Anak Sungai Derhaka |
- Gara-gara tiket perlawanan akhir Piala FA habis dijual, Penjual tiket dikejar hingga ketengah padang..
- Ghani Othman memalukan UMNO Johor kata Syed Hamid Albar
- Ketua Penerangan PAS Kelantan kata UMNO dalang penangkapan Husam?
- Bodohnya alasan Ketua Menteri Melaka untuk tutup pasar Jonker Walk ni..
- Kesemua 32 yang ditahan dekat Parlimen dibebas 2.15 pagi tadi..
- Apa Salahnya Anwar Angkat Sumpah Dan Minum Semeja Dengan Najib?
Posted: 25 Jun 2013 08:03 AM PDT Malang betul nasib si penjual tiket ni.. gara-gara tiket bagi perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan menentang pasukan Johor Darul Takzim (JDT) yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur habis dijual mereka dikejar hingga ke tengah padang.. KOTA BHARU: Penjualan tiket Final Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) hari ini kecoh selepas tiket yang dijual habis dalam tempoh kurang 15 minit sehingga penyokong Kelantan berang lalu menyerbu masuk ke dalam stadium dan mengejar penjual tiket. Penjualan tiket bermula jam 9 pagi itu pada mulanya tenang, namun suasana bertukar kecoh dan tidak terkawal selepas pengumuman tiket habis dijual dibuat kira-kira jam 10.30 pagi. Kira-kira 3,000 penyokong The Red Warriors (TRW) hadir untuk membeli tiket, namun mereka mendakwa hanya 16 tiket dijual kepada empat pembeli dalam tempoh kurang 15 minit sebelum tiket diisytiharkan habis dijual. Penyokong bertambah berang apabila KAFA menggantikan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dengan tiket perlawanan Liga Super antara Kelantan dengan Pahang, hari ini. Beg tiket yang dibawa penjual tiket berjaya dirampas selepas dikejar penyokong sehingga ke dalam padang, namun beg itu hanya mengandungi tiket perlawanan Liga Super berkenaan. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintenden Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan menerima tiga laporan polis berhubung kekecohan yang berlaku di SSMIV. "Kita serahkan masalah ini kepada KAFA untuk menyelesaikannya kerana kita tidak terbabit dalam penjualan tiket," katanya ~ myMetro Hmmm.. patutlah kena kejar.. yang beratur nak beli 3,000 orang tapi tiket yang dijual cuma 16 keping, Ada yang kata 8,000 tiket diperuntukkan untuk dijual disitu.. Mana lagi perginya tiket yang lain tu?.. dah dijual kepada ulat ke?? Komen sorang peminat The Red Warriors tentang perkara ini..
Video berkaitan.. Kesimpulannya... Apa saja yang melibatkan pemimpin UMNO.. HANCUS!!!! |
Ghani Othman memalukan UMNO Johor kata Syed Hamid Albar Posted: 25 Jun 2013 07:24 AM PDT Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman tidak perlu bertanding di Gelang Patah, kerana kekalahannya telah memalukan Umno Johor, kata bekas menteri kabinet, Tan Sri Syed Hamid Albar. Menurut, Syed Hamid yang juga anak pejuang Umno Tan Sri Jaafar Albar, biar orang lain sahaja yang bertanding menentang tokoh DAP, Lim Kit Siang pada pilihan raya umum 5 Mei lalu. "Umno sudah malu kerana Abdul Ghani kalah kepada Kit Siang," kata tokoh berpengalaman Umno itu yang kini menjadi Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, Jumaat lalu. Ghani kalah kepada Kit Siang dengan majoriti lebih 10, 000 undi – satu keputusan yang dianggap luar dugaan. Pakatan Rakyat menang lima kerusi parlimen serta 18 kerusi negeri di Johor – terburuk bagi Barisan Nasional di negeri itu sejak pilihan raya pertama pada tahun 1955. Mengulas lanjut, Syed Hamid berkata beliau tidak pernah membayangkan pembangkang mempunyai 18 kerusi dewan undangan negeri di Johor. Menurut Ketua Umno bahagian Kota Tinggi itu, BN Johor kalah kerana kerusi diberi kepada parti yang sudah ditolak pengundi. Bagaimanapun, beliau tidak mahu menamakan parti berkenaan namun sebuah parti komponen BN kalah teruk di Johor. "Di Johor, Umno mendapat sokongan dari orang Melayu, Umno kukuh dan kuat, manakala orang Cina Johor tidak ada sikap perkauman. "Ini isyarat untuk kita tengok balik apa yang berlaku dalam kempen pilihan raya ke 13," tambah beliau. Berikutan itu, Syed Hamid berkata, jawatan pengerusi Umno negeri yang disandang Ghani sepatutnya diserahkan segera kepada Menteri Besar Johor yang baru iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Bagaimanapun, Ghani tidak boleh menyerahkan jawatannya sekarang kerana perlembagaan Umno hanya membenar pertukaran jawatan hanya boleh dibuat dalam perhimpunan agung parti. ~ Freemalaysiatoday |
Ketua Penerangan PAS Kelantan kata UMNO dalang penangkapan Husam? Posted: 25 Jun 2013 03:10 AM PDT Ketua Penerangan PAS Kelantan yang juga Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Mohd Fadhli Hassan mendakwa insiden penahanan Husam merupakan antara permulaan perancangan Umno-Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum keempat belas (PRU-14). Bagi beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri Salor itu tidak sepatutnya ditahan. "Dengan tuduhan yang dibuat ke atas Datuk Husam itu, dia tak sepatutnya ditahan. Cukuplah dia dipanggil untuk memberi kerjasama kepada pihak polis," katanya. Ketua Penerangan PAS Kelantan itu bercakap pada majlis ceramah perdana sempena pembebasan Husam di Dewan Sekolah Menengah Ugama (Arab) Taqaddum Ma'rif, Pasir Tumboh malam tadi. Turut hadir Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) Abdul Latiff Abdul Rahman yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri. Hadir sama Adun Pasir Tumboh Abdul Rahman Yunus, Adun Kelaboran Mohamed Zaki Ibrahim, Adun Tawang yang juga Pemangku Dewan Ulama PAS Kelantan Hassan Mahmood, Adun Gual Periuk Mohamad Awang. Ketua Lajnah Guaman PAS Kelantan Hisyam Fauzi, mantan Setiausaha Politik MB Kelantan Annual Bakri Haron dan Presiden Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti) Nazeri Deraman turut hadir. Husam yang ditahan dua hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu sejak 23 Jun dan dibebaskan kira-kira 5.00 petang 24 Jun semalam dibebaskan dengan jaminan RM3,000 serta jaminan polis, dalam tempoh sebulan. "Sekarang ini setiap pergerakan yang dibuat (badan-badan kerajaan), mesti ada perancangan Umno-BN, tambahan pula dia (Umno-BN) sedar bahawa (prestasinya) pada PRU-14 nanti dia amat teruk. "Jadi mereka akan buat perancangan daripada awal lagi supaya tidak berlaku sebagaimana pilihan raya baru-baru ini, dia rasa nak mati sangat-sangat. Jadi ini adalah perancangan dia, ini baru permulaan. "Jadi ini sangat-sangat merisaukan kita," kata Fadhli. ~ Harakahdaily |
Bodohnya alasan Ketua Menteri Melaka untuk tutup pasar Jonker Walk ni.. Posted: 25 Jun 2013 12:43 AM PDT Kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz, Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron memberitahunya bahawa penutupan pasar Jonker Walk dibuat susulan aduan orang ramai yang merungut mengenai kesesakan lalut lintas. "Jadi (Idris) kata, akan cuba untuk tutup selama empat minggu dan kemudian kita akan tengok keputusannya sama ada penutupan itu akan mengurangkan kesesakan lalu lintas," katanya. Oleh itu ianya tiada kaitan dengan dakwaan yang menyifatkannya sebagai hukuman kepada pengundi Cina di negeri itu. Tetapi sebelum ini, Kwong Wah Daily melaporkan bahawa Idris Haron dipetik sebagai berkata "kini kita lihat ramai penduduk Melaka memberi sokongan padu kepada DAP berbanding calon MCA yang telah berkhidmat kepada mereka. Jadi, kita telah buat keputusan untuk tutup pasar malam itu dan berharap agar mereka gembira." Samada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan dah kena tipu oleh Ketua Menteri Melaka yang baru dalam hal ini atau Nazri cuba menyelamatkan Ketua Menteri Melaka itu entahlah.. Jonker Walk diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai tapak warisan dunia pada 7 Julai 2008 dan kini menjadi sebahagian dari mercu tanda Melaka.. Apa yang jelas dalam hal ini, kebodohan Ketua Menteri Melaka yang baru itu terserlah disini bila beliau menggunakan alasan kesesakan lalu lintas sebagai sebab untuk menutup pasar malam itu. Jika alasan bodohnya itu boleh diterima pakai.. untuk mengelakkan kesesakan lalulintas di Putrajaya, Kerajaan boleh menutup semua pejabat-pejabat kerajaan yang beroperasi disitu. Semua pusat-pusat perniagaan di tengah-tengah Kuala Lumpur juga perlu ditutup kerana ianya menjadi tarikan ramai hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas. Perkara yang sebaik-baiknya dilakukan ialah mencari alternatif untuk mengurangkan kesesakan tersebut bukannya menutup Jonker Street itu. Bukannya menyediakan alasan bodoh untuk menutup politik balas dendam UMNO itu.. KUALA LUMPUR, 25 JUN: Penutupan pasar Jonker Street yang menjadi tumpuan pelancong di Melaka lebih sedekad lalu membuktikan dendam kesumat UMNO-BN terhadap Pakatan Rakyat (PR) yang tidak mampu dibendung lagi. Demikian ulas Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua yang menyifatkan penutupan pasar malam itu sebagai manifestasi politik balas dendam terang-terangan yang amat mengejutkan. "Tindakan Ketua Menteri Melaka, Idris Haron ini boleh dilihat sebagai tindakan balas dendam kepada komuniti bukan Melayu. "Ia ibarat memotong hidung pada wajah seseorang,"katanya dalam satu siaran media. Sambil melahirkan rasa kecewa, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu tidak menolak tindakan tidak cerdik dengan mengajar pengundi Cina melalui cara ini adalah disebabkan komuniti itu tidak lagi memihak kepada BN dalam PRU13 lalu. "Hanya semata-mata Idris Haron mahu balas dendam dan merosakkan komuniti Cina, beliau telah mengorbankan kepentingan warga Melaka dan ekonomi negeri itu," ulas Pua. Beliau berkata, apa yang diperlihatkan BN ini adalah wajah hipokrit sebuah parti yang kononnya mengamalkan "1Malaysia" seperti yang menjadi slogan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan. "Tetapi kita telah diperlihatkan wajah 1UMNO yang mementingkan kroni dan puak-puak mereka sahaja," ujar beliau. Sebelum ini, Kwong Wah Daily melaporkan bahawa Idris Haron dipetik sebagai berkata "kini kita lihat ramai penduduk Melaka memberi sokongan padu kepada DAP berbanding calon MCA yang telah berkhidmat kepada mereka. Jadi, kita telah buat keputusan untuk tutup pasar malam itu dan berharap agar mereka gembira." Akhbar itu juga memetik Idris sebagai berkata keputusan penutupan pasar malam oleh Majlis Eksekutif Melaka itu pada 12 Jun lalu adalah kerana "mengikut kehendak orang ramai." "Persoalannya kini, adakah pasar di Petaling Street juga akan menjadi mangsa politik jahiliah UMNO akibat kecewa dalam PRU13 yang lalu?" Soal Pua. "Dalam pada kerajaaan PR membantu dan berkhimat kepada seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama mahu pun fahaman politik, kita telah menyaksikan kegelojohan BN memangsakan hidup dan periuk nasi rakyatnya. "UMNO telah tunjukkan taring perkaumannya dan kita seluruh rakyat perlu menghentikan penularan wabak ini," kata Pua. Sehingga kini, Perdana Menteri , Najib Razak masih belum memberikan komen beliau berhubung penutupan pasar malam Jonker Street. Ia sekaligus menunjukkan bahawa janjinya untuk berpegang pada prinsip 1Malaysia adalah sia-sia dan palsu belaka. – Roketkini.com Nak masuk ke Pulau Pinang ni pun hari-hari sesak dekat Tol tu.. apa kata buat percubaan hentikan kutipan tol itu atau tutup semua pondok tol tu tiga atau empat minggu dan kita lihat sesak atau tidak.. Nasib baik Ketua Menteri Pulau Pinang tak sebodoh Ketua Menteri Melaka tu... |
Kesemua 32 yang ditahan dekat Parlimen dibebas 2.15 pagi tadi.. Posted: 24 Jun 2013 11:00 PM PDT Kesemua 32 orang yang ditahan dalam perhimpunan berhampiran pintu masuk Parlimen semalam telah dibebaskan dengan jaminan polis pagi ini. Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Nalini Elumalai berkata, mereka dibebaskan secara berperingkat bermula jam 12 tengah malam semalam dan selesai dibebaskan kira-kira jam 2.15 pagi. Katanya, setakat ini polis belum memaklumkan lagi sama ada mereka yang ditahan semalam akan didakwa atau pun tidak. "Belum ada apa-apa makluman daripada polis berkenaan perkara itu," katanya kepada Malaysiakini. Polis dalam satu kenyataan semalam mengumumkan bahawa mereka yang ditahan mungkin akan berhadapan empat dakwaan. Ia adalah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam yang menjalankan tugas,dan Seksyen 9(5) dan Seksyen 4(2) Akta Perhimpunan Aman atas tuduhan mengadakan perhimpunan tanpa notis dan berarak tanpa memberikan notis. Keadaan menjadi tegang semalam apabila kumpulan tersebut cuba melepasi halangan polis yang didirikan kira-kira 800 meter dari pintu masuk Parlimen. Bagaimana pun mereka gagal berbuat demikian kerana halangan itu dikawal tidak kurang daripada 300 orang semalam. Polis mendakwa seorang pegawai polis cedera di mata kanan dan hidung manakala seorang lagi pula patah gigi dan terseliuh ibu jari kiri dalam pertembungan tersebut. |
Apa Salahnya Anwar Angkat Sumpah Dan Minum Semeja Dengan Najib? Posted: 24 Jun 2013 08:16 PM PDT Tindakan Anwar dan 88 Ahli Parlimen PR yang lain hadir mengangkat sumpah di Parlimen semalam menjadi isu besar terbaru untuk menyerang beliau dan pakatan pembangkang yang diketuainya. Ini kerana majlis angkat sumpah itu berlangsung di ketika yang sama berlakunya juga protes berterusan terhadap keputusan pilihanraya sehingga ada yang sanggup tidur dalam khemah dan baring di jalanraya menuju ke Bangunan Parlimen. Anwar sebelum itu mengadakan roadshow Blackout 505 di seluruh negara mempertikaikan SPR dan pada 22 Jun lalu adalah kemuncak perhimpunan aman yang diadakan di Padang Merbok. Ia kemudian diikuti dengan sekumpulan anak muda berkhemah di Padang Merbok serta melakukan protes bantahan di laluan menuju ke Parlimen. Anwar lantas dituduh mengamalkan sikap talam dua muka dan politik dua wajah. Di ketika beliau menyeru pengikutnya agar terus membantah keputusan pilihanraya dan mempertikai kewibawaan SPR, di ketika yang sama juga beliau mengiktiraf keputusan pilihanraya dengan hadir mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen. Dalam hal ini tidak saja Anwar yang dituduh menganiaya penyokong sendiri, malah kesemua 88 Ahli Parlimen PR lainnya ditaksir bersubahat sama. Kemudian tersebar pula gambar-gambar Anwar duduk minum semeja dengan Najib dan Muhyiddin dalam keadaan riang dan gelak ketawa seolah-olah tiada permusuhan antara mereka. Gambar Anwar bergambar bersama Najib dan Speaker serta lain-lain Ahli Parlimen juga disebarkan untuk memberi bukti kononnya Anwar menerima keputusan pilihanraya walaupun di masa yang sama mengajak penyokongnya membantah keputusan itu. Penulis blog dan pengendali laman sosial pro UMNO melihat isu ini sebagai hidangan terlazat untuk menyerang dan mempertikai Anwar serta Pakatan Rakyat. Mereka memainkan isu ini semahu-mahunya untuk menggoncang keimanan politik anak-anak muda yang condong menyokong perjuangan PR seolah-olah mereka hanya alat dan dipermain-mainkan oleh Anwar dan Ahli-Ahli Parlimen PR yang lain. Ternampak ramai juga penyokong pro pembangkang yang mula goyah dengan isu ini dan merasakan ada kebenarannya. Ada yang terasa hati, terguris perasaan dan tersentap jiwa melihat aksi dan gelagat Anwar itu. Ada pula yang berkata, kalau pun mahu bergembira dan bersenyum ketawa dengan Najib dan Muhyiddin, ia tidak seharusnya dilakukan di ketika penyokongnya sanggup mengorbankan jiwa berbaring di jalanraya dan mungkin pula dihumban ke penjara. Kehadiran Anwar dan lain-lain Ahli Parlimen PR mengangkat sumpah sebenarnya sudah pun dijelaskan oleh banyak pihak, termasuk Anwar sendiri. Jika tidak hadir dan enggan mengangkat sumpah, risiko yang mendatang sebenarnya lebih tinggi. Oleh kerana pembukaan penggal pertama Parlimen ini akan dilakukan oleh Yang Dipertuan Agong, keengganan mengangkat sumpah boleh juga ditafsir sebagai tidak menghormati baginda dan derhaka kepada sistem Raja Berperlembagaan. Memang ramai yang mahu mencabar Anwar dan Ahli-Ahli Parlimen PR yang lain supaya jangan mengangkat sumpah jika benar tidak setuju dengan keputusan pilihanraya. Ia hanyalah suatu bentuk provokasi yang bertujuan menghumban mereka ke lembah serangan yang lebih teruk lagi. Jika semua Ahli Parlimen PR tidak hadir dan memulaukan majlis angkat sumpah, serangannya tentu lebih teruk lagi. Kaitan dengan penderhakaan kepada Yang Dipertuan Agong akan dikaitkan sama. Dalam hal ini kehadiran mengangkat sumpah adalah keputusan terbaik untuk mengelakkan serangan lebih buruk. Lagi pula dalam mempertikaikan peranan SPR, petisyen bantahan keputusan pilihanraya di beberapa kawasan tetap juga berjalan dan prosesnya tidak terganggu sama-sekali. Ada pula yang berpendapat kenapa Anwar dan lain-lain Ahli Parlimen PR tidak memulaukan terus majlis angkat sumpah ini jika benar ingin membantah? Tindakan ini juga berisiko tinggi. Walaupun selepas majlis angkat sumpah semalam, Ahli-Ahli Parlimen masih mempunyai masa enam bulan untuk berbuat demikian tetapi ia bergantung pula kepada adanya hal-hal mustahak yang tidak boleh dielakkan sebagai alasannya. Tetapi tindakan ini juga boleh dianggap tidak menghormati, malah mempersenda Yang Dipertuan Agong yang bakal merasmikan pembukaan Parlimen itu. Mereka yang tidak mengangkat sumpah tidak boleh hadir di majlis pembukaan yang akan dilakukan oleh Yang Dipertuan Agong. Jika ini berlaku, tentulah serangan dan kecaman terhadap Ahli Parlimen PR ini lebih dahsyat lagi. Ada pula kelompok lain berkata, jika benar mahu membantah, kenapa tidak dipulaukan terus Parlimen sehingga tempoh enam bulan supaya pilihanraya kecil semula boleh diadakan? Memang benar jika selepas tempoh enam bulan tidak mengangkat sumpah, kedudukan Ahli Parlimen seseorang itu akan terlucut tetapi tidak semestinya perlu diadakan pilihanraya semula. Jika kes itu dibawa ke mahkamah dan pihak mahkamah kemudian mendapati tindakan tidak mengangkat sumpah itu sesuatu yang sengaja dan tidak disebabkan hal-hal yang terlalu mustahak, dan akhirnya memberi kemenangan kepada calon yang kalah dan tidak mengadakan pilihanraya kecil semula, akhirnya semua 89 kerusi PR ini akan dimenangi secara percuma oleh BN. Tentulah tak pasal-pasal BN menang 100% di kesemua 222 kerusi Parlimen. Dalam masa yang sama, peraturan pilihanraya juga menetapkan mereka yang sengaja meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen tidak boleh bertanding semula untuk tempoh 5 tahun. Ini bermakna, jika pun dengan terus tidak mengangkat sumpah dan pilihanraya kecil diadakan semula, Anwar, Haji Hadi, Lim Kit Siang, Nurul Izzah dan lain-lainnya tidak boleh dicalonkan untuk bertanding semula. Tentulah lagi haru jadinya dalam PR. Siapa yang nak jadi calon dan jika apa pun calonnya, tentulah mereka tidak sama dengan wibawa Anwar, Haji Hadi, Lim Kit Siang dan Nurul Izzah. Mengenai duduk minum semeja dengan Najib dan Muhyiddin serta majlis bergambar kemudiannya, ia sememamgnya sudah dirancang sedemikian rupa sebaik majlis angkat sumpah berakhir dan dari segi protokol memanglah tempat duduk Anwar sebagai Ketua Pembangkang bersama dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Begitu juga dengan majlis bergambar, memanglah juga tempat Ketua Pembangkang bersama Perdana Menteri mengapit kedudukan Speaker. Jika Anwar memulaukan majlis itu, beliau akan dilihat tidak tahu bersosial dan tidak menghormati adab di majlis rasmi. Pemulauannya pasti akan mengundang kecaman yang lain pula. Lagi pula tidak ada salahnya Anwar duduk semeja dan bergelak ketawa sambil minum-minum di Parlimen kerana mereka bukan bermusuh secara peribadi. Mereka hanya bermusuh dari segi dasar, hujah dan pendekatan untuk mentadbir negara. Mereka bukan seperti dua ahli gusti yang tidak boleh bertemu langsung dan jika bertemu pula asyik mahu bertumbuk dan bergasak. Anwar dan Najib juga bukanlah seperti dua beradik yang berebut harta pusaka yang tidak boleh bertemu serta duduk semeja langsung. Soal berbeza pendapat dengan Najib dan BN adalah soal lain dan begitu juga usaha menekan SPR dan untuk memastikan pengendalian pilihanraya oleh SPR betul-betul bebas dan adil, adalah juga soal lain. Ia tidak harus dibakulkan sekali dengan kehadiran di majlis angkat sumpah dan kemudian duduk minum semeja dengan Najib. Politik ialah pergaduhan berhujah dan mempertahankan prinsip. Duduk minum semeja dan bergambar asal tidak rebah prinsip perjuangan dan mengalah hujah tanpa sebab, tidaklah ada salah dan cacat-celanya. Sementara penyokong Anwar dan PR diminta bersikap matang untuk menilai permainan ini, mereka yang membesar-besarkan isu ini juga sebenarnya tidak matang dalam memahami erti politik dan demokrasi dalam ertikata yang sebenar-benarnya. OK.. itu pendapat Shahbudin Husin penulis jemputan di The Malaysian Insider, ini pula pendapat aku.. Pada dasarnya apa yang terserlah dalam gambar-gambar di atas ianya memperlihatkan kematangan dalam berpolitik antara dua pemimpin yang berlainan ideologi itu walaupun ianya menyakitkan hati. Sebab jika kita dengar Najib Razak dan Anwar Ibrahim berucap, macam akan bertumbuk apabila berjumpa. Tetapi mereka apabila bersama mereka masih boleh ketawa... Bermusuh dari segi politik tetapi tidak bermusuh dalam hal peribadi, ini sesuatu yang patut kita syukuri.. Sebabnya jika mereka menjadikan permusuhan dalam politik mereka sebagai permusuhan peribadi.. haru birulah negara ini.. Oleh itu kita ahli-ahli parti peringkat bawahan ini janganlah terlalu taksub atau berlebih-lebih pula, bak kata orang-orang tua, lebih sudu dari kuah. Jangan sampai bergaduh tak bertegur siapa, boikot kenduri kendara, maki hamun sesama sendiri malah berjumpa pun tak boleh.. kena kutuk sikit kira nak belasah orang... |
You are subscribed to email updates from Anak Sungai Derhaka To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan