Isnin, 1 Julai 2013

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


PKR mahu letak calon Wanita di Kuala Besut?

Posted: 01 Jul 2013 05:30 AM PDT


PKR mahu meletakkan calonnya daripada sayap Wanita untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut akan datang, kata Pengarah Pilihan Raya Wanita PKR Pusat, Haniza Mohd Talha.

Beliau berkata, PKR mempunyai calon Wanita tempatan 'boleh menang' yang mampu memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat.

"Wanita PKR sedia menawarkan diri bagi bertanding kerusi Kuala Besut sekiranya Pakatan Rakyat melihat faktor itu mampu memberi kemenangan di Terengganu," katanya kepada pemberita di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri itu berkata, pihaknya telah berbincang dengan PKR Pusat dan sudah mendapat 'lampu hijau' daripada Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dan kemudiannya akan dibawa kepada Mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat.

"Belum cuba belum tahu. Kita nampak peluang ini tak boleh dilepaskan sebab itu kita tawarkan diri sekiranya calon Wanita tiada untuk kerusi DUN Kuala Besut," katanya.

Haniza berkata, Pakatan Rakyat ketandusan calon Wanita apabila Napisah Ismail adalah satu-satunya bekas calon Wanita Pakatan yang bertanding kerusi DUN Terengganu PRU13 lalu.

Minggu lalu Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail juga dilaporkan berkata PKR negeri mempunyai calon berpotensi untuk bertanding PRK Kuala Besut.

Namun disanggah Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang berpendirian kerusi itu tetap milik parti yang telah bertanding pada PRU lalu jika berlakunya kekosongan.

Bidas Lim Guan Eng

Sementara itu, Haniza membidas kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mahu Pakatan Rakyat memboikot PRK Kuala Besut sebagai tanda protes kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut Haniza, itu hanya merupakan pandangan peribadi Lim dan PKR tidak akan mengambil pendirian sama kerana mahu berusaha untuk menang dan tambah kerusi DUN Terengganu.

Katanya, ini merupakan satu-satunya peluang jika mahu membuktikan kekuatan Pakatan Rakyat di Terengganu dan PKR termasuk Wanita akan turun sebagai jentera untuk berkempen.

"Banyak saluran sudah kita gunakan untuk menunjukkan protes proses PRU termasuk melalui petisyen, desakan perhimpunan dan perbahasan (dalam Dewan)…tak perlu boikot," katanya.

SPR dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini bagi menetapkan tarik PRK DUN Kuala Besut.

Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata SPR telah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi DUN N1 Kuala Besut daripada Yang Dipertua DUN Terengganu pada 27 Jun lepas.

Kerusi tersebut kosong selepas penyandangnya Dr Abdul Rahman Mokhtar dari BN meninggal dunia 25 Jun lalu akibat kanser paru-paru.


~ Freemalaysiatoday

RM200 juta untuk SPR tu bukan bonus tapi elaun

Posted: 01 Jul 2013 02:19 AM PDT


Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan pemberian RM200 juta kepada petugas dan pekerja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pilihan raya 5 Mei adalah elaun, serta membidas laporan awal yang mengatakan ianya sebuah bonus adalah tidak tepat.

Samada ianya bonus atau elaun jumlah tersebut bukanlah satu persoalan, tetapi yang dipersoalkan dalam hal ini ialah mengapa kos operasi SPR meningkat 100% sedangkan pertambahan pengundi hanyalah 20%?

Dan dalam masa yang sama juga petugas SPR bertambah 60,000 orang daripada kira-kira 180,000 petugas SPR pada PRU-12 tahun 2008 menjadi 240,000 petugas pada PRU13 lalu.. hanya kira-kira 30% pertambahan..

30% pertambahan petugas dan 20% pertambahan pengundi tetapi kos operasi bertambah 100%?.. Kenapa?
RM200 juta untuk SPR bukan bonus tapi elaun, tegas Shahidan

Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan pemberian RM200 juta kepada petugas dan pekerja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pilihan raya 5 Mei adalah elaun, serta membidas laporan awal yang mengatakan ianya sebuah bonus adalah tidak tepat

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri berkata wang tersebut adalah elaun yang diberikan kepada 240 ribu petugas SPR sebagai tanda menghargai peranan dan tanggungjawab yang mereka semasa membantu melicinkan proses pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu.

"RM200 juta adalah elaun untuk 240 ribu petugas dan pekerja SPR.

"Laporan mengatakan ianya adalah bonus adalah tidak benar, tapi ia hanya satu elaun," kata Shahidan yang menyifatkan laporan awal mengatakan bonus adalah tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan etika kewartawanan.

Awal hari ini, The Malaysian Insider melaporkan para petugas SPR telah menerima wang bonus sebanyak RM200 juta lebih, kata Shahidan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

"Dalam jawapan yang diberikan pun tidak tertulis bonus, jawapan saya kata bayaran perkhidmatan dan saguhati... itu sahaja," katanya lagi.

Shahidan berkata sebanyak RM400 juta telah diluluskan kepada SPR untuk menjalankan pilihan raya pada 5 Mei lalu, peningkatan sebanyak 100 peratus berbanding kos Pillihan Raya 2012 yang hanya berjumlah RM200 juta.

"Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kos perbelanjaan Pilihan Raya Umum 2013 yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan adalah sebanyak RM400 juta," kata Shahidan.

"Bayaran perkhidmatan dan saguhati kepada semua petugas pilihan raya umum adalah sebanyak RM204,100,000."

Dalam jawapan tersebut lagi, Shahidan juga berkata SPR diberikan sebanyak RM5,081,000 diberikan untuk elaun lebih masa, bayaran utiliti (sewaan pengangkutan, barung semak daftar pemilih, peralatan ICT, sewaan talian, telefon dan faks, dan lain-lain) sebanyak RM98,465,000 dan lain-lain perbelanjaan pula sebanyak RM92,354,000.

SPR berdepan tekanan selepas pendedahan di Parlimen baru-baru ini dimana bahan kimia dalam dakwat tersebut telah diganti dengan pewarna makanan yang menyebabkan ia mudah ditanggal.

Shahidan mengakui di Dewan Rakyat pada Rabu lalu pewarna makanan, bukannya nitrat perak yang digunakan dalam dakwat kekal.

Beliau berkata dakwat tertanggal kerana bahan kimia yang sepatutnya adalah punca dakwat tersebut mudah dibersihkan tetapi juga menyalahkan pengundi yang cuba membasuhnya sebagai punca ia tidak kekal.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof juga berhadapan tekanan daripada umum selepas dilaporkan beliau menerima surat daripada Kementerian Kesihatan mengatakan kerosakan buah pinggang dan risiko barah berkemungkinan dihadapi oleh pengundi sekiranya dakwat kekal mengandungi nitrat perak melebihi daripada satu peratus.

Dakwaan Abdul Aziz kemudiaan ditolak oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Subramaniam yang berkata laporan sedemikian tidak pernah dikeluarkannya serta mendakwa mereka tidak menerima permintaan untuk membuat analisis ~ The Malaysian Insider

Berikut adalah jadual bayaran buat Pegawai-pegawai dan juga Petugas-petugas SPR..

Tidak sebanyak manapun.. Menteri dah umumkan bayaran.. tapi kenapa masih ada lagi petugas yang tidak menerimanya?.. lihat di SINI

DAP mahu Pasar Ramadhan ditutup?.. Fitnah macai UMNO rupanya..

Posted: 30 Jun 2013 11:00 PM PDT


Utusan Malaysia menerusi edisi Ahad, Mingguan Malaysia terus menabur fitnah dan pembohongan apabila menokok-tambah kenyataan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara,Tony Pua konon mencadangkan pasar Ramadan ditutup rentetan isu Jonker Walk di Melaka.

Fitnah jahat itu dilihat dengan sengaja memainkan api perkauman semata-mata demi menimbulkan politik kebencian dan meraih simpati terhadap kekalahan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Mingguan Malaysia dalam kolum Awang Selamat mendakwa, "Pemimpin DAP, Tony Pua dalam reaksinya mengeluarkan kenyataan provokatif beliau mencadangkan pasar Ramadan turut ditutup kerana didakwa menyebabkan kesesakan lalu lintas".

Pua ketika dihubungi Roketkini.com berkata, tuduhan itu adalah fitnah tidak berasas dan dangkal.

"Terang dan jelas ini satu pembohongan dahsyat, bila saya berkata begitu," ujarnya.

Sedangkan Pua dalam kenyataannya Rabu lalu hanya berkata "Kami menyeru kerajaan Melaka segera menarik balik pengharaman pasar malam Jonker Walk dan berhenti menggunakan alasan 'mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas' seolah-olah alasan yang sama juga boleh digunakan untuk menutup semua pasar malam dan pasar tani di seluruh negeri dan negara."

Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia dalam tulisannya juga menambah bahawa 'kenyataan yang dikeluarkan Tony Pua' menyinggung perasaan umat Islam dan mengambil mudah perasaan umat Islam.

Lebih membingungkan, beliau meminta Pua keluar berhijrah dari Malaysia jika "tidak suka dengan suasana dan kewujudan pasar Ramadan. "…elok sahaja beliau (Pua) berhijrah ke Taiwan atau Hong Kong," kata Awang Selamat yang sering mengeluarkan kenyataan provokatif, menimbulkan prasangka buruk, fitnah dan kekeliruan dalam tulisannya.


Pada Julai 2012 lalu, Timbalan Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan sendiri dalam satu seminar bersama cybertrooper BN pernah berkata,

"Kita boleh spin, macam mana kita nak spin sesuatu fakta supaya memihak kepada kita, itu okay."

Apa pun pembohongan yang disebarkan Utusan Malaysia, kredibiliti akhbar itu semakin buruk apabila banyak kali kalah saman akibat memfitnah pemimpin DAP dan Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.

Utusan Malaysia mencipta rekod sebagai akhbar paling banyak kalah saman fitnah antaranya kalah kepada Karpal Singh, Lim Guan Eng, bekas MB Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan ramai lagi.

Dengan segala rekod pembohongan jijik dan fitnah jahat bertujuan mencetuskan ketegangan kepada keharmonian masyarakat majmuk Malaysia, persoalannya, adakah Utusan Malaysia sedia untuk kalah lagi.-Roketkini.com

Gambar kat atas sekali tu bukan dari Utusan tapi dari Agendadaily

Idris Jusoh dedahkan sebab PAS tetap tak boleh perintah Terengganu walaupun menang PRK

Posted: 30 Jun 2013 09:21 PM PDT


Kata Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood baru-baru ini, ditakdirkan BN dan PR mempunyai kerusi sama banyak nanti, kuasa untuk menentukan tampuk pentadbiran negeri terletak kepada Sultan.

"Kalau berlaku 16 BN 16 PR, yang mempunyai kuasa tentukan menteri besar adalah sultan. Sultan boleh melantik (menteri besar) yang difikirkan sesuai, berdasarkan pandangan baginda dan sokongan majoriti rakyat. Kedua-dua parti (BN dan PR) boleh mencalonkan wakil masing-masing untuk jawatan menteri besar, tetapi keputusan bergantung kepada budi bicara sultan," katanya ~ sepenuhnya sila baca di SINI

Umum mengetahui dalam DUN Terengganu terdapat 32 Kerusi, 17 dikuasai BN dan 15 dikuasai PR setelah PRU13 berlangsung.

Tetapi tiba-tiba Idris Jusoh mengatakan BN memiliki 18 Kerusi dalam DUN Terengganu iaitu termasuk kerusi Speaker.

Sedangkan Speaker DUN Terengganu bukanlah ADUN, beliau adalah bekas calon Parlimen Kuala Terengganu yang kalah baru-baru ini.. macam mana Derih boleh kata macam tu entahlah..

BESUT - Pas tidak akan boleh memerintah Terengganu walaupun parti itu menang dalam Pilihan raya Kecil (PRK) yang bakal diadakan. 
Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kelebihan satu kerusi speaker menghalang Pas memerintah negeri ini walau pun ditakdir parti itu menang. 
Menurutnya, sekarang BN mempunyai kedudukan 18 kerusi termasuk satu kerusi speaker, manakala pembangkang 15 kerusi dan kalau mereka menang PRK kali ini, kedudukan masih 16-17. 
"Sekiranya pembangkang menangpun ia tidak memberi apa-apa keuntungan kepada mereka tetapi akan menyulitkan pembangkang. Justeru, rakyat perlu terus mengundi BN kerana rakyat akan mendapat manfaat yang besar," katanya selepas Taklimat Khas PRK Dun Kuala Besut di Damai Beach Resort dekat Kampung Raja, semalam. 
Hadir sama, kepimpinan parti peringkat negeri dan bahagian Besut. Idris berkata, Umno sedang menyusun pelbagai strategi dan gerak kerja semua peringkat termasuk bantuan pusat untuk menghadapi PRK kali ini.

Beliau berkata, beberapa cadangan calon BN tempatan telah disenaraikan dan senarai akan dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon. 
"Kita akan mencari calon tempatan yang disenangi dan disukai oleh rakyat kerana calon yang disukai rakyat akan memberi lebih kemenangan," katanya ~ Sinar Harian

Speaker sepatutnya berkecuali tetapi oleh kerana jika berkecuali itu merugikan UMNO dan mungkin akan menyebabkan dirinya juga yang rugi maka jangan haraplah dia nak berkecuali..

Tan Sri Awang Had Salleh meninggal dunia

Posted: 30 Jun 2013 08:00 PM PDT


Tokoh akademik Profesor Emeritus Tan Sri Awang Had Salleh, 79, disahkan meninggal dunia pada pukul 3.03 pagi ini.

Menurut laporan Berita Harian yang memetik kata-kata anaknya, Datin Norazlina Awang Had, jenazah beliau akan dikebumi di Putrajaya.

Awang Had merupakan tokoh akademik yang terkenal di negara ini.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai guru sekolah pada tahun 1950-an, dan kemudian sebagai tenaga pengajar pensyarah di Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai sebelum menjadi pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya dan kemudian sebagai Dekan fakulti tersebut pada 1974.

Pada 1975, beliau dilantik sebagai Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM selama tiga tahun dan kemudian sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1980 dan pada 1984 menjadi Naib Canselor pertama Universiti Utara Malaysia.

Pada Julai 2000, Awang Had dilantik sebagai Pro Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Selain terkenal dan aktif dalam bidang akademik, Awang Had juga banyak menghasilkan karya kreatif, termasuk buku, risalah dan kertas kerja mengenai bidang pendidikan, bahasa, dan budaya.

Antara karyanya ialah kumpulan cerpen Merah Kuning Biru dan novel Biru Warna serta skrip drama, Buat Menyapu Si Air Mata ~ Astroawani

Takziah buat keluarganya dan Al-Fatihah buat Allahyarham...

Tiada ulasan: