kalam Perantau |
Mengintai kabinet Najib: ‘rumah siap, pahat masih berbunyi’ Posted: 06 Jun 2013 07:43 AM PDT Oleh : Shuhaimi Al Maniri Pasca Pilihanraya Umum ke-13, berbagai pihak cuba meramalkan rupabentuk kabinet baru 2013 Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Tempoh empat tahun sebelum itu, beliau dilihat hanya menyambung legasi kabinet mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi walaupun menyebutnya sebagai kabinet transformasi dengan membawa masuk Idris Jala, seorang tokoh korporat. Semua pihak perlu tahu, hak melantik anggota Kabinet adalah hak dan budi bicara Perdana Menteri. Jadi sama ada, kita bersetuju dan tidak bersetuju, ianya tidak memberikan apa-apa kesan kepada pilihan Perdana Menteri yang telah dibuat, melainkan ianya akan menjadi sebagaimana pepatah melayu, “rumah siap pahat masih berbunyi”. Barisan kabinet baru Perdana Menteri Najib Razak telah pun diketahui umum melalui pengumuman secara langsung pada jam 5 petang Rabu, 15hb mei dan mengangkat sumpah keesokan harinya. Kabinet Najib mempunyai keseluruhannya 32 menteri, berbanding kabinet terdahulu dianggotai 30 orang menteri dengan 2 orang Menteri dari UMNO yang digugurkan, Shaziman Abu Mansor (Menteri Kerjaraya) dan Noh Omar (Pertanian dan Industri Asas Tani) . Selain Dato Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin serta Dato’ Jamil Khir Baharom dan Idris Jala di JPM, 4 orang lagi Menteri yang kekal kekal di kementerian masing-masing, Mohd Shafie Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Ahmad Husni Hanadzlah Menteri Kewangan Kedua; Mustapa Mohamed; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan; Anifah Aman sebagai Menteri Luar. Manakala 4 orang lagi Menteri yang dilantik semula tetapi bertukar potfolio adalah, nekas Menteri Belia dan Sukan Ahmad Shabery Cheek yang kini memegang portfolio Komunikasi dan Multimedia; bekas Menteri Sumber Manusia Dr S.Subramaniam kini Menteri Kesihatan; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Abdul Aziz kini Menteri Pelancongan dan Kebudayaan; dan bekas Menteri di JPM G.Palanivel Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Lim Kit Siang mendakwa 2 Menteri (Paul Low dan Abdul Wahid Omar) dan 3 Timbalan Menteri (P Waythamoorty, Loga Bala Mohan dan Ahmad Basha Md Hanipah) yang bukan Ahli Parlimen dilantik ke kabinet secara illegal dan tidak berpelembagaan menjalankan tugas mereka bila tidak dilantik sebagai dan mengangkat sumpah senator terlebih dahulu. Perubahan kabinet Satu pengharapan banyak pihak terutama peniaga bumiputera yang tidak ditunaikan oleh Najib kali iniadalah mewujudkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan yang ditamatkan oleh Mohd Najib semasa mengambil alih dari jawatan dari Tun Abdullah sangat berguna kepada usahawan kecil dan sederhana, khasnya Bumiputera yang kurang modal, kepakaran dan pasaran. Sebuah kementerian yang baru dijenamakan semula menjadikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia selepas kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang ditinggalkan oleh Dato' Rais Yatim, telah dipecahkan. Portfolio Kebudayaan telah digabung dengan Pelancongan dan kementerian ini. Apa yang lebih menarik adalah kedua-dua Menteri dan Timbalan Menteri adalah Ahli parlimen dari Terengganu, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek dan Dato' Jailani Johari. Satu perubahan yang mendapat perhatian adalah peggabungan semula kementerian pelajaran dan kementerian pengajian tinggi menjadi sebuah kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi dengan dua orang Menteri, iaitu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin sebagai Menteri 1 dan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh (Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi 2). Sebelum dipecahkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2004, kementerian ini dikenali sebagai Kementerian Pendidikan. Satu lagi perubahan yang agak mendadak adalah kali ini Jabatan Perdana Menteri (JPM) sahaja mempunyai lapan orang menteri. Empat daripada Menteri JPM adalah muka baru, Abdul Wahid Omar (seorang tokoh korporat daripada Maybank); Paul Low Seng Kuan (seorang tokoh integriti dari Transperency International) selain dua orang ahli politik Shahidan Kassim (Perlis) dan Nancy Shukri (Sarawak). Selain itu adalah kemasukkan semula Dato’ Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan. Portfolio Kesejahteraan Bandar daripada kementerian ini kepada Kemneterian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjadi sebauh kementerian baru, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan kerajaan Tempatan dengan Dato’ Abd Rahman Dahlan, seorang lagi muka baru sebagai Menteri dari Sabah. Sebagaimana yang dijangkakan oleh banyak pihak, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin akan dibawa masuk ke dalam kabinet sebagai Menteri (Belia dan Sukan). Turut mendapat perhatian kali ini adalah tiadanya seorang pun Menteri dari kalangan pergerakan Wanita UMNO setelah ketuanya, Dato’ Shahrizat Abdul Jalil terpaksa melepaskan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum PRU ke-13 untuk dipangku sendiri oleh Perdana Menteri. Kali ini kementerian tersebut (Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat) diberikan kepada Datuk Rohani Abdul Karim, Ketua Wanita parti PBB, seorang lagi muka baru dari Sarawak yang dinaikkan pangkat dari bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Selain Rohani, 5 orang lagi Timbalan Menteri yang dinaikkan pangkat adalah Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya) bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; Richard Riot (Menteri Sumber Manusia) bekas Timbalan Menteri Luar; Hasan Malek (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Tan Sri Joseph Kurup (Jabatan Perdana Menteri) bekas Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan; Joseph Entulu Belaun (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Manakala Datuk Joseph Salang Gandum, Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) pula mengambil keputusan menolak pelantikan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan dalam barisan Jemaah Menteri yang diumumkan oleh Najib. Sementara itu, PRS juga dilaporkan tidak berpuas hati dan beranggapan parti tersebut disisihkan dengan Joseph Entulu Belaun wakil parti tersebut yang hanya dilantik sebagai Menteri di JPM juga tidak berpuashati dan kemungkinan menolak jawatan tersebut kerana mereka mengharapkan satu portfolio yang berkaitan dengan luar bandar. Begitu juga SPDP walaupun menang 4 kerusi parlimen di Sarawak kesal tidak diberikan apa-apa kerusi dalam kabinet kali ini. Mereka berharap setidak-tidaknya diberikan satu Menteri dan Timbalan Menteri. Tiong King Sing telah dicadangkan untuk dilantik sebagai Menteri persekutuan jika menang Ahli Parlimen Bintulu. Dalam kabinet sebelum ini, SPDP diberikan 2 Timbalan Menteri bila berjaya menang 6 kerusi parlimen. SPDP menjadi lebih kecewa bila parti SUPP dan PBRS yang hanya menang satu kerusi parlimen sahaja, Richard Riot dan Joseph Kurup pula diberikan pula jawatan Menteri penuh. Perwakilan Cina dan India Dalam Kabinet sebelum ini, terdapat enam (6) Menteri dan sepuloh (10) Timbalan Menteri Cina, keduadua dari parti semenanjung dan Malaysia Timur. Dalam situasi yang belum pernah berlaku sebelum ini, satu jawatan Menteri yang dikosongkan, Menteri Pengangkutan, difahamkan disimpan untuk MCA. Kabinet Najib kali menamakan 31 menteri dalam Kabinet semalam dengan satu-satunya menteri Cina adalah Presiden Transparency International Datuk Paul Low. Perdana Menteri juga menamakan Datuk Seri Hishamuddin Hussein untuk memangku jawatan Menteri Pengangkutan. Ini bermakna, MCA yang sebelum ini diwakili oleh empat orang wakil dalam kabinet telah dikurangkan kepada hanya satu kerusi sahaja dan hanya menamakan satu timbalan menteri di Kementerian Kewangan dimana sumber mengatakan ianya disimpan untuk MCA. Sementara Datuk Mary Yap Kain Ching dari PBS dijadikan timbalan menteri di Kementerian Pelajaran dan Pendidikan Tinggi. Ada pihak-pihak yang melobi Perdana Menteri supaya melantik semula Ong Tee Keat, bekas Presiden MCA dan Menteri Pengangkutan kembali semula ke kabinet bagi menerajui semula Kementerian Pengangkutan mewakili masyarakat Cina yang telah menjadin tradisi wakil-wakil MCA selama ini kerana MCA telah menolak untuk menyertai kabinet selepas PRU ke-13 untuk tidak bersama kerajaan disebabkan kerana kalah dalam pilihan raya. MIC bukan sahaja berjaya mengekalkan status quo, tetapi 4 orang Ahli Parlimen mereka telah dilantik ke kabinet dengan dua Menteri (G Palanivel dan Dr S Subramanian) dan 2 Timbalan Menteri (M. Saravanan dan P Kalamanathan). Sungguhpun MIC dapat mengekalkan status quo tetapi Najib juga membuat satu kejutan lain dengan melantik P Waythamoothy, pemimpin HINDRAF sebagai Timbalan Menteri. Malah HINDRAF (P. Uthayakumar, pemimpin de facto) adalah antara mereka yang mengecam pelantikan mengejut Waythamoorthy dalam pentadbiran Najib. Mengikut satu sumber Umno itu, beliau menjangkakan pelantikan P Waythamoothy, pemimpin Hindraf bakal mengundang bala kepada Najib. Selain itu, Pemuda MIC dan Kongres India Muslim (Kimma) yang mesra BN turut menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap keputusan Najib memilih Hindraf, berbanding dengan mereka telah lama setia kepada parti pemerintah. Secara kesimpulannya, Sabah dan Sarawak yang memberikan kemenangan besar kepada Barisan Nasional pada pilihan raya yang lalu menerima habuan terbesar apabila mereka diwakili oleh dua belas (12) menteri penuh dan lapan (8) timbalan menteri dengan tidak ada calon yang kalah pilihanraya masuk menganggotai semula kabinet melalui “pintu belakang” dengan jawatan senator walaupun terdapat seorang Menteri Besar dan seorang Ketua Menteri yang disebut-sebut di bawa kembali ke kabinet kalah bila bertanding kerusi parlimen, iaitu Dato’ Abdul Ghani Othman (Johor) dan Dato’ Ali Rustam (Melaka). Sungguhpun begitu, UMNO masih mendominasi kabinet dengan 16 daripada mereka adalah menteri penuh dengan kementerian-kementerian yang penting. Selain MCA, Gerakan sebuah lagi parti didominasi Cina juga mengambil tindakan yang sama menolak jawatan kabinet bila mana Presidennya Tan Sri Koh Tsu Koon turut berhenti dengan serta merta mulai 16hb Mei. |
You are subscribed to email updates from kalam Perantau To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan