Selasa, 13 Ogos 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Kenyataan Media Pak Lah tentang Buku "Awakening"

Posted: 13 Aug 2013 05:00 AM PDT


[AA] Sejak dua tiga hari yang lepas, banyak berita diterbit mengenai 'buku Pak Lah'. Isu ini juga mendapat liputan luas dalam media sosial dengan pelbagai reaksi dan komen.

Sebelum saya memberi apa-apa komen, mungkin saya perlu memberi sedikit penjelasan tentang buku tersebut.

Pertamanya, buku tersebut tidak ditulis oleh saya. Buku ini disusun oleh dua ahli akademik, James Chin dan Bridget Welsh, dengan memuatkan beberapa rencana oleh pelbagai penulis yang telah menyumbangkan tulisan masing-masing mengenai pentadbiran saya sebagai Perdana Menteri. Ada yang dikhabarkan positif dan banyak juga yang negatif dan kritikal.

Kedua, saya sendiri hanya terlibat melalui wawancara yang dibuat oleh James Chin dan Bridget Welsh. Wawancara yang dibuat pada tahun 2011 ini lebih kepada menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh penulis-penulis yang telah menyumbang kepada buku tersebut dan memberi saya ruang untuk menjelaskan beberapa perkara dari sudut saya sendiri.

Ketiga, saya tidak menaja atau meminta buku tersebut diterbitkan. Sudah menjadi perkara biasa para akademik membuat analisa tentang sejarah politik negara kita dan sudah pasti era saya tidak terlepas dari kajian ilmiah. Saya cuma telah setuju untuk diwawancara agar suara, pendapat serta penjelasan saya dapat dimuatkan didalam buku tersebut.

Keempat, oleh kerana saya bukan penerbit, pencetak, pengarang ataupun penulis buku tersebut, saya tidak tahu, tidak diberitahu dan tidak bertanggungjawab diatas mana-mana jemputan untuk melancarkan atau membincangkan buku tersebut. Berita yang mengatakan pemimpin dari parti pembangkang dijemput untuk melancarkan buku ini di Singapura - kalaupun benar - adalah keputusan penerbit buku, bukan saya.

Kelima, saya tidak merancang untuk menghadiri pelancaran buku tersebut. Ini kerana saya tidak mahu orang membuat andaian yang buku ini ditulis atau ditaja oleh saya. Saya cuma menjawab soalan yang ditanya. Biarlah jawapan-jawapan saya menjadi tumpuan pembaca.

Berlatarbelakangkan fakta-fakta diatas, saya berharap orang awam mendapat gambaran yang lebih jelas tentang 'buku Pak Lah'. Sekali lagi, ini bukan buku yang ditulis atau ditaja oleh saya. Mungkin ada yang bertanya, kenapa Pak Lah setuju untuk diwawancara oleh pengarang-pengarang yang dikatakan selalu menulis rencana yang kritikal? Saya bersetuju diwawancara kerana perlu ada penjelasan saya sendiri didalam kajian ilmiah ini. Suka atau tidak, setuju atau tidak, saya berpegang kepada prinsip keterbukaan sebagai paksi kepada demokrasi yang matang. Prinsip keterbukaan inilah yang saya amalkan apabila didatangi dengan permohonan oleh para pengarang buku ini untuk diwawancara. Walaupun saya dimaklumkan buku ini bakal memuatkan rencana yang kritis dan 'unflattering' tentang kepimpinan saya, saya masih setuju diwawancara atas semangat keterbukaan demi perdebatan yang seimbang dengan mengambil kira semua sudut pandangan.

Sudah pasti pandangan-pandangan dalam buku ini akan mengundang reaksi-reaksi tertentu. Terpulanglah kepada semua pihak untuk membuat rumusan masing-masing. Prinsip keterbukaan bermaksud kita sedia memberi ruang kepada semua untuk bersuara. Tetapi janganlah pula ada yang membuat andaian bahawa buku ini ditulis oleh Pak Lah yang sudah bersubahat dengan pembangkang untuk menentang partinya sendiri. Itu sudah memesong fakta dan menjadi fitnah. Apa juga teguran yang diberikan dalam wawancara saya yang dimuatkan dalam buku ini dibuat kerana saya ingin melihat UMNO terus diberikan mandat dan kepercayaan oleh rakyat. Saya tak pernah meninggalkan UMNO dan Insya'Allah bila tiba masanya nanti, saya akan menghembuskan nafas terakhir saya di dunia ini masih lagi sebagai ahli UMNO yang cintakan negaranya.

TUN ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
12 Ogos, 2013




[Video] 2 Gadis Britain Didakwa Cuba Seludup Dadah Bernilai £1.5 Juta Pound Sterling

Posted: 13 Aug 2013 02:00 AM PDT



Dua gadis Britain dituduh cuba menyeludup kokain dari Peru bernilai lebih £1.5 juta yang disembunyikan di dalam beg pakaian mereka.

Polis Lima mendakwa Melissa Reid dan Michaella McCollum Connolly telah mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Pasangan, yang bakal menghadapi hukuman penjara yang panjang jika didapati bersalah, masih belum secara rasmi disoal siasat kerana pihak polis masih belum menyediakan penterjemah.

Walau bagaimanapun Major Manuel Siclla, yang mengetuai siasatan itu, berkata: "Mereka telah mengakui perbuatan itu secara tidak rasmi kepada saya dan pegawai-pegawai di lapangan terbang yang menahan mereka.

"Seperti orang lain yang terlibat dalam penyeludupan dadah, mereka akan dibicarakan dan akan menghadapi hukuman penjara yang panjang jika disabitkan bersalah. Kami mengganggap masalah ini sangat serius dan mahkamah  menguatkuasakan undang-undang berkaitan dengan hal ini dengan ketat."

Bekas pekerja kedai Reid, 19, dari Lenzie berhampiran dengan Glasgow, dan penari McCollum Connolly, 20, dari Dungannon, County Tyrone, ditahan pagi Selasa lepas ketika mereka bersiap sedia untuk menaiki penerbangan Air Europa dari Lima ke Madrid sebelum mengambil pesawat kedua ke destinasi akhir mereka di Majorca.

Skuad Antidadah menemukan hampir enam kilogram kokain tersembunyi di dalam bekas produk makanan yang disimpan di dalam beg pakaian Reid dan Connolly. -DCM/DM -13/8/13

Sambung baca di sini.


[Gambar & Video] Gadis Cuba Bunuh Diri Berjaya Diselamatkan Teman Lelaki

Posted: 13 Aug 2013 01:08 AM PDT




Seorang gadis cuba membunuh diri dengan terjun dari balkoni sebuah apartmen.

Gadis berusia 20 tahun dari Harbin, China itu memanjat balkoni apartmen selepas bergaduh dengan teman lelakinya dan mengancam untuk melompat, namun dia berjaya diselamatkan oleh teman lelakinya.

Kejadian yang mendebarkan itu berjaya dirakam oleh orang ramai sebelum tersebar di Youtube.

Selebihnya, sila lihat gambar dan tonton video di bawah ini. -DCM/DM 13/8/13




















Polis Tertidur, Wang dan Pistol Disamun

Posted: 13 Aug 2013 12:06 AM PDT

Sekadar hiasan.

[HM] Shah Alam: Seorang anggota polis yang berhenti rehat dalam kenderaannya kerana keletihan di satu kawasan di bandar raya ini menjadi mangsa samun membabitkan kerugian sejumlah wang tunai selain kehilangan beberapa dokumen penting dalam kejadian jam 1.30 pagi semalam.

Lebih merisaukan, anggota dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor itu bukan saja kerugian wang tunai malah senjata api dipercayai dibawa bersama turut dilarikan penjenayah bermotosikal yang menyamunnya.

Setakat ini, polis percaya hanya seorang suspek terbabit dalam kejadian itu namun siasatan lanjut bagi mengetahui gambaran sebenar kejadian sedang dilakukan dengan pengumpulan bukti dan saksi untuk membantu proses siasatan.

Sumber berkata, mangsa berusia 47 tahun itu baru selesai menguruskan pengebumian seorang ahli keluarganya dan berhenti di satu kawasan di Seksyen 7, dekat sini, untuk tidur seketika sebelum menurunkan sedikit cermin kenderaannya.

Bagaimanapun katanya, mangsa terkejut apabila menyedari badannya disentuh sebelum melihat seorang lelaki menarik dengan kuat senjata apinya menyebabkan tali yang diikat bersama senjata berkenaan terputus.

"Mangsa cuba mengejar penjenayah itu namun suspek yang menaiki motosikal dengan nombor pendaftaran disyaki palsu itu sempat melarikan diri sebelum membuat laporan polis," katanya.

Difahamkan, laporan dibuat di Balai Polis Seksyen 6, dekat sini, dan kes berkenaan kini dikendalikan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan kes disiasat mengikut seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 35 Akta Senjata 1960.



Kerani MAUT Bungkusan di atas MPV Meletup

Posted: 12 Aug 2013 11:38 PM PDT


[Bernama] Seorang lelaki terbunuh apabila bungkusan yang ditinggalkan di atas bumbung sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di halaman rumah mentuanya meletup dalam kejadian di Taman Seri Periuk, Kampung Periuk di Tumpat hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Lai Yong Heng berkata kejadian berlaku pukul 11 pagi ketika Mohd Yusrizal Mat Zain, 32, cuba mengambil bungkusan yang diletak di atas bumbung MPV milik abang iparnya.

"Letupan berkenaan menyebabkan mangsa cedera parah di kedua-dua tangan serta badan dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Mohd Yusrizal yang berasal dari Kampung Kenor, Kuala Krai dan bertugas sebagai kerani di Sekolah Rendah Kebangsaan Manik Urai, Kuala Krai, dikatakan tiba di rumah mentuanya itu malam semalam bagi meraikan Aidilfitri.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan anak perempuan berusia empat bulan.

Sementara itu abang ipar mangsa yang enggan dikenali, berkata bungkusan berwarna hitam berkenaan disedari isteri mangsa ketika membuka pintu rumah yang kemudian memaklumkan kepada mangsa.

Mangsa kemudian keluar daripada rumah untuk mengambil bungkusan itu sebelum mereka terdengar bunyi letupan, katanya.

Seorang jiran, Kamaruddin Che Mat, 56, yang sedang berehat di luar rumah, berkata dia terdengar bunyi letupan kuat dari arah rumah mentua mangsa. 

"Ini disusuli rasa bergegar, kemudian saya terdengar jeritan meminta tolong, saya pergi ke arah jeritan meminta tolong itu dan nampak seorang wanita iaitu isteri mangsa duduk dekat mangsa," katanya.

Ketika berita ini ditulis, polis masih membuat siasatan di tempat kejadian. Menurut Lai kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -11/8/13



Wanita Cedera Disimbah Asid

Posted: 12 Aug 2013 11:34 PM PDT



[Bernama] Seorang pejalan kaki wanita cedera di bahagian muka dan mata akibat disimbah asid oleh dua lelaki bermotosikal di lampu isyarat berhadapan sebuah pusat membeli-belah di Jalan Ampang di Kuala Lumpur malam tadi.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin berkata dalam kejadian 11.45 malam itu, mangsa berusia 31 tahun melecur 10 peratus di bahagian muka manakala rakan mangsa, seorang wanita, terselamat.

Beliau berkata kedua-dua wanita itu dikatakan sedang menunggu untuk melintas di lampu isyarat itu sebelum didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal yang bertindak menyimbah asid ke arah mangsa.

"Rakan wanita mangsa memaklumkan kepada polis pada 1.28 pagi tadi, pada masa kejadian dia dan wanita itu dalam perjalanan ke rumah," katanya katanya menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Amiruddin berkata akibat panik, rakan mangsa tidak sempat mengenal pasti kewarganegaraan suspek, jenis dan nombor pendaftaran motosikal yang digunakan suspek.

Katanya siasatan awal polis mendapati mangsa masih bujang dan tidak mempunyai teman lelaki serta tidak mempunyai masalah dengan sesiapa.

Beliau berkata mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur. 

Amiruddin berkata polis juga akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian untuk siasatan lanjut.

"Pemeriksaan polis di tempat kejadian tidak menemui apa-apa bahan bukti seperti bekas asid yang digunakan," katanya. - 11/8/13


Kemas Kini:

Wanita Disimbah Asid Stabil

[Bernama] KUALA LUMPUR - Seorang wanita yang melecur 10 peratus di mukanya akibat disimbah asid di Jalan Ampang, dekat sini Sabtu lepas dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata polis menemu bual mangsa di Hospital Kuala Lumpur semalam dan mendapati keadaannya stabil namun mangsa belum melakukan pembedahan mata kerana menunggu pakar mata untuk menjalani pemeriksaan.

Beliau memberitahu Bernama hari ini mangsa tidak mengenal pasti suspek yang menyimbah asid itu kerana insiden berlaku di waktu malam.

Dalam kejadian itu, wanita berusia 31 tahun itu melecur 10 peratus di mukanya termasuk mata akibat disimbah asid oleh dua lelaki yang menunggang motosikal. -13/8/13



Pemilik Restoran Nasi Kukus Paka Dibunuh

Posted: 12 Aug 2013 11:23 PM PDT


[HD] KUALA LUMPUR: Pemilik restoran Nasi Kukus Paka dekat sini, dijumpai meninggal dunia dengan kesan tikaman berhampiran premis tersebut kira-kira jam 7.00 pagi tadi.

Mayat beliau dijumpai di kawasan tempat letak kereta di hadapan restoran miliknya oleh seorang pekerja kedai berdekatan dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah.

Adun Paka, Ustaz Satiful Bahari Mamat berkata, allahyarham yang dikenali sebagai Lutfi, biasa menunaikan solat Subuh berjamaah di Surau Dar as-Salam.

"Kena tikam masa nak gi sembahyang Subuh. Biasa dia solat Subuh berjamaah di Surau Dar as-Salam, tauke Kedai Nasi Kukus Paka, ada empat cawangan kedai termasuk di Mydin Kuala Terengganu, dua buah di Paka dan satu di Mesra Mall," ujarnya dipetik Buletin Online ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu hadir ke lokasi sebaik diberitahu meminta keluarga allahyarham Lutfi yang berasal dari Kampung Pulau Rusa Kuala Terengganu, bersabar menerima ujian dari Allah itu.

Tiada ulasan: