Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) hari ini meluahkan perasaan kecewa dan mencela Utusan Malaysia kerana memuatkan laporan berhubung sokongan Cina dalam pilihan raya umum yang disifatkan provokatif dan memesongkan pembaca.

Dalam kenyataannya hari ini, sekretariat kesatuan itu berkata, akhbar Umno itu tidak harus menyiarkan laporan sebegitu, yang disifatkan perkauman dan cuba menghasut ketegangan antara kaum.

NUJM merujuk kepada laporan muka depan dengan judul "Apa Lagi Cina Mahu?" yang antaranya menyebut, pelbagai pihak menyifatkan apa yang berlaku dalam pilihan raya umum kali ini sebagai pengkhianatan orang Cina dan tidak boleh dimaafkan.

azlan"Sebagai sebuah akhbar Melayu arus perdana, Utusan Malaysia tidak harusnya memainkan isu perkauman dan cuba menghasut ketegangan antara kaum," menurut kenyataan itu.

"Seperti yang kita semua tahu, Umno yang manipulasikan Utusan Malaysia di belakang tabir."

"Tapi ia bukannya akhbar parti yang hanya kepada ahli-ahli Umno, ia tidak patut dipergunakan sebagai senjata atau bahan propaganda parti politik untuk menyerang lawan politik."

NUJM juga berkata, Utusan menyembunyikan agenda di sebaliknya dan tidak menjunjung etika kewartawanan serta tidak neutral melaporkan isu berkenaan.

Sementara itu, menyentuh julukan "tsunami Cina" kepada pengundi Tiong Hua, badan wartawan itu berkata ia tidak tepat dan Utusan seolah mengungkit ketegangan dan menimbulkan kecurigaan serta mendalamkan salah faham kaum.