DIALOG RAKYAT |
- Rumah menteri di KL dirompak petang semalam
- Hanya 2 baris perlu ditarik dalam Seksyen 107(b)
- Misteri kehilangan terungkai
- MB Selangor: Daftar kahwin dapat insentif
- SPRM akan siasat SPR berhubung kemelut dakwat kekal
- Jalan utama Sibu ke Miri akan menjadi lebuh raya sepenuhnya menjelang 2015
- Awang Selamat desak Tony Pua untuk berhijrah jika tidak gembira
- Kes KPN Khalid, Menteri Zahid Hamidi Jejas Kredibiliti Kementerian, Polis
- Kereta ADUN disimbah cat, dilontar batu
- K'jaan, polis akan rayu kes Kugan
- Kroni dapat berbilion ringgit kerana bantu BN dalam PRU- Anwar
- Kes Kugan: Apakah hakim terima tekanan bersara awal? – Shamsul
- Azmin: Peluang pengundi Kuala Besut tukar k’jaan Terengganu
- SPRM perlu panggil Taib Mahmud, bukan hanya siasat fail – Nazib
- Umpan tunai umrah RM3,900
- Umno Besut yakin sokongan tak berubah
- Kehilangan tonggak utama punca JDT kecundang
- Dakwat kekal: SPR tiada halangan disiasat SPRM
- DPPM Seru Pemuda Berjihad di Medan PRK KB
- Pulau Pinang johan Sukan Pasti Malaysia
- Peminat JDT terkandas di Larkin
- KJ: Ambil tindakan banteras ulat tiket
- Penyokong Kelantan bertindak ganas
- Kelantan ranapkan impian JDT
- MIC terkejut, senada dengan MCA
Rumah menteri di KL dirompak petang semalam Posted: 30 Jun 2013 04:07 AM PDT MALAYSIA KINI Tiga lelaki merompak rumah seorang menteri di Jalan Setiabistari, Bukit Damansara di Kuala Lumpur, semalam. Mereka yang menaiki kereta Proton Waja, dipercayai melarikan beberapa komputer riba dan jam tangan dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah. Beliau berkata ketika kejadian, menteri berkenaan dan isterinya tiada di rumah. "Suspek dipercayai memanjat tembok di tepi pagar dan masuk ke rumah menerusi pintu depan yang tidak berkunci. "Pembantu rumah menyedari kehadiran perompak apabila melihat pintu depan terbuka tetapi dia tidak berani menentang mereka," katanya di Kuala Lumpur, hari ini. Ku berkata pembantu rumah itu juga sempat melihat suspek menyelongkar bilik utama sebelum mereka melarikan diri. Jumlah kerugian masih disiasat, katanya.- Bernama | ||||
Hanya 2 baris perlu ditarik dalam Seksyen 107(b) Posted: 30 Jun 2013 04:04 AM PDT ULASAN Kabinet perlu menarik balik Seksyen 107(b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) untuk memberi masa kepada rakyat Malaysia mencapai muafakat tentang pertukaran agama kanak-kanak di bawah umur agar selari dengan tujuan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca berserta dengan Perkara 160 dan Jadual Kesebelas, serta untuk mengukuhkan integriti keluarga, kebebasan beragama dan keharmonian masyarakat. Bekas menteri kabinet dan pemimpin United Pasok Momogun Kadazandusun Murut Organisation (Upko) Tan Sri Bernard Dompok kelmarin menyebut bahawa peruntukan dalam Rang Undang-undang berkenaan bertentangan dengan konsep keterbukaan, kemenyeluruhan, dan kesederhanaan yang dibawa oleh 1Malaysia dan beliau mencadangkan agar BN membincangkan secara teliti isu ini dan isu-isu keagamaan yang berkaitan sebelum peruntukan berkenaan dibawa ke Parlimen. Menurut Bernard, beberapa bulan lalu, ketika masih menjadi anggota kabinet, beliau telah meminta agar kabinet menarik balik kertas cadangan berkenaan rang undang-undang itu kerana beliau merasakan keputusan kabinet yang dibuat lebih awal, berkenaan Akta Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, perlu dilaksanakan terlebih dahulu. Seksyen 107(b) dalam Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang setebal 64 halaman dan mempunyai 116 Seksyen itu memperuntukkan bahawa persetujuan salah seorang ibu bapa memadai untuk menukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam. Hal ini bukan saja berlawanan dengan Perlembagaan tetapi juga bertentangan dengan keputusan kabinet yang diumumkan pada 23 April 2009, iaitu bahawa agama seseorang kanak-kanak tidak boleh ditukar oleh ibu atau bapa secara sepihak. MIC membuat kenyataan umum bahawa parti itu tidak dilibatkan dalam perbincangan tentang Seksyen 107(b) rang undang-undang berkenaan manakala Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu pula telah menyifatkan cadangan untuk memperkenalkan peruntukan tersebut sebagai "mengejutkan" dan "licik" dan beliau menganggap langkah tersebut berlawanan dengan perdamaian nasional yang sedang banyak diperkatakan. Menurut beliau lagi, cadangan peruntukan itu berlawanan dengan keputusan bersama dalam kabinet pada 22 April 2009 yang menetapkan bahawa persetujuan kedua-dua ibu dan bapa diperlukan untuk menukar agama kanak-kanak di bawah umur. Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) dan Majlis Peguam telah menyatakan kebimbangan tentang peruntukan berkenaan kerana sebarang pertukaran agama kanak-kanak secara sepihak oleh hanya salah seorang ibu atau bapa tidak adil bagi kanak-kanak di bawah umur terbabit, atau ibu, atau bapanya, selain ia bertentangan dengan perlembagaan serta salah dari segi moral dan etika. Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat dengan membincangkan peruntukan yang dicadangkan itu untuk mencari kesepakatan. Sesuatu yang amat malang jika Parlimen ke-13 dimulakan dengan meluluskan satu peruntukan yang boleh memecahbelahkan negara serta membangkitkan persoalan asasi tentang integriti Perlembagaan dan juga kematangan para pemimpin negara dalam menyatukan dan bukannya memecahbelahkan kaum, agama, dan kebudayaan yang pelbagai yang membentuk Malaysia. Atas sebab inilah kabinet perlu menarik balik Seksyen 107(b) yang mengandungi ayat sepanjang dua baris dalam Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang setebal 64 halaman dan mempunyai 116 Seksyen itu untuk memberi masa kepada rakyat Malaysia mencapai muafakat tentang pertukaran agama kanak-kanak di bawah umur agar selari dengan Perlembagaan serta untuk mengukuhkan integriti keluarga, kebebasan beragama dan keharmonian masyarakat. LIM KIT SIANG ketua Parlimen DAP dan ahli Parlimen Gelang Patah. | ||||
Posted: 30 Jun 2013 04:00 AM PDT CHANGLUN - Misteri kehilangan seorang wanita sejak lima hari lalu, akhirnya terjawab dengan penemuan mayat mangsa dalam keadaan menyayat hati di sebuah perigi sedalam kira-kira lima meter di Kampung Cherok Mokkan, Hosba, dekat sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, mangsa, Latifah An, 50, ditemui meninggal dunia dalam keadaan bertelangkup oleh ibu saudara mangsa kira-kira 10 meter dari rumahnya ketika dia kebetulan ingin membersihkan laman kediamannya. Ibu saudara mangsa, Siti Rosni Arif, 58, berkata, anak saudaranya yang mengalami kemurungan dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar rumah awal pagi pada 25 Jun lepas, bagaimanapun usaha mencari mangsa tidak membuahkan hasil. "Walaupun puas kami mencari dalam satu kampung, namun dia tetap tidak ditemui. Justeru, saya sememangnya tidak menyangka akan menemuinya dalam perigi pusaka berusia 100 tahun di pekarangan kediaman saya ini. "Kami sekeluarga tidak jemu-jemu mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin sejak menyedari kehilangan Latifah pada Selasa lalu, dengan harapan dapat bertemu semula dengannya. Malah, pagi ini (semalam), sebelum menemui dia saya juga berbuat demikian," katanya. Minta petunjuk Siti Rosni berkata, dia melakukan solat sunat dengan harapan ALLAH SWT akan memudahkan pencarian dan memberi petunjuk kepada mereka mengenai kehilangan Latifah dan kemudiannya meneruskan aktiviti seharian dengan keluar membersihkan sampah-sarap di pekarangan rumah. "Ketika asyik membersihkan kawasan berkenaan, tiba-tiba saya terbau sesuatu kurang menyenangkan dari arah perigi lama itu, saya terus menghampirinya dan mendapati sesuatu objek tidak jelas timbul. "Saya kemudiannya mendapatkan cermin mata untuk memastikan benda berbau itu. Saya dapati satu mayat terapung berpakaian merah dan dipenuhi lalat dalam perigi lama itu," katanya. Manakala, abang ipar mangsa, Nik Mohd Kamil Nik Musa, 54, dia bergegas ke lokasi penemuan mangsa selepas menerima maklumat mengenai penemuannya kira-kira jam 8.30 pagi, semalam, apabila dimaklumkan isterinya, Hazah An, 53. Katanya, Latifah yang mengalami kemurungan dipercayai sering memencilkan diri 24 jam di kediaman mereka selepas kematian ibunya pada 2006, justeru tidak menyangka mangsa akan keluar dari rumah. Menurutnya, mereka hanya menyedari kehilangan Latifah pada jam 4 pagi, Selasa lalu, selepas mendapati dia tiada di rumah dan dimaklumkan penduduk setempat mengenai kelibat seorang wanita sedang berjalan-jalan di kawasan itu. "Walaupun sedih, kami lega kerana akhirnya berjaya menemui Latifah setelah beberapa hari kami sekeluarga mencarinya," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohamed Yusof berkata, pihaknya ada menerima laporan polis berhubung kematian wanita itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Difahamkan, mayat anak kelima daripada tujuh beradik itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cherok Mokkan selepas selesai bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), dekat sini, semalam. | ||||
MB Selangor: Daftar kahwin dapat insentif Posted: 30 Jun 2013 03:55 AM PDT SINAR HARIAN SHAH ALAM - Anak Selangor atau pemastautin di negeri ini selama 15 tahun yang melangsungkan perkahwinan tahun ini digesa mendaftar perkahwinan di 56 pusat khidmat masyarakat seluruh Selangor untuk menerima insentif perkahwinan belia. Menggesa demikian, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pemberian insentif RM200 seorang itu adalah untuk pasangan berumur 35 tahun ke bawah. Mereka diminta mendaftarkan nama di pusat khidmat masyarakat masing-masing selepas tiga bulan bernikah bagi yang beragama Islam, atau bagi bukan Islam, perkahwinan mereka didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara. "Dengan mendaftar, pihak kerajaan negeri mempunyai maklumat bagi memberi bantuan tambahan seperti Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) jika mereka mendapat anak, dan mengenal pasti calon-calon yang layak menerima perumahan mampu milik yang bakal dibangunkan kerajaan negeri, " kata Abdul Khalid selepas menyampaikan insentif itu kepada lebih 100 pasangan di sini, hari ini. Buat masa ini, katanya, hanya 170 pasangan telah mendaftar dengan kerajaan negeri bagi mendapatkan kemudahan itu. Abdul Khalid berkata pemberian insentif bagi fasa pertama adalah sebanyak RM400 setiap pasangan dan akan dinaikkan kepada RM500 pada masa akan datang. Beliau berkata bagi pasangan beragama Islam, pemberian insentif itu akan dilaksanakan menerusi simpanan di Lembaga Tabung Haji manakala bagi bukan Islam menerusi Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional. "Walaupun jumlah RM200 itu kecil bagi sesetengah individu tetapi ia dapat mengurangkan beban kewangan yang ditanggung pengantin baru dan pemberian menerusi bentuk simpanan itu akan dapat mendidik mereka menabung untuk masa hadapan mereka dan anak-anak," katanya. Abdul Khalid berkata setiap tahun Selangor mencatatkan lebih 25,000 pasangan yang berkahwin dengan 18,000 daripadanya pasangan beragama Islam dan selebihnya bukan Islam. - Bernama | ||||
SPRM akan siasat SPR berhubung kemelut dakwat kekal Posted: 30 Jun 2013 03:51 AM PDT Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menubuhkan pasukan untuk menyiasat kemelut dakwat kekal, untuk melihat apakah terdapat pecah amanah dalam pembelian dakwat itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali mengesahkan tentang siastan ini akan tetapi enggan untuk memberi huraian lanjut. Akan tetapi The Malaysian Insider difahamkan pasukan itu telah ditubuhkan minggu lepas. Terdapat rungutan umum berkenaan dengan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum 5 Mei. Dakwat kekal yang bertujuan untuk menghalang penggundian berulang itu gagal berfungsi apabila ramai rakyat Malaysia mendapati ianya mudah untuk ditanggalkan. SPR berdepan tekanan selepas pendedahan di Parlimen baru-baru ini dimana bahan kimia dalam dakwat tersebut telah diganti dengan pewarna makanan yang menyebabkan ia mudah ditanggal. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Shahidan Kassim mengakui di Dewan Rakyat pada Rabu lalu pewarna makanan, bukannya nitrat perak yang digunakan dalam dakwat kekal. Beliau berkata dakwat tertanggal kerana bahan kimia yang sepatutnya adalah punca dakwat tersebut mudah dibersihkan tetapi juga menyalahkan pengundi yang cuba membasuhnya sebagai punca ia tidak kekal. Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof juga berhadapan tekanan daripada umum selepas dilaporkan beliau menerima surat daripada Kementerian Kesihatan mengatakan kerosakan buah pinggang dan risiko barah berkemungkinan dihadapi oleh pengundi sekiranya dakwat kekal mengandungi nitrat perak melebihi daripada satu peratus. | ||||
Jalan utama Sibu ke Miri akan menjadi lebuh raya sepenuhnya menjelang 2015 Posted: 30 Jun 2013 03:49 AM PDT Jalan dua hala Pan-Borneo sepanjang 400 kilometer yang merupakan jalan utama antara Sibu, Bintulu dan Miri di Sarawak akan dinaik taraf menjadi lebuh raya sepenuhnya menjelang 2015. Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata keutamaan diberi kepada jalan itu berikutan pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbahru Sarawak (Score) yang dijangka membawa kesan positif terhadap ekonomi di kawasan itu. "Memandangkan beberapa bahagian jalan itu telah dinaiktaraf, Insya-Allah ia (kerja menaik taraf) boleh disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Kontraktor Malayu Malaysia (PKMM) cawangan Sarawak di sini hari ini. Beliau berkata tumpuan selepas ini ialah menaiktaraf jalan antara Serian dan Betong melibatkan laluan kira-kira 186 kilometer. "Sudah pasti, berdasarkan manifesto (pilihan raya umum ke-13 Barisan Nasional) kami akan melaksanakannya dalam tampoh lima tahun akan datang, dan pelaksanaannya dibuat secara berperingkat," katanya. Beliau berkata permohonan peruntukan daripada kerajaan negeri Sarawak untuk projek lebuh raya itu kini berada di Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri untuk kelulusan. -Bernama, | ||||
Awang Selamat desak Tony Pua untuk berhijrah jika tidak gembira Posted: 30 Jun 2013 03:45 AM PDT Sasaran terbaru adalah ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dari DAP Tony Pua. Awang Selamat, nama samaran bagi pengarang Mingguan Malaysia edisi Ahad Utusan Malaysia telah menyertai kontroversi Jonker Walk di Melaka. Akhbar tersebut menuduh media Cina dan badan bukan kerajaan salah tafsir apa yang ingin dilakukan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron. Mereka mengatakan Idris tidak pernah mengarahkan jalan itu ditutup kepada trafik. Ketua Menteri Melaka itu juga menafikan peniaga-peniaga di Jonker Walk diarahkan untuk menghentikan operasi. Ahli-ahli politik DAP dan MCA mengecam langkah untuk menutup jalan itu dan menghalang peniaga untuk membuka kedai mempercayai ini adalah balasan kepada masyarakat Cina kerana mengundi pembangkang. Pua turut menyelar Idris kerana kenyataannya yang berbeza-beza mengatakan beliau mempunyai memo dikeluarkan oleh Datuk Bandar – dihantar kepada peniaga di Jonker Walk mengatakan mereka tidak boleh mendirikan gerai sepanjang jalan itu. Awang Selamat menyerang kembali Pua. Awang Selamat mengatakan ahli Parlimen DAP itu dalam memperjuangkan peniaga Jonker Walk telah mmenyinggung hati umat Islam apabila mencadangkan Pasar Ramadan ditutup kerana menyesakkan lalu lintas. "Beliau mencadangkan pasar Ramadan turut ditutup kerana didakwanya menyebabkan kesesakan lalu lintas. Tony juga mungkin mengambil mudah kesabaran orang Islam, yang ada batasnya. Nasihat Awang, jika beliau tidak suka dengan suasana dan kewujudan pasar Ramadan di negara ini, elok sahaja beliau berhijrah ke Taiwan atau Hong Kong," kata penulis itu. Mingguan Malaysia dilihat menggunakan komen Pua yang diberikan kepada pemberita di lobi Parlimen di luar konteks. Beliau berkata jika kesesakan lalu lintas dijadikan rasional penutupan Jonker Walk, maka pasar malam, pasar tani dan pasar Ramadan di seluruh negara perlu ditutup kerana turut menyebabkan kesesakan lalu lintas. Utusan Malaysia dan edisi Ahadnya, Mingguan Malaysia, pada masa lalu juga pernah menggesa pemimpin parti pembangkang dan aktivis Bersih untuk meninggalkan negara ini kerana menentang penipuan pilihan raya dan isu-isu panas lain. | ||||
Kes KPN Khalid, Menteri Zahid Hamidi Jejas Kredibiliti Kementerian, Polis Posted: 30 Jun 2013 01:23 AM PDT SHAH ALAM : Kes mahkamah yang melibatkan dakwaan salahguna kuasa Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri telah mengakibatkan kredibiliti kedua-dua institusi itu berada pada tahap yang sangat rendah. "Kes-kes seperti ini jelas menunjukkan salah guna kuasa sewaktu dalam jawatan am dan tindakan sewajarnya perlu diambil tidak kira siapapun yang terlibat," kata peguam dan MP Padang Serai N Surendran. Dengan deretan kes kematian dalam tahanan, terbaru Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pula memutuskan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu bertanggungajawab atas kematian A. Kugan ketika di dalam tahanan polis. Kugan didapati mati akibat didera secara fizikal semasa soal siasat polis empat tahun lalu. Dalam keputusannya Hakim, Datuk V. T. Singham mengatakan, Khalid yang pada ketika itu merupakan Ketua Polis Selangor, cuai untuk memastikan keselamatan tahanan sewaktu soal siasat dijalankan. Tidak cukup dengan itu, Mahkamah Rayuan Khamis lalu menolak permohonan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengenepikan kes saman terhadapnya daripada dibicarakan di mahkamah. Saman tersebut difailkan seorang ahli perniagaan, Amir Bazli Abdullah terhadap Zahid Hamidi yang didakwa menyerangnya di Kelab Rekreasi Country Heights di Kajang, Selangor, pada 16 Januari 2006. "Jika perlu siasatan dan perbicaraan, pihak berkenaan juga harus jalankan tanggungjawab sekalipun yang perlu disiasat ialah seorang Menteri," tegas Surendran. Beliau bagaimanapun tidak meletakkan sebarang keyakinan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap kedua-dua individu yang memegang jawatan tertinggi itu. Ujarnya, berdasarkan rekod-rekod lepas, pihak polis dan kementerian tidak pernah dibiarkan bebas menjalankan tugas sepertimana digariskan perlembagaan. Sebaliknya mereka hanya bertindak mengikut arahan politik. "Apapun, seperti yang kita katakan sebelum ini, kita minta Ketua Polis Negara meletakkan jawatan kerana gagal memastikan keselamatan tahanan sehingga menyebabkan kematian. "Kita juga desak agar siasatan sewajarnya dijalankan ke atas Zahid (Hamidi) lebih-lebih lagi terdapat keterangan dan dokumen sokongan jelas dalam kes ini termasuk laporan kesihatan plaintif dan sebagainya," tambah Naib Presiden PKR ini. | ||||
Kereta ADUN disimbah cat, dilontar batu Posted: 30 Jun 2013 01:13 AM PDT Keganasan politik nampaknya tidak reda-reda walaupun pilihan raya umum ke-13 sudah berlalu. Dalam insiden terbaru, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh Khoo Poay Tiong pula mendapati keretanya disimbah dengan cat merah dan dilontar batu. Khoo berkata, pada jam 7.30 pagi tadi, beliau dapati bahagian belakang Honda CRV yang mempunyai logo ketiga-tiga parti gabungan dalam Pakatan Rakyat dilitupi cat merah. "Cermin belakang juga retak kerana dibaling dengan batu," katanya ketika dihubungi. Khoo berkata, beliau dan keluarganya berada di rumah dan tidur kira-kira jam 1 pagi tanpa mengesyaki sesuatu. "Memang kami ada dengan sesuatu pada masa itu tetapi kami tidak jangkakan perkara macam ini," katanya. | ||||
K'jaan, polis akan rayu kes Kugan Posted: 30 Jun 2013 01:12 AM PDT MALAYSIA KINI Kerajaan dan polis akan memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi minggu lepas yang memberi award lebih RM800,000 sebagai bayaran ganti rugi kepada N. Indra, susulan kematian anak lelakinya A. Kugan ketika dalam tahanan polis pada Januari 2009. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) berkata kerajaan akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan dan jika gagal ia akan dibawa ke Mahkamah Persekutuan. "Saya menghormati keputusan yang dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Datuk V.T Singham dan itu adalah keputusan mahkamah, oleh kerana keadilan harus diikuti bukan sahaja oleh pihak tertuduh tetapi juga pihak yang menuduh, maka sudah pasti ketua polis negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) dan kerajaan akan mengemukakan rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Alumni Sekolah Izzuddin Shah dan Sekolah Menengah Raja Perempuan Ta'ayah (Sista) ke-35 serta Koperasi bekas pelajar Izzuddin dan Ta'ayah (Kosista) ke-15 hari ini. N. Indra menang dalam kes saman itu di Mahkamah Tinggi pada 26 Jun lepas apabila mahkamah mendapati plaintif telah membuktikan tuntutannya terhadap defendan-defendan. Singham memberi award RM851,700 kepada Indra bagi ganti rugi serangan dan memukul, penjara palsu, misfeasans, kesakitan dan penderitaan. Singham juga memerintahkan Khalid (yang ketika itu Ketua Polis Selangor), bekas konstabel polis V. Navindran, bekas Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar (yang telah meninggal dunia), ketua polis negara dan kerajaan untuk membayar RM50,000 sebagai kos.- Bernama | ||||
Kroni dapat berbilion ringgit kerana bantu BN dalam PRU- Anwar Posted: 30 Jun 2013 12:58 AM PDT Oleh: Masdar Wahid PETALING JAYA : Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiga kroni Umno BN mendapat pinjaman mudah dan projek berbilion ringgit kerana membantu parti itu, dua hari selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13. Menurutnya, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary dan Tan Seri Kenneth Eswaran masing-masing mendapat pinjaman bernilai RM500 juta serta syarikat Pexco milik Tan Sri Ananda Krishnan yang dianugerah projek carigali minyak dan gas di Sarawak. "Syed Mokhtar dapat RM500 hingga RM 600 juta sukuk hanya kerana dia bantu Umno dalam PRU. Adakah tiada melayu lain atau peniaga berpotensi dipertimbangkan? "Kedua, kerajaan lulus bilion ringgit kepada syarikat Ananda krishnan untuk carigali minyak di Sarawak. Saya tidak pertikai Ananda kerana dia India, tapi sama macam Syed Mokhtar, ini semua kroni. Kenapa tidak adakan tender dan beri peluang pada rakyat terutama anak sarawak? "Ketiga Tan Seri Kenneth, tokoh India yang bantu Najib dapat pinjaman mudah dari Bank Pembangunan RM500 juta. Bank ini patut utamakan bantu syarikat IKS dan peniaga baru yang berpotensi," katanya pada Majlis Makan Malam untuk mengutip dana petisyen PRU di Theam Hou Temple, Kuala Lumpur semalam. Turut hadir, Ahli Parlimen seperti Datuk Dr Tan Kee Wong (Wangsa Maju), Tian Chua (Batu), Hee Loy San (Petaling Jaya Selatan), Mohd Rafizi Ramli (Pandan), Teresa Kok (Seputeh), R Sivarasa (Subang), Ketua Cabang KEADILAN Putrajaya, Onn Abu Bakar dan pimpinan Pakatan Rakyat pelbagai peringkat. Katanya, Pakatan Rakyat menolak tawaran perdamaian nasional yang diutarakan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak selagi isu penipuan pilihan raya tidak diselesaikan. "Najib kata rekonsiliasi, tapi terima penipuan PRU, terima rasuah dan rasis. Saya kata kami tolak penipuan PRU, tolak rasuah dan rasis," katanya disambut tepukan gemuruh kira-kira 500 hadirin pelbagai kaum. Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan gerak kerja mendedahkan penipuan PRU diteruskan melalui apa jua medium. Sejumlah RM18, 447 berjaya dikutip pada malam itu dan program sama akan turut diadakan di Pulau Pinang dan Johor Bahru selepas ini. | ||||
Kes Kugan: Apakah hakim terima tekanan bersara awal? – Shamsul Posted: 30 Jun 2013 12:56 AM PDT Oleh: Ruqayya RahmanKUALA LUMPUR : Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk V.T. Singham bersara pada usia 65 ketika usia persaraan wajib dinaikkan kepada 66 tahun menimbulkan pelbagai persepsi di kalangan rakyat. Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, meskipun keputusan itu hak peribadi hakim berkenaan, namun ia menimbulkan pertanyaan di kalangan rakyat. "Ia membuatkan rakyat tertanya-tanya adalah beliau menerima tekanan yang luar biasa dari mana-mana pihak untuk bersara," kata Shamsul kepada Keadilan Daily. Ahli Parlimen Bukit Katil itu turut memuji penghakiman VT Singham dalam kes kematian A Kugan yang disifatkan memberi harapan baru terhadap integriti badan kehakiman. "Ketika rakyat sudah mula hilang harapan dengan institusi kehakiman, kita dikejutkan dengan tindakan berani seorang hakim senior yang tidak disangka-sangka "Saya yakin, rakyat terkejut dengan tindakan itu, malah persaraan awal beliau turut mengejutkan banyak pihak. Namun saya juga yakin, lebih ramai hakim muda dan berani akan mengikut jejak langkah beliau," kata Shamsul. Terdahulu, V.T. Singham pada 26 Jun lalu membuat penghakiman yang tidak memihak kepada polis dan kerajaan berhubung kes kematian dalam tahanan, A. Kugan pada 2009. Keputusan itu dilihat mencipta sejarah apabila kali pertama mangsa yang mati dalam tahanan polis mendapat pembelaan sewajarnya dengan menerima pampasan RM801,700 daripada polis dan kerajaan. Bagaimanapun, dua hari selepas membuat penghakiman berkenaan, media melaporkan Singham tidak menyambung tempoh perkhidmatannya dan bersara pada hari jadinya yang ke-65. | ||||
Azmin: Peluang pengundi Kuala Besut tukar k’jaan Terengganu Posted: 30 Jun 2013 12:52 AM PDT Masdar Wahid KUALA LUMPUR: Pengundi Kuala Besut berpeluang untuk menukar kerajaan negeri di Terengganu dengan mengundi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut. Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin ALi berkata, pengundi di DUN Kuala Besut wajar memanfaatkan sebaiknya dengan menunjukan kuasa sebenar mereka. "Kita sudah beri peluang pada Umno-BN di Terengganu pada penggal lalu. Tiada perubahan besar untuk rakyat. Maka amat penting rakyat menghantar mesej jelas. "Masa depan Terengganu bukan ditentukan Umno, tetapi kuasa rakyat. "Gunakanlah kuasa itu sebaiknya," katanya ketika ditemui Keadilandaily pada program 'Wacana Ucapan Dasar, Laksana Satu Nyawa' bersama Timbalan Presiden KEADILAN, di NZ Curry House, KLCC semalam. Beliau menjangka BN akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan kerusi berkenaan, apatah lagi ia melibatkan risiko kehilangan kuasa pentadbiran di negeri itu. "Bagi Umno, ianya perlu untuk mempertahankan kerajaan negeri. "Bagi Pakatan Rakyat, ia amat perlu untuk kita membentuk sebuah kerajaan negeri yang baru sekiranya Pakatan Rakyat dapat menawan semula kerusi berkenaanm," kata Azmin. | ||||
SPRM perlu panggil Taib Mahmud, bukan hanya siasat fail – Nazib Posted: 30 Jun 2013 12:49 AM PDT Azuan Ab Rahman KUCHING : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memanggil Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk disoal siasat berhubung kes rasuah dihadapinya dan bukan hanya sekadar menyiasat dokumen, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN Sarawak, Ahmad Nazib Johari. Beliau mengulas kenyataan Penolong Pesuruhjaya Bahagian Siasatan SPRM, Lim Bee Kean bahawa kes itu berpanjangan ekoran jumlah dokumen dan saksi yang banyak untuk diteliti pasukan penyiasat. "Saya desak SPRM panggil Taib Mahmud untuk disiasat. Beliau adalah saksi utama. Kita tidak hanya mahu fail-fail yang disiasat, tetapi yang paling penting adalah Taib Mahmud sendiri," "Apakah negara ini guna dua jenis undang-undang? Jika kes melibatkan rakyat biasa, tidak sampai seminggu sudah dipanggil SPRM, tetapi apakah SPRM berani memanggil Taib Mahmud ?" katanya ketika dihubungi Suara keadilan. Katanya, beliau sendiri telah membuat banyak laporan terhadap Ketua Menteri Sarawak itu sejak 2010, namun tiada jawapan memuaskan dari SPRM. "Kita melihat jawapan SPRM ini sebagai satu dolak dalih. Hingga ke hari ini, jawapan yang dberikan cuma sandiwara untuk menutup perkara sebenar dari pengetahuan rakyat," kata Nazib. Malaysiakini hari ini melaporkan kenyataan Lim Bee Kean bahawa siasatan itu berpanjangan kerana banyak dokumen dan saksi yang terlibat untuk diteliti. Siasatan itu dipercayai merujuk skandal rasuah membabitkan ketua menteri paling lama di Malaysia itu termasuk pendedahan video Global Witness tentang pengakuan saudara Taib yang memperoleh tanah dengan cara mudah di Sarawak. Bercakap di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya hari ini, Bee Kean berkata SPRM meneliti 400 fail dan kenyataan dirakamkan daripada lebih 20 individu yang dipercayai berkaitan kes itu. Menurut suruhanjaya itu, soal Taib tidak bekerjasama tidak timbul kerana beliau sendiri menafikan pernah menyifatkan SPRM 'nakal dan tidak jujur' serta enggan bekerjasama. | ||||
Posted: 30 Jun 2013 12:42 AM PDT Modus operandi agensi DENGAN menawarkan pakej umrah murah, sebuah syarikat berjaya memperdaya orang ramai untuk menyertai pakej umrahnya. Syarikat ini melalui ejennya yang dilantik akan menawarkan pakej umrah dengan serendah RM3,9000 ini kepada orang ramai. Jika seseorang itu berminat dengan pakej itu, ejen syarikat berkenaan akan meminta mereka mendaftar dahulu dengan syarikat untuk membuat tempahan bagi menjalankan umrah. Selepas itu, mereka akan diminta membayar RM2,000 sebagai wang pendahuluan dan syarikat berkenaan akan meminta pelanggan untuk membayar wang selebihnya secepat mungkin. Melihat pelanggan sudah masuk ke dalam 'perangkapnya', syarikat itu akan memberi 'janji manis' kepada pelanggannya mengatakan mereka akan menyelesaikan semua urusan umrah itu secepat mungkin. Tambahan pula, syarikat tersebut akan meminta pelanggannya untuk membayar seperti kos penerbangan, kos penginapan dan bermacam lagi. Apabila tarikh untuk pelanggannya untuk bergerak menunaikan umrah semakin dekat, syarikat itu akan menunda penerbangan pelanggannya dan memberikan pelbagai alasan mengatakan mereka masih belum menyelesaikan beberapa perkara. Syarikat yang dinaungi oleh seorang yang bergelar Datuk yang terletak di Kota Damansara itu berjaya menipu ramai orang dan membuat keuntungan berjuta-juta ringgit. Pengakuan mangsa penipuan agensi umrah Mangsa Pertama Mangsa pertama, Biyani Saad, 62 tahun mendapat tawaran untuk menawarkan umrah dengan harga murah daripada salah seorang agennya yang dikenali sebagai Shamsul, iaitu kenalan rakannya, pada awal tahun ini. Biyani berkata, hanya lapan orang terpilih termasuk dirinya sahaja yang mendapat tawaran hebat itu iaitu pakej mengerjakan umrah bernilai RM3,900. "Bagi orang lain yang ingin mengerjakan umrah, syarikat itu menawarkan harga RM4,450 dan ejen itu meminta saya mencari tujuh orang lagi untuk pergi mengerjakan umrah," katanya. Mendengar berita itu, Biyani terus memberitahu adik-beradiknya dan rakannya mengenai perkara itu. Katanya, dia bersama lapan orang jemaah lain mendaftarkan diri untuk menunaikan umrah dan membuat menyelesaikan semua bayaran pada 5 Februari lalu. Biyani berkata, ejen syarikat itu memberitahunya bahawa dia dan lapan orang jemaah lain akan berlepas untuk menunaikan umrah pada 10 Mei lalu. "Walau bagaimanapun, agensi itu menukar tarikh penerbangan kepada 14 Mei atas alasan visa pelanggan masih belum siap," katanya. Menurutnya, selepas itu, agensi itu beberapa kali menunda penerbangan jemaah dan mereka berjanji bahawa pelanggannya akan berlepas ke Makkah pada 13 Jun ini. Kata Biyani, apabila sudah tiba waktu yang ditetapkan, dia cuba menghubungi ejen yang berurusan dengannya akan tetapi gagal dihubungi. "Saya cuba menghubungi agensi itu tetapi usaha saya sia-sia apabila tiada siapa daripada agensi itu menjawab panggilan saya," katanya. Merasakan dirinya tertipu, dia terus membuat laporan polis mengenai insiden ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya. Mangsa kedua "Saya tidak ke surau selama 10 hari kerana saya sangat kecewa dan sedih kerana mengetahui saya ditipu," kata seorang lagi mangsa, Alias Yunus, 66. Alias berkata, dia mengetahui tentang pakej umrah ini daripada saudaranya dan dia mengambil keputusan untuk mengerjakan umrah bersama isteri dan saudaranya. Katanya, dia membayar wang deposit sebanyak RM2,000 pada Disember tahun lalu dan membayar RM1,900 pada 16 Mac yang lalu. Menurutnya, seminggu selepas membuat bayaran kedua, agensi berkenaan memintanya untuk membayar RM200 kerana agensi itu mendakwa kos makanan di Makkah sudah meningkat. "Atas kepercayaan sesama Islam, saya membayar wang berkenaan dalam tempoh dua hari," katanya. Alias berkata, pada awalnya, agensi itu memberitahunya bahawa tarikh penerbangannya ke Mekah adalah pada 25 Mei 2013. Alias berkata, walau bagaimanapun, agensi itu menunda tarikh penerbangan beberapa kali atas pelbagai alasan. "Mereka memberi alasan seperti bilik hotel yang ditempah oleh mereka untuk kami sudah penuh dan pelbagai alasan lain," katanya. Akhirnya, Alias berkata, akibat tidak tahan dengan agensi itu, dia bersama anaknya terus ke pejabat agensi itu di Kota Damansara dan dia terkejut apabila pejabat itu sudah tidak berpenghuni. Alias berkata, dia sangat kecewa dan dia terus membuat laporan polis dan pihak tribunal mengenai perkara ini. Tindakan pihak berkuasa Menurut Presiden bahagian Pembangunan Halalan Toyyiban dan Hal Ehwal Islam, Lembaga Pembangunan Pengguna Malaysia (LPPM), Abdul Aziz Ismail, pihaknya sudah menerima kira-kira 1,500 aduan di Lembah Klang mengenai kes ini. Beliau juga menjangkakan lebih ramai lagi yang tertipu kerana pihaknya hanya menerima aduan dari pengadu di sekitar Lembah Klang sahaja. Aziz berkata, ada jemaah umrah dari negeri lain yang membuat aduan mengenai penipuan yang dibuat oleh agensi ini. "Hasil penipuan ini, agensi ini berjaya mengaut keuntungan hampir RM6 juta," katanya ketika ditemui selepas menemui mangsa yang ditemui di Kota Damansara, semalam. Aziz berkata, beliau akan meneliti kes ini dan akan cuba membantu mangsa yang ditipu secepat mungkin. "Saya berharap agensi ini dapat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed berkata, beliau mengesahkan bahawa menerima laporan mengenai kes ini. Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berkenaan kes ini dan belum tangkapan yang dibuat setakat ini. "Kami masih siasat perkara ini," katanya kepada Sinar Harian. | ||||
Umno Besut yakin sokongan tak berubah Posted: 30 Jun 2013 12:37 AM PDT SINAR HARIAN BESUT - Umno Bahagian Besut yakin pengundi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut akan menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi. Pengerusi Biro Penerangan Umno Bahagian itu, Datuk Wan Zakaria Abdul Rahman berkata ini kerana pengundi melihat kerajaan BN menunaikan janji yang dibuat pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) melalui projek pembangunan yang sedang dilaksanakan kerajaan terutama untuk golongan nelayan di kawasan itu. Pilihan raya kecil Dun Kuala Besut akan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Dr A. Rahman Mokhtar, 55, pada Selasa lepas akibat kanser paru-paru. Wan Zakaria berkata sepanjang tempoh Allahyarham Dr A Rahman menjadi wakil rakyat di kawasan itu, banyak projek pembangunan yang telah dilaksanakan dan masih banyak lagi sedang dibangun dan dalam perancangan. "Pengundi di Dun Kuala Besut, menaruh harapan besar BN kekal di kawasan itu kerana masih banyak projek pembangunan untuk golongan nelayan termasuk di Pulau Perhentian akan dilaksanakan kerajaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Menurut Wan Zakaria antara rancangan besar yang sedang dibangunkan di Pulau Perhentian termasuk pembangunan penempatan penduduk melalui pembinaan tiga blok rumah pangsa, masjid dan projek pelancongan. Wan Zakaria yang pernah menjadi wakil rakyat kawasan itu selama tiga penggal berkata, pertandingan merebut kerusi Dun Kuala Besut dijangka menarik kerana ia pilihan raya kecil pertama selepas PRU13 Mei lalu dan berdasarkan pengalamannya beliau yakin peluang BN untuk mempertahankan kerusi itu adalah cerah. - Bernama | ||||
Kehilangan tonggak utama punca JDT kecundang Posted: 30 Jun 2013 12:35 AM PDT KEHILANGAN tiga tonggak utama, Mohd Safiq Rahim, Mohd Safee Sali dan Andrezinho yang terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan pada awal separuh masa pertama punca Johor Darul Takzim (JDT) gagal mencatat kemenangan ke atas Kelantan semalam. Penolong jurulatih JDT, Ismail Ibrahim menyifatkan ketiadaan ketiga-tiga pemain tersebut jelas merencatkan strategi awal yang telah diatur oleh ketua jurulatih, Fandi Ahmad sebelum perlawanan bermula. "Tidak dinafikan kehilangan tiga pemain tersebut (Safee dan Andre mengalami kecederaan pangkal paha manakala Safiq kecederaan di buku lali) jelas telah melumpuhkan gerakan tengah. "Dan itu telah diambil kesempatan oleh Kelantan untuk menguasai perlawanan. "Saya pun tidak tahu mahu cakap apa, kecewa memang kecewa dan semua pasukan kami merasainya. "Tapi inilah dunia bola sepak, ada kalah dan menang. Apa pun saya ucapkan tahniah kepada Kelantan kerana muncul juara tahun ini," kata Ismail kepada pemberita selepas perlawanan itu. Pada masa sama, Ismail turut tidak menolak kemungkinan faktor kemenangan pasukan Gergasi Pantai Timur itu lebih kepada sejarah penyertaan mereka yang banyak beraksi di pentas final manakala hanya dua pemainnya, Norshahrul Idlan Talaha dan Nurul Azwan Roya pernah beraksi di final sebelum ini. "Mungkin pengalaman yang memberi kelebihan kepada Kelantan berbanding kita, saya lihat corak permainan yang dipamerkan Kelantan mantap. "Mereka banyak menguasai bola dan itu beza antara kita dan Kelantan. "Namun saya berharap pengalaman kali ini akan menjadi pengajaran berguna untuk pemain khususnya pemain muda untuk menghadapi baki perlawanan Liga Super selepas ini," ujarnya. Semalam, misi JDT untuk menamatkan penantian selama 15 menjulang Piala FA tidak kesampaian apabila tewas 0-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Mengulas mengenai keputusan itu, Ismail menganggap nasib tidak memihak kepada pasukannya meskipun mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol. "Jika kita lihat pada akhir perlawanan, pemain JDT menunjukkan perubahan berbanding separuh masa pertama. "Kita banyak memberi tekanan kepada Kelantan malah mempunyai peluang untuk menjaringkan gol tapi tiada rezeki. "Justeru itu, saya harap pemain akan lupakan kekalahan ini dan kembali fokus pada saingan Liga Super yang turut menjadi misi kita untuk menjadi juara musim ini," jelas beliau. | ||||
Dakwat kekal: SPR tiada halangan disiasat SPRM Posted: 30 Jun 2013 12:31 AM PDT SHAH ALAM – Badan yang mengendalikan pilihan raya di negara ini sedia untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran terdapatnya laporan membabitkan isu dakwat kekal. Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya tidak bimbang dengan siasatan itu sebaliknya percaya, ia dapat membersihkan imej SPR yang tercalar. Menurutnya, SPR juga ingin mengetahui sekiranya ada perkara yang tidak betul dilakukan oleh badan berkanun tersebut khususnya dalam isu dakwat kekal yang menjadi perhatian umum. "Bagus, kita akan bagi kerjasama kepada SPRM, SPR juga nak tahu mungkin ada apa-apa perkara tak betul berlaku yang kita tak tahu. "Itu (penyiasatan) memang betul, ia akan membersihkan nama SPR. "Kita tak mahu perkara tidak betul berlaku dalam SPR, kita ada tanggungjawab dan kredibiliti," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini. Dipetik daripada satu portal berita, SPRM hari ini menyatakan telah menubuhkan pasukan untuk menyiasat kemelut dakwat kekal untuk melihat apakah terdapat pecah amanah dalam pembelian dakwat itu oleh SPR. Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali mengesahkan tentang siasatan itu akan tetapi enggan mengulas lanjut. Bagaimanapun mengikut laporan portal berita berkenaan, difahamkan pasukan itu telah ditubuhkan minggu lepas ekoran terdapat rungutan umum berkenaan dengan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum 5 Mei. Dalam pada itu, Wan Ahmad menyatakan SPR belum mendapat sebarang surat atau pemberitahuan daripada pihak SPRM untuk melakukan siasatan terhadap badan berkanun tersebut. "Belum lagi setakat ini, saya pun tidak tahu semua perkara, saya belum terima apa-apa maklumat. "Bagaimanapun jika benar kita akan beri kerjasama," katanya lagi. | ||||
DPPM Seru Pemuda Berjihad di Medan PRK KB Posted: 29 Jun 2013 04:50 PM PDT smnoorKUALA TERENGGANU - Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menegaskan pilihanraya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut (KB) sebagai satu pilihanraya yang amat penting bagi menentukan kekuatan dan keberadaan PAS di negeri Terengganu.Oleh itu, DPPM bersedia bersama-sama pemuda seluruh negara untuk turun 'berjihad' dalam medan pilihanraya kecil Kuala Besut (PRK KB) pada bila-bila masa sahaja walau pun ia akan diadakan pada bulan Ramadhan. Bahkan, Ketua Penerangannya Usta Ridhuan Mohd Nor yakin kemenanngan akan menyebelahi PAS sekiranya PRK KB dalam bulan Rmadhan kerana ia merupakan bulan jihad dan bulan kemenanngan yang menyaksikan kemenangan Islam dalam peperangan pada masa lalu. "kita yakin (menang) jikalau pilihanraya kecil diadakan dalam bulan Ramadhan, InsyaAllah, kerana Ramadhan adalah bulan Jihad dan bulan kemenangan, bulan yang menyaksikan kemenangan peristiwa-peristiwa pertembungan di antara Iman dan Kufur, "bagaimana peristiwa di medan 'Yaumul Furqan' (iaitu) perang Badar al-Kubra, Ramadhan menyaksikan kemenangan operasi perang Tabuk, Ramadhan (juga) menyaksikan pembukaan kota Mekah,"ujarnya ketika ditemuI selepas menghadiri Karnival Ushawan Sempenan Ambang Ramadhan di Perkarangan Surau al-Ikhwan Gelong Bilal, dekat sini. [Lihat Vdeo]Beliau berkata demikian mengulas peluang PAS dalam PRK KB yang bakal diadakan dalam masa 60 hari, berikutan kekosongan kerusi DUN tersebut baru-baru ini. Menurutnya, sejarah plihanraya kecil yang berlaku dalam bulan Ramadhan juga telah mencatatkan kejayaan PAS pada masa lalu sebagaimana yang berlaku pada PRK Permatang Pasir Pulau Pinang dan PRK Pulai Condong di Kelantan. Justeru, beliau menyeru kepada semua pemuda agar dapat menyiapkan pasukan masing-masing menuju ke medan 'jihad' bagi memastikan kemenangan PAS pada PRK KB, yang akan merubah kedudukan pentadbiran dan pemerintahan negeri Terengganu. | ||||
Pulau Pinang johan Sukan Pasti Malaysia Posted: 29 Jun 2013 04:41 PM PDT
Pengurus bola sepak Pasti Pulau Pinang, Mohd Amin Dillak ketika dihubungi berkata, Pulau Pinang mencatat sejarah apabila memenangi kedua-dua acara sukan itu. Akhirnya kata beliau, segala usaha guru Pasti melatih pelajar di peringkat cawangan dan kawasan yang membawa kepada mewakili negeri berjaya sekaligus memberikan semangat kepada Jawatankuasa yang mengelolakan pasukan di peringkat negeri. "Sekalung tahniah kepada guru dan pengelola di peringkat negeri yang bertungkus lumus mengajar teknik permainan yang menggayakan serta berjaya menanam semangat yang kental di kalangan pemain," ujarnya. Pada Pesta Sukan Pasti ke-9 itu, Pulau Pinang berjaya membenamkan hasrat Kedah dengan jaringan 4-0. Tempat ketiga dimenangi Kelantan yang mengalahkan Terengganu menerusi sepakan penalti. Pengurus Bola jaring Pasti Pulau Pinang, Masyitah Saleh ketika dihubungi berasa bangga apabila pasukan bimbanganya berjaya mengalahkan Perak dengan keputusan 9-7. Tuan rumah, Kedah tidak menghampakan peminat apabila memperolehi tempat ketiga menewaskan Negeri Selangor. Pesta Sukan Pasti itu dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahya sementara acara penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Datuk Mahfuz Omar | ||||
Peminat JDT terkandas di Larkin Posted: 29 Jun 2013 04:36 PM PDT JOHOR BAHRU – Hasrat seramai 125 penyokong setia Johor Darul Takzim (JDT) untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di Stadium Bukit Jalil malam ini lebur apabila bas dan tiket yang dijanjikan penganjur tidak diperolehi. Tinjauan Sinar Harian mendapati penyokong mula berkumpul di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin, seawal jam 6.45 pagi kononnya penganjur menyediakan tiga buah bas yang dijangka rombongan bertolak ke Kuala Lumpur kira-kira jam 8 pagi. Pekerja Swasta Mohd Rasul Abdul Razak,28, antara terawal yang tiba di stadium namun selepas hampir tiga jam menunggu bas yang dinanti tidak kunjung tiba serta gagal memperoleh tiket. "Saya mengambil keputusan untuk menghubungi penganjur bagaimanapun, wakil mereka yang dikenali sebagai Syafiq masih memberi jaminan bas berkenaan akan sampai secepat mungkin kerana masih dalam perjalanan. "Penganjur berjanji dengan bayaran RM110, mereka menyediakan pakej meliputi tiket perlawanan, pengangkutan pergi dan balik, sarapan pagi dan cenderahati. Saya tiada pilihan untuk memilih pakej berkenaan disebabkan banyak penganjur lain telah menutup tempahan," katanya. Turut menyatakan kekecewaan pelajar tingkatan empat, Muhd Daniyal A Rahim,16, yang memenangi tiket daripada pertandingan yang dianjurkan kerajaan negeri. "Saya adalah salah seorang peminat JDT yang terpilih memenangi tiket percuma namun disebabkan hanya ada satu tiket saya mengambil keputusan untuk menyertai rombongan ini kerana rakan saya ingin turut serta. "Selain itu, ibu bapa juga risau jika saya pergi seorang diri ke Bukit Jalil... namun tidak menyangka keterujaan kami menonton aksi perlawanan akhir itu bertukar kekecewaan, tiket ini saya simpan sebagai kenangan," katanya. Kakitangan hotel, Norhaslinda Mohd Roslan,27, bersama lapan rakannya telah menempah pakej yang disediakan oleh penganjur melalui Facebook manakala pembayaran juga dibuat secara online seminggu lalu. "Jika mereka menghadapi masalah pengankutan atau tiada tiket, sepatutnya peserta rombongan diberitahu lebih awal, jadi kami masih boleh memikirkan rancangan lain untuk ke Bukit Jalil asalkan kami dapat ke stadium. "Kami tidak pernah terlepas ke Stadium Larkin setiap kali perlawanan membabitkan JDT, saya dan rakan-rakan mengambil keputusan menyewa dua kereta untuk ke Kuala Lumpur. Apabila tiba si sana barulah kami mencari tiket sekiranga kami bertuah ada pihak yang ingin menjual tiket disaat akhir," katanya. Kira-kira jam 11 pagi wakil penganjur, Mohd Syafiq Zarif Zainuddin tiba di lokasi berkenaan dan cuba menenangkan penyokong sebelum beredar. Beliau kemudiannya kembali dan memulangkan semula wang berjumlah RM11, 310 kepada penyokong dan sempat memohon maaf. Walaupun mendapat bayaran semula, ia tetap mengecewakan penyokong-penyokong yang bersemangat memberi sokongan kepada pasukan JDT. Namun keadaan masih terkawal dan tiada insiden tidak diingin berlaku. | ||||
KJ: Ambil tindakan banteras ulat tiket Posted: 29 Jun 2013 04:35 PM PDT SINAR HARIAN KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini berkata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu lebih tegas dan mengambil tindakan terhadap sindiket ulat tiket perlawanan bola sepak di negara ini. Khairy berkata beliau akan berbincang dengan FAM mengenai usaha membanteras masalah ulat tiket perlawanan bola sepak yang didapati kian aktif, agar tidak mengudang kekecohan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air. "Satu perkara yang saya tidak puas hati adalah dari segi penjualan tiket. Kita nampak memang ada permintaan tinggi terutama untuk perlawanan akhir Piala FA, menyebabkan ramai penyokong bola sepak terpaksa beratur berjam-jam. "Laporan yang saya terima menunjukkan ada yang dapat meniru tiket secara pukal dan dijual pada harga lebih tinggi berbanding apa yang ditetapkan," katanya. Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat perkampungan Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini. Menurut beliau, fenomena sebegitu tidak seharusnya dibiarkan dan pihak terlibat perlu dikenakan tindakan sebagaimana dilakukan di negara lain yang berdepan masalah serupa. Media baru-baru ini melaporkan terdapat segelintir individu cuba mengaut keuntungan apabila menjual tiket perlawanan akhir Piala FA antara pasukan Kelantan dan Johor Darul Takzim (JDT) pada harga lebih tinggi berbanding harga asal RM40, di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu, Kelantan. - Bernama | ||||
Penyokong Kelantan bertindak ganas Posted: 29 Jun 2013 04:12 PM PDT KUALA LUMPUR - Kemeriahan sementara menantikan pasukan kesayangan beraksi di pentas final Piala FA dicemari dengan insiden kekecohan di pintu masuk Stadium Nasional Bukit Jalil. Semuanya gara-gara sekumpulan penyokong Kelantan mula bertindak di luar kawalan dengan menceroboh pintu masuk stadium yang dikhaskan untuk penyokong pasukan itu . Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 petang itu menyebabkan seorang remaja lelaki cedera di kepala apabila pintu masuk tiba-tiba terjatuh dan mengenai kepalanya. Remaja berkenaan kemudiannya dikejarkan ke hospital berhampiran. Menurut seorang Pegawai Polis PGA, Asri Musa, kejadian tersebut berlaku begitu pantas kerana penyokong tidak sabar mahu memasuki stadium. "Mereka bagaikan dirasuk. Mereka dengan cepat masuk ke kawasan pintu tersebut," katanya kepada wartawan Sinar Harian Online. Polis berjaya meleraikan situasi itu kira-kira 20 minit kemudian. Dalam pada, Bernama melaporkan segelintir penyokong bertindak liar dengan membaling beberapa objek larangan termasuk bekas berisi air dan sisa makanan. Walaupun jumlah anggota keselamatan ditingkatkan kepada 2,000 orang, namun nyata gagal menghalang segelintir penyokong daripada melakukan perbuatan itu. | ||||
Posted: 29 Jun 2013 04:11 PM PDT Keputusan itu sekali gus melayakkan pasukan bimbingan Bojan Hodak itu bergelar johan untuk kali kedua berturut-turut. Gol tunggal Kelantan dijaringkan oleh Mohd Norfarhan menerusi hantaran kapten pasukan, Mohd Badhri Radhzi (Piya) pada minit ke-16. Kelantan juara Piala FA Dalam perlawanan malam ini, Kelantan hampir mendapatkan jaringan awal pada babak pertama perlawanan menerusi pemain pertahanannya, bagaimanapun sepakan tersasar. Sepakan percuma pertama yang diterima oleh Farid Ramli gagal membolosi gawang Kelantan setelah ditangkap kemas oleh Khairul Fahmi Che Mat (Apek). Kelantan sekali lagi hampir menjaringkan gol tetapi percubaan pemain importnya, Dickson Nwakaeme gagal menembusi gawang JDT yang berjaya dikekang pertahanan lawan pada minit keempat. Kelantan terus menunjukkan taring apabila percubaan Ahmad Fakri Saarani yang menerima lorongan daripada Nwakaeme hampir menjaringkan gol untuk pasukan The Red Warriors (TRW), tetapi dihalang kemas oleh Muhd Al-hafiz pada minit kelapan. Pada minit ke-11, Kelantan terus berusaha mendapatkan gol awal namun percubaan hasil sepakan percuma tersasar. Keghairahan Kelantan dalam memburu gol pertama akhirnya tertunai apabila rembatan kencang Mohd Norfarhan hasil hantaran kapten pasukan, Mohd Badhri Radzi pada minit ke-16 berjaya menewaskan Al-Hafiz. Tersentak dengan gol awal Kelantan, jurulatih JDT, Fandi Ahmad mengubah strategi dengan mengeluarkan Safee Sali dan memasukan penyerang import, Leonel Nunez. Kemasukan Nunez nyata memberi kesan apabila setelah 16 minit berlangsung peluang pertama JDT muncul, namun kedudukannya offsaid. Nunez sekali lagi membahayakan gol Kelantan pada minit ke-26, namun percubaan itu berjaya diselamatkan oleh Mohd khairul Fahmi Che Mat (Apex). Kelantan terus mengatur strategi dan melakukan serangan, namun percubaan Nwakaeme dan Fakri gagal menambah gol Kelantan setelah dikekang pertahanan JDT, pada minit ke-36. Bersambung babak kedua, JDT mula bertindak agresif dengan melakukan asakan menerusi Nunez. Percubaan sepakan percumanya tersasar jauh. Fandi Ahmad yang terus mencari gol penyamaan sekali lagi melakukan pertukaran dengan membawa keluar Safiq Rahim dan menggantikan Ezrie. Perubahan yang dilakukan Fandi nyata tidak membuahkan hasil apabila setiap percubaan yang dilakukan berjaya dihalang pertahahan Kelantan. Pada minit ke-58, pemain JDT, Farid Ramli dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan setelah mengasari lawan. Peluang Kelantan untuk menambah gol kedua terbuka luas apabila sepakan percuma yang dilakukan Piya nyaris membolosi gawang, bagaimapun berjaya didakap kemas penjaga gol JDT. JDT terus melakukan serangan bertali arus menerusi sepakan percuma Azwan Roya namun ia masih gagal oleh skuad Harimau Selatan. Selepas itu, pada minit ke-77, pemain Kelantan, Daudsu dilayangkan kad kuning kerana mengasari pihak lawan diluar petak penalti dan tendangan percuma untuk JDT. Namun, hantaran lintang Azwan roya juga diselamatkan oleh Apex. JDT yang masih enggan berputus asa terus berusaha mencari gol penyamaan dan tendangan percuma oleh Nunez hampir menjaringkan gol namun tersasar. Akhirnya, keputusan 1-0 kekal sehingga ke wisel penamat dan keputusan itu sekali gus memadam impian JDT untuk menjulang Piala FA buat julung kali. Senarai barisan pemain Kelantan: Azizi Matt Rose, Obinna Nwaneri, Nik Shahrul Azim, Mohd Shakir Shaari, Ahmad Fakri Saarani, Mohd Norfarhan, Mohd Duadsu, Badhri Radzi (K), Mohd khairul Fahmi, Dickson Nwakaeme, Zairul Fitree Senarai barisan pemain JDT: Mohd Al-Hafiz, Kamarul Afiq (K), Ahmad Tharmini, Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha. Andre Francisco, Nurul Azwan Roya, Mohd Safee Sali, Muhd Nazri Ahmad, Jasazrin Jamaluddin, Mohd Farid Ramli. | ||||
MIC terkejut, senada dengan MCA Posted: 29 Jun 2013 04:08 PM PDT MALAYSIA KINI MIC hari ini senada dengan rakan BN-nya MCA apabila meluahkan perasaan terkejutnya terhadap rang undang-undan berkaitan penukaran agama kanak-kanak.Bendahari MIC Kebangsaan Jaspal Singh berkata, perkara itu tidak dapat diterima dan mereka tidak dibawa berunding berhubung perkara itu. Beliau merujuk kepada Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 yang dibentangkan di Parlimen pada Rabu lalu. "(Pindaan) ini paling berbahaya, subversif dan klausa antiperlembagaan entah bagaimanapun dimasukkan dalam rang undang-undang. "Jelas sekali tiada perunding-perunding dengan pihak berkaitan, jika tidak kita akan akan ketengahkan ketidakadilan dalam klausa berkaitan," katanya dala m kenyataan hari ini. Katanya, menukar agama kanak-kanak tanpa persetujuan kedua ibu bapa bertentangan dengan prinsip keadilan asasi. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan