Ahad, 9 Jun 2013

Tempayan Retak

Tempayan Retak


Bomba Tidak Mahu Rosakkan Keadaan Mayat – Polis

Posted: 09 Jun 2013 05:53 AM PDT

PULAU PINANG  - Semua pihak diminta bersikap rasional dan tidak menuduh operasi mencari dan menyelamat mangsa kejadian runtuhan tanjak penyambung Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu berhampiran Batu Maung di sini sengaja dilewat-lewatkan.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, dalam usaha menyelamat, anggota keselamatan khususnya bomba berdepan kesukaran untuk mengalihkan bebanan seberat 300 tan yang menghempap sebuah kenderaan dan mengorbankan seorang mangsa setakat ini.
"Kita ambil kira banyak faktor antaranya keselamatan semua pihak yang terlibat. Selain itu, usaha menyelamat tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana boleh mendatangkan masalah lain sekiranya ada mangsa terperangkap dalam runtuhan," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mayat Tajudin Zainal Abidin, 45, yang hanya berjaya dikeluarkan selepas 25 jam terperangkap dalam runtuhan tersebut.
Selain itu, dua pekerja warga asing turut cedera parah manakala seorang rakyat tempatan cedera ringan.
Abdul Rahim berkata, usaha mengeluarkan mangsa mengambil masa yang lama kerana anggota penyelamat tidak mahu merosakkan keadaan mayat yang terperangkap dan menjaga hati ahli keluarga.
Mengulas lanjut mengenai Tajudin yang dikatakan bekas anggota polis yang menamatkan perkhidmatan pada 2006, Abdul Rahim berkata, pihaknya akan mengkaji bentuk bantuan yang boleh disumbangkan kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, empat ekor anjing dari unit anjing pengesan (K-9) Kuala Lumpur dibawa ke kawasan runtuhan untuk mengesan sama ada masih terdapat mangsa terperangkap.
Beliau berkata, anjing jenis Labrador itu mempunyai kepakaran untuk mengesan manusia sama ada masih hidup atau meninggal dunia.
Setakat ini, tiada petunjuk baharu ditemui di kawasan runtuhan mengenai kewujudan mangsa.
Menurut Abdul Rahim, polis juga tidak menerima sebarang laporan baharu mengenai kehilangan anggota keluarga daripada orang awam.
"Kita khuatir kemungkinan warga asing terperangkap di dalam dan kehilangan mereka tidak dilaporkan…ada yang kata terdapat motosikal terperangkap di dalam runtuhan itu tetapi sepanjang operasi pembersihan kita tidak menjumpai serpihan kenderaan itu," katanya.

Operasi Mencari Dan Menyelamat Di Kawasan Runtuhan Jambatan Kedua P.Pinang Tamat

Posted: 09 Jun 2013 01:12 AM PDT


GEORGE TOWN: Polis dan bomba menamatkan operasi mencari dan menyelamat di kawasan runtuhan tanjakan konkrit Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini pada pukul 6 petang Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata operasi ditutup dengan rasminya selepas mesyuarat diadakan dengan Jabatan Pertahanan Awam dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.


"Keputusan itu diambil hasil perbincangan dan kami akan menyerahkan kawasan runtuhan ini kepada pihak kontraktor untuk kerja pembersihan," katanya kepada pemberita.

Khamis lepas, tanjakan konkrit di susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang yang sedang dalam pembinaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini runtuh kira-kira 6.40 petang.

Mayat Tajuddin Zainal Abidin, 45, yang terperangkap di dalam kereta jenis Perodua Kelisa di bawah runtuhan itu berjaya dikeluarkan kira-kira 8.45 malam Jumaat.

Kejadian itu turut mengakibatkan tiga orang mengalami kecederaan, dua daripada mereka adalah pekerja asing iaitu warga Indonesia yang dikenali sebagai Slamat, 36, dan warga Myanmar Tin Maung Iwin, 39.

Seorang lagi yang dilaporkan cedera ialah wanita tempatan, Thilasheni Rajendran, 24, akibat terkena serpihan runtuhan di bahagian tangan. - BERNAMA

Sekurang-Kurangnya Lima Restoran Ditutup Gagal Tepati Tahap Kebersihan

Posted: 08 Jun 2013 12:34 PM PDT


KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya lima restoran di ibu negara diarahkan tutup sejak beberapa minggu lepas kerana gagal menepati tahap kebersihan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

Tengku Adnan berkata sejak mengambil alih kepimpinan kementerian itu, beliau mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Kesihatan meninjau tempat makan awam seperti restoran dan medan selera yang didakwa kotor serta mempunyai tikus menerima maklum balas daripada pengguna.

"Kalau restoran itu terlalu kotor, ia akan ditutup dan setakat ini, lebih daripada lima atau enam restoran telahpun ditutup," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Bersama Pelanggan Kementerian Wilayah Persekutuan bersama agensinya di sini, Sabtu.

Beliau berkata selain tempat makan, pemantauan kebersihan itu membabitkan jalan raya dan taman.

"Ini adalah untuk memastikan persekitaran hidup kita bersih dan tidak lagi dibelenggu isu penyakit dan kotor," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: