Rabu, 3 Julai 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Ini Apa Cerita? Saman AES Ditangguh, Kompaun Diteruskan!

Posted: 03 Jul 2013 01:05 AM PDT


Teresa Kok hairan saman AES ditangguh, kompaun diteruskan

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Tidak sangka, rupa-rupanya dalam diam kerajaan Barisan Nasional (BN) meneruskan pelaksananaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) walaupun Peguam Negara menangguhkan pendakwaan terhadap pesalah AES.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok kecewa dan hairan dengan cara pentadbiran caca-marba BN melalui Kementerian Pengangkutan.

"Menteri Pengangkutan hari ini menyatakan AES masih dilaksanakan di 14 lokasi yang sedia ada," kata Teresa.

Menurut beliau, sebaik sahaja Peguam Negara mengarahkan penangguhan pendakwaan terhadap pesalah AES, ramai rakyat negara ini menganggap pelaksanaan AES turut ditangguhkan.

"Memandangkan pelaksanaan AES telah mendapat tentangan hebat daripada pemandu kereta dan mencetuskan begitu banyak masalah, saya minta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menghentikan dan mengkaji semula pelaksanaan AES di seluruh negara demi slogan Rakyat Didahulukan," kata Teresa di Parlimen, semalam..

Bagaimanapun, Hishammuddin ketika menjawab pertanyaan itu memberitahu bahawa pemandu yang mendapat saman AES masih perlu menjelaskan kompaun walaupun pendakwaan bagi kes AES ditangguhkan.

Alasan Hishammuddin ialah kerana notis yang dikeluarkan kepada pesalah trafik dibuat mengikut peruntukan undang-undang.

Sehingga hari ini, terdapat 14 lokasi pemasangan AES di seluruh negara iaitu KM375.9, Lebuhraya PLUS – Slim River (arah ke utara); KM7, Jalan Maharajalela, Teluk Intan (arah ke Bagan Datoh); KM91, Jalan Ipoh – Butterworth (arah selatan); KM26, Jalan Ipoh – Kuala Kangsar (persimpangan Kg Kerdah); KM85.5 Jalan Ipoh – Kuala Lumpur (arah selatan); KM 204.6, Lebuhraya PLUS – Taiping (arah utara); Jalan Pasir Putih, Ipoh (persimpangan Jalan Temenggung, Jalan King); Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur (persimpangan Jalan Sepadu); Jalan Ipoh, Kuala Lumpur (persimpangan Jalan Perhentian, Sentul); KM6.6 SKVE (Puchong ke Kajang); KM301.6 Lebuhraya PLUS – Kajang (arah ke utara); Jalan Lebuh Sentosa, Putrajaya (Kajang menuju ke PICC); Jalan Persiaran Timur, Putrajaya (PICC menuju Kajang); dan KMD7.9, Sungai Besi, Kuala Lumpur (arah selatan).

Pelaksanaan AES pernah menimbulkan kontroversi sehingga sekarang kerana syarikat yang menguruskan sisitem itu turut sama mendapat sebahagian daripada kompaun yang dibayar pesalah trafik. -Roketkini


Cium Tangan Rosmah Terus Dapat Jadi Pengerusi LUTH?

Posted: 03 Jul 2013 12:03 AM PDT


Tindakan Perdana Menteri melantik Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai Pengerusi Tabung Haji yang baru terus menimbulkan persoalan dan menjadi perbualan ramai.

"Di blog dan laman-laman sosial, baik yang pro Umno mahukan pro pembangkang, perlantikan Azeez itu bukan saja mengundang kecaman dan kritikan, malah dijadikan bahan lawak dan momokan ramai," tulis pemerhati politik, Shahbudin Husin di dalam blognya, http://shahbudindotcom.blogspot.com.

Menurutnya, gambar Azeez mencium tangan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor menjadi topik perbualan paling hangat seolah-olah pelantikan beliau itu lebih bersandarkan kepada kekerapannya mencium tangan Rosmah dan bukannya berdasarkan kelayakan ataupun pengalaman yang dimilikinya.

Berikut tulisan penuh beliau.

Tindakan Najib melantik Ahli Parlimen Baling, Azeez Rahim sebagai Pengerusi Tabung Haji yang baru terus menimbulkan persoalan dan menjadi perbualan ramai. Tidak saja Mahfuz Omar dari Pas dan Nurul Izzah dari PKR yang mempertikaikannya serta menuntut penjelasan Perdana Menteri tentang kriteria perlantikan seseorang sebagai Pengerusi GLC, bahkan rakyat pelbagai peringkat terus bercakap mengenainya.

Di blog dan laman-laman sosial, baik yang pro UMNO mahukan pro pembangkang, perlantikan Azeez itu bukan saja mengundang kecaman dan kritikan, malah dijadikan bahan lawak dan momokan ramai.

Gambar Azeez mencium tangan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor menjadi topik perbualan paling hangat seolah-olah perlantikan beliau itu lebih bersandarkan kepada kekerapannya mencium tangan Rosmah dan bukannya berdasarkan kelayakan ataupun pengalaman yang dimilikinya.

Jika dibandingkan perlantikan Azeez sebagai Pengerusi Tabung Haji dengan beberapa perlantikan lain yang dibuat oleh Najib, memang wujud tanda-tanya besar terutama mengenai kriteria, kelayakan dan kaitan wibawa seseorang itu dengan GLC atau agensi kerajaan yang diamanahkan kepadanya.

Azeez Rahim yang tidak sampai dua bulan menjadi Ahli Parlimen serta tiada pengalaman dalam dunia korporat, pengurusan serta perniagaan, telah dijadikan Pengerusi Tabung Haji, sebuah GLC yang mempunyai aset dan tabungan berbilion ringgit serta rangkaian perniagaan di seluruh dunia. Tabung Haji juga menjadi tabungan hampir semua umat Islam dan merupakan antara syarikat kebanggaan negara yang ditubuhkan oleh Prof Ungku Aziz bagi memudahkan umat Islam menunaikan rukun Islam kelima iaitu fardu haji ke Mekah.

Dr Latif Ahmad, Ahli Parlimen Mersing yang berpengalaman sebagai Exco Kerajaan Johor dan timbalan menteri, hanya diberikan jawatan Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad atau SPNB, sebuah syarikat milik kerajaan yang tumpuan khususnya lebih kepada projek perumahan kos rendah dan memulihkan projek terbengkalai.

Berbanding dengan Tabung Haji, SPNB jauh lebih kecil walaupun Dr Latif seorang yang lebih berpengalaman serta berpengetahuan dalam politik dan pengurusan.

Annuar Musa yang difahamkan akan dilantik sebagai Pengerusi MARA adalah tokoh hebat dari Kelantan dan pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Pembangunan Luar Bandar. Kepandaiannya dalam mengurus menjadikan Persatuan Bolasepak Kelantan atau KAFA yang dikendalikannya kini menjadi kuasa baru dalam bolasepak negara dengan memenangi beberapa kejuaraan utama.

Tetapi beliau hanya diberikan jawatan Pengerusi MARA yang kini semakin mengecil peranannya dalam membantu orang-orang Melayu di bidang perniagaan serta pendidikan berikutan peruntukan kerajaan yang semakin dikurangkan tahun demi tahun. Lebih-lebih lagi setelah Kementerian Pembangunan Usahawan dihapuskan oleh Najib pada 2009 lalu, MARA seolah-olah sudah tenggelam peranannya dalam membantu usahawan-usahawan Bumiputera.

Berbanding dengan Tabung Haji juga, MARA ternyata lebih keci meskipun Annuar Musa yang bakal dijadikan Pengerusi agensi itu adalah individu yang cukup pengalaman dalam politik, pengurusan serta banyak membantu rakyat di pelbagai peringkat sebelum ini.

Syed Hamid Albar yang pernah menjadi peguam dan berpengalaman sebagai menteri di pelbagai kementerian, apabila digugurkan daripada kabinet pada 2009, hanya diberikan jawatan Pengerusi SPAD yang secara kasarnya hanya menjaga bas, lori dan teksi saja. Bahkan pelantikannya sebagai Pengerusi Tabung Haji sebelum ini telah ditarik balik walaupun sudah menerima surat perlantikan itu.

Syed Hamid Albar juga dikenali seorang yang berintergeriti tinggi dan wibawanya diketahui ramai di dalam dan di luar negara. Dibandingkan dengan Tabung Haji juga, SPAD jauh lebih kecil dan seolah-olah tidak padan seorang yang berpengalaman dan berpengetahuan luas seperti beliau hanya ditugaskan menjaga bas, teksi dan lori saja.

Begitu juga dengan bekas Timbalan Menteri Pertanian dan kini Ahli Parlimen Kubang Pasu, Johari Baharom yang dikhabarkan telah dilantik sebagai penasihat di JPM. Perlantikan beliau itu lebih kepada untuk memberi jawatan semata-mata sedangkan tiada peranan khusus walaupun pengalaman dan pengetahuannnya dalam politik dan kerajaan selama puluhan tahun sebelum ini sebenarnya boleh dimanfaatkan untuk peranan yang lebih besar lagi.

Jika dibandingkan dengan Pengerusi Tabung Haji, jawatan sebagai penasihat di JPM ini hampir tidak memberi makna kerana belum tentu ada nasihat Johari yang mahu diterima-pakai oleh Najib yang diketahui sudah pun mempunyai ramai penasihat sebelum ini.

Semua perlantikan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa semakin tinggi pengetahuan, pengalaman dan wibawa seseorang itu, semakin tidak penting dan kecil agensi kerajaan, GLC atau jawatan yang akan diberikan kepadanya manakala mereka yang tiada pengalaman, malah kewibawaannya dipertikaikan akan diberikan tanggungjawab mengendalikan syarikat yang bernilai berbilion-bilion ringgit pula.

Dalam hal ini jika Tengku Razalegh Hamzah, seorang yang mempunyai wibawa, pengalaman dan pengetahuan yang lebih tinggi, pernah menjadi Menteri Kewangan, Pengerusi IMF, Pengerusi Bank Dunia dan pelbagai jawatan lagi serta berperanan menubuhkan Bank Bumiputra dan Petronas, mahu diberikan jawatan oleh Najib, barangkali jawatan yang akan diberikan hanyalah Pengerusi Persatuan Beca Se-Malaysia saja.

[VIDEO] Hapus Akta Hasutan Hanya Janji Kosong Najib

Posted: 02 Jul 2013 08:20 PM PDT


Nurul Izzah: Mana janji PM hapuskan Akta Hasutan?

KUALA LUMPUR2 JULAI: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mengusulkan Rang Undang-undang Hasutan (Pemansuhan) 2013 bagi menggantikan Akta Hasutan 1948.

Ia berikutan kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menunaikan janji untuk memansuhkan akta tersebut setahun lalu. Najib pada 11 Julai 2012 mengumumkan keputusan kerajaan untuk menguatkuasa serta merta semua akta baru dan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional.

"Rang Undang-undang untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 ini telah saya hantar ke pejabat Setiausaha Dewan Rakyat semalam," kata Nurul Izzah pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Naib Presiden KEADILAN itu berharap langkah berkenaan dapat menamatkan era penyalahgunaan Akta Hasutan 1948 sekaligus membawa islah dan reformasi tulen di Malaysia.

"Malangnya rakyat masih ternanti-nanti perlaksanaan kata-kata Datuk Seri Najib yang membuat pengakuan bahawa akta itu dianggap umum sebagai alat kerajaan untuk merencatkan tindakan dan pandangan yang tidak sealiran dengan kerajaan," katanya.

Beliau merujuk penahanan Haris Ibrahim, Tian Chua, Tamrin Ghafar, Adam Adli dan Datuk Husam Musa yang didakwa mengikut akta itu berhubung penganjuran Himpunan Black 505.

"Pendakwaan yang dikenakan ke atas mereka adalah terpilih tetapi (bekas hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Noor Abdullah, Datuk Ibrahim Ali dan Utusan Malaysia yang meniup api kebencian dibiarkan tanpa sebarang tindakan," katanya. -KD


Undi Popular: Noh Omar Malu Besar Dibidas Azmin

Posted: 02 Jul 2013 05:31 PM PDT

Datuk Seri Noh Omar malu besar ketika cuba mengganggu ucapan Mohamed Azmin Ali berhubung isu undi popular apabila mengatakan Parlimen Tanjung Karang yang diwakilinya lebih besar berbanding Parlimen Gombak yang diwakili Azmin.

Azmin dalam perbahasannya membidas Noh dan menegaskan undi popular diukur dari sokongan rakyat terhadap parti dan bukan keluasan sesebuah kawasan Parlimen.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden KEADILAN itu mendesak agar persempadanan semula kawasan pilihan raya dikaji semula dan lebih adil berbanding ketika ini bertujuan untuk memenangkan Umno BN.

"Hakikatnya Tanjung Karang, Pakatan Rakyat mendapat 51 peratus sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu berbanding kerajaan minoriti BN yang menjunam kepada 47 peratus sahaja," kata Azmin membuatkan pemimpin Umno Selangor itu mencebikkan bibir tanda tidak berpuas hati.

Noh yang diberi laluan selepas itu membebel dengan pelbagai alasan termasuk mengatakan DAP lebih popular berbanding KEADILAN bertujuan melaga-lagakan Pakatan Rakyat sebelum dijawab Ahli Parlimen Pakatan lain – 'kami bertanding dalam satu gabungan'.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar pula menyindir kelakuan Noh itu bertujuan mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Kita memuji ucapan perbahasan Tanjung Karang walaupun menang PRU, tapi tak dapat jawatan menteri," sinis Naib Presiden PAS itu menyebabkan dewan gamat seketika apabila ramai ahli dewan minta mencelah untuk soalan tambahan.

BR1M: Ahmad Maslan Buktikan Najib Seorang Penipu Besar

Posted: 02 Jul 2013 08:05 AM PDT


Bantuan BR1M RM1,200 boleh bertahan dua bulan, kata menteri

Datuk Ahmad Maslan memberitahu Dewan Rakyat hari ini Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dinaikkan kepada RM1,200 mampu menyara isi rumah selama dua bulan, berbeza dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan wang BR1M sebanyak RM500 boleh bertahan selama setahun.

Semasa pemberian BR1M 2.0 pada Februari lalu, Najib berkata sekiranya RM500 dibahagikan kepada 12 bulan setiap bulan satu isi rumah akan memperoleh RM41.60 dan ia mencukupi untuk menyara mereka selama setahun.

"Apabila BRIM dinaikkan kepada RM1,200 ia akan diterjemahkan dengan membantu perbelanjaan isi rumah untuk dua bulan, 10 bulan lagi mereka perlu usahakan sendiri," kata Timbalan Menteri Kewangan tersebut semasa menjawab soalan di Parlimen pagi ini.

Seramai 6.8 juta isi rumah dan individu bujang telah menerima BR1M 2.0 pada tahun ini yang meliputi 88.1 peratus daripada jumlah keseluruhan pemohon dimana RM2.9 bilion telah diagihkan oleh kerajaan, peningkatan sebanyak RM0.3 bilion berbanding pusingan pertama BR1M yang berjumlah RM2.6 bilion.

Bagaimanapun, Ahmad Maslan gagal memberikan penjelasan selepas Ahli Parlimen Sibu (DAP) Oscar Ling Chai Yew bangkit untuk mempertikaikan kadar kemiskinan negara yang dikatakan sudah menurun tetapi kerajaan masih lagi terpaksa memberikan bantuan daripada segi wang tunai kepada rakyat Malaysia.

"Pandangan mengatakan kadar kemiskinan dalam negara telah turun adalah tidak selari dengan pemberian BR1M , boleh menteri menjawabnya?" kata Ling.

Ahmad Maslan kemudiaan menjawab: "Tentang statistik itu saya tidak ada,"
jawab Ahmad Maslan.

Pada Mac lalu, Najib menegaskan kadar kemiskinan negara terus menurun daripada lebih 60 peratus pada awal kemerdekaan, kepada 1.7 peratus tahun lalu.

Najib berkata jurang pendapatan dalam kalangan rakyat Malaysia juga bertambah baik dengan kadar pekali Gini menurun kepada 0.431 pada 2012.

Pakatan Rakyat (PR) telah mengkritik pentadbiran Najib dengan apa yang mereka katakan sebagai membeli undi oleh kerajaan BN melalui perbelanjaan awam dalam bentuk pelbagai pemberian seperti BR1M sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu.

Dalam manifesto PRU13 lalu, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah berjanji pemberian BR1M akan ditambah secara berperingkat sehingga RM1,200 untuk isi rumah dan RM600 untuk golongan bujang dengan bantuan secara tahunan dikekalkan.

Keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berkembang sebanyak 4.1 peratus dalam suku pertama 2013, dalam persekitaran luar negara yang lemah.

Ini berbeza dengan 5.1 peratus yang dicapai dalam suku yang sama pada 2012 dan 6.5 peratus dalam suku keempat tahun lepas.

Hutang negara juga mencecah kepada 53 peratus KDNK - menghampiri siling 55 peratus - naik daripada 43 peratus pada tahun 2008. -TMI

Dalang Demo Ibu Tunggal Dah Cabut, Saman Pada Kerajaan S'gor Batal

Posted: 02 Jul 2013 05:20 AM PDT


Mahkamah Rayuan Putrajaya telah membatalkan kes saman ibu tunggal terhadap kerajaan Selangor kerana plaintif gagal memfailkan notis rayuan kepada mahkamah.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata, Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Selangor, Murtini Kasman Saman tidak memfailkan notis rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membatalkan saman tersebut sehingga tempoh tamat berakhir pada 12 Jun lalu.

Sehubungan itu, Rodziah berkata, Murtini dan plaintif yang lain telah akur dengan keputusan mahkamah bahawa saman yang dibawa itu satu kesilapan dalam proses mencari keadilan.

"Selain itu, 3,010 ibu tunggal yang lain juga telah menarik balik saman mereka pada 12 Jun.

"Pelbagai kes saman lain seperti tuntutan oleh suri rumah juga telah ditarik balik. Kerajaan Selangor bersetuju kekalahan Martini dan kes saman kesemuanya yang lain ditarik balik tanpa sebarang tuntutan kos oleh kerajaan negeri Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang dibuat di lobi Dewan Undangan Negeri hari ini.

Kumpulan ibu tunggal itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam tahun lalu dengan menuntut elaun berjumlah RM10.9 juta seperti dijanjikan kepada mereka oleh Pakatan Rakyat dalam manifesto pilihan raya umum 2008.

Pada 12 Disember 2011, kerajaan Selangor dan Khalid memfaikan permohonan untuk membatalkan saman tersebut dan pada 23 Januari lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu dan memutuskan kes itu dibicarakan.

Pada 13 Mei lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan bahawa sebuah manifesto pilihan raya tidak boleh dikuatkuasakan secara sah.


Berikutan keputusan penting itu, mahkamah membatalkan saman sivil yang difailkan oleh 2,020 ibu tunggal di Selangor berhubung pembayaran elaun RM100 kepada mereka seperti terkandung dalam manifesto pembangkang pada pilihan raya umum 2008.

Tiada ulasan: