Sabtu, 22 Jun 2013

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


Hak ahli PAS, setakat mana diraikan

Posted: 22 Jun 2013 10:39 AM PDT

 Jun 21, 2013 

Saya merujuk kenyataan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS (gambar) yang menolak pandangan saya bahawa Husam Musa adalah pemimpin yang sesuai menerajui parti PAS sebagai Presiden pada masa depan. Beliau mengambil pendekatan bahawa PAS perlu dipimpin oleh seorang ulama kerana hanya kepimpinan ulama sahajalah yang boleh menjaga kepentingan parti yang berteraskan perjuangan Islam.

 Saya bersetuju bahawa seseorang pemimpin PAS itu mestilah seorang ulama. Saya juga berpendapat semua ahli PAS itu adalah `ulama' dalam konteks erti ulama yang lebih luas. Mereka ini semua mahukan politik negara ditadbir dengan berteraskan prinsip agama suci kita, Islam. Semua ahli PAS memperjuangkan Islam. Sebab itu mereka masuk PAS. Bila seseorang itu layak menjadi ahli dalam parti tersebut maka dia sudah diterima sebagai seorang `ulama'. 

Sekali gus semua ahli PAS layak menawarkan diri sebagai pemimpin parti tersebut. Hak ahli untuk memilih dan dipilih, mengundi dan diundi, ada dalam Perlembagaan PAS itu sendiri. Bukankah kesamarataan hak ahli merupakan syarat utama yang perlu kita akur sebelum sesebuah parti politik itu diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan?

 Ini yang berlaku sekarang. PAS adalah sebuah parti yang mempunyai berbagai lapisan pemimpin. Majlis Syura Ulamanya dipimpin oleh seorang Mursyidul Am, dan Jawatankuasa Kerja Pusat dan Jawatankuasa Harian Pusat dipengerusikan oleh Presiden. Bolehlah dikatakan semua pemimpin dan pucuk pimpinan ini seperti Salahuddin Ayub dan Mahfuz Omar terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan mahukan pentadbiran negara yang berasaskan Islam. Begitu juga dengan Husam Musa. Kalaulah mereka ini semua dianggap bukan ulama, masakan mereka boleh jadi pemimpin parti. 

Husam Musa telah pun dipilih sebagai Naib Presiden, sepertilah juga Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub. Barangkali pakaian dan janggut mereka sahaja yang tidak sama dengan golongan ulama lain dan mungkin kelulusan akademik atau profesional mereka lain daripada Harun Taib dan Nik Amar Nik Abdullah. Tetapi mereka tidak kurang kesesuaiannya sebagai pemimpin.

 Alangkan anehnya parti PAS ini sekiranya seseorang itu, seperti kawan lama saya Mat Sabu, hanya layak memegang jawatan Timbalan Presiden (dan tidak digelar `ulama') tetapi tidak layak memegang jawatan Presiden. Kalaulah ini caranya parti memilih pemimpin maka ia bukan sebuah parti yang boleh maju kerana hak setiap ahli PAS itu seolah-olah ada`hadnya', iaitu ke tahap mana dia dilayakkan atau dibolehkan memimpin. 

Had atau jawatan paling tinggi itu pula ditentukan oleh kumpulan lain dalam parti, bukan oleh ahli-ahli secara keseluruhannya. Ini bukan cara sebuah parti yang berteraskan Islam. Ini juga bukan cara sebuah parti yang demokratik. Tentu ini berlawanan dengan perlembagaan parti itu sendiri. 

Kalaulah Salahuddin Ayub itu seorang pemimpin yang baik dan mendapat sokongan ahli parti, maka dia bukan sahaja layak jadi Naib Presiden bahkan dia layak untuk dipilih menjadi Presiden. Dia tidak boleh disekat oleh orang lain dalam parti untuk jadi pemimpin. Memanglah Ali Khamenei boleh menyekat seseorang dari menawarkan diri sebagai Presiden di Iran. Tetapi bukan semua cara Iran itu cara Islam. Kita mesti faham sejarah kepimpinan Syiah sebelum kita tiru tanpa kajian yang mendalam.

Berbalik kepada Husam Musa. Saya tidaklah kenal sangat dengan beliau. Ke rumahnya pun baru dua kali dalam masa 20 tahun. Tetapi saya melihat bakat dan kebolehannya ketika membantu Tok Guru Nik Aziz mentadbir negeri yang serba kekurangan, Kelantan. Apatah lagi ketika diserang bertubi-tubi oleh parti jahat Barisan Nasional.

Kelantan boleh bertahan sekian lama kerana gandingan seorang ulama bernama Nik aziz dan seorang ulama bernama Husam. Latar belakang mereka berbeza, kelebihan ilmu mereka berbeza, kepandaian mereka juga berbeza. Tetapi kekuatan dalam PAS hanya akan berterusan kalau gandingan yang berbeza ini diteruskan dan dimajukan. Kalaulah dia dimatikan kerana perhitungan politik yang sempit maka UMNO akan terus memerintah. 

Parti orang Islam /Melayu yang boleh bersaing dengan UMNO hanyalah PAS, dan jika PAS menjadi lemah dan tewas, maka orang Melayu/Islam tidak ada alternatif dan pilihan lain. Sudah tentu perhitungan besar ini perlu diambil kira oleh semua pemimpin PAS.

Tiada ulasan: