DIALOG RAKYAT |
- Bukan masa bincang persempadanan baru
- Wan Ahmad hasut rakyat kumpul bukti - pengundi
- Inilah cara basmi kemiskinan
- Pakatan tak pernah bincang boikot angkat sumpah
- Harun Taib Tidak Faham Politik
- Mahathir perlu cermin diri, UMNO untuk kenal pasti siapa sebenarnya ‘rasis’
- MIC dicabar tuntut jawatan Speaker bukan setakat di Perak
- Tumpu Jaga Politik, Jenayah Meningkat Polis Berdepan Krisis Dan Keyakinan Rakyat
- Rafizi Dakwa DBKL Tunduk Tekanan Politik Umno-BN
- Masih belum ada seragam sekolah
- Pampasan insurans RM50,000
- Pembangkang boikot taklimat Dewan Rakyat
- Hina Agong jika boikot Dewan Rakyat
- Mukhriz serah keputusan kepada pucuk pimpinan tertinggi
- Dulu Desak K'jaan PR Tutup... Sekarang Dah Ada Kuasa, TUTUPLAH!!!
- Pelantikan Saifuddin Nasution bukan isu
- Sekadar air suam dalam botol susu anak ...
- Ahli Parlimen BN yang tidak gembira bertemu selepas kemenangan PRU13
- Amaran Speaker: Ahli Parlimen boikot upacara akan digugurkan
- PKR: Zahid belanja lebih RM200,000 masa kempen
- Punca runtuhan diketahui sebulan
- Black terkena buatan orang
- 15 NGO buat laporan polis FB hina Nabi
- SPR sudah sedia
- PAS fail petisyen untuk Kuala Selangor
Bukan masa bincang persempadanan baru Posted: 11 Jun 2013 02:58 AM PDT
MESKIPUN perlembagaan membenarkan persempadanan baru kawasan pilihan raya dibuat sekali selepas sepuluh tahun, tidak bererti ia mesti dilakukan setiap sepuluh tahun. Lazimnya persempadan baru dibuat tidak disebabkan faktor persempadanan itu perlu dirombak tetapi ia dibuat bagi memastikan UMNO dan sekutunya memenangi pilihan raya. Memandangkan persempadan baru yang terakhir sepuluh tahun tidak adil khususnya buat Kelantan, Terengganu dan Johor, mungkin tiba waktunya ia dibetulkan. Kelantan dan Terengganu dalam penyusun itu tidak diberi tambahan kerusi bagi menyekat PAS mendapat manfaat dalam pilihan raya, sedang Johor mendapat tambahan kerusi bagi meramaikan YB BN baik di Parlimen mahupun DUN. Tetapi buat masa ini perbincangan utama bukan untuk merombak kawasan pilihan raya tetapi bagi membetulkan pengendalian pentadbiran SPR yang tidak lagi mendapat keyakinan umum. Sekalipun institusi polis, kehakiman, jabatan peguam negara dan SPRM tidak mendapat keyakinan umum, SPR lagi tidak diyakini dan perlu direformasi atau ditransformasi segera. Pembetulannya perlu diutamakan dari yang lain-lain. Apabila SPR dapat disempurnakan, maka jadi kunci kepada pembetulan yang lain. SPR yang telus, bebas dan adil boleh membuka kepada perubahan pemerintahan. Jika pertukaran kuasa tidak dapat dilakukan, maka tidak ada ruang bagi melakukan di semua institusi yang lain. Jika dengan SPR yang telus dan adil itu membuka peluang perubahan, maka pertukaran kerajaan itu akan meletakkan polis, kehakiman, jabatan peguam negara dan SPRM pada kedudukan yang betul. Pada masa ini kita tidak mahu persempadanan baru, kita tidak sedia membincangkan pemindahan SPR dari Jabatan Perdana Menteri kepada jawatankuasa khas di Parlimen. Bukan ia tidak penting, tetapi yang aula ialah merombak bagi memulihkan SPR. Yang pertama kita mahu pengerusi dan timbalan pengerusi meletak jawatan secara sukarela atau dipaksa. Jika mereka ada maruah jalan terbaik ialah meletak jawatan. Jika tidak bermaruah, mereka terpaksa dipecat. Pembentukan Suruhanjaya Diraja Penyiasatan tentang kecurangan SPR adalah langkah terbaik dan perlu didahulukan dari yang lain-lain. Kecurangan itu bukan baru. Ia sudah berlaku dalam setiap kali pilihanraya umum dan pilihanraya kecil. Justeru rakyat sebelum ini tidak berdaulat, tidak apa yang dapat dibuat. Kita tidak berminat kepada Arab Spring. Jika tidak mahu penyakit Arab itu tiba ke sini, buang segera pengerusi dan timbalan pengerusi SPR, adakan pemulihan segera. Majoriti rakyat khusus pengundi mengutuk SPR dan pengendalinya. Semua meludah mereka dari belakang. Cari makanlah di tempat lain untuk menanggung anak bini. Dunia ini luas untuk mencari rezeki. Atau bersara saja. Duit pencen pun cukup makan hingga akhir hayat. Jangan khianati harapan rakyat dan demokrasi. Sebarang cadangan untuk mengadakan persempadanan baru biar datang dari rakyat, bukan dari SPR yang pincang itu. Apa saja yang datang dari SPR yang pincang tidak akan diterima oleh suara perubahan. Dan apakah persempadanan baru itu yang memerlukan pindaan perlembagaan boleh dibuat oleh kerajaan yang tidak ada majoriti dua pertiga? Adakah boleh persempadanan dibuat dengan majoriti mudah kerajaan. Jika ia memerlukan sokongan MP Pakatan Rakyat, tidak nampak persempadanan baru itu boleh dibuat. Buatlah apa yang boleh dan apa yang senang dulu. Dan keutamaam ialah kita memerlukan SPR yang telus, bersih dan adil. Lepas itu baru kita fikirkan membawanya di bawah seliaan Parlimen dan membentulkan persempadanan yang tidak dilakukan secara jujur sepuluh tahun lalu. | ||||
Wan Ahmad hasut rakyat kumpul bukti - pengundi Posted: 11 Jun 2013 02:57 AM PDT
Bagi beliau yang membuat laporan polis yang ke 8 hari ini, menghasut menyuruh rakyat mengambil bukti adalah menyuruh rakyat melakukan sesuatu yang tidak boleh dilakukannya yang sekaligus membawa maksud menyuruh rakyat melakukan sesuatu yang melanggar undang undang. Dan ini bukan kali pertama kenyataan sedemikian dikeluarkan oleh beliau, SPR dan media, katanya. "Saya membuat repot polis ini supaya pihak polis boleh menyiasat dan mengambil tindakan undang undang terhadap Datuk Wan Ahmad Wan Omar, SPR, Berita Harian dan Haspaizi Mohd Zain. "Ini agar hasutan sedemikian tidak dikeluarkan atau disiarkan lagi oleh mana mana pihak," kata Azlan dalam laporan polisnya. Beliau membuat repot polis merujuk kepada apa yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian bertarikh 11 Jun 2013 di muka surat 17 oleh Haspaizi Mohd Zain dengan tajuk 'tak puas hati, fail petisyen'. Datuk Wan Ahmad Wan Omar dalam berita itu berkata: "Jika ada pihak yang tidak berpuas hati, kumpul bukti dan failkan petisyen. Tempoh untuk memfailkan petisyen akan berakhir esok(12 Jun 2013) iaitu 21 hari selepas keputusan pilihan raya di wartakan SPR pada 22 Mei lalu." Azlan mendakwa, kenyataan Datuk Wan Ahmad Wan Omar tersebut jelas memberikan kenyataan maklumat yang salah menerusi media. Kononnya akan memberikan gambaran bahawa beliau dan SPR adalah betul dan benar serta tidak melakukan kesilapan kerana tidak ada pihak yang berjaya membawa atau mengemukakan bukti. "Saya tidak percaya seseorang yang berkedudukan sepertinya tidak tahu mengenainya. Saya juga tidak percaya beliau tidak dapat mendapat atau menerima nasihat daripada bahagian perundangan SPR," katanya. | ||||
Posted: 11 Jun 2013 02:47 AM PDT
Semua kita sedia maklum bahawa zakat wajib dikeluarkan berdasarkan al-Quran dan Sunnah juga Ijmak. Firman Allah: Maksudnya: "Mereka tidaklah disuruh melainkan supaya menyembah Allah dengan penuh ikhlas demi agama yang lurus dan juga supaya mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan yang demikian itu adalah agama yang teguh." (Surah al-Bayyinah : 5) Sehubungan dengan itu sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Islam dibangun di atas lima rukun; bersaksi bahawa tidak ada sembahan yang berhak disembah kecuali Allah dan Muhammad SAW adalah hamba dan utusan-Nya, menegakkan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji di Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadan." (Riwayat Bukhari dan Muslim). Berdasarkan dalil di atas, perintah mengeluarkan zakat ini bukan perkara kecil malah dikategorikan sebagai rukun Islam. Sebenarnya rukun adalah perkara asas yang menentukan kukuh atau tidaknya sesuatu binaan. Jadi, sudah tentu zakat merupakan rukun yang kuat setaraf dengan rukun-rukun yang lain. Merujuk kepada kepentingan, zakat diwajibkan adalah kerana dua sebab: 1. Taabbud; tunduk dan patuh kepada perintah Allah 2. Taawun; membantu golongan yang layak dibantu. Sikap umat Islam terhadap zakat Perintah mengeluarkan zakat ini semestinya ada kaitan dengan harta yang dimiliki oleh umat Islam. Sebenarnya harta yang saban hari dicari oleh umat Islam terdedah kepada halal dan haram, mungkin dalam kesibukan mencari harta itu, mereka terlepas pandang lalu termasuk juga harta yang haram. Namun dalam Islam sesuatu yang tidak dijangka boleh dimaafkan Allah. Ketika itu harta tersebut sudah menjadi milik mereka yang sah. Sungguhpun begitu, dalam harta tersebut terdapat hak orang lain juga. Maka hak orang lain itulah yang perlu dikeluarkan sebagai zakat. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka yang dengan zakat itu kamu dapat membersihkan dan mensucikan mereka." (Surah al-Taubah : 103) Dalam ayat di atas Allah dengan tegas memerintahkan Rasulullah atau pemerintah sesuatu negeri agar mengambil sebahagian harta umat Islam sebagai zakat atas dua tujuan iaitu membersihkan harta dan membersihkan pemilik harta itu. Maknanya setiap umat Islam yang memiliki harta akan terjamin bersih hartanya sekali gus bersih diri mereka sendiri. Cuma persoalan di sini, apakah sikap umat Islam terhadap perintah berzakat ini? Menurut laporan pihak yang mengurus zakat di negeri-negeri, jumlah pengeluar zakat amat rendah. Kalau dinisbahkan orang yang menunaikan solat 100 peratus maka pengeluar zakat tidak sampai 10 peratus. Ini seolah-olah 90 peratus lagi itu adalah golongan yang layak menerima zakat. Jelas di sini ramai umat Islam yang belum layak untuk mengeluarkan zakat. Sungguhpun begitu mereka juga tidaklah semuanya layak untuk menerima zakat. Mengapa keadaan ini boleh terjadi? Apakah mereka tidak faham perintah Allah ini? Sebenarnya umat Islam selama ini telah diberikan ilmu pengetahuan yang salah tentang ibadah zakat. Mereka telah diberitahu bahawa mereka yang tidak ada harta tidak perlu keluar zakat. Maka dengan fahaman itu, mereka tidak perlu membanyakkan harta. Apatah lagi apabila umat Islam selalunya diberi kefahaman bahawa pemburu harta dunia adalah anjing. Selain itu umat Islam juga sering diingatkan bahawa zakat adalah ibadah orang-orang kaya. Atas fahaman itu, maka supaya harta kita tidak berkurangan jangan jadi kaya. Jadi, tidak perlulah keluar zakat. Biar hidup sederhana, bukankah Islam mengajar kita hidup secara sederhana. Jelas, mereka seolah-olah diajar supaya mengelak daripada aktiviti zakat. Di samping itu umat Islam juga diajar bahawa harta zakat adalah hak orang fakir dan miskin. Oleh sebab itu sebahagian umat Islam berasa bangga kalau menjadi fakir dan miskin. Malah kalau mereka tidak terpilih sebagai asnaf, mereka akan marah dan terus merayu kepada pihak berkuasa. Sepatutnya umat Islam berasa malu kalau diisytiharkan miskin. Memang pelik, umat Islam kini boleh berasa bangga dengan kemiskinan itu. Adakah ini kerana mereka ada terbaca sebuah hadis yang antara lain menyebut Rasulullah berdoa agar dia hidup miskin dan dibangunkan semula bersama golongan orang miskin. Atas dasar itu barangkali mereka lebih rela jadi miskin dan dengan itu tidak perlu fikirkan soal zakat. Padahal dengan sikap itu mereka telah terlepas daripada satu rukun Islam yang asas iaitu zakat. Kalau begitu keadaannya kukuhkah Islam mereka tanpa zakat? Ubah sikap sebagai pengeluar zakat Umat Islam sepatutnya mengubah sikap ke arah menjadi pembayar zakat. Bukankah tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah, maka wajib kita berada di atas sebagai pembayar. Untuk merealisasikan perintah mengeluarkan zakat ini, umat Islam seharusnya berusaha agar mereka menjadi kaya raya, malah jutawan. Firman Allah yang bermaksud: "Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan kepada mereka kekuatan (kekayaan) di atas muka bumi nescaya mereka akan mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka juga akan menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan." (Surah al-Hajj : 41) Berdasarkan ayat itu Allah bersedia memberikan kekayaan kepada umat jika mereka mahu. Oleh sebab itu mereka perlu rebut peluang ini dengan bersungguh-sungguh. Jadi, umat Islam harus menjadi usahawan dan jutawan supaya dengan itu mereka boleh melakukan ibadah dengan lebih baik lagi sempurna. Bukan sahaja mereka boleh melakukan solat dan zakat malah mereka juga akan aktif berdakwah. Sebenarnya melalui konsep zakat ini, umat Islam tidak boleh duduk diam, sebaliknya merasa malu kepada Allah kalau tidak mampu mengeluarkan zakat. Oleh sebab itu kita perlu berazam untuk menjadi kaya malah jutawan. Namun pada masa yang sama mereka perlu hindari daripada sifat tamak dan bakhil kerana harta zakat yang dikeluarkan itu tidak akan menjadikan mereka miskin sebalik bertambah subur dan kaya. Daripada Abdul-Rahman bin Auf daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda yang bermaksud: "Tiga perkara yang aku bersumpah kerananya: Tidak akan berkurang harta kerana sedekah maka sedekahkanlah dan tidaklah kemaafan seseorang lelaki kerana kezaliman yang dizalimi melainkan Allah tambahkan kepadanya kemuliaan, maka maaflah nanti Allah akan muliakan kamu. Dan tidaklah seorang lelaki yang membuka ruang masalah melainkan Allah akan membuka baginya pintu kefakiran." (Nuruddin al-Haitami Kitab al-Astar) Jadi sebagai umat Islam kita perlu terus berusaha untuk menjadi kaya supaya dengan itu kita menjadi orang yang selalu memberi daripada menerima. Kalaupun kita belum cukup nisabnya kita boleh memberi sedekah sunat. Untuk mencapai ke tahap itu, kita tidak boleh menampakkan masalah atau membuka peluang kepada masalah kerana menurut hadis di atas Allah akan bukan pintu kekafiran kepada kita pula. Percayalah kalau umat Islam boleh berazam untuk mengeluarkan zakat dalam jumlah yang banyak. Kita akan lihat hasil pencapaiannya. Ketika itu zakat akan dapat dikeluarkan mengikut kaedah dan sistem yang ditetapkan. Dan kesannya, zakat itu boleh diagihkan dengan sempurna kepada sasarannya. Namun sebaliknya jika orang kaya enggan mengeluarkan zakat mereka akan menerima akibat di akhirat nanti. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang Allah telah berikan harta kepadanya kemudian dia tidak menunaikan zakatnya maka pada hari kiamat nanti hartanya akan menjadi ular botak yang mempunyai dua titik hitam di atas kepalanya lalu mengalungkannya sambil berkata: "Aku adalah simpananmu, aku adalah hartamu". Kemudian ular itu membaca ayat: "Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang telah Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya, menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka, sebenarnya bahawa kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka, harta-harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan di lehernya kelak di hari kiamat." (Riwayat Bukhari Kitab Zakat 3:268 no.1403) Inilah cara basmi kemiskinan Bayangkan suatu hari nanti, negara kita dihuni oleh ramai usahawan, ahli korporat dan jutawan daripada perbagai bidang, dan mereka pula setiap tahun mengeluarkan zakat, tentu ketika itu asnaf zakat akan memperoleh agihan zakat dalam jumlah yang besar. Bayangkan juga kalau semua asnaf boleh memperoleh setiap bulan sudah tentu mereka tidak akan meminta-minta lagi selepas itu. Tetapi bagaimana kalau zakat yang dikeluarkan setiap tahun itu diagihkan kepada asnaf secara berpilih dengan harapan zakat itu boleh dijadikan modal perniagaan, sudah tentu dalam tempoh beberapa tahun lagi mereka sudah tidak perlu zakat lagi sebaliknya mereka pula yang akan mengeluarkan zakat. Saya difahamkan kerajaan Selangor melalui Lembaga Zakat Selangor telah mempelopori agenda ini, tetapi belum menyeluruh kerana pembayar zakat masih rendah. Saya percaya, kalau jumlah pembayar zakat semakin bertambah, dan sistem pengagihan dapat disampaikan kepada sasaran dengan tepat pasti kita akan menikmati satu zaman seperti zaman Khalifah Umar al-Khattab yang susah untuk mencari orang yang miskin. Kalau ini yang terjadi pasti wang zakat boleh disalurkan ke baitulmal yang kemudiannya boleh digunakan untuk pembangunan negara. Dengan cara ini, golongan fakir miskin boleh dibasmi secara beransur-ansur. Nanti zakat yang dikeluarkan itu boleh diagihkan kepada asnaf yang lain dalam jumlah yang besar juga.http://baei.blogspot.com/ | ||||
Pakatan tak pernah bincang boikot angkat sumpah Posted: 11 Jun 2013 02:45 AM PDT
KUALA LUMPUR: Isu ahli parlimen Pakatan Rakyat yang didakwa akan memboikot majlis angkat sumpah dan persidangan Dewan Rakyat pada sesi kali ini tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat, kata Datuk Mahfuz Omar. Sebaliknya kata Naib Presiden PAS itu, Pakatan Rakyat hanya memutuskan untuk tidak hadir pada majlis taklimat Dewan Rakyat, yang diadakan hari ini. Justeru, beliau yang juga Ketua Whip Parlimen PAS menjangkakan semua ahli parlimen Pakatan Rakyat akan hadir pada majlis angkat sumpah pada 24 Jun ini, dan seterusnya mengikuti titah ucapan DiRaja pada 25 Jun ini. "Tidak timbul soal kita memboikot sidang Dewan Rakyat sesi ini, ia akan berjalan seperti biasa. Cuma taklimat hari ini yang kita putuskan untuk tidak hadir," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini. Sebelum ini, Pakatan Rakyat dikatakan akan memboikot sidang Dewan Rakyat sebagai tanda protes terhadap sistem pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang didakwa dicemari penipuan. Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini dilaporkan berkata, kehadiran hari pertama pada sesi Parlimen adalah penting kerana mengikut peraturan mesyuarat. Beliau juga berkata ahli parlimen yang tidak hadir pada hari pertama tanpa sebab munasabah dianggap sebagai penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat serta negara ini. Sementara itu, majlis taklimat yang diadakan hari ini di parlimen hanya dihadiri Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa (gambar), manakala 88 ahli parlimen Pakatan Rakyat yang lain tidak menghadirinya. Er Teck Hwa dalam kenyataannya kepada media memohon maaf kerana beliau pergi ke majlis hari ini kerana tidak tahu akan arahan untuk memboikot majlis itu. Beliau yang merasa terpingga-pingga selepas hanya kesaorang di majlis itu berkata, "Saya memohon maaf dengan sejujur-jujurnya dan akan menerima sebarang tindakan dari parti." "Saya tidak menerima sebarang notis rasmi sama ada melalui SMS dan e-mel daripada Jawatankuasa Pusat. "Biasanya, arahan daripada Majlis Kepimpinan PR akan diberikan dalam dua kaedah iaitu SMS dan e-mel, Jika tidak, ia tidak akan dianggap sebagai perintah dan terpulang kepada individu untuk membuat pilihan sendiri," katanya dalam satu kenyataan. Kenyataan tersebut sebagai menjelaskan berhubung kehadirannya ke sesi taklimat parlimen hari ini biarpun 88 ahli parlimen Pakatan Rakyat lain tidak hadir. Beliau bagaimanapun mengakui kesilapannya kerana tidak teliti dengan semua SMS dan emel berhubung arahan boikot tersebut sehingga menimbulkan kontroversi. "Saya mahu memohon maaf untuk tindakan yang tidak wajar tersebut dan saya dengan rendah diri bersedia menerima apa-apa tindakan disiplin yang mungkin diambil terhadap saya," katanya. | ||||
Harun Taib Tidak Faham Politik Posted: 11 Jun 2013 02:42 AM PDT MSO Kata Harun Taib beliau tidak setuju kalau himpunan diadakan untuk melakukan revolusi, sebaliknya dia setuju kalau himpunan secara aman dengan mengadakan ceramah. Kerana ujarnya cara itu pernah dibuat oleh Pas. Kenyataan beliau ini seperti dia menarik balik kenyataannya sebelum ini yang tidak setuju dengan himpunan politik seperti Black505 bagi membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 yang didakwa tidak ada dan jahat. Justifikasinya untuk menarik kenyataan itu ialah kerana parti (Pas) bersetuju dengan himpunan Black505. Semalam mesyuarat jawatankuasa Pas membuat keputusan semua ahli Pas diarah menghadiri himpunan Black505 pada 15 Jun ini di Padang Merbok Kuala Lumpur. Harun juga mengakui pendapat beliau sebelum ini yang melarang himpunan Black505 adalah pendapat peribadi. Walaupun Ketua Urusan Dewan Ulama' ini akur dengan kehendak parti tetapi alasan diberikan untuk membolehkan himpunan diadakan masih mengelirukan, ertinya bukan persetujuan 100 peratus. Dia bersetuju kalau himpunan itu bukan untuk melakukan revolusi? Apakah Harun Taib ini faham atau tidak dengan politik? Atau beliau bercakap dari atas bendul rumahnya dan mengikut perasanya sendiri saja? Apakah politik yang beliau faham dan apaklah politik yang beliau tidak faham? Siapa yang mentafsirkan kepadanya himpunan Black505 itu untuk menggerakan revolusi? Apakah dia juga faham dengan perkataan dan pengertian revolusi? Harun telah meletakkan dirinya dalam keadaan yang berat. Dia berfikir sesuatu yang orang tidak berfikir dan menganggap orang berfikir seperti dia fikir. Saya rasa Harun mendapat maklumat mengenai himpunan itu bukan dari partinya tetapi dari akhbar Utusan Malaysia dan wartawan yang sering menghubunginya. Telatah atau cara Harun berfikir lari jauh. Ibarat berpakat hendak mengusung rumah, tetapi dia berfikir orang ramai diajak untuk meruntuhkan bukit dan mengusung batu bawa balik ke rumah. Pemahaman Harun dalam soal ini terlalu jauh sebenarnya dan menyekasakan dirinya sendiri. Percanggahan fahaman ini juga meroakkan reputasi beliau dan dewan yang beliau ketuai itu. Elok berhenti sajalah. Baik juga rasanya kalau Harun Taib dimasukkan semula ke dalam madrasah politik yang realistik iani politik berasaskan fakta semasa bukannya politik berasaskan hukum agama. Pemikiran dan pemahaman seperti Harun inilah yang mencemarkan demokrasi dan merosakkan strategi politik Pas dan rakannya sebagai sebuah gerakan massa. Orang seperti Harun sebenarnya tidak layak untuk mengulas mengenai politik. Ia bukan memberi kebaikan sebaliknya keburukan kerana ada pendapat dan kenyataanya kontra dengan keputusan parti. Ahli Pas pula jangan mudah menerima pandangan politik dari seseorang yang mendapat pendidikan tinggi dari institusi terkenal, atau digelar ulama tanpa diadaptasikan dengan politik semasa berdasarkan realiti. Untuk pengetahuan Harun, Pakatan Rakyat masih menerima konsep dan prinsip demokrasi. Belum ada tanda-tanda untuk mereka melaikukan aksi revolusi merampas kuasa secara kekerasa atau pun meruntuhkan institusi raja. Cara Harun mentafsir sesuatu tidak ubah seperti dia metafsirkan keadaan dirinya yang hanya demam tetapi dirasakan sudah mengalami sakit jantung. Maka ubah yang diambil adalah untuk jatung sedangkan dia hanya demam saja. Sampai ke bila pun Harun tidak akan sembuh dan rasional. Saya melihat orang macam Harun Taib ini bukan lagi membantu menggalakkan perjuangan Pas tetapi banyak menyusah dan membantutkan usaha pihak lain. Seelokknya menjelang muktamar ini Harun berundur sajalah. | ||||
Mahathir perlu cermin diri, UMNO untuk kenal pasti siapa sebenarnya ‘rasis’ Posted: 11 Jun 2013 02:37 AM PDT Oleh Lim Kit Siang (Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah) SEPANJANG kerjaya Dr Mahathir yang berliku-liku sebagai ahli politik, beliau sentiasa mencari 'kambing hitam' untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada kekurangan beliau sendiri, kekurangan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Nampaknya beliau sekali lagi melakukan perkara yang sama dengan menyalahkan kaum Cina dan juga DAP berikutan melebarnya jurang perkauman di Malaysia dan menuduh kedua-duanya sebagai 'cauvinis'. Kita hanya boleh meneka sama ada serangan bertubi-tubi Dr Mahathir terhadap kaum Cina dan DAP pasca-PRU-13 adalah didorong oleh prejudis buta beliau sendiri atau kerana beliau merasa bimbang kalau-kalau pencapaian beliau yang sebenar selama ini akan didedahkan kepada umum jika Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya, atau kerana usianya yang semakin lanjut atau barangkali kerana semua perkara di atas. Yang kita tahu secara pasti ialah tuduhan beliau tentang DAP sebagai sebuah parti cauvinis yang memainkan sentimen perkauman untuk menarik sokongan Cina daripada BN semuanya tidak lain adalah pembohongan yang amat jauh daripada kenyataan. Dr Mahathir mengatakan bahawa "Ketika ia (DAP) mengadakan pemilihan untuk Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti tidak lama dulu, semua anggota yang terpilih adalah Cina, kecuali Karpal Singh." Kenyataan itu menunjukkan betapa beliau mengabaikan sama sekali fakta dalam usahanya untuk melabel DAP sebagai sebuah parti 'cauvinis', sedangkan, cukup jika Dr Mahathir menggunakan 'google' untuk mengetahui bahawa M Kulasegaran (Ahli Parlimen Ipoh Timur), Gobind Singh Deo (Ahli Parlimen Puchong) dan Zairil Khir Johari (Ahli Parlimen Bukit Bendera) semuanya terpilih ke CEC. Rekod yang ada juga jelas menunjukkan bahawa sejak DAP ditubuhkan pada 1966, sentiasa ada pemimpin India atau Melayu yang terpilih menganggotai CEC pada setiap kali pemilihan parti. Andai Dr Mahathir meluangkan sedikit saja masa untuk menyemak senarai nama pemimpin DAP kini dalam laman web parti, beliau akan melihat ada Melayu, Cina, India, Iban, dan Kadazan yang menjadi anggota CEC DAP. Dr Mahathir tidak harus menuding telunjuk kepada DAP, beliau sepatutnya bertanya kepada dirinya sendiri berapa banyak pemimpin bukan-Melayu yang dipilih atau dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO sebagai menjawab pertanyaan siapa sebenarnya rasis. Memandangkan Dr Mahathir nampaknya tidak mahir menggunakan internet untuk menyemak fakta, atau barangkali beliau kekurangan sumber untuk menggaji seorang pembantu penyelidik yang baik, biar saya bentangkan rekod DAP sebagai sebuah parti berbilang kaum yang telah menyertai 11 pilihan raya umum sejak 1969. DAP telah meletakkan calon bukan Cina pada setiap pilihan raya umum sejak 1969 baik di peringkat Parlimen dan negeri (lihat Jadual 1 di bawah). Malah, pada beberapa pilihan raya umum, calon Melayu DAP di peringkat Parlimen (1995) dan negeri (1974, 1978, 1982) mengatasi jumlah calon India. Kecuali pada Pilihan Raya Umum 1999, DAP sentiasa mempunyai sekurang-kurangnya seorang Ahli Parlimen atau ADUN bukan-Cina. Sebelum PRU-13, calon Melayu DAP berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRU 1969, 1974, 1982, 1986, dan 1990, di samping memenangi satu kerusi Parlimen pada PRU 1990. Pada PRU 1969, Ibrahim Singgeh telah menewaskan calon UMNO di N 39 Tapah, Perak, manakala Haji Hassan Haji Ahmad telah menewaskan calon UMNO di N 14 Si Rusa, Negeri Sembilan. Pada PRU 1974, Daing Ibrahim Othman telah menewaskan calon MCA di N 23 Pasir Puteh, Perak. Pada PRU 1982, Mohd Fadzlan Yahya mengalahkan calon MCA di N 37 Pasir Bedamar, juga Perak. Beliau mengekalkan kerusinya pada PRU 1986. Pada PRU 1990, Ahmad Nor menjadi Ahli Parlimen Melayu DAP yang pertama apabila menewaskan calon MCA di P 47 Bayan Baru dan pada pilihan raya umum yang sama, Fadzlan Yahya menewaskan calon MCA di N 24 Lahat, Perak, manakala Mohd Asri menewaskan calon Gerakan di N 19 Dermawan, juga di Perak. *Termasuk Serani ** Bumiputera Sabah dan Sarawak DAP mengorak langkah pada 2013 dengan meletakkan 7 calon Parlimen daripada kalangan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Malah, DAP telah meletakkan lebih banyak calon Bumiputera Sarawak (6) berbanding calon Cina (5) di Sarawak. DAP juga mencatat pencapaian baru pada 2013 dengan terpilihnya dua calon Melayu DAP sebagai Ahli Parlimen (Zairil Khir Johari di Bukit Bendera, Pulau Pinang, dan Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz di Raub, Pahang), seorang ADUN Melayu (Tengku Zulpuri Shah Raja Puji di Mentakab, Pahang) dan seorang ADUN Kadazan (Dr Edwin Bosi di Kepayan, Sabah). DAP juga kini lebih berkemampuan untuk mewakili suara kaum India kerana parti kini mempunyai lebih banyak Ahli Parlimen berketurunan India (6) dan ADUN (14) berbanding MIC (4 Ahli Parlimen dan 5 ADUN). Dr Mahathir juga menuduh DAP meletakkan calon Cina sahaja di kawasan yang majoriti pengundinya adalah Cina. Sekali lagi beliau gagal menyemak fakta. DAP telah meletakkan 8 calon Cina di kerusi Parlimen yang majoritinya bukan-Cina, termasuk P 135 Alor Gajah yang 58% pengundinya adalah Melayu. Daripada semua kerusi campuran ini, DAP memenangi 7 kerusi, termasuk P 128 Seremban yang pengundinya 44% Melayu, 41% Cina dan 14% India. DAP juga meletakkan 12 calon Cina di kerusi DUN yang bukan majoriti Cina, termasuk N1 Titi Tinggi, di Perlis yang 76% daripada pengundinya adalah Melayu dan N14 Kelebang, Melaka, 60% pengundinya Melayu. DAP memenangi 10 daripada 12 kerusi DUN ini, termasuk N11 Derga, di Kedah yang 56% pengundinya adalah Melayu dan N21 Duyong yang 50% pengundinya adalah Melayu. Secara keseluruhan, DAP telah memenangi 9 kerusi Parlimen dan 17 kerusi DUN di kawasan yang bukan majoriti Cina (pengundi Cina di bawah 50%), termasuk P 80 Raub yang 50% pengundinya Melayu dan N 30 Mentakab yang juga 50% pengundinya Melayu. Kedua-dua kerusi itu dimenangi calon Melayu DAP. Sebaliknya, daripada 73 kerusi Parlimen yang dimenangi UMNO di Semenanjung Malaysia, hanya 2 yang memiliki majoriti bukan-Melayu (Pasir Gudang dan Pulai, di Johor) (Melayu kurang daripada 50%). Daripada 210 kerusi DUN yang dimenangi UMNO di Semenanjung Malaysia pula, hanya 3 kerusi yang majoriti pengundinya bukan-Melayu (N 5 Tenang, N 27 Layang Layang dan N 49 Nusa Jaya) (Melayu kurang 50%). Tiada satu pun kerusi yang majoriti pengundinya Cina dimenangi UMNO). Jika Dr Mahathir mahu menuduh calon Cina DAP bertanding hanya di kerusi majoriti Cina, barangkali elok jika beliau terlebih dahulu melihat kepada UMNO dan bertanya mengapa UMNO hanya bertanding di kerusi yang majoriti pengundinya Melayu. Malah, satu-satunya kawasan majoriti Cina yang ditandingi UMNO ialah Gelang Patah, tempat saya bertanding, ketika parti itu 'mengorbankan' bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman dengan menghantar beliau untuk bertanding di kawasan yang 52% pengundinya adalah Cina. Kenyataan yang kononnya "tidak terbantah" yang disebut Dr Mahathir, iaitu bahawa "DAP telah berjaya memusnahkan kerjasama atau perkongsian di antara kaum yang berlainan seperti yang telah ditunjukkan menerusi pakatan BN" tidak lain adalah khayalan. Kenyataan yang sebenarnya tidak dapat dibantah ialah bahawa dalam BN tidak ada kerjasama sebenar, yang ada sebaliknya hanya dominasi UMNO. Ini dapat dilihat pada PRU-13 yang baru berlalu apabila MCA dipaksa untuk memberi tiga kerusi Parlimennya kepada UMNO – Kuantan, Wangsa Maju dan Gelang Patah – semuanya jatuh di tangan UMNO. Setiap kali UMNO menyuruh parti dalam BN melompat, mereka bertanya "setinggi mana?". Dominasi UMNO ini akan semakin kukuh memandangkan ia telah hilang keyakinan terhadap rakannya dalam BN untuk memenangi kerusi yang dipertandingkan. Dr Mahathir ternyata semakin khayal apabila ia mengatakan "Pakatan Rakyat bukan sebuah pakatan sebenar." Di kalangan parti Pakatan Rakyat, tidak ada parti yang dominan. PKR, DAP, dan PAS adalah rakan kongsi yang setaraf dalam Pakatan Rakyat, tidak seperti parti dalam BN. Tidak seperti dalam BN, rundingan di antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat adalah rundingan tulen. Pemilihan Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang dibuat secara sebulat suara oleh parti Pakatan Rakyat walaupun PKR bukan parti yang paling banyak memenangi kerusi Parlimen. PAS dan DAP menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor walaupun kedua-dua parti ini menang lebih banyak kerusi (setiap satu parti memenangi 15 kerusi) daripada PKR (14 kerusi). Ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat telah berjaya menambah bilangan kerusi pada PRU-13 dan kenyataan ini sengaja dilupakan oleh Dr Mahathir. Tiada satu pun parti dalam Pakatan Rakyat berhasrat untuk 'mendominasi' politik dalam Pakatan, apatah lagi di peringkat kebangsaan seperti yang didakwa Dr Mahathir. Dr Mahathir sepatutnya menuding jari kepada dirinya sendiri dan UMNO serta BN kerana menyebabkan jurang kaum semakin lebar. Dr Mahathir yang memainkan peranan di belakang tabir sebagai penasihat Perkasa bagi semua pemimpin Perkasa – Zulkifli Nordin dan Ibrahim Ali – yang bertanding sebagai calon de facto dalam PRU-13. Utusan Malaysia pula memainkan sentimen perkauman untuk menyemarakkan kebimbangan orang Melayu dengan mencipta pembohongan dan cerita rekaan mengenai DAP. MCA pula menerbitkan iklan dalam akhbar Inggeris dan Cina, selain dalam stesen radio Cina untuk melebarkan jurang di antara kaum Cina dan Muslim di Malaysia. Hanya pada satu perkara saya dapat bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir iaitu bahawa "jurang perkauman telah menjadi semakin jelas" dan bahawa "ia akan menjadi lebih jelas di masa depan." Kesalahan harus diletakkan sepenuhnya di bahu pemimpin BN, termasuk pemimpin di masa lalu seperti Dr Mahathir. Satu-satunya cara untuk kita menghindari "polarisasi kaum" bukanlah dengan terus menyokong BN, sebaliknya dengan melihat kepada Pakatan Rakyat sebagai harapan untuk masa depan dan melihat parti PKR, PAS, dan DAP sebagai parti berbilang kaum yang telah meletakkan calon yang berbilang kaum ketika PRU-13 dan akan terus memperjuangkan hak rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bahasa, agama dan latar belakang.-Roketkini.com | ||||
MIC dicabar tuntut jawatan Speaker bukan setakat di Perak Posted: 11 Jun 2013 02:34 AM PDT Roketkini.com SUNGAI SIPUT- Presiden MIC, Datuk G Palanivel diminta tidak 'bermain drama' dengan mengugut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dengan mengatakan MIC tidak akan menerima sebarang jawatan jika wakil mereka tidak dilantik menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak. Sebaliknya, beliau dicabar membuktikan kesungguhannya dengan berikrar meletakkan semua jawatan yang diwakili MIC di semua peringkat negeri dan Pusat jika hasratnya itu tidak tercapai. Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi DAP Perak, V Sivakumar menganggap 'ugutan' Presiden MIC itu tidak berasas malah melucukan kerana selama ini pun UMNO tidak pernah menghormati MIC sebagai sekutu baiknya. "Kita kena faham realiti. Jawatan Speaker yang diberi kepada wakil MIC, Datuk R Ganesan sebelum ini semata-mata untuk menggantikan saya supaya tidak timbul reaksi hangat masyarakat India kononnya untuk menjaga hati kaum mereka. "Dalam kata lain, MIC juga diperbodohkan UMNO dalam permainan kotornya untuk menipu masyarakat India," jelas Sivakumar sambil menimbulkan persoalan siapakah bakal menjadi Speaker Perak pada penggal 2013 ini. Menurut beliau, MIC juga tidak boleh berbangga dengan jawatan Speaker sebelum ini kerana ia adalah 'sedekah' daripada Kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang dirampas Barisan Nasional (BN) secara tidak demokratik. "MIC tidak berani menuntut jawatan itu sebelum ini. Hanya selepas saya dipilih sebagai Speaker Perak, baru sekarang MIC berani menuntut jawatan itu. Perkara itu amat menyedihkan dan memalukan," katanya. Sivakumar juga mempertikaikan mengapa Palanivel hanya berani mengugut menuntut jawatan Speaker di negeri Perak sahaja. "Mengapakah beliau tidak berani menuntut jawatan yang sama di Johor, Pahang, Perlis, Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan. Adakah beliau juga berani untuk mengugut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan sekurang-kurangnya jawatan Timbalan Speaker kepada seorang pemimpin MIC. | ||||
Tumpu Jaga Politik, Jenayah Meningkat Polis Berdepan Krisis Dan Keyakinan Rakyat Posted: 11 Jun 2013 02:25 AM PDT SHAH ALAM : Tony Pua menyifatkan Malaysia kini makin terhimpit dengan peningkatan agresif kadar jenayah, peningkatan kes kematian dilokap tetapi dalam masa yang sama objektif pasukan keselamatan lebih berorientasikan politik sehingga menyebabkan polis terpaksa berhadapan krisis keyakinan dan kredibiliti. Situasi ini hanya menjelaskan kesan buruk tindakan kerajaan BN yang ingkar untuk melaksanakan cadangan serta laporan Suruhanjaya Diraja bagi menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). "IPCMC adalah bertujuan menjadi agensi untuk memeriksa disiplin dan memupuk semangat profesionalisme dalam pasukan polis di samping memastikan polis mematuhi segala doktrin, undang-undang, peraturan dan prosedur yang ditetapkan," ujarnya yang juga Setiausaha Publisiti DAP dalam satu kenyataan media. Sabtu lalu, hampir 70 orang dirompak di sebuah restoran 'steamboat' di Cheras oleh sekumpulan 10 orang yang bersenjatakan parang dan batang besi, menyebabkan kerugian lebih RM20, 000 kepada pengunjung dan pemilik restoran. Malah, polis juga didakwa turut menerima empat lagi laporan kejadian rompakan seumpama itu di sekitar Kuala Lumpur selain satu lagi laporan di Petaling Jaya dalam tempoh dua minggu. "Kita tidak bercakap mengenai rompakan bersenjata terhadap seseorang yang berjalan di lorong gelap dan terpencil, sebaliknya kita melihat rompakan bersenjata terang-terangan di restoran terbuka yang sesak," ujar Tony kesal. Perdana Menteri pula dalam satu kenyataan dipetik Bernama pada Sabtu lepas menyeru sektor swasta, khususnya pemilik pusat-pusat membeli-belah, meningkatkan tahap keselamatan di premis mereka dengan memasang lebih banyak Closed Circuit Television (CCTV) selain mengupah lebih ramai pengawal keselamatan. "Walaupun tindakan tambahan di atas boleh membantu mengurangkan jenayah, tanggungjawab untuk memerangi jenayah, seperti rompakan terbuka di restoran ganas dan keterlaluan, hanya boleh dikendalikan oleh pihak polis," tegasnya. Beliau juga mengulangi kebimbangan berhubung tumpuan pasukan polis yang banyak dibazirkan untuk memburu aktivis politik dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR). Rekod sembilan kematian yang dilaporkan dalam tahanan pihak polis dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini juga dilihat antara penyebab reputasi professional polis hancur. Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menyalahkan kerajaan BN atas kegagalan dalam memastikan bahawa setiap rakyat di negara ini selamat. "Sekiranya BN masih lagi bermimpi untuk memenangi semula sokongan daripada penduduk bandar di Malaysia pada pilihan raya umum akan datang, maka mereka perlu melaksanakan IPCMC," katanya. | ||||
Rafizi Dakwa DBKL Tunduk Tekanan Politik Umno-BN Posted: 11 Jun 2013 02:23 AM PDT SHAH ALAM : Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tidak memberikan jawapan jelas mengenai penggunaan Padang Merbok pada 23 Jun depan didakwa kerana terpaksa tunduk kepada tekanan politik Umno-BN. Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, acara pada 23 Jun tidak melibatkan Padang Merbok dengan bermula dan berakhir di Dataran Merdeka, maka tidak ada alasan untuk tidak membenarkan himpunan aman #black505 berlangsung di Padang Merbok pada 22 Jun. Katanya, Sekretariat Pakatan mendapat makluman bahawa DBKL menolak permohonan menggunakan padang itu melalui surat yang difakskan. "Saya dan rakan-rakan Pakatan Rakyat akan hadir berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 14 Jun, tetapi kami tidak akan berganjak dari keputusan mengadakannya di Padang Merbok pada 22 Jun. "Apatah lagi apabila terbukti padang itu tidak digunakan pada hari Sabtu dan Ahad minggu itu," kata Rafizi dalam kenyataan medianya. Katanya, sebelum ini alasan permohonan itu ditolak bahawa Padang Merbok diperlukan pada 22 Jun sebagai persiapan kepada satu acara yang dianjurkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada keesokan harinya iaitu 23 Jun. Ujarnya, pendirian pimpinan Umno-BN bahawa perhimpunan aman hanya boleh diadakan di tempat tertutup seperti stadium adalah tidak masuk akal dan bertentangan dengan hak berhimpun secara aman di semua tempat-tempat awam Jika pendirian pimpinan Umno-BN ini digunapakai, maka tidak ada majlis atau acara yang boleh dibuat di tempat terbuka dan akta itu perlulah ditukar namanya menjadi 'Akta Perhimpunan Aman Dalam Stadium Sahaja'. "Alasan bahawa perhimpunan akan menyebabkan kesesakan jalan raya tidak boleh dipakai kerana Larian Olimpik McDonald akan menyebabkan jalan-jalan ditutup di sekitar kawasan. "Jika pihak berkuasa boleh menutup jalan untuk mempermudahkan larian itu, saya pasti pihak berkuasa juga boleh menutup jalan untuk perhimpunan aman #black505 pada 22 Jun," kata Rafizi. | ||||
Masih belum ada seragam sekolah Posted: 11 Jun 2013 02:21 AM PDT PASIR MAS – Pasangan suami isteri di Kampung Teliar tua, sedih kerana tidak dapat menyediakan keperluan persekolahan anak-anak, selepas rumah mereka hangus dalam kebakaran, 20 Mei lalu. Mat Nudin Adam, 58,berkata, dia terpaksa menggunakan sebahagian besar sumbangan orang ramai untuk membeli keperluan asas seperti makanan dan pakaian. "Mujurlah minggu lepas cuti sekolah, maka kami tidak perlu tergesa-gesa mendapatkan keperluan persekolahan mereka. "Dua anak saya yang masih belajar di tingkatan dua dan empat, mungkin terpaksa bercuti buat sementara waktu," katanya. Katanya, ada juga penduduk yang prihatin, menderma pakaian seragam sekolah lama untuk anak-anaknya. Namun katanya, kelengkapan seperti buku latihan, buku teks dan alat tulis perlu disediakan memandangkan musim peperiksaan akan berlangsung tidak lama lagi. Sementara itu, Timbalan Yang dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Datuk Kamaruddin Mohd Zin berkata, pihaknya menyalurkan bantuan untuk keperluan dua anak Mat Nudin. Menurutnya, bantuan ini akan digunakan untuk mendapatkan keperluan asas persekolahan seperti seragam sekolah, seragam sukan, buku teks, buku latihan dan alat tulis. Di samping itu katanya, Maik turut menyampaikan sumbangan zakat bernilai RM 2,000 kepada mangsa, untuk keperluan harian mereka. "Tengku Mahkota, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Sultan Ismail Petra bersimpati dengan Mat Nudin, kerana bukan sahaja kehilangan rumah, malah dia pernah terlibat dalam kemalangan, tujuh bulan yang lalu. "Diharapkan, bantuan ini akan meringankan keperluan mereka, malah anak-anak dapat memulakan sesi persekolahan dengan kelengkapan yang lebih selesa," katanya. | ||||
Posted: 10 Jun 2013 10:08 PM PDT SINAR HARIAN PUTRAJAYA - Perbadanan Putrajaya (PPj) akan menyerahkan pampasan insurans berjumlah RM50,000 kepada keluarga Allahyarham Mohammad Shahrulnizam Ahmad Nazari yang meninggal dunia akibat penyakit akut gunung (AMS) ketika dalam perjalanan ke Everest Base Camp pada 3 Jun lalu. Presiden PPj Tan Sri Aseh Che Mat berkata walaupun Mohammad Shahrulnizam merupakan penolong jurutera kontrak PPj, Allahyarham layak mendapat pampasan insurans seperti pekerja tetap perbadanan itu. "Kita akan cuba usahakan. Saya fikir ini tidak menjadi masalah. Walaupun beliau pegawai kontrak, apa juga faedah yang diterima pekerja tetap beliau juga layak, kecuali tiada pencen," katanya pemberita selepas majlis makan malam sempena pelayaran pertama Cruise Tasik mengelilingi Pusat Pentadbiran Persekutuan di sini malam tadi. Aseh berkata PPj juga akan melakukan kutipan dalam kalangan warga kerjanya bagi menghulur sumbangan segera kepada keluarga Allahyarham. Mohammad Shahrulnizam, 25, meninggal dunia akibat AMS ketika di Labuche dalam perjalanan ke Everest Base Camp dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Belah, Klang, Khamis lepas. Ekspedisi Mendaki Gunung Kala Patthar dan Everest Base yang bermula 27 Mei itu disertai 14 pendaki (11 lelaki dan tiga wanita) yang mewakili Kelab Rekreasi Sukan dan Kebajikan PPj. - Bernama | ||||
Pembangkang boikot taklimat Dewan Rakyat Posted: 10 Jun 2013 10:07 PM PDT KUALA LUMPUR - Seolah-olah mengotakan apa yang dihebohkan sebelum ini, hanya seorang ahli Parlimen pembangkang hadir taklimat ahli Dewan Rakyat hari ini. Majlis taklimat yang bermula kira-kira jam 9.30 pagi menyaksikan hanya ahli Parlimen Bakri dari DAP, Er Teck Hwa sahaja yang hadir ke upacara tersebut. Menulis dalam laman mikro Twitter, Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, " hanya satu orang MP pembangkang yang hadir majlis taklimat Parlimen. Yg lain tak iktiraf?". Pembangkang sebelum ini menegaskan mereka mahu boikot sesi Parlimen ke-13 yang akan bermula 24 Jun ini selagi tuntutan mereka tidak dipenuhi. Antaranya, mereka mendesak supaya pengerusi dan timbalan pengerui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletak jawatan kerana didakwa bersekongkol dalam penipuan PRU13. | ||||
Hina Agong jika boikot Dewan Rakyat Posted: 10 Jun 2013 10:05 PM PDT KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen yang tidak hadir pada hari pertama tanpa sebab munasabah dianggap sebagai penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat serta negara ini. Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, kehadiran hari pertama pada sesi Parlimen adalah penting kerana mengikut peraturan mesyuarat, akan diadakan pelantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Menurutnya, semua ahli Parlimen perlu mengikut lima peraturan mesyuarat dan hanya surat pengesahan (sebab) boleh diterima jika gagal hadir. "Jika mereka tidak mengikut peraturan pertama, bagaimana mahu yang seterusnya? Alasan memboikot tidak boleh diterima sama sekali dan menurut Akta 59, mana-mana ahli Parlimen tidak mengangkat sumpah dalam tempoh enam bulan, mandat sebagai ahli Parlimen akan digugurkan secara automatik. "Pada pendapat saya, jika ada mana-mana yang tidak hadir, pastilah ada sebab tertentu dan bukannya boikot," katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis taklimat kepada ahli-ahli Dewan Rakyat Parlimen Ke-13, di sini, pagi ini. Sementara itu, beliau turut mengesahkan hanya seorang seorang ahli Parlimen pembangkang hadir ke sesi taklimat Dewan Rakyat hari ini. Daripada 89 ahli Parlimen PR kesemuanya, hanya ahli Parlimen Bakri dari DAP, Er Teck Hwa yang hadir ke sesi berkenaan. "Kita mengamalkan demokrasi. Orang yang datang, datang. Yang tidak datang, tidak datang. "Saya menganggap semua yang tidak hadir mempunyai alasan mereka tersendiri dan bukan untuk memboikot," katanya dalam sidang media di sini, hari ini. Menurut Pandikar, kehadiran pada majlis taklimat ini bukanlah suatu yang diwajibkan. "Ini (sesi) adalah untuk ahli Parlimen yang baru. Bagi yang senior, mereka akan hadir jika mereka menghormati tempat di mana mereka bekerja. Tetapi kita faham yang ada sesetengah daripada mereka mempunyai alasan kenapa mereka tidak datang," katanya lagi. Tambah Pandikar, mereka yang tidak hadir akan menimbulkan masalah di kemudian hari di mana ahli Parlimen perlu mengambil tempahan untuk baju uniform serta memohon kad pengenalan ahli Parlimen. | ||||
Mukhriz serah keputusan kepada pucuk pimpinan tertinggi Posted: 10 Jun 2013 10:02 PM PDT Namun, pada masa yang sama Mukhriz menyatakan kesediaan menggalas tanggungjawab itu jika diminta berbuat demikian. "Yang tu (jawatan pengerusi) kita tunggulah. Saya tak tau, saya pun tunggu (keputusan pucuk pimpinan BN), kalau benar saya sanggup ambil alih tanggungjawab besar ini," katanya kepada pemberita selepas majlis Makan Malam Ulang Tahun Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia ke-40, di sini malam tadi." Mukhriz yang juga Timbalan Pengerusi Umno Kedah mengulas kenyataan Pengerusi BN Kedah Datuk Ahmad Bashah pada Ahad lepas, yang dilapor bersedia melepaskan jawatan itu bagi memastikan BN kekal menguasai Kedah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Ahmad Bashah yang berharap Mukhriz akan mengambil alih jawatan itu turut menyatakan azam untuk membantu Menteri Besar Kedah berkenaan memastikan negeri tersebut kekal di tangan BN pada PRU14. – Bernama | ||||
Dulu Desak K'jaan PR Tutup... Sekarang Dah Ada Kuasa, TUTUPLAH!!! Posted: 10 Jun 2013 09:59 PM PDT Harap-harap Melayu tak mudah lupa bila Pengerusi UMNO Kedah Datuk Md Bashah Mat Hanipah buat sidang media khas membantah kewujudan pusat hiburan House Bar, Jalan Alor Mengkudu. UMNO mendesak supaya kerajaan PR Kedah menutup pusat hiburan tersebut. Sekarang UMNO dah ada kuasa, so nak tunggu apa lagi pi tutuplah! Jangan dok bagi banyak alasan kerajaan UMNO Kedah hoiii. Bagaimanapun rakyat Kedah bagi masa kepada UMNO Kedah untuk melaksanakan kerja penutupan semua pusat hiburan tu dalam masa 100 hari seperti yang mereka janjikan sewaktu kempen PRU lalu. Kalau lepas 100 hari depa tak tutup jugak, maka kita turun buat demo depan Wisma Darul Aman. Kita ajak sekali Cot Salihiah, Sobri Sudin dan Mursyid Pekida... amacam, boleh? - Kedah La | ||||
Pelantikan Saifuddin Nasution bukan isu Posted: 10 Jun 2013 09:51 PM PDT
SEPERTI pelantikan semula Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor setelah kerajaan pimpinannya mendapat kejayaan besar dalam pilihanraya, bukan suatu isu besar, maka perlantikan Saifuddin Nasution sebagai pegawai politik yang penting dalam kerajaan Selangor juga tidaklah satu isu besar yang luar biasa bagi sebuah kerajaan. Apatah lagi kerajaan dn negeri Selangor adalah sebuah negeri dan kerajaan yang penting di Malaysia, yang terkedepan dalam banyak masalah dan kemajuan, maka terbuka baginya untuk memanfaatkan tenaga yang diperlukannya. Saifuddin adalah Setiausaha Agung PKR, pernah menjadi pegawai kepada Datuk Najib semasa di Kementerian Pertahanan dan pembantu beberapa menteri semasa dalam UMNO, malah pernah menjadi pegawai politik kerajaan PAS Kelantan sebelum Selangor jatuh ke tangan Pakatan. Jika dia ditawarkan satu jawatan politik dalam kerajaan Selangor, bukan dia seorang yang asing dengan tugas yang diberi kepadanya. Jika Kelantan yang dikuasai PAS sepenuhnya pernah memanfaatkan tenaga sedang dia bukan seorang ahli PAS, tidaklah pelik sebagai seorng pemimpin tertinggi PKR menjadi pembantu kepada kerajaan Pakatan yang dipimpin oleh seorang Menteri Besar PKR. Sebuah kerajaan politik wajar dibantu oleh pembantu dan penasihat politik. Selangor sejak ditadbir Pakatan tidak punya banyak pembantu politik selain Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi yang tidak bergaji dan Setiausaha Politik Menteri Besar sendiri. Tidak menakjubkan jika Menteri Besar dan Ketua Menteri BN mempunyai pegawai politik yang lebih ramai. Khalid sebagai pentadbir profesional dikenali sebagai seorang pegawai eksikutif yang tidak memberi gaji buta kepada orang-orang di bawahnya. Dia beri gaji RM5 ribu kepada seseorang, orang itu mesti bawa pulangan lebih banyak dari gajinya. Jika Perdana Menteri Najib mempunyai penasihat zionis Apco dan berpuluh pembantu politik untuk membantunya, ssesui dengan Negeri Selangor yang tidak sepenting Malaysia, punya tidak sampai lima orang pembantu dan penasihat politik. Sesuai dengan kemenangan semula Pakatan Selangor dengan lebih cemerlang, maka tentulah beban dan tanggungjawabnya bertambah bagi menghadapi cabaran politik luar yang begitu besar. Sepanjang lima tahun kerajaan Khalid, tidak putus dengan tunjuk perasaan dan kritik, kerajaannya diancam oleh Perdana Menteri sendiri yang menjadi ketua untuk menjatuhkan Khalid dan Pakatan. Maka jangan fikir Najib akan berdiam diri setelah kegagalannya untuk merampas Selangor. Dia akan menggandakan serangannya dengan taktik baru. Maka cabaraan Selangor lima tahun akan datang adalah lebih besar dari lima tahun yang lalu. Kebetulan Saifuddin pula tiada jawatan lain selain dari Setiausaha Agung PKR setelah dia tidak jadi anggota Parlimen lagi, maka dia tentu ada masa bagi membantu Menteri Besar menangani pentadbiran negeri yang termaju itu. Ada dua tohmah yang pengkritik dalaman dihadapkan kepadanya. Pertama dia kedekut untuk membelanja kekayaan kerajaan dan kedua dengan melantik Saifuddin menjadi pembantu politik, akan membazirkan duit kerajaan. Pada Khalid, kedekutnya adalah terhadap kekayaan kerajaan. Duit kerajaan diguna pada tempat yang betul. Kerana kedekutnya, kerajaannya dipuji oleh Ketua Audit Negara. Tetapi dia tidak kedekut memberi berlori lembu korban untuk kawasan pilhanraya Parlimennya di Bandar Tun Razak. Dan jika elaun untuk Saifuddin yang ditohmah membazir, tentulah tidak sampai RM400 ribu sebulan seperti yang dinikmati oleh CEO sebuah agensi di Selangor yang dekat dengan kerajaan pusat. Adalalh benar Saifuddin bukan anak jati Selangor, tetapi Khalid tidak mengambil penasihat Yahudi. Cuba tanya Dr. Mahathir dan Najib, adakah mereka tidak pernah menggunakan penasibat Yahudi. Khalid mengambil penasihat dari PKR sendiri dan dia belum mengisi penuh apa yang diperlukan oleh kerajaan Selangor dan Jabatan Menteri Besar. | ||||
Sekadar air suam dalam botol susu anak ... Posted: 10 Jun 2013 09:47 PM PDT Ramai bertanya bagaimana saya berdepan kekalahan ini. Soalan ini awalnya sukar dijawab, lantaran saya bukan pakar motivasi, jauh sekali ahli psikologi. Terus-terang, saya masih mempunyai emosi dan punya kelemahan diri. Remuk, luluh dan kecewa adalah sentapan pedih yang menyambar perasaan tatkala mendengar pengumuman Dato' Yusuf Husin, Pengarah Pilihan Raya PAS Kedah, tengah malam itu. Kurang lebih 48 jam, saya perlahan-lahan memujuk rasa. Rasa itu dihidangkan semula oleh Tuhan, dengan pengajaran yang diberikan. Nostalgia lama terungkap kembali.Saya muhasabah, catit kekurangan diri dan kutip semula impian yang berkecai bertaburan. Sebenarnya, kekalahan dan kegagalan yang dilalui ini, bukanlah yang pertama kali. Rupanya telah lama menjadi 'rakan karib' kehidupan saya, yang ada kalanya sukar dipisahkan. Ada masa datang dan pergi, silih berganti. Namun di setiapnya, Tuhan sentiasa berada di sisi, mendengar rintihan. Benar bagai dikata ulama dan ahli agama. Banyak kekalahan, kekecewaan dan kegagalan yang ditempuhi, namun tidak secubit pun Allah meninggalkan hamba-Nya terkapar sendiri. Namakan apa juga babak cerita, bermula dengan cinta, kewangan, keluarga dan kerjaya, semuanya pernah diuji Tuhan. Saya sendiri tanpa kecuali. Pedih dan pilu, sambaran menyentap perasaan tatkala saya putus cinta. Itu pengalaman pahit yang pertama. Hanya mengadu pada Tuhan yang satu dan setahun kemudian, Tuhan kabulkan permintaan. Anugerah terbaik dari-Nya, menemukan isteri yang juga ibu kepada cahaya mata saya yang kini meningkat dewasa. Kemudian datang, cabaran yang tak kunjung padam. Hampir menggugat jiwa, apabila saya menghadapi tujuh kali kemalangan yang hampir meragut nyawa. Putus asa dan mula mempersoalkan malang yang menimpa. Perlahan-lahan saya diajar untuk bersangka baik kepada Allah. Hikmahnya, pengalaman ini, mengetuk hati untuk mendekatkan diri pada Tuhan. Majalah NUR terbitan Julai 2010, pernah merakam kisah pengajaran dan pengalaman nan secebis ini. Ujian lain menyusul lagi. Berada di kedudukan tertinggi sebagai Pengurus Operasi sebuah syarikat, kemudian merudum jatuh rapat, saya hampir merempat. Saya bertatih semula di lain tempat. Bermula dari bawah, menyapu, mengemas, mencuci tandas dan bergilir menjadi pengawal keselamatan antara pengalaman 'manis' yang saya dapat. Saya mengerti apa itu hinaan, cacian dan umpatan. Semuanya saya hadam dan telan untuk sesuap nasi, buat isteri dan anak-anak yang masih kecil lagi. Dalam diduga, Allah jua yang 'menyelamatkan' saya suatu malam, 11 tahun lalu ketika benar-benar kesempitan wang. Malam itu, susu tepung anak sulung habis. Berdebar jantung lantaran, hanya kepingan syiling saja yang tinggal. Saya dan isteri juga, tidak menjamah walau secebis makanan pada hari itu. Tiba saat yang cukup perit dan payah untuk dihadapi tatkala, si comel merapati ibunya, minta dibuatkan susu. Ketika itu isteri sudah tidak sanggup melihat keadaan itu. Saya dengan hati yang luluh, lantas mencapai botol susu lalu menuangkan air suam ke dalamnya. Anak sulung saya, berkerut kehairanan kerana botol susu itu tidak berwarna, tetapi jernih sama seperti air mata ayah dan ibunya. Namun tanpa banyak rengekan, dia capai lalu menghisap botol tersebut. Beberapa saat kemudian, dia berhenti lantas memandang. Bimbang benar, jika dia menjerit dan menangis malam itu kerana tidak dapat meminum susu. Alangkah aibnya saya, jika jiran semua tahu letak duduknya keadaan keluarga saya, sehingga anak menjerit kelaparan. Isteri juga panik, dan pucat kesi wajahnya menantikan reaksi si sulung seterusnya. Saya bersabar menunggu detik itu.Sambil memegang botol susu, anak sulung saya merenung wajah kami berdua lantas bersuara. "Mmm ...sedap," lalu mengukirkan senyuman paling manis yang sudah cukup 'mencarik-carikkan' nurani saya. Sebak terasa di dada. Isteri sudah tidak dapat menahan sedih, menangis semahu-mahunya. Si sulung kembali menyusu sehinggalah terlena. Detik pilu itu, Allah selamatkan kami berdua. Malam hari, menjadi waktu mencurah rasa dan air mata. Tuhan mendengar dan tidak menghampakan saya. Peluang Allah bukakan di tempat lain dan sejak itu saya masih di sini, hampir 9 tahun, menulis sesuatu untuk dikongsi. Lamunan saya menginjak subuh tiba-tiba dikejutkan panggilan seorang lelaki, Ahmad Yatim berusia hampir 70-an, dari Masjid Tanah, Melaka cuba mengubat duka. "Saya masuk PAS ketika berusia 18 tahun, dan masih berjuang ... Azamin jangan kecewa ya," tuturnya ringkas. Tiga tahun di Kedah, inilah kali pertama dia menghubungi saya. Kemudian SMS pula bertali arus, panggilan yang tak putus-putus serta komentar dari media alam maya, dari kenalan dan saudara mara, agar tidak patah semangat. Terkenang semula bait-bait kata Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika bertemu seluruh jentera dan kepimpinan PAS tertinggi dan akar umbi di Kompleks PAS Kota Sarang Semut, beberapa hari sudah. Katanya, kemenangan sebenar ialah perjuangan yang berterusan sehingga akhirat dan kekalahan yang sebetulnya, bagi yang lari, putus asa dan kecundang di tengah jalan. "Selain kemenangan, Allah juga mengajar kita menghadapi erti kekalahan seperti yang terakam dalam kisah perang Uhud ... malah Rasulullah juga luka dan patah giginya."kata Ustaz Hadi. Begitu juga dengan kesabaran, tatkala Nabi Musa dan Nabi Harun memohon kepada Tuhan agar menjatuhkan Firaun, yang cukup berkuasa, kaya raya, memiliki bala tentera dan segalanya, Tuhan tidak menunaikannya serta-merta. "Allah makbulkan doa mereka, selepas 40 tahun kemudian, dan Firaun yang zalim itu ditenggelamkan. "Tempoh perjuangan memang panjang, ada sempat merasainya dan juga yang tidak berpeluang mengecapi kemenangan. Yang utama ialah teruskan perjuangan untuk agama Allah," titip Ustaz Hadi, membakar hati pejuang di bumi Jelapang Padi. Ya, kekalahan bukanlah penamat, tetapi tamat seandainya kita menyerah kalah. Merenung sempadan kaca dan pintu yang berkunci, ayahanda Ustaz Azizan Razak sudah pun membuka mata. Tiba-tiba api semangat perlahan-perlahan naik menjulang tinggi. Tanpa disedari, sebulan berlalu, saya nan 'kecil' dan para pejuang lainnya sudah berada semula di medan tempur, kembali menyusuri ranjau dan duri. | ||||
Ahli Parlimen BN yang tidak gembira bertemu selepas kemenangan PRU13 Posted: 10 Jun 2013 09:34 PM PDT The Malaysian Insider difahamkan, lebih kurang sedozen ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak yang tidak mahu menyeberang menyertai Pakatan Rakyat (PR) tetapi turut tidak gembira dengan Putrajaya kerana tidak diberikan apa-apa kepada mereka selepas menang. "Ahli Parlimen Malaysia Timur bertemu Ku Li di rumahnya untuk membincangkan langkah seterusnya kerana mereka tidak gembira dengan Putrajaya," kata sumber kepada The Malaysian Insider, merujuk kepada nama samaran putera raja itu. Ahli-ahli Parlimen yang dipilih pada pilihan raya umum 5 Mei berada di sini selama dua hari untuk diterangkan tentang prosedur dan etika Parlimen. BN mendapat 47 daripada 56 kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak, menyumbangkan satu pertiga dari 133 kerusi mereka menangi daripada 222 jumlah kerusi di Parlimen. Walau bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya memberikan 20 jawatan menteri dan timbalan menteri kepada ahli Parlimen Malaysia Timur, menyebabkan parti seperti SPDP dari Sarawak hanya mempunyai satu wakil walaupun menang empat kerusi Parlimen. Sebaliknya MIC dari semenanjung Malaysia menyaksikan empat ahli Parlimen mereka mendapat jawatan menteri dan timbalan menteri dalam pentadbiran Najib – yang mempunyai 32 menteri penuh termasuk lapan di Jabatan Perdana Menteri. "Ahli Parlimen dari Malaysia Timur tidak mahu meninggalkan BN akan tetapi mahukan sesuatu dari kemenangan mereka. "Mereka bertemu Ku Li untuk melihat apa yang mereka boleh lakukan untuk meluahkan kekecewaan mereka," tambah sumber itu. Putera raja Kelantan itu mahu mencabar Najib untuk jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti lalu akan tetapi tidak mendapatkan pencalonan cukup untuk layak, di mana pemenangnya kebiasaannya menjadi perdana menteri dalam kerajaan BN. Beliau mewakili Gua Musang semenjak 1974 dan sudah beberapa kali cuba untuk mendapatkan jawatan perdana menteri tetapi tidak berjaya. Satu lagi sumber memberitahu ahli Parlimen Malaysia Timur adalah yang terbaru untuk memberikan tekanan kepada Najib selepas beliau memenangi mandat pertama peribadi dengan kerusi kurang daripada pendahulunya Tun Abdullah Ahmad Badawi. "Najib sudah diberikan tekanan dalam Umno dan sekarang ini, selepas keputusan buruk dalam pilihan raya," tambah beliau. Umno memenangi 88 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya 2013, meningkat sembilan berbanding 2008 akan tetapi beberapa veteran parti menyalahkan parti itu dan prestasi buruk BN kepada ahli strategi "bilik perang", dan membayangkan perdana menteri mungkin perlu ditunjukkan pintu keluar jika dia tidak membuang ahli strateginya kerana nasihat buruk mereka. "Ahli-ahli Parlimen ini tidak boleh melakukan banyak kecuali memanggil untuk undi tidak percaya. Menjadikannya sebagai agenda sudah satu kejayaan untuk menzahirkan kekecewaan mereka. "Atau mereka boleh biarkan ahli Umno semasa pemilihan parti akhir tahun menunjukkan kepada PM bagaimana mereka rasa," tambah sumber tersebut. Sumber itu juga memberitahu, ahli Parlimen BN yang bertemu Tengku Razaleigh tidak dijangkakan untuk menunjukkan perasaan mereka sehingga Parlimen bermula pada 24 Jun. "Apa pun, ini hanyalah lebih tekanan kepada Najib untuk memuaskan hati semua pihak dalam BN, "katanya. | ||||
Amaran Speaker: Ahli Parlimen boikot upacara akan digugurkan Posted: 10 Jun 2013 09:28 PM PDT "Kalau ahli Yang Berhormat tidak angkat sumpah, ikut Perlembagaan, selama enam bulan maka secara automatik gugur sebagai ahli Parlimen," katanya. Jelasnya lagi, atas semangat demokrasi juga, speaker dan timbalan speaker berhak memboikot upacara mengangkat sumpah wakil rakyat PR. "Tidak boleh angkat sumpah hari lain ... kecuali tidak datang atas sebab kesihatan yang tak boleh dielakkan," kata Pandikar lagi. "Apabila kita angkat sumpah baru kita jalankan fungsi sebgai wakil rakyat," katanya, dan menambah, bagi mereka yang sengaja tidak hadir untuk memboikot, beliau tidak nampak logiknya tindakan berkenaan. | ||||
PKR: Zahid belanja lebih RM200,000 masa kempen Posted: 10 Jun 2013 04:40 PM PDT Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dengan membelanjakan melebihi jumlah yang ditetapkan, iaitu RM200,000 dalam kempennya menjelang pilihan raya umum ke-13, dakwa PKR. Pengarah Strateginya Rafizi Ramli (kanan) berkata, seperti dalam video yang diedarkan di Internet, Zahid dikatakan mengedarkan RM100 dan 5kg beras kepada 24,000 orang di Bagan Datoh, yang jika dikira melebihi RM200,000. Bercakap di sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Rafizi berkata, berdasarkan itu, partinya akan memfailkan petisyen pilihan raya berhubung perkara itu minggu ini. Beliau berkata akan mendedahkan lebih lanjut bukti berkaitan dalam sidang media yang lain pada Rabu ini. PKR memberi isyarat memfailkan 18 petisyen manakala Pakatan keseluruhannya sebanyak 35 petisyen. Malaysiakini masih belum boleh dapat menonton video itu atau menghubungi menteri berkenaan atau pembantunya bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan itu. | ||||
Punca runtuhan diketahui sebulan Posted: 10 Jun 2013 04:37 PM PDT BATU MAUNG - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Pulau Pinang akan menjalankan siasatan sekurang-kurangnya sebulan untuk mengetahui punca kejadian runtuhan tanjakan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang dalam kejadian Khamis lalu. Pengarahnya, Mohd Anuar Embi berkata, dalam tempoh siasatan itu kontraktor yang terlibat, Cergas Murni Sdn Bhd akan dipanggil untuk diambil keterangan sebagai saksi utama. Menurutnya siasatan akan dilakukan mengikut prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan. "Kita akan buat siasatan menyeluruh bermula semalam selepas operasi mengesan dan menyelamat dihentikan. Kita sudah berada di tapak kejadian sejak hari kejadian (Khamis) dan sudah membuat sedikit siasatan bagi meneruskan siasatan keseluruhan. "Kita dapat bantuan bahagian forensik dari Ibu Pejabat DOSH di Putrajaya yang mana jumlah keseluruhan anggota terlibat seramai 13 orang," katanya kepada media di lokasi kejadian semalam. Menurutnya, sejak pagi semalam, pihaknya menjalankan satu perbincangan untuk membuat perancangan teliti bagi mendapatkan pelan siasatan yang rapi. "DOSH akan mengenal pasti punca kejadian dengan melihat dari pelbagai faktor antaranya reka bentuk struktur, pemasangan konkrit serta penyelenggaraan sama ada ia melanggar Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ataupun tidak. Setakat hari ini (semalam) siasatan dalam peringkat mendapatkan fakta yang kini baru mencapai 10 peratus sebelum buat kesimpulan penuh. Siasatan rapi perlu mengambil masa untuk kita mendapatkan punca sebenar kemalangan sama ada disebabkan faktor perlanggaran oleh pihak kontraktor, cara pemasangan konkrit yang salah termasuk penyeliaan tapak projek. "Kita juga akan menyiasat dari skop latihan kejuruteraan, penyeliaan yang tertakluk di bawah peruntukan akta yang sama. Dengan itu, kita mengarahkan kontraktor serta sesiapa sahaja supaya tidak membersih tapak serta mengganggu gugat bagi membolehkan DOSH menjalankan siasatan secara menyeluruh," katanya. Mohd Anuar berkata, sekiranya siasatan mendapati pihak bertanggungjawab melanggar akta yang ditetapkan, pihaknya akan membawa kes itu ke mahkamah untuk tindakan undang-undang. Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Negeri, Aznan Ashraf Abu Zarif turut menasihati orang awam supaya tidak mendekati kawasan runtuhan terbabit kerana keadaan di sekeliling masih belum stabil. | ||||
Posted: 10 Jun 2013 04:35 PM PDT SHAH ALAM - Penyanyi terkenal, Black Mentor yang selama ini menyimpan kisah peribadi termasuk hal pertunangannya mengakui ikatan yang dijalin hampir terputus kerana buatan orang. Ujarnya, dugaan itu datang sebulan selepas dia mengikat tali pertunangan dengan gadis pilihannya yang dikenali dengan nama Cira Khairi. Ketika itu katanya, perasaan bercampur-baur mula menyelubungi diri masing-masing. Waktu itu, pergaduhan dan pertikaman lidah mudah saja tercetus, walaupun dek kesilapan kecil. Tidak tahu punca sebenar sehingga berlaku 'perang besar', Black bertindak menemui pakar rawatan alternatif. Dari situ dia menyedari, mereka terkena buatan orang. "Sebab itu saya tidak mahu menonjolkan dirinya kepada umum. Kami bergaduh sampai ke tahap masing-masing sudah tiada perasaan dan hampir saja memutuskan pertunangan. Saya tidak tahu siapa yang lakukan? Tetapi saya diberi tahu, orang yang melakukannya ialah orang yang dikenali. "Saya tidak pernah berdendam atau bermusuh dengan sesiapa. Namun apa yang berlaku mungkin ada hikmahnya," katanya. Baru-baru ini, Black dan abangnya terlibat dalam satu kemalangan teruk di Behrang, Perak, ketika pulang daripada menjayakan acara di Kulim, Kedah, kira-kira jam 1.30 pagi. Bagaimanapun, dia bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius. Mengakui dugaan orang yang bertunang itu amat berat, ditambah pula status dirinya seorang artis, Black bimbang berdepan ujian yang boleh menyebabkan ikatan mereka terlerai. Ekoran itu jugalah penyanyi kelahiran program realiti ini enggan mendedahkan identiti tunangannya. Bukan setakat enggan mendedahkan insan tersayang, Black turut merahsiakan majlis pertunangannya yang diadakan 26 Januari lalu. Katanya, dia akan memanggil satu sidang media nanti untuk mengumumkan tarikh, tema dan lokasi majlis perkahwinannya. | ||||
15 NGO buat laporan polis FB hina Nabi Posted: 10 Jun 2013 04:33 PM PDT SINAR HARIAN KUALA LUMPUR - Lima belas badan bukan kerajaan (NGO) Jaringan NGO Melayu Islam membuat laporan polis berhubung tindakan seorang pemilik akaun laman sosial Facebook yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW. Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia Datuk Nadzim Johan, yang mewakili 15 NGO, antaranya Persatuan Veteran Tentera Melayu Malaysia, Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM) dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia, berkata laporan itu dibuat terhadap pemilik akaun yang dikenali sebagai 'Calvin Gani' . "Saya meminta pihak polis, pihak berkuasa sama ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Perdana Menteri melihat perkara ini dan mengambil tindakan segera sebelum merebak menjadi wabak yang sukar dibendung," katanya selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis (IPD )Daerah Dang Wangi di sini. Presiden KWMM Dzulkarnain Taib pula berkata tindakan pemegang akaun itu berkemungkinan besar adalah daripada rangkaian terancang 'Red Bean Army' . "Sebelum ini mereka telah menghina peribadi Yang di-Pertuan Agung tetapi kali ini, mereka menyerang pula peribadi pembawa Islam itu sendiri iaitu Rasullullah SAW," katanya. Beberapa hari lepas, dua akaun Facebook menggunakan nama 'Calvin Gani' dan 'Rakyat Anarki' memaparkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini. - Bernama | ||||
Posted: 10 Jun 2013 04:28 PM PDT SHAH ALAM – SPR dan pasukan Peguam Negara sudah bersedia untuk berdepan dengan petisyen yang dikemukakan oleh semua parti politik yang bertanding pada PRUI13. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata, tempoh untuk menghantar petisyen akan berakhir esok. "Semua peguam di bawah Jabatan Peguam Negara sudah dilantik, termasuk penasihat undang-undang di setiap kementerian juga sudah bersedia. "Perkara ini perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan di Mahkamah Tinggi, selepas itu boleh dibawa ke Mahkamah Rayuan, jadi semuanya perlu diselesaikan dalam tempoh setahun," katanya. Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan, pemilihan ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri tidak boleh dipersoalkan kecuali melalui petisyen pilihan raya yang difailkan ke Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa di tempat pilihan raya itu diadakan. Petisyen pilihan raya perlu dikemukakan dalam tempoh 21 hari selepas keputusan pilihan raya di wartakan pada 22 Mei lalu. Sesuatu petisyen boleh dibuat atas sebab perbuatan rasuah atau sebarang salah laku yang mungkin menjejaskan pilihan raya, ketidakpatuhan undang-undang dan peraturan pilihan raya. Menurut Abdul Aziz, semua parti politik terutamanya pembangkang perlu mengambil kesempatan yang masih ada untuk membuktikan apa yang didakwa sebelum ini. "Mereka kata kita 'ibu segala penipuan' , maksudnya seluruh proses itu menipu, itu pemahaman saya, jadi buktikan dengan fail petisyen. "Saya tidak kata kita (SPR) sempurna, kadang-kadang kita tidak sedar, jadi tunjukkan bukti bahawa dengan sebab-sebab ini dia kalah, barulah mahkamah akan bahas," katanya. Beliau berkata, proses memfailkan petisyen sangat teliti kerana banyak aspek diambil kira, oleh sebab itu setiap tuduhan yang dibuat perlu berserta bukti yang kukuh. "Contoh mereka kata, lampu padam sebab mereka kalah, helikopter bawa kertas undi, jadi buktikan. "Bawa semua dalam petisyen, kemukakan dengan bukti kerana selama hari ini SPR tiada sebarang agenda untuk menipu, jika benar seperti yang didakwa sedarkan kami," katanya. Tambah beliau, jika petisyen yang dikemukakan itu gagal berserta dengan bukti kemungkinan besar ia akan ditolak pada peringkat awal lagi. PRU 2004, SPR menerima lebih 30 petisyen berhubung keputusan PRU dan petisyen paling banyak diterima pada PRU 1999 yang membabitkan 40 petisyen. Terdahulu, Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria telah memberi jaminan bahawa petisyen boleh diselesaikan dalam tempoh setahun jika segala-galanya berjalan dengan lancar. Walaupun PRU2008 dianggap berlaku tsunami politik, SPR hanya menerima 26 petisyen. Dijangkakan PRU13 bakal mencatatkan sejarah apabila parti PR menganggarkan sebanyak 35 petisyen akan dikemukakan manakala Umno dengan 50 petisyen. | ||||
PAS fail petisyen untuk Kuala Selangor Posted: 10 Jun 2013 04:23 PM PDT
Dr Dzul bersama peguam dan pemimpin PAS kawasan Kuala Selangor di perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam SHAH ALAM: AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad memfailkan petisyen pilihan raya untuk Parlimen Kuala Selangor jam 3.30 petang tadi di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Pempetisyen adalah Tuan Haji Mohd Rashid bin Mohd Khasim selaku Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Selangor. Mereka menamakan anggota Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Bin Ibrahim, Pegawai Pengurus PRU Kuala Selangor Puan Hajiah Noraini Binti Roslan dan Suruhanjaya pilihanraya (SPR). Dalam pilihan raya lepas, Dr Dzulkefly kalah kepada Irmohizam dengan majoriti 460 undi. Dr Dzul mendapat 27,040 manakala Irmohizam 27,500 undi. Jumlah keluar mengundi adalah 89.20 peratus dengan undi rosak sebanyak 934 undi. Semalam PAS telah memfailkan dua petisyen di Terengganu iaitu Dun Kual Brang dan Hulu Besut. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan