Selasa, 30 Julai 2013

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Kalimah Syahadah Terbalik Dicetak Pada Iklan Courts Mammoth

Posted: 30 Jul 2013 08:37 AM PDT

Sebuah syarikat jualan perabot dan barangan elektrik, Courts Mammoth, di Kuantan sudah menghentikan pengedaran risalah iklan mengandungi kaligrafi kalimah syahadah dicetak secara terbalik sejak beberapa hari lalu.

Jurucakap Courts Mammoth berkata, pengedaran dihentikan setelah mendapat maklumat daripada cawangan di Dungun, Terengganu dan kunjungan siasatan Jabatan Agama Islam Daerah Dungun berkaitan perkara tersebut.

Menurutnya, selepas mendapat maklumat mengenai percetakan kaligrafi kalimah tersebut, Courts Mammoth cawangan Kuantan segera menghentikan pengedaran kepada orang ramai.

"Kami tidak mengetahui kaligrafi tersebut dicetak secara terbalik kerana menyangka hanya kaligrafi biasa, sehinggalah dibaca melalui cermin, barulah jelas kelihatan satu kalimah syahadah.

"Kami begitu menghormati kalimah tersebut dan langsung tiada niat mempersendakannya, kerana itu kami tidak lagi mengedarkannya kepada pelanggan," katanya ketika disoal siasat pegawai Jaip, di sini, semalam.

Katanya, mungkin hanya sesetengah pelanggan mempunyai risalah tersebut kerana Courts Mammoth sempat mengedarkannya pada hari promosi bermula.

"Namun mungkin ada yang menerima risalah tersebut daripada pengedar kami yang sah menghantar dari rumah ke rumah," katanya.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Mohd Anis Mohd Azmi berkata, Jaip turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai bahan cetakan iklan mengandungi kaligrafi secara terbalik itu menyimpannya sahaja.

"Walaupun risalah iklan itu salah disebabkan sengaja atau tidak ketika dicetak, ia sama sekali tidak boleh diedarkan, namun mereka yang memiliki juga jangan membuangnya.

"Jika mereka yang memiliki risalah tersebut bertindak membuangnya merata-rata, ia boleh dianggap satu penghinaan kerana tertera nama Nabi Muhammad SAW," katanya.

Justeru itu katanya, Jaip akan berurusan terus dengan ibu pejabat syarikat Courts Mammoth untuk mendapatkan maklum balas lebih tepat serta perbincangan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Perkembangan Kes Dr Putus Jari Ditetak

Posted: 30 Jul 2013 04:51 AM PDT

2 lelaki mengaku tak bersalah tetak jari doktor

PETALING JAYA - Dua lelaki hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan menetak jari Dr Delaila Ahmad hingga putus ketika melakukan rompakan dua minggu lepas.

P. Sharves, 22, dan S. Kanthavellu, 20, didakwa menyebabkan kecederaan dengan menetak jari tangan kiri Dr Delaila, 59, di tepi jalan SS 19/6, Subang Jaya menggunakan parang pada 1.20 pagi, 16 Julai lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Yasmin Abdul Razak membenarkan tertuduh, masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan mereka melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali serta dilarang mengganggu atau mendekati mangsa dan saksi.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan mereka didakwa atas tuduhan merompak wang tunai RM18,000 milik Dr Delaila di tempat, tarikh dan waktu yang sama.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Rozina Ayob membenarkan mereka diikat jamin RM8,000 dengan mensyaratkan bapa tertuduh pertama dan ibu tertuduh kedua sebagai penjamin.

Kedua-dua kes itu akan disebut semula 22 Ogos.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Dalira Din bagi kes rompak dan bagi kes mencederakan, dikendalikan Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir.

Kedua-dua tertuduh diwakilli peguam S. Siva Ganish. - Bernama

Komen Ustaz Azhar Idrus Tentang Air Celupan Rambut Nabi & Air Sarang Anai-anai

Posted: 30 Jul 2013 04:31 AM PDT

Watch " Komen Ustaz Azhar Idrus Tentang Air Celupan Rambut Nabi & Air Sarang Anai-anai" on YouTube -

https://www.youtube.com/watch?v=ZnSlSv4sF50&feature=youtube_gdata_player

Polis Tidak Boleh Dipersalah Dalam Peningkatan Kes Tembak - Ahmad Zahid

Posted: 30 Jul 2013 01:32 AM PDT

PUTRAJAYA, 30 Julai (Bernama) Polis tidak boleh dipersalahkan dalam peningkatan kejadian pembunuhan menggunakan senjata api yang dilihat seolah-olah berleluasa sejak kebelakangan ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebaliknya semua pihak perlu memahami bahawa polis di Malaysia menghadapi kekurangan jumlah anggota dan peralatan berbanding negara maju.

"Sebagai contoh, di New York, Amerika Syarikat, seorang polis berkhidmat untuk 35 penduduk berbanding seorang polis di Malaysia berkhidmat untuk 700 penduduk untuk sesuatu kawasan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Miles Kuppa di pejabatnya di sini hari ini, sebagai mengulas kejadian tembak yang sering dilapor sejak kebelakangan ini termasuk melibatkan individu berprofil tinggi.

Semalam Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi maut manakala isterinya cedera ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, di ibu negara.

Kejadian itu berlaku dua hari selepas aktivis antijenayah yang juga Pengerusi MyWatch R. Sri Sanjeevan cedera ditembak di persimpangan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan.

Selain dua kes berprofil tinggi itu, satu lagi kes tembak dilaporkan semalam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang menyebabkan seorang cedera dan pada Ahad malam pula seorang lelaki maut dan dua parah ditembak oleh lelaki yang menaiki sebuah kereta ketika ketiga-tiga mereka sedang minum di bahagian luar sebuah restoran di Kampung Simee di Ipoh.

Sambil mengakui bahawa antara faktor peningkatan kadar jenayah berpunca daripada pembebasan tahanan di Simpang Renggam, Ahmad Zahid berkata kementerian menerusi pelbagai agensinya akan mempertingkat kawalan keselamatan di sempadan negara yang menjadi lokasi untuk menyeludup senjata.

Kementerian juga akan mempertimbangkan pembelian peralatan baharu untuk anggota polis dan menambah lebih banyak litar kamera tertutup (CCTV) bagi membanteras kejadian jenayah pada masa depan, katanya.

Mengenai penyebaran fahaman Syiah di Malaysia, Ahmad Zahid berkata kementerian akan bekerjasama dengan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Hal Ehwal Agama Islam Negeri untuk mengekang fahaman itu.

BERNAM

Video Kejadian Tembakan Pengasas Ambank Kelmarin

Posted: 29 Jul 2013 08:55 PM PDT



SHAH ALAM - Pengasas Arab Malaysian Bank Berhad, Hussain Ahmad Najadi, 75, terbunuh, manakala isterinya, 49, cedera apabila ditembak di kawasan parkir di kuil Cina Ceylon Kuan Yin Temple, Kuala Lumpur, semalam.

Hussain meninggal di tempat kejadian, manakala isterinya cedera akibat terkena tembakan rambang.

Mereka sedang duduk di situ apabila seorang lelaki menghampiri mereka dan melepaskan beberapa das tembakan. Penembak itu melarikan diri dengan teksi bersama dua lain.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, mangsa terkena dua das tembakan di dada dan rusuk kiri, manakala isterinya terkena satu das di pergelangan tangan kiri dan paha kanan.

"Kejadian itu mungkin ada kaitan dengan urusan perniagaan," katanya.

Katanya, mayat Hussain dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat, manakala isterinya dihantar ke hospital yang sama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.


Anak terkejut pengasas bank dibunuh


KUALA LUMPUR - Anak lelaki pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian Hussain Ahmad Najadi terkejut dengan pembunuhan bapanya di sini hari ini.

"Saya terkejut apabila mendengar tentang kejadian bunuh itu, lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan pada waktu siang di Kuala Lumpur," Pascal Najadi kepada Bernama dalam satu temu bual menerusi telefon dari Eropah.

Sehubungan itu, Pascal, 45, pemegang kerakyatan dua negara iaitu Switzerland dan British, menggesa pihak berkuasa Malaysia mengambil tindakan sewajarnya bagi menahan individu yang terlibat dalam pembunuhan bapanya serta mengheret mereka ke muka pengadilan.

Pascal, yang turut menceburi bidang perbankan, berkata ironinya adalah Hussain Ahmad dibunuh di Malaysia, negara yang amat disayanginya dan dianggap sebagai tanah tumpah darah beliau selama lebih empat dekad.

Hussain Ahmad, 75, maut manakala isterinya yang berusia 49 tahun cedera parah ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari Tokong Kuan Yin di Lorong Ceylon pada 2 petang.

Mangsa terkena dua das tembakan di bahagian dada dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya cedera di pergelangan tangan kiri serta peha kanan.

Siasatan awal polis mendapati seorang lelaki bersenjata merupakan antara tiga individu yang menunggu Hussain Ahmad di luar tokong berkenaan, yang dikatakan ke situ untuk bertemu rakannya bagi membincangkan urusan jual beli saham.

Pascal berkata beliau mengetahui tragedi yang menimpa bapanya beberapa jam selepas kejadian selain menerima panggilan daripada polis Malaysia berhubung pembunuhan itu.

Hussain Ahmad mengasaskan Kumpulan Perbankan Arab Malaysian pada 1975 sebelum ia bertukar tangan pada 1982 dan dikenali sebagai Arab Malaysian Bank atau Ambank. - Bernama

Tiada ulasan: