Khamis, 11 Julai 2013

edyesdotcom

edyesdotcom


RAPAT KEBANGSAAN CETUS 6 RESOLUSI SAMM: PASCA PRU13 MENDEPANI MASSA

Posted: 10 Jul 2013 10:20 PM PDT

Kenyataan Terbuka
10 Julai 2013

RAPAT KEBANGSAAN CETUS 6 RESOLUSI SAMM: PASCA PRU13 MENDEPANI MASSA

Seramai 31 komrad utama penyelaras kebangsaan, segmentasi dan negeri Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) selesai mengadakan sebuah Rapat Kebangsaan peringkat pengurusan pada 5hb-7hb Julai 2013 lalu bertempat di Ampang Pecah Training Centre, Kuala Kubu Baharu. Sebuah pertemuan penting meletakkan halatuju perjuangan SAMM ke jalan yang lebih dinamik, kembali ke landasan yang lebih tepat dan kena dengan aspirasi anak muda.

Dalam usaha memantapkan lagi gerakan anak muda SAMM, Rapat Kebangsaan siri kedua untuk tahun 2013 selepas di Melaka pada Februari lalu adalah sebuah retreat tergempar, mengambil kira mood rakyat khususnya anak muda yang dilihat sedikit merundum dingin setelah melalui tempoh perlawanan yang panjang. Maka program padat tiga hari dua malam ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi meneliti potensi dan sumber kekuatan baru bagi meneruskan agenda perjuangan anak muda.

Julai 5 - 6 | Jumaat - Sabtu : Mengenal Kelemahan dan Muhasabah

Bermula dengan perbincangan pre-council pada Jumaat malam untuk susunan akhir sebelum retreat bermula. Setiap penyelaras yang hadir telah diberi tugas merungkai sub-topik untuk agenda pada setiap sesi perbincangan.

Sepanjang hari Sabtu menyaksikan sebanyak 5 sesi perbincangan dan tiga daripada sesi tersebut merupakan sesi bersama tetamu jemputan dalam agenda "Pandangan Umum Terhadap SAMM". Pelbagai sudut pengolahan adalah termasuk, penerimaan SAMM di mata rakyat khususnya anak muda, soal pengkaderan, potensi & kemampuan SAMM, halatuju, peranan dan matlamat SAMM. 

Beberapa tokoh dari pelbagai latarbelakang telah dijemput untuk menjayakan sesi ini antaranya termasuklah tokoh mahasiswa, dari pengamal media dan juga tokoh dari arena politik tanahair. Tokoh-tokoh jemputan juga memberikan pandangan umum terhadap SAMM selain turut sama membantu dalam membincangkan agenda anak muda dan penyusunan gerakan.

Dapat dirumuskan dari pertemuan dengan para jemputan, bahawasanya;
  • SAMM merupakan kelompok anak muda yang laju dan agresif dalam membawa isu rakyat. Momentum sebegini menjadi ikutan.
  • Pengkaderan SAMM dicadangkan bermula di peringkat lepasan sekolah
  • SAMM mampu melahirkan kelompok pemimpin baru namun tidak berjaya memisahkan nama SAMM dan Che'GuBard itu sendiri. Usaha serius untuk memastikan pemahaman SAMM sebagai gerakan anak muda harus dilakukan.
  • Selain dikenali sebagai kelompok anak muda berani, SAMM juga disarankan menyertai diskusi keilmuan bersama NGO lain.
  • SAMM perlu memperbaiki hubungan dengan NGO lain dan memastikan jaringan antara NGO adalah kuat.
  • Peranan anak muda SAMM yang bersifat radikal dan 'tidak dijangka' diperlukan dalam menentang kekuatan regim.
Julai 7 | Ahad : Gerakan SAMM Diperhebat

Setelah seharian suntuk mencari titik kelemahan dan potensi kebangkitan, melihat kembali sorotan permasalahan dan pandangan umum, Akhirnya hari ini tiba masa gerakan anak muda SAMM terus disusun dan diperhebat.

SAMM secara massa akan menumpukan program dalaman khususnya di peringkat negeri/zon. Sepanjang Ramadhan ini, SAMM Kebangsaan akan turun ke semua SAMM peringkat negeri dan zon dalam bentuk program bersahur atau berbuka puasa. Pertemuan 'mini retreat' di peringkat negeri ini juga bertujuan memperkukuh kekuatan SAMM di bawah dan mempertemukan semua komrad baru yang direkrut oleh SAMM negeri/zon. Jadual pertemuan akan dikeluarkan dalam sedikit masa dan program SAMM peringkat negeri/zon yang telah disusun akan dimuktamadkan pada pertemuan ini.

SAMM kebangsaan juga akan menganjurkan program penting untuk kelangsungan SAMM iaitu Training Of Trainer (TOT) yang dijadualkan akan berlangsung pada 23 dan 24 Ogos tahun ini. Setiap SAMM negeri/zon perlu menghantar 2-3 orang komrad yang sedia untuk menjadi pimpinan pelapis.

Satu perjumpaan raksasa yang dinamakan Jambori SAMM juga akan dilaksanakan pada 24-25 Ogos 2013. Jambori SAMM yang berbentuk pesta pertemuan anak muda bagi meraikan kewujudan SAMM dan semua komrad SAMM, penyokong dan pendokong dari seluruh negara adalah dijemput hadir. Maklumat lokasi akan diumum dalam masa terdekat. Booklet mengenai SAMM juga akan dilancarkan buat pertama kali dalam sejarah gerakan anak muda SAMM.

SAMM juga akan sekali lagi menjadi penggempur utama dalam mempertahankan nasib rakyat, dan kali ini dalam isu TPPA. Bagi SAMM, bentuk penjajahan baru terhadap tanahair yang dinamakan sebagai perjanjian TPPA ini perlu ditangani secara serius dan radikal kerana kesannya terhadap masyarakat umum juga serius, dan radikal.

Menyentuh soal antarabangsa di Syria, SAMM tidak bersetuju dengan keganasan yang ditunjukkan oleh Regim Assad dalam masa sama SAMM menolak usaha anasir luar khususnya barat, dalam menjatuhkan pemerintah di Syria. Di Mesir pula, SAMM menolak keras rampasan kuasa yang berlaku, kemenangan Mursi secara demokrasi telah dicabul.

Resolusi SAMM Rapat Kebangsaan 02/2013

1. SAMM menolak sepenuhnya keputusan PRU-13 yang penuh kecurangan dan SPR yang 'bekerja' di bawah JPM harus dimansuhkan, diganti dengan badan pemilih baru yang diletakkan bawah parlimen.

2. Dua tahun kebelakangan ini SAMM bekerja memberikan tumpuan mengembeling sokongan dan undi kepada Pakatan rakyat sesuai dengan maksud perubahan harus dimulakan dengan menjatuhkan regim. Selepas PRU ke 13 tumpuan kerja SAMM berubah dengan  SAMM akan menumpukan program dalaman untuk menguatkan gerakan anak muda bagi meneruskan kelangsungan SAMM sebagai kelompok progresif dan bergerak ke depan. 

3. Demi memperkukuh pemahaman massa rakyat terhadap SAMM maka pedoman apa dia SAMM akan dikeluarkan dalam bentuk booklet, khusus untuk mengenali SAMM dan perjuangannya. Seiring dengan itu program - program penerangan mengenainya akan dipergiat.

4. SAMM akan terus mengembeling kesedaran rakyat untuk bangkit. SAMM akan terus menjuarai isu rakyat yang dilihat makin kritikal dan sewenangnya dipermainkan oleh regim pemerintah, termasuklah isu terbaru seperti TPPA, GST. Hanya dengan kesedaran rakyat akan bangkit. SAMM yakin kebangkitan hanya melalui kesedaran akar umbi.

5. SAMM menolak keganasan Regim Assad dalam masa sama menolak usaha anasir luar khususnya barat, untuk menjatuhkan pemerintah di Syria. Di Mesir pula, SAMM menolak keras rampasan kuasa yang berlaku terhadap Mursi. Pengambil kuasa dari perubahan seharusnya faham dan mengikut kehendak rakyat bukan berdasar kehendak dan pemikiran mereka semata. Ini pengajaran penting. Dunia seharusnya lebih sensitif dengan isu kezaliman contohnya Rohingya yang seperti tenggelam.

6. Walaupun keadaan dilihat semakin sukar dan mood perlawanan yang menjunam jatuh, namun SAMM tetap bertekad dan berjanji pada tanahair ini untuk terus berjuang mempertahankan nasib rakyat, kami berjanji untuk tidak berganjak daripada jalan perjuangan kami selama ini untuk menyelamatkan ibu pertiwi dari terus dijarah.

Sekian

Laporan disediakan oleh;

ISAMUDDIN SANUSI
Pengarah Sekretariat SAMM

Tiada ulasan: