DIALOG RAKYAT |
- Palanivel gugurkan anak Samy Vellu
- Untuk Bung Mukhtar & Macai UMNO: "Alvin & Vivian Sokong Najib Gor 100%!"
- [VIDEO MELETUP] Rafizi Dedahkan Pembekal Dakwat Kekal SPR, Rakan Rapat Anggota SPR
- Aziz, Wan Ahmad Kepanasan Kerana Jolokan Rafizi
- Selangor Kecam Tindakan Hina Agama Islam
- Selangor Beri Kupon Raya RM 100, Bonus Kakitangan GLC
- Kes tuntutan kewarganegaraan: Mahkamah arah JPN selesai
- Dakwa penganjur Black 505 langkah mundur
- RM44 juta kos ke luar negara, mana wasatiyah Najib?
- Kos lawatan luar negara Najib RM44 juta
- 'Zahid, minta maaf atau hadapi JK Parlimen'
- Zairil Pertikai Kos RM6.6 Bilion Bekal Komputer Riba Chromebook Oleh YTL
- Rodziah : OSCC Bantu Mangsa Rumah Tangga Di Luar Bandar
- Harga Ayam Naik : Menteri Minta Ubah Selera, Rakyat Terus Tertekan
- Abdul Aziz Nafi Ada Hubungan Dengan Pembekal Dakwat Kekal PRU 13
- TPM tarawih di Kuala Besut, umum bantuan RM343,000
- Polis kemuka data jenayah dilakukan bekas tahanan EO
- IGP: Ada anggota enggan lapor kesalahan rakan
Palanivel gugurkan anak Samy Vellu Posted: 17 Jul 2013 03:55 AM PDT Kedua-dua pemimpin itu digantikan oleh Datuk S Sothinathan dan Sunthar S Subramaniam yang rapat dengan presiden MIC itu. "Saya melantik Sothinathan untuk menggantikan Vell Paari yang menjadi ahli CWC parti selama beberapa tahun lalu," kata Palanivel dalam satu kenyataan hari ini. Vell Paari adalah anak kepada bekas presiden MIC dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu. Dalam reaksi awal, Vell Paari berkata: "Tiada siapa beritahu saya apa-apa." Sothinathan adalah bekas naib presiden parti manakala Suntar pula merupakan anak kepada bekas timbalan presiden Tan Sri S. Subramaniam. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Vell Paari dilihat sebagai suara lantang dalam parti itu dan kadang kala mengkritik MIC dan Barisan Nasional (BN) secara terbuka. Dalam Pilihan Raya 2013 lalu, Vell Paari antara pemimpin MIC yang mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Palanivel secara terbuka berikutan Datuk Zulkifli Noordin diletakkan sebagai calon Parlimen Shah Alam. Keputusan berkenaan menimbul kemarahan masyarakat India beragama Hindu berikutan tersebar video menunjukkan Naib Presiden Perkasa itu menghina agama Hindu. Bapa Vell Pari, Samy Vellu memegang jawatan presiden MIC selama 31 tahun sebelum melepaskan jawatan pada tahun 2010 kepada Palanivel. S Subramaniam merupakan musuh politik Samy Vellu dan seringkali menjadi pencabarnya dalam pemilihan parti. Samy Vellu dianggap sebagai pemimpin kuku besi dan seringkali memecat golongan yang tidak sebulu dengannya. |
Untuk Bung Mukhtar & Macai UMNO: "Alvin & Vivian Sokong Najib Gor 100%!" Posted: 17 Jul 2013 03:44 AM PDT Kita ingin bertanya kepada Bung Mukhtar dan sekalian pencacai UMNO... apakah tulisan yang ada pada gambar yang dilukis oleh Alvin & Vivian itu? Bukankah tertera jelas di situ: "Alvian & Vivian Skong Najib Gor 100%"? DAP kesal dakwaan taja Alvin, Vivian KELAB GREENBOC KUALA LUMPUR - DAP kesal tiada tindakan dikenakan terhadap ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin yang mengaitkan parti itu dengan pasangan kontroversi, Alvin Tan dan Vivian Lee dalam ucapan perbahasannya di persidangan Dewan Rakyat, hari ini. Setiausaha Pengelolanya, Anthony Loke Siew Fook mendakwa, Bung Mokhtar telah menyalahgunakan peluang bercakap di Parlimen untuk memfitnah DAP. "Kita amat kesal apabila beliau mengeluarkan kenyataan fitnah itu. Nampaknya beliau sengaja mengucapkannya di Parlimen kerana tahu ada imuniti. "Malangnya tiada tindakan dikenakan kepada beliau walaupun kita sudah membangkitkan soal peraturan mesyuarat. Kita harap Speaker Dewan Rakyat dapat menegur dan ambil tindakan kepada beliau," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen. Terdahulu, Bung Mokhtar dalam ucapan perbahasannya mendakwa pasangan Alvin dan Vivian mendapat tajaan DAP. Tindakannya itu mengundang kemarahan wakil rakyat DAP yang bangun dan membantah dakwaan tersebut, antaranya V Sivakumar (DAP-Batu Gajah), Nga Kor Ming (DAP-Taiping) dan Loke sendiri. Menurut Loke yang juga ahli Parlimen Seremban, kenyataan Bung itu cuba memberi gambaran buruk terhadap DAP. "Seperti yang ditegaskan sebelum ini, DAP mengutuk perbuatan pasangan blogger berkenaan. Tindakan mereka ternyata boleh mendatangkan kemarahan umat Islam dan menimbulkan masalah hubungan kaum. "Namun, kita lebih kesal apabila ada pihak yang kaitkan mereka dengan DAP. Ini semua modus operandi Umno untuk memberikan imej negatif kepada DAP," katanya. -SH
Ulasan GB Kalau dah terang-terang penyokong BN, takkan dihukum. |
[VIDEO MELETUP] Rafizi Dedahkan Pembekal Dakwat Kekal SPR, Rakan Rapat Anggota SPR Posted: 17 Jul 2013 03:37 AM PDT Rafizi dedah pembekal dakwat kekal 'rakan rapat' SPR KELAB GREENBOC Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli hari ini mendedahkan pembekal dakwat kekal di Dewan Rakyat dengan menyatakan individu itu "rakan rapat" pemimpin tertinggi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mendakwa kontrak berkenaandiberikan secara rundingan terus. "Kontrak dakwat kekal ini diraih oleh seorang pakar rundingan terus bernama Mohd Salleh Md Ali, nombor kad pengenalan 671112665021 (IC asal dari Singapura). "Dikhabarkan pakar rundingan terus ini mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin negara, malah juga dikatakan rapat dengan Pengerusi SPR dan Timbalannya," katanya di Dewan Rakyat. Kontroversi dakwat kekal menjadi pertikaian dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu selepas ia mudah ditanggalkan walaupun hanya dengan membasuhnya. SPR yang didesak mendedahkan pembekal dakwat itu berkeras enggan berbuat demikian atas alasa "isu keselamatan". Rafizi berkata, Mohd Salleh memiliki tiga syarikat yang mendapat banyak kontrak kerajaan secara rundingan terus, antaranya Integrated Challenger Malaysia Sdn Bhd yang didakwa membekal dakwat pada pilihan raya 5 Mei lalu. "Ada tiga syarikat yang dikawal oleh niagawan bernama Mohd Salleh termasuklah satu syarikat bernama Integrated Challenger Malaysia Sdn Bhd. "Daripada syarikat ini, ada dua lagi syarikat yang masuk menerusi rundingan terus yang dikawal oleh Md Salleh menggunakan nama kerani syarikatnya, Norsiah Yusof. "Beliau adalah ahli pengarah dalam syarikat yang dikawal Mohd Salleh," katanya ketika perbahasan perbekalan tambahan Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini. Rafizi mencabar kerajaan untuk memberi penjelasan dan tidak hanya berdiam diri kerana perkara itu boleh mendorong kepada tanggapan buruk terhadap pengendali pilihan raya. Beliau juga meminta menteri berkaitan mengesahkan pendedahannya mengenai pembekal dakwat kekal itu pada sesi penggulungan. "Sebab itu dulu saya minta SPR dedahkan sebelum kita yang dedahkan. Ini kerana ia akan datangkan pelbagai persepsi tidak baik. Bukankah lebih baik beritahu awal-awal," katanya. Semalam, Pakatan Rakyat (PR) mengemukakan saman ke atas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar kerana membuat kenyataan palsu berhubung dakwat kekal serta kandungan nitrat perak dalam dakwat berkenaan. Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim bertegas SPR tidak bercadang untuk mendedahkan syarikat pembekal dakwat kekal. -TMI |
Aziz, Wan Ahmad Kepanasan Kerana Jolokan Rafizi Posted: 17 Jul 2013 03:29 AM PDT Pendedahan dibuat Ahli Parlimen Pandan yang bersemangat negarawan, Mohd Rafizi Ramli (foto) mengenai individu yang mendapat kontrek membekalkan dakwat kekal untuk kegunaan SPR dalam pilihan raya umum ke-13 lalu kononnya kenalan rapat dengan pemimpin tertinggi SPR, telah dinafi oleh Pengerusi SPR Abdul Aziz Yusuf. Aziz menolak dakwaan itu dengan nada kesal sambil berkata; "kenapa hendak buat fitnah dalam bulan puasa ini, tak takut dosa ke?" Dalam pendedahan di sidang parlimen hari ini Rafizi tidak langsung menyebut nama Aziz dan Wan Ahmad tetapi kenapa Aziz terasa panas punggung? Ada apa-apa ke? Aziz seperti mana laporan dipetik berkata urusan pembekalan dakwat kekal itu dilakukan oleh Setiausaha SPR Kamarudin Baria, manakala beliau dan Wan Ahmad tidak tahu menahu. Ewah...beruk Bidah sungguh.. Penjelasan Aziz itu mungkin diterima dengan mudah oleh 'lembu-lembu' laki Sharizat Jalil atau 'anak-anak ayam kampung' yang diberikan Tajuddin Rahman kepada beberapa orang pengundi di Kuala Besut, dua tiga hari lepas tetapi bukan mereka yang otaknya berjalan dan tahu prosuder di dalam sesebuah organisasi. Mereka yang ada otak dan otaknya bergerak akan membuat penilaian sendiri terhadap apa yang berlaku. Begitu juga ahli firasat sudah dapat membaca apa sebenar yang berlaku dengan merenung muka kedua mereka, Aziz dan Wan Omar. Tidak munasabah kalau Aziz atau Wan Ahmad tidak mengetahui mengenai urusan pembelian dakwat itu atau berbagai peralatan lain sedangkan ianya bernilai jutaan ringgit. Peruntukan dakwat kekal itu saja bernilai lebih RM7 juta. Apakah boleh, sebagai seorang pengerusi dan timbalan pengerusi melepaskan begitu sahaja urusan pembelian dan perolehan lain kepada setiausaha? Untuk mengukuhkan dakwaan Aziz ini mungkin rakan koribnya Wan Ahmad Wan Omar boleh membuat penjelasan berpandukan kepada pengalamannya yang pernah menjadi Setiausaha SPR sebelum ini. Apakah urusan perolehan untuk SPR diuruskan oleh setiausaha dan tidak ada apa-apa campur tangan pengerusi? Jawab Wan Omar, bantulah kawan itu. Dalam pada itu Aziz juga membuat penjelasan pembelian dakwat kekal itu berjalan dengan baik. Beliau menghujah mengatakan ianya diluluskan oleh kementerian kewangan dengan baik. Alasan ia diluluskan oleh kementerian kewangan dengan baik tidak begitu kemas. Apakah maksud dengan baik itu, Jiz? Apakah apabila sesuatu diluluskan oleh kementerian kewangan ia dijamin tidak berlaku penyelewengan. Cara Aziz berfikir semacam lah beliau tidak pernah berkerja dengan kerajaan. Aduh..beruk Bidah terlekat ekor di selongan. Pihak kementerian kewangan akan meluluskan berapa saja jumlah yang dikehendaki setelah ianya dilulus oleh SPR. Bajet itu disediakan oleh SPR di mana Aziz adalah pengerusinya. Mustahil kalau semasa membuat kelulusan itu Aziz tidak tahu? Mesti tahu. Rasanya Kamarudin tidak akan berani buat bersendiri memadangkan ia jumlah yang besar. Dan kalau benar Aziz tidak tahu seperti dijelaskan malangnya Malaysia mempunyai seorang pengerusi seperti Aziz. Begitu juga cara Aziz melemparkan perkara itu kepada Kamarudin seakan-olah beliau mahu ianya dipikul oleh Kamarudin bersendirian tanpa mengaitkan dia dan Wan Ahmad. "Elok urusan ini diajukan kepada Kamaruddin," begitulah katanya dipetik. Adalah sesuatu yang janggal Aziz sebagai pengerusi tidak mengetahui apa-apa mengenai tender menender pembekalan dakwat kekal itu. Sikap Aziz boleh disangsikan kerana sebelum ini dialah yang menegaskan dakwat itu kekal, (sambil menunjukkan jarinya yang berlumuran dakwat bagi menyakinkan orang ramai), selepas itu dia sendiri juga mengakui sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan untuk menyiasat keadaan dakwat itu bila timbul kekalutan. Sebenarnya sikap dolak dalih dan berpendirian tidak kemas beginilah menjadikan sebahagian besar pengundi semakin mempertikaikan akan ketelusan dan kebersihan SPR sebagai badan bebas. Sikap Aziz yang tidak tegas dalam pendirian mempertahankan keputusan dibuatnya itulah makin menyebabkan rakyat marah kepadanya dan juga SPR. Pastinya isu berkaitan pembelian dakwat kekal dan dakwaan dibuat Rafizi dalam parlimen itu akan menjadi perhatian SPRM. SPRM tidak perlu melepaskan begitu saja memandangkan ia melibatkan kewangan rakyat yang besar. Cuma kita harap jangan dalam kasus ini teknik menggunakan 'Bafia' seperti mana berlaku ke atas pendedahan Rafizi mengenai akaun dalam perniagaan lembu gemuk (NFC) digunakan. Rafizi yang sebelum ini mendedahkan pernyataan kewangan syarikat NFC telah disaman atas kesalahan dibawah Bafia. Dalam pada itu sejuta tahniah kepada Rafizi Ramli atas inisiatif mendedahkan perkara itu dalam memastikan wang rakyat tidak dibazirkan dan SPR sebagai badan bebas benar-benar bebas sesuai dengan kewujudannya. Langkah dan keberanian dipunyai Rafizi harus menjadi tiruan dan teladan wakil-wakil rakyat yang lain. |
Selangor Kecam Tindakan Hina Agama Islam Posted: 17 Jul 2013 03:25 AM PDT SHAH ALAM : Kerajaan Negeri mengecam mana-mana pihak yang menghina Islam mahupun agama lain. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata salah satu daripada sifat terbaik dalam Islam adalah menghormati agama lain. Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan pasangan kontroversi, Tan Jye Yee dan Vivian Lee yang mempersendakan agama Islam dan Bulan Ramadhan dalam Facebook mereka baru-baru ini. "Kerajaan Negeri berpendapat tingkah laku yang merendahkan agama Islam itu tidak sepatutnya dilakukan oleh pasangan itu dan pihak lain," katanya di dalam sidang media selepas mesyuarat exco baru-baru ini. Pasangan terbabit memuat naik gambar mereka ketika menikmati hidangan bak kut teh (sup tulang babi). Gambar tersebut mempunyai keterangan 'Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh wangi, enak dan menyelerakan' di laman Facebook mereka. Pasangan tersebut kini disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan polis. |
Selangor Beri Kupon Raya RM 100, Bonus Kakitangan GLC Posted: 17 Jul 2013 03:22 AM PDT SHAH ALAM : Seramai 28,000 rakyat Selangor yang kurang kemampuan bakal menerima kupon beli belah bernilai RM 100 di bawah Program Jom Shopping sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Manakala bagi kakitangan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC), mereka bakal menerima bonus raya sebulan gaji, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Bagi program Jom Shopping Hari Raya Aidilfitri itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 2.8 juta bagi menjayakan usaha tersebut. Abdul Khalid menambah setiap keluarga yang berpendapatan di bawah RM 1,500 layak menerima bantuan itu dan perlu mendaftar di Pusat Khidmat Masyarakat dengan segera. "Kupon ini melibatkan keluarga dari setiap 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk Dun di bawah Barisan Nasional. "Kupon-kupon ini akan diedarkan kepada penerima oleh wakil rakyat di kawasan terlibat atau Pegawai Penyelaras bagi kawasan Dun pembangkang," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bangunan SUK, di sini. "Bantuan ini merupakan salah satu program di bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri sejak lima tahun lalu. "Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk meneruskan program-program kebajikan di bawah MES yang ternyata mendapat sambutan dan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini," katanya. Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri masih menunggu pengumuman bonus raya daripada Jabatan Perkhidmatan Awam bagi kakitangan awam negeri. "Sekiranya ada, Kerajaan Negeri akan memberikan bonus raya bergantung kepada Kerajaan Pusat. "Tetapi bagi kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC), kita bersetuju untuk memberikan sekurang-kurangnya sebulan gaji," katanya. |
Kes tuntutan kewarganegaraan: Mahkamah arah JPN selesai Posted: 17 Jul 2013 03:19 AM PDT Oleh Aisha Geoffrey KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan kes perbicaraan permohonanan kewarganegaraan tiga sekeluarga India dan mengarahkan agar kes diselesaikan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Pada 10 Disember tahun lalu, Letchumy Suppiah dan dua anaknya, Mala Kothandu serta Sarojini Kothandu memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia selepas permohonan mereka ditolak JPN. Letchumy menamakan Ketua Pengarah JPN, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia masing-masing sebagai responden pertama, kedua dan ketiga. Hakim Datuk Zaleha Yusof menetapkan 19 Ogos ini sebagai tarikh sambungan perbicaraan dan mencadangkan kepada Peguam Negara agar merujuk kes tersebut kepada JPN untuk diselesaikan dalam tempoh tersebut. Peguam yang mewakili keluarga tersebut, Eric Paulsen menegaskan, ketiga-tiga anak guamnya berhak mendapat kewarganegaraan dan kad pengenalan (IC) mengikut Perlembagaan Persekutuan. "Ketiga-tiga mereka dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia, tetapi mereka dinafikan hak untuk mendapat kewarganegaraan, malah JPN minta macam-macam bukti yang tidak realistik untuk membuktikan mereka warganegara," kata Eric kepada Keadilan Daily. Hadir sama, seorang lagi peguam kes, Latheefa Koya dan Timbalan Pengerusi Biro Hak Asasi & Undang-undang KEADILAN, S Jayathas. Eric turut mempersoal tindakan JPN memberikan IC kepada masyarakat India melalui MIC sebelum PRU 13, tetapi menafikan tuntutan rakyat yang dibawa Pakatan Rakyat. "Pemberian kewarganegaraan tidak wajar berlandaskan parti politik, ini tidak adil," tegasnya. Tambah beliau, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) juga membuktikan banyak IC diberi kepada warga asing. "Begitu juga melalui keterangan-keterangan dalam RCI. Ada warga asing diberi IC hingga sanggup masuk hutan. Kenapa rakyat sendiri dikenakan peraturan begitu ketat dan tidak realistik?" soalnya. "Sedangkan JPN dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai bidang kuasa yang cukup besar, dan seharusnya mereka menggunakan kuasa itu dengan lebih baik untuk membela rakyat," kata Eric. |
Dakwa penganjur Black 505 langkah mundur Posted: 17 Jul 2013 03:12 AM PDT KEADILAN DAILYKUALA LUMPUR: Dakwaan ke atas penganjur himpunan Black 505 adalah langkah mundur pentadbiran Barisan Nasional, kata ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli."Pendakwaan yang dibuat menunjukkan komitmen kerajaan untuk memberi hak berhimpun tidak bermakna seperti dijanjikan Perdana Menteri sebelum ini. "Kerajaan BN cakap tentang reconciliation (perpaduan nasional). Tetapi tindakannya bertentangan dengan apa yang dituturkan," kata Rafizi pada sidang media di lobi parlimen hari ini. Rafizi mengulas pendakwaan ke atas ahli parlimen Seremban, Anthony Loke yang dikatakan melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 dan dikehendaki hadir ke mahkamah majistret Kuala Lumpur 24 Julai ini. Loke yang dipanggil pagi ini ke IPD Dang Wangi untuk memberi keterangan sebagai saksi siasatan kes himpunan Black 505 kemudiannya diserahkan saman kerana dikatakan melanggar Seksyen 15(3) Akta Perhimpunan Aman. Beliau dituduh tidak mendapatkan kebenaran pemilik Padang Merbok, iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk himpunan Black 5050 seperti diminta Ketua Polis Darah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad. Loke turut menghadapi pertuduhan pilihan kerana gagal mengemukakan notis 10 hari sebelum himpunan Black 505 dibuat. Turut dipanggil hari ini ke IPD Dang Wangi ialah staf Sekretariat Pakatan Rakyat, Adib Ishar yang merupakan wakil penganjur himpunan Black 505. "Tindakan dan keputusan yang diambil Menteri Dalam Negeri banyak dipersoalkan sejak akhir-akhir ini," kata Rafizi. "Jelas ini pendakwaan terpilih atas arahan politik," tegasnya. |
RM44 juta kos ke luar negara, mana wasatiyah Najib? Posted: 17 Jul 2013 03:10 AM PDT KEADILAN DAILY"Langsung tak mencerminkan pendirian wasatiyah dan kesederhanaan yang dilaungkan Perdana Menteri," kata Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin. "Dalam keadaan rakyat menghadapi kenaikan harga barang, hutang isi rumah meningkat, kerajaan langsung tidak sensitif ," katanya kepada Keadilan Daily . Dewan Rakyat hari ini diberitahu dalam jawapan bertulis kepada Nga Kor Ming (DAP-Taiping) nilai lawatan antara Mac 2008 hingga Mei 2013 Najib Razak dan rombongannya bernilai RM44.1 juta. Difahamkan, perbelanjaan mungkin termasuk ketika Najib memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri. Shamsul turut mempersoakan sama ada kos tersebut merangkumi pembiayaan perbelanjaan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. "Kita bimbang, kerana setiap tahun kerajaan minta belanjawan tambahan. Sebab terdapat banyak laporan sebelum ini menyatakan isteri Perdana Menteri suka berbelanja. "Kita desak perincian perbelanjaan dibentangkan Jabatan Perdana Menteri," tegas Shamsul. |
Kos lawatan luar negara Najib RM44 juta Posted: 16 Jul 2013 10:36 PM PDT Kos lawatan luar negara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan rombongannya dalam tempoh lima tahun terakhir bernilai RM44.1 juta, Parlimen diberitaru hari ini. Dalam jawapan bertulis kepada Nga Kor Ming (DAP-Taiping), Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, nilai itu untuk lawatan antara Mac 2008 hingga Mei 2013. Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada ia mungkin turut melibatkan perbelanjaan pendahulunya sebelum itu Tun Abdullah Ahmad Badawi, Nga berkata, beliau percaya semua itu perbelanjaan Najib. Najib menggantikan Abdullah pada 3 April 2009. "Mungkin ia termasuk perbelanjaan ketika beliau (Najib) masih timbalan perdana menteri," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen. |
'Zahid, minta maaf atau hadapi JK Parlimen' Posted: 16 Jul 2013 10:34 PM PDT Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi harus meminta maaf kepada Dewan Rakyat ekoran jawapannya berkaitan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) atau dirujuk ke jawatankuasa hak dan keistimewaan Parlimen. Anggota Parlimen Taiping daripada DAP Nga Kor Ming menjelaskan, ini ekoran kenyataan Zahid - bahawa IPCMC tidak dapat dilaksanakan kerana bercanggah dengan perlembagaan - "tersasar" sama sekali. "Saya berikan peluang kepadanya untuk minta maaf semasa sesi penggulungan. Saya harap beliau cukup jantan, sebagai negarawan, akan meminta maaf atas kesalahannya. "Jika langkah itu diambil, tidak perlu lagi merujuknya kepada jawatankuasa itu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini |
Zairil Pertikai Kos RM6.6 Bilion Bekal Komputer Riba Chromebook Oleh YTL Posted: 16 Jul 2013 10:29 PM PDT SHAH ALAM : Tindakan Kementerian Pendidikan membekalkan komputer riba Chromebook ke sekolah di bawah program '1Student 1Device' melalui YTL Corporation Bhd (YTL) mengundang persoalan kerana ia dipercayai bakal menelan kos tinggi sehingga RM6.6 bilion. Ahli Parlimen Buikit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, mengikut jawapan diberikan ketika pertanyaan di sidang Parlimen, kos dinyatakan itu meliputi jumlah keseluruhan melibatkan 5.5 juta murid di seluruh negara yang akan menerima komputer riba pada harga RM1,200 setiap unit di samping kos pelesenan dan penyelenggaraan. Menurutnya, Kementerian Pelajaran boleh menjimatkan kos dengan membeli terus daripada pembekal, Samsung atau Acer berbanding menganugerahkan projek tersebut kepada YTL, syarikat bukan pengeluar dan pengedar komputer. "Menurut garis panduan Kementerian, pembekalan Chromebook ke sekolah-sekolah akan dibekalkan sama ada Chromebook Samsung atau Chromebook Acer yang mana kedua-duanya dilengkapi dengan Wi-Fi. "Semakkan awal saya pada harga runcit mendedahkan bahawa Samsung Chromebook dengan Wi-Fi dijual pada harga RM988 di Malaysia manakala unit dengan 4G dijual pada harga runcit RM1,299. "Harga ini adalah lebih tinggi daripada kos unit yang sama di seluruh dunia, berdasarkan perbandingan yang saya lakukan iaitu Amerika Syarikat/Kanada (Acer C7 Wi-Fi (RM633), Samsung Wi-Fi (RM792)), Australia (Acer C7 Wi-Fi (RM952), Samsung Wi-Fi (RM1,111)) dan United Kingdom (Acer C7 Wi-Fi (RM943), Samsung Wi-Fi (RM1085))," katanya dalam kenyataan media hari ini. Buat permulaan, katanya, pembekalan komputer riba tersebut melibatkan tempahan awal 116,399 unit dengan kos RM139.6 juta. Beliau mempertikaikan mengapa kementerian membayar RM1,200 untuk Samsung Wi-Fi apabila unit yang sama dijual hanya pada harga RM988? "Malah pastinya kementerian akan mendapat diskaun yang besar dengan pesanan berjumlah 116,399 unit dan bakal membeli lagi 5.4 juta unit lebih sejajar dengan program '1Student 1Device'," katanya. Tidak cukup dengan itu, Zairil berkata, YTL dan anak syarikatnya turut diberikan projek lain yang menguntungkan kementerian iaitu pemasangan jalur lebar 4G berkelajuan tinggi di bawah program 1BestariNet ke semua sekolah (RM663 juta bagi kontrak 2.5 tahun). Pelantar Pembelajaran Maya (VLE) untuk guru-guru, pelajar dan ibu bapa (RM250.5 juta untuk yuran pelesenan bagi suatu jangka masa tetap dan RM262.8 juta bagi kos pengurusan dan penyelenggaraan). |
Rodziah : OSCC Bantu Mangsa Rumah Tangga Di Luar Bandar Posted: 16 Jul 2013 10:27 PM PDT KLANG : Program kesedaran berhubung peranan Pusat Khidmat Bersepadu (OSCC) akan diperluaskan ke semua peringkat khususnya di luar bandar di Selangor. Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, Rodziah Ismail berkata langkah itu diambil bagi memastikan masyarakat luar bandar mengetahui wujudnya pusat dan akta yang melindungi mangsa keganasan rumah tangga. Selain itu, ia juga sebagai usaha memantapkan peranannya sebagai pusat khidmat sehenti yang berobjektif memastikan masalah terhadap mangsa dapat dikurangkan. Menurut Rodziah, matlamat OSCC memberi perlindungan serta menyediakan persekitaran yang selamat dan selesa bagi mangsa-mangsa keganasan rumah tangga, penderaan dan juga kes-kes rogol. Tambahnya, walaupun pusat ini sudah beroperasi selama tiga tahun lalu tetapi beliau masih belum puas hati dengan tahap kesedaran daripada masyarakat bandar dan luar bandar. "Kadangkala mereka (mangsa) ini tidak tahu ada akta yang boleh melindungi mereka yang membolehkan mereka membawa pesalah ke peringkat mahkamah. Jadi kita mahu beri mereka pengetahuan tentang hal ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan taklimat pusat itu bagi daerah Klang, di Pejabat Daerah/Tanah Klang, di sini. Mengulas lanjut berhubung perkara itu, Rodziah berkata Kerajaan Negeri akan memastikan taklimat-taklimat berkenaan peranan pusat itu dilaksanakan di peringkat kampung, masjid, rumah ibadat dan Pusat Wanita Berdaya seluruh Selangor. "Sebelum itu, kita akan membimbing pemimpin seperti ketua kampung supaya mereka memahami dan mengetahui OSCC, sekali gus membimbing penduduk di kawasan luar bandar untuk memanfaatkan perkhidmatan yang diberikan oleh OSCC. "Kita mahu mereka mengadakan taklimat ini sekurang-kurangnya dua kali dalam sebulan," katanya. Selain itu, pihaknya akan turut mengeluarkan buku dan risalah sebagai sebaran kepada masyarakat di seluruh pelusuk negeri. "Oleh itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM500,000 sebagai bantuan kepada promosi ini selain peruntukkan keperluan hospital dan keperluan peribadi mangsa," katanya. Dalam pada itu, Rodziah memaklumkan terdapat lebih 1,000 kes yang dilaporkan di seluruh Selangor. "Di Selangor, kita mempunyai enam buah OSCC yang terdapat di hospital besar, antaranya Hospital Klang, Ampang, Kajang, Sungai Buloh dan Selayang. Kita juga akan usahakan untuk ke peringkat Hospital Daerah Sabak Bernam dan Kuala Langat," katanya. |
Harga Ayam Naik : Menteri Minta Ubah Selera, Rakyat Terus Tertekan Posted: 16 Jul 2013 10:24 PM PDT SHAH ALAM : Kenaikan harga ayam di pasaran ketika ini terutama menjelang sambutan Aidilfitri mengundang resah di kalangan rakyat Selangor yang merasa terbeban dengan isu tersebut. Malah saranan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hassan Malek supaya orang ramai 'menukar' selera kepada menu lain seperti ikan dan daging dalam usaha mengekang kenaikan harga ayam, tidak boleh diterima kerana kerajaan sewajarnya mengelak kenaikan harga itu. Seorang peniaga di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Johari Josi, 40, berkata, jika dibandingkan dengan negara lain, rakyat Malaysia adalah di antara yang teramai mengemari dan memilih ayam sebagai makanan pilihan. "Jadi untuk memboikot dan menukar selera kepada makanan lain, bagi saya sukar. Sebelum membuat kenyataan, saya harap menteri bertanya atau meninjau dulu pendapat orang ramai. "Semacam ada pihak yang mengambil kesempatan dalam isu ini. Saya harap kerajaan memantau harga ayam selain mengurangkannya kerana tidak lama lagi masyarakat Islam iaitu majoritinya orang Melayu akan merayakan Aidilfitri pastinya ayam akan dibeli dengan banyak," katanya kepada TVSelangor di sini hari ini. Seorang pengguna dari Sungai Buloh, Musral Dharno, 50, menjelaskan kenaikan harga ayam sukar diterima dan ia memberi tekanan kepada orang ramai untuk berbelanja. Katanya, kerajaan Persekutuan perlu bertindak segera menangani masalah itu sebelum ia menjadi semakin sukar kepada rakyat. "Ia bebankan rakyat. Saya harap harga ayam diturunkan kembali macam biasa. Saya yakin orang ramai yang lain juga susah untuk bertukar selera kepada makanan lain. Harga ikan dan daging pun lebih kurang mahal juga," kata bapa kepada empat anak itu. Peniaga pakaian, Nurul Abdul Rahman, 27, turut sependapat dengan mengatakan ayam adalah makanan kegemarannya. "Nak tukar kepada makanan lain, susahlah memang tak boleh. Saya mesti makan ayam. "Bila harga naik, memang jadi beban kepada saya. Saya harap harganya turun macam biasa tambahan nak Aidilfitri ni. Saya rasa orang lain pun suka ayam mungkin menteri pun suka," katanya. Hasaan dalam laporan media mengajak orang ramai 'menukar' selera daripada memakan ayam kepada menu lain seperti ikan dan daging sebagai usaha mengekang kenaikan harga ternakan itu. Beliau berkata langkah itu dianggap perlu memandangkan terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dengan menaikkan harga ayam sewenang-wenangnya. Harga ayam sebelum ini di sekitar RM6.50 hingga RM7.00 naik mendadak melebihi RM7.50 iaitu RM8.00 hingga RM9.00. |
Abdul Aziz Nafi Ada Hubungan Dengan Pembekal Dakwat Kekal PRU 13 Posted: 16 Jul 2013 10:21 PM PDT SHAH ALAM : Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof hari ini menafikan bahawa beliau dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar merupakan kenalan rapat pembekal dakwat kekal yang digunakan pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lalu. Dalam satu kiriman 'Sistem Pesanan Ringkas' (SMS) kepada TVSelangor, Abdul Aziz memberitahu beliau dan Wan Ahmad tidak mempunyai sebarang kaitan dengan syarikat yang didedahkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli di Dewan Rakyat semalam. "Saya dan timbalan saya dengan tegas menafikan dakwaan MP Pandan itu. "Hal-hal yang berkaitan dengan operasi pentadbiran perolehan diuruskan oleh Urusetia SPR. "Panel SPR hanya menentukan keputusan dasar dan hala tuju sahaja," ujar beliau. Di dalam ucapannya di dalam Dewan Rakyat semalam, Rafizi mendedahkan nama seorang individu, Mohamed Salleh Mohamed Ali daripada Singapura yang didakwa pemilik kepada syarikat pembekal dakwat kekal yang mencetus kontroversi pada PRU13 lalu. Syarikat Mohamed Salleh, Integrated Challenger (M) Sdn Bhd, didakwa mendapat kontrak membekal dakwat tersebut melalui proses rundingan terus. Parti Pakatan Rakyat dan beberapa NGO telah memfailkan laporan polis terhadap SPR dengan mendakwa dakwat tersebut boleh dihilangkan dengan membasuh tangan dengan sabun selepas dicalit. Rafizi mendakwa Mohamed Salleh adalah seorang pakar rundingan terus yang juga mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin negara termasuk Pengerusi SPR dan Timbalannya. Kata Rafizi lagi, selain membekalkan dakwat tersebut, syarikat itu mendapat kontrak pembekalan peralatan lain pada PRU13 termasuk topi dan t-shirt, selain pernah mendapat kontrak secara rundingan terus dariapda Kementerian Pertahanan. Pendedahan Pakar Strategik PKR itu dibuat susulan tindakan SPR yang sering berdolak dalih dan tidak mendedahkan nama pembekal dakwat berkenaan biarpun berkali-kali didesak berbuat demikian. Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kos pembelian dakwat kekal yang tidak kekal itu meningkat tiga kali ganda daripada RM 2.4 juta kepada RM 7.1 juta pada PRU13 lalu. |
TPM tarawih di Kuala Besut, umum bantuan RM343,000 Posted: 16 Jul 2013 10:19 PM PDT MALAYSIA KINI Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi menunaikan solat Isyak dan bertarawih bersama penduduk setempat di Masjid Hj Ishak, Kampung Dengir di Kuala Besut. Solat tarawih itu diimamkan oleh Pengerusi Sekretariat Ulama Muda Malaysia Fathul Bari Mat Jahaya dan disertai kira-kira 200 jemaah. Turut serta Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ketua Umno Besut, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman. Usai solat, Muhyiddin dan jemaah mendengar tazkirah oleh Fathul Bari yang menyentuh mengenai pembaharuan yang perlu dilakukan untuk memperoleh kehidupan lebih baik di dunia dan akhirat. Timbalan Perdana Menteri yang diminta menyampaikan ucapan ringkas kemudian, mengambil kesempatan mengingatkan jemaah agar mengambil iktibar daripada kejadian yang melanda umat Islam di Mesir dan Syria dengan memperkukuhkan perpaduan bagi mengelakkan kejadian serupa berlaku di negara ini. "Peristiwa itu satu iktibar bagi rakyat Malaysia untuk merasa begitu bersyukur kerana berada dalam keadaan aman dan selesa di Malaysia. "Sebab itu yang penting bagi kita ialah bagaimana untuk memupuk semangat persefahaman di kalangan umat Islam, walau tidak seteruk di negara luar, tetapi kita bimbang disebabkan perbezaan politik telah menggugat semangat ukhuwah yang terjalin sekian lama," katanya. Sehubungan itu beliau meminta masyarakat tidak menjadikan perbezaan politik sebagai halangan untuk bersama-sama memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih cemerlang, sekali gus mengundang rasa gentar pihak tertentu yang semakin berani mencabar kesucian agama Islam termasuk memperolok kemuliaan Ramadan. Pada majlis itu beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM343,000 bagi menaik taraf masjid berkenaan. Muhyiddin dan rombongan kemudiannya meluangkan masa bersalaman dan berbual dengan jemaah serta menikmati jamuan ringan yang disediakan sebelum meninggalkan masjid. Terdahulu, Muhyiddin menyertai majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan mengimamkan solat Maghrib di Masjid Teluk Bayu di Kuala Besut.- Bernama |
Polis kemuka data jenayah dilakukan bekas tahanan EO Posted: 16 Jul 2013 10:16 PM PDT Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan 67 kes jenayah kekerasan yang dilakukan bekas tahanan Ordinan Darurat (EO) sepanjang enam bulan pertama tahun ini. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Polis Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata angka itu menunjukkan peningkatan 100 peratus berbanding 33 kes dalam tempoh sama tahun lepas. "Kami kesan jenayah kekerasan yang dilakukan bekas tahanan EO meningkat selepas 2,473 tahanan EO dibebaskan pada Julai tahun lepas setelah Ordinan Darurat 1969 dimansuhkan pada 2011. "Antara jenayah kekerasan yang dilakukan mereka seperti bunuh dan cubaan membunuh, samun bersenjata, ugutan jenayah termasuk merusuh," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini. Beliau berkata walaupun alamat bekas tahanan EO itu diserahkan kepada polis, namun tidak ada undang-undang yang memberi kuasa kepada polis untuk mengarah atau memastikan mereka kekal menetap di alamat berkenaan. "Selepas dibebaskan, ada antara mereka yang perlu bekerja dan ini memerlukan mereka berpindah. Apabila ada ruang seperti ini, itulah yang membuatkan ada dalam kalangan mereka yang kembali melakukan jenayah. "Mungkin pada awalnya apabila kita minta ketua-ketua balai melakukan pemeriksaan sama ada mereka memang tinggal di situ dan tinggal dengan keluarga," katanya. Abdul Jalil berkata polis hanya boleh memantau dari segi pekerjaan yang dilakukan selain meminta anggota keluarga mereka memaklumkan kedudukan mereka kepada pihak polis. Beliau juga meminta masyarakat dan badan bukan kerajaan memberi kerjasama terutama dalam menyalurkan maklumat berkaitan kumpulan-kumpulan yang sering menimbulkan kekacauan. "Ini bagi mengelakkan jenayah berkumpulan atau sepertinya merebak dan dapat dibendung di peringkat awal," katanya. Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata 90 peratus daripada kes jenayah berat, terancang dan berkumpulan dilakukan oleh bekas banduan yang ditahan di nawah EO di Simpang Renggam. Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata PDRM telah memberi input dan cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri berhubung penggubalan undang-undang baharu bagi menggantikan EO 1969.- Bernama |
IGP: Ada anggota enggan lapor kesalahan rakan Posted: 16 Jul 2013 10:11 PM PDT Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menggesa pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya melaporkan sebarang salah laku rakan sekerja mereka dan tidak berdiam diri mengenai perkara itu. Beliau berkata, sama ada salah laku dalam bentuk rasuah atau disiplin, laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bahagian Tatatertib Polis bagi menjamin tahap integriti dalam pasukan itu. "Kita dapati adanya "wall of silence" iaitu rakan sekerja tidak mahu beri keterangan mengenai rakannya yang melakukan kesalahan di dalam pasukan," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) Datuk Heliliah Mohd Yusof di Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini. Sehubungan itu, katanya PDRM akan menjalankan kempen kesedaran di kalangan pegawai dan anggotanya bagi meningkatkan lagi kesederan mengenai perlunya melaporkan sebarang salah laku agar integriti pasukan itu dapat ditingkatkan. Khalid turut memberi jaminan bahawa setiap pegawai dan anggota yang melaporkan perkara itu akan dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. Mengenai kunjungan Heliliah dan delegasi SIAP, beliau berkata polis menyerahkan kepada suruhanjaya itu untuk menilai dan meneliti prosedur operasi standard tahanan lokap dan menerima sebarang keputusan secara terbuka bagi memperbaiki prosedur itu. "Kita tidak mahu lagi kes kematian tahanan dalam lokap berulang," katanya. Dalam perkembangan lain, beliau turut meminta kerajaan supaya mempercepatkan kelulusan cadangan Akta Pencegahan Jenayah yang baharu bagi menggantikan Ordinan Darurat (EO). "Ini kerana, ramai saksi yang enggan memberi keterangan secara terbuka di mahkamah terhadap penjenayah disebabkan perasaan takut menjadi mangsa jenayah keganasan," katanya dalam reaksi terhadap kekerapan insiden tembakan yang berlaku di seluruh negara, baru-baru ini. Pada 4 Julai lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kementeriannya dalam proses merangka draf undang-undang baharu bagi menggantikan EO yang dimansuhkan pada 2011, ekoran peningkatan kadar jenayah berat selepas lebih 2,600 tahanan di bawah ordinan itu dibebaskan. - Bernama |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan