Sabtu, 1 Jun 2013

labun KulupSakah...

labun KulupSakah...


Wira wira khayal

Posted: 31 May 2013 08:47 PM PDT

Perjuangan adalah melangkah ke dalamnya. Peperangan berlaku di medan tempur. Yang nyata lagi jelas. Boleh dipegang. Boleh dirasa. Dunia internet memberikan ruang baru atau dalam konteks perang yang disebutkan tadi, internet membuka medan tempur baru. Laman sosial seperti facebook, twitter, blog dan sebagainya hari ini adalah senjata era baru untuk menyerang.

Bayangkan tiba-tiba internet lenyap kembali dan hilang. Sudah tentu hari ini kita kuchalana. Menggagau dan nanar. Tak kita sedar dalam keberkesanan menyebar maklumat, hujah, senjata dalam bentuk teks, foto dan visual rupa-rupanya ia juga adalah dadah yang membuat kita jadi mat gian. Terlalu memerlukan dan membuat kita khayal. Ia memerangkap dan mengurung kita di dalam sel syok sendiri.

Benar keberkesanan internet dalam perang politik sangat berkesan tetapi keberkesanannya hanya untuk menambah info sahaja. Ia belum bergerak lagi. Peperangannya seperti bermain video game, kita puas jika menang tetapi kepuasan itu telah disimpan di situ. Tidak keluar. Ia di situ sahaja. Apabila kita memadamkan suis, tidak ada apa-apa berlaku. Lenyap lagi senyap.
Tidak dapat dinafikan sebaran info di dalam twitter memang menjadi. Tetapi jika 20 ribu pemegang akaun twitter mengulang tweet kita, ada 20 ribu lagi yang tidak langsung pernah merasakan kewujudan tweet kita. Di antara 20 ribu itu dipecahkan 20 ribu lagi setiap satu.
Ia masih tak nyata.

Kesimpulannya kita boleh menggunakan internet sebagai senjata berperang tetapi medan tempurnya adalah di luar. Terbentang di dunia nyata. Di tempat yang nampak. Bukan juga di pentas teater untuk kita laungkan di sinilah erti perjuangan yang sebenar tetapi ia di dunia realiti lagi hakiki.

Bersungut di laman sosial tentang itu ini, mengkritik ini itu, mencadangkan teori gini gitu hanya menambah gundah gulana atau inca binca di dalam jiwa sendiri. Diri sendiri akhirnya berkecamuk dan orang banyak akan melihat bahawa kita ini dalam nampak macam pandai rupanya gelojoh lagi bodoh.

Kitakah itu?

Tiada ulasan: