DIALOG RAKYAT |
- Disangka bunyi mercun rupanya Ketua Bounzer pulak kena tembak..
- 4 insiden tembakan senjata api di Hari Raya pertama semalam
- NGO sedia perkhidmatan kesihatan seksual untuk transgender - Bernama
- Penipuan wang: Warga Afrika antara dalangnya
- Pemimpin Umno pertahan polisi berdasarkan kaum
- Kes tembakan: P Pinang tukar slogan, tambah CCTV
- Bekas Atlet Olimpik Ishtiaq Mubarak Meninggal Dunia
- Anggota Exco Wanita Umno Norliza Ahmad Meninggal Dunia
- Polis Tahan Dua Lelaki Berhubung Ahli Perniagaan Ditembak Mati
- Zuraida tekad juang hak wanita
- Tujuh rumah setinggan di Sentul Pasar hangus
- Pegang jawatan k'jaan, Chua sedia hadapi JK disiplin
- Jenayah: Kelantan tuntut semula pengerusi Majlis Keselamatan Negara Negeri Kelantan
- Bagaimana Shabery Cheek yakin tiada skandal kapal selam?
- Dua kes tembakan di P Pinang dalam satu hari
- Ada syarat untuk tanding tiga jawatan tertinggi Umno
- Najib: Pak Lah betul, sukar untuk ubah Umno
- 20,000 rakyat pelbagai kaum hadiri Rumah Terbuka Kerajaan Selangor
- MB Selangor sasar pengguna kenderaan awam meningkat 40 peratus
- Tiga beranak maut ketika bersiar-siar
- Wisma Putra masih siasat nasib Wei Fei
- Jangan biar politik ultra dalam pendidikan Islam
Disangka bunyi mercun rupanya Ketua Bounzer pulak kena tembak.. Posted: 09 Aug 2013 07:58 AM PDT http://darisungaiderhaka.blogspot.comGEORGE TOWN: Seorang lelaki berusia 43 tahun, dipercayai ketua pengawal sebuah kelab malam, ditembak sebanyak tujuh kali di hadapan pintu masuk pusat hiburan di pusat beli-belah di Jalan Datuk Keramat di sini. Mangsa bagaimanapun bernasib baik kerana hanya satu peluru tunggal ditemui menepati sasaran iaitu di paha kirinya. Sumber berkata ketua 'bonzer' itu telah bercakap dengan seorang lelaki di tempat letak kereta terbuka yang kemudiannya ditembak ketika dia menuju ke pusat hiburan tersebut. Dia kemudian bergegas ke salah satu kelab hiburan di situ untuk mendapatkan bantuan daripada rakan-rakan. Dia dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang dan kini berada dalam keadaan stabil. Mangsa, yang hanya dikenali sebagai Too Pek, dikatakan menjadi salah seorang ahli kongsi gelap terkenal di negeri ini. Pengunjung kelab berkata mereka mendengar bunyi seakan-akan serupa dengan bunyi mercun. Polis setakat ini telah menahan dua orang pencuci, kedua-duanya warga asing di tempat kejadian yang didakwa cuba untuk menghapuskan bukti. Polis turut menemui tujuh sarung peluru. Jurucakap polis berkata, mereka telah mengkaji rakaman CCTV yang diambil di tempat kejadian ~ mStar Mercun dan Senjata Api kedua-duanya diharamkan dinegara ini.. tapi kena tiba-tiba ianya berleluasa dalam musim perayaan ini? Salah siapa agaknya ianya kini dilihat berleluasa?.. | ||
4 insiden tembakan senjata api di Hari Raya pertama semalam Posted: 09 Aug 2013 07:54 AM PDT Di Kuala Lumpur, insiden senjata api dilaporkan berlaku di sebuah restoran Pelita,Desa Seri Hartamas kira-kira 7.30 pagi semalam. Kejadian disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah menyatakan dari siasatan awal mendapati ia sebagai kemalangan akibat perlakuan sendiri. Mangsa merupakan seorang lelaki India berusia 27 tahun bekerja sebagai pemandu teksi dan pengutip hutang sambilan. "Kira kira jam 7.30 pagi mangsa yang selesai kerja pergi ke restoran Pelita untuk mengutip hutang. "Mangsa kemudiannya kembali ke kereta untuk mengambil pistol lalu melepaskan dengan tidak sengaja hingga mengenai tapak tangan kiri dan peha kiri kaki mangsa," kata Ku kepada The Malaysia Insider. Mangsa dirawat di Pusat Perubahan Universiti Malaya PPUM. Insiden tersebut menjadikan ia kes keempat membabitkan senjata api yang berlaku dalam kurang 24 jam hari ini iaitu ketika umat Islam menyambut Hari Raya Pertama. Terdahulu di Chemor, Perak seorang lelaki cedera parah akibat terkena tembakan yang dilepaskan dua suspek bermotosikal. Kejadian berlaku kira kira 11.45 malam tadi apabila dua suspek bermotosikal itu dilihat menghampiri kereta mangsa dan melepaskan enam das tembakan. Sementara itu, di Georgetown, Pulau Pinang pula berlaku kejadian tembak menembak awal pagi tadi mengejutkan penduduk sekitar apabila 16 tembakan dilepaskan ke arah sebuah rumah banglo di Pulau Tikus. Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dan polis kini sedang mengenal pasti identiti penembak melalui rakaman cctv. Pada masa sama dalam kejadian berasingan di Pulau Pinang, jam 11.30 pagi tadi seorang. lelaki ditembak sekurang kurangan 10 kali oleh seorang suspek ketika mangsa sedang berhenti di lampu isyarat Jalan Anson. Mangsa dikatakan memandu kereta dengan nombor pendaftaran Kuala Lumpur. | ||
NGO sedia perkhidmatan kesihatan seksual untuk transgender - Bernama Posted: 09 Aug 2013 07:52 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER Mereka digelar pondan, mak nyah, tomboi dan pelbagai lagi yang semuanya membawa konotasi negatif dan maksud serupa iaitu golongan yang bersifat dan berkelakuan bertentangan dengan tabii. Mereka juga dipandang serong serta sering kali dipinggirkan masyarakat kerana selain gaya hidup yang bertentangan dengan agama dan budaya, kelompok ini sinonim dengan pelbagai gejala negatif. Menyedari nasib yang menimpa kebanyakan golongan itu, badan bukan kerajaan Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang (FHDA) tampil menyediakan perkhidmatan terutama berhubung aspek kesihatan dan reproduktif. "FHDA mendekati golongan ini bukan untuk menggalakkan gejala transgender berleluasa. FHDA menumpukan kepada kesihatan seksual dan reproduktif. "Mereka tergolong dalam kelompok yang memerlukan bimbingan sewajarnya kerana ada yang mengambil hormon dan memasukkan implan. "Mereka perlukan preskripsi dan nasihat doktor melalui saluran yang betul... kalau hormon yang mereka ambil tu salah, ia boleh mendatangkan banyak kesan sampingan kepada mereka. Jadi, FHDA berperanan dalam memberi khidmat nasihat kepada golongan ini," kata pengerusinya Yeap Meng Chee. Katanya kesukaran golongan itu mendapat rawatan dan khidmat nasihat di sini menyebabkan ramai ke luar negara untuk mendapatkan rawatan tertentu yang kadang kala menyebabkan mereka menanggung kesan buruk sehingga ada yang maut. Katanya sepanjang tahun lepas 449 transgender mendapatkan perkhidmatan FHDA. "Pada mulanya agak sukar untuk mendekati golongan ini. Mereka ingat kita nak tangkap mereka. Bagaimanapun kebijaksanaan sukarelawan kami berjaya mendapatkan kepercayaan mereka. "Kini ada antara mereka yang membawa rakan-rakan mereka untuk menjalankan pemeriksaan di sini selain mendapat khidmat nasihat berhubung masalah kesihatan," katanya sambil menambah terdapat 12 orang doktor sukarela menawarkan perkhidmatan kepada FHDA. Selain pemeriksaan kesihatan dan khidmat nasihat, Yeap berkata FHDA turut merujuk golongan mak nyah kepada pakar psikiatri bagi membantu menyelesaikan masalah kecelaruan identiti dan antara mereka yang berjaya kembali menjadi lelaki normal. Katanya FHDA juga bekerjasama dengan Hospital Pulau Pinang dan beberapa NGO di negeri ini untuk membantu golongan berkenaan. FHDA yang ditubuhkan pada 1962 menyediakan perkhidmatan seperti klinik perancang keluarga, kaunseling pengguguran, pemeriksaan payu dara, pap smear dan rawatan kesihatan wanita, vaksin HPV dan projek pencegahan HIV menerusi Global Fund. - Bernama, | ||
Penipuan wang: Warga Afrika antara dalangnya Posted: 09 Aug 2013 07:47 AM PDT Enam bulan pertama tahun ini sahaja, wang hasil penipuan bernilai RM1 billion. Apa yang mengejutkan adalah nilai berkenaan hampir dengan kadar kerugian sepanjang tahun lalu. Ini bermakna nilai penipuan pada 12 bulan telah berlaku lebih pantas dengan mengambil masa enam bulan sahaja. Lebih separuh nilai billion tersebut pada tahun ini mengalir ke institusi kewangan akibat dari sistem pengurusan yang tidak cekap. Apa yang membimbangkan adalah penipuan masih menjadi penyumbang terbesar sejak tahun lalu dan apakah pengajaran diambil rakyat Malaysia atas kes penipuan yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini. Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan Persekutuan memberitahu The Malaysian Insider jumlah kerugian dari Januari hingga Jun tahun ini bernilai RM987 juta. RM1.2 billion pula dicatatkan sepanjang tahun lalu. Pengarahnya, Datuk Syed Ismail Syed Azizan telah mengenalpasti beberapa punca di sebalik kes penipuan tersebut dan di antaranya ialah sindrom Pinkerton iaitu merasa taksub berurusan dengan "Mat Saleh". Orang berkulit gelap dari Afrika juga cuba memainkan peranan seperti orang Eropah bagi memudahkan usaha menipu rakyat Malaysia dengan menonjolkan mereka sebagai orang kaya dan jujur. "Beberapa kes penipuan yang melibatkan warga Afrika sering dilaporkan di media namun masih ada yang tertipu dengan cara yang sama," katanya. "Warga Afrika ini fasih berbahasa Inggeris dengan menggunakan gambar profil 'orang putih' di laman sosial bagi memudahkan urusan penipuan mereka. "Ramai wanita tergoda dengan kesantunan lelaki Afrika ini sama ada melalui telefon atau sembang di Internet," beritahu Syed Ismail. Kerugian dalam kes penipuan mencecah RM368 juta, satu angka yang membimbangkan menurut Syed Ismail namun itu hanya jumlah yang dilaporkan. Syed Ismail memberi contoh seorang lelaki di Melaka membuat laporan setelah ditipu oleh orang tengah sebanyak RM20 juta. Mangsa berkawan dengan suspek sejak September 2010 dan bersetuju memberikan wang secara berperingkat untuk disimpan dalam simpanan tetap. Di antara 2010 hingga 2013, mangsa memberikan wang sebanyak 81 kali dalam pelbagai jumlah antara RM10,000 hingga RM20,000 dan menerima sijil simpanan tetap sebagai ganjaran. Jun lalu, mangsa pergi ke bank untuk memeriksa baki namun mengejutkan apabila diberitahu baki wangnya hanya ribuan ringgit sahaja. Pengurus bank memeriksa sijil simpanan tetap itu namun mendapati sijil tersebut adalah palsu belaka. "Bagi transaksi seperti ini, mengapa mangsa menggunakan orang tengah? Biarpun amaunnya kecil, transaksi berkenaan harus dilakukan sendiri oleh pemegang akaun dan bukan pihak ketiga? soal beliau kesal. Syed Ismail berkata kes pecah amanah pula dilaporkan berjumlah RM580 juta akibat kelemahan dalam sistem pengurusan. Beliau memberi contoh satu institusi kewangan membuat laporan setelah pinjaman bernilai RM220 juta diberikan oleh pihak yang tidak mempunyai kuasa kepada pemohon yang tidak mencukupi syarat. "Juruaudit luar memeriksa akaun institusi kewangan tersebut dan mendapati berlaku percanggahan," katanya. Laporan diberi kepada pengurus audit institusi berkenaan yang kemudian membuat laporan polis. Beberapa pegawai bank telah bertindak tidak mengikut prosedur apabila memberikan pinjaman melebihi had yang dibenarkan. "RM220 juta telah melebihi had yang dibenarkan oleh institusi tersebut mahupun pihak Bank Negara," katanya. "Beberapa kakitangan lain juga didapati meluluskan amaun pinjaman yang melebihi had," katanya sedih. Syed Ismail berkata dalam sesebuah institusi kewangan harus mempunyai pihak yang memantau sesuatu sistem bagi memastikan tiada salah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab | ||
Pemimpin Umno pertahan polisi berdasarkan kaum Posted: 09 Aug 2013 07:45 AM PDT Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Noh Omar berkata kerajaan berada pada trek yang betul dengan mengamalkan polisi berasaskan kaum kerana orang Melayu masih ketinggalan berbanding kaum lain di Malaysia. Katanya, Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan bagi mengenalpasti ketidaksamaan sosial dan ekonomi pada awal 1970-an. "Rusuhan kaum pada Mei 1969 akibat ketidakseimbangan ekonomi antara kaum maka orang Melayu mesti diberi peluang bagi memastikan mereka berdiri sama tinggi dengan kaum lain," kata bekas Menteri Pertanian itu hari ini. Beliau mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew dalam buku terbaharunya, "One Man's View of the World" yang menghuraikan polisi berdasarkan kaum Putrajaya menyebabkan Malaysia kehilangan tenaga pakar. "Mereka bersedia kehilangan bakat tempatan bagi mengekalkan dominasi sesuatu kaum," memetik ungkapan Lee dalam buku tersebut. Beliau menjelaskan Singapura mendapat faedah sebanyak 40 peratus pekerja yang berhijrah dari Malaysia. Noh berkata orang Melayu masih memerlukan sokongan dalam bidang pendidikan. "Maka sistem pendidikan sedia ada perlu diteruskan," ujar Ahli Parlimen Tanjung Karang itu kepada The Malaysian Insider. Katanya, Singapura dan Malaysia tidak boleh dibandingkan kerana mempunyai dua landskap sosio-ekonomi yang berbeza. Sementara itu, Ahli Parlimen Jerlun Datuk Othman Aziz berkata polisi kerajaan bertujuan menyeimbangkan kepakaran dalam semua kaum. "Ini supaya orang Melayu mampu bersaing dengan kaum lain," katanya. Othman berkata adalah tidak menghairankan warga Malaysia mencari peluang yang lebih baik di luar negara dan itu tidak melambangkan negara kurang tenaga pakar. "Jika pakar tempatan yang menetap di luar negara enggan pulang ke Malaysia, mereka yang berada di dalam negara masih mampu memenuhi keperluan tempatan. "Sesiapa sahaja pasti berminat dengan bayaran yang lumayan sama ada dalam atau luar negara," katanya. Walau bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kenyataan Lee tidak munasabah kerana kerajaan kini dalam proses pembaharuan. "Kami dalam proses memperbaiki kesilapan lalu di mana sebelum ini bakat muda telah keluar meninggalkan Malaysia," katanya semasa Majlis Sambutan Aidilfitri di Putrajaya semalam. "Tiada kerajaan di dunia ini yang begitu sempurna. Kerajaan Singapura dan Malaysia pun begitu," kata Setiausaha Agung Umno yang mahu melihat akan adanya perubahan. | ||
Kes tembakan: P Pinang tukar slogan, tambah CCTV Posted: 09 Aug 2013 07:43 AM PDT Katanya, kes jenayah membabitkan senjata api kini menjadi perkara utama kepada kerajaan negeri untuk membanteras keganasan yang semakin berleluasa sehingga menimbulkan panik di kalangan orang awam. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri berhasrat menukar slogan kerajaan negeri dari Penang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat kepada Penang Selamat, Bersih, Hijau dan Sihat. "Saya telah bercakap dengan Ketua Polis Pulau Pinang, dia memberitahu saya polis kini sedang melakukan sebaik mungkin bagi mengawal situasi," katanya dalam satu kenyataan media hari ini. Memahami situasi polis di negeri itu yang tidak mempunyai jumlah anggota yang cukup kerajaan negeri akan bersama-sama dengan polis bergabung tenaga mencegah jenayah terus merebak dan menjadikan Penang sebagai negeri yang selamat kembali. Antaranya ialah dengan menubuhkan Unit Kawalan Rondaan Sukarelawan di setiap komuniti kawasan perumahan. Malah Kerajaan Negeri juga akan segera menambah sebanyak 125 lagi kamera pengawasan (CCTV) yang nilainya berjumlah RM 3 juta. "Kita sasarkan tambahan sebanyak 70 kamera rakaman pengawasan dipasang bawah seliaan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan 55 lagi di Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP),"kata Guan Eng lagi. Lim memberitahu untuk mengatasi masalah kekurangan anggota polis memantau kamera rakaman pengawasan, kerajaan sendiri akan membiayai pekerja tambahan untuk melakukan pemantauan. Langkah ini dibuat bagi memastikan tugas polis untuk mengawasi jenayah tidak terjejas seterusnya dapat meningkatkan tahap keyakinan orang awam. Ketua Menteri itu juga turut menyeru kerjasama dari semua pihak dimana orang awam bukan saja diminta memberi informasi kepada polis namun digalakkan turut membuat laporan polis bagi memastikan rekod jenayah yang tepat dicatat | ||
Bekas Atlet Olimpik Ishtiaq Mubarak Meninggal Dunia Posted: 09 Aug 2013 07:40 AM PDT MSTAR ONLINE PETALING JAYA: Ishtiaq Mubarak atau nama sebenarnya Ishtiaq Ahmad Mubarak Ahmad, yang pernah mengharumkan sukan olahraga negara pada era 70-an meninggal dunia, pagi Jumaat. Beliau yang berusia 65 tahun meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang kira-kira pukul 9.55 pagi akibat sakit tua. . Allahyarham meninggalkan dua anak perempuan. Bekas pelari 110 meter lompat berpagar kebangsaan ini pernah menyertai sukan Olimpik sebanyak tiga kali dan menang pingat emas dalam Sukan SEA dan Asia. Allahyarham pernah menggalas tanggungjawab selaku jurulatih atlet pelapis olahraga kebangsaan sehingga 2012. | ||
Anggota Exco Wanita Umno Norliza Ahmad Meninggal Dunia Posted: 09 Aug 2013 07:37 AM PDT MSTAR ONLINE SHAH ALAM: Anggota Exco Wanita Umno Norliza Ahmad meninggal dunia di Hospital Selayang akibat kanser hati kira-kira 10 malam Khamis. Ketua Umno Bahagian Kapar, Datuk Abdul Rahman Palil mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama, Jumaat. Beliau berkata jenazah Allahyarhamah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Meru, Klang, Jumaat. Norliza, 47, yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Kapar kali pertama bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Selat Kelang pada pilihan raya umum ke-11 dan menewaskan Ali Abdullah dari PAS dengan majoriti 6,085 undi. Beliau bagaimanapun gagal mempertahankan kerusinya apabila tewas kepada Dr Halimah Ali dari PAS pada pilihan raya umum ke-12 dengan majoriti 1,459 undi. - BERNAMA | ||
Polis Tahan Dua Lelaki Berhubung Ahli Perniagaan Ditembak Mati Posted: 09 Aug 2013 07:32 AM PDT KOTA KINABALU: Dua lelaki yang dipercayai mempunyai maklumat penting berhubung kes tembak ahli perniagaan, Tiong Choon Kwong telah ditahan. Lelaki tersebut, kedua-duanya dalam usia 30-an ditahan oleh pihak polis pada Rabu, dan akan disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah yang membenarkan penahanan suspek selama lebih daripada 24 jam untuk membolehkan polis menyelesaikan siasatan mereka. Seorang daripada mereka adalah dari Sabah, manakala seorang lagi dari Sarawak. Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, mereka akan ditahan selama seminggu untuk memudahkan siasatan polis mengenai kejadian tembak yang berlaku di luar sebuah kedai kopi di Beverly Hills dekat sini kira-kira pukul 10.30 malam pada 3 Ogos. "Kami mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa mereka boleh membantu kita dalam siasatan ini," kata beliau semasa menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya anjuran Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Sabah Supt Ismadi Borhan, Jumaat. Hamza tidak mendedahkan motif tembakan yang dipercayai berkaitan persaingan perniagaan. Tiong telah beralih arah ke dalam perniagaan pembangunan hartanah resort. Tiong 44 tahun telah ditembak pada jarak dekat oleh lelaki bersenjata yang disyaki diupah ketika sedang bercakap telefon di kawasan tempat letak kereta di luar sebuah kedai kopi. Para saksi berkata mereka melihat sekurang-kurangnya tiga orang di dalam kenderaan, sama ada Kancil Perodua Viva dipercayai arah tembakan dilepaskan. | ||
Zuraida tekad juang hak wanita Posted: 09 Aug 2013 07:26 AM PDT JAMILAH HAMZAH KEMENANGAN yang diraih selepas PRU13, 5 Mei lalu, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dilihat semakin gagah memperjuangkan nasib wanita. Beliau yang juga dipilih kembali sebagai Ahli Parlimen Ampang juga semakin lantang bersuara pada persidangan Parlimen demi membela hak wanita. Ikuti wawancara khas wartawan Sinar Harian Online untuk mendapatkan perkembangan mengenai kariernya. SINAR HARIAN ONLINE: Adakah YB akan terus mempertahankan jawatan Ketua Wanita PKR dalam pemilihan yang akan datang? ZURAIDA: Ya. SINAR HARIAN ONLINE: Umum mengetahui, YB di antara wanita pembangkang yang lantang bersuara terutamanya dalam isu wanita. Apakah pencapaian yang telah diperjuangkan setakat ini dan menjadi kebanggaan YB? ZURAIDA: PKR adalah parti yang komited dalam usaha mengetengahkan lebih ramai kepimpinan wanita diperingkat pembuat keputusan apabila meletakkan 30 peratus penyertaan wanita di setiap peringkat parti dalam Perlembagaan parti. Kita serius dalam mengarus perdanakan gender (gender mainstreaming) bermula dengan peringkat parti. Penggal pertama Kerajaan Negeri Selangor di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat telah berjaya melantik lebih dari 30 peratus wanita sebagai Exco Kerajaan Negeri. Kini memasuki penggal kedua, kita telah meletakkan sasaran 30 peratus Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan mestilah terdiri daripada wanita. SINAR HARIAN ONLINE: Apakah kriteria yang perlu ada untuk menjadi Ketua Wanita? ZURAIDA: Saya tidak mengatakan bahawa ini adalah syaratnya, namun Wanita PKR memerlukan seorang Ketua Wanita yang mampu memimpin dan menggerakkan seluruh anggota wanita untuk melaksanakan dasar perjuangan parti. PKR melaksanakan sistem pemilihan iaitu Ketua Wanita adalah dipilih oleh ahli parti. Maka, pemimpin yang diberi kepercayaan oleh ahli partilah yang akan dipilih memikul amanah ini. SINAR HARIAN ONLINE: Memasuki penggal kedua, YB sekali lagi dipilih rakyat pada PRU13 lalu, adakah YB mempunyai perancangan untuk membantu penduduk di Ampang? ZURAIDA: Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh pengundi Parlimen Ampang kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk meneruskan tanggungjawab ini. Antara fokus utama penggal kedua adalah mencari jalan penyelesaian krisis air yang sering berlaku di Ampang. Selain itu, masalah sampah yang masih belum selesai, penambahbaikan kawasan pasar serta memastikan pembangunan di kawasan Ampang mengikut jadual Kerajaan Negeri dilaksanakan seperti cadangan pembinaan mini stadium serta beberapa gelanggang futsal untuk kemudahan anak - anak muda. SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana jumlah terkini ahli wanita PKR? ZURAIDA: Hampir sepertiga ahli PKR yang berjumlah lebih 500,000 orang terdiri daripada wanita. SINAR HARIAN ONLINE: Sebelum PRU13, PR berjanji jika dilantik kembali menjadi wakil rakyat akan melaksanakan janji dalam tempoh 100 hari awal yang tertumpu dengan 10 perkara asas, jadi apakah perkembangan janji-janji yang dilaungkan tersebut? ZURAIDA: Usaha dan khidmat berterusan saya kepada rakyat di kawasan Ampang bermula dari hari pertama dipilih semula. Dan saya sedaya upaya melaksanakan perkara-perkara yang telah dirancang dengan sebaik mungkin demi penduduk Ampang. SINAR HARIAN ONLINE: Bolehkah YB kongsikan pengalaman sepanjang menjadi ahli politik terutamanya pada bulan Ramadan dan musim perayaan? Bagaimana pembahagian masa dengan keluarga dan masyarakat? ZURAIDA: Alhamdulillah keluarga amat memahami malah turut sama membantu saya dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat. Saya mendidik anak-anak dan keluarga agar turut sama membantu dan berbuat baik sesama manusia. Jadi, boleh dikatakan masa bersama keluarga dan masyarakat sentiasa ada. Di bulan Ramadan selain berbuka puasa dan terawih bersama rakyat di masjid atau surau saya juga mengadakan edaran lauk berbuka puasa kepada penduduk Ampang. SINAR HARIAN ONLINE: Apakah perkara yang dilakukan atau khidmat bakti kepada masyarakat apabila tibanya musim perayaan? ZURAIDA: Kita memberi sumbangan Aidilfitri kepada anak - anak yatim di kawasan. Selain itu, saban tahun saya mengadakan Jamuan Aidilfitri di peringkat Parlimen Ampang. Pada tahun ini insya-ALLAH saya adakan pada 25 Ogos 2013 jam 8-10 malam di hadapan BSN, Bandar Baru Ampang. Semua dijemput hadir meraikan majlis ini. | ||
Tujuh rumah setinggan di Sentul Pasar hangus Posted: 09 Aug 2013 07:10 AM PDT MALAYSIA KINI Sekurang-kurangnya tujuh rumah setinggan di Kampung Chubadak, Sentul Pasar musnah dalam satu kebakaran malam tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sentul Zahari Mohamad berkata kedudukan rumah yang sesak dan terletak berdekatan antara satu sama lain menyebabkan banyak rumah musnah kerana api marak dengan pantas. "Kami masih belum boleh nyatakan jumlah sebenar rumah yang terbakar kerana kami sedang mengumpul pemilik rumah berkenaan kerana kebanyakannya bercuti raya di kampung masing-masing. "Yang menjadi masalah utama adalah sumber air yang agak jauh, kita terpaksa menggunakan 'tanker' untuk mengangkut air ke mari," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi. Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.52 malam, dan anggota serta jentera bomba tiba 14 minit kemudian serta dapat mengawal kebakaran dalam tempoh 40 minit. "Kami telah menghantar lima jentera iaitu Balai Bomba Sentul, Balai Bomba Hang Tuah, Balai Bomba Setiawangsa, Balai Bomba Gombak Selatan dan Balai Bomba Sri Hartamas," katanya. Katanya semua mangsa yang terlibat selamat dan tiada kecederaan dilapor berlaku dalam kejadian. "Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan," katanya. Sementara itu, Endra Yusman, 30, bersyukur kedua ibu bapanya tiada di rumah ketika kejadian kerana pulang beraya di kampung di Bandar Baru Kedah. "Sudah hampir 50 tahun ibu bapa saya tinggal di sini," katanya ketika ditemui dilokasi kejadian. Pasangan suami isteri Roslan Mun, 41, dan Normiza Halim, 31 turut bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri. "Ketika kejadian saya bersama kira-kira 20 anggota keluarga sedang menonton televisyen di ruang tamu apabila terdengar suara jiran menjerit ada api. Saya dan anggota keluarga segera mengambil anak-anak masing-masing dan barangan berharga serta bergegas keluar rumah," kata Normiza.- Bernama | ||
Pegang jawatan k'jaan, Chua sedia hadapi JK disiplin Posted: 09 Aug 2013 07:09 AM PDT MALAYSIA KINI Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sedia menghadap Jawatankuasa Disiplin kerana masih memegang jawatan dalam kerajaan iaitu sebagai Pengerusi Pelabuhan Pulau Pinang. "Bukan saya seorang sahaja yang patut dihadapkan ke jawatankuasa disiplin parti, malah Ong Ka Ting, Wong Nai Chee, Ng Yen Yen dan juga semua anggota jawatankuasa kemajuan kampung juga patut turut dikenakan tindakan sama," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana, di Putrajaya semalam. Beliau mengulas demikian berhubung tindakan lapan Bahagian MCA yang tidak berpuas hati dengan Dr Chua yang masih memegang jawatan itu walaupun parti itu menerima resolusi untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan selepas kekalahan teruk pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13), Mei lepas. Bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting kini memegang jawatan sebagai 'Duta Khas Perdana Menteri ke China', anggota parti Wong Nai Chee merupakan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri manakala Naib Pengerusi parti Datuk Seri Dr Ng Yen Yen memegang jawatan sebagai Pengerusi Tourism Malaysia. Minggu lepas, Pengerusi MCA Bahagian Wangsa Maju Datuk Yew Tian Lock bersama-sama dengan pengerusi bahagian Titiwangsa Datuk Alex Chuah serta enam lagi pengerusi bahagian lain menegaskan bahawa mereka akan menghantar memorandum kepada jawatankuasa disiplin parti sekiranya Dr Chua masih enggan untuk melepaskan jawatan sebagai pengerusi Pelabuhan Pulau Pinang. Enam lagi bahagian yang turut menggesa Dr Chua untuk meletakkan jawatan kerajaan itu adalah MCA Teluk Intan, Bentong, Kuala Selangor, Kual Krau, Raub dan Paya Besar MCA sebelum PRU13 telah memutuskan untuk tidak akan menerima jawatan dalam kerajaan jika ia tidak menerima sokongan penuh masyarakat Cina. Namun, Dr Chua dilaporkan berkata Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi parti telah memutuskan bahawa mana-mana jawatan yang dipegang sebelum PRU13 masih boleh diteruskan dan ini telah menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak puas hati dalam parti. Bernama | ||
Jenayah: Kelantan tuntut semula pengerusi Majlis Keselamatan Negara Negeri Kelantan Posted: 08 Aug 2013 04:58 PM PDT Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, satu mekanisme baru di dalam menangani isu penyeludupan senjata api dan juga kemasukan secara haram penjenayah perlu dirangka dengan serius bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang. Sehubungan dengan itu, Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) menegaskan bahawa sudah sampai masanya untuk jawatan Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan diserahkan kembali kepada Menteri Besar Kelantan sebagaimana amalan negeri-negeri yang lain. Selaku Pengerusi MKN peringkat negeri, Menteri Besar Kelantan akan berhak memanggil sebarang mesyuarat yang melibatkan pasukan keselamatan bagi mendapatkan maklumat terkini tentang isu-isu keselamatan dan turut bersama merancang strategi bagi menangani situasi jenayah yang semakin serius. DPPNK yakin isu-isu keselamatan seperti ini perlu ditangani dengan profesional tanpa melibatkan sentimen politik dan ia memerlukan kerjasama semua pihak terutamanya pasukan keselamatan dan kerajaan negeri. Dengan terlantiknya Menteri Besar Kelantan sebagai Pengerusi MKN Peringkat Negeri Kelantan sekaligus akan membuka lembaran baru dalam aspek kerjasama antara kerajaan negeri dan agensi kerajaan pusat di dalam menangani kes-kes jenayah | ||
Bagaimana Shabery Cheek yakin tiada skandal kapal selam? Posted: 08 Aug 2013 04:53 PM PDT
Apakah urusan beli kapal selam Perancis, Scorpene suatu skandal atau tidak, boleh ditentukan oleh kenyataan seorang individu baik di luar mahkamah atau dalam mahkamah. Sekalipun Suaram menggunakan bidang undang-undang dalam dan luar negeri bagi membuktikan ia adalah satu skandal menteri pertahanan pada masa itu masih ada yang berkata mereka tidak mempercayainya, maka sudah tentu seorang individu yang mengatakan ia bebas skandal tidaklah boleh dipegang 100 peratus. Tetapi menteri Shabery Cheek membuat kenyataan bahawa dia seperti puas hati dengan kenyataan individu seperti sah urusan pembelian itu bebas skandal sekali gus mengira bahawa isu yang dipelopori Suaram dan disokong sekalian pembangkang itu adalah karut. Pada menteri itu apa yang dibangkitkan selama ini sama ada oleh pembangkang di negara ini yang cuba menggunakan saluran undang-undang dan apa yang dilakukan oleh peguam Perancis bagi memastikan syarikat di Perancis tidak terbabit dalam skandal bolehlah dimasukkan saja ke bakul sampah. Secara umum dari aspek undang-undang menteri dan mana-mana individu yang dikatakan jadi watak dalam skandal itu belum boleh dikata bersalah selagi tidak disahkan bersalah oleh mahkamah. Walaupun orang belum dijatuh hukum itu dikira bersih dari segi undang-undang, tetapi umum melihatnya tidak begitu bersih selagi mahkamah tidak membersihkannya. Oleh sebab isu skandal ini adalah benda yang tergantung, maka tidaklah semua pihak boleh berpuas hati watak-watak itu bersih atau kotor. Dia boleh bersih dan dia boleh kotor. Menteri yang berpuas hati dan yakin tidak ada skandal atas pengakuan seorang individu adalah seorang ahli akademik yang ada kelas sebelum berpolitik. Dan sebagai seorang ahli akademik selalu didengar sindiriannya yang tajak: Siakap senohong gelama ikan duri, cakap bohong lama-lama jadi menteri. Menteri yang ada latar belakang akademik tentulah tidak sama dengan yang tidak ada latar belakang akademik. Tan Sri Rafidah Aziz misalnya, kerana dia juga dulunya orang akademik, maka dia tidak boleh sama dengan Shahrizat Jalil yang berdalil dan berdalih. Shahidan Kassim, Tengku Adnan atau Mahfuz Omar tiada latar bakang akademik, maka orang pun tidak harap sangat mereka mempertahankan dunia akademik. Tetapi orang akademik tak boleh buat sebarangan. Kalau orang akademik tidak jaga nilai dan dunia akademiknya nescaya runtuhlah dunia ilmu. Ilmu yang mulia itu akan jadi sama dengan ilmu sihir. Bagi ahli akademik, rencana dan buku yang tidak ada nota kaki, seperti tulisan dan buku saya, dikira buku picisan. Tak adalah tulisan saya dikira picisan kerana saya bukan orang akadamik dan tidak pernah mendapat didikan akademik. Orang akademik tak boleh buat begitu. Orang akademik sebelum dia sahkan sesuatu itu palsu atau benar, maka dia pastikan sumbernya. Dia buat penyelidikan. Jika tidak cukup bukti, ditawakuf dulu. Hakimpun tidak percaya semua apa yang dicakap di mahkamah walaupun sudah didahulu dengan bersumpah. Dia kena pastikan saksi itu palsu atau tidak. Hakim tahu adanya loyar buruk dan hakim beruk. Maka sekadar dengar kenyataan seorang saksi, belum boleh dia buat keputusan. Kemudian Suaram keluar kenyataan pertikai wibawa orang yang buat kenyataan tentang skandal itu. Lagilah saya tidak dapat bergantung kepada kenyataan seorang individu. Inilah Islam pesan apabila datang khabar dari orang munafik, pastikan kesahihannya. Itulah akademik dan ilmu. Jika saya janda, wali saya itu dikata begitu dan begini, saya cari wali lain bagi menikahkan saya. | ||
Dua kes tembakan di P Pinang dalam satu hari Posted: 08 Aug 2013 04:45 PM PDT MALAYSIA KINI Dalam satu lagi kejadian tembak, seorang lelaki berumur 37 tahun mati ditembak di persimpangan lampu isyarat di Jalan Anson di George Town kira-kira pukul 11.50 pagi tadi. Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata mangsa Veerappan Kanapathi meninggal dunia di dalam kereta BMW warna hitam yang memiliki plat pendaftaran Kuala Lumpur selepas ditembak oleh dua orang lelaki bermotosikal yang salah seorang daripadanya berasal dari Ayer Itam. Bercakap kepada pemberita hari ini, Gan berkata polis menjumpai 14 kelonsong peluru 9mm di sebelah tempat duduk pemandu. Katanya mangsa dipercayai mati ditembak di bahagian leher dan kepala. Gan berkata mangsa yang tinggal di Ayer Itam mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan Akta Dadah Berbahaya. Polis sedang mengesan saksi dan tempat yang mempunyai CCTV untuk membantu siasatan. Kejadian kedua melibatkan enam tembakan di sebuah banglo seorang ahli perniagaan di Pulau Tikus. Tiada siapa yang cedera. Menurut Bernama, pemilik banglo itu sebelum ini telah membuat laporan polis selepas mendapati nota amaran dengan peluru hidup di hadapan rumahnya. Gan berkata bahawa ahli perniagaan itu kini di luar negara dan telah menerima mesej teks dari seorang yang tidak dikenali yang menuntut wang. | ||
Ada syarat untuk tanding tiga jawatan tertinggi Umno Posted: 08 Aug 2013 04:43 PM PDT MALAYSIA KINI Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh berkata mereka yang berhasrat bertanding tiga jawatan tertinggi parti dalam pemilihan Oktober perlu memenuhi syarat ditetapkan. Beliau berkata antara syarat itu ialah telah menjadi anggota jawatankuasa bahagian selama tiga tahun atau satu penggal. "Ataupun pernah menjadi ahli Majlis Tertinggi sekali seumur hidup," katanya kepada Bernama ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri perdana menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana di Putrajaya hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya jawatan presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden hanya boleh ditandingi oleh anggota Majlis Tertinggi sedia ada. "Bukan MT sahaja, ia terbuka. Ini adalah kerana ada orang yang tidak pernah melalui proses (dalam kepimpinan) Umno dilantik menjadi menteri dilantik sebagai MT," katanya. Ketika ditanya mengenai perjalanan mesyuarat peringkat cawangan yang sedang berlangsung, beliau berkata setakat ini semunya berjalan lancar. Mesyuarat cawangan bermula 15 Julai lepas dan akan berakhir 31 Ogos. Bernama | ||
Najib: Pak Lah betul, sukar untuk ubah Umno Posted: 08 Aug 2013 04:42 PM PDT Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju dengan pandangan bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi bahawa isu pembaharuan dalam Umno merupakan salah satu cabaran terbesar yang dihadapinya. Najib mengulas komen Abdullah dalam sebuah buku baru bertajuk ''Awakening: The Abdullah Badawi Years in Malaysia", termasuk isu Umno enggan untuk melakukan perubahan. Najib berkata perubahan minda rakyat adalah "tugas yang amat besar" yang boleh mengambil masa beberapa generasi. Katanya, beliau bersetuju dengan pandangan itu kerana Umno perlu berubah dan ia bermula dengan proses meminda perlembagaan parti. Bagaimanapun, tegas beliau, mengubah fikiran rakyat adalah satu lagi tugas yang besar sekali, yang mungkin mengambil lebih daripada masanya sebagai presiden Umno. "Ia mungkin memerlukan beberapa generasi untuk berubah," kata Najib dalam sidang akhbar di majlis hari terbuka Aidilfitri di kediaman rasminya di Putrajaya. [Baca berita penuh] Sementara itu, Bernama melaporkan Najib berkata untuk Umno menjadi relevan, ia perlu bergerak dengan masa supaya ia mencerminkan perubahan nilai-nilai dalam masyarakat. "Saya percaya Umno telah mendapat mesej itu tetapi seperti mana-mana parti politik, ia mengambil masa untuk berubah," katanya pada sidang media di rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana di Putrajaya. Beliau berkata: "Saya simpan komen saya dulu sehingga saya baca buku itu. Saya tidak boleh mengulas berdasarkan komen orang lain. Saya perlu membaca buku itu, (dan komen) berdasarkan tafsiran saya mengenai buku itu." Najib juga berkata bahawa ia adalah mudah untuk mengkritik sebuah parti yang memegang kuasa seperti Umno. "Ia adalah mudah untuk berjanji tetapi janji harapan tidak mudah apabila anda perlu menunaikannya. Anda mesti ingat bahawa banyak pihak di dunia menabur janji harapan dan telah gagal mengotakannya," katanya. Apabila ditanya mengenai kenyataan Abdullah bahawa cabaran yang paling besar untuk beliau (Najib) adalah bantahan terhadap transformasi negara, Najib berkata program transformasinya adalah kesinambungan daripada apa yang telah dimulakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mencapai Wawasan 2020 di mana ianya disokong oleh penggantinya, Abdullah. "Kini, ia adalah masa saya. Saya perlu mengotakannya. Jadi, itu adalah pandangan saya. Ini adalah kesinambungan (kerja) tiga perdana menteri untuk mencapai wawasan hebat untuk Malaysia," katanya. "Saya kini bertanggungjawab untuk memenuhi wawasan ini untuk seluruh rakyat Malaysia. Beginilah saya melihatnya," katanya sambil menjelaskan bahawa ia adalah komitmen untuk semua rakyat Malaysia yang teruja dengan Wawasan 2020. Najib juga turut meminta semua rakyat Malaysia saling menghormati antara satu sama lain bagi memelihara keharmonian. "Prinsip asas adalah bahawa jika kita mahu menjadi harmoni, umat Islam tidak harus menyinggung perasaan orang bukan Islam dan bukan Islam tidak boleh menyinggung perasaan umat Islam. "Jika ada cara lain untuk melakukannya, ia adalah lebih baik tidak menyakiti perasaan orang. Jika berdasarkan siapa yang betul dan siapa yang salah, kita tidak akan bersetuju sama sekali. "Jika anda mengambil pendirian berdasarkan bahawa tidak harus menyakiti perasaaan, maka kita akan menjadi negara yang aman buat selama-selamanya. Ini adalah impian saya untuk Malaysia," katanya. | ||
20,000 rakyat pelbagai kaum hadiri Rumah Terbuka Kerajaan Selangor Posted: 08 Aug 2013 04:36 PM PDT SHAH ALAM : Sambutan Aidilfitri tahun ini disambut meriah dengan lebih 20,000 rakyat pelbagai kaum mengunjungi Rumah Terbuka Kerajaan Selangor di Fataran SUK di sini, hari ini. Majlis bermula jam 11 pagi hingga 2 petang itu didatangi masyarakat dari segenap pelusuk yang mengambil peluang untuk bersua muka dan bersalaman dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Hadir sama, Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh, selain exco negeri, antaranya Datuk Teng Chang Khim, Rodziah Ismail, Iskandar Abdul Samad, Dr Daroyah Alwi, Dr Ahmad Yunus Hairi serta Adun. Diplomat asing, pemimpin parti politik, pelancong dan ketua jabatan kerajaan Selangor tambah menyerikan majlis yang dihoskan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Seramai 270 rakyat Selangor terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU), warga emas, anak yatim, ibu tunggal dan Orang Asal turut dirai pucuk pimpinan negeri. Abdul Khalid juga sempat meluangkan masa bersalaman bersama media sebelum menyerahkan 10,000 sampul duit raya kepada kanak-kanak yang hadir. Pengunjung disajikan pelbagai juadah, kebanyakannya menu tempatan seperti sate, rendang, lemang, ketupat dan nasi himpit, selain menerima pek ole-ole.- FZL | ||
MB Selangor sasar pengguna kenderaan awam meningkat 40 peratus Posted: 08 Aug 2013 04:35 PM PDT SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mensasarkan peningkatan penggunaan kenderaan awam di kalangan rakyat negeri ini sehingga 40 peratus berbanding lima peratus pada masa ini. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan Pusat untuk menyelesaikan masalah pengangkutan awam yang kian serius saban hari. "Rakyat Selangor akan bersama-sama dengan kita dalam usaha mencari jalan untuk menyelesaikan kepadatan pengangkutan. "Kita akan berusaha dengan kerajaan Pusat untuk menentukan peningkatan penggunaan perkhidmatan awam dengan mengambil kira beberapa perkara," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka anjuran Kerajaan Negeri di Dataran SUK di sini, hari ini selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Antara langkah penyelesaian awal, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri akan memberi fokus kepada penyediaan lebih banyak lorong bas untuk membawa ramai penumpang. Sebelum ini, beliau menyuarakan hasrat untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi membantu kerajaan Pusat dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini. Beliau sendiri akan mengetuai jawatankuasa yang bakal ditubuhkan dan turut dianggotai exco negeri serta Unit Perancang Bandar dan Desa Selangor. | ||
Tiga beranak maut ketika bersiar-siar Posted: 08 Aug 2013 04:32 PM PDT IPOH - Seorang ibu dan dua anak perempunnya maut dalam kemalangan di Km 85.5 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berhampiran Sungkai semalam. Sementara suami dan dua lagi anaknya cedera parah dalam kemalangan kira-kira 6.20 petang itu apabila kereta yang mereka naiki terbabas ke laluan bertentangan. Wanita tersebut dikenali sebagai S. Angamah, 35, sementara anak-anaknya yang meninggal dikenali sebagai Komadhi, 11, dan Bavani, 16. Suaminya pula M.Kalimuthu, 40, cedera bersama ana-anak mereka iaitu Gayatri, 17, serta Mathan, 6. Menurut Ketua Polis Daerah Tapah Supt Som Sak Din Keliaw, setelah kereta Proton Iswara yang dipercayai dipandu Kalimuthu terbabas, ia kemudiannya bertembung dengan sebuah kereta Proton Exora yang datang dari arah Slim River menuju Sungkai. Keluarga mangsa yang berasal dari Sungkai dipercayai keluar untuk bersiar-siar di sekitar pekan berhampiran sebelum insiden berkenaan berlaku, kata Som Sak ketika dihubungi. Mangsa meninggal di tempat kejadian sementara yang cedera dirawat di Hospital Slim River. Pemandu kereta Proton Exora berkenaan hanya mengalami cedera ringan. - Bernama | ||
Wisma Putra masih siasat nasib Wei Fei Posted: 08 Aug 2013 04:27 PM PDT Sabah diceroboh KUALA LUMPUR - Wisma Putra masih menyiasat bagi menentukan status kematian Tung Wei Fei yang dilaporkan meninggal dunia semasa berada dalam tahanan lelaki bersenjata Filipina, bersama sepupunya. Dalam kenyataan di sini hari ini, Wisma Putra berkata pihak keselamatan Filipina sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas nasib Wei Fei, 34. "Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan di Malaysia serta Polis Negara Filipina (PNP) mengenai perkara ini," menurut kenyataan itu. Pada 13 Nov tahun lepas, Wei Fei bersama sepupunya Tung Wei Jie, 26 diculik lelaki bersenjata Filipina di rumah sarang burung di ladang milik keluarga di Lahad Datu, Sabah dan dilarikan ke Jolo, selatan Filipina. Pada 6 Ogos lalu, Wei Jie berjaya melarikan diri daripada tahanan di kepulauan Wilayah Sulu dan memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa Wei Fei telah meninggal dunia akibat penyakit, pada 8 April ketika berada dalam kurungan. Wee Jie kini di bawah jagaan PNP untuk direkod keterangannya sebelum diserahkan kepada pegawai Kedutaan Malaysia di Manila. "Kedutaan Malaysia di Manila bekerjasama dengan PNP, Polis Diraja Malaysia dan keluarga Wei Jie untuk memastikan beliau selamat pulang ke Malaysia tidak lama lagi," menurut kenyataan itu. - Bernama | ||
Jangan biar politik ultra dalam pendidikan Islam Posted: 08 Aug 2013 04:24 PM PDT Datuk Seri Dr Rais Yatim SINAR HARIAN KUALA LUMPUR - Politik ultra tidak harus ditoleransi terutamanya dalam institusi pendidikan Islam, bagi membolehkan penyatuan kumpulan Islam berbeza di negara ini, kata penasihat kerajaan bagi hal ehwal sosial dan kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim. Beliau berkata universiti perlu berhati-hati dalam menentukan di mana politik sukar dikawal itu bermula dan di mana tamadun Islam sebenar berakhir. "Politik utra perlu ditangani. Mereka (pelajar) datang ke sini untuk belajar, mereka datang ke sini untuk menjadi sarjana. "Kita tidak boleh benarkan politik ultra bertapak dalam institusi seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)," katanya kepada Bernama pada majlis sambutan Aidilfitri pelajar antarabangsa UIAM di sini hari ini. Rais, yang juga Presiden UIAM berkata sungguhpun persoalan tamadun Islam adalah penting, ia juga harus dilihat mampu mengharmonikan dan memenuhi spektrum lebih luas dalam dunia kesarjanaan dan dunia cendekiawan. "Kumpulan bakat antarabangsa perlu meneruskan usaha ke arah menjadikan kesarjanaan Islam sebagai matlamat utama. Kita tidak harus terlepas pandang mengenai hakikat kita hidup dalam komuniti dunia dan Islam tidak harus dilihat sebagai amalan antagonis, daripada aspek kesarjanaan atau daripada aspek sosial," katanya. Beliau juga mahu melihat kumpulan kesarjanaan bukan sahaja terlibat dalam subjek Islam tetapi juga subjek seperti perbankan dan perdagangan. "Tahun ini, kami meletakkan keutamaan pada kesarjanaan berkaitan perbankan dan perdagangan Islam yang, seperti anda tahu, amat penting dalam dunia ekonomi, dan UIAM telah ditetapkan untuk melakukan yang terbaik dalam bidang ini," katanya. - Bernama |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan