Rabu, 10 Julai 2013

labun KulupSakah...

labun KulupSakah...


Open Road - filem Hollywood ala drama Melayu yang menghampakan.

Posted: 09 Jul 2013 08:27 PM PDT

Dengan permulaan cerita yang meyakinkan, Angie (lakonan Camilia Belle) anak hartawan yang berbakat melukis keluar mengembara meninggalkan keluarga untuk mencari pembaharuan dan ingin melupakan kisah silam yang menghantui dirinya. Dia bekerja sebagai pelayan restoran dengan tidak banyak menceritakan peribadinya kepada rakan sekerja.

Dia tinggal di dalam khemah di tepi hutan dan berkenalan dengan Chuck, orang tua yang juga tinggal di tepi hutan. Angie kemudiannya diberitahu ibunya yang sebenarnya ayahnya telah meninggalkan keluarga sejak dia kecil. Belum habis cerita kita bisa menebak Chuck (Andy Garcia) adalah ayahnya.

Meninggalkan kawasan itu Angie ke tempat lain. Berkenalan pula dengan seorang anggota polis muda kacak dan jatuh cinta. Tetapi igauan masa silam membenteng dirinya untuk sebuah komitmen. Akhirnya dia membuat keputusan, membuka galeri lukisan dan mengundang semua kenalannya. Chuck datang dengan jambang yang telah dicukur lantas pantas sahaja Angie mengecam Chuck ayahnya.

Seperti drama Melayu yang cliche terjadilah dialog melankolik kekesalan anak dan ayah. Angie, kekasihnya si polis dan ayahnya kemudian pulang menemui ibu dan kakak Angie.

Tamat sebuah Cerekarama Hollywood berdurasi 125 minit tulisan Julia Camara dan arahan Marcio Garcia yang gagal mengundang air mata biarpun nampak Andy Garcia (Godfather 111, trilogi Ocean Eleven) bersungguh mencoba. Kesal Juliette Lewis hanya membawa peranan kecil yang saya masih terbayangkan gandingan yang romantis bersama Johnny Depp dalam What's Eating Gilbert Grape (1993).




Sejalur sinar menjelang Ramadhan

Posted: 09 Jul 2013 07:41 AM PDT

Anak,
Panas ini menggigit ubun-ubun, sambutlah dengan manis di mulut. Biar ia menggigit dan menikam, rasakan nikmat sakitnya. Ah! Sakit anakku! Syukur saraf ini dibenarkan untuk merasa sakitnya.

Anak yang telah kembali,
Maafkan aku jika hari-hariku masih enggan lagi melupakanmu yang sudah kembali menyatu. Aku tahu kau sudah sebati di sana dan aku tidaklah kecewa meratap di sini. Aku bahagia. Cuma aku masih mahu meminjam kenangan dan menikmati lazat kasih-sayang ini.

Suri,
Aku doakan kau bahagia dan tabah meluncuri ombak hidup. Gelora ini layanlah sahaja. Sesekali pedih masin air tersimbah di mata, ah biasalah! Rasakan sahaja garam yang disimpan dzat masin bersalut ketulan manik-manik kristal. Garam inilah rencah enaknya gulai kehidupan.

Ayah dan ibu,
Tidaklah aku anak yang baik, sakit bahuku memikul segala amanah. Andai terkehel dan patah kandarku, telapak kakimu kucium penuh kesal.

Dia,
Nafasmu kurindu. Sesaat kau rentap fanalah aku...

Salam Ramadhan!

Tiada ulasan: