edyesdotcom |
Perjanjian TPPA Merosak Ekonomi Rakyat, Menggadai Kedaulatan Negara ! Posted: 12 Jul 2013 12:49 AM PDT Kenyataan Terbuka 12 Julai 2013 Perjanjian TPPA Merosak Ekonomi Rakyat, Menggadai Kedaulatan Negara ! Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menggesa semua pihak bersatu menentang perjanjian TPPA yang disifatkan sebagai satu bentuk penjajahan baru. Lebih malang apabila penjajahan baru ini dihalalkan oleh pemerintah di atas kepentingan tertentu yang tidak menyebelahi rakyat. Perjanjian multilateral terikat TPPA yang melibatkan negara Asia Pasifik seperti Australia, AS, New Zealand, Kanada, Mexico, Chile, Brunei, Malaysia dan Vietnam juga berkisar tentang liberalisasi pasaran di mana negara ahli bebas berniaga di pasaran negara ahli secara terbuka. Persoalannya, sejauh manakah industri perkhidmatan kita bersedia untuk berdepan syarikat gergasi super multinasional barat? Dari pengamatan SAMM, kesan TPPA sangat besar dan menyeluruh khususnya terhadap rakyat yang berpendapatan sederhana. Ianya lebih dari soal globalisasi perdagangan, ia turut meliputi penggubalan undang-undang bagi memberi laluan kepada agenda tersembunyi Amerika dan konglomerat dunia untuk terus menjarah negara, tanpa sempadan. Namun walaupun punya impak yang besar, perjanjian yang bakal ditandatangani pada Oktober nanti telah dibincangkan secara senyap dan penuh kerahsiaan. Apakah yang cuba disorokkan? Apakah melihat Perjanjian TPPA ini agak teknikal maka rakyat tidak berhak untuk mendapat penerangan dan memberi maklumbalas? Kita amat yakin banyak pemain industri tempatan masih memerlukan bantuan kerajaan dalam meletakkan perniagaan mereka ke landasan maju dan berdaya saing terutama golongan bumiputera sedangkan TPPA dilihat tidak mesra kepada dasar yang membezakan antara pemain tempatan dan antarabangsa. Bagaimanakah kerajaan memastikan kedaulatan Malaysia akan dijaga dan bukan dijadikan bahan belasahan Konglomerat Kapitalis di Tribunal Timbangtara Antarabangsa kelak? Contoh, di Australia, Kerajaan mereka disaman oleh Philip Morris Tobacco Company hanya kerana mereka mahu implement kotak rokok plain. Belum pun TPPA dilaksanakan sepenuhnya, konglomerat kapitalis sudah mula menunjukkan sikap sebenar mereka walaupun perundangan yang ingin dilaksanakan itu sebenarnya memberikan kebaikan untuk rakyat tetapi ia merupakan kemusnahan kepada konglomerat kapitalis. Justeru, konglomerat bertindak menafikan kedaulatan sesebuah negara dalam melaksana tindakan berlandas dasar dan perundangan negara tersebut. Kesedaran rakyat tentang isu TPPA amatlah penting. Maka SAMM bersama sekutu NGO dan front anak muda mahasiswa telah bertekad memastikan kefahaman tentang TPPA diperluas dan seterusnya melakukan beberapa aksi bagi menghalang kerajaan sewenang-wenangnya memetrai perjanjian yang menjahanamkan kehidupan rakyat negara ini. Bagi menambah momentum perlawanan terhadap perjanjian TPPA, beberapa siri demonstrasi telah disusun dan dijadualkan berlangsung pada 19 Julai 2013 bertempat di Masjid Wilayah. Demonstrasi 19 jun ini juga akan menyaksikan perarakan dari Masjid Wilayah ke ibu pejabat MITI untuk disampaikan sebuah memorandum. SAMM gesa warga lembah klang khususnya anak muda yang berkesempatan untuk hadir menyatakan bantahan terhadap perjanjian TPPA. Rundingan rahsia TPPA yang mengheret Malaysia harus dihentikan segera. SAMM tidak menolak kemungkinan mesyuarat perjanjian TPPA pusingan ke-18 yang akan berlangsung di Kota Kinabalu bermula 15 Julai ini digagalkan oleh rakyat. Ia sekaligus menunjukkan kepada dunia bahawa masih ada penentangan dari rakyat bagi menjamin negara ini tidak dijajah kembali dalam bentuk ekonomi global. Harus semua ingat, kesan TPPA terhadap rakyat adalah sangat besar dan cukup radikal, maka untuk melawan perjanjian dan persekongkolan penuh rahsia TPPA ini juga perlu bersifat radikal agar dunia tahu rakyat Malaysia tidak semudah diperkotak-katikkan. che'GuBard Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) |
You are subscribed to email updates from edyesdotcom To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan