Isnin, 15 Julai 2013

.

.


Sembahyang Jumaat Dengan "Komunis"

Posted: 15 Jul 2013 02:08 AM PDT

JEJAK SEJARAH (3)                                                                               

Sebelum sampai ke kampung perdamaian, Ban atau kampung Chulabhorn Pattana 12, apa yang bersarang di dalam rongga kepala selain daripada membayangkan macam mana suasana perkampungan berkenaan, ialah mengenai sesiapa yang tinggal disitu. Apakah tokoh-tokoh besar atau kepala Rejimen Ke-10 yang tersohor masih ada. 

Imam Kg Chulabhorn Pattana 12 sedang berkhutbah.
Mereka, seperti Rashid Maidin, Abu Samah Mohd Kasim, Cheng Ping, Abdullah CD dan lain-lain. Yang wanita pula seperti Shamsiah Fakeh, Zainab Ahmad, Zainab Mahmod, Suriani Abdullah (Eng Ming Ching), Siti Nurkiah Mahmod serta yang lain-lain.

Bagi mereka yang tidak mengikut perkembangan pergerakan dan sejarah mereka khasnya generasi muda mungkin tidak menyedari apa yang berlaku. Begitu juga yang terlalu prejudis dengan perjuangan Rejimen tersebut. Bahkan saya sendiri juga banyak yang terlepas beberapa peristiwa yang berlaku dalam kelompok para pejuang itu yang memakan masa lebih 40 tahun itu.

Setengah dari mereka sudah pun tiada lagi di dunia ini. Beberapa pemimpin atau kepala besar sudah pun dijemput Penciptanya.  Yang sudah tiada, antaranya Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh, Ibrahim Chik, Kamaruzaman Teh, paling baru ialah Suriani Abdullah isteri Cik Dat Anjang Abdullah. Ketiadaan Suriani Abdullah genap seratus hari semasa saya di kampung berkenaan. 

Jemaah masjid Chulabhorn Pattana seusai Jumaat.
Walaupun mereka adalah orang penting dalam proses pembentukan negara, di era sebelum merdeka atau tepat di zaman darurat (1948), tetapi nama-nama mereka tidak dikenali ataupun tidak disebut langsung. Ada juga pihak yang cuba memadakam nama ini dari lembaran sejarah putih negara bersama segugus nama-nama pejuang lain seperti Burhanuddin Hilmi, Ahmad Bustaman, Mustapa Hussein, Ishak Mohamad dan lain-lain.

Generasi 'moden' hari ini lebih mengenali nama-nama bintang filem ataupun pemain bola sepak dari kelab-kelab termuka di Eropah atau Amerika Latin. Atau mereka lebih hafal nama-nama bintang filem atau produser tersohor.

Saya sempat ziarah perkuburan bekas anggota Rejimen.
Bangsa kita kurang meminati sejarah dan menganggap tawarikh itu sebagai sesuatu yang tidak bernilai. Bangsa yang meninggal dan melupai sejarah adalah bangsa yang lemah tidak bersemangat dan malang lagi tidak ada identiti atau rupadiri. Salah satu unsur yang menguatkan atau memertabatkan sesuatu bangsa itu ialah sejarah masa lampaunya. Dengan sejarah kita akan membina kehidupan baru lebih bermakna kerana sejarah adalah cermin dan pemandu kita.

Pejuang Rejimen Ke-10 Waiming bercerita kepada Rusdhan. 
Hal-hal demikian mengenai sesiapa yang menginap di situ ia bermain dalam kepala. Sepanjang perjalanan saya cuba membayangkan wajah-wajah mereka yang namanya pernah saya dengar atau disebut. Tetapi apa yang lebih 'tersunggut' di sudut hati ialah mengenai keIslaman mereka.

Fikiran jahat saya bertanya-tanya apakah mereka seorang muslim Islam seperti mana diceritakan atau pun ianya hanya indah khabar dari rupa. Saya tidak terfikir macam mana dalam keadaan susah payah dan kritikal semasa berada dalam hutan belantara mereka dapat melaksanakan kewajiban sebagai seorang beragama dan menghidupkan syariat Islam di dalam keadaan 'darurat' begitu.

Apa lagi sifat komunis itu sendiri, ideologinya yang tidak senang dengan agama. Komunis menganggap agama sebagai candu. Dengan pendirian atau prinsip itu sudah pasti anggota pejuang Rejimen Ke-10 tidak mudah untuk melaksanakan amalan dan kebajikan mereka. Jadi keadaan itu menyebabkan timbul perasaan konfius mengenai sejauh dan sedalam (prihatin) mereka kepada Islam.

Sangkaan saya berdasarkan beberapa dakyah atau strategi memburukkan mereka ternyata meleset atau terjawab secara berdepannya apabila saya menyaksikan sendiri apa yang berlaku. Tuhan itu memang mengasih dan menyanyangi hamba-hamba-Nya yang mencari kebenaran dan kesempurnaan.

Tanpa saya bertanya kepada sesiapa mengenai apa yang meragukan saya, ia terjawab dengan sendiri. Tidak sampai sejam sebaik saya menjejak kaki di perkampungan perdamaian itu, kampung itu digemai dengan suara azan. Saya hampir terlupa bahawa hari kedatangan saya itu hari jumaat. Saya jadi tersekma seketika tatakala mendengar azan berkenaan.

Iya bukan azan dari sebuah perkampungan komunis yang menolak agama seperti mana sesetengah orang faham sebelum ini. Ia adalah sebuah azan dari sebuah perkampungan Melayu tradisional yang tersusun dan penghuninya kuat berpegang kepada syariat Muhammad. Sebegitu azan menandakan masuk waktu Zohor itu berbondong-bodong penghuni kampung berkenaan yang semuanya 'komunis' keluar menuju ke arah masjid berkenaan.

Perasaan saya terampung-ampung dan melayang bagaikan tidak ada paksi takala mendengar azan yang dilaungkan oleh Pak Hatta atau nama sebenarnya Awang bin Yaakob. Suaranya yang lemah... mendayu lagi memakan perasaan saya. Nafasnya juga terputus putus menyebabkan kalimah azan tidak dapat dihabiskan dengan sempurna. Kesempukan kerana dirinya dimamah usia. Keadaan ini menambahkan lagi rasa sebak. Terfikir jauh dilubuk hati bahawa tanggapan sebelum ini mengatakan mereka 'komunis' yang menolak Tuhan dan agama adalah fitnah dan dakyah semata-mata.

Atas sifat keimanan seseorang itu tidak siapa dapat menekanya saya tidak berani mengatakan bahwa mereka selama ini selama berada dalam hutan memikul senjata untuk menghalau penjajah British sebagai tepesong akidah atau pegangan. Melihat dengan mata sendiri apa yang berlaku di kampung perdamaian itu menyakinkan saya bahawa akidah Islam mereka masih suci dan pegangan agama mereka sama saja dengan kita.

Hari Jumaat itu walaupun masjid yang boleh memuat jemaah kira-kira 150 hingga 200 orang itu tidak penuh tetapi saf yang ada sudah cukup mengenapkan korum yang dikehendakinya iaitu seramai 40 orang. Cuma malang sedikit sewaktu solat waktu lain khasnya Subuh jumlah yang hadir boleh dibilang dengan jari.

Saya tidak pasti apakah ada majlis-majlis pengajian agama yang diaturkan di masjid berkenaan. Alangkah baiknya kalau ada badan-badan dakwah atau pergerakan Islam memasuki ke kampung berkenaan untuk memberi didikan agama secara konsisten khasnya kepada generasi baru di kampung berkenaan yang lahir selama termeterai perjanjian damai.

Kalau hendak diharapkan kepada generasi awal  yang menjadi anggota Rejimen Ke-10 kebanyakan mereka sudah berusia dan tidak berdaya lagi untuk menggerakkan apa-apa aktiviti. Rata-rata mereka kini berusia antara 70 hingga 100 tahun. Kebanyakan mereka menyertai Rejimen berkenaan semudah usia 12 atau 15 tahun. Antara tokoh atau pejuang Rejimen Ke-10 yang sempat ditemui ialah pemimpin utamanya Abdullah CD dan Siti Nurkiah Mahmod yang merupakan tokoh pejuang wanita Rejimen Ke-10. Yang lain sudah kembali ke Rahmatullah kecuali Ching Peng. [mw.kl.5:00 pm 15/07/13]
* Maaflah mengarang dimusim puasa ini tidak berapa semuringah dan rajin. Catatan ini tertangguh beberapa kali. Bacalah dalam ketidak sempurnaannya.

Tiada ulasan: