Jumaat, 12 Julai 2013

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Kod pakaian untuk wanita dikritik (12/7/13)

Posted: 12 Jul 2013 12:06 AM PDT


Saya sempat mendengar ucapan Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Siti Zailah Yusoff di Parlimen baru-baru ini. Ternyata sebagai ahli parlimen yang mewakili parti yang memperjuangkan Islam, tambahan pula beliau seorang Muslimat, YB Zailah telah menjalankan tanggungjawabnya.
Di Parlimen YB Zailah mencadangkan agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperkenalkan kod pakaian untuk wanita agar dapat membenteras gangguan seksual ke atas mereka. Bagi yang Islam beliau menyarankan pakaian menurut kehendak syarak manakala bukan Islam pakaian yang sopan.

Saranan ini memang wajar kerana demikianlah perjuangan Islam yang dibawa oleh YB Zailah dan parti yang beliau wakili. Ianya tidak memeranjatkan kecualilah beliau menyatakan sebaliknya.
Untuk menyatakan sesuatu yang benar bukan mudah terutama dizaman serba mencabar pada hari ini. Kebenaran mudah diterima oleh mereka yang beriman namun bagi lain ia dilihat sebagai sesuatu yang janggal dan leceh.

Saya perhatikan ketika beliau berucap antara yang awal melenting adalah Ahli Parlimen Pengerang YB Azalina Othman Said.
Dan pada hari ini akhbar The Star contohnya menyediakan hampir separuh muka ruangan untuk menyerang dan memperlekeh cadangan YB Zailah itu. Kalau boleh disenaraikan antara yang kurang senang dan memandang rendah termasuklah:

IVY JOSIAH – Pengarah Eksekutif WAO yang menganggap YB Zailah tidak ada kefahaman berkenaan jenyah seksual
DATUK YU CHOK TOW – Ketua Wanita MCA yang menyatakan bahawa cadangan YB Zailah itu mencerminkan pemikiran konservatif PAS terhadap wanita. Beliau malah mencadangkan agar semua ahli parlimen wanita termasuk dari pembangkang agar mengutuk saranan YB Zailah itu.

NORHAYATI KAPRAWI – Penerbit Dokumentari yang menyatakan bahawa kiranya YB Zailah mewakili sikap PAS maka rakyat Malaysia khasnya wanita perlu bimbang pada PAS.
YB TEO NIE CHING – Ahli Parlimen DAP Kulai menganggap bahawa cadangan memperkenalkan kod berpakaian itu bukan hanya menghina wanita tetapi turut menghina kaum lelaki

DR HARTINI ZAINUDDIN – Aktivis Kebajikan Kanak-kanak secara sinis menyatakan : Kod berpakain untuk menghindar kejadian rogol? Kita dari planet mana?
Demikianlah reaksi yang kita terima apabila mahu mengemukakan penyelesaian cara Islam.

Apa pun saranan YB Zailah itu perlu terus diajukan dan yang penting disokong oleh mereka yang mendukung perjuangan Islam. Mungkin ada perhalusan dan penelitian yang perlu dilakukan, namun jangan sekali-kali berputus –asa dengan reaksi seumpama ini. Rakan-rakan ahli parlimen PAS yang lain perlu terus menghidupkan isu ini kerana ianya bukannnya pandangan peribadi YB Zailah tetapi kehendak syarak.
Yang kita lihat adalah reaksi mereka yang sehaluan dengan Azalina, tetapi yakinlah ramai lagi di luar sana insyallah bersetuju dan akan memberikan sokongan.

Sesungguhnya mereka yang mendukung dan bersama perjuangan Islam akan berbangga dengan apa yang telah disuarakan oleh YB Zailah. Teruskan menyatakan yang hak ketika Allah berikan kita peluang untuk berdakwah.



Jika ini tidak kurang ajar, apa lagi? (12/7/13)

Posted: 11 Jul 2013 09:00 PM PDT


Adakah kebebasan bersuara dan mengeluarkan pandangan itu bebas mutlak? Jangankan dalam Islam, dalam peraturan sivil pun kesemuanya tertakluk kepada peraturan dan perundangan. "Save in accordance with the law" adalah istilah biasa dalam undang-undang sivil Negara.
Apa lagi dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama di Malaysia. Sensitiviti masyarakat perlu dihormati dan dipelihara. Sekiranya tiada batas dan larangan ianya pasti mengundang bencana kerana yang terguris akan melenting tambahan jika yang diguris itu melibatkan kepercayaan dan peradaban satu-satu kaum yang lain.

Saya kira masyarakat Malaysia sudah matang dan dewasa akan hakikat ini. Kerana itu masyarakat kita yang pelbagai dapat hidup rukun dan damai dalam satu Negara, tidak seperti di Negara lain yang menyaksikan pertumpahan darah dan keganasan.
Cuba anda amati ungkapan ini:

Izinkan kami memperkenalkan cara kami memupuk semangat 1Malaysia dengan bertukar-tukar makanan antara kaum-kaum Malaysia pada musim perayaan yang mulia ini. Hak untuk menikmati juadah enak tempatan seharusnya merentasi batasan bangsa dan juga agama. Kepada saudara-saudari yang beragama Islam, selamat berbuka puasa dan Salam Aidilfitri!
-Sahabatmu, Alvin dan Vivian-

Ianya satu posting di facebook milik pasangan di atas yang dimuatkan siap dengan gambar berikut:

 

Jika ini tidak kurang ajar, apa lagi?
(Pasangan ini sedang bergambar dengan sajian popular masyarakat Cina iaitu "Bah Kut Teh" yang mengandungi daging khinzir - perhatikan logo Halal yang turut dinaikkan)
Kedua pasangan di atas yang memangnya tersohor dengan aksi lucah dalam facebook mereka sebelum ini memberi reaksi kononnya posting mereka ini sekadar suatu jenaka, bukan serius.

Jenis individu dan kumpulan seumpama inilah yang akan menggegar kestabilan Negara yang dimaksudkan lantaran cetek akal dan keceluparan mulut. Bayangkan kalau pihak yang terguris pula memberi rekasi, tidakkah ini nanti akan mengundang bencana.
Kerana itulah kebebasan apa pun sepatutnya tidak ditangkap muat sebagai sesuatu yang bebas mutlak. Yang bebas mutlak adalah mereka yang tinggal di hutan dan rimba. Makan dan musnah sesama mereka, bagi kita yang beradab dan bertamaddun biarlah berpada-pada.

Mohon pihak yang bertanggungjawab memberi perhatian kepada posting dan pasangan yang dimaksudkan. (Kepada pasangan ini: jangan bermain api, nanti terbakar tangan....)

Tiada ulasan: