Rabu, 12 Jun 2013

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


2010 Najib janji RM37.6 juta untuk Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia.. sampai sekarang habuk pun tak ada...

Posted: 12 Jun 2013 08:06 AM PDT


Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) yang ditubuhkan sejak 31 Januari 2010 dengan peruntukan awal sebanyak RM37.6 juta nampaknya terus dinanti-nantikan oleh warga Pulau Pinang, khususnya kawasan flat Seberang Jaya sampai sekarang.

S.Sarasvathy, 48 yang ditemui baru-baru ini mengadu bahawa tangki Blok A, Lengkok Tenggiri bocor hatta mengakibatkan air melimpah di kali lima flat serta membahayakan penghuni setempat.

"Kawasan berair dan licin. Semua lampu koridor rosak akibat litar pintas selepas tangki (air) pecah.

"Keadaan sini yang sangat teruk sampai menjadi sarang pembiakan nyamuk dan biawak...ular pernah masuk ke (dalam) rumah kerana tiada penyelenggaraan (sekitar kawasan flat)," ujar beliau baru-baru ini di sini.

Beliau berkata, rumah pusaka tinggalan mendiang ayah itu kini menjadi tempat berteduh beliau bersama-sama adiknya, S.Nagajothy, 35, yang kini mengidap sakit buah pinggang pada tahap kronik.

"Sudah 28 tahun, saya tinggal di sini (iaitu) diwarisi daripada (mendiang) bapa," ujar beliau.

Nada yang sama turut diluah oleh Fadhilah Abdullah, 33, seorang suri rumah sepenuh masa di rumah tingkat 5, iaitu tingkat paling atas flat yang sama.

"Tangki bocor. Kalau buka (pili air tangki), mesti ditutup balik dalam masa kurang empat jam.

"Kalau tidak, air akan melimpah di bumbung (flat) dan menjerap masuk...bahaya kerana boleh runtuhkan (struktur) bangunan serta merosakkan kabel elektrik dalam rumah," ujar beliau.

Menurut beliau, beberapa penghuni asal di aras yang sama dengan rumahnya ada yang tidak lagi tinggal di rumah masing-masing.

"Memang ada (penduduk) tidak lagi tinggal di sini walaupun tidak pindah keluar barang disebabkan masalah tangki bocor tidak dibaiki," ujar beliau sambil mempersoal inisiatif pihak berwajib.

Wong Chew Foon, 36, Setiausaha Persatuan Penduduk Blok A2 - bersebelahan dengan Blok A1 - pula dalam perkembangan sama mengadu bahawa penduduk di flat tersebut masih belum mendapat sijil layak menduduki (OC) sejak 28 tahun lepas.

Malah, beliau mendakwa, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar langsung tidak menjawab permohonan TP1M yang dimohon oleh persatuan penduduk berkenaan sejak dua tahun lepas.

Mohd. Radzi Awang Mohd. Radzi Awang, wakil Pesuruhjaya Bangunan, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dalam reaksi spontan berkata, status bangunan itu di bawah penyelenggaraan pihak swasta, bukan pihak berkuasa tempatan (PBT) sungguhpun dibina oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Justeru, katanya, perbadanan pengurusan (MC) seharusnya ditubuh di Blok A1 dan Blok A3 terlebih dahulu bagi proses mengutip bayaran penyelenggara daripada setiap pemilik unit rumah kos rendah berkenaan.

"Penduduk mesti tubuh MC terlebih dahulu sekiranya mereka mahu memohon TP1M.

"MC perlu kutip yuran selenggara jika mahu kawasan flat ini kembali diselenggara," nasihat beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin dalam reaksi spontan berkata, pihaknya akan memulakan interaksi dengan penduduk berwajib supaya MC boleh ditubuhkan lalu memohon peruntukan dari TP1M.

"Ini (kawasan Seberang Jaya) adalah salah satu pintu masuk ke Pulau Pinang, ertinya kawasan flat di sini menjadi sebahagian imej bagi negeri ini.

 "(Justeru), kita perlu lihat ke depan, kita (Pusat Khidmat ADUN Seberang Jaya) akan membantu menubuhkan MC dan meneruskan interaksi dengan penduduk setempat ke arah itu," ujar beliau yang juga Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan.

Bekas Pegawai Penyelaras Kawasan (PPK) DUN Seberang Jaya, Abdul Jalil Che Ros turut hadir pada majlis melawat kawasan berkenaan.

DARI KIRI: Jagdeep Singh Deo, Afif Bahardin, Abdul Jalil Che Ros menerima penjelasan lanjut daripada  Mohd. Radzi Awang (paling kanan) mengenai status tangki air bocor tanpa penyelenggaraan di Blok A1, Lengkok Tenggiri dekat Seberang Jaya baru-baru ini

Exco Perancangan Bandar dan Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo A/L Karpal Singh pula cuba mendapatkan maklum balas pihak berwajib - termasuk MPSP dan PDC - selepas bersama-sama Dr. Afif, Mohd. Radzi dan Abdul Jalil turun padang bagi menyaksikan kawasan kediaman tidak terselenggara itu.

Daripada maklum balas yang diterima, beliau berkata, sebanyak 53 MC melalui Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telahpun memohon TP1M sejak tahun lepas.

Tambah beliau, 46 MC lain melalui MPSP turut memohon peruntukan TP1M bagi membaik pulih flat masing-masing. Pun begitu, beliau berkata, kementerian meluluskan satu permohonan sahaja, iaitu projek membaik pulih Flat Taman Sungai Batu di Teluk Kumbar dalam kawasan DUN Bayan Lepas.

"Dari 99 permohonan yang dibuat, Kerajaan Pusat hanya lulus satu sahaja di bawah TP1M.

"Saya fikir Kerajaan Pusat jangan sabotaj (warga) Pulau Pinang kerana TP1M ini untuk semua rakyat, termasuk warga Pulau Pinang.

"Sekurang-kurangnya jawab lah permohonan yang dibuat oleh 99 MC ini (supaya) jika ada dokumen permohonan tidak lengkap, kita akan lengkapkan," tegas beliau.

ADUN Datuk Keramat itu dalam kenyataan lain sehari kemudian berkata, pihaknya baru menulis surat kepada kementerian berwajib supaya segera memberi respons mengenai status peruntukan sebenar TP1M untuk rakyat Pulau Pinang.

"Dalam surat itu, saya memberi masa selama 30 hari untuk kementerian jawab mengenai isu berbangkit ini sebelum kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) merancang tindakan susulan," tegas Jagdeep.

Sumber laporan dari SINI

Kami tak akan letak jawatan!! kata Pengerusi SPR

Posted: 12 Jun 2013 03:27 AM PDT


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini menegaskan barisan kepimpinan suruhanjaya itu tidak akan meletak jawatan hanya kerana didesak sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan proses pilihan raya umum ke-13. 

Menurutnya barisan kepimpinan SPR yang terdiri daripada beliau, timbalannya dan lima anggota jawatankuasa suruhanjaya itu, dilantik mengikut Perlembagaan Persekutuan dengan persetujuan Majlis Raja-Raja sebelum diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Peletakan jawatan barisan kepimpinan SPR yang merupakan sebuah badan bebas, tidak boleh dibuat secara tidak rela atau paksaan seperti yang didesak oleh sebuah kumpulan. 

"Ia hanya boleh dibuat melalui undang-undang," katanya kepada pemberita selepas ditemu ramah stesen radio Nasional FM di Angkasapuri di Kuala Lumpur.

Beliau berkata hanya Yang di-Pertuan Agong berhak mengeluarkan arahan kepada barisan kepimpinan SPR untuk meletak jawatan jika terbukti mereka melanggar peraturan dan undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Kalau kami melanggar undang-undang, cara yang baik adalah melalui petisyen dan berjumpa di mahkamah...buktikan dahulu kami melakukan perkara tersebut dan kita sama-sama lihat," katanya.

Abdul Aziz berkata berkata barisan kepimpinan SPR hanya boleh dilucutkan jawatan disebabkan bankrap, memegang jawatan lain dengan mendapat pendapatan, menjadi wakil rakyat, atau sebab-sebab lain seperti jenayah dan masalah mental seperti gila.

"Maknanya atas sebab kepercayaan awam tidak ada lagi ataupun melanggar peraturan Perlembagaan Persekutuan, dan ia boleh dilakukan melalui penubuhan tribunal," katanya.

Beliau juga berkata tindakan pembangkang mengheret rakyat untuk berhimpun kerana tidak puas hati dengan proses pilihan raya umum lepas tidak akan mengubah keputusan pilihan raya itu.

"Buktikan melalui undang-undang...jangan kita mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan orang lain, persepsi mereka yang keluar perhimpunan seolah-olah mereka percaya SPR menipu," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata SPR akan tetap meneruskan kajian semula persempadanan pilihan raya di negara ini menjelang akhir tahun ini dan ia akan dilaksanakan dengan telus. Proses persempadanan semula yang terakhir dilakukan pada 2003 dan sepatutnya dibuat semula pada 2011, tetapi SPR telah menangguhkannya sehingga pilihan raya umum ke-13 selesai, katanya.

"Peguam Negara telah menasihati SPR untuk memulakan segera kajian semula persempadanan ini," katanya. 

Beliau berkata di bawah Perlembagaan Persekutuan Perkara 113 (2)(ii), persempadanan semula kawasan pilihan raya boleh dibuat dalam tempoh tidak kurang daripada lapan tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun daripada siapnya kajian sebelumnya.

Beliau berkata SPR diberi tempoh maksimum dua tahun untuk melengkapkan kajian dan kajian persempadanan itu terlebih dahulu akan dipamerkan kepada orang ramai sebelum dibawa ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dibahas dan dilulus. -Bernama

Ustaz Azhar Idrus antara alasan BN fail petisyen?

Posted: 11 Jun 2013 09:30 PM PDT


Kempen yang memaparkan kata-kata pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus, antara alasan yang dikemukakan BN dalam lima petisyen yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Petisyen difailkan membabitkan keputusan PRU13 di Parlimen Bachok, Dun Jelawat, Gaal, Mengkebang dan Manik Urai.

Peguam BN, Nor Azli Ahamed mendakwa, Pas menggunakan banyak pengaruh tidak wajar, antaranya Azhar dan Ustaz Zahazan Muhammad, bagi menarik sokongan pengundi di Kelantan.

"Antara penggunaan bahan kempen salah itu boleh dilihat di seluruh Kelantan seperti papan tanda memaparkan gambar Ustaz Azhar Idrus dengan kata-kata yang mempengaruhi dari segi kerohanian dan agama.

"Sebenarnya ini ialah satu kesalahan mengikut Akta Pilihan Raya 1954 di bawah Seksyen 9, iaitu pengaruh tidak wajar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar pejabat itu, semalam.

Petisyen itu difailkan calon kerusi masing-masing melalui Tetuan Mohd Ilyas and Co di hadapan Pendaftar, Noor Haslinda Che Seman, pada jam 2.30 petang.

BN turut memfokuskan dakwaan sogokan berbentuk wang ringgit dan 2,000 rumah yang dijanjikan calon Pas atau ejen yang berkhidmat di bawah calon terbabit sebagai alasan utama supaya mahkamah mengeluarkan perintah membatalkan kemenangannya.

Sebelum itu, calon PKR bagi kawasan Parlimen Machang, Dr Wan Zawawi Wan Ismail dan calon PKR Parlimen Ketereh, Ab Aziz Ab Kadir serta wakil calon Dun Selising, Timbalan Pengarahnya, Semsudin Muhmmad, juga memfailkan petisyen di hadapan pendaftar sama pada jam 2.25 petang.

Kelmarin, Pas memfailkan dua petisyen membabitkan Dun Ayer Lanas dan Dun Kok Lanas di mahkamah sama, menjadikan jumlah petisyen difailkan Pas, lima.

Pada PRU13 lalu, calon BN Parlimen Bachok, Datuk Awang Adek Hussin tewas kepada Ahli Parlimen Pas, Ahmad Marzuk Shaary dengan majoriti 201 undi, sementara Adun Ayer Lanas, Datuk Sri Mustapa Mohamed menang dengan majoriti 47 undi, menewaskan calon Pas, Abdullah Ya'kub ~ Sinar Harian

Prestasi macam hampeh.. Najib akan singkirkan kesemua Pembantu Politik nya?

Posted: 11 Jun 2013 07:55 PM PDT


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkemungkinan akan menggugurkan kesemua pembantu politiknya atas prestasi mereka yang kurang memberangsangkan.

Menurut laporan The Malaysian Insider hari ini, kesemua dari mereka digugurkan daripada jawatan masing-masing kerana dikatakan 'meletakkan kepentingan diri melebihi Perdana Menteri'.

Memetik dari kenyataan dari 'sumber', portal itu melaporkan bahawa langkah tersebut dibuat menjelang pemilihan Umno tahun ini.

Sebelum ini, pembantu-pembantu politik PM itu telah mendapat kritikan dalam blog-blog pro Barisan Nasional (BN) kerana tewas dalam pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lalu meskipun di negeri yang telah ditawan semula BN.

Antara yang disenaraikan sebagai pembantu politik yang bakal digugurkan termasuk Datuk Latt Shariman Abdullah, Datuk Shahlan Ismail, Datuk Mohd Shafei Abdullah, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh dan Datuk Mohamed Suffian Awang.

Menurut portal itu lagi, kelima-lima mereka dilihat sebagai strategis bilik perang pilihan raya Najib dan mempunyai peluang mengembalikan kemenangan majoriti dua pertiga kepada BN.

Terdahulu, Tun Daim Zainuddin, dalam satu wawancara akhbar berbahasa Cina, China Press, membidas penasihat-penasihat PM yang menjadi salah satu faktor BN kalah teruk di dalam PRU-13.

Tun Daim dalam kenyataan beliau telah mendesak Najib Razak memecat penasihat-penasihat tersebut. Katanya BN kalah dalam pilihan raya 5 Mei kerana kesilapan strategi digunakan oleh penasihat Perdana Menteri serta pergaduhan dalaman parti.

"Betul, anda perlu tanya BN. Tetapi pada pandangan saya, ia adalah strategi salah. Seperti yang saya katakan sebelum ini, ini adalah pilihan raya Parlimen dan bukannya pilihan raya presiden," tambah bekas menteri itu ~ Astroawani.com

Tiada ulasan: