Ahad, 11 Ogos 2013

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Raikan Aidilfitri dengan ikhlas bermaafan

Posted: 11 Aug 2013 01:11 AM PDT

Ziarah di pada Syawal adalah suatu kelaziman bagi masyarakat Islam di Malaysia. Ia tradisi yang yang unik dan berjalan kadang-kadang lebih sebulan lamanya. Konsep ziarah untuk maksud silaturahim dan mahabbah adalah dianjurkan oleh Islam.

Saudara berjauhan, sahabat handai yang sekian lama tidak dikunjungi, kenalan taulan yang sudah lama tidak berhubung akan berasa gembira ziarah itu. Apalagi kalau ziarah itu membawa ole-ole tanda ingatan seadanya akan menyebabkan ziarah itu lebih bermakna.


Lebih-lebih lagi dorongan ziarah itu untuk bermaafan kerana kesilapan lalu, ketelanjuran pekerti yang ditunjukkan, kekasaran bahasa yang terucap dan dendam kerana perbezaan fahaman. Apa maknanya kita umat Islam sekiranya hati kita masih keras dan degil untuk saling memohon kemaafan dan menerima kemaafan.


Apa makna kita berpuasa sepanjang Ramadan, sedangkan kita gagal mengekang nafsu amarah, jiwa bengis, prasangka melulu terhadap orang lain, tiada perasaan kasih sayang sesama Islam, sering hilang pertimbangan kerana perbezaan fahaman dan pendapat dan lebih rela bermusuh dan tidak bertegur sapa walaupun sesama anggota keluarga. Persaudaraan sebenar bermula dalam keluarga.
Kalau sesama anggota keluarga perseteruan dan permusuhan terus terjadi kaedah agama yang mana satu membenarkan ini berlaku.

Manusia tidak sempurna

Manusia tidak sempurna. Orang lain juga ada silap salahnya seperti kita juga. Islam mengajar umatnya berjiwa besar. Seperti hebatnya Rasulullah SAW seorang yang hebat pemaafnya. Apalah kita manusia kerdil yang keras hati dan kuat dendam kesumatnya sehingga berasakan diri tidak bersalah dan salah itu hanya pada orang lain.
Kesilapan dan dosa kita kepada Allah SWT boleh mohon diampun terus daripada-Nya. Silap dan dosa kita sesama manusia bagaimana. Ia memerlukan ziarah dan pertemuan, lafaz dan pelukan dan paling tidak dengan alat komunikasi supaya terucap kata-kata keramat itu iaitu kemaafan. Kalau tidak dosa yang ditanggung oleh kita dan dosa yang ditanggung oleh orang lain akan dibawa ke kubur.

Rumah terbuka yang kita hadiri dan ziarah yang kita lakukan harus datang daripada hati yang ikhlas. Saudara mara di kampung yang lama tidak dikunjungi akan berasa amat bahagia sekiranya kunjungan ke teratak mereka terjadi. Sahabat taulan yang terlantar kerana uzur dan tua akan berlinangan air mata menerima ziarah kita di samping sedikit pemberian untuk mereka. Paling tidak kesunyian dan kesepian yang dialami sekian lama mati sejenak dengan ziarah yang bermakna.

Bayangkan seorang ibu yang kematian suami tinggal seorang diri tidak diziarahi oleh anaknya yang merantau tertunggu-tunggu kalau-kalau hari raya yang mulia dia dikunjungi oleh anak-anak.
Bayangkan anak yatim yang sudah ketiadaan ibu bapa yang tersayang berasa amat hiba kerana saudara mara yang ada tidak menziarahi mereka. Bayangkan juga orang tua di rumah perlindungan akan berasa lebih terharu kerana mempunyai anak-anak yang sudah senang tetapi tidak mempedulikan ibu ayahnya. Mereka adalah orang yang tidak bernasib yang perlu kita ziarah.

Harus ada keinsafan

Hanya kita harus ingat suatu perkara. Kita juga akan tua seperti mereka. Kita belum tahu nasib kita bagaimana. Apa yang berlaku kepada orang tua kita terbiar dalam kesunyian dan kesepian boleh berlaku kepada kita suatu hari nanti. Apa yang berlaku kepada anak-anak yatim boleh berlaku kepada kita juga.

Harus ada keinsafan yang tinggi dan rasa yang tulus ikhlas bahawa semua kita akan kembali bertemu dengan Allah. Harta yang banyak di dunia akan tinggal. Pangkat dan darjat tidak dibawa pergi. Hadis Rasulullah SAW memberikan tiga asas hubungan antara yang pergi dengan yang tinggal.
Pertama, amal jariah yang kita lakukan sepanjang hidup kita. Kedua, ilmu yang bermanfaat yang ditinggalkan dan ketiga ialah anak yang solih dan mendoakan kedua ibu bapanya.

Melupai ibu dan ayah ketika hidupnya, tidak dipanjangkan rezeki kepada mereka walaupun kita mampu, menghina orang miskin dan daif tanpa mengambil tahu kehidupan mereka, berlagak sombong dengan harta kekayaan dan pangkat yang ada bukanlah gambaran anak yang soleh, sebaliknya pekerti anak yang toleh.

Aidilfitri yang membawa makna hari kemenangan menuntut ziarah supaya keikhlasan ziarah menjadikan kita ini sedang kembali kepada fitrah. Lucutkan jiwa haiwani supaya menjadi lebih manusiawi dengan kembali semula kepada fitrah diri dengan perasaan kasih sayang, belas kasihan yang penuh simpati. dan sentiasa berasakan bahawa orang lain adalah manusia juga yang mempunyai perasaan untuk dikunjungi dan diziarahi supaya kita terbimbing ke jalan yang dirahmati Allah bukan sebaliknya.

Penulis ialah Sidek Baba Profesor Pendidikan di UIAM

Aidilfitri uji ketakwaan Muslim

Posted: 11 Aug 2013 01:06 AM PDT

Oleh AHMAD BAEI AHMAD SETELAH kita berhempas pulas bermujahadah menahan nafsu sepanjang bulan Ramadan, kini sampai masanya kita bersuka ria menyambut hari kemenangan yang dinamakan Aidilfitri. Tarikh 1 Syawal tetap menjegah kita tanpa gagal sama ada kita berpuasa atau pun tidak. Namun Aidilfitri datang secara khusus untuk meraikan umat Islam melakukan puasa sepenuhnya.

Walau bagaimanapun mereka tidak melakukan puasa sepenuhnya termasuk kanak-kanak boleh turut menyambut hari kemenangan ini, malah dalam realitinya merekalah orang yang paling gembira dengan kedatangan Syawal ini. Yalah, bagi kanak-kanak mereka akan mendapat duit raya, malah sesetengahnya mendapat beratus-ratus ringgit juga. Manakala golongan yang puasanya kurang sempurna berasa gembira kerana tekanan lapar sudah berakhir dan kini boleh membalas dendam, makan sepuasnya. Selain itu, mereka boleh berhibur semahunya. Sebaliknya mereka yang mampu berpuasa dengan sebaiknya tidak sebegitu ghairah menyambutnya. Mereka selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri akan berziarah sanak saudara. Selepas itu mereka akan menyambung puasa sunat Syawal pada 2 Syawal. Barangkali mereka inilah golongan yang akan beroleh takwa. Persoalannya di mana kedudukan anda?
Siapa yang layak menyambut
Sememangnya orang yang berpuasa diharapkan mencapai tahap takwa seperti yang difirmankan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183; "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."
Jadi, bagaimana dengan puasa anda, mencapai takwa atau tidak? Sudahkah anda berpuasa dengan penuh rasa iman dan takwa? Ya, mereka yang beriman dan bertakwa berpuasa bukan sekadar tidak makan dan minum dan tidak melakukan perkara yang membatal puasa, tetapi turut menjaga lidah, tangan, kaki, mata dan telinga daripada melakukan dosa kecil apatah lagi besar.
Selain itu mereka yang berjaya menambah pahala sunat seperti solat sunat tarawih yang sempurna, membaca al-Quran dan memberi makan orang berbuka puasa dengan seikhlasnya berpeluang menambahkan mutu Ramadannya. Ibadah ini merupakan bonus untuk menjadikan mereka bertakwa seperti yang diharapkan Allah dalam ayat di atas.
Mereka yang berjaya melaksanakan ibadah puasa dan segala amalan sunat dalam bulan Ramadan tentu Allah melihatnya dengan penuh rahmat. Apa tidaknya, mereka ini boleh berakhlak baik dengan manusia apatah lagi dengan Allah. Mereka juga boleh berakhlak dengan haiwan dan alam sekitar. Jika inilah hasil daripada ibadah puasanya, tidak syak lagi mereka ini adalah orang yang paling layak untuk menyambut Aidilfitri.
Sejarah Rasulullah dan sahabat mencatatkan bahawa mereka menyambut hari raya secara sederhana malah mereka bersedih dengan pemergian Ramadan. Oleh sebab itu mereka akan melakukan segala amalan sunat sebaik sahaja diisytiharkan sudah masuk satu Syawal. Mereka mulakan dengan takbir dan tasbih raya.
Seterusnya pada siang hari diulang lagi amalan takbir sehingga sebelum solat sunat Aidilfitri dimulakan imam. Sebelum solat subuh mereka akan mandi sunat hari raya. Dan selepas solat subuh mereka akan makan sebagai tanda tidak berpuasa lagi.
Lazimnya selepas solat Aidulfitri mereka akan melakukan amalan ziarah rumah ke rumah, bermula dengan jiran terdekat dan kemudiannya menziarahi sanak saudara terdekat. Mereka rapatkan hubungan terutama silaturrahim dalam kalangan kaum keluarga.
Siapa yang dihalang menyambut
Sebenarnya Islam tidak pernah menghalang sesiapa pun untuk menyambut hari raya ini. Malah orang bukan Islam juga boleh bersama-sama orang Islam meraikannya. Oleh sebab itu tidak salahlah orang yang gagal berpuasa sebagaimana yang sewajarnya, menyambut hari raya seperti orang lain. Hal ini kerana mereka adalah golongan yang berpuasa kategori orang awam.
Tetapi lazimnya kita dapati mereka ini menyambut hari raya bak kata ibarat "lebih sudu dari kuah". Sambutan mereka lebih hebat daripada orang yang layak dalam kalangan golongan khawas dan khususul khawas. Mereka menyambut secara melampau dalam berhibur. Malah hiburan adalah keutamaan mereka, sedangkan amalan ziarah sudah dikesampingkan.
Sepatutnya mereka dalam kategori awam ini menyambut Syawal sebagai meraikan golongan yang berjaya termasuk kanak-kanak. Mereka sepatutnya bertemu orang yang berjaya dan mengucapkan tahniah dan doakan kebaikan. Tetapi bagaimana kita hendak kenal mereka yang berjaya kerana lazimnya orang yang berjaya pun tidak mahu mengaku berjaya.
Maka atas semangat itu Islam menganjurkan amalan menyambut Syawal dengan mengucapkan tahniah dan doa kepada orang yang kita temui. Dengan saling mengucap tahniah yang sekali gus berdoa akan kejayaan orang lain, diharapkan kita semua beroleh kejayaan. Kalaupun tidak sampai ke tahap takwa, setidak-tidaknya kita menjadi orang yang reda dengan keputusan Allah.
Pada masa yang sama, kita digalakkan bersedekah kepada anak-anak semoga dengan sumbangan ikhlas itu Allah ampun dosa kita dan meningkatkan keimanan dan ketakwaan. Kita tidak tahu sejauh mana amalan kita diterima Allah, tetapi kalau kanak-kanak yang suci hati turut mendoakan kita tentu sedikit sebanyak ada penambahan kebaikan untuk kita.
Amalan sunnah
Kebanyakan umat Islam di sini telah melakukan atur cara di atas tetapi sejauh mana mereka dapat melakukannya sebagai yang dianjurkan oleh Islam. Berapa ramai umat Islam yang bangun melakukan mandi sunat Aidilfitri? Wanita yang uzur juga tidak harus ketinggalan untuk melakukan mandi sunat. Kalau begitu semua umat Islam patut melakukannya tanpa gagal.
Begitu juga dengan amalan berkunjung ke tempat solat Aidilfitri, wanita yang uzur masih ada tempat dan ruang untuk sama-sama mendengar khutbah raya. Kalau semua umat Islam datang lebih awal untuk mengambil tempat yang sesuai tentulah besar ganjaran untuk mereka. Wanita uzur walaupun tidak boleh solat mereka boleh duduk di tempat khas di luar masjid untuk sama-sama mendengar khutbah hari raya.
Tetapi saya tidak pasti, berapa buah masjidkah yang menyediakan tempat khas untuk wanita uzur? Atau adakah wanita uzur sendiri tidak berminat untuk mendengar khutbah, lalu tempat mereka tidak disediakan? Realitinya wanita yang uzur lebih selesa berada di dalam rumah semasa orang lain bersolat hari raya. Alangkah ruginya mereka kerana tidak mendapat nasihat yang baik pada pagi hari raya.
Sebenarnya solat sunat hari raya dan khutbahnya amat besar faedahnya. Selain solat berjemaah itu mendapat pahala berlipat kali ganda, dapat pula umat Islam berkenal mesra antara satu sama lain. Ya, kadang-kadang jiran rumah pun kita tidak berpeluang bercakap, maka pada hari ini kita berpeluang berbual sambil mengucap tahniah atas kejayaan menjalankan ibadah puasa.
Namun tidak dinafikan, ada umat Islam yang walaupun berkumpul ramai-ramai, mereka tidak mahu mengambil perluang berkenalan dengan rakan solat di sebelahnya. Adakah mereka malu untuk berkenalan atau mereka sombong kerana menilai orang tidak layak berkenalan dengannya. Kalau itu yang difikirkan bagaimana kita boleh berjaya dalam menempuh ujian Allah. Boleh jadi inilah tanda awal kita gagal melaksanakan ibadah puasa.
Sebaiknya sewaktu bersalaman kita memperlawa mereka ke rumah anda. Inilah amalan orang soleh sejak zaman berzaman. Mereka akan berziarah jiran terdekat selain sanak saudara dengan saling mengucap tahniah kerana berjaya memenuhi ibadah puasa. Cuma dalam amalan masyarakat Melayu, kita sering ucapkan "Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin" kepada orang yang kita temui. Semoga ucapan itu dinilai sebagai doa juga.
Bagi menambah baik ucapan itu bolehlah juga kita susuli dengan ucapan;"tahniah anda berjaya beroleh takwa, tahniah anda berjaya melaksanakan puasa dengan sempurna" dan yang seumpamanya. Bagi masyarakat Arab mereka sering ucapkan ucapan yang bermaksud, "Semoga setiap tahun kamu dalam keadaan baik."
Sebenarnya pada zaman Rasulullah ada satu ucapan yang turut dipakai, ini berdasarkan sebuah hadis daripada Wasilah bin al-Asqa' katanya, "Aku bertemu Rasulullah SAW pada hari raya lalu aku berkata: تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ maka baginda berkata: ya تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ maksudnya: "Semoga Allah terima amalan daripada kami dan kamu juga."
Amalan yang diucapkan oleh sahabat ini untuk Rasulullah adalah untuk menunjukkan adab memberi ucapan tahniah. Selain itu apabila baginda membalas dengan ucapan yang sama menunjukkan ucapan itu boleh digunakan oleh umat Islam.
Berdasarkan itu ucapan sebegini masih releven diucapkan sewaktu kita berziarah ke rumah orang yang kita hormati juga kawan-kawan yang kita sayangi. Semoga amalan ini juga boleh dijadikan hiburan buat kita sepanjang berhari raya. http://baei.blogspot.com

Falsafah Aidilfitri perlu dihayati

Posted: 11 Aug 2013 01:05 AM PDT


Apabila Rasulullah bertanya kepada mereka apakah dua hari raya tersebut, mereka segera menjawab bahawa dua hari raya yang mereka sambut itu adalah perayaan yang telah diwarisi secara turun-temurun daripada datuk nenek mereka terdahulu.

Lalu Rasulullah SAW telah menyatakan kepada masyarakat Arab Madinah bahawa Islam telah menggantikan dua hari raya yang diraikan itu dengan dua hari yang lebih bermakna iaitu Hari Raya Korban atau Aidiladha dan Hari Raya Fitrah atau disebut Aidilfitri.
Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu merupakan satu ibadat.
Hari Raya Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang-orang yang telah dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.
Kemenangan itu bukan saja menang kerana telah berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang bulan Ramadan, tetapi juga kemenangan kerana seseorang yang telah mengerjakan puasa tersebut dengan sendirinya dapat menghalang diri daripada melakukan apa jua perkara yang dilarang. Sekiranya dilakukan juga maka akan terbatallah puasanya.
Kerana itulah Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan tersebut. Kalimat 'fitri' sendiri bermaksud fitrah, iaitu dengan kejayaan manusia balik kepada fitrah yang asal, Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda.
Oleh kerana ini dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu. Apabila saja diumumkan esok adalah hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat dengan memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.
Sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani daripada Ubadah bin Soib menyatakan bahawa: "Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari Kiamat."
Pada pagi hari raya biasanya dimulakan dengan membersih diri, bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri dan seterusnya menghidupkan ukhuwah dengan kunjung mengunjung di kalangan saudara mara dan sahabat handai.
Perlu diingat bahawa Islam tidak pernah mengajar umatnya berlebih-lebih atau melampaui batas dalam menyambut apa sahaja perayaan.
Ini bermakna Islam menegah umatnya melakukan pembaziran dalam menyambut hari raya seperti boros berbelanja semata-mata untuk bergaya pada hari raya dengan pakaian yang mahal dan kuih-muih yang terlalu banyak.
Pada zaman Rasulullah, telah datang seorang sahabat kepada baginda dengan berpakaian serba baru, kata sahabat ini: "Ya Rasulullah, pada tahun ini saya tidak dapat menyambut hari raya Aidilfitri." Lalu baginda segera bertanya: "Kenapa wahai saudaraku?" Lelaki tersebut pun berkata: "Kerana saya tidak ada baju baru." Rasulullah kemudiannya bertanya beberapa sahabat yang lain, agar sesiapa yang mempunyai baju yang baru dapat kiranya diberikan kepada lelaki tadi.
Ini bermakna Islam tidak melarang sesiapa sahaja untuk bergaya dengan baju baru. Tetapi pengajaran daripada kisah tadi ialah dalam menyambut hari raya tidak semua bernasib baik dengan mempunyai pakaian baru untuk dipakai pada hari tersebut.
Lalu, digalakkan sesiapa yang ingin membuat kebajikan dengan bersedekah apa sahaja kepada orang-orang yang tidak berupaya.
 lWAN MARZUKI WAN RAMLI ialah Guru Pendidikan Islam di SK Sultan Ibrahim (4), Pasir Mas, Kelantan.

Tiada ulasan: