Sabtu, 1 Jun 2013

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Najib tidak mengkambing hitamkan Khir Toyo.. baca surat dari Gani Patail nih!

Posted: 01 Jun 2013 07:12 AM PDT


Ini adalah kenyataan dari Peguam Negera, Abdul Gani Patail berhubung pernyataan bertulis Dr Mohd Khir Toyo dalam Blognya baru-baru ini yang mendakwa beliau telah dijadikan kambing hitam oleh Najib semata-mata kerana mahu menunjukkan pentadbiran Najib bersih dari rasuah..

Dr Mohd Khir Toyo telah meluahkan ketidakpuasan hati beliau terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang dibuat pada 30.5.2013, dan dalam banyak hal, beliau mempertikaikan beberapa isu yang telah diputuskan oleh mahkamah berkenaan.

Beliau menegaskan untuk kesekelian kali bahawa beliau telah membeli rumah atau hartanah yang berkenaan berdasarkan kepada harga pasaran semasa iaitu RM3.5 juta. Khir Toyo juga menyatakan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, khususnya kesalahan rasuah dalam kes ini.

Beliau juga menyatakan beliau tidak memberi apa-apa keistimewaan kepada Shamsuddin Haironi iaitu saksi kedua pendakwaan yang menjual rumah tersebut dengan harga RM3.5 juta kepada beliau. Segala urusan di antara PKNS yang mana Khir Toyo adalah Pengerusinya ketika itu dan syarikat Bidara Lumayan Sdn Bhd, yang mana Shamsuddin adalah Pengarahnya, dikatakan mengikut prosedur.

Namun, itu hanyalah secarik fakta dari keseluruhan fakta kes yang dibentangkan oleh pihak pendakwaan di mahkamah sehingga meyakinkan pihak hakim bahawa tiada keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan bahawa Khir Toyo bersalah di bawah pertuduhan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Keterangan yang telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan terhadap Khir Toyo dan hasil penelitian keterangan atau bukti oleh Hakim iaitu dari peringkat Mahkamah Tinggi sehinggalah ke peringkat Mahkamah Rayuan, telah memutuskan harga pasaran bukanlah kayu pengukur dalam menentukan pengertian pembalasan yang mencukupi (sufficient consideration) di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Para hakim telah memutuskan bahawa ia berdasarkan kepada 'keadaaan kes' atau circumstances of the case. Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada nas-nas undang-undang yang sedia ada dan juga semangat di sebalik kewujudan peruntukan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Dalam kes ini, Pendakwaan bukan sahaja telah membuktikan bahawa RM3.5 juta itu tidak memadai atau mencukupi bagi harta yang dibeli oleh Khir Toyo daripada Shamsuddin, malahan juga telah membuktikan wujud perancangan teliti Khir Toyo untuk memiliki hartanah tersebut sejak tahun 2004 (tahun di mana Khir Toyo mula bertanyakan harga rumah tersebut) sehinggalah Mei 2007 iaitu tahun di mana perjanjian jual beli rumah tersebut ditandatangani antara Khir Toyo dan Shamsuddin.

Fakta kes ini bukanlah semudah yang dinyatakan oleh Khir Toyo. Namun, yang menjadi teras adalah Khir Toyo telah membeli hartanah tersebut dengan harga RM3.5 juta daripada Shamsudin sedangkan Shamsudin telah membeli hartanah tersebut dengan harga RM6.6 juta. Suatu jumlah yang tidak akan dijual oleh sesiapa kecuali atas sebab yang munasabah atau kerana terdesak atau kerana masalah kewangan, yang mana tidak berlaku dalam kes ini. Pembelian oleh Shamsuddin itu pula adalah atas arahan Khir Toyo sendiri.

Setelah hartanah tersebut dibeli oleh Shamsuddin, Khir Toyo telah mengarahkan Shamsuddin untuk menguna khidmat seorang kontraktor yang bernama Nasir Ismail iaitu saksi ketiga Pendakwaan untuk mengubah suai rumah yang sedia ada di atas tanah tersebut kepada reka bentuk Bali.

Pada peringkat awal ubah suai ini, Nasir telah menerima bayaran secara peringkat sehingga berjumlah RM1.5 juta daripada Shamsuddin atas arahan Khir Toyo dan bayaran seterusnya dibuat oleh Khir Toyo sendiri.

Keterangan di mahkamah

Ini berlaku dalam tahun 2006, yang mana ketika itu hartanah tersebut masih berdaftar atas nama syarikat Ditamas Sdn Bhd, yang mana Shamsuddin adalah salah seorang Pengarahnya.

Dalam tahun 2007, Khir Toyo telah menyatakan hasrat kepada Shamsuddin bahawa beliau ingin membeli hartanah tersebut. Pada ketika ini, Shamsuddin telah membelanjakan RM1.5 juta untuk mengubah suai rumah berkenaan mengikut kehendak Khir Toyo sendiri.

Memandangkan Shamsuddin telah menggunakan wang beliau sejumlah RM6.5 juta untuk membeli rumah tersebut dari pemilik asal, maka Shamsuddin pada awalnya bersedia untuk menjual hartanah tersebut kepada Khir Toyo pada harga RM5 juta hingga RM5.5 juta. Namun tidak dipersetujui oleh Khir Toyo.

Selanjutnya Khir Toyo menyatakan beliau akan membeli pada harga RM3.5 juta sahaja. Keterangan Shamsuddin di mahkamah menunjukkan beliau telah bersetuju dengan harga itu kerana bimbang urusan perniagaan beliau dengan PKNS akan terjejas sekiranya tidak bersetuju. Keterangan ini menyangkal wujudnya elemen 'willing buyer willing seller'.

Khir Toyo seterusnya telah melantik HSBC untuk membuat pinjaman bagi membiayai pembelian rumah tersebut. Khir Toyo sendiri telah memaklumkan kepada pegawai bank berkenaan iaitu saksi pendakwaan ke-14 yang beliau ingin membuat pinjaman sebanyak RM3.5 juta.

Pihak HSBC seterusnya telah melantik Rahim and Co untuk membuat laporan penilaian dan ternyata laporan tersebut menyatakan harga hartanah adalah RM3.5 juta seperti yang dikehendaki Khir Toyo.

Keterangan Nasir bahawa beliau telah diarah oleh Khir Toyo sendiri untuk mengubah suai rumah tersebut sejak 2006 lagi iaitu sebelum perjanjian jual beli antara Khir Toyo dan Shamsuddin termeterai dalam tahun 2007, disokong dengan keterangan pekerja beliau dan dokumen.

Khir Toyo menyatakan beliau hanya mengupah Nasir pada tahun 2007 iaitu setelah perjanjian jual beli dengan Shamsuddin dimeterai adalah kenyataan tidak berasas. Nasir sendiri telah mengemukakan pelan ubah suai rumah tersebut, yang bertarikh April 2006, kepada pihak Majlis Bandaraya dan ini disokong oleh pekerja beliau yang melukis pelan tersebut iaitu saksi ke-19 pendakwaan.

Khir Toyo menegaskan hartanah dibeli berdasarkan harga semasa tetapi beliau tidak menyatakan fakta keseluruhan kes ini iaitu di mana beliau telah melawat rumah atau hartanah tersebut pada awal tahun 2004 dan Khir Toyo juga telah memberitahu pemilik asal hartanah tersebut pada ketika itu bahawa harga jualan RM7 juta adalah mahal dan pada hampir pertengahan tahun 2004, Khir Toyo telah mengarahkan Shamsuddin membeli hartanah tersebut dan seterusnya pada tahun 2006 melantik Nasir untuk mengubah suai rumah tersebut dan hanya pada tahun 2007 menyatakan hasrat untuk membeli hartanah tersebut daripada Shamsuddin dengan harga RM3.5 juta.

Khir Toyo amat maklum bahawa Shamsuddin akan kerugian jika ia dijual pada harga tersebut. Shamsuddin sendiri telah membayar RM6.5 juta untuk membeli hartanah tersebut dan telah membelanjakan RM1.5 juta untuk mengubah suai rumah tersebut mengikut kehendak Khir Toyo.

Semua fakta di atas adalah keterangan yang telah dikemukakan di mahkamah semasa perbicaraan dan dokumen-dokumen yang diterima oleh mahkamah mengikut prinsip undang-undang dan disoal panjang lebar oleh barisan peguam Khir Toyo. Namun fakta ini tidak dinyatakan oleh Khir Toyo dalam blognya pada 31 Mei 2013.

Menghina mahkamah

Dalam situasi di atas, apakah wajar Khir Toyo menyatakan beliau tidak bersalah di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan kononnya hartanah dibeli mengikut harga pasaran semasa. Adakah para hakim tersilap menilai keterangan atau tidak arif akan peruntukan undang-undang yang sedia ada sedangkan bukti adalah kukuh.

Segala perancangan teliti Khir Toyo untuk membeli hartanah tersebut dan menggunakan Shamsuddin untuk mencapai hasrat beliau ini jelas menunjukkan kesalahan yang dilakukan kerana beliau telah menyalahgunakan kedudukan atau pengaruhnya selaku Pengerusi PKNS terhadap seorang yang berurus niaga dengan PKNS.

Khir Toyo juga menyatakan bahawa sehingga ke peringkat rayuan, para Hakim Mahkamah Rayuan masih gagal memutuskan apakah 'benchmark' atau tanda aras untuk menyatakan pembelian ini merupakan satu balasan yang mencukupi.

Pernyataan Khir Toyo ini menghampiri batasan menghina mahkamah dan tidak menghormati barisan peguamnya sendiri. Para Hakim dengan bijaksana telah mengupas isu ini dengan panjang lebar dan teliti dalam penghakiman yang dikemukakan pada hari keputusan.

Salah satu isu yang diputuskan oleh para hakim adalah berhubung perkara ini iaitu adakah 'market price' menjadi kayu pengukur untuk menentukan sama ada balasan yang diberikan itu memadai atau tidak. Hanya kerana para Hakim Mahkamah Rayuan tidak menerima hujah Khir Toyo tidak bererti isu ini tidak berjawab.

Para Hakim Mahkamah Rayuan telah menjelaskan mereka bersependapat dengan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa 'market price' atau harga pasaran semasa bukanlah kayu pengukur, sebaliknya ia perlu dilihat bersandarkan keadaaan atau 'circumtances' kes ini. Dapatan ini bukanlah dibuat begitu saja, tetapi berdasarkan kepada nas-nas yang kukuh dan semangat (spirit) kewujudan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Tertuduh mempersoalkan bahawa tidak wajar bagi beliau membeli rumah tersebut dengan harga RM6.5 juta kerana keadaan rumah yang separuh siap pada masa itu. Namun, beliau tidak pula memikirkan ketidakwajaran Shamsuddin untuk menjual rumah tersebut dengan harga RM3.5 juta sedangkan Shamsuddin telah membelanjakan hampir RM7 juta iaitu harga belian dan kos untuk mengubah suai rumahnya.

Shamsuddin pada masa itu adalah seorang yang tidak menghadapi masalah kewangan. Oleh itu, mengapa beliau harus terdesak untuk menjual hartanah tersebut dengan harga jauh lebih murah berbanding wang yang telah dibelanjakan.

Atas sebab ini, para hakim telah menyatakan Khir Toyo sebenarnya tahu harga sebenar rumah itu, yang telah dibayar oleh Shamsuddin. Namun beliau masih bersahaja meminta Shamsuddin agar menjual rumah itu hanya pada harga RM3.5 juta. Keterangan juga membuktikan Khir Toyo sendiri telah bertanya kepada pemilik asal hartanah tersebut pada awal tahun 2004, dan beliau telah ditawar harga jualan RM7 juta.

Oleh itu, Khir Toyo seharusnya tidak mengaburi fakta kes ini dengan mendakwa hakim tidak menyatakan apakah tanda aras yang boleh digunakan, sedangkan beliau telah dibuktikan telah menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan atau membeli hartanah itu dengan harga yang beliau ketahui tidak munasabah sama sekali dari pemiliknya.

Tiada campur tangan politik

Keputusan yang dibuat oleh hakim-hakim adalah setelah menilai keseluruhan keterangan yang ada. Penyataan Khir Toyo mempertikaikan keputusan hakim-hakim yang tidak menerima pakai laporan penilaian hartanah dari Rahim and Co jelas menunjukkan Khir Toyo sengaja untuk tidak memahami mengapa penilaian ini ditolak.

Para hakim telah menjelaskan bahawa penilaian ini tidak diterima, pertama kerana harga pasaran bukan kayu pengukur, kedua laporan tersebut sendiri jelas menyatakan ia tidak boleh digunakan sebagai bahan rujukan di mahkamah, dan ketiga keterangan membuktikan bahawa harga RM3.5 juta tersebut adalah harga yang ditetapkan sendiri oleh Khir Toyo kepada pegawai bank berkenaaan. Pegawai bank ini adalah saksi yang tidak berkepentingan sama sekali dalam kes ini.

Pertuduhan terhadap Khir Toyo adalah berdasarkan kepada keterangan yang kukuh dan bukan atas faktor politik atau menjadikan Khir Toyo sebagai 'kambing hitam'.

Khir Toyo telah diwakili oleh barisan peguam yang ternama dan berpengalaman, malahan kes ini telah sampai ke peringkat Mahkamah Rayuan, yang telah didengar oleh tiga hakim kanan yang bijaksana.

Seharusnya Khir Toyo berhati-hati dan bijak dalam membuat sesuatu andaian, apatah lagi andaian yang tidak berasas. Tambahan pula kes ini telah dibicarakan dengan sepenuhnya dan telah diputuskan berdasarkan prinsip undang-undang dan sistem keadilan jenayah Malaysia.

Berhubung dakwaan Khir Toyo bahawa kes ini bukan rasuah, adalah ditegaskan bahawa Seksyen 165 Kanun Keseksaan merupakan satu kesalahan berjadual (prescribed offence) di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 (pada ketika kesalahan dilakukan), berhubung kesalahan yang dilakukan oleh seorang pegawai atau kakitangan kerajaan yang menerima atau memperolehi sesuatu daripada seseorang yang beliau mengetahui mempunyai urusan rasmi dengan beliau tanpa balasan yang mencukupi.

Seksyen 165 Kanun Keseksaan adalah dikategorikan sebagai kesalahan rasuah juga kerana ia berhubung penyalahgunaaan kedudukan secara tidak langsung terhadap individu berkenaan. Hukuman maksimum bagi kesalahan ini adalah dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekala. Ia berbeza dengan kesalahan rasuah yang nyata yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Saya ingin menegaskan bahawa tidak pernah ada sebarang bentuk campur tangan politik ke atas saya. Saya membuat keputusan untuk mendakwa kes ini berdasarkan kepada keterangan yang diperoleh dari hasil siasatan yang telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan bersandarkan kepada peruntukan undang-undang yang sedia ada, sama ada untuk menuduh Khir Toyo atau sebaliknya.

Saya juga ingin menegaskan bahawa Perdana Menteri tidak pernah campur tangan dalam soal mengenakan pertuduhan terhadap sesiapa pun. Tidak pernah ada campur tangan politik dan tidak akan dibiarkan campur tangan politik dalam perkara-perkara yang melibatkan Jabatan Peguam Negara.

Daripada menuding jari ke atas mana-mana pihak kononnya wujud unsur konspirasi atau tekanan, langkah terbaik yang Khir Toyo perlu ambil ialah menyediakan pembelaan beliau di peringkat rayuan Mahkamah Persekutuan.

Abdul Gani Patail

Ustaz Azizan kini bergelar 'Tan Sri'.. TAHNIAH Ustaz!!

Posted: 01 Jun 2013 01:31 AM PDT


Istana Negara hari ini menyaksikan berlangsungnya Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dalam suasana penuh adat istiadat dan gemilang.

Majlis dimulakan dengan Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke upacara memeriksa perbarisan kawalan kehormat utama dengan panji-panji diraja.

Sebanyak 21 das tembakan meriam kehormat turut dilepaskan pada acara pemeriksaan perbarisan yang diadakan di Dataran Istana, memecahkan kesunyian pagi Istana Negara yang mempunyai 22 kubah kuning itu.

Perkarangan Istana Negara mula dibanjiri kereta yang membawa penerima darjah-darjah kebesaran, pemimpin negara dan perwakilan negara asing seawal 7.30 pagi.

Balairong Seri Istana Negara yang terletak di Sayap Rasmi pula dipenuhi tetamu yang berpakaian istiadat, baju Melayu hitam atau bersuit manakala tetamu wanita pula berpakaian tradisional seperti baju kurung lengkap berselendang atau pakaian tradisional kaum masing-masing, mencerminkan semangat muhibah.

Antara tetamu yang menarik perhatian selain daripada pemimpin-pemimpin negara sudah pasti adalah pelakon tempatan yang pernah mejadi 'Wanita Bond' Datuk Michelle Yeoh yang dianugerahkan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

Bernama juga melaporkan.. Istiadat pengurniaan seterusnya kepada Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa, yang menerima Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran ''Tan Sri''.

Seramai 45 individu lain dikurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM)yang turut membawa gelaran ''Tan Sri'' hari ini, antaranya bekas Menteri Penerangan Datuk Seri Dr Rais Yatim, bekas Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Peter Chin Fah Kui, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Seri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Shukry Mohd Salleh.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Ab Aziz Kasim dan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan Datuk Michelle Yeoh Choo-Kheng turut dikurniakan PSM.

Langsung tak disebutnya nama YB Dato' Seri DiRaja Azizan bin Abdul Razak, Bekas Menteri Besar Kedah yang turut tersenarai dalam 45 individu yang menerima pingat Darjah Panglima Setia Mahkota itu..

Semakan dilaman web rasmi Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa menunjukkan nama Ustaz Azizan turut tersenarai sebagai penerima Darjah Panglima Setia Mahkota yang menjadikannya kini bergelar Tan Sri Azizan bin Abdul Razak...


TAHNIAH Ustaz!!!!

Failkan lebih 50 petisyen PRU13, bukti BN juga yakin PRU13 penuh dengan penipuan..

Posted: 01 Jun 2013 12:11 AM PDT


Barisan Nasional (BN) akan memfailkan lebih 50 petisyen membabitkan sekurang-kurangnya 37 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Petisyen itu bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang memihak kepada pembangkang.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, berkata semua petisyen itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi sebelum tarikh akhir 11 Jun ini, iaitu 21 hari selepas keputusan PRU13 diwartakan.

Tindakan Barisan Nasional (BN) untuk memfailkan lebih 50 petisyen di kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bukti parti itu sendiri tidak percaya kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

SaifuddinSecara tidak langsung, ujarnya, tindakan Umno BN itu ibarat 'meludah ke langit' kerana mereka sebelum ini bersungguh-sungguh mempertahankan ketelusan SPR.

"Tetapi sekarang, Umno BN pun tidak percayakan kepada SPR. SPR harus ingat inilah padahnya apabila cuba mengkhianati amanah yang rakyat berikan untuk menikmati proses demokrasi pilihan raya yang bersih dan adil," ujarnya ketika dihubungi.

Beliau berkata, tindakan itu juga mengesahkan dakwaan Pakatan Rakyat bahawa memang wujud kelemahan dan kecurangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

"Ini beban baru SPR yang perlu mereka jawab selepas Pakatan berjaya membuktikan segala kecurangan yang wujud dalam pelbagai segi, seperti senarai daftar pemilih, isu dakwat kekal, blackout semasa pengiraan undi dan sebagainya," ujar Saifuddin.

Tegasnya, mana-mana parti politik hanya akan memfailkan petisyen selepas meragui keputusan pilihan raya yang dikendalikan badan seperti SPR.

"Jadi tindakan Umno BN ini akan memalukan SPR sebagai badan bertanggungjawab yang sebelum ini kerap kali mendakwa melaksanakan amanah dengan telus dan adil baik sebelum, semasa dan selepas pilihan raya,".

"Kalau sebelum ini, SPR sekadar mencuci tangan sahaja dengan memberikan pelbagai alasan dangkal apabila Pakatan kemukakan bukti kecurangan, sekarang mereka tidak boleh ambil ringan lagi bukti yang rakyat berikan," katanya ~ Keadilandaily

Kalau dah yakin sangat PRU13 tu telus dan bersih kenapa nak buat petisyen?

Nik Abduh hentam Yusni Mat Piah?

Posted: 31 May 2013 09:36 PM PDT


Sepanjang tempoh berkempen PRU13 di Parlimen Pasir Mas baru-baru ini, saya kerap ditemuramah oleh para wartawan daripada pelbagai akhbar dan penyiaran.

Antara yang agak eksklusif adalah para pengkaji politik daripada luar negara seperti Singapura dan Australia.

Antara yang acap ditanya oleh mereka adalah berkaitan keyakinan atau telahan saya mengenai kemenangan PR dalam PRU kali ini. Lebih menarik adalah kekuatan PAS di negeri Kelantan dan kerusi Parlimen Putrajaya yang begitu kuat gema dan hangatnya yang telah berjaya membakar semangat para petugas parti untuk mencipta kejayaan merampas Putrajaya dan membentuk kerajaan baru pilihan rakyat.

Jawaban saya untuk Kelantan adalah mudah. Sengit tetapi Kelantan akan terus kekal di bawah PAS. Mereka bertanya, mengapa sengit? Saya kata, politik Kelantan tak pernah tak sengit. Rakyat Kelantan celik politik lebih awal mendahului negeri-negeri lain. Apabila rakyat celik politik, maka ahli politik tidak lagi boleh tidur. Kelekaan akan dihukum.

Jawaban saya untuk Parlimen Putrajaya pula agak berbeza daripada keyakinan para wartawan sendiri yang melihat kilauan PR sepanjang kempen berjalan di sana. Saya kata, kami sedang berlawan dalam pilihan raya umum di seluruh negara kecuali di Parlimen Putrajaya. Bagi saya, ia adalah sebuah pilihanraya kecil dalam sebuah pilihan raya umum.

Sifat pilihan raya kecil adalah keramaian dan kebisingan. Tetapi yang ramai dan bising hanyalah para penyokong. Mereka memiliki segala kekuatan kecuali satu. Mereka tidak memiliki kertas undi. Adapun para pengundi, kebanyakan mereka berehat di rumah menunggu hari mereka memangkah dan menghukum. Jika di pedalaman, mereka menunggu wang. Di Putrajaya pula, mereka menunggu gaji kerajaan memerintah. PR tak bayar mereka gaji.

Maka saya beritahu wartawan, untuk 'pilihanraya kecil Putrajaya', saya kira sukar buat PAS.

Adapun untuk kemenangan PR dalam PRU13, saya gagal untuk memberi jawaban walaupun sekadar telahan. Saya hanya kata, saya tak tahu nak kata. Saya berikan mereka beberapa sebab;

Pertama, pergerakan undi kepada PR tidak menyeluruh di kalangan orang Melayu. Ia hanya diyakini bergerak di kalangan masyarakat bermaklumat di bandar dan kalangan anak muda. Oleh kerana PAS bertanding di banyak kawasan majoriti Melayu, manakala kemenangan PR pula banyak bergantung kepada kepada pertambahan kerusi PAS, maka agak sukar untuk saya membuat telahan kemenangan atau kekalahan bagi PR kali ini.

Kedua, jika pun PAS menang lebih baik di kerusi-kerusi majoriti Melayu yang ditandingi, kemenangan PR masih terlalu bergantung kepada lonjakan besar di Sabah dan Sarawak. Oleh kerana PAS, apatah lagi saya sendiri kurang maklumat lengkap mengenai pergerakan undi sebenar di Sabah dan Sarawak, selain hanya bergantung harap kepada kemenangan PKR dan DAP yang bertanding di banyak kawasan di sana, maka saya katakan kepada rakan-rakan dan wartawan, saya tak boleh nak kata apa-apa mengenai keputusan PRU13. Tunggu 5 haribulan nanti. Dalam menunggu, kita buat kerja termampu.

Keputusan yang diperolehi pada 5 haribulan adalah tidak mengejutkan saya. Saya mudah menerima takdir Allah dalam PRU kali ini berbanding kejutan takdir Allah dalam PRU 2004 yang begitu menggegar bahtera perjuangan PAS.

PAS menang lagi di Kelantan. Ia agak sengit kerana BN hanya memerlukan lagi 3 kerusi untuk menafikan majoriti dua pertiga PAS mentadbir Kelantan. Saya gembira menumpang kegembiraan rakyat Pasir Mas berjaya melunaskan nekad mereka untuk mengalahkan calon yang telah mengkhianati mereka pada 2008. Kuntuman bunga raya bertaburan di kuburan politik khianat dan rasis.

PAS kalah lagi di Putrajaya. Ia agak sukar diterima para penyokong yang begitu kuat bekerja. Tetapi tidak saya dan tidak bagi mereka yang melihat seperti saya lihat. Tetapi adakah kota Putrajaya tidak akan runtuh? Saya kata, Putrajaya adalah kota hijau. PAS akan tiba di sana pada PRU14 nanti. Go Green..

Keputusan PRU13 adalah kemenangan buat BN dan kekalahan buat PR. PAS melalui presidennya menyeru rakyat menerima kekalahan. Ia adalah takdir Allah. Dalam bahasa yang lebih lunak dan menjinakkan hati yang beriman, kita menerima takdir Allah bahawa kita kalah PRU13 melalui penipuan dan manipulasi undi oleh BN. Kita menerima takdir Allah bahawa perjuangan membersihkan SPR belum tamat.

Tinggal dulu perihal penipuan oleh BN. Kita bicara kemudian, atau anda boleh membacanya segera di dalam banyak artikel pendedahan dan pembongkaran.

PAS gagal memikat undi orang-orang Melayu di seluruh negara. Di Kelantan sendiri, PAS gagal membantu PKR mengekalkan kemenangan di 3 kerusi Parlimen yang dimenangi mereka pada 2008.

Ia adalah ketakutan yang dijangkakan walaupun tidak diharapkan berlaku. walaupun begitu, PR seperti diyakini, telah berjaya mengasak rapat BN di seluruh semenanjung Malaysia. PR menambahkan kerusi di DUN dan Parlimen semenanjung.

Adapun di Sabah dan Sarawak, PR tumbang. Sabah dan Sarawak melenyapkan harapan PR memenangi Putrajaya. BN Sarawak memenangi 25 daripada 31 kerusi, manakala di Sabah, BN menang 22 daripada 25 kerusi yang dipertandingkan.

Hakikatnya, janji DSAI perihal Sabah dan Sarawak hancur berkecai. Jika ia berdasarkan culaan dan makrifat yang kukuh dan berwibawa, maka ia membayangkan betapa lemahnya jentera DSAI mencula dan memakrifatkan. Jika ia sekadar janji manis menakluk harapan, maka lihatlah betapa ramai penyokong PR yang menjadi mangsa kencing manis akibat janji manis bergula DSAI.

Saya tidak faham politik janji manis dan harapan meranap gunung. Sepanjang saya berguru politik dengan dengan TGNA, TGHH dan guru-guru politik dalam PAS, saya tidak pula diajar begitu selain berkata benar dan tegas.

Ya, DSAI bukan PAS dan beliau tidak perlu mengguna pakai kaedah PAS. Tetapi saya jadi keliru melihat sebahagian mangsa adalah ahli dan pendukung PAS. Sesetengah sukar memahami maksud 'menerima takdir Allah' yang dianjur presiden PAS sehingga menganggapnya sebagai menyerah kepada kezaliman BN yang mempergunakan SPR. Saya sukar memahami sesetengah ahli PAS tidak memahami maksud beriman kepada takdir Ilahi.

Samada saya menyalahkan DSAI atau menyalahkan ahli dan pendukung PAS sendiri yang terlalu kemaruk janji manis DSAI, saya tangguhkan buat sementara. Kerana mungkin juga kedua-duanyalah yang bersalah.

Pada sekitar 2010, Dewan Pemuda PAS Malaysia merumuskan melalui dapatan yang dihasilkan kajian yang menyeluruh, bahawa PAS mestilah menumpukan usaha memikat hati orang Melayu yang masih liat untuk berubah. Pemuda mengingatkan semua jentera parti agar menjaga hati orang-orang Melayu agar PAS dilihat mampu menggantikan UMNO.

PAS perlu bertegas dengan isu orang-orang Melayu sebagaimana UMNO dilihat begitu. Bezanya, PAS hanya perlu menampilkan penyelesaian cara Islam yang adil dan bersifat memakmurkan hubungan antara kaum tanpa faham rasis UMNO. Justeru ia akan menambah undi Melayu selain mengekalkan undi bukan Melayu kepada PAS.

Justeru Dewan Pemuda PAS Malaysia telah berusaha menjuarai isu-isu Melayu dan Islam. Saya yakin kami telah memperolehi hasil yang agak positif.

Sebelum PRU13 berlangsung, saya bertanya kenalan yang akses sumber BN. Dia yakin BN kekal dengan kemenangan lebih 140 kerusi. Saya cuba menolak dengan beberapa hujah. Tetapi beliau selamba menjawab, BN yakin menang besar di Sabah dan Sarawak. PAS akan hilang banyak kerusi, tak akan menambah di semenanjung. Saya senyap dalam keliru.

Bila PAS hilang hanya satu kerusi, saya terus menadah syukur. PAS tidak sebagaimana cula BN. Bila PR kalah teruk di Sabah dan Sarawak, saya terima takdir bahawa cula BN lebih berjaya dan cula kita hanya janji manis.

Pada tuan presiden, saya percaya. Pemuda PAS berjuang bersama di barisan hadapan.

Sumber dari SINI

Ada ke Nik Abduh hentam Yusni Mat Piah yang dah khianat perjuangan Pakatan Rakyat tu?.. Tak ada.. sebab apa agaknya?

Patutpun depa marah.. AMK digelar Angkatan Pondan rupanya..

Posted: 31 May 2013 10:00 AM PDT


Petang tadi ada seorang sahabat mengadu kat aku, katanya dia dah bergaduh dengan seseorang yang terasa pedih dengan artikel ini..

Ini artikelnya...

Tsunami Malaysia yang melanda tanah air baru-baru ini telah melonjak 53 peratus undi popular kepada Pakatan Rakyat.

Datuk Seri Najib Tun Razak akhirnya dikenali sebagai 'perdana menteri minoriti'.

Gelora perubahan itu paling kuat memukul pantai Pulau Pinang apabila Pakatan Rakyat mendapat undi popular paling tinggi berbanding negeri-negeri lain.

Hasil bah besar itu sedikit banyaknya mengubah landskap kepemimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ada Adun digugur sebagai Exco. Ada muka-muka baru diberi kepercayaan sebagai Exco bagi mengukuh kepemimpinan Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng.

Haji Rashid Hasnon berjaya mempertahan kemenangan bagi kawasan DUN Pantai Jerejak yang pernah disandang Sim Tze Tzin (kini Ahli Parlimen Bayan Baru) dipinang sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang yang baru.

Ini lumrah alam. Pukulan ombak perubahan yang besar di tengah laut sekalipun pasti akan mengubah garis pantai.

Rupa-rupanya apabila langit mencerah, tidak reda juga gelora laut.

PKR melakukan penyalinan hampir seluruh Ahli Majlis bagi kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) - Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Orang dalam parti memberitahu ini 'kerja buat' Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman dan Datuk Mustafa Kamal Mohd. Yusoff (bekas Senator merangkap Setiausaha PKR Negeri).

Kata mereka, apa yang dilakukan oleh dua pemimpin itu adalah langkah terbaik demi mengukuh lagi kepemimpinan parti pasca PRU13.

Kalau PKR itu umpama sebuah bahtera di tengah-tengah gelora laut yang maha dahsyat, tentunya memerlukan kelasi serta anak kapal yang jitu.

Jika itu rasionalnya, sepatutnya Muhammad Farid Arshad dan Amir Ghazali (Ketua AMK Pulau Pinang) pun tidak digugurkan daripada senarai Ahli Majlis MPSP.

Ini bukan anak kapal. Ini kelasi kapal yang luar biasa.

Dalam musim tengkujuh PRU13 di Permatang Pauh, khususnya di Penanti dan Seberang Jaya, inilah wira-wiranya.

Dr Afif Bahardin yang memenangi kawasan DUN Seberang Jaya lalu dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri tentu melihat kewibawaan kedua-dua hulubalang laut itu.

Dr Norlela Ariffin yang menang di Penanti juga patut perasan dengan hakikat dua susuk tubuh itu.

Dr Norlela dan Dr Afif akan melayar bahtera masing-masing paling lama pun lima tahun mendatang.

Selama tempoh itu, akan ada musim cerah dan akan ada musim tengkujuh. Diharap, tiada 'Tsunami Pulau Pinang' pula dalam tempoh itu.

Justeru, mereka pun perlu mempunyai pendirian yang lebih jelas sama ada untuk pertahan Farid dan Amir sebagai pasukannya atau menyerah pada takdir politik kuasawan di atas sana.

Di sini lah, ribut bertiup dalam cangkir politik PKR Pulau Pinang lebih menderas dari ribut laut Tsunami Malaysia di luar sana.

Sudah ada aktivis politik di gigi kekuasaan Komtar mencebik bahawa pemilihan Ahli Majlis dalam kuota PKR tidak lagi mengikut lunas mesyuarat parti.

PKR bukan lagi angkat semangat rakyat, tapi, ikut telunjuk dua orang itu, kata seorang pagi tadi di Komtar, George Town.

Pemimpin muda AMK Cabang itu bagaimanapun tidak menjelaskan siapa dua kuasawan haloba itu.

"Baik tak payah mesyuarat (cabang) kalau dua orang ini sudah membuat keputusan untuk singkir aktivis parti (sebagai Ahli Majlis) diganti dengan kroni," tegas beliau.

Cakap-cakap itu bagaikan anak puting beliung yang tidak lama lagi, kalau tidak mengkaram kapal sekalipun, takut menyadai bahtera PKR di Pulau Buta.

Maka, tidak ada cara lain, melainkan anak-anak kapal itu sendiri perlu berdayung dan bersauh dari dalam bahtera supaya gelora angin perubahan yang memukul laut tidak sampai menguris walau dinding badan kapal sekalipun.

Kalau perlu beri kata dua, kata dua diberikan. Kalau perlu tukar dua kelasi kapal yang nyata membahayakan bahtera parti dalam meniti onak perubahan, tukarkan sahaja.

Tiada guna digelar sebagai Angkatan Muda Keadilan (AMK) kalau ketua sendiripun dicincang mati depan mata, tiada siapa berani menghalang.

Elok AMK ditukar pada APL yang bunyinya Angkatan Pondan Laut dan biar pondan lain menjadi kuasawan bangsat untuk berpeluk tubuh membiarkan Amir dan Farid ini dilemaskan dalam kolam politik PKR sendiri.

Di luar kapal PKR ini masih ada kapal-kapal yang lain yang sedia menganjak 'Tsunami Malaysia' untuk tenggelam dua kelasi serta anak-anak kroninya yang pondan-pondan itu jika itu yang didesak ~ Faqar

Ada yang betul.. ada yang tak betul dalam artikel oleh Faqar di atas ni.. aku tak mahu ulas pasal artikel ni..

Yang pasti sudah ada yang marah sebab kena batang hidung sendiri..

Tapi bagi aku.. AMK Pulau Pinang ni lebih baik dari Pemuda PAS Pulau Pinang.. sebab dalam AMK tak ada pengkhianat perjuangan Pakatan Rakyat seperti yang ada dalam Pemuda PAS Pulau Pinang.

Walaupun nama anggota mereka dikeluarkan dari senarai calon pada saat-saat akhir.. mereka tidak menentang arahan pihak pimpinan dengan turut bertanding di tempat yang mereka diarahkan untuk turun padang sebelum PRU13..

Dalam Pemuda PAS Pulau Pinang ada.. malah hingga kini langsung tak disentuh oleh Pimpinan PAS Pulau Pinang.. Nak tahu siapa pengkhianat itu sila baca di SINI

Tiada ulasan: