbiar di selatan Mumbai, kelmarin. 

Pura-pura hulur bantuan 

Lima lelaki muncul dan menawarkan bantuan untuk membolehkannya mengambil gambar dalam bangunan itu. 

Pesuruhjaya Polis, Satyapal Singh, berkata lelaki terbabit mengikat rakan setugasnya dengan tali pinggang sebelum memperkosanya. 

Mangsa yang berusia 22 tahun dilaporkan dalam keadaan stabil di hospital. 

Serangan terbaru berlaku ketika semakin ramai pihak bimbang dengan kes keganasan seksual di India. 

Kejadian memperkosa dan kematian seorang pelajar dalam sebuah bas di New Delhi pada Disember lalu menyedarkan penduduk hingga memprotes keganasan terhadap wanita selain mencetuskan desakan wanita diberi perlindungan lebih baik. 

Sebagai balasan, kerajaan meluluskan undang-undang meningkatkan tempoh penjara atas kesalahan rogol. 

Undang-undang itu juga menetapkan hukuman terhadap kesalahan mengekori, melakukan serangan asid dan mengeksploitasi wanita. - AP - 24/8/13


Bacalah 8 Alasan Hakim Membebaskan Azilah & Sirul daripada Tuduhan Membunuh Altantuya

Posted: 23 Aug 2013 09:00 PM PDT


Hakim mahkamah Tinggi tersilap arah

[BH] Kuala Lumpur: Dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar semalam dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Tiga Hakim Mahkamah Rayuan memberi lapan alasan utama bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati ke atas Azilah dan Sirul yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zaki Md Yasin pada 29 April 2009. 

Hakim gagal beri pendapat 

Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat mendapati Mohd Zaki dalam keputusannya gagal memberi pendapat terhadap beberapa faktor penting sebelum mensabitkan kedua-dua perayu.

Penghakiman penuh pembebasan

Ini adalah keputusan sebulat suara kami. Bagi maksud keputusan kami hari ini supaya dapat menjimatkan masa mahkamah, kami hanya akan mengemukakan alasan ringkas terhadap perkara utama yang dibangkitkan dalam rayuan seperti berikut:

Berhubung pembelaan membabitkan alibi perayu pertama (Azilah Hadri), kami tidak mendapati apa-apa dalam alasan penghakiman hakim perbicaraan bijaksana bahawa beliau menimbangkan sama ada diari balai menunjukkan atau cenderung untuk menunjukkan atas alasan kehadiran perayu pertama di Bukit Aman pada masa material, dia tidak boleh atau tidak mungkin boleh berada di tempat kejadian. 
Hakim perbicaraan bijaksana tersalah arah dengan cara tanpa arahan apabila gagal menimbangkan bahawa diari balai selain gagal membuat penemuan sama ada pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan bahawa perayu pertama berada di tempat kejadian.

Berhubung log panggilan dan ramalan liputan, kami mendapati bahawa keterangan saksi pendakwaan ke-61, 62 dan 63 menimbulkan isu kredibiliti dan ketepatan log panggilan serta ramalan liputan. Dalam penghakiman kami adalah penting bagi hakim perbicaraan bijaksana menyatakan pemikirannya kepada cabaran yang dibangkitkan pembelaan terhadap eksibit dan membuat penemuan sama ada secara nyatanya terdapat pengubahan dan gangguan kepada data dan sama ada ketulenan data dipersoalkan atau sebaliknya. Dengan kecewanya, hakim gagal membuat, yang mana dalam penghakiman kami ia membawa kepada tersalah arah serius menyebabkan eksibit berkenaan tidak selamat untuk dipertimbangkan.

Maklumat penemuan

Berhubung maklumat yang membawa kepada penemuan, hakim yang perbicaraan bijaksana tidak mengarahkan pemikirannya dan tidak memeriksa sama ada percanggahan dan keterangan tidak konsisten saksi pendakwaan adalah material; tidak memeriksa kredibiliti saksi pendakwaan dan tidak mengarahkan pemikirannya sama ada perayu menimbulkan keraguan berhubung ketepatan 27 keterangan dan sama ada penemuan dibuat secara eksklusifnya hasil daripada maklumat yang disampaikan oleh perayu dan bukan daripada sumber lain. Kami mendapati terdapat tiada arahan daripada hakim perbicaraan bijaksana dalam menilai keterangan sebelum menerima pakai keterangan mengikut Seksyen 27 Akta Keterangan 1950.

Pemilikan bahan letupan

Berhubung isu pemilikan dan kawalan bahan letupan, selepas membuat penemuan berhubung kaitan di antara bahan letupan dan kematian mangsa, hakim perbicaraan bijaksana sepatutnya, pada penghakiman kami, membuat penemuan lanjut untuk mengaitkan bahan letupan terbabit dengan perayu. Dengan tidak membuat sebarang penemuan berhubung pemilikan bahan letupan yang digunakan dalam pembunuhan oleh perayu, hakim perbicaraan bijaksana gagal mengarahkan pemikirannya terhadap rangkaian yang hilang, menyebabkan terdapat satu salah arah berlaku. 

Sejauh mana kegagalan memanggil Deputi Superintendan Musa Safri, penghakiman kami berhubung fakta kes, keterangan Musa adalah penting untuk merungkai cerita pendakwaan. Kegagalan pihak pendakwaan untuk memanggil atau menawarkan beliau untuk disoal balas, dalam keadaan keadaan keterangan secara keseluruhannya, akan menimbulkan inferens yang sebaliknya mengikut Seksyen 114(g) Akta Keterangan, terhadap kes pendakwaan.

Seterusnya pada isu sepasang selipar, kami mendapati tiada bukti yang menunjukkan terdapat kaitan dua antara selipar terbabit dengan perayu kedua. Pihak pendakwaan tidak menutup sebarang lompang dalam kesnya.

Begitu juga dengan katrij terpakai yang dijumpai dalam kereta perayu kedua, kami mendapati terdapat jurang dalam kes pendakwaan dan dalam aspek ini hakim gagal mengarahkan pemikirannya terhadap isu itu.

Akhirnya, berhubung niat bersama. Kami mendapati hakim tidak membuat penemuan sama ada pendakwaan berjaya membuktikan bahawa terdapat perancangan awal oleh kedua perayu untuk melakukan pembunuhan dan pembunuhan itu dilakukan berikutan daripada perancangan awal berkenaan. Dalam penghakiman kami, ketiadaan penemuan sedemikian oleh hakim perbicaraan bijaksana berhubung ramuan niat bersama menyebabkan berlaku tersalah arah disebabkan tanpa arahan.

Dengan melihat kepada keseluruhan keadaan kes, penghakiman kami adalah kesan pengumpulan tanpa arahan oleh hakim perbicaraan bijaksana menyebabkan sabitan ke atas perayu adalah tidak selamat.

Kami, dengan sebulat suara membenarkan kedua-dua rayuan ini. Sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi dengan ini diketepikan. Kedua-dua perayu dengan ini dilepas dan dibebaskan.

INFO

Hakim Mahkamah Rayuan

- Datuk Seri Mohamed Apandi Ali
- Datuk Linton Albert 
- Datuk Tengku Maimun Tuan Mat 

Hakim Mahkamah Tinggi

- Datuk Mohd Zaki Md Yasin

Pendakwa Raya

- Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah

Peguam Bela Azilah

- Hazman Ahmad
- J Kuldeep Kumar

Peguam Bela Sirul

- Kamarul Hisham Kamaruddin
- Hasnal Rezua Merican
- Mohd Ruzaini Zulkifli

Peguam Pemerhati 
(Keluarga Altantuya)

- Karpal Singh


PERTUDUHAN: Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar

Didakwa membunuh Altantuya Shaariibuu, 28, di lokasi antara lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja, Selangor antara jam 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006. Didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori. -24/8/13


P/s: Laporan TMI di sini. 

Reaksi bapa Altantuya di sini.


Apa kata Azilah seperti yang dilaporkan oleh media sebelum ini?





[Video] Apa Kata Penumpang Bas Genting Highland yang Terselamat? Senarai Mangsa yang Terkorban

Posted: 23 Aug 2013 07:30 PM PDT



Senarai Nama 35 Mangsa Korban Genting Highlands

[Bernama] KUALA LUMPUR - Berikut adalah senarai nama 35 daripada 37 mangsa yang terkorban dalam nahas bas di Genting Highlands Rabu lepas yang dikeluarkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Menurut Ketua Jabatan Forensik HKL Dr Mohd Shah Mahmood, mereka ialah:

1. Ng Ah Hen (lelaki), 70
2. San Chin Shin (lelaki), 22
3. Bhuiyan Rafique Ali (lelaki), warga Kanada bangsa Bangladesh
4. Kwan Chin Yii (perempuan), 21
5. Choo Peng Kwan (lelaki), 66
6. Ahmat Busairi (lelaki) warga Indonesia
7. Lee Lain Eng (wanita), 66
8. Prem Bahadur Budha Magar (lelaki), warga Nepal
9. Lee Chew Wah (wanita)
10. Kim Dongo (lelaki), warga Korea
11. Loh Kim Lam (lelaki), 78
12. Chan Ah Hua (lelaki), 62
13. Udamjist Singh A/L Jit Singh (lelaki), 41
14. Law Tian Meng (lelaki), 35
15. Yap Heng (lelaki), 61
16. Nagendra Rai (lelaki), warga Nepal
17. Shukhvir Singh (lelaki), warga India
18. Lee Fook Wah (lelaki), 62
19. Soon Ken Tea @ Soo Chin Chee (wanita), 65
20. Chan Lye Huat (lelaki), 54
21. Tan Chor Boon (lelaki), 55
22. Tan Kok Moon (lelaki), 47
23. Low See Kee (perempuan), 19
24. Tengku Khairul Anuar Tengku Alias (lelaki), 26
25. Leow Siew Min (lelaki), 56
26. Arthur Masih (lelaki), warga India
27. Chan Fook Choy (lelaki), 61
28. Yap Mui (wanita), 59
29. Kamothip Piamthananurak (wanita), warga Thailand
30. Low Kwai Hing (lelaki) (kewarganegaraan tidak dikenal pasti)
31. Mohamad Rasib Jantan (lelaki), 60
32. Kritravee Piamthananurak (wanita), warga Thailand
33. Lim Kok Hoe (pemandu bas) (lelaki), 43
34. Sub Moy @ Sak Moy (wanita), 65
35. Sek Swi Chan (wanita), 53 

(NOTA: mangsa rakyat Malaysia tidak dinyatakan kewarganegaraan)

Bagaimanapun, Dr Mohd Shah berkata dua mayat masih belum dapat dikenal pasti, iaitu mayat seorang lelaki dan seorang wanita. - 23/8/13


Bapa Dakwa Bayi Diliwat

Posted: 23 Aug 2013 06:59 PM PDT


[SH] SEGAMAT - Seorang bapa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, tengah malam kelmarin, mendakwa bayi perempuannya berumur satu tahun enam bulan dicabul.

Bapa tersebut yang hanya ingin dikenali Pang, 30an, berkata, sejak kebelakangan ini anak perempuannya menunjukkan sikap ganjil dan sering merengek seakan menahan sakit.

"Saya tidak mengesyaki sebarang kejadian aneh pada anak kedua saya itu kerana berfikir dia kepenatan berada seharian di rumah pengasuh ataupun tidak sihat.

"Tetapi, saya hairan apabila dia tidak mahu memakai lampin pakai buang dan sering menunjukkan tangan kanannya ke arah dubur," katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, sebaik memeriksa dubur anaknya, dia terkejut mendapati terdapat cecair putih bersama darah merah di bahagian itu.

Pang dan isterinya yang merupakan warganegara Vietnam bertindak membawa bayi mereka ke sebuah pusat perubatan di Labis dan kemudian dinasihatkan kakitangan bertugas supaya membuat pemeriksaan lanjut di Hospital Segamat.

"Saya segera membawa anak ke Hospital Segamat untuk pemeriksaan dan hasilnya mendapati kemungkinan besar dia diliwat kerana ada kesan tusukan benda keras di duburnya.

"Saya kemudian membuat laporan polis kerana mengesyaki anak saya diliwat dan mahu mendapatkan keadilan untuk anak saya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd Kamil Sukarmi, mengesahkan menerima laporan tersebut pada hari sama.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 43 tahun telah ditahan pada jam 5 petang kelmarin.

"Suspek akan ditahan reman sehingga 26 Ogos ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan," katanya. - 24/8/13


Anak Dedah Punca yang Mungkin Menyebabkan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Dibunuh

Posted: 23 Aug 2013 06:47 PM PDT

Sekadar hiasan.
Pembunuhan pegawai tertinggi Kastam berkaitan penyeludupan kereta di Langkawi, kata anak lelaki

[TMI] Pembunuhan pegawai tertinggi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan kereta berpangkalan di pulau bebas cukai Langkawi, kata ahli keluarganya kepada The Malaysian Insider.


Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Shaharuddin Ibrahim (gambar) ditembak mati di Putrajaya pada 26 April, beberapa minggu sebelum keganasan berkaitan pistol tersebar ke seluruh negara.

"Pembunuhan bapa saya dirancang, ia ada kaitan dengan sindiket penyeludupan kereta di langkawi," kata Mohd Akhtar Shaharuddin kepada The Malaysian Insider minggu ini.

Malah beliau sendiri yakin dalang pembunuhan bapanya adalah dari jabatan Kastam sendiri.

"Saya pasti akan hal itu biarpun polis menafikannya," kata arkitek berumur 30 tahun itu.

"Bapa saya pernah menceritakan kekecewaan beliau terhadap penyelewangan kuasa pegawai kastam yang terlibat dalam rasuah ini berkaitan dengan sindiket penyeludupan kereta di Langkawi.

"Tidak lama selepas membuat aduan itu, beliau menerima surat pertukaran kerja. Surat itu, bagaimanapun ditarik balik apabila Kesatuan Kastam campurtangan dan berjuang mempertahankan hak bapa saya," katanya.

Sebulan selepas itu, Shaharuddin ditembak ketika sedang memandu ke pejabatnya di Putrajaya.

"Tidak ada siapa faham kehilangan orang tersayang dengan cara kejam begini kecuali bagi mereka yang pernah melalui sendiri kerana itu saya amat berharap kematian bapa dibela," katanya.

Yang lebih menyedihkan Akhtar, empat bulan selepas bapanya ditembak mati, tiada sesiapa didakwa kerana membunuh.

Pertama kali bercakap kepada media, Akhtar mengatakan bapanya menerima panggilan daripada pemberita bertanya tentang sindiket penyeludupan kereta di Langkawi, beberapa minggu sebelum ditembak mati.

Tanpa berfikir panjang, orang nombor tiga dalam Kastam itu ke Langkawi untuk menyiasat.

"Beliau merupakan seorang yang tegas dan tidak pernah menceritakan apa-apa masalah tentang kerja dengan keluarga. Namun saya diberitahu oleh ibu, seorang wartawan ada menelefon bapa saya bertanyakan mengenai isu sindiket penyeludupan kereta di Langkawi," kata Akhtar.

Akan tetapi beliau tidak pasti sama ada bapanya sempat bercakap dengan pemberita itu selepas pulang dari Langkawi.

Akhtar turut mendedahkan bapanya menerima banyak ugutan termasuk peluru dihantar ke rumah mereka.

Menurutnya, beliau membuat pendedahan kerana kecewa dengan layanan dingin diberikan polis ke atas siasatan kes bapanya.

"Bayangkan sudah hampir berapa bulan kes ini berlaku jangan kata suspek malah sebarang petunjuk tidak diberikan polis," katanya.

Katanya kali terakhir dia berjumpa dengan polis pada bulan Ramadan lalu setelah digesa beberapa kali untuk mendapatkan perkembangan siasatan.

"Dalam tempoh berapa bulan selepas kejadian saya hanya berjumpa dengan polis dalam dua atau tiga kali.

"Bagaimanapun selepas sebulan mereka langsung senyap dan saya terpaksa mengejar polis untuk mengetahui perkembangan kes," katanya.

Menurut Akhtar, layanan diberikan polis terhadap kes bapanya dianggap tidak adil walaupun bapanya merupakan pegawai tinggi kerajaan yang banyak menyumbang kepada negara.

"Kita bercakap tentang pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah, siapa beliau.. tidakkah jasa beliau tidak ternilai kepada negara jadi kenapa memperlakukan keluarga kami begini," katanya kecewa.

Tegas Akhtar beliau hanya mahu keadilan bagi bapanya.

"Bapa saya seorang berdedikasi dan pegawai jujur tidak pernah mengambil kesempatan terhadap kelebihan dimiliki walaupun dia boleh berbuat demikian," katanya lagi.

Shaharuddin yang mengetuai bahagian Pekastaman dan Cukai Dalam Negeri hanya tinggal setahun untuk bersara sebelum ditembak mati pada 26 April.

Beliau yang dilahirkan di Negeri Sembilan itu sudah berkhidmat selama 30 tahun bersama Kastam dan diberikan jolokan "Mr Clean".

Mangsa yang duduk di bahagian penumpang depan kenderaan pacuan empat roda (4WD) ditembak tiga das oleh seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah dilapor menafikan kaitan pembunuhan Shaharuddin dengan sindiket penyeludupan kereta di Langkawi.

"Ia merupakan spekulasi semata-mata," Ku dilaporkan berkata.

Laporan sebelum ini mengatakan polis sudah menyiasat 35 orang untuk kes ini termasuk pegawai-pegawai Kastam dan menahan dua orang untuk siasatan lanjut.

Seorang daripadanya merupakan ahli perniagaan dan seorang lagi merupakan pengedar alat ganti. Kedua-duanya kemudian dibebaskan dengan jaminan.

Ku yang dihubungi semula berhubung pendedahan terbaru ini mengatakan, "kami masih menyiasat".

Kes tembak itu berlaku tidak lama sebelum pilihan raya umum ke 13. Kes itu mengejutkan kerana ianya melibatkan pegawai tinggi kerajaan.

Selepas kes Shaharuddin, 35 kes tembakan berlaku di seluruh negara yang melibatkan 22 kematian. - 24 Ogos, 2013.



Tiada ulasan: