Isnin, 19 Ogos 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Pusingan kedua Karpal lawan Zahid di mahkamah?

Posted: 19 Aug 2013 02:13 AM PDT

OLEH V ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA

Karpal SinghKarpal Singh
















Karpal Singh dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan bertemu lagi berhubung kes saman seorang ahli perniagaan.

Saman yang dikatakan selesai melalui proses rundingan bulan lalu dijangka berbangkit semula selepas Ahmad Zahid mengumumkan bahawa ahli perniagaan, Amir Bazli Abdullah memaafkannya.

"Dia memohon maaf kepada saya dalam satu pertemuan bersama pihak ketiga dan saya memaafkannya," Ahmad Zahid memberitahu The Malaysian Insider baru-baru ini.

"Saya difahamkan kes ini selesai," katanya.

Namun, Karpal mendakwa Ahmad Zahid melanggar arahan rundingan dengan mendedahkan perkembangannya.

"Malah saya sendiri selaku peguam kepada Ahmad Bazli tidak mendedahkan butiran rundingan. Amir Bazli bersumpah untuk menjaga kerahsiaan seperti syarat yang ditetapkan dalam rundingan," kata peguam veteran itu.

"Bagaimana Ahmad Zahid tahu anak guam saya memaafkannya," katanya.

Karpal berkata, Ahmad Zahid menghina mahkamah dan bakal berdepan dengan tuduhan itu.

Datuk Seri Ahmad Zahid HamidiDatuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
Pada 18 Julai lalu, Ahmad Zahid dan Amir Bazli bertemu tanpa ditemani peguam melalui pengantara Hakim Mahkamah Sesyen Rohani Ismail.

Datuk Shamsul Baharin yang juga salah seorang panel guaman Ahmad Zahid berkata, nilai pampasan akan diputuskan tanpa campur tangan peguam.

Amir Bazli mengakui proses rundingan berjalan lancar namun enggan mengulas lanjut perjalanan rundingan.

Beliau kemudiannya berasa terancam dengan kehadiran Ahmad Zahid yang datang bersama penyokong dan pengiring.

Amir Bazli memfailkan saman terhadap Ahmad Zahid pada Julai 2007 atas tindakan menumbuk mukanya di Kelab Rekreasi Country Heights di Kajang, Selangor.

Katanya, Ahmad Zahid mengancam untuk membunuh dan menahan tanpa kebenaran di rumahnya itu.
Ahmad Zahid menafikan pertuduhan itu dan berkata Amir Bazli mereka-reka cerita.

Beliau mengemukakan saman balas kepada Ahmad Bazli kerana berasa tersinggung dan trauma atas pertuduhan itu.

Peningkatan kadar jenayah kegagalan 100 hari pentadbiran Najib, kata PAS

Posted: 19 Aug 2013 02:08 AM PDT

Oleh Mohd Farhan Darwis

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika berucap di sidang akhbar di ibu pejabat PAS. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 19 Ogos, 2013. 

















PAS melihat peningkatan kadar jenayah dan kes bunuh melanda negara adalah kegagalan dalam 100 hari pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas Pilihan Raya 2013.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menegaskan peningkatan kes jenayah bunuh menyumbang kepada kesejahteraan rakyat di samping peningkatan kos sara hidup dan juga hutang kerajaan yang semakin meningkat.

"Peningkatan jenayah dalam negara kita, ini pencapaian 100 hari yang cemerlang, jenayah bunuh meningkat sehingga menjejaskan keselesaan hidup rakyat," katanya secara sinis ketika sidang media di Ibu Pejabat PAS, di Kuala Lumpur hari ini.

 Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, Najib juga gagal memberikan gambaran jelas proses pembinaan kehidupan rakyat, kerana masyarakat di negara ini masih lagi berjuang dengan beban kehidupan yang semakin meningkat.

"Najib tidak memberi gambaran jelas bagaimana proses pembinaan kehidupan rakyat. Tiada perubahan membantu ringankan beban hidup rakyat.

"Selepas pilihan raya rakyat terus dibebani harga barang yang meningkat, saya yakin harga ayam, daging tidak akan turun lagi selepas naik ketika Ramadan dan Hari Raya," katanya.

Mahfuz turut menyuarakan kebimbangan Najib mencontohi corak pentadbiran bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berbelanja besar dan mewujudkan banyak projek gajah putih.

"Pak Lah dalam bukunya mendedahkan jika beliau mengikut cara Dr Mahathir, Malaysia akan bankrap.
Saya khuatir Najib ikut cara Dr Mahathir," kata Mahfuz merujuk kepada pengganti Dr Mahathir Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Hutang negara juga semakin meningkat. Pada suku pertama 2013 sebanyak RM 508.9 bilion, berbanding RM501.6 bilion pada suku pertama 2012," katanya.

Pemimpin PAS itu juga mendakwa, kepimpinan Barisan Nasional (BN), terutama Umno dilihat lebih memposisikan kuasa mereka untuk Pemilihan Agung Umno yang dijadualkan pada Disember depan.

"100 hari pentadbiran Najib amat dukacita kerana tumpuan lebih banyak memposisikan dalam pemilihan agung Umno.

"Jadi beliau tidak dapat kenal pasti masalah dihadapi negara," dakwa Mahfuz.

Najib tolak cadangan Dr M untuk swastakan MAS

Posted: 19 Aug 2013 02:02 AM PDT

OLEH MD IZWAN

Najib menolak gesaan Dr Mahathir mengenai penswastaan MAS. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 19, Ogos, 2013. Najib menolak gesaan Dr Mahathir mengenai penswastaan MAS. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari



















Datuk Seri Najib Razak menolak cadangan penswastaan syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines (MAS) oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang mengatakan langkah tersebut akan mengelakkan berlaku lebih banyak kerugian.

Perdana Menteri berkata langkah pemulihan yang sedang diambil sudah menampakkan hasil dan kerugian yang dialami MAS juga sudah berkurangan.

"Saya nak jelaskan bahawa MAS tidak akan diswastakan.

 "Walaupun MAS masih terus mengalami kerugiaan, bagaimanapun pelan pemulihannya sudah pun menampakkan hasil dan trennya adalah jumlah kerugian sudah berkurangan," kata Najib semasa sidang media di rumah terbuka Kementerian Kewangan, Putrajaya hari ini bagi menjawab gesaan Dr Mahathir semalam.

Najib juga mempertahankan pengurusan MAS sedia ada yang disifatkannya sebagai telah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik.

"MAS sudah pun menjadi sebuah syarikat yang disenaraikan dan dikuasai oleh Khazanah serta kepentingan awam, segala urusan dalam MAS ini berjalan seperti sebuah badan komersil mengikut prinsip-prinsip urus tadbir yang baik," tegas beliau lagi.

Menurut Najib lagi, kerajaan akan memantau dari semasa ke semasa prestasi kewangan MAS dan menyatakan keyakinan mampu mengembalikan keuntungan.

Semalam, Dr Mahathir memberikan cadangan supaya MAS diswastakan kerana berdepan dengan kerugian.
Bekas Perdana Menteri itu berkata selagi MAS dikendalikan oleh kerajaan ianya tidak akan menjana keuntungan kerana wujud kebergantungan.

Penswastaan MAS pernah dilakukan hampir 20 tahun lalu, ketika ia ditadbir Tan Sri Tajudin Ramli. Kerajaan rugi besar dalam proses itu.

Semasa pentadbiran Dr Mahathir, Tajudin memegang tampuk kawalan terhadap MAS dengan membeli 32 peratus saham Bank Negara untuk RM1.8 bilion pada 1994.

Tajudin menjual semula saham terkawal itu kepada Putrajaya dengan harga RM8 seunit berbanding nilai pasaran RM3.68 seunit pada 2001, setara dengan perbelanjaannya RM1.8 bilion pada 1994 walaupun penerbangan nasional itu mengalami kerugian.

Pada 1994, kerajaan menjual pegangannya terhadap MAS kepada Tajudin sebagai salah satu cubaan membalikkan kedudukan kewangan yang lemah berikutan peningkatan kos buruh, kadar faedah lebih tinggi dan keengganan pemberi pinjaman.

Pada 2001, usaha penjualan itu tidak berjaya.

Tahun lalu, MAS mendapat aliran tunai berjumlah RM3.1 bilion dalam isu terbitan hak dan menjual RM1 bilion sukuk untuk perbelanjaan operasi.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga bekas Pengarah Urusan MAS Datuk Seri Idris Jala berkata Putrajaya harus mempertimbangkan untuk menjual syarikat penerbangan negara tersebut tetapi bukan pada harga yang merugikan.

Beliau berkata, MAS telah didagangkan pada RM6 ketika beliau menerajui tetapi kini harga sahamnya telah jatuh kepada 30 sen.

Pengurus aset negara Khazanah Nasional Bhd adalah pemilik majoriti MAS, yang telah mencatatkan kerugian untuk enam suku tahunan berturut-turut

Pelantikan Nadim: Kenapa tidak letak di pusat khidmat?

Posted: 19 Aug 2013 01:59 AM PDT

Oleh Anis Nazri

KUALA LUMPUR: Penjelasan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berhubung pelantikan anaknya di kementerian itu masih belum cukup meleraikan persepsi negatif yang timbul sebelum ini.

Biarpun beliau mengatakan bahawa anaknya, Nadim Mohamed Nazri tidak dibayar gajinya dengan wang kerajaan, sebaliknya dengan wang saku Nazri sendiri, masih terdapat persoalan yang perlu dijawab.

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Hanipa Maidin (Gambar kanan) berkata alasan Nazri yang mengatakan gaji anaknya tidak dibayar kerajaan, dan tidak terlibat dengan kerja-kerja kementerian hanya menimbulkan persoalan lain berkaitan pelantikan tersebut.

"Dijelaskan pelantikan Nadim itu tidak melibatkan kerja-kerja kementerian, sebaliknya khusus untuk program di kawasan parlimen menteri tersebut, iaitu Kuala Kangsar.

"Jika benar Nadim dipilih untuk fokus kepada program di parlimen beliau, kenapa tidak diletakkan Nadim di Pusat Khidmat Parlimen Padang Rengas, yang secara khusus bertugas untuk tujuan tersebut?" soal beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Ahli Parlimen Sepang itu percaya, Nazri telah tersilap dalam perbuatannya namun beranggapan masih belum terlambat untuk memperbetulkan kesilapan tersebut.

Sebelum ini, Nazri mengundang kontroversi apabila mengambil anaknya sebagai pegawai khas di kementeriannya.

Bagaimanapun, Mohamed Nazri menjelaskan bahawa pelantikan anaknya itu adalah pelantikan tidak rasmi dan tidak dibayar gaji oleh kerajaan.

Tindakan Nazri itu mengundang respons pelbagai pihak yang menyifatkan perkara seperti itu tidak harus berlaku bagi memastikan ketelusan dalam sesebuah pentadbiran.

Nazri melawan; gelar pengkritik ‘bodoh’

Posted: 19 Aug 2013 01:54 AM PDT

OLEH V. VASUDEVAN, PENGARANG BERITA

















Menteri Kabinet yang dilanda kontroversi, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (gambar) menggelar golongan yang melemparkan kritikan terhadapnya sebagai "bodoh" berikutan pelantikan anaknya sebagai pegawai khas di Padang Rengas.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan yang terkenal dengan ketegasannya itu berkata beliau telah menjelaskan isu berkenaan kepada pihak atasannya, Datuk Seri Najib Razak.

"Saya tidak khuatir. Saya akan tentang mereka. Ia tak beri kesan kepada saya," katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

 Serangan terbaru ke atas Nazri datang dari penulis blog dan kumpulan hak Melayu yang menggelar menteri berkenaan sebagai angkuh kerana mempertahankan keputusan berhubung pelantikan anaknya, Nedim Mohamed Nazri sebagai pegawai khasnya.

Golongan tersebut turut mencabar Nazri untuk bertanding dalam pemilihan Umno yang akan datang untuk membuktikan popularitinya.

Nazri telah pun menjelaskan Nedim tidak dibayar kerajaan dan pelantikannya bagi membantu pelaksanaan aktiviti belia di Padang Rengas.

Selain itu, penulis blog Umno mendakwa, "Nazri sekali lagi berkata perkara tidak masuk akal. Pada mulanya memberitahu anaknya bekerja sukarela namun kemudian menjelaskan membayar sendiri gaji anaknya.

"Jika gaji dibayar, itu bukan sukarela. Tidak kira siapa yang membayarnya. Sukarela bermakna tiada bayaran," jelas penulis blog itu.

Setiausaha Jaringan Melayu Malaysia Hamdan Mohd Salleh meminta menteri itu untuk meletak jawatan dan pergi melancong jika terlalu kaya.

Nazri berkata golongan seperti ini "tidak berakal". Penulis blog telah memanipulasi Internet dengan cara yang tidak betul.

"Dahulu semasa pemilihan Umno, mereka mengancam untuk mewujudkan buku tentang pemimpin Umno dengan berharap segala dakyah yang dipaparkan mampu mengaburi mata masyarakat.

"Sekarang mereka menggunakan blog untuk menyampaikan perkara sama. Oleh kerana itulah mereka mahu saya bertanding bagi menguji tahap populariti," katanya.

Nazri berkata beliau telah biasa bertanding dalam jawatan Majlis Tertinggi (MT) Umno dan kini beliau ingin berikan kepada generasi yang lebih muda untuk mengambil alih.

"Saya percaya ada calon yang lebih layak untuk bertanding. Bagaimana parti untuk menjana pemimpin baru jika orang yang sama menerajui MT," katanya.

Nazri menjelaskan kewangannya kini berada pada kedudukan "selesa" dan kini masa berkhidmat kepada masyarakat.

"Saya telah berkhidmat kepada masyarakat sejak 18 tahun lalu sebagai ahli Parlimen maka inilah masa untuk berkhidmat dan tidak terfikir untuk meletak jawatan," ujarnya.

Katanya, penulis blog yang berterusan menyerangnya menggambarkan sikap biasa orang Melayu yang tidak boleh melihat kesenangan orang lain.

"Nedim bekerja dengan saya. Saya bayar gajinya. Pegawai yang bekerja di kementerian bukan saudara saya," katanya.

Nazri Aziz mula jadi beban kepada Umno?

Posted: 19 Aug 2013 01:52 AM PDT


Oleh Shahbudin Husin

Tidak sampai dua hari, PM Najib terpaksa menukar pendiriannya berhubung tindakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan,  yang melantik anaknya sebagai pegawai khasnya di kementerian itu.



Jika semalam Najib menyatakan tidak menjadi salahnya Nazri berbuat demikian asalkan tidak melibatkan pembayaran gaji oleh kerajaan tetapi hari ini beliau mengubah kenyataannya itu dengan mengatakan ahli keluarga menteri hanya boleh diletakkan sebagai pembantu di kawasan Parlimen masing-masing dan bukannya di kementerian.

"Inilah prinsipnya, prinsipnya ahli keluarga tidak boleh diletakkan di pejabat menteri," katanya.

Tindakan Nazri melantik anaknya sebagai pegawai khas telah mengundang keresahan orangramai, bukan saja kerana anaknya, Nedim itu terlibat dengan kontroversi sebelum ini, bahkan cara Nazri mempertahankan anaknya memperlihatkan keangkuhannya yang melampau.

Selain mengatakan anaknya tidak dibayar gaji oleh kerajaan, sebaliknya melalui duit poketnya sendiri, Nazri dengan nada sombongnya juga berkata, "ini kementerian saya, saya boleh boleh lantik sesiapa saja."

Dalam hal ini Nazri barangkali terlupa bahawa kementerian bukanlah milik individu. Kementerian bukan seperti syarikat sendirian berhad. Kementerian adalah milik kerajaan dan menteri duduk di situ hanyalah atas ehsan Perdana Menteri melantiknya setelah beliau dipilih sebagai wakil rakyat.

Hanya setelah menjadi wakil rakyat atau dewan negara, barulah seseorang itu boleh dilantik sebagai menteri. Ini menjadikan seseorang menteri sebenarnya sentiasa terikat kepada sokongan dan undi rakyat.

Selagi rakyat menyokongnya, dapatlah jadi menteri tetapi setelah tidak lagi mendapat sokongan rakyat, kedudukan menteri terpaksa dilepaskan dan kementerian juga kena ditinggalkan.

Jadi, janganlah sombong dan bongkak sangat kerana dapat jadi menteri seolah-olah boleh melakukan apa saja.

Ingatlah bahawa menjadi menteri adalah atas pertanggungjawaban bersama sebagai sebuah kerajaan setelah diberi mandat oleh rakyat. Jika menteri bersikap sombong dan angkuh, parti dan kerajaan yang akan menerima kesan penolakan daripada rakyat.

Oleh sebab itu, menjadi seorang pemimpin dan menteri haruslah menjauhi sikap sombong dan angkuh bagi memastikan sokongan rakyat berterusan.

Pemimpin yang bersikap sombong, angkuh dan enggan menerima teguran adalah beban kepada parti dan kerajan.

Tindakan Najib yang terpaksa mengubah pendirian dan menjadi flip-flop berhubung keputusan Nazri melantik anaknya itu, walaupun mengundang persepsi yang berbagai mengenai kefahaman Perdana Menteri sendiri berhubung perlantikan ahli keluarga oleh seseorang menteri, tetapi secara nyata menunjukkan bahawa apa yang dilakukan Nazri itu adalah salah.

Cumanya, mungkin atas sebab-sebab tertentu dan hubungan peribadi yang agak lama, Najib segan memberitahu secara terus-terang agar Nazri mengeluarkan anaknya daripada kementerian itu.

Dengan meletakkan anaknya duduk di kementerian, walaupun gajinya dibayar oleh bapanya sendiri tetapi sudah tentu pelbagai kemudahan kerajaan akan turut digunakannya.

Lagi pula meletakkan anak dan ahli keluarga sendiri di di kementerian di mana bapanya menjadi menteri, turut juga mengundang persepsi yang tidak baik kepada rakyat dan kakitangan kementerian itu sendiri.

Rakyat akan melihat menteri mengamalkan nepotisme manakala kakitangan kementerian pula menjadi serba-salah dalam menjalankan tugasnya terutama jika ada permintaan yang melibatkan pemberian kontrak dan peluang perniagaan.

Dalam isu Nazri ini, beliau sebenarnya lebih banyak dikecam oleh pihak dalam Umno sendiri berhubung tindakannya itu.

Pelbagai peringkat dalam Umno secara terbuka meluahkan rasa kurang senang dengan perkara itu.

Blogger dan pengendali laman sosial pro Umno juga tidak henti-henti mengkritik beliau sambil mengaitkan dengan beberapa kenyataannya yang berbaur angkuh dan sombong setiap kali isu mengenai anaknya itu menjadi kontroversi.

Sebelum ini isu mengenai anaknya yang dikaitkan dengan tauke balak, Michael Cina, Nazri juga bingkas mempertahankan anaknya itu dengan nada yang juga sombong dan angkuh. Kali ini, timbul lagi isu anaknya, sombong dan angkuhnya tetap sama juga.

Nazri dilihat seperti tidak memahami kedudukannya sebagai pemimpin dan menteri yang seharusnya sentiasa bersikap rendah diri, mesra rakyat dan menjauhi sama-sekali sifat sombomg dan angkuh, lebih-lebih lagi kemenangan BN dalam pilihanraya umum lalu tidaklah sebesar mana.

Najib sendiri berulangkali mengingatkan pemimpin Umno dan kerajaan supaya sentiasa mengamalkan sikap-sikap terpuji dan menjauhi amalan yang tidak disukai oleh rakyat, berikutan kesedarannya bahawa kedudukan BN dalam pilihanraya ke 14 nanti jauh lebih getir jika pemimpinnya tidak berubah sikap.

Namun Nazri nampaknya, baik sebelum pilihanraya, apatah lagi selepas pilihanraya ini apabila dipindahkan ke kementerian yang penuh warna-warni, sikapnya semakin jauh daripada amalan pemimpin yang diharapkan oleh rakyat.

Tidak hairanlah bukan saja parti lawan yang mengkritiknya, bahkan kritikan daripada dalam Umno sendiri ternampak semakin melebar.

Dengan kenyataan Najib hari ini bahawa anggota keluarga tidak boleh berada di pejabat menteri, mesej Najib adalah jelas agar Nazri segera mengeluarkan anaknya daripada kementerian itu.

Jika ingin dikekalkan juga jawatan pegawai khasnya, letakkanlah di kawasan Parlimennya di Padang Rengas dan bukan lagi di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Najib barangkali sudah menerima maklumbalas yang negatif daripada Umno sendiri mengenai tindakan Nazri itu sehingga kenyataannya berubah berbanding semalam.

Jika semalam, beliau macam bersetuju dengan tindakan Nazri itu, kenyataannya hari ini tentunya lebih mudah difahami oleh Nazri. Yang pastinya, tiada alasan lagi untuk Nazri terus berdalih mempertahankan anaknya itu. -

Najib berunding dengan Anwar tentang kerajaan perpaduan?

Posted: 19 Aug 2013 01:45 AM PDT


Oleh Aspan Alias

Berbagai-bagai spekulasi yang berlaku dalam politik tanah air. Isu yang paling kuat berlegar sekarang ialah isu kerajaan campuran yang di usahakan oleh dua orang pemimpin 'famous' negara kita, iaitu Najib dan Anwar. Kedua-dua yang sangat 'famous' ini telah berperang sebelum dan semasa pilihanraya tetapi dalam masa mereka berperang mereka berjumpa dan berunding dan merancang beberapa hal politik masing-masing. 

Mereka berunding bukan untuk mencari penyelesaian masalah negara seperti rasuah dan salah guna kuasa, tetapi bagaimana mereka boleh mempertahankan kuasa dan menikmati kuasa dalam politik tanahair. Dalam pada itu rakyat telah berbelah dan bermusuhan dengan 'team' masing-masing, BN dan Pakatan Rakyat. Apabila diketahui ramai yang mereka berdua pernah berjumpa dan bertemu dan berunding untuk kepentingan mereka, sudah lihat kecenderungan rakyat sudah mula yakin yang pimpinan samada dipihak BN atau pun Pakatan Rakyat adalah sama…iaitu untuk kuasa peribadi. Mereka berpakat kerana kedua-dua mereka dalam 'desperation' untuk kembali menjadi relevan.
Ramai yang merasa tertipu dan merasa yang mereka di permainkan oleh pimpinan masing-masing. mereka yang ramai ini sedar yang mereka hanya digunakan oleh pimpinan masing-masing sebagai 'kuda pelejang' sahaja. Berdemo di sana, berdemo disini, memekik disana sini menaikkan serta menegakkan pimpinan masing-masing. Akhirnya mereka sedar mereka telah dijadikan perkakas semata-mata. Ada yang berkata dibawah-bawah ini yang mereka tidak akan membiarkan diri mereka untuk jadi 'anjing salak' sahaja.
Pendeknya penyokong-penyokong Pakatan hanya diperguna oleh Anwar sebagai 'parang bengkok' untuk menebas semak dan samun yang menghalang Anwar untuk maju mendapatkan kehendak dan kemahuan beliau. Begitu juga di pihak BN, Najib hanya menjadikan penyokong-penyokong beliau untuk dijadikan 'parang bengkok' untuk menebas pihak yang cuba menerajang beliau dari Putrajaya.
Ramai yang berkata yang sebahagian besar meereka di dalam UMNO tidak bersetuju dengan kerajaan perpaduan itu kerana mereka bukan sesungguhnya mahu mencari formula untuk negara sebaliknya 'kerajaan perpaduan' itu hanyalah helah untuk mendapatkan kuasa peribadi mereka sahaja. Kedua-dua Najib dan Anwar adalah dua orang pemimpin yang tidak sampai hajat mereka walaupun sebahagian doa mereka telah terkabul.
Doa Anwar untuk melemahkan UMNO dan BN terkabul tetapi hajatnya untuk menjadi Perdana Menteri tidak terkabul. Disebaliknya doa Najib untuk terus menjadi PM itu terkabul tetapi hajat untuk mendapatkan kememangan 2/3 tidak kesampaian. Ini adalah kes doa terkabul hanya tidak kesampaian.
Akhirnya kita melihat keadaan dalam mana Anwar begitu kecewa kerana yang beliau lihat sebagai sokongan yang akan membawa beliau ke Putrajaya tidak menjadi kenyataan. Ternyata Anwar bukanlah pilihan rakyat untuk dijadikan Perdana Menteri dan Najib juga bukanlah PM yang dimandatkan untuk menjadi seorang pemimpin dari BN yang mendapat sokongan kuat dari rakyat.
Bagi kedua-dua pemimpin ini, mereka perlu melakukan introspeksi yang mendalam kenapa mereka tidak kesampaian hajat mereka. Tentunya ada hikmah disebalik kegagalan mereka berdua untuk mendapatkan apa yang mereka kehendaki serta hajati.
Dua orang yang gagal tidak mungkin mendapat mandat dari pihak masing-masing untuk berunding bagi menentukan masa depan negara. Selesai masalah mereka berdua tidak semestinya boleh menyelesaikan masalah negara.
Diantara yang di sebut ramai ialah kedua-dua Najib dan Anwar telah berunding untuk Najib terus jadi PM buat sementara waktu dan Anwar sementara itu menjadi Timbalan Perdana Menteri pertama dan Muhyiddin telah diputuskan oleh mereka sebagai Timbalan Perdana Menteri kedua sahaja.
Najib dan Anwar mesti memahami yang negara ini bukannya kepunyaan mereka berdua sahaja. Ia kepunyaan seluruh rakyat. Jika ada pun kerajaan perpaduan tidak ada diantara mereka boleh dijadikan PM kerana yang merosakkan negara tdak sepatutnya di lantik dan dipilih untuk menerajui pemulihan negara.
Bagi saya jika mahu merosakkan negara berikanlah negara ini kepada mereka berdua untuk memimpin negara. Jika mahu menambah buruknya kerosakan negara, berikanlah juga kepada kedua-dua pemimpin ini untuk membetulkannya kembali.
Sekian…

Meningkatkan kualiti kesihatan air mani

Posted: 19 Aug 2013 01:42 AM PDT

Dr. Ismail Thamby

 

Masih ramai lelaki dan wanita tidak tahu perihal kuantiti air mani. Sejak kebelakangan ini banyak e-mel yang saya terima bertanya mengenai air mani.Baik suami mahupun isteri menyatakan kebimbangan, lebih-lebih lagi jika tidak mendapat anak walau sudah lama berkahwin.Dalam pelbagai soalan, saya tertarik kepada individu yang bertanya mengenai ubat dan makanan yang boleh menambah kuantiti air mani.
 

Isi padu air mani yang keluar ketika klimaks berubah mengikut tahap rangsangan seksual, kekerapan persetubuhan dan umur.

Tahap rangsangan membuatkan anggota reproduktif lelaki menjadi mantap dengan kemasukan darah yang banyak dalam pundi prostat, cowpers dan seminal, kemudian dapat menghasilkan air mani yang banyak.
Bagaimanapun, air mani akan berkurangan jika seorang lelaki kerap melakukan persetubuhan atau onani. Ini tidak mengira faktor ghairah atau terangsang seseorang lelaki.

Oleh itu, tidak hairan jika tidak bersetubuh dalam jangka masa lama, perasaan teruja semakin ketara dan penghasilan air mani juga bertambah.

Menyentuh aspek umur, pengaruh hormon testosteron memainkan peranan penting. Apabila tahap hormon menurun, rangsangan terhadap pundi tadi menjadi kurang, seterusnya jumlah air mani menjadi sedikit.
 

Bagaimanapun, banyak keadaan boleh mempengaruhi jumlah air mani seperti makanan dan makanan tambahan. Lelaki menghasilkan dua hingga enam mililiter (ml) air mani setiap kali klimaks. Jika kerap klimaks, isi padu air mani boleh berkurangan sebanyak ½ ml atau hanya beberapa titik.

Bagi lelaki, banyak meminum air dapat membantu meningkatkan kuantiti air mani. Anda perlu minum sekurang-kurangnya empat liter sehari.

Selain itu, daging mengandungi pelbagai nutrien sesuai untuk penghasilan sperma. Ikan tuna, ayam dan daging merah mengandungi asid amino seperti L-Arginine dan L-Carnitine yang penting untuk sperma.
 

Tiram dan makanan laut pula mengandungi zink yang penting untuk penghasilan air mani serta keaktifan sperma. Kekacang pula bagus dimakan kerana mengandungi banyak zat galian zink dan selenium.

Bijirin seperti oat dan granola, buah-buahan seperti buahan citrus, bayam, brokoli dan asparagus juga elok dimakan kerana mengandungi asid folik.

Buah-buahan tempatan juga mempunyai nutrien baik dan penting untuk penghasilan air mani. Buah nangka dan betik mengandungi banyak antioksida yang boleh mempengaruhi kualiti sperma dalam badan.

Pendek kata, semua buah-buahan dan sayuran menyumbang kepada isi padu, kesihatan dan kandungan air mani seseorang.

Perkara yang mendapat kajian klinikal adalah herba akar Tongkat Ali. Ia diuji secara saintifik oleh pakar tempatan dan dilihat boleh menambah isi padu air mani.
 

Semua makanan dan suplemen yang saya nyatakan di atas boleh diamalkan jika ingin menambah isi padu air mani yang berkualiti, baik untuk lelaki muda mahupun berumur, sekali gus meningkatkan peluang kehamilan.-MyMetro

Posted: 19 Aug 2013 01:26 AM PDT

MSO

Mahathir mencadangkan MAS diswastakan untuk mengelakkan kerugian. Ramai terkejut kenapa tiba-tiba bekas PM itu mencadangkan demikian. Apakah dia sudah ada cadangan atau angan-angan untuk memiliki MAS? Sudah ada prokasi?

Selama dia menjadi PM, MAS sudah pun rugi tetapi tidak dibuat cadangan itu.

Saya melihat cadangan Mahathir itu bukan main-main. Ia ada maksud tersirat. Apakah dia mahu memberi apa-apa mesej kepada Najib Razak? Sebelum ini Mahathir mengeluarkan pendapatnya yang BR1M yang diberikan Najib kepada rakyat tidak memberi kesan. UBN tetap kalah juga.

Mahathir juga dalam nada sinikal mengatakan dia tidak sangka UBN kalah teruk ditangan Najib.

Apakah cadangan Mahathir itu untuk memperli Najib? Walaupun sudah ada usaha dibuat Najib untuk menyelamatkan MAS dari bankrup tetapi Mahathir tetap memahat yang bunyinya menyenakan Najib. Apakah Mahathir ada maksud lain?

Hari ini Najib membuat kenyataan menjelaskan yang MAS tidak akan diswastakan kerana ia sudah disenaraikan di Brusa Saham dan menjadi milik Khazanah Nasional dan berkepentingan awam? Apakah tindakan Mahathir itu sengaja untuk mengusik Najib atau menghulurkan mesej agar Najib bersiapa sedia untuk ditentang? Begitukah. Mahathir sedang mencari point untuk bergaduh dengan Najib kemudian mengarah Muhyiddin lawan Najib.

Mungkin pendapat saya ini kurang disenangi oleh Najib dan pendokongnya. Tetapi melihat perkembangan di sekitar Mahathir dan Najib semacam ada rasa tidak puas hari oleh Mahathir terhadap pentadbiran Najib. Najib perlu sedar yang Mahathir tidak pernah mempercayai Najib kerana dia tahu kebolehan Najib lebih kurang Abdullah Badawi sahaja.

Yang Mahathir percaya dan merasakan layak memimpin Malaysia ialah anaknya Mukhriz Mahathir

Pemilihan bahagian: Wakil rakyat tidak wajar dicabar

Posted: 19 Aug 2013 01:24 AM PDT


KL TODAY

PETALING JAYA: Umno Selangor mencadangkan wakil rakyatnya yang menang kerusi parlimen dan kerusi dewan negeri tidak dicabar dalam pemilihan parti bulan Oktober depan. Mereka mewakili parti dan ahli perlu menghormati wakil-wakil rakyat berkenaan, kata Timbalan Ketua Perhubungan  Umno Selangor, Datuk Shukor Idrus.

"Mereka telah diterima oleh pengundi (rakyat), sangat wajar ahli Umno di Selangor ini memberikan kemenangan percuma kepada mereka.


"Tidak kiralah jawatan apa yang mereka tanding sama ada ketua bahagian, timbalan, naib dan ketua pemuda, mereka tidak perlu ditentang," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Umno negeri tidak boleh menghalang  ahli bertanding serta mencabar ketua bahagian dan pemegang jawatan yang lain.

Tetapi terpulang kepada ahli untuk membuat keputusan bertanding dalam mesyuarat bahagian, kata Shukor lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa muka baru akan mencabar ketua bahagian sekarang tetapi Shukor menegaskan jumlah sebenar belum diketahui.


"Akan ada muka baru yang akan mencabar ketua bahagian dan kita di perhubungan Umno Selangor sedang memantau perkara ini," tambah beliau yang juga Adun Kuang.

Antara kawasan yang dijangka berlaku pertandingan ketua bahagian ialah Sepang di mana penyandangnya iaitu bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Mohmad Zain Mohamed kalah kepada calon PAS, Hanipa Maidin dalam pilihan raya umum lalu.

Kawasan lain termasuk Ampang di mana Ketua Bahagian Datuk Ismail Kijo tidak bertanding dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Harga minyak naik akibat krisis Mesir

Posted: 19 Aug 2013 01:09 AM PDT

Abdul Aziz Mustafa,
 
KUALA LUMPUR: Harga minyak naik sedikit dalam dagangan di Asia akibat kebimbangan akan menularnya krisis di Mesir ke negara-negara Timur Tengah lain sehingga menyebabkan bekalan disekat.

Dagangan di West Texas Intermediate di New York naik AS$0.04 (13 sen) menjadikan harganya AS$107.50 untuk penghantaran September dalam dagangan pertengahan pagi.

Dagangan minyak mentah di Brent North Sea untuk penghantaran Oktober juga naik AS$0.04 menjadikan harganya AS$110.44.

"Harga minyak terus dipengaruhi oleh situasi di Mesir dengan kebimbangan ia boleh merebak ke tempat-tempat lain di Timur Tengah," AFP memetik Desmond Chua, penganalisis pasaran di CMC Markets di Singapura.

"Masih terdapat kebimbangan terhadap bekalan yang melalui Terusan Suez dan saluran minyak Sumed," katanya.

Krisis berdarah di Mesir telah pun mengorbankan sehingga 800 orang dalam masa lima hari, menurut angka rasmi, di mana semalam sahaja 36 orang tahanan dilaporkan terbunuh di dalam apa yang didakwa oleh kerajaan yang merampas kuasa sebagai percubaan untuk melarikan diri dari penjara.

Kerajaan yang merampas kuasa semakin meningkatkan tekanan dan keganasan ke atas penyokong-penyokong presiden yang digulingkan, Mohamed Morsi.

Pertumpahan darah di Mesir itu menyebabkan kecaman meluas di peringkat antarabangsa, di mana diplomat-diplomat kanan Kesatuan Eropah (EU) memutuskan untuk mengadakan pertemuan tergempar untuk membincangkan keadaan yang berlaku dan rancangan EU seterusnya.

Walaupun Mesir bukan pengeluar utama minyak, para pedagang bimbang kejadian yang semakin meruncing di negara itu akan menjejaskan laluan bekalan minyak di Terusan Suez dan saluran minyak Sumed, yang menjadi penghubung antara Eropah dan pengeluar-pengeluar minyak di negara-negara Teluk.

Terusan Suez menjadi laluan kepada kapal-kapal yang membawa kira-kira 2.5 juta tong minyak sehari, iaitu 2.7 peratus dari bekalan sedunia.

Para pelabur pula mengambil sikap berhati-hati menjelang penyiaran minit mesyuarat bulan Julai Federal Open Market Committee di bawah bank negara Amerika Syarikat yang melibatkan penetapan polisi di mana ia juga memberi pengaruh yang ketara kepada pasaran.

ISA: 1 Syawal sudah berlalu, mana ‘berita baik’

Posted: 19 Aug 2013 01:08 AM PDT

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Jika niat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi hanya sekadar ingin mempermainkan perasaan para keluarga tahanan ISA dan meraih populariti murahan, maka Suaram mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan menyifatkan ia sebagai kejahilan menteri dalam menjaga sensitiviti tahanan ISA dan keluarga.

Penyelaras Suaram, Syukri Razab berkata, kenyataan menteri itu yang mengatakan keluarga tahanan ISA bakal mendapat 'berita baik' menjelang hari raya yang lepas nyata sekadar kenyataan yang tidak tanggungjawab dan tidak peka dengan sensitiviti tahanan dan keluarga tahanan.

Tambahnya, tidak cukup dipisahkan secara berpanjangan, para tahahan dan keluarga semestinya lebih menderita dengan kenyataan Menteri yang seolah-olah memberi janji palsu.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan pada 11 Julai itu hanya menyebabkan keluarga tahanan ISA semakin terluka akibat harapan yang dipermainkan.

Sehingga hari ini, jelasnya 8 orang tahanan ISA masih ditahan di Kem Tahanan Kamunting.

"Data ini adalah berdasarkan rekod perintah tahanan yang dimiliki Suaram. Daripada 8 tersebut, 5 adalah warga tempatan, seorang warga Sri Lanka, seorang warga Indonesia dan seorang warga Filipina," ujarnya dalam satu kienyataan.

Ini, katanya merupakan kali kedua para tahanan dan keluarga diberikan harapan palsu oleh pihak yang bertanggungjawab.

Katanya, kali pertama ialah sewaktu Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan ISA pada 15 September 2011 yang disambut penuh gembira oleh tahanan ISA dan keluarga.

Namun, kata Syukri tahanan terus hampa apabila mereka terus ditahan walaupun selepas 2 tahun pengumuman itu dibuat.

Sehubungan itu, ujarnya Suaram menuntut Menteri Dalam Negeri untuk lebih bertanggungjawab atas sebarang kenyataan yang dibuat.

"Sebagai seorang bekas tahanan ISA yang pernah meringkuk di Kem Tahanan Kamunting, Datuk Seri Zahid Hamidi seharusnya lebih faham mengenai sensitiviti keluarga yang perlu dihormati," katanya.

Tambah beliau lagi, tindakan memberi harapan tanpa tanggungjawab tidak ubah seperti menambah hukuman terhadap keluarga tahanan yang sudah sekian lama dizalimi oleh ISA.

Menurutnya, Suaram percaya, Zahid Hamidi selaku Menteri yang bertanggungjawab tidak pernah mengetahui dan memahami keperitan yang dilalui oleh para isteri dan anak-anak tahanan ISA.

"Maka atas sebab itu Zahid Hamidi tampak jahil apabila sanggup mengeluarkan kenyataan berbaur harapan tanpa disusuli dengan tindakan yang bertanggungjawab," ujarnya.

Suaram juga, kata beliau ingin melahirkan rasa hairan di atas keengganan pihak Kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri untuk membebaskan baki tahanan ISA.

Beliau berkata, pihak menteri tidak pernah memberi alasan yang kukuh mengapa penahanan ini diteruskan meskipun jumlah tahanan ISA sudah terlalu sedikit.

"Penahanan ini bukan sahaja meneruskan kezaliman ISA bahkan memperlihatkan seolah-olah Menteri sengaja ingin menunjukkan kuasa yang dimilikinya dengan menangguh-nangguhkan pembebasan," katanya lagi.

Oleh itu, ujarnya Suaram ingin menyuarakan tuntutan berikut kepada Menteri Dalam Negeri:
Pertama, Menteri Dalam Negeri perlu memohon maaf kepada Keluarga tahanan ISA di atas harapan palsu yang diberikan.

Kedua, Menteri Dalam Negeri perlu membebaskan dengan segera kesemua baki tahanan ISA tanpa syarat.

Ketiga, Menteri Dalam Negeri perlu menubuhkan sebuah Suruhanjaya Rekonsiliasi bagi menyiasat semua dakwaan salah laku Polis terhadap tahanan sepanjang mereka ditahan di bawah ISA dan mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

Institut Pemikiran Tok Guru kini beroperasi

Posted: 19 Aug 2013 01:07 AM PDT

Aslani M,
 
KOTA BHARU: Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) kini beroperasi di aras bawah blok Dewan Undangan Negeri, Kota Darulnaim.

IPTG menggalas objektif menjadi sebuah institut rujukan, latihan dan pengembangan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) atas prinsip Ubudiyyah, Mas'uliyyah dan Itqan.

Pengarahnya, Dr Che Samsudin Mohamed Noor (gambar) berkata, di samping itu IPTG berperanan sebagai pusat penyelidikan dan pengembangan (R&D) bagi pentadbiran Kelantan.

"IPTG merangka tiga komponen iaitu aktiviti keilmuan, perpustakaan dan pusat sumber serta pusat penyelidikan dan pengembangan (R&D) pentadbiran negeri," katanya di sini.

Idea penubuhan IPTG dicetus Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob selepas menggantikan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ketua kerajaan negeri.

Menurutnya pemikiran dan legasi yang berharga yang ada pada Mursyidul Am PAS perlu terus disuntik dalam jentera kerajaan negeri.

IPTG dipengerusikan Menteri Besar, manakala Tok Guru Nik Abdul Aziz dilantik sebagai penasihat atau murabbi ummah.

Dr Che Samsudin berkata, konsep Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan hanya penyampai ilmu atau mu`allim, namun dalam masa sama memastikan masyarakat menghayati dan mengamalkan ilmu dipelajari.

Murabbi ummah bermaksud menumpukan penghayatan sesuatu ilmu, sekali gus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat ummah. 

Katanya, aktiviti keilmuan IPTG merangkumi kuliah dan kursus kepada anggota perkhidmatan awam negeri, seminar, forum  dan wacana akademik.

Komponen perpustakaan pula akan menyediakan koleksi buku, kajian ilmiah, tesis dan sebarang penulisan mengenai Tok Guru.

Ia juga mengandungi pusat sumber yang berfungsi sebagai bilik audio-visual  kepada pengunjung serta sumber rujukan kepada mana-mana pihak yang ingin membuat kajian.

Manakala pusat penyelidikan IPTG menyediakan kemudahan aktiviti penyelidikan dan pengembangan, mengkaji input dan mengeluarkan output bagi pentadbiran negeri, serta unit perisian data dan statistik.

"Selaku murabbi ummah Tok Guru akan sentiasa menasihati pergerakan IPTG supaya berjalan di atas acuan fikrah yang diasaskannya, di samping mencetuskan idea-idea baru," ujarnya.

Kata beliau fikrah Tok Guru perlu dimanfaatkan untuk kepentingan ummah.

Menurutnya juga Tok Guru berpeluang melengkap dan merealisasikan idea serta perancangan baru sebagai kesinambungan 23 tahun ketika mengetuai kerajaan negeri.

Sudah 4 bulan kakitangan Kuin tidak dibayar gaji

Posted: 19 Aug 2013 01:06 AM PDT

Muhammad Faizal,


KUALA LUMPUR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) Kedah sehingga sekarang gagal menyelesaikan gaji kakitangan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang telah tertunggak selama empat bulan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pada sidang media menjelaskan tindakan tersebut umpama mendera 268 orang kakitangan yang terpaksa berdepan dengan kesulitan kerana tidak mendapat gaji.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Kedah sepatutnya lebih perihatin dan mengambil tindakan segera untuk menyelesai tunggakan gaji yang memasuki bulan keempat.

"Saya kesal dengan tindakan kerajaan BN Kedah yang sehingga sekarang gagal menyelesaikan tunggakan empat bulan gaji kepada 268 kakitangan KUIN.

"Ini merupakan satu penderaan kepada mereka, yang mana kebanyakkan mereka terpaksa berhadapan dengan tunggakan hutang, apatah lagi pada Hari Raya lepas mereka menyambut dalam keadaan kewangan yang tidak mencukupi," jelasnya di Pejabat Agung PAS pagi ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang berdiam diri tanpa memberitahu jawatan mereka yang berada di dalam Kuin.

"Kita juga ingin mengetahui pendirian kerajaan negeri mengenai kedudukan jawatan kakitangan mereka di dalam Kuin.

"Ini perlu dijelaskan bukannya berdiam diri, kalau mereka hendak dipecat ia perlu diberitahu tetapi perlu diingat pemecatan mereka mestilah mengikut kontrak perjanjian bukan dengan cara membeku gaji mereka," sambung beliau lagi.

Jelasnya lagi, tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang mengatakan Insaniah Holding Sdn Bhd tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri adalah amat mendukacitakan.

"Macam mana Mukhriz boleh kata Insaniah Holding tidak ada kaitan dengan kerajaan negeri, sedangkan ia merupakan anak syarikat kepada Kuin yang merupakan syarikat kepada kerajaan negeri.

"Ini jelas terkandung dalam minit mesyuarat Lembaga Pengarah Kuin pada 29 Mei 2009 yang meluluskan penubuhan Insaniah Holding.

"Saya tak tahu dari mana maklumat beliau dapat, sebagai Menteri Besar beliau perlu lebih perihatin dan mengkaji dalam soal ini," sambung beliau lagi.

Mahfuz menegaskan kerajaan negeri perlu menyelesaikan segera pembayaran tunggakan gaji kakitangan serta lebih prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh mereka.

Katanya lagi, jika ingin melakukan rombakan segalanya perlu mengikut perjanjian kontrak yang telah dipersetujui.

Dasar pembangunan kerajaan abai golongan miskin

Posted: 18 Aug 2013 08:22 PM PDT

Oleh: Mohd Arif Juhani

KUALA LUMPUR,: Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, kerajaan Umno-BN hanya berjanji mendahulukan keperluan rakyat bagi menikmati kediaman mampu milik. tetapi gagal melaksanakannya.

"Sebelum pilihanraya, Umno-BN berjanji untuk membina sejuta rumah mampu milik.

"Tetapi selepas membentuk kerajaan, janji hanya tinggal janji. Sehinggalah berlaku bencana kebakaran di Kampung Chubadak Jaya.


Chubadak

"Kerajaan tidak bersungguh-sungguh membantu dan lepas tangan dengan memindahkan mangsa jauh ke tempat lain," katanya kepada Keadilandaily.

Pada 8 dan pada 10 Ogos lalu, hampir 50 rumah di kawasan di Kampung Chubadak, Sentul dan Kampung Puah Bahagia, Bandar Baru Sentul terbakar mengakibatkan 300 orang kehilangan tempat tinggal.

Tian berkata, rumah penduduk yang terbakar merupakan deretan rumah panjang yang dibina secara sejak 20 tahun lalu.

Difahamkan, ketika itu kerajaan memperkenalkan dasar 'setinggan sifar' menyebabkan banyak tanah yang diswastakan kini dimiliki pemaju pembangunan.
tian-chua-13march
Manakala penduduk dijanjikan kediaman di Projek Prumahan Rakyat (PPR) dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

"Malangnya selepas beberapa tahun,. tiada berita kedengaran.

"Sehingga ada penduduk tidak tahan lalu keluar membina setinggan baru di kawasan lain.
"Akhirnya perkampungan ini tidak mempunyai status," katanya.

Justeru, Tian mendesak Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mengkaji semula projek mewah yang bakal diluluskan selain fokus kepada pembinaan rumah kos rendah PPR bagi memenuhi keperluan masyarakat.

Bekas DO Sandakan: BTN daftar imigran sebagai pengundi

Posted: 18 Aug 2013 08:13 PM PDT

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Saksi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kad pengenalan Sabah, Hassnar Ibrahim berkata, Biro Tata Negara (BTN) bertanggungjawab mendaftar warga asing sebagai pengundi selepas diberikan kad pengenalan biru.

Hassnar (gambar) berkata demikian 16 Ogos lalu ketika ditanya secara terperinci dalang sebenar dalam pendengaran suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai pendatang di Sabah.


hassnar
Beliau juga saksi utama dalam petisyen pilihan raya kecil (PRK) Likas pada 1999 melibatkan imigran yang didaftar secara meragukan sebagai pemilih untuk memenangkan BN.

Katanya, projek IC Sabah terbahagi kepada dua fasa – sebelum dan selepas 1985 ekoran kekalahan parti BERJAYA pimpinan Ketua Menteri ketika itu, Datuk Harris Salleh dalam pilihan raya negeri.

Bekas pegawai daerah Sandakan itu antara pemimpin kontroversi di Sabah ekoran pelbagai kenyataan dan pendedahannya yang menjejaskan kekuatan politik Umno di negeri itu.

Hassnar pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 60 hari pada 1988 dan diletak di bawah kediaman terhad sehingga 1990.

Menjelang pemilihan Umno, Najib mula ditinggalkan

Posted: 18 Aug 2013 08:12 PM PDT

Azuan Ab Rahman

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bakal ditinggalkan berkeseorangan dalam menghadapi kegagalan dalam pentadbirannya.

Najib_PeningPandangan itu dinyatakan Pengerusi KEADILAN Terengganu, Azan Ismail yang melihat rancangan licik pihak tertentu untuk menjadikan Najib sebagai mangsa bagi menyelamatkan imej Umno

"Menjelang pemilihan Umno ini, trendnya agak pelik. Dahulu semua berlumba-lumba mahu rebut jawatan.

"Tetapi kini sebaliknya berlaku, ramai umumkan tidak mahu bertanding," kata Azan kepada Keadilandaily.

Media arus perdana sebelum ini melaporkan keputusan beberapa pemimpin Umno yang mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan mereka.

"Ini satu muslihat paling licik, mereka mula menjauhkan diri daripada Najib.

"Semua kesalahan dan pentadbiran Najib terpaksa dipikulnya sendirian " kata Azan yang juga merupakan Adun Bandar, Terengganu.
Madey
Najib Razak dilihat hilang fokus dan gagal mentadbir negara dengan baik dalam tempoh seratus hari memegang mandat sebagai Perdana Menteri.

Najib dijangka menerima tekanan kuat dari dalam parti menjelang pemilihan Umno termasuk dari bekas presiden Umno sendiri, Tun Dr Mahathir Mohammad.

Mahathir dalam satu wawancaranya dengan agensi berita antarabangsa AFP Mac lalu mengambarkan kedudukan Najib Razak tidak stabil sekiranya gagal menunjukkan prestasi baik dalam pilihan raya umum ke-13

Kritikan keras Mahathir terhadap Najib Razak dilihat sebagai isyarat yang mahukan perubahan dalam pucuk pimpinan Umno.

Ikhwanul Muslimin mungkin diharamkan

Posted: 18 Aug 2013 08:09 PM PDT


MALAYSIA KINI


 
Ikhwanul Muslimin berisiko berdepan penghapusan secara politik apabila kerajaan Mesir pimpinan tentera mengugut mengharamkan pergerakan itu selepas melancarkan tindakan keras terhadap penyokongnya dan menyebabkan ratusan terbunuh.

Bergelut menegakkan keabsahan kerajaannya selepas penggulingan presiden Mohamed Mursi, pentadbiran baru kini berkata, negara umat Islam terbesar itu sedang berperang dengan keganasan, lapor Reuters.

Lebih 700 orang terkorban dalam insiden keganasan selama empat hari setakat ini, kebanyakannya penyokong Mursi.

Ia sekali gus mengundang kritikan negara Barat yang bukan hanya tidak senang dengan pentadbiran Islamis tetapi juga rampasan kerajaan yang dipilih rakyat.

Tindakan tegas Mesir itu bagaimanapun mendapat sokongan sekutu mereka di rantau itu seperti Arab Saudi yang sekian lama bimbangkan penularan ideologi Ikhwan di negara monarki itu.

Menyalahkan Ikhwan atas pertumpahan darah itu, Perdana Menteri Mesir Hazem el-Beblawi mencadangkan pembubaran pergerakan itu, sekali gus bakal memaksanya menjadi pertubuhan bawah tanah dan kemudian menggerakkan tangkapan terhadap anggotanya.

Kerajaan Mesir bagaimanapun berkata masih mengkaji kemungkinan itu.

"Tiada pendamaian lagi dengan tangan yang berlumuran darah dan mengacukan senjatanya kepada negara dan institusi," kata Beblawi kepada pemberita.

PBB kutuk serangan rumah ibadat, hospital


Kenyataan daripada Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Ban Ki-moon pula mengutuk serangan terhadap gereja, hospital dan kemudahan awam dan menggesa kedua-dua pihak bertelagah menghentikan keganasan.

"Setiausaha agung percaya ia boleh mengelakkan kehilangan nyawa terus berlaku dan ia patut menjadi keutamaan terpenting di saat-saat bahaya ini," menurut kenyataan itu.

"Dengan polarisasi jelas masyarakat Mesir hari ini, kedua-dua pihak berkuasa dan pemimpin politik berkongsi tanggungjawab bagi menamatkan keganasan."

Keganasan tercetus sebentar pada Sabtu apabila penyokong Mursi berbalas tembakan dengan pegawai tentera di masjid di tengah-tengah kota Kaherah, di mana penunjuk perasaan Ikhwan berlindung selepas pertembungan yang mencatatkan 95 kematian sebelum ini.

Polis akhirnya mengosongkan bangunan dan membuat tangkapan, dengan orang ramai di jalanan bersorak terhadap mereka dan mengganggu pemberita asing yang membuat liputan.

"Kami sebagai rakyat Mesir berasa sangat kesal terhadap liputan apa yang terjadi di Mesir," kata penasihat politik presiden Mostafa Hegazy mendakwa media Barat mengabaikan laporan serangan terhadap polis dan serangan pada gereja yang dikaitkan dengan kumpulan Islamis.

Tolak pemimpin naik dengan kekuatan 'poket'

Posted: 18 Aug 2013 08:08 PM PDT


MALAYSIA KINI


 
Pemilihan pucuk pimpinan Umno pada Oktober ini wajar menghormati Fasal 3 perlembagaan parti dengan mengutamakan perjuangan dan matlamat parti, kata anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Tan Sri Dr Rais Yatim.

Bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu berkata ini bermakna Umno mesti diiktiraf sebagai penyambung wadah bagi agama, bangsa dan negara dengan mekanisme perpaduan utuh orang Melayu.

NONE"Walau apa pun, Umno akan mempunyai pemimpin tetapi sekiranya kita berpecah dalam menentukan siapa akan memimpin maka kuasa di tangan orang Melayu akan lurut dan akhirnya habis disebabkan desakan politik.

"Petua yang diberi oleh presiden Datuk Seri Najib Tun Razak supaya sepakat. Orang Melayu mesti berpegang kepada petua lama iaitu seperti pantun ini 'Baju Melayu Berbutang Lima, Ada Juga Berbutang Suasa, Orang Melayu Jangan Lupa, Hilang Kuasa Hilang Semua'," katanya yang turut mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan MT dan Ketua Umno Bahagian Jelebu pada pemilihan kali ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anggota Dewan Undangan Negeri Pertang Datuk Jalaludin Alias di padang awam Simpang Pertang di Jelebu, malam tadi.

Fasal 3 Perlembagaan Umno menyenarai tanggungjawab dan matlamat perjuangan Umno sebagai sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara.

Rais yang juga Penasihat Kerajaan bagi Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan berkata kuasa itu kini dilihat oleh pihak-pihak lain dan mereka suka Umno berpecah.

Oleh itu, beliau menasihatkan pemimpin yang hendak naik ke atas supaya jangan begitu ghairah atau mencerca dan memberikan imej yang salah kepada parti.

"Saya sebagai veteran berdoa sangat supaya pucuk pimpinan berusaha mencari formula menyatukan Melayu dalam PAS dan Umno. Ini sahaja formulanya dan jika ini tidak dapat dilaksanakan saya bimbang kita tidak lama memegang kuasa mengikut maksimum tahun dan zaman," katanya.

Beliau turut menasihatkan mereka yang bertanding supaya hindarkan diri daripada politik sogok menyogok.

"Kita tidak mahu pemimpin naik ke atas sebab kekuatan 'poketnya' (wang). Kita mahu pemimpin naik ke atas sebab cerdiknya dan kebolehan memimpin...musuh Umno ialah politik wang dan jika ini dapat diatasi, saya percaya kita (Umno) akan survive," katanya.

Mengenai keputusannya tidak mempertahankan jawatan MT dan Ketua Umno Bahagian Jelebu, Rais berkata: "Bak kata perpatah, saya menyeberang sudah sampai ke seberang dan lingkungan usia saya ambil kira...oleh kerana saya sekarang diberi tugas di peringkat penasihat taraf menteri saya dapati itu lebih sesuai bagi saya setelah 40 tahun berkecimpung dalam arena politik.

"Sebagai penasihat, saya kira itu lebih afdal dan saya terimalah penghargaan daripada Perdana Menteri itu sebaik mungkin," katanya.

Mengenai pemimpin yang akan mengganti beliau di bahagian Jelebu, Rais meletakkan empat syarat iaitu perlu jujur memimpin, tidak menggunakan sogokan, tahu Fasal 3 perlembagaan dan menunjukkan jasa dan sumbangan.- Bernama

Lantik anak sendiri, bukti amalan nepotisme menteri Umno

Posted: 18 Aug 2013 08:06 PM PDT

Oleh: Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Tindakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz melantik anaknya sebagai pegawai khas di kementerian itu, bukti amalan nepotisme yang diamalkan Umno BN sejak sekian lama, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

1Nedim_Nazri

Katanya, amalan itu semakin buruk apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertahankan tindakan tersebut, dengan alasan menteri boleh mengambil ahli keluarga bekerja jika tidak dibayar gaji oleh kerajaan.

"Melantik anak sendiri sebagai pegawai khas adalah amalan nepotisme dan tindakan Najib mempertahankannya bermakna menyokong amalan itu," katanya.

Menurutnya, keputusan melantik anak sendiri sebagai pegawai khas di kementeriannya, turut menunjukkan Nazri meragui keupayaan individu lain yang lebih layak.

"Tak kan lah tiada seorangpun anak muda terutama graduan universiti yang masih mencari kerja tidak boleh dipertimbang sebagai pegawai," katanya kepada keadilan daily.

Pada 15 Ogos lalu, Nazri mempertahan tindakan melantik anaknya, Muhammad Nedim sebagai pegawai khasnya sambil menegaskan ia hak mutlak beliau selaku Menteri. Nazri turut memberitahu beliau tidak akan menggugurkan jawatan anaknya semata-mata untuk menggembirakan sesetengah  pihak.

"Ia kementerian saya, saya boleh letak nama sesiapa sahaja. Dia anak saya dan saya gembira kerana lantik dia sebagai pegawai khas saya," kata Nazri kepada media 15 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Shamsul menyifatkan kenyataan Nazri itu sombong dan tidak mencerminkan dirinya selaku menteri yang menjaga imej negara.

Tindakan Nazri sebelum ini mengundang respons pelbagai pihak yang menyifatkan perkara seperti itu tidak harus berlaku dalam pentadbiran kerajaan.

Susulan itu, Nedim kemudian disenaraikan di laman web kementerian pelancongan sebagai pegawai khas di kawasan Parlimen Padang Rengas, dan bukan di kementerian tersebut.

Roboh surau: Pandangan saya berbeza, kata Dr M

Posted: 18 Aug 2013 08:04 PM PDT


MALAYSIA KINI


 
Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad berkata, beliau mempunyai pandangan yang berbeza berhubung cadangan perobohan surau yang digunakan oleh sekumpulan penganut Buddha untuk bermeditasi di sebuah resort di Kota Tinggi.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas secara terperinci berhubung pandangannya itu.

mahathir open house 180813"Untuk merobohkan surau saya tak tahu. Saya ada pandangan yang berbeza. Tetapi penduduk di situ mahu ia dirobohkan. Jadi adalah lebih baik pihak berkuasa merobohkan surau itu.

"Kita harus mengikut kehendak penduduk di situ," katanya dalam sidang media ketika mengadakan majlis rumah terbuka di rumahnya di Serdang hari ini.

Sebelum ini, Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) Datuk Nooh Gadut berkata, majlis itu bercadang untuk merobohkan surau di resort milik warganegara Singapura berusia 45 tahun itu kerana ia memiliki ciri-ciri meragukan serta arah kiblat yang salah.

Bagaimanapun beliau berkata, perkara itu akan diputuskan dalam masa sebulan selepas segala siasatan selesai.

Sementara itu, mengulas penarikan balik status Penduduk Tetap (PR) pemilik resort tersebut secara serta-merta, Mahathir berkata, ia bukan tindakan melampau.

Katanya, kerajaan berhak mengambil tindakan itu terhadap pemilik resort 45 tahun yang berasal dari Singapura itu.

"Saya tak rasa tindakan menarik PR satu tindakan melampau," katanya.

Himpunan Bersih 4.0 pasti, jika SPR tidak bertindak balas

Posted: 18 Aug 2013 08:01 PM PDT

BULETIN ONLINE

Pengerusi Bersih Datuk S. Ambiga telah mengumumkan bahawa Bersih 4.0 pasti akan berlaku melainkan jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan jawatan.

Beliau berkata demonstrasi pasti akan diadakan jika SPR meneruskan rancangan persempadanan kawasan parlimen dan negeri sebelum daftar pemilih dibersihkan.

bersih-4-0-akan-datang

Menangani orang ramai di sebuah Parti Sosialis Malaysia (PSM) dana makan malam di dewan sekolah di Jalan Hang Jebat di KL, Ambiga berkata bahawa dia menjamin demonstrasi akan diadakan jika hasil SPR dengan persempadanan dirancang sempadan kawasan parlimen dan negeri sebelum daftar pemilih dibersihkan.

"Ini bukan satu ancaman tetapi janji. Kita terpaksa selesaikan ia di luar sana (demonstrasi) dan menjadikan mereka sedar (apa) yang kita maksudkan adalah suatu yang sungguh-sungguh,

"Kita boleh melihat bukti dalam RCI (Suruhanjaya Diraja Siasatan) di Sabah bahawa daftar pemilih di Sabah dan di seluruh Malaysia memerlukan pembersihan. Jika persempadanan yang dilakukan sekarang, kita akan terperangkap untuk tempoh lapan tahun akan datang dan perkara-perkara yang akan tidak berubah," tegasnya ketika berucap dalam satu majlis kutipan dana Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Jalan Hang Jebat Kuala Lumpur.

Apabila ditanya bilakah Bersih 4.0 yang dijangka akan diadakan, Ambiga berkata, ia bergantung kepada sambutan SPR.

"Saya ingin melihat beberapa maklum balas daripada mereka. Saya mahu melihat tindak balas bahawa mereka akan membersihkan daftar pemilih sebelum meneruskan perjalanan," katanya.

Krisis Mesir; Pemuda PAS akan bertemu pertubuhan berpengaruh antarabangsa

Posted: 18 Aug 2013 07:56 PM PDT

BULETIN ONLINE

KUALA LUMPUR – Pemuda PAS menggesa kerajaan Malaysia segera mengambil satu langkah dan tindakan yang berkesan untuk membantu rakyat Mesir agar tidak terus menjadi mangsa penindasan pemerintah tentera dan kerajaan 'kudeta'.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, YB Ustaz Nasruddin Hassan berkata pihaknya akan menghantar wakilnya untuk bertemu badan-badan antarabangsa yang berpengaruh bagi meningkatkan tekanan ke atas pemerintah tentera dan kerajaan 'kudeta' Mesir.

himpunan pdg merbok

Beliau berkata, pemuda PAS akan bertemu dan melobi badan-badan tertentu seperti Liga Arab (Arab League) dan Pertubuhan Kerjasama Islam – The Organisation of Islamic Cooperation (OIC) dan seumpannya.

"kita akan pergi ke peringkat antarabangsa untuk lobi, kita akan bertemu dengan pihak-pihak atau badan-badan tertentu seperti Liga Arab, OIC dan seumpamanya,

"supaya mereka turut memberikan tekanan kepada pemerintahan tentera Mesir yang telah mecabul hak demokrasi dan juga tlah melakukan kezaliman yang melampau (kepada rakyat Mesir),"jelasnya pada sidang media selepas Himpunan Munajat Perdana 100k di Padang Merbok, dekat sini pada Sabtu 17 Ogos.

[Lihat Video]

Selain langkah itu, katanya, Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, Pemuda PAS juga akan menggesa supaya Dewan Rakyat dan Dewan-dewan Undangan ngerei-negeri memanggil sidang khusus bagi membincangkan langkah yang sepatutnya supaya turut memberikan tekanan kepada pemerintah 'kudeta' Mesir.

"InsyaAllah, Dewan Pemuda PAS Malaysia akan menghantar surat kepada speaker dewn rakyat dan speaker dewan(dewan) undangan negeri di seluruh negara,"tegasnya.

Beliau mengucapkan teima kasih kepada sokongan semua parti-parti politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang turut bersama menghadiri Himpunan yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS itu.

Menurutnya, walau pun Himpunan tersebut tidak mencapai angka sasaran, namun anggaran kehadiran 10,000 orang itu cukup sebagai 'simbolik' bagi menunjukkan bantahan rakyat Malaysia terhadap kekejaman rejim tentera Mesir.

Stesyen Minyak Petronas Menjadi Sasaran Penyamun

Posted: 18 Aug 2013 07:53 PM PDT

BULETIN ONLINE

DUNGUN – Stesyen minyak Petronas Rantau Abang, dekat sini, menjadi mangsa jenayah yang berleluasa masakini, apabila sekurang-sekurangnya tiga penjenayah bersenjatakan pistol dan parang menyamun stesyen terbabit.
IMG-20130819-WA0000
Menurut saksi kejadian, penyamun terbabit menaiki sebuah motosikal dan sebuah kereta Perodua Viva melakukan perbuatan jenayah tersebut pada kira-kira jam 7.30 malam, pada Ahad 18 Ogos.

"Samun Petronas Rantau Abang Dungun….. Kes baru berlaku (kira-kira) 15- 20 minit yang lalu. Peyamun bersenjata pistol dan parang menaiki kereta Viva putih, 3 orang (kemudian) menghala ke Marang dan Kuala Terengganu, plate kereta TAB 5879 atau TAT 5879…….. viva putih,"menurut pesanan ringkas yang dihantar ole saksi yang tidak mahu dikenali.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, YB Haji Alias Harun mengesahkan kejadian tersebut.
IMG-20130819-WA0001
"Ya….betul seperti yang dilaporkan,"ujar YB Alias ketika dihubungi buletinonline pada jam 11 lewat malam semalam dan menurutnya, kejadian berlaku selama lima minit ketika waktu maghrib ketika pekerja stesyen minyak tersebut mahu menunaikan solat.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor [gambar bawah kanan] bersama Unit Forensik dilaporkan bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan penyisatan sebaik pemilik stesyen minyak membuat laporan.

Kerugian dianggarkan sebanyak RM4,600 berupa wang tunai sebanyak RM4,000 dan kad telefon prabayar berjumlah RM600

Krisis Mesir: MKN kaji keperluan evakuasi

Posted: 18 Aug 2013 07:48 PM PDT

SINAR  HARIAN
krisis Mesir Penyokong berhimpun mendesak tentera membebaskan Mursi di Dataran Rabia al-Adawiya
KUALA LUMPUR - Majlis Keselamatan Negara (MKN) menghantar satu pasukan ke Mesir bagi menilai keperluan evakuasi dan situasi keselamatan rakyat Malaysia di negara itu.
  
MKN dalam satu kenyataan hari ini berkata pasukan itu yang diketuai Setiausaha MKN Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berperanan menyelaras persediaan dan persiapan dengan pihak berkaitan di negara tersebut sekiranya pelan evakuasi dilaksanakan.
  
"MKN telah diarahkan oleh kerajaan untuk menyelaras segala persiapan yang melibatkan agensi kerajaan dan swasta bagi membawa pulang rakyat Malaysia di Mesir berikutan keadaan tidak menentu di negara itu.
  
"Bagi tujuan ini, satu pasukan telah dihantar ke Mesir bagi menyelaras perjalanan proses ini dan sehingga kini dianggarkan seramai 3,300 rakyat Malaysia yang masih berada di negara tersebut," menurut kenyataan itu.
  
Kenyataan itu turut menyebut situasi keselamatan yang berlaku di Mesir kini berada dalam keadaan tidak menentu apabila bilangan angka korban semakin meningkat selepas pasukan keselamatan Mesir melancarkan tindakan kekerasan ke atas penyokong bekas presiden yang digulingkan, Dr Mohammed Mursi di Dataran Rabaa al-Adawiya dan Dataran al-Nahda pada minggu ini.

Perarakan oleh kumpulan penyokong Dr Mohammed Mursi juga diadakan di bandar utama sekitar Mesir dan dilaporkan turut melibatkan petempatan pelajar Malaysia yang berada di kawasan tersebut.
  
Dalam hubungan itu, beberapa siri mesyuarat diadakan bagi menilai perkembangan situasi keselamatan di Mesir dan merangka persiapan serta pelan tindakan sekiranya terdapat keperluan untuk membawa keluar rakyat Malaysia di Mesir ke tempat yang selamat.
  
Mesyuarat terbaru diadakan pada 15 Ogos lepas yang dipengerusikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan kehadiran pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk MKN, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pendidikan, Malaysia Airlines dan AirAsia. - Bernama

Tiada ulasan: