Selasa, 28 Mei 2013

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Selangor "Negeri PAS" : YB Iskandar (28/5/13)

Posted: 28 May 2013 12:28 AM PDT


Saya kagum melihat dan membaca kenyataan akhbar berikut yang dikeluarkan oleh YDP PAS Kawasan Pandan, Selangor yang juga ADUN Cempaka YB Iskandar Abdul Samad:
Ahli dan pimpinan PAS di seluruh negara mesti menganggap Selangor sebagai sebuah "negeri PAS" sepertimana selama ini mereka menganggap Kelantan, Kedah dan Terengganu.

PAS di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke 13 telah memenangi 15 kerusi Dewan Negeri, sama banyak jumlah kerusi PAS di Terengganu dan melebihi kerusi PAS di Kedah.

 Selangor adalah unik kerana selain dari menjadi "negeri PAS" ia juga "negeri DAP" dan "negeri PKR". Tidak ada parti yang boleh mengakui negeri ini "negeri mereka" kerana jumlah kerusi Dewan Negeri setiap parti adalah hampir sama. Ianya adalah "negeri Pakatan Rakyat" yang sebenar.
Oleh yang demikian, pimpinan PAS terutamanya pimpinan tertinggi parti mesti memberi tumpuan yang sama kepada Selangor sepertimana tumpuan yang mereka berikan kepada Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Isu-isu negeri Selangor mesti turut dibincang dan dibahas secara panjang lebar pada mesyuarat pimpinan tertinggi dan Muktamar sepertimana dilakukan pada mesyuarat pimpinan tertinggi dan Kongres PKR atau DAP.
Dengan ura-ura perlantikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution sebagai "political liaison" atau pegawai perhubungan politik di Pejabat Menteri Besar Selangor, seorang Naib Presiden PAS juga mesti ditugaskan untuk memantau urusan-urusan harian di Selangor.

Ahli-ahli telah bekerja keras untuk mengukuhkan dan mengembangkan pengaruh PAS di Selangor, mereka mengharapkan perhatian yang lebih dari pimpinan tertinggi
Sememangnya kemenangan di Selangor kali ini adalah luar biasa buat PAS. Peningkatan bagi PAS jauh mengatasi rakan-rakan lain dalam PR. Selangor adalah kes pertama buat PAS dalam mengamalkan tahaluf siyasi dimana bilangan wakil PAS seimbang dengan DAP dan PKR dengan 14 kerusi.

Uniknya di Selangor walau kedudukan kerusi PAS dan DAP iaitu 15 masing-masing mengatasi kerusi PKR iaitu 14 namun PAS dan DAP memberi laluan kepada PKR menjadi MB. Ia tidak boleh disamakan dengan insiden di Perak pada PRU lalu apabila Ir Nizar menjadi MB sedangkan PAS rakan kongsi terkecil, kerana di Perak ianya masalah Perlembagaan.
Saya setuju dengan YB Iskandar, bahawa PAS perlu beri tumpuan kepada Selangor kerana ia kini Negeri PAS sebagaimana Kelantan. Cuma teraju sahaja bukan PAS. Dan saya juga setuju bahawa jika PKR meletakkan pemimpin kanannya sebagai "political liaison" di Pejabat MB Selangor, PAS juga perlu mengambil langkah yang sama. Malah PAS lah yang sepatutnya ke sana. Mungkin YB Takiyuddin Hasan yang kini Penolong Setiausaha Agung PAS, bekas EXCO Kelantan boleh menjadi wakil PAS di Pejabat MB.

PAS dengan kedudukannya yang besar di Selangor sedar tak sedar kini sudah menggantikan Umno sebagai tunggak kuasa politik Melayu/Islam di negeri ini (Umno cuma tinggal 12 kerusi). Sudah pastilah pengharapan rakyat khasnya dalam isu berkenaan sangat tinggi dan malah PAS perlu membuktikan bahawa dalam isu-isu Islam di Selangor khasnya, PAS jauh lebih mampu dari Umno.
Saya tahu ada dikalangan pimpinan entah lantaran apa, apabila kita sebut sahaja isu Melayu/Islam boleh jadi fobia, kononnya mahu meniru agenda JATI Hasan Ali!

Bagi saya PAS suka tak suka tidak boleh lari dari agenda Melayu/Islam selain memperjuangkan hak semua rakyat. DAP tidak pernah segan silu apabila memperjuangkan hak sekolah jenis kebangsaan, hak peniaga-peniaga kecil Cina, hak rumah ibadat bukan Islam dan dalam waktu yang sama mereka juga memperjuangkan hak semua rakyat.
Orang Melayu di Selangor sudah mula pindah dari Umno ke PAS sebagaimana rakyat di Kelantan. Oleh itu sudah pastilah mereka mahu melihat sesuatu yang isitimewa dijuarai oleh PAS bagi menggantikan Umno yang sudah semakin tidak relevan.

Sebagaimana yang diluahkan YB Iskandar:
Ahli-ahli telah bekerja keras untuk mengukuhkan dan mengembangkan pengaruh PAS di Selangor, mereka mengharapkan perhatian yang lebih dari pimpinan tertinggi.

Justeru kita harapkan dalam pembahagian EXCO nanti pun PAS diwakili setimpal dengan kekuatannya. Kalau sebelum ini MB umumkan 4 EXCO buat PAS yang memang 15 kerusi, kita harap begitulah, tanpa dikurang-kurang terutama dengan salah seorang memegang portfolio Agama Islam.
Diharapkan PAS mampu mengisi kemenangan ini dan muncul lebih teguh dalam PRU berikutnya insyallah.

PAS kekal kuat bawah kepimpinan Tuan Guru Presiden (29/5/13)

Posted: 27 May 2013 11:27 PM PDT


Kebelakangan ini ramai membicarakan darihal keperibadian dan kepimpinan Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang. Ini barangkali ekoran keceluparan mulut seorang pemimpin muda dari kalangan Pakatan baru-baru ini yang telah menyerang Tuan Guru dalam ucapannya.
Memang hanya jauhari yang mengenal manikam.

Ilmu, ketokohan dan keperibadian Tuan Guru bagi saya yang pernah berkesempatan berkhidmat di bawah beliau jauh mengatasi mana-mana pemimpin tempatan dan pemimpin politik yang ada pada hari ini. Beliau memiliki keupayaan untuk melihat secara mendalam dan jauh satu-satu isu dan permasalahan yang saya percaya anugerah dari ilmu dan kewarakkannya yang tiada pada yang lain.

Pernah pada satu hari sebelum PRU ke 12, seorang pemimpin datang menemui beliau dengan beberapa helaian kertas yang menunjukkan analisa pemimpin itu terhadap jangkaan prestasi PAS bagi PRU ke 12 (saya tidak pasti pemimpin itu ingat atau tidak kerana dengan takdir Allah beliau juga kemudian menang satu kerusi Parlimen di tempat yang PAS tidak pernah menang). Ternyata bacaannya menunjukkan PAS tidak mempunyai harapan yang baik ketika itu.
Tuan Guru dengan tenang melihat kertas berkenaan dan mendengar hujah pemimpin itu. Kemudian katanya itu analisis pemimpin berkenaan yang dibuat berdasar angka-angka fizikal yang ada. Bagaimana dengan bantuan langit yang tidak dapat kita hitung dan jangka, kata Tuan Guru terus tenang. Benar bacaan itu tetapi kata Tuan Guru beliau juga percaya pada janji-janji dan bantuan Allah (lebih kurang begitulah kerana saya hadir ketika itu).

Dengan kuasa Allah swt, dalam PRU ke 12 PAS menang besar bersama PR selain mengekalkan Kelantan, PAS dan PR tumbangkan BN di Kedah, Selangor, Perak dan Pulau Pinang!
Itu mukadimmah saya berkenaan Tuan Guru. Cuma dalam posting ini saya mahu kaitkan dengan satu lagi persitiwa yang lebih rapat dengan saya kerana kebetulan kita membincangkan ketokohan beliau selain dalam masa yang sama kita berhadapan dengan sitiuasi dimana PAS hai ini mencatatkan prestasi terbaik di negeri Selangor. PRU ke 12 lalu kita menang 8 kerusi, kali ini 15.

Pada penggal yang lalu PAS bersama PKR dan DAP buat pertama kali berkongsi kuasa memerintah Selangor. Ketika itu sudah pastilah pengalaman baru ini membawa pelbagai cabaran dan dugaan baru. Dalam sejarah PAS tidak pernah berkongsi memerintah dimana ia bukan blok yang dominan seperti di Kelantan, Terengganu atau Kedah.
PAS Selangor ketika itu diketuai Dato Dr Hasan Ali, yang semua tahu dipenghujung penggal ke 12 itu telah dipecat dari parti.

Dr Hasan berhadapan pelbagai permasalahan diperingkat pentadbiran negeri diperingkat awal yang yang pada pandangan beliau sukar diselesaikan. Berbagai forum digunakan untuk meleraikan kekusutuan, namun tidak memuaskan hati. Beliau buntu dan ramai yang lain turut buntu sehinggalah saya dan Setiuasaha Perhubungan mencadangkan agar kita mendapatkan nasihat dan pandangan pemimpin kita, iaitu Tuan Guru Presiden sendiri yang saya yakin akan memberi bimbingan berasaskan ilmu dan pengalaman beliau.
Lalu disusunkan pertemuan tertutup. Saya dan Setiausaha Perhubungan hadir. Tuan Guru mendengar luahan hati Dr Hasan dan apabila tiba giliran beliau Tuan Guru berhujah berdsasarkan kisah riwayat Salahuddin al Ayubi.

(Untuk mengetahui kisah terperinci saya syorkan kita masing-masing mengimbas semula kisah Salahuddin yang berkenaan melalui bacaan masing-masing)
Menurut Tuan Guru apabila diperintahkan oleh Khalifah (Nururddin Zanki) untuk menjadi wakilnya, ke Mesir, Salahuddin menerima amanah tersebut dengan penuh kegusaran serta tidak selesa. Kerana apa? Kerana kerajaan Mesir ketika itu di bawah pemerintah Fatimiyyah yang pro Syiah. Salahuddin gelisah namun menerima juga amanah berkenaan dan yang paling penting menurut Tuan Guru, Salahuddin BERSABAR. (banyak amalan Syiah dipraktikkan di Mesir ketika itu termasuk yang ekstrim dan bertentangan dengan amalan Ahli Sunnah).

Akhirnya (pada 567H) Al-Adid yang memimpin Kerajaan Fatimiyyah ketika itu meninggal dunia. Salahuddin al Ayubi terus dilantik menjadi pemimpin Mesir, menandakan tamatnya pemerintahan Fatimiyyah yang pro Syiah itu.
Dari situ dengan kuasa yang ada, Salahuddin telah bangkit membersihkan amalan Syiah dan membina Mesir sebagai salah sebuah kuasa Sunni sehinggalah ke hari ini.

Pengajaran dari kisah Tuan Guru ini, bahawa dalam berhadapan dengan situasi seumpama ini dalam kes Selangor, Dr Hasan selaku pemimpin harakah Islam di negeri berkenaan, sewajarnya bersabar. Gunakan waktu yang ada membina kekuatan dalaman dan menyibarkan dakwah Islamiyyah. Kata kuncinya BERSABAR!
Itulah nasihat terakhir Tuan Guru Presiden buat beliau sebagai pemimpin nombor satu PAS Selangor, saya hadir dan mengiakan nasihat itu. Malangnya barangkali dalam kamus Dr Hasan ketika itu SABAR tiada wujud sebagai satu formula penyelesaian. Dr Hasan tidak sanggup menjadi Salahuddin, kesudahnnya kita semua telah tahu akan nasib yang menimpa Dr Hasan.

Hari ini saya berani menyatakan bahawa pandangan Tuan Guru Presiden kita itu Subhanallah memang tepat. PAS semakin kuat di negeri Selangor, kiranya SABAR menjadi formula yang digarap oleh Dr Hasan ketika itu, hari ini barangkali suasananya persis Salahuddin al Ayubi di Mesir!
Kesimpulannya itulah keistimewaan Tuan Guru Presiden PAS dan sudah tentu banyak lagi pengalaman, insiden dan cerita yang boleh dikhabarkan berkenaan kredibiliti dan karisma beliau. Orang lain atau orang luar mungkin pandang rendah atau mudah menghina dan merendah-rendahkan beliau (termasuklah tidak terkecuali segelintir dari dalam). Tetapi orang yang kenali dan rapat dengan beliau sangat menyayangi dan mengkagumi tokoh ulamak ini.

PAS insyallah akan kekal relevan dan kuat selagi ia bernaung di bawah kepimpinan ulamak samada ada yang suka atau tidak kerana kekuatannya bukan semata-mata bersandar pada kekuatan fizikal dan angka, tetapi apabila menepati syarat-syaratnya maka akan turut sertalah kekuatan bantuan dari langit!

 

Tiada ulasan: