Ahad, 11 Ogos 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Mahathir ada cara tersendiri bidas Pak Lah, kata Awang Selamat

Posted: 11 Aug 2013 06:25 AM PDT

Oleh Hasbullah Awang Chik

























Kolumnis akhbar milik Umno, Utusan Malaysia Awang Selamat melalui terbitan Mingguan Malaysia mempertahankan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menegaskan bekas Perdana Menteri itu akan menjawab segala tuduhan yang dilemparkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan caranya tersendiri yang dijangka sinis dan lebih berbisa.

Katanya, harapan untuk melihat Abdullah dan Dr Mahathir berbaik semula menjelang Aidilfitri ini tidak kesampaian kerana agenda bangsa dan agama memerlukan permuafakatan pemimpinnya.

"Awang mendoakan perdebatan yang lebih sihat bakal berlaku dan tidak membawa kemudaratan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN)," tulis beliau hari ini.

 Abdullah yang juga dikenali sebagai Pak Lah dalam buku memaparkan detik-detik beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia bertajuk "Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia" menjelaskan sekiranya beliau mengikut kehendak dan tekanan Dr Mahathir supaya berbelanja tanpa kawalan dan meneruskan projek mega, Malaysia pasti akan jatuh muflis.

Katanya, Dr Mahathir hanya mahu pendapatnya didengari dan tidak mendengar pendapat orang lain sebagai contoh, beliau berjumpa dengan bekas Perdana Menteri itu untuk menjelaskan penangguhan beberapa projek mega disebabkan bajet defisit namun cadangan itu ditolak kerana katanya, kerajaan perlu terus berbelanja.

Beliau menjelaskan Dr Mahathir mengamuk apabila beberapa projek mega seperti landasan berkembar terpaksa ditangguhkan kerana merasakan itu adalah projek angkatnya.

"Jika kita terus berbelanja, saya boleh bayangkan kita sudah muflis kerana pentadbiran saya sendiri telah berjaya menurunkan kadar defisit dari 5 peratus ke 3.2 peratus," katanya.

Sementara itu, media melaporkan semalam Buku "Awakening, The Abdullah Years in Malaysia" bukan hasil tulisan Abdullah sebaliknya, koleksi artikel penulis berlainan latar belakang termasuk pemimpin pembangkang.

Perkara itu disahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut menyumbangkan artikel di dalam buku tersebut.

Nik Nazmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR berkata, buku yang disunting editor Bridget Welsh dan James Chin itu merupakan himpunan pandangan pelbagai pihak mengenai era pemerintahan Abdullah.
"Tema umum buku itu ialah penilaian umum dan pandangan masyarakat sepanjang pentadbiran Abdullah. Kedua-dua editor ada menemubual sendiri beliau.

"Selain itu, buku tersebut turut memuatkan artikel daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin BN dan pembangkang, ahli akademik dan sarjana," katanya.

Artikel dalam buku tersebut turut disumbangkan pemimpin Umno seperti bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan bekas Bendahari Umno, Datuk Azim Zabidi.

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pula menulis pra-kata buku itu.

Manakala, pemimpin pembangkang pula terdiri daripada Nik Nazmi dan Liew Chin Tong dari DAP.

Dalam buku itu Abdullah dilaporkan berkata Dr Mahathir adalah seorang pemimpin yang penuh kontradiksi dan sekiranya hasrat bekas perdana menteri itu dituruti, Malaysia hari ini sudah muflis.

Ia juga menceritakan bahawa Abdullah meminta bekas Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu supaya bersara setahun sebelum PRU 2008.

Turut dimuatkan adalah kenyataan Abdullah yang berkata tidak salah memperjuangkan satu-satu kaum di negara ini tetapi perjuangan itu tidak seharusnya seperti dilakukan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) pimpinan Datuk Ibrahim Ali. -

Pembaziran kementerian, sekolah 12 murid 12 guru

Posted: 11 Aug 2013 06:11 AM PDT

Shahbudin Husin,

Usaha kerajaan memperkasa sistem pendidikan dan memberi peluang kepada rakyat menimba ilmu pengetahuan melalui pembinaan sekolah-sekolah rendah di kawasan pedalaman memanglah sesuatu yang seharusnya dihargai kerana ia akhirnya akan berupaya meningkatkan kadar celik huruf serta meningkatkan taraf hidup di kalangan rakyatnya.

Langkah ini lebih memberi makna terutamanya di Sabah dan Sarawak di mana begitu banyak sekali sekolah-sekolah dibina di kawasan pedalaman untuk membolehkan mereka yang terpisah dengan arus pembangunan negara agar dapat sama-sama mendapat peluang menimba ilmu sebagaimana mereka yang tinggal dibandar-bandar dan akhirnya mampu lahir sebagai insan yang berpendidikan tinggi.

Seiring dengan pembinaan sekolah-sekolah itu, Kementerian Pendidikan juga turut menempatkan guru-guru dari Semenanjung untuk mengejar di kedua-dua negeri tersebut.

Dalam penempatan guru-guru ijazah lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) pada 1 Julai lalu, daripada lebih 3,000 yang menamatkan pengajian mereka, kira-kira 1,200 orang daripada mereka ditempatkan di Sarawak saja, manakala selebihnya di Sabah dan lain-lain negeri yang didapati memerlukan penambahan tenaga pengajar.

Ini dipercayai bukan saja menunjukkan iltizam kerajaan yang tinggi untuk terus membangunkan negeri Sarawak, bahkan mungkin sebagai "imbuhan balas budi" kepada negeri Sarawak yang menyumbang sebahagian besar kerusi kepada kemenangan BN dalam pilihanraya umum lalu.

Namun, di sebalik usaha mahu memberi pendidikan kepada penduduk Sarawak melalui penempatan guru-guru ini, Kementerian Pendidikan yang diterajui oleh Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin terlihat tidak cerdik dalam susun-atur penempatan guru-guru tersebut sehingga berlaku banyak sekali pembaziran tenaga guru-guru kerananya.

Guru-guru lepasan IPG ini seperti sengaja mahu didera dengan menghantar mereka mengajar di sekolah-sekolah yang jauh di pedalaman Sarawak sedangkan keperluan tenaga pengajar berbanding dengan jumlah murid tidaklah begitu memerlukan guru tambahan lagi.

Banyak guru-guru ini dihantar ke sekolah yang sebenarnya sudah mencukupi tenaga pengajarnya, malah sesetengahnya guru-guru yang sedia apa pun sudah melebihi jumlah yang sepatutnya.

Lebih pelik, ada sebuah sekolah rendah di daerah Miri yang hanya mempunyai 12 orang murid tetapi jumlah gurunya juga seramai 12 orang. Dalam ertikata lain, sekolah ini sudah boleh disenaraikan dalam World Book of Records kerana mempunyai nisbah satu guru bagi satu murid.

Walaupun sebelum ini, sekolah tersebut dikira sudah mempunyai jumlah guru yang mencukupi memandangkan jumlah muridnya yang terlalu sedikit kerana terletak jauh di pedalaman tetapi dalam penempatan guru-guru pada 1 Julai lalu, Kementerian Pendidikan menghantar tiga orang lagi guru lepasan IPG ke sekolah tersebut.

Dengan jumlah guru seramai 12 orang untuk 12 murid, semua guru mengajar di sekolah tersebut berada dalam keadaan yang cukup santai dan langsung tiada tekanan, bahkan boleh memancing ikan, menangkap burung dan melakukan lain-lain aktiviti sampingan di waktu mengajar. Dalam masa yang sama, ilmu-ilmu mengajar yang dipelajari selama menuntut di IPG juga tidak sempat dilaksanakan kerana apalah sangat yang ilmu yang perlu dicurahkan dengan murid seramai itu.

Ini berikutan, dalam keadaan satu kelas hanya mempunyai seorang atau dua orang murid saja, kebanyakan guru-gurunya hanya mengajar satu atau dua jam sahaja dalam sehari. Murid-muridnya pula ada yang balik ke rumah seawal pukul 10 pagi dan jika rajin akan datang semula ke sekolah menjelang tengahari tetapi biasanya terus balik ke rumah setelah belajar selama satu atau dua jam.

Guru-guru pula, tidak mampu berbuat apa-apa kerana rumah murid-murid hanya di sekeliling sekolah saja dan mereka boleh datang dan pergi sesuka hati.

Persoalannya ialah kenapakah Kementerian Pendidikan meletakkan guru-guru dalam kadar yang berlebihan daripada yang sepatutnya di negeri Sarawak ini? Pernahkah pegawai-pegawainya turun padang ke sekolah-sekolah pedalaman itu?

Bukankah lebih baik guru-guru tersebut diletakkan di beberapa sekolah di Semenanjung yang masih banyak kekurangan tenaga pengajar, selain setiap kelas mempunyai purata 40 orang muridnya daripada terus-menerus melakukan pembaziran, bukan saja wang ringgit tetapi juga kemahiran tenaga pengajar, dengan kekal meletakkan guru yang berlebihan di negeri Sarawak itu?

Apakah ini menandakan Kementerian Pendidikan tidak cekap dalam mengatur sumber manusianya atau adakah pembaziran ini di dalam pengetahuan Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan atau sebaliknya.

Pernahkah juga beliau cuba mengambil tahu kedudukan guru-guru di kawasan pedalaman seperti ini?

Kiranya perkara ini di dalam pengetahuan Muhyiddin dan beliau pernah berusaha memperbetulkannya, rasanya amatlah malang negara mempunyai pemimpin seperti beliau kerana perkara ini adalah suatu pembaziran yang nyata dan tidak sepatutnya berlaku. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Hairan senjata api haram semakin banyak dalam negara

Posted: 11 Aug 2013 06:04 AM PDT

 

KL TODAY

DAP mahu mengetahui mengapa dilihat adanya bekalan bersedia senjata api di Malaysia, berikutan peningkatan kejadian tembakan baru-baru ini.Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng berkata, walaupun hukuman berat terhadap pemilikan senjata haram, ia tidak kelihatan menghentikan kongsi gelap daripada menggunakan senjata api.

"Menyalahkan pemansuhan Ordinan Darurat yang mengeluarkan banyak penjenayah yang lebih serius dalam masyarakat bukanlah menjelaskan sepenuhnya bagaimana bekalan senjata secara tiba-tiba meningkat di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengenai pemansuhan Ordinan Darurat, Lim berkata, ia tidak menjelaskan apa yang beliau sifatkan sebagai "lonjakan" secara tiba-tiba terhadap bekalan senjata tempatan.

Lebih 20 orang terbunuh dalam beberapa kes tembakan di seluruh negara sejak 12 April tahun ini.

Pemimpin atasan DAP mengambil berat perkara ini secara serius, dan akan mengadakan mesyuarat tergempar malam Ahad bagi membincangkan, antara lain, peningkatan dalam jenayah kekerasan baru-baru ini yang telah menjejaskan perniagaan tempatan dan pelancongan, kata Lim.

Lim berkata, mesyuarat itu akan diadakan walaupun beberapa pemimpin bercuti.

Sebagai langkah jangka panjang, Lim menggesa lebih ramai anggota polis diletakkan di jalan-jalan, yang mendakwa bahawa hanya kira-kira 9% daripada 112,583 (10,150) pegawai beruniform di Malaysia berada di Jabatan Siasatan Jenayah.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya separuh daripada pasukan polis Malaysia yang diperlukan untuk memerangi jenayah.

"Perlu ada sekurang-kurangnya 56,000 anggota berpakaian seragam membuat rondaan di jalan-jalan dan bukan 10,150 anggota sekarang," katanya.

Keadaan trafik dari arah utara ke ibu negara perlahan

Posted: 11 Aug 2013 05:59 AM PDT

Bernama


 
Keadaan trafik di Lebuhraya Utara-Selatan dari arah utara ke ibu negara setakat 9 pagi ini mula perlahan, manakala di selatan pergerakan kenderaan masih lancar.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressway Berhad ketika dihubungi Bernama, berkata keadaan trafik dijangka terus perlahan menjelang tengah hari kerana pertambahan bilangan kenderaan.

Satu kemalangan dilapor berlaku di Km 299 dari Gopeng ke Tapah arah selatan membabitkan sebuah lori yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan pada 7.55 pagi tadi dan menyebabkan kesesakan.

Namun lori itu telah dialihkan dan lorong terjejas sudah dibuka semula pada 9.35 pagi, katanya.   

Jurucakap itu berkata aliran trafik antara Kuala Kangsar dan Ipoh juga perlahan berikutan keadaan jalan yang licin kerana hujan.

Aliran trafik dari selatan menuju ke ibu kota, terutama berhampiran Seremban-Nilai masih lancar, namun keadaan dijangka berubah menjelang tengah hari kerana peningkatan jumlah kenderaan, katanya.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama berkata status di kesemua lebuhraya termasuk Lebuhraya KL-Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), masih lagi lancar dan terkawal, namun kesesakan dijangka berlaku lewat petang ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.- Bernama

Pancuran meteor boleh dilihat dengan terang

Posted: 11 Aug 2013 05:55 AM PDT



 
Fenomena pancuran meteor Perseid daripada buruj Perseus dijangka dapat dilihat di ruang angkasa negara ini malam esok sehingga subuh pada hari Selasa.

Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi Angkasa Negara (Angkasa) Mhd Fairos Asillam berkata pancuran meteor Perseid antara paling menarik kerana cahayanya terang dan boleh dilihat dengan mata kasar di kawasan lapang. 

"Pancuran meteor berlaku apabila bumi melintasi laluan komet dan menyebabkan debu-debu komet ini terbakar apabila memasuki atmosfera bumi.

"Bagi pancuran meteor Perseid, ia berlaku kerana bumi melintasi laluan komet Swift-Tuttle yang mempunyai diameter nukleus lebih kurang 26 kilometer," katanya dalam kenyataan, di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata apabila komet itu semakin menghampiri matahari, ia juga turut melintasi orbit bumi dan meninggalkan debu-debu komet sepanjang perjalanannya.

"Debu-debu inilah yang akan memasuki atmosfera bumi dan menghasilkan pancuran meteor yang dapat dilihat dengan mata kasar," katanya.

Beliau berkata waktu terbaik menyaksikan hujan meteor itu ialah selepas bulan terbenam bermula 11 malam. - Bernama

Mesyuarat Umno ditunda kerana kunjungan presiden China, AS

Posted: 11 Aug 2013 05:50 AM PDT



 
Umno menganjak tarikh akhir mesyuarat cawangannya dan menetapkan tarikh baharu untuk persidangan peringkat bahagian, tiga sayap, hari penamaan calon dan pemilihan parti.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata perkara itu diputuskan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas menerima permintaan daripada cawangan dan bahagian.

Mereka mencadangkan demikian kerana mesyuarat cawangan berlangsung semasa Ramadan dan Syawal, manakala pada bulan Oktober ini yang diperuntuk bagi persidangan bahagian dan pemilihan parti, menyaksikan kunjungan Presiden China Xi Jinping dan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke negara ini, katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Tengku Adnan berkata susulan itu, pengurusan Umno bersetuju tarikh akhir mesyuarat cawangan dilanjut kepada 15 Sept daripada 31 Ogos sebelum ini, manakala persidangan bahagian dan pemilihan anggota Majlis Tertinggi (MT) dianjak daripada 5 kepada 19 Okt.

Tarikh pendaftaran calon MT pula diubah daripada 7 kepada 28 Sept, manakala penamaan calon untuk tiga sayap akan diadakan pada 21 Sept.

Persidangan tiga sayap yang dijadualkan pada 28 Sept dianjak kepada 12 Okt, kata Tengku Adnan.

"Pihak pengurusan Umno sudah memaklumkan kepada anggota MT berkenaan perkara ini," katanya.

Sebanyak 146,500 anggota parti di peringkat akar umbi di 191 bahagian akan terlibat dalam pemilihan MT meliputi presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 25 anggota MT selain memilih anggota jawatankuasa bahagian.- Bernama

Lapan penumpang cedera, bas ekspres terbalik

Posted: 11 Aug 2013 05:48 AM PDT



 
Sebuah bas ekspres yang membawa 40 penumpang dalam perjalanan dari Alor Setar, Kedah terbabas sebelum terbalik di Km 52.7 Lebuhraya Utara-Selatan hari ini.

Kejadian pukul 8.15 pagi itu menyebabkan lapan penumpang cedera, kata Ketua Cawangan Trafik dan Ketenteraman Awam Polis Daerah Kluang ASP Azmi Suratman ketika dihubungi di Johor Bahru.

Menurutnya kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu berusia 40 tahun itu cuba mengelak daripada melanggar sebuah kenderaan di hadapan yang berhenti secara tiba-tiba.

Bas terbabit kemudian terbabas dan menggelongsor sebelum terbalik sejauh 10 meter dari jalan, katanya.

Menurutnya penumpang yang cedera iaitu tiga rakyat tempatan, tiga warga Myanmar dan dua rakyat Thailand dibawa ke Hospital Kulaijaya untuk mendapat rawatan, manakala penumpang lain meneruskan perjalanan menaiki bas gantian.

Azmi berkata siasatan awal mendapati keadaan jalan agak licin ketika kejadian kerana hujan turun sejak awal pagi.

Menurutnya bas itu juga dipandu pemandu kedua yang menggantikan pemandu utama ketika berhenti rehat di Hentian Rehat dan Rawat Machap.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya Supt Zulkefly Yahya memberitahu Bernama dua maut dan seorang cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebatang pokok di Km 26 Jalan Johor Baharu-Ayer Hitam, Kulaijaya.

Kedua-dua yang maut adalah lelaki dikenali Wan Seng Thim, 41 yang juga pemandu dan penumpang hadapan Yap Kok Chin, 41, manakala penumpang wanita yang cedera dikenali sebagai Chai Nyet Chiew, katanya.

Kejadian berlaku jam 12.10 tengah malam semalam.- Bernama

Wanita cedera disimbah asid di lampu isyarat

Posted: 11 Aug 2013 05:43 AM PDT



 
Seorang pejalan kaki wanita cedera di bahagian muka dan mata akibat disimbah asid oleh dua lelaki bermotosikal di lampu isyarat berhadapan sebuah pusat membeli-belah di Jalan Ampang di Kuala Lumpur malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin berkata dalam  kejadian 11.45 malam itu, mangsa berusia 31 tahun melecur 10 peratus di bahagian muka manakala rakan mangsa, seorang wanita, terselamat.

Beliau berkata kedua-dua wanita itu dikatakan sedang menunggu untuk melintas di lampu isyarat itu sebelum didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal yang bertindak menyimbah asid ke arah mangsa.

"Rakan wanita mangsa memaklumkan kepada polis pada 1.28 pagi tadi, pada masa kejadian dia dan wanita itu dalam perjalanan ke rumah," katanya katanya menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Amiruddin berkata akibat panik, rakan mangsa tidak sempat mengenal pasti kewarganegaraan suspek, jenis dan nombor pendaftaran motosikal yang digunakan suspek.

Katanya siasatan awal polis mendapati mangsa masih bujang dan tidak mempunyai teman lelaki serta tidak mempunyai masalah dengan sesiapa.

Beliau berkata mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.

Amiruddin berkata polis juga akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian untuk siasatan lanjut.

"Pemeriksaan polis di tempat kejadian tidak menemui apa-apa bahan bukti seperti bekas asid yang digunakan," katanya.- Bernama

Abdul Rahman bayang tanding kerusi MT Umno

Posted: 11 Aug 2013 05:34 AM PDT

SINAR HARIAN
Abdul Rahman Dahlan
KOTA KINABALU - Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan membayangkan kemungkinan bertanding jawatan Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihan parti berkenaan Oktober ini.
  
Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah itu berkata beliau akan membuat pengumuman berhubung perkara itu "dalam sedikit masa lagi melalui Twitter atau Facebook".
  
"Menawarkan diri untuk jawatan MT Umno adalah satu tanggungjawab yang amat besar, ia perlu difikirkan dan ia (keputusan) tidak boleh dibuat dengan hanya memikirkan tentang diri sendiri," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfiltri di kediamannya di Taman Kingfisher, Sulaman, dekat sini, hari ini.
  
Abdul Rahman, yang juga Anggota Parlimen Kota Belud, berkata sekiranya bertanding, beliau mahu memberikan sumbangan kepada parti dan bukan sekadar memanaskan kerusi terutama dalam senario politik yang berbeza pada ketika ini. - Bernama

Pelajar matrik, STPM gagal ke IPTA boleh ke UiTM

Posted: 11 Aug 2013 05:32 AM PDT

SINAR HARIAN
Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Sahol Hamid Abu Bakar Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Sahol Hamid Abu Bakar
SHAH ALAM - Pelajar lepasan program matrikulasi, asasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang tidak diterima masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi awam (IPTA), berpeluang mengikuti program diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
  
Naib Canselornya Prof Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata tawaran itu membolehkan pelajar terbabit mengikuti program diploma di mana-mana kampus UiTM di seluruh negara dengan kelonggaran syarat.
  
"Mereka boleh merayu dengan menghantar surat rayuan secara terus kepada saya di pejabat Naib Canselor UiTM Shah Alam dengan menyertakan keputusan peperiksaan yang diperolehi," katanya di sini hari ini.
  
Sahol Hamid berkata tawaran itu diberikan selepas beliau menerima banyak surat daripada pelajar lepasan program matrikulasi, asasi dan STPM yang merayu untuk mengikuti program ijazah di UiTM selepas gagal memasuki IPTA lain berikutan tidak melepasi syarat dikenakan mengikut sistem merit.
  
Beliau berkata pelajar dengan kelulusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA) 2.0 ke atas akan diberi pertimbangan untuk pengecualian beberapa mata pelajaran atau dengan pengurangan beberapa kredit serta mungkin boleh menghabiskan program diploma dengan segera.

"Bagi pelajar lepasan STPM pula, mereka boleh membuat rayuan jika mendapat kelulusan kredit bagi lima mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendapat CGPA tidak kurang 2.0.
  
"Mereka yang terpilih juga layak untuk memohon bantuan pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)," katanya.
  
Sahol Hamid berkata, pelajar yang kurang cemerlang pula boleh memasuki mana-mana 22 buah kolej bersekutu UiTM di seluruh negara dengan syarat mendapat keputusan minimum lima kredit termasuk dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik.  
  
Beliau berkata kolej bersekutu UiTM termasuk Institut Profesional Baitulmal dan Kolej Poly-Tech MARA di Kuala Lumpur serta Kolej Poly-Tech MARA Bangi dan Kolej Teknologi Timur di Sepang.
  
Sahol Hamid berkata jika pelajar terbabit masih mahu mengikuti program ijazah, mereka boleh mengemukakan rayuan untuk mendapatkan tempat bagi program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) atau program Luar Kampus (PLK) dengan pengecualian syarat pengalaman kerja selama setahun.

Beliau berkata pada masa ini, pemohon yang ingin mengikuti program PJJ atau PLK perlu mempunyai pengalaman kerja selama setahun atau dua tahun, bergantung kepada kursus yang dipilih.
  
Sahol Hamid turut menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa piawaian sesebuah institusi pengajian tinggi akan jatuh sekiranya membuka peluang kepada pelajar yang menerima keputusan peperiksaan rendah.
  
Beliau berkata andaian itu adalah kurang bijak serta mementingkan diri sendiri.
  
"Kalau bangsa lain berusaha membantu bangsa masing-masing, tidak salah sekiranya UiTM berusaha untuk membantu bangsa Melayu," katanya sambil mengingatkan pelajar yang ingin membuat rayuan supaya berbuat demikian dengan segera jika ingin mengikuti pengajian sesi baru yang bermula September ini. - Bernama

Kes bungkusan meletup: TPM ucap takziah

Posted: 11 Aug 2013 05:29 AM PDT

SINAR HARIAN
Muhyiddin Yassin Muhyiddin Yassin.
KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada keluarga Mohd Yusrizal Mat Zain, 32, yang maut apabila bungkusan yang ditinggalkan di atas bumbung sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) meletup di Tumpat, Kelantan, hari ini.
  
Muhyiddin berkata beliau amat sedih dengan kejadian itu, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang meraikan Aidilfitri.
  
"Kepada keluarga Allahyarham, saya merakamkan ucapan takziah dan berharap dapatlah bersabar dan redha dengan dugaan Allah ini," katanya dalam kenyataan di sini.
  
Muhyiddin menggesa polis menjalankan siasatan dengan segera untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Lai Yong Heng sebelum ini berkata kejadian berlaku pada 11 pagi ketika Mohd Yusrizal cuba mengambil bungkusan yang diletak di atas bumbung MPV milik abang iparnya yang berada di halaman rumah mentuanya di Taman Seri Periuk, Kampung Periuk, Tumpat.
  
Menurutnya, letupan itu menyebabkan mangsa cedera parah di kedua-dua tangan serta badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
   
Berasal dari Kampung Kenor, Kuala Krai dan bertugas sebagai kerani di Sekolah Rendah Kebangsaan Manik Urai, Mohd Yusrizal dikatakan tiba di rumah mentuanya itu malam semalam bagi meraikan Aidilfitri.
  
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan bayi perempuan berusia empat bulan. - Bernama

Anggota tentera cedera ditembak di sempadan M’sia-Thai

Posted: 10 Aug 2013 06:24 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

Seorang anggota tentera yang sedang membuat rondaan kawalan keselamatan di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand di sini, cedera selepas terkena tembakan dalam kejadian awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Ibrahim Mohd Yusoff berkata mangsa, Azamuddin Azizan, 26, cedera di beberapa bahagian badan termasuk bahu kanan, siku kanan dan kedua-dua belah lutut dalam kejadian itu.

Beliau berkata ketika kejadian, Azamuddin bersama seorang lagi anggota tentera sedang membuat rondaan selepas mendapat aduan terdapat lubang di pagar sempadan.

 "Mangsa dan rakannya sedang membuat pemeriksaan selepas mendapat laporan, sebelum berlaku tembakan dari seberang pagar. Mangsa kemudiannya terkena tembakan dari arah Thailand dipercayai menggunakan senapang patah.

"Selepas melihat mangsa ditembak, rakannya membawa mangsa ke kawasan yang selamat sebelum bantuan tiba. Rakan setugas mangsa tidak mengalami kecederaan," katanya kepada pemberita di sini.

Ibrahim berkata mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis dan keadaannya dilapor stabil.

Beliau berkata suspek dipercayai melepaskan tembakan dari kawasan semak berhampiran sempadan, kira-kira 30 meter dari pintu pagar kawalan, namun bilangan suspek sukar dikenal pasti kerana keadaan yang gelap.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika melawat tempat kejadian petang tadi, berkata kes berkenaan dipandang serius kerana membabitkan tembakan dipercayai dari arah negara jiran.
Polis akan menghubungi pihak berkuasa Thailand bagi membantu siasatan, katanya.

"Saya juga menyeru penduduk di sempadan supaya sentiasa memaklumkan pada pihak polis kalau tahu ada perkara-perkara yang melanggar undang-undang," katanya.

Khalid meluangkan masa kira-kira 20 minit melawat tempat kejadian diiringi Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim dan Ketua Polis Perlis Datuk Zull Aznam Haron. – Bernama

Kadar BR1M naik tahun depan, kata Ahmad Husni - Bernama

Posted: 10 Aug 2013 06:22 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

Kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dinaikkan tahun depan, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini.

Katanya perkara itu akan diusul pada pembentangan Belanjawan 2014, Oktober ini, selain kerajaan turut melihat kemungkinan meletakkan BR1M sebagai inisiatif di bawah Dasar Jaringan Keselamatan Sosial.

"Kita melihat untuk menaikkan kadar BR1M seperti yang dijanjikan kepada rakyat. Kita melihat untuk dinaikkan sehingga maksimum RM1,200 barang kali dalam tempoh empat hingga lima tahun dari sekarang. Untuk tahun depan kita naikkan sedikit," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini.

 BR1M yang diberi kerajaan sejak tahun lepas adalah antara inisiatif untuk membantu golongan berpendapatan rendah iaitu kurang daripada RM3,000 sebulan, dengan kadar RM500 untuk satu isi rumah.

Ahmad Husni berkata kerajaan juga melihat kemungkinan untuk melaksanakan dasar rasionalisasi subsidi yang memastikan hanya kumpulan sasar yang layak menikmatinya.

Ini kerana katanya kaedah pelaksanaan sekarang dinikmati oleh semua golongan termasuk yang berpendapatan tinggi dan orang kaya, sekali gus tidak memenuhi matlamat sebenar pemberian subsidi itu. – Bernama

Lagi kereta terbabas, terjunam

Posted: 10 Aug 2013 06:04 PM PDT

Lagi kereta terbabas, terjunam Sebuah kereta terbabas ke dalam parit di hadapan Taman Sri Telok Datok, semalam.
TELOK DATOK - Gara-gara pemandunya leka menggunakan telefon bimbit ketika memandu, sebuah kereta terbabas dan terjunam ke dalam parit di hadapan Taman Sri Telok Datok, semalam.

Kejadian tersebut bukan insiden pertama berlaku di kawasan itu.

Pengerusi Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga Telok Datok, Khairul Abdul Samad berkata, kemalangan sering berlaku kawasan berhampiran laluan dari arah Klang ke Banting itu.

"Sebuah lagi kereta terbabas dan keadaan ini merisaukan penduduk setempat, lebih-lebih lagi di musim perayaan kerana banyak kenderaan keluar masuk.

"Selalu terjadi kemalangan kerana jalan di situ lurus dan banyak kenderaan membawa kenderaan mereka dengan laju walaupun terdapat banyak simpang.

"Penduduk berharap pemandu yang melalui kawasan itu dapat memandu dengan berhati-hati kerana tidak sampai tiga hari beraya sudah dua kali kenderaan terbabas di sini," katanya.

Karpal bidas Kuan Yew

Posted: 10 Aug 2013 06:02 PM PDT

Karpal - Lee Kuan Yew
SINAR HARIAN

GEORGETOWN - Pengerusi DAP Karpal Singh hari ini membidas bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew dengan memintanya menguruskan isu dalaman parti sendiri sebelum mengulas hal ehwal orang lain.
    
"Kenyataannya (Lee) bahawa pakatan tidak akan dapat mentadbir negara ini dengan berkesan jika menguasai kerajaan persekutuan adalah tidak berasas," kata Karpal pada sidang media, di sini.
  
Katanya Lee berhak melontarkan pandangan, namun beliau harus terlebih dahulu melihat urusan partinya iaitu People's Action Party (PAP) yang hilang enam kerusi pada pilihan raya umum lepas, selain kalah dalam dua pilihan raya kecil baru-baru ini.
  
"Seperti biasa Lee mahu menjadi juara di rantau ini. Saya fikir sudah tiba masanya beliau membiarkan orang lain pula memimpin. Beliau sepatutnya menikmati hari-hari tuanya," kata Karpal.
  
Lee menerusi buku bertajuk 'One's Man View of The World' yang dilancarkan minggu lepas, antara lain berkata pakatan tidak akan mampu mentadbir Malaysia.

Sementara itu, mengulas gesaan beberapa pihak agar beliau mengisytiharkan hartanya, Karpal Singh yang juga Anggota Parlimen Bukit Gelugor mengulangi beliau tidak akan melayan gesaan daripada mereka yang tidak berkenaan.
  
"Tidak ada masalah untuk saya isytiharkan harta. Saya akan hanya berbuat demikian apabila Ketua Menteri (Lim Guan Eng) tetapkan tarikh," katanya.
  
Karpal digesa mengisytiharkan hartanya oleh pelbagai pihak susulan dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membayar RM50 juta kepadanya untuk merasuah hakim dan pendakwa raya.
  
Mengenai biografi pertamanya bertajuk 'Karpal Singh: Tiger of Jelutong', beliau berkata buku dengan 325 muka surat itu ditulis Tim Donoghue dan mengambil masa 26 tahun untuk disiapkan. - Bernama

Kereta bertembung treler

Posted: 10 Aug 2013 06:00 PM PDT

Kereta bertembung treler Keadaan kereta yang terlibat dalam nahas jalan raya sehingga mengorbankan tiga nyawa di Kilometer 127.2, Lebuhraya Timur-Barat, dekat Jeli.
JELI - Kegembiraan empat sekeluarga pulang berhari raya di negeri ini sempena Aidilfitri berakhir tragedi apabila tiga daripada mereka maut manakala seorang lagi cedera dalam nahas jalan raya di Kilometer 127.2, Lebuhraya Timur-Barat, dekat sini, semalam.

Pada kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, Lans Koperal Wan Sabri Wan Mamat, 33, isterinya, Nor Roslina Omar, 34, dan anak mereka, Wan Nur Husna berusia tujuh bulan, meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi anak pasangan itu, Wan Nurhaqimah, 4, pula cedera dan dimasukkan ke Hospital Jeli, sementara pemandu treler, Ravidran S Ramasamy, 49, tidak cedera.

Nahas berlaku ketika kereta Proton Wira dinaiki keluarga itu dalam perjalanan ke Gerik, Perak dikatakan terbabas sebelum bertembung dengan kepala sebuah treler tanpa muatan dari arah bertentangan.

Difahamkan, keluarga itu dalam perjalanan pulang ke Gerik, Perak selepas berhari raya di rumah ibu bapa Wan Sabri di Kampung Changgal, Pasir Puteh.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Sheikh Azhar Sheikh Omar berkata, Wan Sabri merupakan anggota polis yang bertugas di Balai Polis Kampung Lalang, dekat Gerik, Perak.

"Jenazah mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Jeli untuk bedah siasat, manakala mangsa cedera dimasukkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

"Polis juga lakukan ujian air kencing, ujian darah dan ujian alkohol ke atas pemandu treler terbabit," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pegawai Bomba Kanan I, Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mat Yusoff Hamat berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk keluarkan mangsa tersepit.

"Kami terima panggilan kecemasan jam 10.40 pagi sebelum lima anggota dikerah ke tempat kejadian. Apabila sampai, didapati pemandu (Wan Sabri) dan penumpang sebelah pemandu (Nor Roslina) tersepit di tempat duduk masing-masing," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum sudah dimaklumkan mengenai kemalangan yang mengorbankan anggotanya itu.

Menurutnya, pihaknya akan membantu apa yang patut bagi meringankan beban keluarga anggota berkenaan.

"Kita ada sediakan bantuan bagi anggota yang hadapi kesusahan atau kemalangan. Malah kita bercadang buat kutipan derma kilat untuk bantu mangsa," katanya.

Trafik lebuh raya dijangka bertambah tengahari ini

Posted: 10 Aug 2013 05:42 PM PDT

SINAR HARIAN
Trafik lebuh raya dijangka bertambah tengahari ini Trafik lebuh raya - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR - Bilangan kenderaan di lebuh raya menuju ke ibu negara, terutama dari arah utara dan selatan dijangka meningkat menjelang tengah hari ini berikutan ramai kembali semula ke ibu kota selepas pulang berhari raya di kampung masing-masing.
  
Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressway Berhad ketika dihubungi, berkata keadaan itu bagaimanapun dijangka tidak menyebabkan kesesakan melampau di Lebuhraya Utara-Selatan.
  
"Setakat 9.45 pagi tadi, keadaan trafik dari arah yang sama juga masih terkawal biarpun sebelum itu terdapat kemalangan di beberapa tempat misalnya di Km 189.7 utara dari Jawi ke Bukit Beruntung, Rawang," katanya.
  
Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di seluruh Lembah Klang, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Kesas dan Lebuhraya Pantai Baru (NPE) lancar setakat 9.30 pagi.
  
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama

Mangsa mercun masih trauma

Posted: 10 Aug 2013 05:39 PM PDT

Mangsa mercun masih trauma Mohd Nor Hakim
PASIR MAS - Telinga seorang kanak-kanak, Mohd Nor Hakim Mohd Nawi, 11, dari Kampung Padang Embun di sini, bagaikan sudah tidak sanggup untuk mendengar bunyi letupan mercun.

Bunyi tersebut membuatkan dirinya trauma apatah lagi ia mengingatkan dia kepada peristiwa yang berlaku pada 25 Julai lalu.

Hatinya bertambah sayu setiap kali melihat raut wajahnya di cermin mengenangkan kecederaan yang dialami ekoran tindakannya cuba memanaskan botol yang diisi belerang dan pasir menggunakan surat khabar sebelum botol itu meletup menyebabkan serpihan kaca mengenainya.

Menyendiri dari orang ramai semenjak kejadian tersebut.

Mohd Nor Hakim yang merupakan anak kesembilan daripada 12 adik beradik itu bertukar menjadi kanak-kanak yang pasif dan banyak menyendiri.

Ibunya, Ropeah Ibrahim, 48, berkata, anaknya itu sehingga hari ini tidak berani untuk keluar dari rumah dan masanya banyak dihabiskan dengan berada di dalam bilik seorang diri.

"Apabila ditanya, dia hanya menjawab malu untuk keluar kerana semua orang sudah tahu apa yang berlaku.

"Lebih-lebih lagi luka yang ada di wajahnya masih belum sembuh sepenuhnya," katanya.

Jika sebelum ini, Mohd Nor Hakim adalah seorang yang periang dan sering mengikuti ayahnya, Mohd Nawi Wan Sulaiman, 57, ke masjid untuk solat terawih.

Tetapi semenjak kejadian tersebut, rutin hariannya itu langsung tidak dilakukan kerana perasaan malu yang menebal pada dirinya.

Tiada persiapan raya

Disebabkan itu juga, Mohd Nor Hakim langsung tidak memikirkan tentang sambutan Aidil Fitri yang bakal tiba.

Perasaan malunya itu menyebabkan dia tidak mahu keluar untuk membeli kelengkapan Hari Raya mahupun mendapatkan baju baru.

Mohd Nawi berkata, dia dan isteri berharap trauma anaknya itu tidak berpanjangan kerana setiap kali Hari Raya Mohd Nor Hakim adalah antara yang paling seronok dan akan beraya di setiap rumah jirannya bersama-sama adik beradik yang lain serta rakan-rakan  untuk mengumpul duit raya sepertimana kanak-kanak lain.

"Saya berharap dia dapat melakukan perkara yang sama pada kali ini dan tidak mahu melihat dia terus menyepikan diri daripada orang ramai," katanya.

Dapatkan rawatan selanjutnya di hospital

Selepas Hari Raya ini, Mohd Nor Hakim perlu ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Bharu untuk menjalani rawatan susulan.

Mohd Nawi berkata, anaknya itu perlu membuat pemeriksaan semula mata serta jahitan dan pembedahan plastik yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Kami berharap semuanya akan berjalan lancar dan wajahnya dapat dikembalikan sepertimana asal untuk mengembalikan keyakinan dirinya yang sudah hilang," katanya.

Mohd Nor Hakim sebelum ini menerima 14 jahitan ekoran kecederaan yang dialami di muka, mata, badan dan kakinya.

Nasihat kepada orang ramai

Mohd Nawi berkata, sebagai ibu bapa yang pernah mengalami nasib sebegitu, dia berpesan kepada orang ramai agar memantau apa yang dilakukan oleh anak-anak sepanjang musim perayaan ini.

"Hari Raya tidak akan meriah tanpa kehadiran bunga api atau mercun tetapi apa yang penting adalah semasa anak-anak bermain benda tersebut ia seharusnya di bawah pengawasan ibu bapa ataupun orang dewasa," katanya.

Menurutnya, apabila perkara tersebut berlaku kegembiraan yang cuba dicari itu bertukar menjadi kesedihan.

Bagaimanapun Mohd Nawi yang bekerja sendiri itu berkata, dia dan keluarga redha dengan apa yang berlaku dan menganggap ia sebagai dugaan serta pengajaran yang perlu diambil ikhtibar oleh semua pihak.

Kisah 'saintis cilik' tidak bertauliah

Sebelum itu pada 25 Julai lalu, akhbar tempatan melaporkan tindakan seorang 'saintis cilik' tidak bertauliah yang cuba membuat bunga api sendiri mengundang padah apabila bahan uji kajinya itu tiba-tiba meletup mengakibatkan muka, badan dan kakinya cedera.

Kejadian yang berlaku pada jam 4 petang di Kampung  Padang   Embun , Tendong, Pasir Mas itu berlaku apabila pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Bechah Durian, Mohd Nor Hakim Mohd Nawi, 11, cuba memanaskan botol yang diisi belerang dan pasir menggunakan surat khabar sebelum botol itu meletup menyebabkan serpihan kaca mengenainya.

Mengimbau semula kejadian itu, bapa mangsa, Mohd Nawi Wan Sulaiman, 57, berkata, ketika kejadian, anaknya cuba melakukan 'eksperimen' menggunakan mercun bola bersama empat lagi rakannya.

Katanya, mereka telah memasukkan belerang mercun itu ke dalam botol berisi pasir kononnya untuk menghasilkan bunga api.

"Anak saya kemudian bertindak membakar surat khabar yang digulung untuk memanaskan bahagian atas botol manakala rakan-rakannya memerhatikan dari jauh.

"Entah bagaimana botol itu tiba-tiba meletup dan berkecai menyebabkan serpihannya mengenai anak saya. Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu kira-kira pukul 5.30 petang," katanya ketika ditemui.

Tiada ulasan: