Khamis, 20 Jun 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Khalid tegur Syabas lagi

Posted: 20 Jun 2013 03:37 AM PDT


Abdul Khalid Ibrahim
Abdul Khalid (tengah) ketika sidang media selepas Mesyuarat Exco di Bangunan SSAAS, semalam.
 
SHAH ALAM – Syabas diminta lebih cekap dalam menyelesaikan kejadian paip bocor selain memantau loji serta rumah pam bagi mengelakkan kerosakan yang boleh menjejaskan kehidupan pengguna di Lembah Klang dan Putrajaya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan terus memantau kerja penyelenggaraan yang dibuat syarikat konsesi itu dalam memastikan bekalan air terawat mencukupi.

"Oleh kerana isu penyusunan semula industri air kita akan bincangkan dengan kementerian berkaitan minggu depan, kita juga memantau kerja yang dibuat Syabas supaya bekalan air terawat berterusan.

"Lembaga Urus Air Selangor (Luas) juga memaklumkan paras air di semua kolam takungan di negeri ini dalam keadaan memuaskan walaupun cuaca panas ketika ini," katanya kepada media selepas Mesyuarat Exco, di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini semalam.

Dalam pada itu katanya, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) telah mengemukakan permohonan untuk membuat kerja penggantian injap sluis (Sluice Valve) di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1).

Beliau berkata, kerja penggantian itu memerlukan operasi separuh daripada loji berkenaan perlu dihentikan selama lapan jam, kelmarin.

"Kerja penggantian berjadual ini menyebabkan gangguan bekalan air di Kolam Imbangan Matang Pagar yang membekalkan air ke kawasan Petaling dan Kuala Lumpur.

"Pihak SPLASH telah mengeluarkan notis pemberitahuan kepada pengguna air dan kerja penggantian injap sluis itu telah siap sepenuhnya jam 4 petang semalam (kelmarin) dan loji berkenaan telah beroperasi secara normal dengan membekalkan 750 juta liter sehari.

"Kita dimaklumkan bekalan air sepatutnya telah kembali pulih sepenuhnya pagi hari ini  (semalam) kecuali kawasan tinggi yang mengambil sedikit masa kerana masalah tekanan air rendah," katanya.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan menggunakan air dengan cermat sebagai langkah berjaga-jaga.

Skandal PKFZ: Ling Liong Sik selesai bela diri

Posted: 20 Jun 2013 03:29 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER
 
Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik yang didakwa menipu kerajaan Malaysia berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) selesai membela diri selepas memanggil saksi terakhirnya, iaitu Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) Datuk Faizal Abdullah.

Dr Ling, 70, yang diperintah membela diri pada 9 Mac tahun lepas, mengemukakan sembilan saksi, termasuk dirinya dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmadi Asnawi menetapkan 22 Julai untuk hujahan.

Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1.088 bilion sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Kementerian Kewangan, dalam menentukan nilai itu, telah mengambil kira kadar kupon.

Dia juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 Sept dan 6 Nov 2002.

Terdahulu, Faizal memberitahu mahkamah bahawa Dr Ling tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam syarikat KDSB atau syer dan tidak pernah menawarkan habuan untuk projek PKFZ.

Faizal, yang merupakan Timbalan Ketua Pegawai Operasi KDSB ketika projek itu berlangsung, berkata sepanjang proses penjualan tanah di Pulau Indah beliau hanya berurusan dengan bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pengangkutan Datuk Zaharah Shaari, bekas Timbalan KSU Datuk Abdul Rahman Mohd Noor dan bekas Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Maritim P.Chandrasekaran.

Ditanya peguam Wong Kian Kheong sama ada beliau pernah berjumpa Dr Ling ketika itu, Faizal berkata: "Saya tidak ingat."

Dr Ling didakwa pada 29 Julai 2010, dan perbicaraan yang bermula 1 Ogos 2011 membabitkan 25 saksi pendakwaan termasuk bekas pegawai Kementerian Pengangkutan dan menteri kabinet.

Barisan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah. - Bernama,

Suhakam Minta Polis Patuhi Akta Kaedah-Kaedah Lokap

Posted: 20 Jun 2013 03:20 AM PDT


memorandum SUHAKAM

KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan memastikan pihak polis mematuhi dan menguatkuasakan Akta Kaedah-kaedah Lokap dan Kod Prosedur Jenayah.

Pematuhan kepada akta ini bagi memastikan kes kematian dalam tahanan lokap yang disebabkan oleh kecuaian polis dapat dikurangkan.

Ini kerana menurut Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam, pihaknya tidak mampu menangani kes kematian dalam tahanan polis yang dikatakan terlalu ramai dan makin kritikal.

Beliau difahamkan setakat ini, sebanyak 222 kes kematian dalam lokap dilaporkan sejak tahun 2000, dengan kes terbaru membabitkan seorang jurutera, P Karuna Nithi yang disahkan meninggal dunia di Balai Polis Tampin, Negeri Sembilan.

"Kami tidak mampu untuk mendengar lebih banyak kes kematian dalam tahanan yang dilaporkan saban hari.

"Negara ini mempunyai undang-undang dan Akta Kaedah Lokap yang harus dipatuhi polis, antaranya memastikan tahanan berada dalam keadaan selamat, memastikan kamera litar tertutup (CCTV) berfungsi untuk memantau keadaan tahanan.

"Memaklumkan kepada keluarga tahanan sekiranya berlaku sesuatu dengan kadar segera selain mematuhi jangka masa soal siasat, hak dan keselamatan orang dalam tahanan.

"Undang-undang sudah ada, polis hanya perlu ikut sahaja. Apa yang boleh saya jamin ialah pihak Suhakam akan menggesa supaya akta ini dikuatkuasakan untuk mengelak perkara sama berulang lagi," katanya semasa menerima memorandum daripada keluarga mendiang Karuna di ibu pejabat Suhakam, di sini pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan PKR, S Manikavasagam yang mewakili keluarga mendiang menggesa supaya Suhakam menubuhkan satu badan siasatan bebas untuk menyiasat punca sebenar kematian Karuna.

Tegasnya, pihaknya sudah menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tempoh hari atas tujuan sama (menyiasat kematian Karuna), namun tiada respon diberikan sehingga hari ini.

"Sudah banyak kali kes sebegini dilaporkan, tetapi malangnya polis tidak pernah ambil sebarang tindakan.

"Polis ambil jalan mudah dengan mengatakan tahanan diserang sakit jantung. Adakah ini adil untuk keluarga mendiang sedangkan laporan perubatan sudah sahkan mendiang dicederakan," tegasnya.

Memorandum itu antara lainnya mempersoalkan tindakan polis yang tidak memindahkan mendiang ke penjara Sungai Udang setelah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, sebaliknya membiarkan Karuna di Balai Polis Tampin.

Keluarga mendiang turut mempersoalkan mengapa tiada rakaman CCTV dilakukan pada hari kejadian sehingga menimbulkan syak wasangka bahawa polis cuba menyembunyikan bukti.

Selain itu, memorandum tersebut turut mempertikaikan mengapa keluarga mendiang masih tidak diberikan sebarang penjelasan tentang perkara sebenar yang berlaku sehingga mengakibatkan kematian Karuna.

Karuna,42, disahkan meninggal dunia pada 1 Jun lalu di ibu pejabat polis daerah Tampin, sehari sebelum keluarganya sempat mengumpul wang untuk mengikat jaminnya.

Sehari selepas itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh dilaporkan berkata tiada unsur jenayah dalam kes kematian Karuna yang ditahan pada 27 Mei selepas didakwa menyerang isterinya dan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun pada 14 Jun lalu, dalam laporan bedah siasat ke atas mangsa menunjukkan mendiang mengalami 49 kecederaan.

Sebahagian besar kecederaan disebabkan oleh objek tumpul pada dada dan kaki, demikian menurut laporan yang disediakan oleh Perunding Forensik Hospital Tuanku Jaafar, Dr Sharifah Safoorah Syed Alwee Al'Aidrus.

Mahkamah Diminta Batal Lantikan 5 Senator

Posted: 20 Jun 2013 03:16 AM PDT

 
KELAB GREENBOC
 
Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran semalam memfailkan permohonan untuk Semakan Kehakiman terhadap lima ahli BN yang memegang jawatan dalam Kabinet.

Menurutnya, semakan itu dibuat berikutan kes Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Datuk Paul Low Seng Kuan yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak sah mengikut undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Sementara tiga timbalan menteri yang dilantik dalam Kabinet, Waythamoorthy Ponnusamy, Dr Loga Bala Mohan Jaganathan dan Ahmad Bashah Md Hanipah tidak berhak menyandang jawatan tersebut mengikut undang-undang yang sama.


Tambahnya, pelantikan jawatan di Kabinet perlu dipilih daripada ahli Dewan Negara atau ahli Parlimen yang menang pilihan raya lalu atau mengangkat sumpah sebagai Senator.

"... jelas menunjukkan undang-undang tersebut seseorang yang dilantik menjadi menteri atau timbalan menteri perlulah menjadi ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat atau seorang senator.

"Mengikut pelantikan kelima-lima orang ini, nampaknya kehendak Perlembagaan tidak diikuti dan saya hairan walaupun PRU sudah kali ke-13, berapa ratus menteri telah dipilih dan dilantik, kesilapan demikian boleh dilakukan lagi," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kulasegaran yang juga naib presiden DAP berkata, melalui permohonan itu kesemua mereka yang terlibat perlu mengembalikan semula anugerah, keistimewaan dan kelebihan kewangan yang diperolehi semasa dilantik menjadi ahli Kabinet.

"Mereka perlu kembalikan segala kelebihan yang diperolehi selepas dilantik menjadi menteri atau timbalan menteri selepas menerima notis tujuh hari selepas tarikh perintah diperolehi," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa pihak ekemnterian dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak memohon maaf kepada rakyat kerana kesilapan yang dilakukan mengenai perkara tersebut selepas mengetahuinya.

"Saya berharap selepas menteri yang terlibat atau Najib mendengar perkara ini, mereka akan meminta maaf kepada rakyat.

"Ini adalah kes pertama pada pengetahuan kami, ia tak pernah berlaku sebelum ini, ini memalukan," katanya.

Penumpang bas penuh musim perayaan, kenapa naik tambang

Posted: 20 Jun 2013 03:13 AM PDT

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menggesa SPAD dan Kementerian Pengangkutan mengkaji semula mekanisme kenaikan tambang bas 10% bagi musim perayaan yang diumumkan kelmarin.

Setiausahanya, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, kenaikan tersebut adalah satu jalan mudah yang diambil oleh kerajaan dengan membiarkan kenaikan kos ditanggung sepenuhnya oleh pengguna awam di kala kerajaan sering kali mencanangkan slogan 'rakyat didahulukan' dan gagal mengemukakan penyelesaian dengan nilaian transformasi di dalam isu itu.

Pada masa yang sama, katanya kerajaan masih gagal menjelaskan pendiriannya mengenai permintaan PMBOA yang menuntut kenaikan tambang 30% setelah kenaikan yang terakhir dilakukan pada tahun 2008 sedangkan isu ini telah tertangguh sejak 2012 lagi.

Katanya, dihimpit dengan kenaikan kos dan dikekang pula dari meningkatkan perolehan, pengusaha dikhuatiri akan mengambil jalan pintas dengan menurunkan tahap pengurusan risiko jalanraya dan kualiti kepenggunaan atas alasan meneruskan kelangsungan perniagaan mereka.

Ini, kata beliau secara langsung meletakkan nyawa pengguna dalam bahaya dan meningkatkan kadar kemungkinan berlaku kemalangan yang bakal meragut nyawa pengguna.

Katanya lagi, kewajaran mekanisme kenaikan tambang 10% ketika musim perayaan yang menjadi rutin tahunan boleh dipersoalkan memandangkan syarikat bas ekspres pastinya mencatatkan kapasiti penumpang penuh dan berada pada tahap paling efisien.

Menurutnya, kenaikan tambang ketika waktu puncak sebegitu seolah-olah seperti memeras ugut pengguna yang terdesak mencari pengangkutan untuk pulang ke kampung di musim perayaan.

Justeru, ujarnya amat mendukacitakan apabila kementerian dan SPAD mengizinkan perilaku kartel sebegini tanpa sebarang kawalan.

Pada masa yang sama, kata beliau kajian semula tambang bagi penggal 5 tahun memerlukan keputusan segera.

Langkah awal, katanya ialah dengan menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji sebarang rasional kenaikan tambang bas termasuklah menilai kesaksamaan tambang dan kualiti serta mengemukakan pelan alternatif jangka panjang bagi menangani kesan inflasi ke atas perkhidmatan pengangkutan awam.

Pada masa yang sama, ujarnya SPAD digesa untuk tekad menangani isu ini dengan penuh ketelusan dengan memberikan akses kepada jawatankuasa tersebut fakta untung-rugi sub sektor pengangkutan bas ekpress bagi mengkaji dan menentusah dakwaan kenaikan kos operasi yang dijadikan alasan kepada kenaikan tambang tersebut.

"Sebagaimana yang telah ditegaskan sebelum ini, kerajaan juga perlu memikirkan strategi alternatif dan bukannya secara mudah memaksa rakyat menanggung kenaikan kos khususnya apabila terdapat polisi kerajaan yang menyumbang kepada kenaikan tersebut," ujarnya lagi.

Antaranya, kara beliau dengan mengembalikan subsidi petrol dan diesel serta melaksanakan diskaun jalan bertol bagi bas ekpress.

Pada masa yang sama, tambahnya potongan cukai atau voucher boleh diperuntukkan kepada pengusaha bagi pembelian peralatan dan casis.

"Secara asasnya, insentif-insentif ini boleh mengurangkan kos operasi sekaligus mengurangkan tekanan untuk menaikkan tambang bas," katanya.

MB T'ganu 'mengamuk' isu Pasar Payang

Posted: 20 Jun 2013 03:11 AM PDT

Hazayani Zakaria,


KUALA TERENGGANU: Seperti yang dijangka, isu pembinaan Pasar Besar Kedai Payang yang baru benar-benar menghangatkan sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) yang pertama kali diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Selepas usul berhubung isu tersebut ditolak Yang Dipertua Dewan Mohd Zubir Embong Selasa lalu, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) mengambil peluang membangkitkannya sewaktu sesi penggulungan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, petang semalam.

Ketika Ahmad menjelaskan isu tersebut, Syed Azman bangun meminta penjelasan berhubung pemberian projek bernilai RM400 juta itu kepada sebuah syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

"Saya mohon penjelasan adakah benar projek ini diberikan kepada Syarikat Gabungan Granite yang dimiliki oleh Tan Sri Datuk Abu Sahid Muhamed, Lim Chiau Woei, Law Phooi Wong dan Chan Lai Choon.

"Pasar payang ini adalah persoalan warisan Negeri Terengganu. Bukan sahaja saya yang membuat bantahan tetapi Datuk Seri Menteri Besar perlu teliti pandangan ramai (dari) dalam negeri dan luar negeri dan seorang penulis prolifik Anak Terengganu, Awang Goneng menulis dengan jelas dalam akhbar New Straits Times, kalau nak bina hotel, bina di tempat lain," kata beliau ketika bangun mencelah.

Ahmad menafikan projek tersebut mendapat bantahan ramai sebaliknya mendakwa 'pihak-pihak tertentu' mempengaruhi peniaga Pasar Payang supaya membantah projek tersebut.

Beliau tidak menjawab dakwaan Syed Azman berhubung pemberian projek kepada bukan anak tempatan itu.

Tidak berpuas hati, Syed Azman bangun memohon penjelasan sekali lagi.

"Saya tanya soalan yang spesifik iaitu kepada syarikat mana projek ini diberikan. Kalau saya gunakan bahasa 'jawapan bodoh' tak kena dengan dewan tapi jawapan memang jawapan bodoh," katanya.

Ahmad kemudiannya melenting dan berkata 'dah soalan bodoh, jawapan biar bodohlah. Mung (awak) mahu apa lagi?'

"RM400 juta bukan kita beri projek ini kepada kontraktor tapi kepada pemaju yang majukan. PhD apa begini tak faham?" sanggahnya lagi.

Pertikaman lidah berlarutan beberapa minit dan turut disampuk beberapa wakil BN sehingga Mohd Zubir mengarahkan mereka diam dan bertenang.

"Kalau dikatakan panas dan sesak, kenapa tak diperbaiki pasar sedia ada? Kenapa perlu dibina pasar baru sekali dengan hotel dan apartmen?" soal Syed Azman lagi.

"Baik pulih tidak memberikan erti yang besar. Kerajaan bina pasar baru untuk memberikan yang terbaik kepada peniaga dan orang ramai," jawab Ahmad.

56 Adun Johor angkat sumpah hari ini

Posted: 20 Jun 2013 02:48 AM PDT

SINAR HARIAN

NUSAJAYA - Sebanyak 56 anggota dewan undangan negeri (Adun) Johor hari ini mengangkat sumpah jawatan pada satu majlis di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini.
  
Kesemua Adun daripada BN dan pembangkang itu mengangkat sumpah taat setia dalam memelihara dan mempertahankan perlembagaan negeri Johor.
  
Mereka mengangkat sumpah di hadapan Speakar Dun yang baharu dilantik Datuk Mohamad Aziz dengan didahului Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
  
Terdahulu Mohamed Khaled mengemukakan nama bekas Anggota Parlimen Sri Gading itu sebagai Speaker Dun yang baharu dan disokong Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Adun Mahkota, Md Jais Sarday.
  
Majlis diteruskan dengan sesi mengangkat sumpah Timbalan Speaker yang baru, Datuk Baderi Dasuki, yang juga Adun Panti dan disusuli semua Adun lain.

Mohamad, 72, pernah berkhidmat sebagai Adun Parit Yaani dari 1986 hingga 1999 dan pernah menggalas jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial dan Kebajikan Masyarakat negeri Johor bagi tempoh 1990 hingga 1995.
  
Pada pilihan raya umum 1999 beliau menang kerusi Parlimen Sri Gading yang dipertahankannya pada pilihan raya 2004 dan 2008. Mohamad juga merupakan Timbalan Pengerusi Tetap Umno sejak 2008.
  
Sementara itu, dalam ucapannya Mohamad menyifatkan pelantikan berkenaan sebagai satu penghormatan dan berjanji akan mengendalikan persidangan Dun Johor sebaik mungkin.
 
Beliau turut berterima kasih kepada bekas Speaker Datuk Mohd Ali Hassan dan bekas Timbalan Speaker Datuk Osman Jais atas jasa kedua-dua mereka sepanjang mengendalikan persidangan penggal lepas.
  
Pada pilihan raya 5 Mei lepas, BN berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga apabila menang 38 daripada 56 kerusi Dun yang dipertandingkan.
  
Daripada 18 Dun yang dimenangi pembangkang, 13 daripadanya DAP, empat (Pas) manakala satu daripada PKR. - Bernama

Anwar kekal ketua pembangkang

Posted: 20 Jun 2013 02:46 AM PDT


Anwar_Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim 
 
KUALA LUMPUR- PR memutuskan untuk mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengetuai gabungan itu di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen ke-13 yang akan bermula minggu depan.

Anwar berkata keputusan itu telah diputuskan dalam perbincangan bersama Majlis Tertinggi Kepimpinan PR yang telah diadakan.

"Dalam perbincangan, saya diminta untuk menyambung tugas sebagai Ketua Parlimen PR bagi sesi ini," katanya secara ringkas pada sidang media, di ibu pejabat Pas, di sini, hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan DAP yang mendapat kerusi terbanyak di Parlimen iaitu 38 kerusi telah mencadangkan penasihatnya, Lim Kit Siang menyandang jawatan ketua pembangkang.

Malah lazimnya, ketua parti yang paling banyak menang kerusi dilantik menjadi ketua pembangkang.

Bagaimanapun, Anwar dilihat "gentlemen" apabila menyatakan akan memberi laluan kepada Kit Siang jika dipilih menyandang jawatan tersebut.

Namun, PR punya persefahaman yang jelas berhubung jawatan ketua pembangkang setelah perikatan itu tewas kepada BN dalam pilihan raya umum, 5 Mei lalu.

Pas dan DAP memberikannya lampu hijau bagi meneruskan tanggungjawab yang digalasnya penggal lalu.

Pada PRU13 DAP berada di depan dengan 38 kerusi, PKR (30) dan Pas (21) kerusi Parlimen.

Cabul: Pelakon nekad saman pengarah

Posted: 19 Jun 2013 11:29 PM PDT


Pelakon nekad saman pengarah
Pelakon baru berusia 22 tahun ditemui Sinar Harian ketika hadir ke IPD Tampin, semalam bagi memberi keterangan.
 
TAMPIN – "Saya akan saman. Jangan anggap pelakon baru senang disentuh dan diugut untuk mendiamkan diri," kata pelakon yang menjadi mangsa cabul seorang pengarah drama.

Pelakon berusia    22 tahun itu ditemui Sinar Harian ketika dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, semalam bagi direkodkan keterangan berhubung insiden cabul yang berlaku di tempat penginapan di bandar ini, awal tahun ini.

Menurutnya, mencabul merupakan kejadian terbaru membabitkan perbuatan keji pengarah itu kerana kejadian kali pertama semasa pengarah berusia sekitar 60-an itu menghantarnya pulang ke Damansara.

"Pada masa itu saya terkejut dengan perbuatannya, namun pengarah itu ugut saya diamkan diri.Sekiranya perkara ini tersebar, nama saya dalam dunia lakonan akan 'gelap'.

"Saya memang minat berlakon, tetapi kerana insiden itu, saya takut untuk menerima tawaran berlakon. Jika diikutkan, pengarah itu merupakan pengarah ketiga yang pernah saya bekerjasama dan pengalaman bekerja dengannya memang benar-benar menakutkan saya," katanya.

Beliau berkata, selepas insiden yang berlaku antara Januari dan Februari lalu, pengarah berkenaan ada memberi tawaran berlakon kepadanya, tapi dia menolak kerana tidak mahu perkara sama berulang.

"Cukuplah insiden sebelum ini. Saya nekad untuk membuat laporan polis serta berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan pantas bagi memberi pengajaran kepada pengarah berkenaan," katanya.

Difahamkan, insiden yang berlaku itu semasa beliau jalani penggambaran drama 13 episod di bawah arahan pengarah dan juga penulis skrip itu di Air Mawang, Kuala Pilah.

Menurutnya, kejadian itu berlaku tiga hari berturut-turut apabila pengarah itu sesuka hati meraba tubuhnya dan menciumnya jika dia terleka.

"Saya harap apa yang berlaku kepada saya jadi tauladan. Malah, saya harap pengarah itu juga akan mendapat hukuman setimpal," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Wooi Kooi Cheang berkata, kes dalam siasatan polis.

"Hari ini (semalam), kita memanggil pelakon berkenaan untuk merekod keterangannya," katanya.

Anwar: Tiada pertemuan rahsia

Posted: 19 Jun 2013 11:24 PM PDT


Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
 
PETALING JAYA – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kenyataan bahawa beliau tidak bertemu Datuk Seri Najib Tun Razak di Indonesia sebagaimana dilapor sebuah portal berita baru-baru ini.

Katanya, tidak ada keperluan baginya untuk bertemu Perdana Menteri secara rahsia, sebaliknya kunjungannya ke negara jiran itu adalah atas jemputan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

"Saya bertemu Presiden Susilo selama hampir satu setengah jam. Sudah tentu saya gembira bertemu dengan beliau dan berterima kasih kepadanya atas pengiktirafan (jemputan) itu," katanya, semalam.

Anwar berkata, beliau boleh bertemu Najib secara terbuka di Parlimen dan tidak ada keperluan bagi mereka untuk bertemu secara rahsia sama ada di Jakarta atau di London.

"Kami juga boleh bertemu di pejabat Perdana Menteri," katanya mengulas laporan portal itu yang antara lain menyebut, pertemuan mereka mungkin berlaku untuk bantu Najib mengelak usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat

selepas BN mencatatkan keputusan kurang meyakinkan pada PRU13. Ini juga dikaitkan kemungkinan Presiden Umno itu dicabar pada pemilihan parti hujung tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan ke Indonesia, menafikan laporan mengenai pertemuan itu. Najib ke Jakarta pada masa Anwar pula di Bali.

Ditanya mengenai kecaman sesetengah pihak terhadap tindakannya mengadu kepada Susilo mengenai keputusan PRU13 yang tidak berpihak kepada pembangkang dan didakwanya sebagai berunsur penipuan, Anwar berkata, bukanlah satu jenayah baginya untuk bertemu pemimpin dari negara lain.

"Beliau (Susilo) pula wakili negara demokratik," katanya.

Pada sidang media sama, Anwar mengecam polisi ekonomi negara dengan menyelar penubuhan Jawatan Kuasa Dasar Fiskal yang diumum Najib kelmarin, sebagai usaha untuk menekan rakyat.

Selangor siasat penipuan PRU13

Posted: 19 Jun 2013 10:31 PM PDT


Abdul Khalid Ibrahim
Abdul Khalid Ibrahim
 
SHAH ALAM - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan penipuan dan pelanggaran peraturan pilihan raya yang berlaku di negeri ini pada PRU13.

Penubuhan itu katanya selaras dengan kuasa yang diberikan kepada kerajaan di bawah Seksyen 2(3)(d) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

"Kerajaan negeri akan mengumumkan ahli panel yang dilantik serta syarat dan peraturan suruhanjaya ini tidak lama lagi," katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, perihal penyelewengan dalam pilihan raya adalah sesuatu yang melibatkan kepentingan awam dan perkara ini termaktub di bawah akta berkenaan.

Malahan, ia adalah suatu kesalahan serius yang perlu diambil perhatian.

"... boleh merosakkan sistem demokrasi negara ini dan amat penting untuk kerajaan negeri menyiasat dakwaan itu bermula dari akar umbi.

"Satu sektretariat diketuai oleh YB Nik Nazmi Nik Ahmad - yang akan mengangkat sumpah sebagai Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor esok- akan bertindak sebagai penyelaras bagi memastikan suruhanjaya ini bergerak lancar," tambahnya lagi.

Rakyat Sarawak, Sabah diseru hadir Himpunan 22 Jun

Posted: 19 Jun 2013 10:28 PM PDT

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Rakyat Sarawak dan Sabah yang menetap di Lembah Kelang diseru hadir beramai-ramai bagi membantah penipuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Sabtu ini, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sarawak, Ahmad Nazib Johari.

Katanya, ia sebagai bantahan atas penyelewengan di dua Parlimen Sarawak yang ditandingi KEADILAN iaitu di Saratok dan Baram.

KEADILAN sebelum ini memfailkan petisyen pilihan raya bagi kedua-dua Parlimen tersebut.
Menurutnya lagi, sebahagian pimpinan Sarawak telahpun berada di Kuala Lumpur untuk menyertai bantahan tersebut.

Sementara itu, aktivis Bersih, Atama Katama yang berasal dari Sabah berkata, dinamik politik kini berbeza kerana rakyat sudah sedar penipuan dilakukan BN dan SPR.

"Sebab itu, saya minta anak-anak Sabah yang berada di Kuala Lumpur untuk sama-sama hadir ke himpunan Black 505 di Padang Merbok," katanya kepada Keadilan Daily.

Menurutnya, bagi mereka yang tinggal di Sabah, beliau dimaklumkan satu himpunan Solidariti Black 505 akan dibuat di Kota Kinabalu pada hari dan waktu yang sama dengan himpunan di Kuala Lumpur.

Black 505 peluang pemandu teksi tambah pendapatan

Posted: 19 Jun 2013 10:27 PM PDT

Oleh Azuan Ab Rahman

KUALA LUMPUR : Majoriti pemandu teksi menyatakan sokongan mereka terhadap himpunan Black 505, kata Pengerusi Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB), Amran Jan.

teksi

"Rata-rata pemandu teksi memang mengharapkan perubahan selepas pilihan raya lalu. Sebagaimana yang kita tahu, terdapat banyak bukti terjadinya penipuan dalam pilihan raya, jadi kami pemandu teksi bertegas menolak penipuan tersebut," katanya menambah ramai yang menyatakan akan hadir ke himpunan itu.

Ketika ditanya, beliau mengakui himpunan aman seumpama durian runtuh dan sedikit sebanyak menambah pendapatan mereka.

"Ramai orang berada di Kuala Lumpur pada acara tersebut, ini bermakna pemandu teksi ada peluang untuk tambah pendapatan," katanya lagi kepada Keadilan Daily.

Himpunan Sabtu: Polis diingat jangan sukarkan tuntutan rakyat

Posted: 19 Jun 2013 10:24 PM PDT

KEADILAN DAILY

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor membuat ketetapan untuk mengambil bahagian dalam Himpunan Black 505 yang akan berlangsung pada 22 Jun ini di Padang Merbok, Kuala Lumpur serta meminta Polis Diraja Malaysia tidak menyukarkan proses rakyat menuntut hak.

AMK Selangor sudah memulakan mobilisasi besar-besaran di seluruh Selangor dan akan terus melaksanakan penerangan agar Himpunan Black 505 nanti dihadiri ratusan ribu rakyat terutama anak muda sebagai tanda bantahan atas penipuan pilihan raya umum yang berlaku pada 5 Mei lalu.

rakyat

AMK Selangor bertegas bahawa ruang berhimpun ini adalah sesuatu yang harus dibenarkan dalam sebuah negara demokrasi, dan suara anak muda tidak seharusnya disekat demi kepentingan golongan penipu seperti Barisan Nasional.

AMK Selangor melihat kebangkitan anak muda hari ini tidak lagi berpaksikan atas bendera parti atau mana-mana pertubuhan tetapi atas semangat cintakan tanah air dan melakukan perubahan.

Rakyat tidak lagi melihat Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai pelindung hak demokrasi mereka. Oleh itu wajar Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR segera meletakkan jawatan dan bertanggungjawab atas kegagalan melaksanakan pilihan raya secara telus.

Justeru AMK Selangor menyeru anak muda semua bangsa yang cintakan tanah air untuk turut sama melakar sejarah negara ini. Turunlah ke Himpunan Blackout 505 dengan berbaju hitam dan dengan disiplin yang tinggi kerana matlamat kita hanyalah semata-mata meletakkan reformasi menyeluruh sebagai nafas baru demokrasi.

Azmizam Zaman Huri
Ketua AMK Selangor
Naib Ketua AMK Malaysia

Kemuncak Himpunan Black 505 malam esok

Posted: 19 Jun 2013 10:19 PM PDT

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Gabungan 'Suara Rakyat 505' mengadakan siri jelajah ke seluruh negara dengan menganjurkan flashmob bermula 15 Jun lalu dan kemuncaknya adalah pengiraaan detik akhir (final countdown) pada malam esok, 21 Jun.

Malam kemuncak itu akan diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di mana hadirin akan diberi penerangan bagi menghadapi himpunan di Padang Merbok keesokan harinya.

perhimpunan-black-505-kuala-lumpur-padang-merbok-15-jun-547x350

Menurut kenyataan dikeluarkan Suara Rakyat 505, gabungan itu juga akan menubuhkan sebuah pasukan sukarela bagi menggembleng kekuatan rakyat pada himpunan itu.

"Kami menegaskan bahawa hak untuk berhimpun secara aman adalah hak rakyat yang diperuntukkan oleh perlembagaan, khususnya bagi menyuarakan kepincangan yang berlaku dalam negara.

"Hak ini tidak wajar dicabuli dan tidak boleh dihalang oleh pihak berkuasa termasuklah DBKL. Justeru, kami tetap akan teruskan perhimpunan di Padang Merbok walaupun mendapat halangan DBKL," kata penganjur.

Tinggalkan BN demi kedaulatan Sabah

Posted: 19 Jun 2013 10:14 PM PDT

FREE MALAYSIA TODAY

Tanpa sokongan dari Sabah, BN akan tumbang dan kehilangan kuasa pemerintahan di Putrajaya, kata Jeffrey Kitingan. 

 

DUN Sabah

Oleh Percy Goliu

KOTA KINABALU: Datuk Dr Jeffrey Kitingan merayu, memujuk dan membodek wakil-wakil rakyat daripada komponen Barisan Nasional (BN) Sabah supaya bersatu meninggalkan parti itu beramai-ramai.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Reformasi Sabah (STAR) berkata wakil rakyat BN negeri harus bergabung untuk membentuk satu kuasa besar untuk menundukkan kuasa Kuala Lumpur demi kedaulatan Sabah sebagai sebuah negeri yang merdeka dan kuat.

"Siapa bilang kita tidak boleh melakukannya. Sebab sekarang ini, tanpa disedari, kuasa adalah ditangan kita di Sabah. Tanpa sokongan dari Sabah, BN akan tumbang dan kehilangan kuasa pemerintahan di Putrajaya," katanya.

Jeffrey berkata demikian dalam ucapan sulung ketika membahaskan ucapan Dasar Kerajaan yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin dua hari yang lalu di sidang Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) di sini.

Persidangan DUN itu adalah yang pertama selepas BN menguasai semula Sabah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, lebih 40 hari yang lalu.

Kemunculan Jeffrey di DUN kali ini menyemarakkan lagi suasana dan boleh menyebabkan sesetengah wakil rakyat BN merasa kecut perut dengan hentaman dan bantahan yang bakal diluahkannya. Kali ini jumlah pembangkang lebih ramai iaitu 12 orang berbanding hanya tiga pada penggal yang lalu.

Masih bertaring, Jeffrey mengingatkan wakil rakyat dengan nada serius tetapi diselitkan dengan lawak jenaka bahawa sekarang Sabah adalah kuasa penentu siapa yang akan menerajui Putrajaya.

Peras ugut

"Sabah dan Sarawak kini tidak lagi bergantung kepada Umno atau Kuala Lumpur untuk memegang kuasa memerintah seperti dulu.

"Fahamilah bahawa Kuala Lumpur dan Umno tidak lagi dapat memeras ugut kita seperti dulu. Sebenarnya, keadaan sekarang sudah terbalik. Umno dan Kuala Lumpur memerlukan kamu dan kita," katanya.

Wakil Rakyat dari Bingkor di kawasan pedalaman Sabah itu kemudian menggambarkan Sabah umpama seorang gadis jelita yang dipinang oleh dua lelaki bangsawan – Najib (Tun Razak) dan Anwar (Ibrahim).

Najib katanya, memerlukan Sabah untuk meneruskan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan hanya boleh berjaya jika BN Sabah menyokongnya.

Anwar pula mengidam tempat Najib sebagai PM tetapi beliau juga akan hanya boleh berjaya jika mendapat sokongan di Sabah. Ini dengan jelas menunjukkan betapa kuatnya YB-YB BN Sabah sekarang selepas PRU-13.

Maka itu katanya, wakil rakyat Sabah perlu mengakui kuasa dan kekuatan itu dan perlu mengambil peluang dan kesempatan ini demi manfaat Sabah di masa depan.

"Situasi unik ini mungkin tidak akan timbul lagi jika peluang ini tidak direbut. Malah inilah juga masa untuk menunjukkan dan membuktikan komitmen sebenar kamu untuk memperjuangkan pemulihan hak-hak, hak kemerdekaan dan autonomi di bawah 20-Perkara yang kini sudah hilang dan pada masa yang sama menuntut balik hasil-hasil lain dan hasil minyak kita," katanya.

Jajahan Malaya 


Dalam ucapannya itu juga, Jeffrey mencabar wakil-wakil rakyat BN untuk membuktikan yang mereka berkhidmat demi memulihkan keadilan dan kepentingan Sabah dan bukan kerana 'bos-bos kamu' di Kuala Lumpur.

"Buktikan yang kamu sebagai YB-YB kerajaan menghormati dan memperjuangkan hak-hak dan keistimewaan Sabah di bawah 20-Perkara dan Perjanjian Malaysia 1963. Buktikan yang Sabah bukannya negeri yang tunduk kepada Kuala Lumpur dan bukannya sebuah negeri jajahan Malaya," katanya.

Mengulas Ucapan Dasar Kerajaan itu Jeffrey berkata, beliau tidak melihat apa-apa yang baru dan menganggapnya sebagai "biasa" selain daripada isu keselamatan dan kenyataan bahawa kadar kemiskinan sudah turun kononnya daripada 19.7% pada 2009 kepada 8.1% pada 2012.

"Yang pasti ini masih menjadi pengakuan jelas bahawa Sabah negeri termiskin di Malaysia.

Beliau berharap Dasar Kerajaan akan menyentuh sedikit sebanyak mengenai Manifesto BN dan sejauh mana kerajaan melaksanakan serta menepati janji-janji manifesto pilihan rayanya pada penggal ini tetapi berasa kecewa kerana ianya tidak disentuh sama sekali.

Sebagai pemerhati politik katanya, jika kerajaan meneruskan sikap dan pendekatan yang sama seperti dulu tanpa perubahan dan wawasan baru atau tindakan yang berani, Sabah akan terus mengalami prestasi sejarah selama 50 tahun lalu iaitu "iri om iri" dalam Bahasa Dusun yang bermakna "tiada perubahan".

Untuk maju dengan lebih mantap dan secara "leaps and bounds", kerajaan dan pemimpin katanya, perlu membuat beberapa perubahan.

"Sebenarnya punca utama masalah kita di Sabah adalah masalah kehilangan kuasa kemerdekaan Sabah mengakibatkan kita terus bersandar dan bergantung kepada kekuasaan Malaya atas nama Kerajaan Pusat Malaysia.

"Mereka semakin kukuh dengan kemasukan dan penguasaan parti-parti mereka di Sabah.

"Selain itu, jabatan, agensi dan jentera-jentera Kerajaan Pusat juga  mengembangkan sayap di Sabah secara besar-besaran dengan kakitangan dari seberang mendominasi fungsi pentadbiran di Sabah hingga berlaku pertindihan kuasa kerajaan di Sabah," katanya menambah ia menjadi persaingan yang tidak sihat.

Menurut Jeffrey, jika ini dibenarkan terus berlaku tanpa kawalan, suatu hari nanti kuasa Kerajaan Sabah akan lenyap di tangan Kerajaan Pusat. Akhirnya, kemerdekaan Sabah tiada erti lagi, tiada guna dan sia-sia sahaja.

Sebelum terlambat katanya, Kerajaan Sabah dan pemimpinnya harus sedar dan faham mengenai perkara ini dan bertindak sebelum terlambat demi menyelamatkan Sabah.

Perhimpunan Black505 tetap di Padang Merbok, kata Rafizi

Posted: 19 Jun 2013 10:08 PM PDT

Oleh Elizabeth Zachariah

Dengan 48 jam sebelum perhimpunan Black 505 pada Sabtu, ketegangan diantara polis dan penganjur berterusan.

Sebagai respon kepada amaran polis semalam mengatakan penganjur akan didakwa sekiranya perhimpunan diteruskan, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli memberitahu The Malaysian Insider tiada perubahan setakat ini.

"Kita akan teruskan dengannya," katanya berkenaan dengan rancangan untuk mengadakan perhimpunan di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

"Walau bagaimanapun, kita berharap menjelang hari perhimpunan, polis akan memenuhi permintaan kita."

Beliau menambah: "Akan tetapi saya faham, polis terikat dalam perkara ini. Putrajaya yang mengawal keadaan.

"Mereka harus belajar menghormati majoriti yang bimbang dengan penipuan pilihan raya baru-baru ini."

Semalam, Ketua Polis Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad mengeluarkan satu lagi amaran keras.

Bercakap pada sidang akhbar, ketua polis yang bertanggungjawab atas kawasan tempat perhimpunan itu diadakan memberi amaran pihak penganjur masih boleh didakwa walaupun polis telah menerima notis pemberitahuan perhimpunan 10 hari lebih awal, seperti ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 .

Ini adalah kerana penganjur tidak mendapat kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggunakan padang itu.?

Beliau turut mengatakan polis tidak akan membuat sebarang persiapan untuk membantu perhimpunan akan tetapi akan hadir untuk "menguatkuasakan" undang-undang.

Akan tetapi Rafizi mengatakan perhimpunan akan berterusan sehingga kerajaan menunaikan tuntutan mereka

"Lebih cepat mereka sedar lebih baik," kata ahli Parlimen Pandan itu. Beberapa siri perhimpunan Black505 yang bermula pada 8 Mei telah dianjurkan oleh Pakatan Rakyat (PR) untuk membantah keputusan Pilihan Raya 2013 yang didakwa tercemar dengan penipuan dan kecurangan pilihan raya.

Mereka juga menuntut agar kepimpinan tertinggi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan jawatan untuk bertanggungjawab terhadap perjalanan pilihan raya umum 5 Mei yang dikatakan hambar.

Barisan Nasional (BN) terus berjaya mengekalkan kuasa dengan 133 daripada 222 kerusi Parlimen akan tetapi gagal merampas semula majoriti tradisi dua pertiga di Dewan Rakyat.PR pula mendapat 89 kerusi

Muar berada di tahap bahaya, jerebu semakin teruk di Malaysia, Singapura

Posted: 19 Jun 2013 10:05 PM PDT

Oleh Trinna Leong

Rakyat Malaysia di selatan Semenanjung sedang berhadapan dengan jerebu paling teruk tahun ini, terutamanya di Johor dan Melaka. Keadaan terburuk melanda Muar, Johor.

Kadar penceramaran udara (API) meningkat ke 337, berada dalam keadaan bahaya. Sebuah lagi daerah di Johor, Kota Tinggi direkodkan berada pada tahap tidak sihat, 211.

Angka yang dikeluarkan angka Jabatan Alam Sekitar (JAS) pagi ini, mengenal pasti empat kawasan-kawasan lain mengalami tahap tidak sihat - Pasir Gudang dan Larkin Lama (Johor Bahru), dan bandar Melaka serta Bukit Rambai.

JAS telah mengharamkan pembakaran terbuka di Selangor, Johor dan Melaka. Kerajaan Melaka juga telah meminta semua sekolah-sekolah di negeri itu untuk menghentikan aktiviti luar.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam mengumumkan bilik operasi akan diwujudkan di kawasan di mana API melebihi 200. Senarai API JAS mengatakan 51 ke 100 sebagai sederhana, 101 hingga 200 sebagai tidak sihat dan 201 ke 300 sebagai tidak sihat.

Pejabat Pendidikan Daerah Muar hari ini mengarahkan sekolah ditutup sehingga esok.

Adun kena pukul

Posted: 19 Jun 2013 05:04 PM PDT


Lydia Ong Kok Fooi
Lydia menunjukkan lebam di lengan kanan akibat dipukul dengan batang buluh.
 
SUNGAI PETANI - Gara-gara menasihati penduduk supaya tidak melakukan pembakaran terbuka di padang permainan, wakil rakyat dipukul menggunakan sebatang buluh hingga cedera.

Adun Berapit, Lydia Ong Kok Fooi mendakwa, semasa dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Intan jam 7 malam, beliau ternampak wanita berusia 50-an membakar sampah dekat padang permainan berhampiran rumahnya.

Melihatkan kepulan asap yang memenuhi kawasan perumahan itu, dia segera meminta individu itu menghentikan pembakaran memandangkan ia mengundang pencemaran udara, menimbulkan bau busuk serta membahayakan kanak-kanak serta orang ramai.

"Saya cakap baik-baik, bukan tengking dan marah kerana perbuatannya salah serta boleh dikena tindakan undang-undang, tetapi dia tidak puas hati," katanya.

Kok Fooi mendakwa, wanita itu kemudian mencabar dirinya dengan mengatakan dia berhak berbuat demikian dan sekiranya tidak berpuas hati, dia juga boleh membakar sampah di hadapan rumah wakil rakyat terbabit.

"Bagi membuktikan tindakan itu adalah salah di sisi undang-undang, saya merakamkan perbuatannya melalui kamera telefon bimbit, namun secara tiba-tiba telefon saya terlepas.

"Akibat marah perbuatan dia dirakamkan, wanita itu segera mengambil sebatang buluh lalu memukul di bahagian lengan kanan saya," katanya.

Beliau berkata, bahunya sekali lagi dipukul sebaik sahaja dia menundukkan kepala untuk mencapai telefon bimbitnya.

Katanya, wanita terbabit sekali lagi mencederakannya di tangan sebelah kiri sehingga merosakkan permukaan jam tangan miliknya.

Menurutnya, akibat itu, beliau mengalami lebam-lebam di lengan kanan, kiri, bahu serta sengal badan.

Kekecohan dikatakan itu turut disaksikan penduduk di kawasan berkenaan yang berkumpul di kawasan sekitarnya.

Difahamkan, wanita itu sering melakukan pembakaran terbuka dan tindakannya itu mengundang pencemaran udara selain mengganggu ketenteraman jiran lain.

"Pembakaran sampah termasuk polistirena dan beg plastik memberi kesan kurang baik terutama apabila sisa toksik dan bau busuk merebak.

"Tujuan saya membuat laporan ialah supaya pihak polis boleh mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Ariffin berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan dan akan menyiasat perkara itu.

Katanya, kes akan disiasat bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-duanya sekali.

Semua ahli Parlimen Pakatan angkat sumpah 24 Jun ini

Posted: 19 Jun 2013 04:59 PM PDT

Oleh Md Izwan

Semua Ahli Parlimen (MP) Pakatan Rakyat (PR) akan mengangkat sumpah semasa sidang Dewan Rakyat pada 24 Jun nanti sebagai menghormati prinsip demokrasi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Walau bagaimanapun, Ketua Pembangkang itu menegaskan pendirian supaya perlantikan  Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Speaker) mestilah seseorang yang tidak berat sebelah dan bukan menjadi jurucakap kepada parti pemerintah sahaja.

"Kami percaya kepada semangat demokrasi berparlimen, oleh sebab itu kami tidak memboikot.. semua ahli Parlimen akan mengangkat sumpah pada 24 Jun nanti.

"Walau bagaimanapun, saya ingin tegaskan bahawa kami tidak mahu seorang Speaker yang hanya menurut perintah dan tidak mahu jurucakap Umno berada memegang jawatan tersebut," kata Anwar dalam satu sidang media ibu pejabat PKR, Tropicana hari ini.

Selain itu, Anwar memberitahu salah satu faktor PR tidak memboikot angkat sumpah adalah kerana mereka berhasrat untuk mencalonkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Speaker ke-13.

"Kami mahu mencadangkan Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Speaker, kami mahukan individu yang dilantik adalah seseorang yang mempunyai integriti dan bebas sepenuhnya," tambahnya lagi.

Sesi taklimat pertama ahli-ahli Parlimen pada 11 Jun menyaksikan kehadiran 111 anggota Parlimen yang dipilih pada Pilihan Raya 2013, dengan hanya seorang wakil pembangkang, ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa yang hadir, daripada 89 keseluruhan ahli Parlimen PR.

Er telah dikenakan tindakan oleh partinya DAP kerana ingkar terhadap notis supaya memboikot taklimat tersebut.

Majlis Pimpinan PR telah membuat keputusan memboikot taklimat itu pada mesyuarat lalu untuk menunjukkan bantahan terhadap pemerintah Barisan Nasional (BN) kerana enggan memenuhi tuntutan reformasi pilihan raya.

Sebaik sahaja pilihan raya 5 Mei berakhir, pemimpin pembangkang telah membuat beberapa siri pendedahan yang didakwa sebagai penipuan sebagai tekanan daripada pembangkang untuk Putrajaya melakukan reformasi pilihan raya, bermula dengan melengkapkan pembaharuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketiga-tiga parti PR juga mengesahkan untuk memfailkan 41 petisyen pilihan raya — tiga oleh DAP, 20 oleh PKR dan 18 oleh PAS — sebelum tarikh akhir 12 Jun.

Akan tetapi selain daripada petisyen di mahkamah, PR dan kumpulan masyarakat sivil lain telah menganjurkan perhimpunan besar-besaran selepas 5 Mei untuk mendesak agenda reformasi, meletakkan tiga syarat utama dengan pertama mensyaratkan peletakkan jawatan semua anggota SPR kerana kegagalan untuk memastikan Pilihan Raya 2013 bebas dan adil.

Perhimpunan "Black 505" seperti yang digelar, juga dikhaskan sebagai gerakan untuk membantah kecurangan seperti didakwa PR semasa pilihan raya, menyaksikan BN terus berkuasa walaupun kehilangan undi popular.

Pada 22 Jun, PR akan berhimpun di Padang Merbok untuk meneruskan bantahan terhadap keputusan Pilihan Raya 2013. - 19 Jun, 2013.

Anwar kecam polisi ekonomi Malaysia

Posted: 19 Jun 2013 04:57 PM PDT

Oleh Md Izwan

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam polisi ekonomi Malaysia dengan menyelar penubuhan Jawatankuasa Dasar Fiskal yang diumum Datuk Seri Najib Razak semalam sebagai satu lagi usaha untuk menekan rakyat.

Najib semalam mengumumkan penubuhan jawatankuasa tersebut untuk memastikan pengurusan fiskal negara yang lebih baik dan bagi mencapai kadar fiskal tiga peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Saya mengambil pendirian berhati-hati dengan pengumuman Datuk Seri Mohd Najib Razak yang menubuhkan Jawatankuasa Dasar Fiskal semalam.

"Kerajaan BN mestilah tidak mengheret orang ramai untuk melindungi ketakupayaan menguruskan ekonomi dan kegagalan polisinya," kata Anwar dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR, Tropicana hari ini.

Anwar kemudiaan menyatakan kebimbangan ke atas jawatankuasa yang diumum memandangkan kerajaan masih lagi mengambil sikap berahsia dalam perkara melibatkan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

"Malangnya Datuk Seri Najib terus untuk mentadbir dengan diselebungi rahsia, terdapat kebimbangan besar terhadap cara Kabinetnya mengendalikan TPPA dan GST.

"Ini kerana pentadbirannya enggan untuk menjadi telus dan inklusif semasa berbincang," kata Anwar.

Beliau turut membidas kerajaan kerana bersikap tidak adil dalam menangani isu TPPA dan GST, sebaliknya menggesa kerajaan untuk mengurangkan pembaziran dalam pentadbiran terlebih dahulu sebelum mahu melaksanakan kedua-dua polisi yang akan membebankan rakyat tersebut.

"Usaha untuk mengurangkan belanjawan defisit tersebut dengan mudah dapat dicapai menerusi pengurusan ekonomi yang ketat dan perolehan kerajaan yang telus tanpa pengenalan sebarang cukai baru atau memotong perbelanjaan utama kerajaan yang memberikan kesan langsung kepada kehidupan orang ramai," tegas Anwar lagi.

Anwar kemudiaan mengulangi pendirian GST hanya boleh diperkenalkan sekiranya pendapatan rakyat meningkat disamping menggesa Putrajaya mendedahkan semua butiran melibatkan TPPA.

Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dilapor berkata kepada agensi berita nasional Bernama pada Rabu lalu permintaan domestik yang kukuh akan terus menjadi "pemacu utama pertumbuhan", disokong oleh perkembangan sektor swasta  yang berterusan dan disokong oleh sektor awam.

Pakar ekonomi Datuk Dr Mohamed Ariff Abdul Kareem, yang merupakan bekas pengarah eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi  Malaysia (MIER), berkata bulan lepas pertumbuhan ekonomi negara dijangka sederhana kepada 5 peratus tahun ini daripada 5.6 peratus tahun lepas, disebabkan oleh faktor luaran seperti krisis zon di Eropah.

Pertumbuhan ekonomi di rantau Asia-Pasifik dijangka melonjak kepada enam peratus tahun ini, daripada 5.6 peratus pada 2012, ia  lebih perlahan daripada kadar pertumbuhan purata sebanyak 8 peratus sebelum krisis kewangan global yang melanda pada tahun 2008, kata Pertubuhan Ekonomi Bangsa-bangsa Bersatu Ekonomi dan Suruhanjaya Sosial bagi Asia dan Pasifik bulan lepas.

Hutang negara juga mencecah kepada 53 peratus KDNK — menghampiri siling 55 peratus — naik daripada 43 peratus pada tahun  2008.

Hutang isi rumah Malaysia telah semakin meningkat daripada 75.8 peratus pada tahun 2010 kepada 76.6 peratus pada tahun 2011, dan kepada 80.5 peratus pada tahun lepas, yang menyebabkan amaran untuk berwaspada daripada penganalisis kewangan di rantau ini. - 19 Jun, 2013.

Penangguhan 12 bulan tarikh siap KLIA2 mengejutkan, DAP gesa siasatan

Posted: 19 Jun 2013 04:54 PM PDT

Oleh Md Izwan

Tony Pua menyelar Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kerana kelewatan menyiapkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), serta menggesa supaya Putrajaya membuka siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar.

Setiausaha publisiti DAP itu brkata, penangguhan 12 bulan untuk menyiapkan KLIA2 daripada tarikh sasaran 28 Jun 2013 seperti diumumkan baru-baru ini membuktikan MAHB tidak cekap, disamping menimbulkan keraguan wujudnya salah laku disebalik kelewatan.

"Penangguhan 12 bulan yang mengejutkan membuktikan Malaysia Airports tidak cekap dan menunjukkan keraguan wujudnya lebih banyak kekotoran daripada apa yang dapat dilihat," Pua dalam satu kenyataan pagi ini.

Beliau yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya Utara juga membidas MAHB kerana cuba menyembunyikan kelewatan tersebut dengan pelbagai penafian, sehingga terpaksa mendedahkan perkara sebenar selepas Pakatan Rakyat (PR) memberi tekanan kepada mereka.

"MAHB akhirnya mengakui projek tersebut terpaksa dilanjutkan selepas menerima tekanan tidak henti daripada wakil rakyat Pakatan Rakyat sejak tiga minggu lalu, dan hanya semalam diumumkan projek tersebut dilanjutkan untuk 12 bulan lagi," kata Pua.

Pengumuman semalam nyata berbeza dengan kenyatan pengurus besar pada 8 dan 28 Mac lalu yang mengatakan KLIA2 akan siap pada 1 Mei 2013, tetapi sebaliknya MAHB mengumumkan semalam tentang tarikh penyiapan baru KLIA2 pada 30 April, 2014, dan akan memulakan operasi pada 2 Mei.

"Tarikh pembukaan baru tersebut tidak selari dengan cerita daripada MAHB dan kontraktor sebelum ini kepada rakyat Malaysia sejak beberapa tahun ini," kata Pua selepas pengumuman itu.

Menurut Pua lagi, keraguan disebalik kelewatan KLIA2 semakin jelas apabila kontraktor utama UEM-Binapuri enggan membayar RM63.4 juta ganti rugi tertentu (LAD) atau RM199,445 sehari untuk 318 hari bermula 16 Jun 2013. Kontrak UEM-Binapuri bernilai RM997.2 juta, yang bermula pada bulan Ogos 2010.

"Sehingga semalam, Binapuri telah mempertikaikan tuntutan LAD, meletakkan kesalahan kelewatan ke atas MAHB," terang Pua.

Selain itu, Pua juga berkata bukan hanya kelewatan sahaja yang dipertikaikan tetapi juga peningkatan mendadak kos pembinaan daripada RM1.7bilion kepada RM4bilion hingga setakat ini.

Pua turut membangkitkan mengapa hanya UEM-Binapuri dikenakan tuntutan LAD tetapi tidak KUB Malaysia yang juga gagal menyiapkan 20 peratus lagi baki projek landasan seperti diumumkan mereka pada 8 Jun lalu.

"Satu lagi persoalan adalah mengapa LAD hanya dikenakan ke atas UEM-Binapuri yang mempunyai baki 7 peratus belum siap, tetapi KUB tidak pula dikenakan tuntutan LAD walhal baki projek belum siap mereka adalah 20 peratus seperti yang diakui pihak itu sendiri," ujar Pua lagi.

Pua menggesa MAHB agar tidak menipu dan menyembunyikan kebenaran daripada rakyat Malaysia seperti mereka lakukan sejak dua tahun lalu, disamping mahu pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Hussein Onn dan Ketua Setiausaha Datuk Seri Long See Wool - juga pengarah MAHB supaya bertanggungjawab sepenuhnya memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban bagi membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan.

Tarikh siap KLIA2 telah ditunda beberapa kali berikutan perubahan yang dibuat kepada pelan asal, termasuk membina terminal lebih besar untuk menguruskan lebih 40 juta penumpang, dan memasang sistem pengendalian bagasi automatik.

Tarikh baru pembukaan KLIA2 adalah yang kelima daripada MAHB kerana tarikh siap terminal itu sudah dilewatkan tiga kali.

Ia sepatutnya disiapkan pada April 2010 tetapi ditunda kepada Oktober 2012, April 2013 dan kemudian 28 Jun, 2013.

Lapangan terbang baru itu, disasarkan untuk mengendalikan sehingga 45 juta penumpang setahun, antara lain akan mempunyai 60 pintu, 80 jambatan aero dan 32,000 meter persegi ruang runcit dengan 225 kedai.

Tender untuk projek KLIA2 pertama kali dikeluarkan pada 2009. - 20 Jun, 2013.

Siaran Langsung Mesyuarat Majlis PBT Erat Hubungan Dengan Rakyat

Posted: 19 Jun 2013 04:52 PM PDT


logo PBT

SHAH ALAM : Siaran langsung mesyuarat Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di laman web mampu mengeratkan hubungan antara pihak Majlis dengan masyarakat tempatan.

Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Mohammad Ali Khair Abdul Ghafar berkata, tindakan itu bukan hanya memperlihatkan ketelusan PBT dalam melakukan kerja, sebaliknya memberi maklumat kepada rakyat mengenai perkhidmatan dan kerja PBT.

Menurutnya, kebanyakan penduduk setempat beranggapan PBT tidak melaksanakan tugas kerana akses media mereka yang terhad.

"Pada pandangan saya, ia adalah tindakan yang telus malah yang terbaik supaya rakyat lebih nampak kerja kita yang tulus dan ikhlas.

"Banyak insiden terjadi contohnya apabila Ahli Majlis melaksanakan tugasan ada penduduk yang tidak nampak. Maka jika disiarkan ia adalah lebih bagus kerana kita tiada media cetak atau elektronik yang boleh diwar-warkan kepada rakyat.

"Apa yang PBT buat sekarang tidak sampai kepada rakyat, jadi pada dasarnya tindakan itu sememangnya bagus," katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Bagi Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Azizan Jamaludin, usaha itu disambut baik kerana baginya tiada apa yang perlu diselindungkan daripada pengetahuan orang ramai mengenai pihak Majlis.

"Kita buat segala-galanya mengikut kehendak masyarakat, kita cuba laksanakan segala yang mungkin. Apabila kita siarkan secara langsung, masyarakat tahu apa yang kita setuju dan tidak.

"Dengan cara itu, masyarakat tidak boleh menyalahkan PBT kalau sesuatu berlaku. Masyarakat juga perlu peka dengan segala masalah yang datang dan membantu menyelesaikannya secara bersama dan bukan bergantung kepada PBT semata-mata," ujarnya.

Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Ismail Arsat pula beranggapan siaran mesyuarat secara langsung membuktikan pihak PBT lebih terbuka dan membolehkan rakyat bertindak sebagai pemerhati.

"Mesyuarat itu sememangnya sudah terbuka cuma tidak ditunjukkan secara langsung, namun kita tiada masalah jika tindakan ini dilakukan.

"Sekarang ini sudah terbuka, tetapi jika disiarkan secara langsung ia lebih terbuka. Penduduk dapat lihat apa yang kita bincangkan dan bagaimana sesuatu cadangan itu diluluskan," jelasnya.

Sementara itu, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Mohd Azizi Mohd Zain berkata, MPS adalah PBT pertama yang telah menyiarkan mesyuarat bulanan secara langsung bermula awal tahun ini.
"Masyarakat boleh perhatikan dan tahu apa yang kita bincangkan dalam mesyuarat majlis, malah kebaikannya ialah mereka boleh beri respon dalam perbincangan itu.

"Ini menunjukkan wujud interaksi antara masyarakat dengan kita," katanya.

Mahathir Masih Fikir Ahli UMNO Bodoh-Bodoh Belaka

Posted: 19 Jun 2013 04:48 PM PDT


Oleh Shahbudin Husin

Tindakan Mahathir menyokong agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti hujung tahun ini, tidaklah begitu memeranjatkan. Mahathir nampak selesa dengan Najib kerana Perdana Menteri dilihat tidak menyekat kebebasannya, malah kadang-kadang akur dengan kehendaknya.

Malah, selain anak-anaknya yang lain mempunyai kebebasan penuh untuk meneruskan perniagaan terutama dengan Petronas, seorang lagi anaknya juga sudah dijadikan Menteri Besar Kedah oleh Najib.
Dengan semua keselesaan itu, semua orang boleh memahami kenapa Mahathir menyokong agar tiada pertandingan. Tikus yang sudah berada dalam tong beras, mustahil merasakan kehidupan lain lebih baik. Sebagai bekas Perdana Menteri yang berasa dirinya masih berpengaruh, Mahathir hanya mahu dihargai dan diberi kebebasan untuk bercakap apa saja. Sesiapa yang menyekat kebebasannya itu akan dilawannya, bahkan akan cuba dijatuhkannya.

Ini berbeza dengan era Pak Lah dulu. Bukan saja projek-projeknya dibatalkan dan musuh politiknya, Anwar dibebaskan tetapi Mahathir juga tidak dipakai lagi. Pak Lah ada penasihat-penasihatnya sendiri. Kemudian apabila beliau cuba bersuara, dia juga cuba disekat. Maka, tidak menghairankan beliau menyerang dan berkempen menjatuhkan Pak Lah ketika itu.

Namun dalam Mahathir menyokong agar tiada pertandingan ini, hujah yang diberikannya agak dangkal dan tersasar. Beliau melahirkan kebimbangan jika pertandingan kedua-dua jawatan yang kini disandang oleh Najib dan Muhyiddin itu menjadi kenyataan, ia akan menyebabkan perpecahan dalam UMNO dan di kalangan orang-orang Melayu.

"Mengikut amalan demokrasi kita patut ada pertandingan tetapi orang Malaysia tidak begitu faham amalan demokrasi sebenar. Kalau kalah, mereka akan tarik diri (keluar parti) dan tubuhkan parti lain dan ini akan menyebabkan UMNO dan orang Melayu berpecah lagi.

"Sehubungan itu saya sokong ada pertandingan tetapi bukan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden," katanya lagi.

Mahathir juga mengimbas kemenangan tipisnya sebanyak 43 undi ditangan Tengku Razaleigh pada 1987 yang kemudian menyebabkab munculnya parti Semangat 46 untuk menjustifikasikan apa yang dicakapkannya itu sebagai benar lagi benar dan tiada yang benar melainkan yang benar belaka.

Dalam hal ini, amatlah malang kerana Mahathir seolah-olah menganggap orang-orang Melayu dan ahli UMNO masih bodoh semuanya sehingga tidak dapat memahami erti demokrasi yang sebenar walaupun sudah 56 tahun mencapai kemerdekaan. Apakah benar semua orang masih tidak faham erti demokrasi? Benarkah juga orang Melayu atau ahli UMNO, bila kalah bertanding, lalu merajuk dan menubuhkan parti lain?

Elok diingatkan Mahathir bahawa orang Melayu sudah maju dan berfikiran terbuka, bukan saja dalam pendidikan, perniagaan dan pemikiran, malah dalam memahami demokrasi juga. Tokoh-tokoh Melayu yang berjaya tentunya beliau lebih mengetahui bilangan dan kejayaannya.

Mengimbas peristiwa pertandingan 1987 sebagai hujah ulangan dalam banyak percakapan politiknya menunjukkan Mahathir masih dibayangi oleh rasa bersalahnya atas kejadian itu. Penubuhan Semangat 46 bukanlah kerana kecewanya Tengku Razaleigh kerana kalah dalam pertandingan itu. Ia ditubuhkan untuk menghidupkan semula UMNO lama yang telah diharamkan dan digantikan dengan UMNO Baru.

Dalam UMNO Baru yang ditubuhkan oleh Mahathir, beliau telah menghalang orang-orang tertentu yang tidak sebulu dengannya daripada menyertai parti itu. Tengku Razaleigh dan Team B yang menentang Mahathir langsung tidak dibenarkan menyertai UMNO Baru tajaan Mahathir itu. UMNO Baru ketika itu hanya dianggotai oleh mereka yang sedia menyokong dan mengangguk saja.

Tidaklah benar orang yang kalah bertanding cenderung merajuk dan menubuhkan parti baru, melainkan mereka dihalang dan disekat. Semangat 46 pasti tidak wujud jika selepas UMNO diharamkan, semua orang dibenarkan kembali menyertai UMNO yang dihidupkan kembali itu. Namun itu tidak berlaku.

Tetapi sebenarnya itulah tujuan Mahathir, UMNO sengaja dimatikan dan diganti dengan UMNO Baru yang hanya eksklusif kepada penyokong-penyokongnya saja. Lalu selamatlah beliau dari terus dicabar. Tambahan pula bila diwujudkan kouta pencalonan tertentu kepada sesiapa yang berhasrat mencabarnya, tercapailah hasrat beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Hakikatnya, kecenderungan pihak yang kalah menubuhkan parti baru bukan disebabkan mereka tidak memahami demokrasi tetapi kerana pihak yang menang terlalu takut dengan demokrasi. Demokrasi cuba disemaikan dengan unsur-unsur autokrasi dan kuku besi. Lihat saja ketika Sulaiman Palestin menentang Tun Hussein bagi jawatan Presiden UMNO, walaupun beliau kalah, beliau masih kekal dalam UMNO, tidak merajuk dan tidak juga menubuhkan parti baru.

Sebabnya tentulah kerana selepas menang Tun Hussein tidak mengenakan apa-apa sekatan kepada Sulaiman Palestin, bahkan masih melayannya seperti biasa sebagai ahli UMNO dan orang Melayu. Sebelum Mahathir menjadi Perdana Menteri, Tun Hussein dan Sulaiman Palestin lebih dulu memahami erti demokrasi dan mengajak orang Melayu berjiwa murni seperti itu.

Hujah Mahathir mengenai pemahaman orang Melayu tentang demokrasi ini jelas tersasar daripada hakikat yang sebenarnya, bahkan lebih menunjukkan beliau sedang dibayangi rasa bersalah sepanjang hayatnya atas kelicikan politik tidak bermoral yang pernah diamalkannya kerana terlalu ghairah mahu mengekalkan kuasa.

Pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak mendatangkan apa-apa mudarat kepada UMNO dan orang Melayu jika ia dilakukan dalam semangat pertandingan yang sihat. Janganlah asyik menyalahkan pihak yang kalah atas sesuatu malapetaka sedangkan selepas menang, pihak yang menang tadi membolot segala-galanya walhal dalam masa yang sama bercakap di sana-sini, yang menang tak menang semua, yang kalah tak kalah semua.http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Bengkel Sumbang Saran Halatuju Pendidikan Selangor Sabtu ini

Posted: 19 Jun 2013 04:46 PM PDT


Bengkel Sumbang Saran Halatuju Pendidikan Selangor 01

SHAH ALAM  : Kerajaan Negeri akan menganjurkan Bengkel Sumbang Saran Halatuju Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor di Perpustakaan Raja Tun Uda, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Seksyen 13 di sini pada Sabtu ini.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, program sehari ini akan melibatkan penyertaan jabatan kerajaan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Ahli Parlimen, aktivis pendidikan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Kolej Unversiti Islam Selangor (Kuis), Univerisiti Selangor (Unisel) dan merangkumi semua jenis sekolah di Selangor.

"Antara objektifnya adalah mengumpulkan maklumat, maklumbalas dan cadangan dari pihak berkepentingan untuk menambahbaik halatuju Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.

"Mengolah dan merumus hasil sumbang saran bagi menghasilkan pelan strategik program pendidikan, pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan Selangor untuk lima tahun akan datang," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat exco di sini hari ini.

Beliau menjelaskan penganjuran program itu juga bertujuan melihat pendidikan secara holistik dan 'overview' iaitu bukan sahaja segala apa yang terdapat di dalam sekolah tetapi juga yang berada di luarnya.

Tambahnya, ia juga adalah selari dengan falsafah pendidikan Selangor menerusi pendidikan jangka panjang iaitu bermula dari dalam buaian hingga ke akhir hayat.

Tiada ulasan: