Ahad, 28 Julai 2013

Tempayan Retak

Tempayan Retak


Penyalahgunaan Internet Hampiri Tahap Kritikal

Posted: 27 Jul 2013 12:22 PM PDT

KEMAMAN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia tidak akan teragak-agak untuk mengkaji semula kemudahan serta akses Internet di Malaysia berikutan penyalahgunaannya di negara ini menghampiri tahap kritikal.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata langkah itu bagi mengelak sebarang kekeliruan yang timbul akibat penggunaan Internet tidak betul.

"Saya lihat kebebasan yang diberi (disalah guna dan kini) sudah semakin kritikal. Sudah tiba masanya kita tegas dan tanganinya dengan cara serius," katanya selepas menghadiri majlis Tamu Ramadan bersama 261 imam, bilal dan pengerusi masjid di dewan Majlis Perbandaran Kemaman pada Sabtu.

Beliau juga berkata penyebaran fitnah atau sesuatu yang tidak betul menerusi Internet perlu dibendung dari awal sebelum menjadi lebih buruk.

Antara penyalahgunaan berkenaan ialah penyebaran fitnah dan gambar yang mengaibkan seseorang serta penipuan melibatkan wang ringgit.

Terbaharu ialah penyebaran dakwaan bahawa terdapat gelombang kedua pencerobohan Suluk ke Sabah serta penghinaan terhadap Islam oleh pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee. BERNAMA

JAWI nafi akan beri kebenaran 4 finalis ratu cantik bertanding semula

Posted: 27 Jul 2013 12:16 PM PDT

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI ) hari ini menafikan akan memberi kebenaran kepada empat finalis Miss Malaysia World 2013 yang beragama Islam menyertai semula pertandingan berkenaan seperti dilaporkan sebuah portal tempatan baru-baru ini.
  
Pengarahnya Datuk Che Mat Che Ali berkata Jawi sehingga kini belum membuat keputusan berhubung isu itu memandangkan ia masih dalam siasatan.
  
"Perkara ini memang kita tidak boleh terima. Ini hanya spekulasi. Kertas siasatan hanya akan selesai sebelum Hari Raya Aidil Fitri berhubung tindakan selanjutnya terhadap empat peserta itu yang hanya akan dibuat oleh pihak pendakwaan Jawi kepada mahkamah," katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis pelepasan konvoi program kembara Dakwah Ramadan ke Rumah Anak-anak Yatim Al-Ihsan, Bentong, Pahang di ibunegara hari ini.
  
Majlis itu dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Razali Shahabudin.
  
Sebelum ini sebuah portal menyiarkan laporan bahawa JAWI berkemungkinan akan membenarkan penyertaan empat wanita Islam itu berikutan tindakan penganjur pertandingan ratu cantik itu Datuk Anna Lim membuat rayuan kepada Jawi.
  
Menurut laporan itu Anna Lim memberitahu media bahawa keempat-empat wanita Muslim mungkin mempunyai peluang untuk mengambil bahagian dalam Miss Malaysia World 2013.
  
Che Mat turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai perkara itu kerana Jawi belum membuat keputusan rasmi.
  
Sementara itu, seramai 120 penunggang motosikal berkuasa tinggi menyertai acara tahunan anjuran Jakim dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jawi, Pejabat Agama Islam Daerah Bentong dan Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi 300KMj.
    
Mereka bukan sahaja menziarah dan beramah mesra dengan anak-anak yatim, malahan terdapat pelbagai pengisian bersama penghuninya yang telah diatur pihak penganjur, antaranya ceramah, majlis berbuka puasa, solat berjemaah serta penyampaian sumbangan.

- Bernama

Individu amal Syiah ditolak tak kira parti

Posted: 27 Jul 2013 12:14 PM PDT

YAN - Sesiapa sahaja yang mengamalkan Syiah tidak akan diterima fahaman itu di negara ini, sebaliknya akan dikenakan tindakan tegas tanpa mengira status atau fahaman politik mereka, demikian tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
  
Beliau berkata apabila bercakap tentang Syiah, anggotanya amat sukar dikesan kerana golongan itu selalunya menyembunyikan identiti dan sering berbohong bagi mengelakkan diri mereka dikesan menganuti fahaman itu.
  
"Kalau nak kata ada mana-mana pemimpin politik terlibat Syiah, yang tu kita tak tau. Tapi kalau sebut fasal siapa anut Syiah, tak kira dia parti apa akan ditolak di negara kita.
  
"Lagipun kena ada bukti yang kukuh, kita tidak boleh senang-senang tuduh siapa (anut Syiah) sebab mereka dibenarkan berbohong, itu rukun yang mereka pegang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan hari raya untuk golongan kurang bernasib baik dalam Dun Guar Chempedak di sini hari ini.
  
Beliau mengulas dakwaan tersiar di akhbar tempatan bahawa dua pemimpin tertinggi sebuah parti politik dikenal pasti sebagai bertanggungjawab menyebar dan memberi sokongan politik kepada gerakan Syiah di negara ini terutama di utara tanah air.

Akhbar itu melaporkan sumber sebagai berkata, kedua-dua pemimpin tertinggi parti itu telah lama terlibat dalam gerakan Syiah dengan berselindung di sebalik fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah bagi mengaburi orang ramai dan pihak berkuasa.
  
Dalam perkembangan lain, Jamil Khir yang juga anggota Parlimen Jerai berkata lebih 4,000 golongan kurang bernasib baik terdiri daripada ibu tunggal, miskin serta anak yatim telah dikenal pasti dalam parlimen itu dan akan dibantu bagi meringankan beban mereka menyediakan persiapan hari raya.
  
"Seperti hari ini kita memberikan sumbangan wang tunai kepada lebih 1,000 penerima dan berharap ia dapat memberi kekuatan semangat untuk golongan kurang bernasib baik ini untuk menyambut hari raya.
  
"Umno di Jerai ini tidak pernah jemu membantu pengundi dan semua masyarakat dalam Parlimen ini, termasuklah bekas calon BN Dun Sungai Limau (Fadzilah Mohd Ali) yang tetap turun padang membantu masyarakat," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: