Rabu, 5 Jun 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[VIDEO] Chegu Bard Mengaku Tidak Bersalah, Dakwa Berkait Dgn Politik Dalaman Umno-BN

Posted: 05 Jun 2013 01:03 AM PDT


Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari berkenaan penganjuran Himpunan Suara Rakyat 505 di Padang Timur MBPJ pada 25 Mei lalu.

Badrul Hisham atau dikenali CheguBard didakwa di bawah Akta Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana gagal memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dalam tempoh 10 hari sebelum program tersebut berlangsung.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan jika didapati bersalah, boleh didenda tidak lebih RM10,000.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Badrul Hisham tidak diwakili peguambela.

Hakim, Yasmin Abdul Razak menetapkan 9 Julai depan untuk Timbalan Pendakwaraya menyerahkan dokumen kes dan pelantikan peguambela Badrul Hisham.

Badrul Hisham dibebaskan tanpa ikat jamin selepas Yasmin berpuashati bahawa beliau hadir ke mahkamah dengan rela. Beliau juga menghubungi pihak polis selepas pihak berkuasa itu gagal menyerahkan saman kepadanya.

Ketika di luar mahkamah, Badrul Hisham menyatakan kes pendakwaan ke atasnya ada kaitan dengan permainan politik dalaman Umno-BN melibatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Pemilihan Umno akan berlaku tidak lama lagi. Zahid tidak sedar bahawa kamu masuk dalam perangkap (Datuk Seri) Najib Razak dan (Tun Dr) Mahathir Mohamad. Kamu diberi jawatan Menteri Dalam Negeri untuk dirosakkan imej kamu.

"Hari ini setiap hari usaha merosakkan imej Menteri Dalam Negeri itu berlaku. Jauh daripada itu rakyat menjadi mangsa permainan politik dalam Umno-BN," katanya.

Menurutnya, Dr Mahathir ingin mempersiapkan keluarga dan saudara maranya selesa di dalam Umno-BN manakala Najib menyusun strategi untuk kebaikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.


Isu IPCMC: Selepas Kena Belasah Menteri BN Buat U-Turn

Posted: 05 Jun 2013 12:15 AM PDT


Paul Low kata akan cadangkan penubuhan IPCMC dalam mesyuarat Kabinet esok

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low berjanji hari ini akan mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dalam mesyuarat Kabinet esok dikala peningkatan kematian dalam tahanan.

Akan tetapi Low, menteri yang menguruskan permasalahan integriti dan rasuah enggan memberitahu sama ada beliau menyokong penubuhan IPCMC selepas mesyuarat dengan Pengarah Strategi MIC S. Vell Paari dan NGO India hari ini.

"Itu saya tidak boleh cakap; Saya berjanji akan kemukakan permintaan mereka," kata Low kepada The Malaysian Insider hari ini.

Vell Paari memberitahu The Malaysian Insider hari ini kedua-dua menteri MIC - presiden parti Datuk Seri G. Palanivel yang mengetuai Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Timbalan Presiden Datuk Seri Dr S. Subramaniam - dilantik sebagai Menteri Kesihatan - akan menyokong penubuhan IPCMC.

"Rakyat secara umumnya tidak gembira dan marah dengan isu ini dan mahu melihat tindakan diambil serta merta," kata Vell Paari, merujuk kepada kematian dalam tahanan.

Low mengakui awal hari ini "sesuatu perlu dilakukan" sebelum lebih ramai mati ditangan polis.

Kumpulan hak asasi manusia Suaram mengatakan baru-baru ini lapan orang telah mati dalam tahanan polis dalam lima bulan tahun ini. Salah seorang daripada mereka N. Dharmendran, mati kerana dipukul berkali-kali, menurut laporan bedah siasat semasa berada dalam reman polis di ibu pejabat kontigen polis Kuala Lumpur, di sini pada 21 Mei.

Suaram juga mengatakan terdapat 218 kes kematian dalam tahanan yang didakwa berlaku di Malaysia dari tahun 2000 hingga bulan ini, dengan rekod menunjukkan sembilan daripada kes tersebut berlaku pada tahun 2012.

Kes terbaru kematian dalam tahanan adalah P. Karuna Nithi, 42 yang ditemui mati di lokap balai polis Tampin, Negeri Sembilan Sabtu lepas.

Majlis Peguam, kumpulan masyarakat sivil dan beberapa ahli politik dari kerajaan dan pembangkang telah mendesak IPCMC ditubuhkan untuk melaksanakan reformasi terhadap pasukan polis semenjak 2006.

IPCMC dicadangkan pada 2005 oleh suruhanjaya diraja yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah tetapi ditentang oleh polis, seharusnya berdasarkan kepada model Suruhanjaya Bebas Aduan Polis United Kingdom (IPCC), termasuk badan pemantau polis lain di New South Wales dan Queensland di Australia dan Hong Kong.

Presiden Persatuan Kesejahteraan Rakyat dan Hak Asasi (POWER) S. Gobi Krishnan berkata semasa menyuarat hari ini dengan Low IPCMC adalah "suruhanjaya sempurna" untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh polis, menurut Vell Paari.

"EAIC tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan disiplin terhadap anggota polis yang melanggar undang-undang, manakala IPCMC mempunyai kuasa penuh," kata Vell Paari memetik Gobi Krishnan merujuk kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Badan pengawasan penguatkuasaan EAIC mempunyai satu penyiasat untuk 19 agensi dan bajet tahunan RM7 juta, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nor Afizah Hanum Mokhtar.

Beliau memberitahu The Malaysian Insider semalam EAIC telah menerima 469 aduan sehingga 31 Mei tahun ini sejak ia ditubuhkan pada tahun 2011, dengan 353 aduan terhadap polis. Dua puluh satu aduan telah dibuat terhadap Jabatan Imigresen, 15 terhadap JPJ, 10 terhadap Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan sembilan terhadap Jabatan Kastam.

Nur Afizah Hanum mengatakan, bagaimanapun, masih belum menerima aduan kematian dalam tahanan, tembakan polis, atau serangan oleh pegawai-pegawai penguatkuasa.

Apa Binatangnya "Red Bean Army" Itu?

Posted: 04 Jun 2013 08:20 PM PDT


Tuduhan "Red Beans Army' dibiayai DAP terbukti bohong

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian dan Star didakwa menyiarkan berita yang tidak berasas mengenai 3,000 tentera siber "Red Beans Army" kononnya dibiayai DAP, bukannya berdasarkan fakta dan kebenaran yang sepatutnya menjadi pegangan wartawan akhbar berkenaan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, bagaimana mereka yang kononnya bergelar wartawan boleh bersekongkol mencipta penipuan mengenai 3,000 tentera siber "Red Beans Army" dibiayai DAP yang hanya wujud dalam imaginasi liar mereka.

Katanya, pembohongan mengenai Red Beans Army yang kononnya dibiayai DAP hanya sebahagian daripada jalan cerita yang lebih besar sejak Januari lalu untuk memburuk-burukkan DAP dengan pembohongan dan penipuan serta paling menyedihkan apabila terdapat bekas ahli dan pemimpin DAP yang bersedia untuk bertindak begitu hina dengan berbohong dan menipu untuk meneruskan agenda UMNO/BN.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, siasatan awal mendapati satu konspirasi yang dibiayai UMNO telah dilancarkan tiga bulan sebelum pembubaran Parlimen, 3 April lalu untuk memburuk-burukkan DAP, termasuk dongeng 3,000 tentera siber "Red Bean Army".

"Mereka mendakwa DAP kononnya dengan bajet setinggi RM100 juta sehingga RM1 bilion sepanjang enam tahun lalu membiayai tentera siber "Red Beans Army" bertujuan membunuh karakter pemimpin UMNO/BN di ruang siber.

"Penyebar utama pembohongan "Red Bean Army" adalah media cetak milik UMNO/BN, termasuk Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian dan The Star, baik sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum ke-13, pada 5 Mei lalu.

"Pembohongan dan penipuan mereka tidak menjejaskan DAP kerana tiada siapa yang mempercayai mereka – jika tidak sudah tentu DAP gagal memenangi 38 kerusi Parlimen dan 95 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRU ke-13 lalu," katanya.

Menurut Kit Siang bagi menjustifikasikan pelaburan UMNO/BN ke atas mereka, mereka yang ingkar terhadap DAP itu meneruskan kempen penipuan mereka terhadap pemimpin DAP.

Katanya, sehingga kini, kepimpinan DAP mengabaikan mereka kerana tidak releven dan sekiranya mereka terus dengan pembohongan dan penipuan terhadap pemimpin DAP, maka mereka hendaklah bersedia untuk didedahkan kedurjanaan mereka. -Roketkini

Ulasan GB

Memetik tulis Ahmad Lutfi Othman di dalam FBnya:

Tuduhan 3,000 tentera siber Red Bean Army yang dikatakan didanai oleh DAP, apatah lagi dengan bajet sehingga RM1 bilion memang melucukan, anehnya Timbalan Ketua Polis Negara pun boleh memberi komentar dengan nada serius. Saya sendiri tak faham bagaimana rakan-rakan media bekerja di Utusan dll, yang memanipulasi isu ini semahunya.

Sebenarnya, Umno ini sering buat tuduhan kepada lawan politiknya berdasarkan apa yang sebenarnya dia lakukan ... Semuanya hanya ada pada imiginasi dia sahaja. Sampai bila dia nak dapat sokongan dan simpati berdasarkan siri pembohongan dan pendustaan?

MCA Kata Tarian Gelek Itu Aktiviti Sihat, Apa Kata Ulamak UMNO?

Posted: 04 Jun 2013 05:10 PM PDT


MCA: PAS 'ultra konservatif' bantah tarian gelek

Bantahan PAS Segamat terhadap acara tarian gelek yang disifatkan lucah di sebuah pasar raya menggambarkan parti itu akan melaksanakan dasar "ultra konservatif" dan "mundur" di Johor jika menang dalam pilihan raya umum yang lalu di Johor.

Ketua MCA Segamat Dr Lee Hong Tee berkata, selaran oleh Yang Dipertua PAS Segamat Firdaus Masod juga membuktikan parti itu bersifat "autoritarian" terhadap nilai-nilai lain.

"Tarian gelek merupakan aktiviti yang sihat dan persembahan yang teaterikal," kata Dr Lee.

"Oleh kerana PAS menganggap tarian gelek bertentangan terhadap apa yang dianggap mereka norma Malaysia, ini menunjukkan PAS tidak boleh bertolak ansur terhadap sebarang persembahan seni yang sihat."

Harakahdaily semalam melaporkan, PAS Segamat membantah keras penganjuran tarian yang disifatkan separuh bogel oleh wanita yang dipercayai dibawa dari luar negara di sebuah pasar raya pada 1 Jun lalu.

Akhbar web PAS itu melaporkan, tarian itu disaksikan hampir 500 pengunjung yang membawa bersama mereka anak-anak kecil dan diadakan pula pada waktu puncak dan malam minggu.

"Kami amat menyesali penganjuran tersebut diadakan secara terbuka yang ternyata menyalahi tatasusila adat dan budaya masyarakat Malaysia," Firdaus dipetik sebagai berkata dalam kenyataannya.

Harakahdaily juga melaporkan ramai pihak terkejut dan peniaga juga agak terkejut dengan hidangan yang dipersembahkan pada malam tersebut.

Isu yang sama turut dilaporkan sebuah harian berbahasa Melayu hari ini.

Ulasan GB
,br>MCA dah kalah besar dalam PRU lagi mahu bising?

Tak mengapa. Dia keluarkan hujjah maka kita berhujjah.

Pertama, ternyata MCA walaupun sudah berkawan dengan UMNO sekian lama, tetap jahil mengenai Islam. Sama macam Presidennya Chua Soi Lek di dalam isu berjabat tangan dengan perempuan Islam.

Menurut Ketua Pemuda MCA Segamat, tarian gelek dan lucah itu satu aktiviti yang sihat. Hahaha. GB tak tahu apa yang sihat. "Angry bird" mungkin sihat tetapi tarian sedemikian adalah faktor kepada punca keruntuhan moral masyarakat.

Dan seandainya Ketua Pemuda MCA itu ingin menyatakan bahawa di dalam agamanya tidak ada halangan dan sekatan terhadap tarian sedemikian, maka sepatutnya tarian tersebut tidak dilakukan di tempat terbuka yang dikunjungi pelbagai bangsa dan agama.

Anda perlu menghormati norma-norma dan nilai-nilai ugama dan bangsa orang lain. Kamu boleh melakukan di premis tertutup, Islam tidak menghalangnya untuk kamu seperti aman Islam tidak menghalang kamu untuk melantak arak sebanyak-banyaknya... tetapi ia perlu dilakukan di tempat kamu bukan di tempat awam.

Islam sebagai ugama rasmi negara perlu dihormati. Rupa-rupanya parti komponen BN sendiri yang tak menghormayti Perlembagaan negara.

GB hairan, bagaimana pula sikap UMNO terutama para mufti dan ulamaknya yang membisu seolah-olah bersekutu dengan pendirian MCA itu?

Ahmad Sabbery Chik Diselar Kerana Mahu Sekat Portal Internet

Posted: 04 Jun 2013 08:02 AM PDT


Laporan portal berita adil, kata CIJ pada menteri

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) berpandangan, pertimbangan untuk mengawal media atas talian lebih kepada usaha untuk "menyekat perbezaan pendapat" daripada mengawal kualiti laporan.

Memetik kajian pemantauan media oleh Universiti Nottingham, badan itu berkata, media atas talian "menunjukkan prestasi terbaik" berbanding media cetak dan penyiaran yang dikawal.

Malah, menurut CIJ lagi dalam kenyataannya hari ini, sifat media atas talian yang tidak dikawal itu memberikan liputan dengan jumlah dan kualiti yang lebih kurang sama untuk BN dan Pakatan Rakyat.

Ini berdasarkan pemantauan yang dibuat semasa masa berkempen dalam pilihan raya umum ke-13 yang lalu, kata NGO itu.

"CIJ percaya, faktor penyumbang utama bahawa media atas talian - tidak seperti media lain - tidak dikawal oleh kerajaan dan mempunyai lebih ruang untuk mengamalkan laporan bebas dan adil," kata CIJ.

Menteri komunikasi dan multimedia yang baru Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam berkata, kerajaan sedang menimbang untuk mengawal portal berita seperti yang dilaksanakan Singapura.

Ahmad Shabery berkata kerajaan sedang menjalankan kajian untuk membolehkan pelaksanaannya tidak bertentangan dengan prinsip sedia ada. -mk


K'jaan timbang kawalan untuk portal berita


Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kerajaan kini sedang menimbang untuk mengawal portal berita seperti yang dilaksanakan negara Singapura pada minggu lalu.

Ahmad Shabery berkata kerajaan sedang menjalankan kajian untuk membolehkan pelaksanaannya tidak bertentangan dengan prinsip sedia ada.

"Kini media sosial telah menjadi media aliran perdana," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Katana, kerajaan menjalankan kajian tersebut memandangkan negara Singapura yang dilihat sebagai negara yang lebih canggih melaksanakannya.

Tambahnya, peraturan yang dikuatkuasa di negara berkenaan akan meliputi portal berita untuk laman seperti The Straits Times dan Berita Harian di negara itu.

"Ia tidak akan menyentuh blog dan sebagainya," katanya lagi.
-mk

APA KOMEN PEMBACA?




Debaran Sidang Parlimen Ke 13

Posted: 04 Jun 2013 05:35 AM PDT


Melihat pada senarai anggota Parlimen yang bakal bersidang 24 Jun ini, perdebatan di Dewan Rakyat pasti hangat dengan pihak kerajaan dan pembangkang dijangka menyambung semula "pertarungan belum tamat" semasa pilihan raya umum yang sudah berlalu.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 133 kerusi berbanding 89 kerusi oleh pakatan pembangkang, perbezaan 44 kerusi.

Jika ditolak 55 wakil BN yang dilantik dalam Kabinet dan mengisi jawatan timbalan menteri, barisan penyokong kerajaan hanya tinggal 78 orang.

Antara muka baru yang dijangka menjadi 'ayam sabung' pembangkang ialah Mohd Rafizi Ramli (PKR-Pandan), Mohamed Hanifa Maidin (Pas-Sepang), Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu), Mohamad Idris Jusi (PKR-Batu Pahat), Idris Ahmad (Pas-Bukit Gantang) dan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil).

Bagi pihak BN pula, tiada lagi suara lantang Datuk Mohamad Aziz, bekas anggota Parlimen Seri Gading (tidak bertanding) atau Datuk Abdul Rahman Dahalan yang sebelum ini lantang menyerang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, setelah dinaikkan pangkat sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Begitu juga Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang dilantik Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Khairy Jamaluddin yang kini Menteri Belia dan Sukan, dan penyelaras sayap Putera MIC, P. Kamalanathan yang dilantik Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi Kedua.

Bagaimanapun beberapa nama seperti Datuk Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan), Datuk Seri Jamaluddin Jarjis (Rompin), Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas), Datuk Noh Omar (Tanjong Karang), Chua Tee Yong (Labis), Datuk Ir Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dijangka memainkan peranan sebagai pertahanan BN di Dewan Rakyat.

Berbeza sebelumnya, tidak ada anggota Parlimen 'tidak berparti' (Bebas) dipilih sebagai wakil rakyat dalam Parlimen ke-13. Pertama kali dalam sejarah

Selain itu buat pertama kali dalam sejarah, barisan kabinet tidak mempunyai penyertaan daripada MCA dan Gerakan, selepas kedua-dua parti itu menolak jawatan dalam kerajaan setelah dibadai kekalahan teruk pada PRU13.

Manakala MIC mengisi empat portfolio kementerian dengan dua menteri penuh iaitu Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, timbalannya Dr S. Subramaniam (Menteri Kesihatan), naib presiden Datuk M. Saravanan (Timbalan Menteri Belia dan Sukan) dan P. Kamalanathan (Timbalan Menteri).

Dengan ketiadaan wakil MCA, G.Palanivel dijangka akan mengisi kerusi bersebelahan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun menurut sumber Parlimen, susunan kerusi di Dewan Rakyat belum muktamad.

Tumpuan juga diberi kepada beberapa muka baru dalam kabinet transformasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, antaranya tokoh berpengalaman seperti Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Halimah Mohd Saddique manakala muka baharu ialah Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Datuk Paul LowSeng Kuan, P. Kamalanathan, Datuk Mary Yap Kain Cheng dan P. Waythamoorthy serta yang muda seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Abdul Wahid, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Bhd dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi (UPE); dan Low, presiden Transparency International Malaysia, juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan mengetuai Biro Pengaduan Awam, selain menguruskan hal-hal berhubung rasuah dan integriti.

Sabah dan Sarawak

Selain itu seramai 17 wakil Sabah dan Sarawak turut dipilih menganggotai kerajaan pusat dengan jawatan menteri dan timbalan menteri, mengambil kira sumbangan mereka dalam PRU13.

Sebelum Parlimen dibubarkan untuk PRU13, barisan kabinet dianggotai 11 wakil Sarawak dan Sabah.

Selain itu, tujuh anggota Parlimen wanita turut diiktiraf apabila dua orang dinamakan sebagai menteri iaitu Datuk Rohani Abdul Karim dan muka baru Nancy Shukri, dan lima sebagai timbalan menteri iaitu Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Datuk Noriah Kasnon, Datuk Halimah Mohamad Sadique, Datuk Azizah Mohamad Dun dan pendatang baru dalam arena politik iaitu Datuk Mary Yap Kain Ching.

Senator Low dan Mary Yap merupakan wakil masyarakat Cina dalam kabinet setelah MCA dan Gerakan memutuskan untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan.

Berdasarkan Peraturan 1 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Majlis Mesyuarat selepas pilihan raya akan melaksanakan urusan-urusan utama pada hari pertama.

Urusan utama itu termasuk memilih Yang di-Pertua Dewan Rakyat; Yang di-Pertua mengangkat sumpah; anggota mesyuarat mengangkat sumpah dan memilih timbalan-timbalan Yang di-Pertua.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat boleh dipilih di kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat ataupun bukan di kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat yang mempunyai kelayakan.

Pada penggal lepas jawatan Yang di-Pertua Dewan Rakyat disandang Tan Sri Pandikar Amin Mulia, dibantu dua timbalan Yang di-Pertua iaitu Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Ronald Kiandee.

Wan Junaidi, 66, bagaimanapun telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 16 hari bermula 24 Jun depan. -inikalilah

Tiada ulasan: