Selasa, 23 Julai 2013

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


3 syarikat pembekal topi PRU 13 ada kaitan dengan pembekal dakwat TAK KEKAL - Rafizi

Posted: 22 Jul 2013 11:45 PM PDT

Rafizi dedah tiga pembekal topi ada kaitan dengan pembekal dakwat kekal. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari.Rafizi dedah tiga pembekal topi ada kaitan dengan pembekal dakwat kekal. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari.
Syarikat pembekal topi pada pilihan raya lalu diberi kepada pihak yang ada kaitan dengan kepimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Rafizi Ramli.
Pada sidang media di ibu pejabat PKR, Pengarah Strategi parti itu mendakwa, tiga syarikat yang diberi tender topi ada kaitan dengan Mohamed Salleh Mohd Ali yang juga pembekal 'kontroversi' dakwat kekal.
"Melalui semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), tiga syarikat itu ada hubung kait secara langsung dengan Mohamed Salleh, individu yang menerima kontrak pembekalan dakwat kekal," katanya.
Rafizi berkata, tiga syarikat itu ialah Nash Ventures Sdn Bhd, Ayumi Resources Sdn Bhd dan Bumi Textiles Sdn Bhd, ketiga-tiganya mendapat kontrak menerusi rundingan terus. 
"Tiga syarikat ini menerima kontrak secara rundingan terus untuk membekalkan topi," kata Ahli Parlimen Pandan itu.
Rafizi kemudiaan mempersoalkan keperluan SPR menganugerahkan tender tersebut secara rundingan terus dan mencurigai apabila ketiga-tiga syarikat tersebut dikawal oleh individu sama yang juga membekalkan dakwat kekal.
"Malah, proses rundingan terus yang akhirnya menganugerahkan tiga kontrak pembekalan topi kepada tiga syarikat yang dikawal oleh orang sama menimbulkan persoalan kenapa SPR tidak bersikap telus dan menganugerahkannya terus kepada satu syarikat sahaja (memandangkan ia dikawal oleh orang sama)," tegas Rafizi.
Menurut Rafizi lagi, tender membekalkan topi secara rundingan terus adalah tidak memenuhi syarat-syarat mengikut Pekeliling Perbendaharaan yang dikeluarkan oleh kerajaan.
"Bagi kontrak ini, tidak ada satu pun syarat-syarat di dalam Perbendaharaan itu yang boleh digunapakai untuk mengecualikan tender terbuka.
"Tender pembekalan topi bukan satu keperluan mendesak, ia boleh diseragamkan melalui pelbagai pembekal menerusi spesifikasi yang diberikan SPR, ia tidak melibatkan paten atau francais dan ia bukanlah barang-barang keselamatan strategik," ujar Rafizi lagi.
Memandangkan syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi SPR dalam memberi tender topi, Rafizi berkata secara logiknya tidak mungkin tender tersebut diberikan kepada seseorang yang tidak dikenali seperti yang dikatakan oleh pemimpin tertinggi SPR.
"Sebab itu saya menyatakan bahawa perkara ini boleh berlaku hanya jika Mohamad Salleh ini mempunyai hubungan istimewa dengan kepimpinan SPR.
"Persoalan ini sehingga sekarang masih belum dijawab," tegasnya lagi.
Apabila ditanya tentang penafian oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Rafizi mempertahankan pendedahannya mempunyai kebenaran kerana sehingga kini tidak ada penafian daripada kerajaan dan sehingga kini tiada sebarang tindakan disiplin diambil ke atas dirinya di Parlimen.
"Kerajaan tidak pernah menafikan di dalam Parlimen dan saya juga sehingga kini tidak dihadapkan ke jawatankuasa hak dan keistimewaan Parlimen... secara logiknya, kalau saya salah pasti saya sudah digantung di dalam Parlimen," tegas Rafizi lagi.
Beliau turut membidas Abdul Aziz dan Wan Ahmad sebagai seorang individu yang tidak mengambil berat tentang integriti dan kredibiliti badan pilihan raya tersebut kerana sehingga kini gagal membuat penjelasan kepada umum tentang pendedahan awalnya di Dewan Rakyat lalu.
"Bagaimana rakyat mahu dapat keyakinan dan kepercayaan?" soal Rafizi.
Rafizi sebelum ini di Dewan Rakyat mendedahkan pembekal dakwat kekal adalah  "rakan rapat" kepada pemimpin tertinggi SPR dan mendakwa kontrak berkenaan diberikan secara rundingan terus.
Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini juga mengemukakan saman ke atas Abdul Aziz dan Wan Ahmad kerana membuat kenyataan palsu berhubung dakwat kekal serta kandungan nitrat perak dalam dakwat berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim turut bertegas SPR tidak bercadang untuk mendedahkan syarikat pembekal dakwat kekal. - 23 Julai, 2013.

Tiada ulasan: