. |
Isu Azmin dan Dr Rani, Elok Khalid Tidak Jelaskan Posted: 01 Jun 2013 08:05 PM PDT SINIS AHAD Cara MB Selangor Khalid Ibrahim hendak menjelaskan fasal apa Azmin Ali dan Dr Rani Ossman tidak disenaraikan dalam barisan Exco Selangor, tidak ubah seperti orang hendak melepaskan pukat rusuk di tengah panas. Usaha itu baik tetapi keadaan tempat diambil untuk menghuraikannya tidak begitu menyenangkan. Panas dan memedih kulit belakang. Lebih baik Khalid tidak cuba menjelaskan isu berkenaan. Rasanya tinggal saja isu itu biar ia mereput sendiri lebih baik. Betapa pun alasan diberikan orang tidak akan terima, kerana hakikatnya kenapa Azmin dan Dr Rani tidak dapat jadi Exco orang sudah tahu. Sudah dihadam dan sudah pun menjadi najis. Faktor masa dan kapasiti yang disebut Khalid itu menyebabkan orang akan ketawa. Kapastiti apa? Memang jumlah Exco hanya 10 orang sahaja. Dan cara pembahagian 6:4:4 itu tidak menjejaskan mereka untuk mendapat peluang menjadi Exco. Diberi juga alsan mereka ketua parti, maka elok mereka menumpukan kepada parti. Apakah kerja untuk memperkasakan parti terletak dibahu mereka, dan bukankah jawatan Exco membantu mereka? Apakah Khalid sudah ubah semangat perlantikan Exco bahawa ketua parti tidak boleh menjadi Exco kerana mereka harus perlu menumpukan tugas kepada memperkasakan parti? Kalau begitu sesiapa pun hendak duduk seperti Khalid. Tidak menjadi ketua tetapi dapat menjadi MB. Ia mudah ringkas dan menguntungkan. Khalid tidak payah bersusah memperkasakan parti yang memungkin dia menjadi MB. Serah saja kepada sang ketua. Peraturan dibuat Khalid itu atau cuba diketengah Khalid itu songsang 'kalak' Maksudnya songsang jenis tahap biawak. Ia umpama biawak yang berjalan mengiring macam ketam. Formula atau teori 'ekonomi' Khalid dalam hal ini berada di tahap gombal. Selogiknya ketua partilah yang menjawat jawatan lebih tinggi dalam kerajan seperti MB atau Exco itu. Tidak berbangkit di sini soal kuasa dan perkenan sultan. Kuasa dan perkenan sultan itu hal lain yang ganjil dan ajaib. Tindakan sultan dalam amalan sebegini adalah sesuatu yang luar biasa. Lebih baik Khalid berterus terang saja menceritakan hakikat sebenarnya. Ketelusan dan integriti Khalid selama ini tercemar dengan cerita ala-ala pak pandir dan sekelompok lawak begitu mengenai Azmin dan Dr Rani itu. Khalid harus insaf sesiapa di dalam dunia ini bila dia bertanding dalam pilihan raya, cita-cita tertingginya menjadi MB kalau peringkat negeri. Peringkat pusat pula menjadi perdana menteri. Hanya wakil rakyat yang terputus wayer sahaja yang tidak pernah ada cita-cita di tahap itu. Tolollah seseorang ahli politik itu kalau tidak ada azam dan cita-cita demikian. Apakah Khalid seorang yang bersifat demikian? Nampaknya tidak. Beliau juga seperti seronok dengan jawatan MB Selangor. Lebih seronok dari menjadi Pengerusi Eksekutif PNB atau jaga estet sawit. Kepada Khalid jangan cuba mengajar orang makan pisang kalau kita sendiri cerah perut bila makan pisang. Ajarlah orang makan apel seperti mana apa yang kita makan baru orang lain juga sihat dan hemuk seperti kita. Sebelum ini setiausaha politik Khalid juga, Faekah Hussein cuba memberi penjelasan apa yang berlaku. Kononnya perlantikan Exco Selangor tidak ada campur tangan mana-mana pihak dan ia mendapat kerjasama baik dari pihak Sultan. Iya ... baik, baik sebab kerjasama itu berpihak kepada kita. Cuba kalau kerjasama itu tidak berpihak kepada kita, tidak cukup mulut untuk bercakap mengenainya dan tidak cukup kertas untuk menukil fasal itu. Tidak terlambat untuk Khalid atau Faekah untuk menjelaskan kedudukan sebenrnya. Tidak ada guna kita bersikap hendak menjaga aib muka orang lain tetapi melomorkan najis muka orang lain. Biarlah bersikap adil dan pro. Berkata benar itu lebih baik dari segala-galanya. Lagipun baik Azmin dan Dr Rani mereka sudah menerima hakikat kenapa mereka tidak boleh menjadi Exco. Bukan kerana soal kapasiti dan masa seperti Khalid sebutkan tetapi kerana lain yang begitu dijaga untuk diluahkan. Khalid tidak perlu mengambil hati kedua mereka dan penyokong mereka lagi. Guna saja alasan yang benar itu untuk menceritakan segala-galanya. Khalid bilanglah, orang tidak marah sebaliknya orang akan menerima asalkan ia benar dan tidak cuba ditimbuskan dengan perkara-perkara lain seperti kapasiti dan masa itu. Walaupun Khalid sudah baik, tetapi beliau perlu menjadi lebih baik dan ikhlas dengan berterus terang dalam soal ini. [wm.kl.10:53 am 02/06/13] |
You are subscribed to email updates from . To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan