DIALOG RAKYAT |
- Jangan tutup muka pembunuh N Dhamendran
- Khairy diminta fokus bukan kacau persatuan sukan
- Bukan air percuma tetapi tambahan caj untuk rakyat Terengganu
- Kes Nik Aziz saman bekas KPN, NSTP RM10 juta selesai di luar mahkamah
- 'Utusan Malaysia berbohong untuk jatuhkan DAP'
- PM digesa henti tindakan pada penganjur 'Black 505'
- 'Sekarang Interlok versi drama pula?'
- Uthaya dipenjara 30 bulan
- Tiga anggota polis dituduh bunuh Dhamendran
- SPR harap ketelusan tidak dipersoal lagi
- Boikot barang mahal
- Senioriti kriteria utama ketua pembangkang Selangor
- PKR hantar petisyen 10 Jun
- Lantik Saifuddin hak negeri, tak perlu penjelasan
- 'Kawal portal atas talian langgar jaminan MSC'
- Anwar beri keterangan saman ‘Papa Gomo’ 27 Jan
- `Untuk apa bertanding lawan Najib?’
- Petani Sekinchan Tidak Puas Hati BERNAS Turunkan Harga Padi
- #Black 505 Diadakan Di Padang Merbok, Kuala Lumpur
- Inspektor cuba halang rompakan cedera ditembak
- Demo PJ: Chegubard mengaku tidak bersalah
- Cabar Atau Tidak Biar Ahli Umno Tentukan
- “MCA tutup kedai”, permulaan era politik baru Malaysia
- Uthaya enggan kemuka pembelaan kes hasutan
- Pemuda PAS: Portal berita berdepan pilih kasih
Jangan tutup muka pembunuh N Dhamendran Posted: 05 Jun 2013 05:12 AM PDT
KUALA LUMPUR: Orang ramai meminta polis yang akan didakwa kerana membunuh tahanannya petang ini dibiarkan mukanya terbuka untuk mempastikan ketelusan. (Surendran dan keluarga N Dhamendran menunjukkan gambar kecederaan kepadanya dalam sidang medianya sebelum ini) Ini adalah pengajaran dari kes pembunuhan Altantuya Shariibuu yang sehingga hari ini masih kontroversi kerana kedua-dua polis yang didakwa tidak dikenali umum sehingga kini. Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengumumkan, anggota polis yang terlibat dalam kes pembunuhan seorang tahanan N Dhamendran akan didakwa di mahkamah petang ini atas tuduhan membunuh. "Pasukan petugas yang ditubuhkan oleh Ketua Polis Negara untuk menyiasat perkara ini telah menyelesaikan siasatannya dan telah mengemukakan kertas siasatan yang berkaitan kepada Jabatan Peguam Negara pada 4 Jun 2013. "Berdasarkan keterangan yang diperoleh menerusi siasatan itu, saya telah memutuskan untuk menuduh anggota polis yang terlibat atas tuduhan membunuh di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan. "Anggota polis yang berkenaan akan dituduh di mahkamah petang hari ini, 5 Jun 2013," katanya dalam satu kenyataan. Ekoran itu, orang ramai mula tertanya-tanya, "Jangan2, tutup muka nanti," tulis seorang pembaca kepada berita tersebut selepas disiarkan laman Malaysiakini. Pakar forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan terdapat 52 kesan kecederaan di hampir seluruh tubuh badan mendiang N.Dhamendran. Mendiang berusia 31 tahun didakwa dipukul dan didera dengan teruk sehingga meninggal dunia ketika dalam tahanan polis bulan lalu. Dr Siew Sheue Feng dalam laporan bedah siasatnya mempercayai kematian Dhamendran adalah berpunca daripada kesan pukulan ke atas badan dan kepalanya menggunakan objek tumpul dan keras seperti rotan atau kayu serta mendiang berkemungkinan digari ketika dicederakan. Laporan itu turut mengesahkan mendiang tidak mengalami sebarang penyakit yang boleh membawa kepada kematiannya semasa berada dalam tahanan. "Jelas bahawa mendiang dipukul menggunakan objek tumpul dalam keadaan tangannya digari kerana terdapat kesan kecederaan serius pada pergelangan tangan semasa bedah siasat dilakukan. "Mendiang juga didapati tidak mampu mempertahankan diri dan dipercayai dipukul secara bertalu-talu dari atas (bahagian kepala) selain forensik turut menemui kecederaan akibat dawai kokot di kedua-dua belah telinganya," kata Naib Presiden PKR, N Surendran ketika membaca laporan bedah siasat itu di ibu pejabat PKR baru-baru ini. | ||||
Khairy diminta fokus bukan kacau persatuan sukan Posted: 05 Jun 2013 05:09 AM PDT
"Kami berharap Khairy (gambar) dan pasukannya di dalam Kementerian agar memberikan fokus pembangunan sukan dan mencari fomula bagaimana Kementerian mampu mencorakkan sukan dan memertabatkan pembangunan sukan lebih tinggi lagi. "Khairy harus mengenepikan 'politik' FAM yang pernah diterajuinya dahulu kerana peranan dan tanggungjawab beliau lebih besar daripada itu dan amat penting sekali. "Kami berharap Khairy tidak sia-siakan kepercayaan yang telah diberikan kepada beliau dan besarlah harapan kami agar pembangunan sukan seiring dengan pasarana sukan yang telah dimilik oleh Negara kita!" kata naib ketua Pemuda PAS, Raja Iskandar Al Hiss dalam kenyataannya. Bagi beliau, isu berkaitan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang ditegur oleh Khairy adalah tidak wajar kerana teguran tersebut hanya berkisar masalah teknikal dan bukanya berkaitan dasar sukan atau berkaitan FAM itu sendiri. "Kami bersetuju jika Khairy memberikan teguran dan pandangannya berkaitan tindakan FAM melangggari perkara dasar berkaitan sukan bolasepak dan bukannya seolah-oleh teguran dan pandangan yang mempunyai sentimen peribadi semata-mata," katanya. Ramai sedari bahawa Khairy pernah menjadi Timbalan Presiden FAM dahulu dan memungkinkan teguran dan pandangan beliau mempunyai sentimen peribadi dahulu di FAM. | ||||
Bukan air percuma tetapi tambahan caj untuk rakyat Terengganu Posted: 05 Jun 2013 05:06 AM PDT
Notis yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia tentang caj yang dikenakan Kali ini, semua pengguna air di Terengganu dikenakan caj 70 sen untuk setiap kali pengguna air di negeri itu membayar bil mereka di Pejabat Pos atau Pejabat Posmini. Caj baru ini mula diperkenalkan mulai 1 Jun 2013, 25 hari selepas rakyat Terengganu khasnya penduduk luar bandar memilih Umno semula sebagai pemerintah negeri. Maklumat caj baru ini dimaklumkan oleh Pos Malaysia melalui notis yang mereka berikan kepada pelanggan mereka. "Pos Malaysia telah menerima notis pemberitahuan dari Syarikat Air Terengganu (Satu) bahawa mulai 01.06.2013 semua pelanggan Satu yang membuat bayaran di Pejabat Pos dan pejabat Posmini akan dikenakan caj komisen. "Sehubungan dengan itu, caj komisen yang akan dikenakan adalah sebanyak RM0.70. Sebarang pertanyaan berikutan dengan perkara ini boleh dirujuk kepada Syarikat Air Terengganu (Careline Satu 1-300-88-2111)," kata notis Pos Malaysia itu. Dalam manifestonya menjelang pilihan raya umum ke 13, PAS Terengganu telah berjanji untuk memberikan air percuma sebanyak 20 meter padu kepada semua rakyat Terengganu. Namun BN tetap menang di Terengganu iaitu dengan kemenangan tipis 17 kerusi berbanding Pakatan 15 kerusi di Terengganu. Untuk kerusi Parlimen pula, PAS menang empat dan BN juga empat kerusi. Air percuma telah dinikmati oleh rakyat Selangor sejak tahun 2008 apabila Pakatan menang di negeri ini. BN Selangor juga berjanji akan memberikan air percuma di negeri itu jika menang PRU 13, namun hanya 20 liter padu sahaja iaitu kira-kira 15 botol air mineral bersais 1.5 liter setiap bulan. | ||||
Kes Nik Aziz saman bekas KPN, NSTP RM10 juta selesai di luar mahkamah Posted: 05 Jun 2013 04:06 AM PDT Peguam Choo Shi Jin, yang mewakili Abdul Rahim memberitahu pemberita bahawa kedua-dua pihak mencapai persetujuan itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Lee Heng Cheong. Choo berkata plaintif dan defenden bersetuju dengan penyelesaian itu tanpa melibatkan sebarang liabiliti. Bagaimanapun, kata beliau, syarat penyelesaian tidak dapat diumumkan. "Susulan itu, Nik Abdul Aziz menarik balik saman berkenaan," katanya. Pada 31 Mei tahun lepas, Nik Abdul Aziz memfailkan saman itu dengan menamakan Abdul Rahim, tiga pemberita akhbar New Straits Times (NST) — Rahmah Ghazali, Lim Poh Lean and Nik Imran Abdullah —, ketua pengarang kumpulan News Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Datuk Abdul Jalil Hamid, ketua pengarang NST Datuk Syed Nadzri Syed Harun dan NSTP sebagai defendan. Dalam penyata tuntutannya, Nik Abdul Aziz berkata defendan secara bersama bertanggungjawab menulis dan menyebabkan penerbitan satu artikel berunsur fitnah pada muka surat 6 akhbar itu pada 8 Mei tahun lepas. — Bernama | ||||
'Utusan Malaysia berbohong untuk jatuhkan DAP' Posted: 05 Jun 2013 03:52 AM PDT DAP menuduh akhbar harian milik Umno - Utusan Malaysia - menyiarkan "pembohongan" dalam laporan muka depannya untuk membawa "agenda" pemiliknya supaya pendaftaran parti pembangkang itu dibatalkan. Laporan itu memetik seorang pemimpin kanan DAP yang enggan namanya disiarkan mendakwa, pemilihan itu dipercayai bagi 'mencantas' mana-mana cawangan yang bertindak lantang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan cara pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) pada Disember lepas. Dalam satu sidang akhbar hari ini, Setiausaha Penganjur DAP, Anthony Loke berkata, laporan tersebut tidak mempunyai merit. Katanya, ini kerana pemilihan peringkat cawangan adalah urusan tahunan parti itu dan tahun ini ia telah ditangguhkan dari April/Mei kepada Jun kerana pilihan raya umum ke-13. "Utusan Malaysia nak tipu sampai bila? Jelas ia nak beri tanggapan buruk dan negatif dengan motif akhirnya untuk memberi justifikasi ROS (Pendaftar Pertubuhan) untuk membatalkan pendaftaran DAP," kata Loke (kiri dalam foto). Tegasnya, walaupun jika ROS akhirnya mendapati DAP perlu mengadakan pemilihan CEC, senarai senarai perwakilan asal dari Disember lepas akan digunakan. Oleh itu, hujahnya, tidak timbul persoalan pemilihan peringkat cawangan diadakan untuk menggagalkan sebarang pemilihan CEC. Selain itu, katanya, ROS juga belum menemui sebarang kesalahan DAP. | ||||
PM digesa henti tindakan pada penganjur 'Black 505' Posted: 05 Jun 2013 03:51 AM PDT MALAYSIA KINI Kerajaan patut berhenti mendakwa aktivis dan pemimpin pembangkang yang terlibat dengan perhimpunan mempertikaikan keputusan pilihan raya "Black 505", kata NGO hak asasi manusia Human Rights Watch (HRW) dalam suratnya kepada perdana menteri."Mendakwa aktivis kerana menganjurkan bantahan aman memperolokkan janji perdana menteri untuk membentuk kerajaan yang menghormati hak di Malaysia. "Kerajaan patut menggugurkan tuduhan terhadap enam aktivis dan secara terbuka harus berikrar untuk berhenti membawa kes terhadap penganjur perhimpunan aman," kata timbalan pengarah HRW untuk bahagian Asia Phil Robertson. Sekurang-kurangnya enam penganjur "Black 505" sudah didakwa kerana melanggar Akta Perhimpunan Aman 2013 kerana gagal memberikan notis 10 hari awal sebelum perhimpunan. Polis pada 22 Mei lalu turut menangkap 18 peserta dalam acara nyalaan lilin di balai polis Jinjang di Kuala Lumpur. | ||||
'Sekarang Interlok versi drama pula?' Posted: 05 Jun 2013 03:49 AM PDT Kerajaan didakwa menyediakan RM1 juta untuk drama adaptasi novel kontroversi Interlok sebanyak 13 episod yang akan disiarkan oleh RTM, dakwa NGO Pasukan Bertindak India Nasional (NIAT). Keputusan itu dibuat selepas kerajaan memutuskan menarik balik novel itu daripada menjadi teks sastera di sekolah pada Disember 2011, kata Pengerusi NIAT Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim. "Kami fikir isu itu sudah tamat, tetapi RTM akan menayangkan drama siri menggunakan jalan cerita daripada buku ini. Apa agenda di belakang perkara ini?" katanya dalam sidang media hari ini. Katanya, NIAT mendapat pengesahan berhubung perkara itu daripada pengurus produksi drama itu serta dua pelakon terlibat. Thasleem justeru menuntut pembatalan segera penggambaran drama itu yang didakwa bermula pada 1 Julai atau mereka akan bertindak menggagalkannya. | ||||
Posted: 05 Jun 2013 03:45 AM PDT MALAYSIA KINI Pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) P Uthayakumar dijatuhi hukuman penjara dua tahun enam bulan selepas didapati bersalah membuat kenyataan hasutan pada 2007.Beliau didakwa memuatkan bahan hasutan dalam surat yang ditulis antara 15 November hingga 8 Disember 2007 kepada perdana menteri British ketika itu Gordon Brown, yang mendakwa terdapat pembersihan etnik India miskin di Malaysia. Dia juga memuatkannya di laman web Police Watch yang tidak lagi beroperasi. Pada Isnin, Uthayakumar menolak untuk menyambung pembelaannya atas alasan bahawa keadaan kes itu tidak membenarkannya untuk meneruskannya. Dia juga enggan membuat penghujahannya pagi ini. Kes itu dikendalikan oleh Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain. | ||||
Tiga anggota polis dituduh bunuh Dhamendran Posted: 05 Jun 2013 03:44 AM PDT Tiga anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan membunuh N Dhamanderan pada 21 Mei lalu. Ketiga-tiga mereka iaitu Jaffri bin Jaafar, 44; Mohd Nahar Abdul Rahman, 45; dan Mohd Haswadi Zamri Shaari, 32; bersama seorang lagi yang masih bebas dituduh "dalam mencapai niat bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Dhamanderan Narayanasamy". Jaffri, Mohd Nahar dan Mohd Haswadi mengesahkan mereka memahami tuduhan tersebut, walaupun tiada pengakuan direkodkan. Majistret Nur A'minatul Mardiah Md Nor menetapkan 9 Julai untuk sebutan dan serahan dokumen, termasuk laporan ahli kimia dan laporan bedah siasat. Menurut kertas tuduhan, ia dipercayai berlaku pada 21 Mei 2013 di antara jam 12.20 sehingga 2.50 petang di Pejabat Siasatan Khas (D9) tingkat 7, Ibu Pejabat Kontingen Kuala Lumpur. Semua mereka dituduh di bawah Seksyen 302 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, ketuga-tiganya berdepan dengan hukuman mati. Tertuduh pertama Jafri Jaafar diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad; tertuduh kedua Mohd Nahar diwakili Datuk Baljit Singh Sidhu dan tertuduh ketiga, Mohd Hazwadi diwakili Geethan Ram Vincent. Peguam N Surendran dan Latheefa Koya, G Sivamalar, dan M Manogaran pula bertindak sebagai peguam pemerhati bagi keluarga Dhamendran. Pagi tadi, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengumumkan anggota polis yang terlibat dalam kes kematian Dhamendran akan didakwa. Menurutnya, bedah siasat yang dijalankan Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mei ke atas mayat Dhamendran mendapati punca kematian adalah kecederaan akibat hentakan objek tumpul. Dhamenderen meninggal dunia dalam selnya di lokap Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur pada 21 Mei lepas semasa dia ditahan reman berhubung kes cubaan membunuh melibatkan senjata api. Beliau sepatutnya menjalani tahan reman selama 10 hari mulai 12 Mei. | ||||
SPR harap ketelusan tidak dipersoal lagi Posted: 05 Jun 2013 03:41 AM PDT KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berharap menerusi Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) yang akan memantau fungsi dan kawal sedia badan itu, persepsi negatif berhubung kebebasan dan ketulusan SPR tidak lagi dipersoalkan. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, sekiranya persepsi ini dapat dihakis, keyakinan rakyat terhadap SPR dapat diperkukuhkan. Namun, beliau tidak menjangkakan rakyat akan mengubah pandangan mereka sekelip mata terhadap SPR, hanya menerusi jawatankuasa tersebut. "Susah sikit kerana dalam politik belum tentu mereka (rakyat) ubah pandangan mereka; boleh jadi ya atau tidak. "Sebab itu kita ada kertas untuk perancangan bagi memecahkan tugasan kepada isu daftar pemilih dan persempadanan semula," katanya kepada Sinar Harian. Menurutnya, SPR menyambut baik tindakan kerajaan memutuskan untuk memindahkan fungsi dan kawal selia badan itu kepada jawatankuasa khas diwakili Ahli Parlimen kerana tindakan itu adalah permulaan baik bagi memperkasakan SPR. "Kita sambut baik. Memang, kalau di negara luar pun mereka meletakkannya di bawah Parlimen. "Sebenarnya perkara ini SPR sendiri telah pun ada kertas cadangan ke arah itu. Ini antara 33 syor hasil daripada Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang bersidang selama enam bulan tahun lalu," katanya. Katanya, walaupun diputuskan untuk meletakkan SPR di bawah Parlimen, namun beliau masih belum jelas bagaimana kaedah yang akan digunakan kerajaan. "Mungkin kerajaan mahu wujudkan seperti PSC, atau cara lain. Itu pun akan kita ketahui kelak. "Perkara ini bukan asing, tapi SPR tidak boleh dikongkong. Dulu, dengan adanya PSC, mereka boleh bagi syor hasil perbincangan, tapi tidak boleh mengarah SPR," katanya. | ||||
Posted: 05 Jun 2013 03:40 AM PDT KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menyarankan kepada orang ramai supaya memboikot kedai yang menjual makanan mahal bagi menyelesaikan masalah cekik darah di negeri ini. Katanya, beliau selalu menerima rungutan daripada masyarakat tempatan dan pelancong mengenai harga makanan mahal. Menurutnya, beliau sendiri pernah merancang untuk membina sebuah restoran yang menjual makanan dengan harga murah tetapi bimbang ia akan dianggap sebagai menjejas mata pencarian peniaga. "Saya rimas dengan rungutan pelancong tentang makanan mahal di negeri ini. "Sebab itu saya sarankan supaya jangan beli, tetapi masalahnya mereka beli juga," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan Mega Peringkat Zon Timur 2013 di Dataran Shahbandar, di sini, semalam. Ahmad menasihatkan peniaga supaya jangan jual terlalu mahal kerana ia boleh menjejaskan imej negeri ini. Katanya, ada segelintir peniaga mengambil kesempatan menjual dengan harga mahal apabila ramai pelancong datang di musim perayaan dan cuti sekolah. "Sebab mahu untung cepat, mereka sanggup mengenakan harga yang tinggi dan tidak masuk akal. Makanan laut di luar Terengganu lebih murah berbanding negeri ini. "Masalah ini bukan hanya terletak kepada peniaga sahaja, tetapi melibatkan orang tengah," katanya | ||||
Senioriti kriteria utama ketua pembangkang Selangor Posted: 05 Jun 2013 03:38 AM PDT PETALING JAYA - Barisan kepimpinan BN Selangor telah menyenarai pendekkan dua nama wakil rakyatnya untuk menggalas jawatan ketua pembangkang di negeri itu. Dua calon tersebut ialah Adun Jeram, Datuk Amiruddin Setro dan Adun Sungai Burong, Datuk Shamsudin Lias. Menurut Adun Kuang, Abdul Shukur Idrus, pemilihan calon ketua pembangkang itu dilakukan berdasarkan kepada senioriti setelah mereka berjaya mempertahankan kerusi selama tiga penggal berturut-turut di Selangor. "Kita utamakan dua calon senior dan dua nama wakil rakyat BN kami telah pilih iaitu Adun Jeram dan Adun Sungai Burong. "Kita anggap dua calon itu layak mengisi jawatan Ketua Pembangkang dan Timbalannya pada penggal kali ini serta akan dibawa perkara ini untuk diputuskan pucuk pimpinan BN Selangor nanti," katanya kepada Sinar Harian Online, semalam. Sebelum ini, jawatan tersebut telah dikosongkan penyandangnya, Datuk Satim Diman pada penggal lalu setelah tidak bertanding pada PRU13, 5 Mei lepas. Dalam pada itu, menurut laporan MStar semalam, terdapat lima nama Adun BN Selangor telah diluluskan kepimpinan parti perikatan itu untuk mengisi jawatan itu. Antaranya ialah Datuk Amiruddin Setro (Jeram), Datuk Shamsudin Lias (Sungai Burong), Abdul Shukur Idrus (Kuang), Datuk Johan Abdul Aziz (Semenyih) dan Sulaiman Abdul Razak (Permatang). Sementara itu, Abdul Shukur berkata, wakil rakyat BN Selangor yang lain termasuk beliau sendiri akan memberi sokongan sepenuhnya kepada dua calon terbabit untuk memenuhi agenda dan melaksanakan tugas parti di negeri itu. | ||||
Posted: 05 Jun 2013 03:36 AM PDT PETALING JAYA - PKR akan memfailkan petisyen berhubung keputusan PRU13 pada pada 10 Jun depan. kata Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli. Beliau berkata, walaupun tarikh itu yang diberikan peguam terlalu dekat dengan tarikh terakhir bantahan iaitu 12 Jun, namun PKR akan tetap menghantar petisyen pada hari berkenaan kerana perlu membuat senarai terakhir dengan lebih terperinci. "Petisyen bukan satu kerja mudah dan kerana itu kami tidak mahu tergesa-gesa. Terlalu banyak perincian yang perlu di perinci. "Kami berharap, ia akan berjalan lancar dan setakat ini pegawai-pegawai yang menyelaras sedang mengemas kini kesemua maklumat berserta bukti," katanya kepada media, di sini, semalam. Katanya, petisyen itu akan dibuat secara bersaingan dengan parti gabungan lain iaitu Pas dan DAP. "Masing-masing ada peguam sendiri. Tapi kami akan menghantar pada tarikh yang sama. Petisyen ini juga akan difailkan mengikut mahkamah terdekat. "Parti lain, saya tidak tahu sejauh mana perkembangan mereka cuma kita berharap ia akan berjaya. PKR juga akan memfailkan 19 petisyen tersebut," katanya. PR mempunyai tempoh 21 hari untuk berbuat demikian selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewartakan keputusan rasmi PRU-13, 22 Mei lalu. | ||||
Lantik Saifuddin hak negeri, tak perlu penjelasan Posted: 05 Jun 2013 03:24 AM PDT SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor tidak perlu memberikan penjelasan berhubung pelantikan Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai Pegawai Perhubungan Politik di Pejabat Menteri Besar kepada mana-mana pihak, seperti mana yang disuarakan oleh Timbalan Presiden PKR, Isnin lalu. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan kerajaan negeri mempunyai kuasa melantik mana-mana individu yang layak untuk membantu menjayakan program kebajikan dan pembangunan luar bandar seperti mana yang termaktub manifesto Pakatan Rakyat Selangor pada PRU13, 5 Mei lalu. "Tak payah bincang (perjelas) apa yang dilakukan Kerajaan Negeri untuk mencari cari individu yang punyai keupayaan untuk laksnakan manifesto yang telah kita bentangkan dalam PRU13 lalu," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco Selangor, di Pejabat Kerajaan Negeri, di sini, hari ini. Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mohamed Azmin Ali yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Selangor yang mendesak kerajaan negeri supaya memberikan penjelasan tentang pelantikan jawatan itu yang dikatakan setara dengan jawatan Setiausaha Politik Menteri Besar. Sinar Harian memetik kenyataan Azmin yang berkata, pelantikan itu juga merupakan satu pembaziran wang rakyat susulan jawatan sama telah dijalankan sebelum ini oleh Faekah Husin. Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan Saifuddin bersama pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) pada minggu depan bagi membincangkan pembangunan luar bandar yang akan diterajui Setiausaha Agung PKR itu. Selain itu katanya, isu tuntutan Pas dan DAP terhadap jawatan yang setara dengan Saifuddin turut akan dibincangkan dalam pertemuan itu. Sementara itu, ketika ditanya pemberita mengenai status jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim di negeri itu, katanya beliau masih kekal sebagai Penasihat Ekonomi Selangor. | ||||
'Kawal portal atas talian langgar jaminan MSC' Posted: 05 Jun 2013 12:20 AM PDT MALAYSIA KINI Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Malaysia tidak patut menuruti model Singapura yang mengawal portal atas talian kerana ia melanggar Akta Jaminan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang menjamin tiada penapisan internet."DAP kesal apabila menteri komunikasi dan multimedia yang baru dilantik Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memulakan penggalnya dengan memungkiri janji BN sebelumnya untuk tidak menapis Internet, apabila mahukan kawalan ke atas portal atas talian. "Di mana 'Janji Ditepati' BN?" kata Lim (kanan) dalam kenyataannya hari ini. MSC dilancarkan pada 1996 oleh perdana menteri pada masa itu Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melonjakkan teknologi maklumat di negara ini. Terdapat sepuluh perkara dijamin, termasuk tiada penapisan Internet. Ahmad Shabery semalam berkata, kerajaan sedang menimbang untuk mengawal portal berita seperti yang dilaksanakan Singapura pada minggu lalu. Ahmad Shabery berkata kerajaan sedang menjalankan kajian untuk membolehkan pelaksanaannya tidak bertentangan dengan prinsip sedia ada. | ||||
Anwar beri keterangan saman ‘Papa Gomo’ 27 Jan Posted: 05 Jun 2013 12:12 AM PDT 'Papa Gomo' didakwa menyiarkan perkataan fitnah dan mengaitkan beliau dengan seorang lelaki dalam video seks. KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 27 Jan tahun depan untuk mendengar keterangan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes saman beliau terhadap penulis blog 'Papa Gomo' kerana didakwa menyiarkan perkataan fitnah dan mengaitkan beliau dengan seorang lelaki dalam video seks. Hakim Rosilah Yop turut menetapkan 28 Jan untuk mendengar kes saman itu. Beliau menetapkan tarikh itu hari ini ketika kes berkenaan dikemukakan untuk pengurusan kes. Peguam Mohd Afiq Mohd Noor yang mewakili Anwar memberitahu pemberita anak guamnya (plaintif) akan memanggil empat saksi manakala Wan Muhammad Azri Wan Deris (defendan) dijangka memanggil dua saksi. Pada 21 Mac lepas, Anwar memfailkan saman fitnah RM100 juta dengan mendakwa Wan Muhammad Azri, pemilik laman blog www.papagomo.com menyiarkan empat siri perkataan fitnah dalam laman web itu pada 16, 17, 19 dan 20 Mac lepas. Dalam pernyataan tuntutannya Anwar mendakwa defendan turut meletakkan satu pautan web yang memaparkan siri imej dan defendan telah secara nyata dan/atau tersirat menyatakan bahawa individu dalam imej itu ialah plaintif. Anwar menuntut ganti rugi am, teruk, teladan, faedah, kos, lain-lain relif yang difikirkan wajar dan satu injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menerbitkan perkataan fitnah dan imej itu. Wan Muhammad Azri dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 20 Mei menafikan bahawa beliau pemilik blog 'Papa Gomo'. Beliau menegaskan alamat kediaman yang dinyatakan menerusi saman Anwar itu bukan miliknya dan beliau tidak mengenali plaintif secara peribadi. Anwar dalam jawapannya kepada pernyataan pembelaan Wan Muhammad Azri itu berkata beliau boleh membuktikan bahawa defendan adalah pemilik blog 'Papa Gomo'. Beliau mendakwa defendan turut melakukan serangan peribadi terhadap parti pembangkang dan pemimpinnya tanpa membuat sebarang justifikasi.- Bernama | ||||
`Untuk apa bertanding lawan Najib?’ Posted: 05 Jun 2013 12:09 AM PDT Untuk kebaikan atau merosakkan Umno atau hendak balas dendam? tanya Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang. Menjelang perhimpunan agung Umno PETALING JAYA: Umno Pulau Pinang mempersoalkan kewajaran supaya jawatan Presiden dan Timbalan dipertandingkan dalam perhimpunan agung parti akhir tahun ini. Timbalan Pengerusi Umno negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir bertanya, adakah individu yang mahu bertanding itu lebih baik dari Datuk Seri Najib Tun Razak mahupun Tan Sri Muhyiddin Yassin? "Bertanding untuk apa? Untuk kebaikan atau merosakkan Umno atau hendak balas dendam?" kata Ketua Umno Bukit Mertajam itu. Menurut Musa, keterbukaan Umno yang membenarkan ahli boleh bertanding mana-mana jawatan termasuk Presiden tidak boleh disalahguna sehingga merosakkan parti. Beliau menambah, jika pertandingan berlaku dalam jawatan utama, Umno boleh berpuak dan ini menyebabkan Umno menjadi lemah. Umno pecah pada tahun 1987 setelah Tengku Razaleigh Hamzah mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan Presiden. Tengku Razaleigh kalah tipis menyebabkan beliau menubuhkan Parti Melayu Semangat 46, mahkamah pula mengisytiharkan Umno tidak sah. Umno akan mengadakan pemilihan jawatan pada akhir tahun setelah ditunda tahun lepas ekoran mahu memberi tumpuan kepada pilihan raya umum ke 13. Tiada kuota Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, tidak ada kuota dikenakan untuk ahli yang bertanding jawatan Presiden serta jawatan-jawatan lain. Pemimpin Umno bahagian Kota Baru, Che Mansor Adabi Che Hussein berkata, pertandingan mana-mana jawatan utama boleh terdedah kepada perpecahan parti. "Bagi memperkuatkan solidariti kepada Najib dan Muhyiddin, sangat wajar kedua-dua jawatan tidak dipertandingkan," katanya. Bagaimanapun, Che Mansor berkata, sama ada Najib serta pemimpin lain dicabar atau tidak bergantung kepada bahagian-bahagian Umno. Katanya, jika mesyuarat Umno bahagian mahukan jawatan Najib dan pemimpin lain dicabar, maka jawatan Presiden Umno akan dipertandingkan. "Umno bahagian akan membuat resolusi dan keputusan sama ada jawatan Presiden dicabar atau tidak. "Jika membuat keputusan setuju Najib dicabar, maka jawatan itu akan dipertandingkan," tambahnya. | ||||
Petani Sekinchan Tidak Puas Hati BERNAS Turunkan Harga Padi Posted: 05 Jun 2013 12:05 AM PDT TANJONG KARANG : Petani di kawasan Sungai Burong dan Sekinchan berasa tidak puas hati dan kecewa terhadap penurunan harga pembelian padi yang ditawarkan oleh Padiberas Nasional (Bernas) di kawasan mereka. Rata-rata petani mendakwa Bernas kini membeli padi daripada mereka dengan harga RM 1,150 bagi satu tan metrik. Iaitu kurang RM 130 daripada harga 1,280 satu tan yang ditawarkan kepada petani di Tanjong Karang. Mereka mendakwa pengurangan kira-kira RM 130 satu tan melibatkan kerugian yang besar kepada para petani yang hanya bercucuk tanam dan menjual padi sebanyak dua kali setahun. Seorang petani, Samsuddin Hussain, 62, mendakwa golongan petani dipermainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab kerana menurunkan harga sewenang-wenangnya setelah petani bekerja keras menanam padi. "Petani ini macam tidak diambil berat, macam dipermain-mainkan, seolah-olah petani tak ada nilai diri sedangkan mereka adalah pengeluar makanan negara. "Ini yang kami tak puas hati, dengan masalah harga padi yang diturunkan ini, kalau turunkan sama saja di semua kawasan, kita tak terasa sangat," katanya. Samsuddin ditemui bersama hampir 200 orang petani yang mengadakan demonstrasi aman di hadapan Kilang Bernas Sekinchan di sini semalam. Dianggarkan kawasan Sungai Burong, Sekinchan dan Sabak Bernam mempunyai seramai 5,000 petani yang terjejas dengan penurunan harga Bernas itu. Turut hadir, Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehin Mukhyi dan Adun Sekinchan, Ng Swee Lim. Sementara itu, Sallehin yang juga Adun Sabak berkata, penurunan sebanyak RM 100 bagi setiap tan metrik adalah sangat membebankan kerana menanam padi merupakan perniagaan utama bagi penduduk di Sekinchan sehingga ke Sabak Bernam. "Penurunan RM100 itu kecil, tapi kalau 10 tan metrik? Mereka (petani) sudah hilang RM 1,000, dan RM 1,000 ini terlalu banyak yang boleh digunakan kepada petani. "Bahkan RM 1,000 ini telah melepasi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM 500 pada tahun lalu," ujarnya. Katanya, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengambil pendekatan segera bagi menyelesaikan masalah ini sebelum musim menuai berakhir. Dalam pada itu, seorang lagi petani, Samudin Abdullah , 47, melahirkan perasaan kecewa kerana setelah mengeluarkan kos yang besar bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi tetapi harga pula diturunkan. "Beza petani di negeri-negeri lain, kami petani di Selangor memang banyak mengeluarkan belanja untuk pertanian. Contoh kadar sewa yang tinggi, kadar racun yang mahal, jadi apabila harga padi menurun, jadi kami sangat merasa kerugian," katanya. | ||||
#Black 505 Diadakan Di Padang Merbok, Kuala Lumpur Posted: 04 Jun 2013 11:59 PM PDT PETALING JAYA Penganjur Perhimpunan Aman #Black 505 memilih Padang Merbok sebagai tapak perhimpunan yang diadakan pada 15 Jun nanti. Menurut Pengarah Startegi PKR, Rafizi Ramli, keputusan tersebut diambil selepas mengambil kira pandangan Polis Diraja Malaysia yang menggesa perhimpunan itu tidak melibatkan Dataran Merdeka. Himpunan tersebut merupakan kesinambungan dari himpunan-himpunan yang diadakan di seluruh negara sebelum ini bagi membantah keputusan pilihanraya ke-13 yang didakwa terpesong kerana penipuan. Berita selanjutnya selepas ini… | ||||
Inspektor cuba halang rompakan cedera ditembak Posted: 04 Jun 2013 11:56 PM PDT MALAYSIA KINI Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang sedang bercuti di kampungnya, cedera ketika cuba menggagalkan rompakan di sebuah kedai emas di Batu 4, Jalan Kuala Sungai di Alor Setar semalam. Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, dua lelaki yang memakai topi keledar muka penuh bersenjatakan sepucuk pistol dan sebatang besi melepaskan tembakan sehingga mencederakan pegawai polis itu ketika suspek bergegas melarikan diri dengan sebuah motosikal. Beliau berkata mangsa yang bertugas di Johor kebetulan lalu di kawasan kedai emas berkenaan dan menyaksikan kejadian rompakan yang menyebabkan kerugian lebih RM18,000 itu. "Anggota (polis) itu perkenalkan dirinya sebelum seorang suspek bertindak keluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan. "Anggota itu cedera di tangan kanan dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah sebagai pesakit luar dan dilaporkan stabil," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kedah di Alor Setar malam tadi. Ahmad berkata motosikal yang ditunggang suspek kemudian terbabas dan melanggar sebuah kereta kira-kira 150 meter dari tempat kejadian dan seorang daripada mereka melepaskan satu tembakan ke udara sebelum bertindak merampas kenderaan yang dirempuh itu. Beliau berkata kereta itu kemudian ditemui di Taman Anggerik pada kira-kira 6.25 petang. Polis menerima maklumat orang awam yang melihat lelaki mencurigakan keluar dari tandas di plaza tol Alor Setar Utara, Jalan Langgar di Alor Setar, katanya. Ahmad berkata hasil siasatan mendapati satu beg kecil berisi sepucuk pistol jenis Styr Satu Magazin dan sebutir peluru 9 milimeter diletak dalam tandas itu. "Hasil pemeriksaan mendapati kelongsong peluru yang dilepaskan suspek kes rompakan kedai emas itu sama, dan kita akan menyiasat sama ada kedua-dua kes itu mempunyai kaitan atau tidak," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. Sementara itu, seorang saksi, Nurliza Ali, 20, yang juga pekerja kedai emas berkata dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Yamaha RXZ meluru ke dalam kedai sebelum mengacu pistol ke arahnya serta meminta beliau diam dan tidak melawan. Nurliza berkata ketika itu, hanya beliau berada di bahagian depan kedai manakala majikannya yang berusia 51 tahun bersama dua anak berusia 23 dan 11 tahun di pejabat yang terletak di belakang kedai. "Dia (suspek) suruh saya duduk, dan saya pun duduk bertinggung sebab takut. Lepas tu, seorang lelaki yang pegang batang besi dibalut kain pecahkan cermin pameran dan ambil pelbagai gelang, cincin emas dan perak, termasuk emas tiruan, secara tergesa-gesa. "Lepas penggera berbunyi, mereka lari menuju ke arah Alor Janggus dan sayapun berlari mendapatkan majikan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. Anak sulung pemilik kedai emas, Thoo Chee Cheng, 23, pula berkata beliau keluar dari pejabat dan menekan butang penggera selepas terdengar bunyi bising di luar dan ternampak kelibat dua lelaki bersenjata. Beliau berkata sebelum ini, kedai emas yang beroperasi sejak 23 tahun lepas itu tidak pernah dirompak. - Bernama | ||||
Demo PJ: Chegubard mengaku tidak bersalah Posted: 04 Jun 2013 11:55 PM PDT MALAYSIA KINI Aktivis PKR dan NGO Badrul Hisham Shaharin mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas tuduhan berkaitan penganjuran perhimpunan mempertikaikan keputusan pilihan raya Black 505 di Petaling Jaya bulan lalu. Pemimpin NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu dituduh gagal memaklumkan kepada pihak polis sepuluh hari lebih awal, seperti disyaratkan dalam Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012. Badrul , 35, yang lebih dikenali sebagai Chegubard yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000. Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwaraya Shaharuddin Wan Ladin. Chegubard tidak diwakili peguam. Hakim Mahkamah Sesyen Yasmin Abdul Razak menetapkan pengurusan kes pada 9 Julai bagi memberi masa kepada Chegubard mendapatkan peguam. Beliau juga membebaskan tertuduh kerana Chegubard datang sendiri ke mahkamah dan bekerjasama penuh dengan polis apabila saman hadir ke mahkamah dikeluarkan padanya. "Dia tidak cenderung untuk ponteng mahkamah," katanya sambil mengingatkan Badrul supaya hadir ke semua prosiding. | ||||
Cabar Atau Tidak Biar Ahli Umno Tentukan Posted: 04 Jun 2013 11:46 PM PDT AKHBAR arus perdana The Star milik parti MCA hari ini melaporkan yang Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan telah membuat ketetapan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak ditandingi. Alasannya adalah Umno memerlukan perpaduan untuk menyiapkan diri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14. Pastinya semua ahli dan penyokong Umno setuju dengan keperluan Umno membuat persediaan seawal mungkin bagi menghadapi PRU ke-14, tetapi apakah mereka juga bersetuju dua jawatan teratas itu tidak dicabar? Juga menjadi tanda tanya adakah Umno Negeri Sembilan membuat keputusan itu secara bersendirian atau setelah berunding dan mendapat maklum balas akar umbi? Pada pandangan saya yang tidak sepertinya, para pembesar Umno wajiblah lebih peka dan menghormati suara akar umbi setelah akar umbi menyelamatkan mereka daripada kekalahan pada PRU 5 Mei lalu. Ini membuatkan saya berfikir apakah para pembesar Umno benar-benar faham dan peduli kepada denyut jantung orang Melayu biasa yang menyokong parti itu? Umno dan Melayu Bukan Inti Pati PRU13 Kalau diperhatikan secara terperinci, denyut jantung orang Melayu dan lambang Umno bukanlah inti pati PRU lalu. Yang menjadi inti patinya adalah 1Malaysia, batang tubuh Mohd Najib Abdul Razak dan "pemujaan" kepada masyarakat Cina dan India. Malah rata-rata pemerhati dan pengulas politik berpendapat Mohd Najib mengadakan pilihan raya presiden ala Amerika di mana diri beliau ditonjolkan sebagai pilihan seperti terserlah dengan cogan kata "Sokong Saya Undi BN" dan menonjolkan program-program beliau seperti Pelan Transformasi Ekonomi, Pelan Transformasi Kerajaan yang digula-gulakan oleh segala bentuk pemberian di bawah lambang 1Malaysia. BN Teruk Tiba-Tiba Umnolah Permata Tetapi setelah pencapaian BN ternyata hambar akibat apa yang Mohd Najib labelkan sebagai tsunami Cina dan BN diselamatkan oleh Umno, seni kata dan irama tiba-tiba berubah. Umno dinobatkan sebagai berjaya dan lebih kuat kerana memenangi 88 kerusi Dewan Rakyat berbanding 79 pada PRU 2008. Soalnya, apakah pencapaian Umno yang lebih cemerlang itu adalah kerana para pembesar Umno mengutamakan Umno dan orang Melayu atau kerana orang Melayu sendiri takut kuasa mereka akan bertambah lemah kalau parti-parti Cina dalam BN menang besar? Bagi ahli dan penyokong Umno yang memperoleh maklumat daripada media arus perdana, mereka tentulah mendapat gambaran yang BN, khasnya Mohd Najib, melakukan apa saja, termasuk memperluaskan pendidikan Cina dan Tamil, untuk mendapatkan undi Cina dan India. Mereka tentu membaca, melihat dan mendengar bagaimana Perdana Menteri tidak putus-putus menguar-uarkan penaikan taraf pendidikan Cina dan Tamil, memberi peruntukan tambahan kepada sekolah Cina dan Tamil dan berjumpa berbagai-bagai badan radikal Cina dan India seperti Dong Zong dan elemen Hindraf. Apa yang dilihat sebagai tolak ansur yang keterlaluan dengan orang bukan Melayu itu mungkin sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan orang Melayu bahawa kuasa mereka akan lebih tercabar sekiranya MCA, Gerakan dan MIC menang besar. Tetapi yang paling menakutkan majoriti orang Melayu adalah kemungkinan kemenangan Pakatan Rakyat dan kemunculan DAP sebagai pemain dominan politik nasional. Jadi, apakah Umno menang lebih besar pada PRU lalu kerana Presiden Umno mengutamakan orang Melayu atau kerana orang Melayu sendiri berasa kepentingan mereka tidak lagi diutamakan oleh para pembesar parti maka mereka bertindak memperkuatkan Umno dan orang Melayu dari bawah? Tetapi harus juga diakui bahawa selain penyokong tradisional, Umno juga mendapat sokongan pengundi atas pagar serta penyokong PAS dan PKR. Banyak penyokong PAS memangkah calon-calon Umno kerana membantah kerjasama parti mereka dengan DAP dan PKR. Kalau inilah keadaannya maka suara akar umbi adalah sangat penting dalam penentuan kepemimpinan Umno bermula dengan pemilihan pucuk pimpinan tahun ini. Sangat tepatlah kalau ahli biasa Umno di cawangan-cawangan diberikan muka dan suara untuk menyatakan sama ada mereka mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden atau mana-mana juga jawatan dipertandingkan atau tidak. Wajar sangatlah mereka diberikan hak menentukan sama ada mereka mahu Mohd Najib dicabar atau tidak kerana Umno tidak akan memperoleh 88 kerusi keramat itu kalau ahli dan penyokong Umno tidak membulatkan tekad memangkah BN pada 5 Mei lalu. Mereka juga perlu diberikan ruang dan peluang menyelami hati sanubari mereka sendiri sama ada mereka mahu Mohd Najib yang lebih rendah pencapaiannya kekal sebagai Presiden (dan seterusnya sebagai Perdana Menteri) setelah mereka menunjukkan pintu keluar kepada (Tun) Abdullah Ahmad Badawi yang menang lebih besar pada 2008. Lagipun, Mohd Najib sendiri berkata selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno 31 Mei lalu yang Umno mengamalkan demokrasi dan pemimpin bebas dicabar. Tindakan memperluaskan asas pengundian bagi memilih pucuk pimpinan bermula pemilihan kali ini wajiblah dikotakan dan disahihkan melalui tindakan. Wallahualam.http://kadirjasin.blogspot.com/ | ||||
“MCA tutup kedai”, permulaan era politik baru Malaysia Posted: 04 Jun 2013 11:00 PM PDT JANGAN sama sekali menyamakan DAP dengan MCA. Jika dibuat perbandingan, ideologi DAP yang berjuang demi seluruh anak Malaysia sudah menunjukkan jurang yang nyata. Ternyata, Barisan Nnasional (BN) kekal dengan prinsip politik pecah dan perintahnya. Ia lebih jelas jika kita melihat pecahan komponen BN seperti UMNO, MCA, MIC dan parti suku kaum di Sabah dan Sarawak. Keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) merupakan bukti rakyat berani bangkit menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap BN. Amalan politik pecah dan perintah BN yang menggugat perpaduan semua bangsa negara ini telah lama membuahkan hasil yang jelek. Ini ditambah agi dengan gejala rasuah, monopoli dan kronisma melampau. Sebab itu tidak hairan apabila undi popular PRU-13 lalu memihak kepada Pakatan Rakyat (PR). Apa jadi dengan MCA, Gerakan? Selepas tewas teruk, MCA dan Gerakan dengan nada kecewa seolah-olah tidak mampu lagi menampung kekecewaan mereka, lantas kita mendengar bahawa ada pimpinan mereka yang menyalahkan rakyat dengan tohmahan tidak tahu bersyukur. Perangai menyalahkan orang ini sama sahaja seperti UMNO. Sepatutnya, jika MCA dan Gerakan mahu menjadi parti politik yang ikhlas dan berintegriti, mereka seharusnya bekerja keras, memberi khidmat dan menjadi pengkritik sebarang dasar kerajaan yang tidak pro kepada rakyat. Malangnya komponen BN ini tidak buat begitu, mereka menjalankan 'ops tutup kedai', seolah-olah mahu menjatuhkan hukuman kepada rakyat kerana tidak memilih mereka. Walaupun sesetengah mereka menyatakan mereka tidak akan metutup pusat perkhidmatan secara langsung tetapi hanya akan menghadkan aktiviti mereka kepada kerja dalaman parti, ada pula yang terang-terang menyatakan bahawa dek kerana rakyat tidak menyokong MCA dan Gerakan, tidak bersyukur terhadap jasa baik yang ditaburkan mereka pada masa lalu, lebih baik mereka 'tutup kedai' dan memberi perkhidmatan kepada kawasan yang menghargai mereka. Majlis tertinggi MCA sudah dua kali memutuskan sekiranya mereka kalah teruk, semua ahli MCA tidak akan menerima apa-apa jawatan dan pelantikan samada oleh kerajaan di peringkat kerajaan tempatan, negeri, atau Pusat. Saya tidak akan memberi pandangan di atas sesetengah kes di mana ia selaras dengan kemahuan mereka iaitu 'cakap serupa bikin' kerana saya rasa rakyat sudah membuat keputusan sendiri. Tindakan itu menyimpulkan bahawa MCA dan Gerakan tidak punya integriti untuk terus berkhidmat dan mereka wajar dihukum rakyat dengan lebih dahsyat pada PRU-14 akan datang. Beza DAP dan MCA ibarat langit dan bumi Apa yang sedang berlangsung dalam senario politik Malaysia kini membuktikan bahawa mentaliti politik MCA dan Gerakan, mentaliti BN secara amnya adalah berdasarkan balasan dan bukannya demi membela dan membangunkan masyarakat. BN telah banyak mengkhianati rakyat. Ini merupakan hakikat yang tidak boleh dinafikan. Pemimpin BN seolah-olah tidak endah dan tidak malu dengan membiarkan sentimen perkauman dimainkan siang dan malam, mereka juga tidak peduli terhadap kenaikan kos hidup yang tidak seimbang membebankan rakyat. Saya pernah diberitahu seorang cerdik pandai yang berpengalaman dalam bidang politik dan kemanusiaan, katanya mana-mana individu yang tidak tahu malu, adalah seorang yang tidak bermaruah; dan sesiapa yang tidak bermaruah tidak layak diamanahkan apa jua keyakinan atau kepercayaan kerana mereka sanggup membuat apa sahaja demi kepentingan diri sendiri. Sejarah menunjukkan bahawa DAP mempraktikkan politik mengikut perjuangan (conviction politics) dan BN pula mengamalkan politik berdasarkan pampasan (compensation politics). Jelas, BN, khususnya MCA dan Gerakan bukan saja berfikiran sempit malah ketinggalan zaman. Kasihan kepada mereka yang memberi keyakinan kepada MCA dan Gerakan. Tidak kira betapa teruknya DAP tewas dan ditolak rakyat, DAP tidak pernah meninggalkan perjuangan. Lebih penting lagi, DAP tidak pernah menyalahkan rakyat yang tidak memilih mereka malah terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat tanpa peduli kepada imbuhan mahu pun balasan yang diperoleh samada positif atau negatif. Tamatkan politik perkauman sekarang! Satu hal yang penting selain memberi perkhidmatan kepada rakyat ialah menamatkan politik perkauman. Dengan adanya BN yang ditunjangi parti perkauman UMNO, MCA dan MIC, Malaysia akan terus dibelenggu dengan pelbagai jenis 'hantu' kaum yang menghasut. Inilah rahsia kemenangan mereka sejak berbelas penggal memerintah negara. Sehari wujudnya MCA, MIC dan UMNO, ia bermakna sehari lagi wujudnya politik perkauman; sehari hilangnya parti politik berasaskan perkauman, maka berakhirlah politik perkauman yang menjadi asas penindasan, diskriminasi dan mainan politik yang menakut-nakutkan rakyat. Sudah tiba masanya parti berasaskan perkauman dijauhi. | ||||
Uthaya enggan kemuka pembelaan kes hasutan Posted: 04 Jun 2013 10:54 PM PDT Pengasas Hindu Rights Action Force (Hindraf) P Uthayakumar hari ini enggan mengemukakan pembelaannya ke atas pertuduhan kes hasutan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Beliau dituduh menerbitkan satu surat tersebut, yang dialamatkan kepada Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, mendakwa masyarakat India di Malaysia telah dipinggirkan. Surat itu juga menggesa kerajaan British supaya mengemukakan satu resolusi tergempar di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengutuk "pembersihan etnik" yang didakwa berlaku di Malaysia. Uthayakumar, seorang peguam, terus menolak apabila diberi peluang sebanyak dua kali untuk mengemukakan pembelaan dalam sidang mahkamah tersebut. Katanya, beliau bertindak demikian antaranya sebagai tanda protes ke atas "dasar rasis" kerajaan Malaysia yang menjadikan golongan miskin India sebagai mangsa. Beliau berkata demikian sebelum timbalan pendakwa raya Noorin Badaruddin membuat hujah terakhir di hadapan hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain. Kes berkenaan dijangka akan diputuskan di mahkamah pada jam 2.30 petang ini. | ||||
Pemuda PAS: Portal berita berdepan pilih kasih Posted: 04 Jun 2013 10:50 PM PDT MALAYSIA KINI Cadangan untuk mewujudkan kawalan terhadap portal berita seperti di Singapura bersifat terkebelakang dan mundur, malah dilihat sebagai cubaan untuk menyekat laporan berita alternatif, kata Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. Ketuanya Kamaruzaman Mohamad percaya, cadangan "panik dan dangkal" itu juga dibuat ekoran kemerosotan teruk BN dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu. "Sudahlah akhbar milik Pakatan Rakyat disekat dan dihadkan pengeluarannya, kini media di Internet pula mahu disekatnya," kata Kamaruzaman. Menteri komunikasi dan multimedia yang baru Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kelmarin berkata, kerajaan sedang menimbang untuk mengawal portal berita seperti yang dilaksanakan Singapura. Ahmad Shabery (kanan) berkata kerajaan sedang menjalankan kajian untuk membolehkan pelaksanaannya tidak bertentangan dengan prinsip sedia ada. Dalam kenyataannya hari ini, Kamaruzaman berkata, kerajaan sepatutnya menyekat akses ke laman lucah yang kian mudah diperoleh dan bukannya menyekat maklumat berita kepada rakyat. "Laman-laman lucah dan pornografi itulah yang sebenarnya membahayakan negara dan generasi muda yang menjadi pelapis pimpinan masa kini. "Laman-laman yang tidak bermoral ini seharusnya menjadi sasaran utama kerajaan," katanya. Justeru, langkah itu dilihat Pemuda PAS Wilayah Persekutuan sebagai pilih kasih kerana terdapat akhbar arus perdana membudayakan fitnah dan menghasut tidak pula disekat atau diberi amaran. "Tindakan 'double standard' terhadap media-media alternatif di Internet bakal mengundang kemarahan rakyat," katanya. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan