Isnin, 8 Julai 2013

.

.


Calon Pas di Kuala Besut: Antara Taukeh Ikan dan Kontrektor

Posted: 07 Jul 2013 06:25 PM PDT

ANALISA                                                                                           

Malam ini Dewan Harian Pas Pusat akan bermesyuarat antara angendanya membincang mengenai pilihan raya kecil Kuala Besut yang penamaan calonnya akan diadakan 12 Julai. Perkara spesifik akan dibincangkan ialah mengenai calon Pas. Sebangat-bangatnya malam ini umum akan mengetahui siapakah yang akan diturunkan oleh Pas.
Zakaria disebut sebagai calon.

Terdapat tiga nama yang telah disenaraipendek untuk diserahkan tanggungjawab bagi merampas kerusi Kuala Besut dan seterusnya meletakkan keadaan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu berseimbangan 16:16. Kedudukan hari ini Pas 15 dan UBN 15 selepas UBN kehilangan kerusi Kuala Besut apabila wakilnya meninggal.

Dengan kedudukan itu Pas meletakkan harapan besar untuk 'merenyok petuk'kan Dun Terengganu. Suka kita melihat keadaan itu nanti bagaimana penyelesaian dibuat sekiranya berlaku takdir demikian. Apakah Dun Terengganu akan dibubarkan bagi diadakan pilihan raya semula atau sebaliknya.

Bekas Pengerusi Umno Terengganu Idris Jusoh berkeras mengatakan UBN mempunyai kelebihan majoriti di DUN dengan adanya satu undi dari speaker. Belum ada precedent mengenai hal ini sebelum ini, jadi adalah elok juga kalau persimbangan itu diwujudkan.

Untuk menyaksikan situasi demikian kerusi Kuala Besut harus dimenangi oleh Pas. Sekiranya Pas menang pilihan raya kecil Kuala Besut satu senario baru selepas PRU-13 akan wujud. Senario itu juga akan mengubah perkembangan politik negara selepas pilihan raya umum ke-13 lalu.

Berbalik kepada nama-nama yang disenarai-pendekkan, ada tiga nama itu iaitu; Nik Zawawi Nik Salleh iaini ahli jawatankuasa Dewan Ulamak, Zakaria Harun, seorang taukeh ikan di Kuala Besut dan Enduk@Azlan Jusoh yang dikenali dengan Che Long seorang kontrektor.

Nik Zawawi pernah menang kerusi Kuala Besut dalam pilihan raya 1999 bagaimana pun kalah dalam tahun 2004. Dalam pilihan raya lalu beliau tidak diletak bertanding di mana-mana kerusi. Ketidaan beliau dalam pilihan raya lalu menunjukkan Nik Zawawi bukan harapan Pas. Zakaria pula merupakan penyokong setia Pas di Besut, manakala Che Long adalah Bendahari Pas Besut.

Ketiga-tiga nama ini dikira layak untuk menjadi calon Pas. Pas Pusat mungkin mempunyai pandangan tersendiri untuk memilih salah seorang dari mereka. Kalau Pas meletakkan soal latar belakang dan perwatakan berbudaya Arab atau pun yang bergelar ustaz sebagai kriteria utamanya, sudah pasti Nik Zawawi adalah pilihan Pas.

Sebaliknya kalau Pas mengenepikan 'roma-roma' demikian sebaliknya lebih mementingkan kehendak pengundi bawahan Harun dan Che Long yang akan dipertimbangkan. Dalam tinjauan rambang di peringkat bawahan di Kuala Besut, menunjukkan pengundi tidak begitu minat untuk berwakil rakyat kepada mereka yang berbudaya elit yang renggang dengan rakyat. Nik Zawawi dilihat sebagai elitis dalam Pas.

Nama Harun dikatakan menjadi pilihan utama di kalangan rakyat. Penglibatannya dalam bidang perniagaan meyebabkan beliau mempunyai ramai kawan dan sahabat serta disenangi oleh rakyat. Tetapi apa yang 'ugah' sedikit beliau kurang berminat untuk menjadi calon. Tetaoi sedia memikul tanggungjawab kalau tidak ada pilihan.

Sekiranya Harun menolak sudah pasti Pas akan memilih Che Long. Bendahari Pas itu juga sesuai dengan kehendak dan mood pengundi hari ini yang mahukan orang mudah diketengahkan. Usia Che Long di bawah 50-an di mana usia itu sesuai dengan mood dan selera pengundi muda yang mahu melihat golongan mereka diletak di hadapan.

Mengambil kira kepada perkembangan semasa dan keperluan sudah pasti mesyuarat Dewan Harian Pas malam ini akan memilih kontrektor berasal dari kampung Nail Besut itu sebagai calonnya untuk pilihan raya kecil bagi kerusi Kuala Besut. Dalam pada itu majlis pengumuman calon akan diadakan malam besok bertempat di Kampung Nail yang akan dilakukan oleh presiden Abdul Hadi Awang.

Semua pimpinan tertinggi Pas juga hadir dan akan berceramah. Mereka termasuk Mohamad Sabu, Husam Musa, Wahid Enduk dan lain-lain. [wm.kl.9:24 am 08/07/13]

Mengunjungi Kampung Perdamaian Rejimen Ke-10 - Komunis Melayu

Posted: 07 Jul 2013 07:30 AM PDT

MENJEJAK KISAH                                                                                 

Sewaktu sahabat Rushdan Mustafa menghubungi saya memberi tahu ada misi ziarah menjelang Ramadhan ke perkampungan atau penempatan bekas Rejimen ke-10 (Komunis Melayu) di sempadan Malaysa - Thai sebulan lalu saya tidak banyak berfikir, terus menyanggupi agar nama saya disenaraikan sama. Saya tidak pun tanya sesiapa lagi yang akan bersama. Menjadi fiil saya suka kalau ahli rombongan tidak ramai.

Bagi saya misi itu satu kemujuran dan sesuatu yang telah lama saya nanti-nantikan.

Papan iklan memberi tahu di sinilah perkampungan damai.
Tampak kunjungan ke perkampungan bekas komunis itu akan jadikan misi ziarah (kebajikan) atau aktiviti rutin saya setiap kali menjelang Ramdhan. Tahun lepas saya mengadakan ziarah umrah ke tiga buah masjid teragung dan termulia di dunia, masjid Al Aqsa, masjid Haram dan masjid Nabawi. Tahun-tahun sebelumnya saya ke Aceh atau Kemboja.

Elok juga kalau kali ini saya menjenguk perkampungan berkenaan yang agak kurang disenangi dan dipandang negatif kerana mereka dikaitkan dengan gerakan komunisme. Pendedahan mengenainya juga di media massa agak jarang. Masih ramai mereka yang was-was atau merasa cuak dengan bekas-bekas komunis? Hakikat mereka sebangsa dan segama tidak mudah untuk diterima.

Sebenarnya perkampungan itu wujud sejak 24 tahun lalu. Selepas termaterainya perjanjian tiga pihak Kerajaan Malaysia, PKM dan kerajaan Thailand pada Disember 1989 di Haadyai perkampung itu diwujud sebagai penempatan baru bekas anggota Rejimen ke-10 PKM. Terdapat empat buah perkampungan yang diwujudkan sebagai 'negeri' baru buat mereka khasnya mereka yang enggan pulang semula ke Malaysia atas sebab-sebab yang bukan mudah dan agak komplikated untuk dihuraikan.

Masjid Darul Aman di perkampungan Chulabhorn Pattana 12.
Perkampungan itu ialah di kampung Chulabhorn Pattana 12, Sukhrin yang dikhasnya untuk komunis Melayu, di Kampung Chulabharon Pattana 11 di Yala juga untuk komunis Melayu manakala di Kampung Chubalabhorn Pattana 10 di Betong dan Kampung Chulabhorn Pattana 9 di Banglang dalam wilayah Yala di mana kampung ini dikhaskan untuk bekas komunis Cina dan India.

Jalan besar membela perkampungan Chulabhorn Pattana 12.
Seperti umum tahu Rejimen ke-10 merupakan sebuah rejimen komunis yang dianggotai oleh orang Melayu beragama Islam. Ianya dipimpin oleh Che Dat Anjang Abdullah atau Abdullah CD. Abdullah CD merupakan anak kelahiran Lambor, Bota Perak. Beliau terlibat dalam dunia politik, perjuangan membela negara sejak dari remaja lagi. Rejimen ini bergerak di sempadan Malaysia - Thailand yang beroperasi di Hulu Kelantan, Betong dan Yala.

Dengan jujur saya katakan walaupun saya pernah ke Israel, pernah ke Lebonan atau Syaria atau lokasi-lokasi peperangan lain bagi menjenguk jejak-jejak peperangan di sana, tetapi timbul perasaan gerum untuk ke Shukhrin. Mungkin kerana perkaitan mereka itu dengan perkataan 'komunis'  menjadikan perasaan saya 'diketik' begitu.

Komunis di dalam konotasi orang Melayu sangat huduh dan menakutkan. Semua ini ialah kerana mereka menerima bulat-bulat pentafsiran dan propaganda pihak-pihak berlawan dengannya. Doktin yang diasak ke dalam minda orang Melayu begitu kuat untuk membenci komunis. Salah satu faktor ialah mengenai sikap atau pendirian komunis yang menolak agama.

Ada pun perasaan takut untuk mengunjungi ke perkampungan itu kerana masih mempercayai walaupun mereka ditempatkan di satu lokasi dan terpisah dengan dunia luar, tetapi sudah pasti mereka dikawal. Segala tindak tanduk dan gerak geri mereka diperhatikan. Begitu juga bagi sesiapa yang kerluar masuk ke perkampungan itu akan dipantau. Mungkin ada kebimbangan atau kewaspadaan dari pihak kerajaan baik Malaysia atau Thailand untuk merasa kebimbangan mereka aktif semula.Sebab bangsa komunis satu bangsa yang teguh dengan pegangan dan tidak mudah mengubah ideologi mereka.

Jadi tidak mudah untuk masuk ke sana. Begitu saya fikir. Atau kalau masuk sudah pasti akan dikenakan pemantauan dan kawalan ketat. Situasi atau bayangan itulah menyebabkan saya kurang berani untuk ke perkampungan berkenaan. Apa lagi, terdapat kawan-kawan ke sana secara bersembunyi atau tidak, tidak menukilkan catatan dan tulisan mereka mengenai perihal penempatan itu dengan meluas. Malahan gambar bersama Abdullah CD dan pejuang-pejuang lain juga tidak ada. Saya tahu ada juga tokoh-tokoh politik yang mengunjungi perkampungan itu dan berjumpa dengan pemimpin komunis secara senyap.

Peristiwa pertemuan bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Abdul Ghafar Baba dengan Abdullah CD di Sungai Golok selepas termeterainya perjanjian perdamaian menjadi salah satu azimat untuk saya membuang rasa bimbang dan takut. Pertemuan itu sebagai lesen untuk sesiapa saja berjumpa dengan 'komunis'. Lagipun sesudah 24 tahun perjanjian itu ditanda-tangani dan pihak bekas komunis itu tidak lagi mencuba untuk aktif, menjadikan saya berani.

Sebenarnya bukan itu saja, keinginan untuk mengetahui dan melihat wajah pimpinan komunis Melayu dari dekat menjadikan saya tidak berfikir panjang. Meletakkan apa-apa risiko atas kunjungan berkenaan. Demikian peribadi saya sebagai seorang penulis kerdil rasanya perlu untuk melihat sendiri keadaan kehidupan mereka di sana di samping mencungkil nostalgia mereka selama berdekad-dekad dalam hutan rimba.

Saya mengira sudah tentu budaya dan sosial minda serta kehidupan mereka akan berubah apabila mereka berada di sebuah penempatan yang damai berbanding dengan hidup dalam hutan. Perubahan dan kelainan ini perlu ditilik atau pun diperhatikan sejurus mungkin.

Ada beberapa perkara yang tersekang di kepala saya apabila berbicara mengenai perjuangan mereka, Rejimen ke-10 ini. Tanpa menolak sejarah yang ditulis oleh pihak yang menang saya merasakan perlu juga mengetahui cerita dari pihak yang kalah. Sudah tentu ada pertentangan dan konflit atau dakwa dakwi atau pun ketegasan di antara kedua pihak ini. Bagi saya tidak adil kalau hanya mendengar dan membaca kisah dari satu pihak - yang menang tetapi bersenggang dengan cerita dari pihak yang tertindas dan kalah.

Dengan adanya peluang berjumpa dengan bekas-bekas pejuang 'pembebasan nasional' itu sudah tentu saya akan dapat maklumat secara terang dari pihak satu lagi. Dengan maklumat itu pula dapat dipadankan apakah sejarah mengenai pemberontakan mereka ke atas negara ataupun pembelaan mereka sebagai kumpulan yang juga berjuang untuk negara dapat disimpulkan, setidak-tidak untuk pemahaman saya sendiri. Tegasnya bukanlah saya hendak menulis sejarah baru tetapi memperbetulkan mana-mana lekuk-lekuk sejarah yang ketara.

Makanya ikutilah catatan saya seterusnya. [wm.kl.10:07 pm 07/07/13]

Tiada ulasan: